title
stringlengths
26
159
content
stringlengths
414
63.9k
Proton bakal rebadge Suzuki Ertiga MPV – kit CKD didatangkan dari Indonesia, bermula Q2 2016
Suzuki Ertiga telah disahkan menjadi salah satu model yang bakal ditukar logonya (rebadged) ke Proton dengan kerjasama pengeluar kenderaan nasional tersebut dengan Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016. “Ini merupakan hasil daripada kerjasama antara Suzuki dan Proton, di mana Osamu Suzuki (Presiden Suzuki Motor Corp, Jepun) umumkan tahun lalu,” ujar Timbalan Pengarah Urusan SIS, Davy Jeffry Tuilan memberitahu Kompas Otomotif semalam. Beliau menambah, SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir. Pada masa ini, Suzuki mengeksport Ertiga dari Indonedia ke beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei dalam versi CBU. Walau bagaimana pun, eksport ke empat pasaran berkenaan dianggarkan sebanyak 400 unit pada setiap bulan. Selain itu, Suzuki turut memproduksi Mazda VX-1 dan Ertiga (rebadged) untuk pasaran Indonesia. Suzuki Ertiga muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012, sebelum MPV tujuh tempat duduk itu diproduksi di Indonesia. Ia memiliki ukuran jarak roda 2,740 mm (Perodua Alza 2.750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Model Ertiga facelift telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 pada Ogos 2015, dan pada Disember lalu, Suzuki telah memperkenalkan varian Ertiga Dreza dengan imej yang unik dan pertambahan elemen lain. GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015
PLUS guna teknologi Turapan Anti-Gelincir di 10 laluan susur – kurangkan 50% risiko kemalangan sejak 2010
Penggunaan teknologi Turapan Anti-Gelincir (Anti-Skid Pavement) di beberapa laluan susur di persimpangan bertingkat serta lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS berjaya mengurangkan risiko kemalangan di kawasaan tersebut sebanyak 50%. Menurut CEO PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, teknologi ini telah diaplikasikan sejak tahun 2010 lalu dan sehingga kini 10 lokasi telah pun diaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Buat setakat ini, lokasi terbabit ialah persimpangan Rawang, persimpangan Bangi, persimpangan Kajang, persimpangan Bertam, persimpangan USJ KM9.0, persimpangan Seafield KM5.4 (Ramp B), persimpangan Seafield KM5.4 (arah selatan), persimpangan Shah Alam (Ramp D), persimpangan Ayer Hitam KM80.22 dan persimpangan Yong Peng KM94.50. “Ia diperkenalkan di laluan yang kritikal dan sejak digunakan, kami berjaya mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan-kawasan terbabit sebanyak 50%,” ujar Fuad. Menurut Fuad, penggunaan bahan Turapan Anti-Gelincir tersebut meningkatkan lagi kadar geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan. Kadar geseran yang tinggi memberikan lebih cengkaman dan seterusnya mampu mengelakkan kenderaan tergelincir apabila mengambil selekoh di laluan susur teruta,anya ketika hujan. Beliau berkata demikian dalam satu taklimat kepada wakil-wakil media di Persimpangan Bertingkat Kajang hari ini. “Sehingga kini PLUS telah membelanjakan kiri-kira RM5.5 juta untuk mengaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Berdasarkan kajian dan rekod kami, teknologi dari Jerman ini boleh diyakini dan akan terus membantu mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi-lokasi tertentu,” ujar Fuad. Turapan Anti-Gelincir ini merupakan sejenis lapisan khas ‘sealant coating’ untuk memperkuatkan lagi cengkaman antara agregat (batu baur) di atas permukaan jalan. Fuad berkata, lebih tinggi Nilai Anti Gelinciran (SRV) bagi material ini, ia akan membuatkan permukaan jalan lebih kesat. Tambah Fuad lagi, “Walau pun lapisan khas ini kelihatan berkilat seolah-olah terdapat tumpahan minyak dan licin. namun sebenarnya ia membantu menguatkan lagi kadar cengkaman dan mampu mengelakkan kenderaan tergelincir ketika melalui selekoh.” Ketika ditanya media, adakah turapan ini akan kekal, Fuad menjawab, “Setiap lima tahun kami perlu menurapnya semula, ini kerana percikan air mampu mengurangkan kesan geseran. Malah kami akan memantaunya dari masa ke masa bagi memastikan turapan ini berfungsi dengan baik. Jika terdapat rekahan pada bahagian turapan, biasanya kami akan menggunakan serbuk kayu untuk menutupinya terlebih dahulu sebelum menurapnya semula dengan teknologi ini.” Fuad turut berkata, teknologi ini juga mungkin akan diperluaskan di beberapa lokasi lain jika diperlukan. Tetapi PLUS juga mungkin akan menggunakan teknologi lain selain Turapan Anti-Gelincir ini. “Kena ikut kesesuaian keadaan, mungkin teknologi atau material lain akan digunakan,” ujarnya. Teknologi Turapan Anti-Gelincir ini turut digunakan secara meluas di Jerman, Jepun, Korea, Australia, Switzerland dan beberapa negara lain. Selain lebuh raya, ia turut digunakan pada permukaan jambatan dan landasan kapal terbang. Walau bagaimana pun, Fuad turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya amalkan pemanduan berhemah dan mengikut had kelajuan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Proton mampu akses pasaran secara lebih luas dengan TPPA, sekatan yang minimum – PEDA
Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani oleh Malaysia tidak lama lagi turut memberikan keyakinan kepada Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA). TPPA yang turut disertai 12 negara dikatakan mampu menyediakan akses pasaran yang lebih luas untuk Proton. Menurut Presiden PEDA, Armin Baniaz Pahamin, jawatankuasa PEDA secara sebulat suara menyokong TPPA memandangkan kenderaan Proton boleh menembusi negara peserta secara bebas dengan sekatan yang minimum, laporan Bernama. “Pasaran tempatan sebenarnya akan mendapat manfaat melalui penetapan harga yang lebih kompetitif hasil daripada ekonomi bidangan yang dicapai,” katanya. Beliau berkata, tanpa TPPA, Proton akan berdepan sekatan import yang ketat ke atas kenderaanya. Ujarnya lagi, “Kami yakin TPPA akan meliberalkan sekatan ini dan ia akan menjadikan lebih mudah untuk mengekport kereta kita ke negara anggota berkenaan begitu juga bagi syarikat asing memasuki Malaysia.” katanya.
MINI Countryman Park Lane – hanya 88 unit, RM254k
MINI Malaysia telah memperkenalkan edisi istimewa bagi model Countryman. MINI Countryman Park Lane, tampil dengan jaluran ala jentera lumba, dijual pada harga bermula RM253,888 dan hanya terhad sebanyak 88 unit di Malaysia sahaja. Diperkenalkan di peringkat global di Geneva Motor Show 2015 lalu, MINI Countryman Park Lane ini turut didatangkan dengan gaya yang dipertingkatkan berbanding dengan varian standard bagi Countryman Cooper S yang berharga RM243,888. Antara peningkatan gaya yang ditampilkan ialah padanan warna Earl Grey bagi kerangka luarannya, digabungkan dengan kekemasan Oak Red pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan jaluran ala perlumbaan. Manakala rim aloi Turbo Fan Dark Grey bersaiz 18-inci turut menyerlahkan lagi gaya sporty jentera ini. Malah ia juga dilengkapi dengan pakej MINI ALL4 Exterior termasuk elemen badan berwarna perak pada bahagian hadapan dan belakang serta side sill. Sebagai tambahan, bahagian kabin juga didatangkan dengan logo eksklusif “Park Lane” termasuk pada bahagian kokpit. Manakala kekemasan Oxide Silver pula terbentang pada bahagian kokpit dan bingkai pintu, sementara Cross Stripe Grey pula digunakan untuk sisi di sekeliling konsol tengah. Kesemua ini merupakan barangan eksklusif bagi Countryman Park Lane. Ia juga didatangkan bersama Carbon Black pada bahagian pintu dan konsol tengah. Seperti sebelum ini, MINI Countryman ini turut dilengkapi dengan pakej Pencahayaan Sekeliling dan sistem hiburan MINI Visual Boost dengan skrin paparan LCD 6.5-inci. Ia turut menawarkan navigasi MINI Streetwise, Sport Instruments, Force Meter dan aplikasi MINI Vital Statistics. Countryman Park Lane ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter empat-silinder MINI TwinPower turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp dan tork 240 Nm yang mampu dipertingkatkan sehingga 260 Nm. Jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.8 saat dan kelajuan maksimum pula 212 km/j. MINI mendakwa ia menggunakan bahan api sekitar 7.5 liter per 100 km. Untuk pengetahuan anda, Countryman Park Lane mendapat nama dari pinggir bandar UK di mana terletaknya bilik pameran MINI yang paling terkenal. Countryman merupakan model ketiga yang diberikan gelaran Park Lane. Setiap pembelian Countryman Park Lane ini akan didatangkan dengan waranti empat tahun tanpa had perbatuan dengan pakej Servis Berjadual Percuma.
Honda CR-V 2.0 2WD kini didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit – kos ekstra RM1k, jadi RM143k
Honda Malaysia telah mengumumkan menerusi laman sosial Facebook bahawa Honda CR-V 2.0 2WD kini telah didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit. Model generasi keempat yang dilancarkan pada 21 Januari tahun lalu, ketika itu merupakan satu-satunya varian tempatan yang ditawarkan dengan tempat balutan fabrik. Manakala varian 2.0 4WD dan 2.4 4WD pula memang ditawarkan dengan tempat duduk balutan kulit. Namun ia bukannya percuma, sebaliknya dengan kos tambahan bernilai RM1,000, ini bermakna CR-V 2WD kini ditawarkan dengan harga atas jalan RM142,900 termasuk insurans. Honda CR-V 2.0 2WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 155 PS pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. KUasanya disalurkan ke roda hadapan untuk varian 2WD ini, menerusi kotak gear automatik lima-kelajuan. Honda mendakwa penggunaan bahan apinya adalah sekitar 13 km/liter untuk 2.0 2WD dan 12.25 km/liter untuk 2.0 4WD. GALERI: Honda CR-V 2.0 2WD
Posisi jualan kenderaan tahun 2015 mengikut jenama
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menyebarkan data jumlah keseluruhan jualan kenderaan untuk tahun 2015. Secara keseluruhannya, tahun 2015 menyaksikan sebanyak 666,674 jualan telah terjual. Di mana, daripada jumlah itu, Perodua telah menduduki tangga ke atas dengan jumlah sebanyak 213,307 unit kenderaan telah terjual sepanjang tahun lalu, sekali gus menguasai pasaran sebanyak 32%. Manakala Proton menduduki tempat kedua dengan 102,175 unit terjual dan menguasai pasaran sebanyak 15.3%. Honda pula turut menunjukkan peningkatan dengan berada tempat ketiga setelah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 94,902 kenderaan penumpang. Diikuti oleh Toyota dengan jumlah 93,902 unit terjual (termasuk kenderaan komersil). Manakala Nissan pula di tempat kelima dengan sejumlah 47,235 unit terjual. Mazda pula berada di tempat ke enam dengan jualan sebanyak 14,325 unit kenderaan. Bagi Ford yang menduduki tempat ke lapan yang berjaya mengalahkan Mitsubishi di tangga ke sembilan dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 12,130 unit dan 11,076 unit. Diikuti oleh Mercedes-Benz (ke 10, 11,034 unit), Volkswagen (ke-11, 6,405 unit), BMW (ke-12, 7,515 units) dan Hyundai-Inokom (ke-13, 6,286 unit). Bagi kenderaan komersil pula, Toyota mendahului carta dengan jualan sebanyak 28,465 unit, dan diikuti Isuzu dengan 12,224 unit. Manaka Ford pula mencatat jualan sebanyak 9,264 unit dan berada di tempat ketiga. Sila semak carta di bawah untuk data jualan kenderaan 2015 :
Honda Malaysia berada di posisi pertama dalam segmen kenderaan bukan-nasional tahun 2015
Honda Malaysia telah mengumumkan jualan keseluruhannya pada tahun 2015 iaitu mencecah 94,902 unit, sekali gus meletakkan jenama ini pada posisi nombor satu dalam segmen kenderaan bukan-nasional, pertama kali dalam sejarah, meninggalkan UMW Toyota di tempat kedua iaitu 97,760 unit. Syarikat ini berkata, angka tersebut adalah peningkatan sebanyak 22% berbanding jumlah kenderaannya yang didaftarkan pada tahun 2014, iaitu bersamaan dengan 77,485 unit. Secara keseluruhannya, Honda berada di posisi ketiga iaitu selepas syarikat pembuat kenderaan nasional, Perodua dan Proton. Secara spesofiknya, City merupakan model bagi Honda yang mencatat jualan paling tinggi, menyumbang sebanyak 40% daripada jumlah keseluruhan jualan. Ini diikuti dengan HR-V, yang dilancarkan pada Februari tahun lalu, yang memecah rekod dengan tempahan sebanyak 7,000 unit pada bulan pertama, dengan 21% dan diikuti oleh Jazz iaitu sebanyak 18%. Honda Malaysia turut menambah, City, Jazz dan CR-Z telah mengekalkan kedudukan masing-masing dalam segmen yang diwakili pada tahun lalu. Menurut CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, “Kami memulakan tahun 2015 dengan sasaran jualan yang agak mencabar iaitu sebanyak 85,000 unit. Dan berjaya melepasi sasaran sebanyak 12% iaitu 10,741 unit jualan. Terima kasih kepada semua pelanggan Honda kerana terus menyokong dan mempercayai produk kami.”
MAA ramal jualan kenderaan akan susut sebanyak 2.5% pada 2016, disebabkan garis panduan sewa beli yang lebih ketat, jumlah pinjaman lebih kecil
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan ramalan bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi jualan kenderaan bagi tahun 2016. Dengan kejayaan rekod tinggi pada tahun 2015 iaitu sejumlah 666,674 unit kenderaan didaftarkan, pihak MAA percaya terdapat beberapa faktor yang mungkin akan menjadi penghalang untuk mencapai rekod yang memberangsangkan itu. Prestasi pada tahun lalu (2015) ialah bersamaan dengan meningkatan sebanyak 0.03% (187 unit) berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 666,487 unit kenderaan terjual. Walau bagaimana pun MAA menjangka tahun 2016 ini hanya 650,000 unit kenderaan bakal dijual, iaitu menyusut 2.5% berbanding pada tahun lalu. Di mana penurunan tersebut akan bermula pada Januari 2016. Datuk Aishah Ahmad, Presiden MAA berkata, pihak bank akan meneruskan syarat pinjaman sewa beli yang lebih ketat, sekali gus akan menjejaskan hasil jualan Januari dan bulan-bulan seterusnya. “Pihak bank akan memperketatkan lagi syarat pinjaman ini, bahkan mungkin juga sukar untuk mendapatkan pinjaman sebanyak 90% seperti sekarang. Mungkin jumlah pinjaman menjadi antara 65% hingga 70%, membuatkan pembeli perlu membayar wang pendahuluan dengan jumlah yang besar. Malah tempoh pembayaran balik juga dipendekkan ke tujuh tahun, dan bukannya sembilan tahun seperti dulu,” katanya. Bagi ramalan TIV tahun ini iaitu 650,000 unit, ia merangkumi 575,250 kenderaan penumpang dan 74,750 kenderaan komersil. Jika dilihat daripada rajah TIV tahun 2015, ia turut dipengaruhi beberapa faktor. Paling nyata ialah syarat pinjaman sewa beli kenderaan yang ketat, di samping keadaan ringgit yang lemah, tekanan pertumbuhan ekonomi global, harga minyak mentah yang tidak menentu dan banyak lagi. Malah dengan keadaan sekarang, MAA turut meramalkan pengguna akan menangguhkan hajat membeli kenderaan baharu. Malah golongan yang berpendapatan rendah juga akan lebih ketara terjejas ekoran bank yang mengetatkan kelulusan pinjaman. “Kadar permohonan pinjaman yang ditolak mungkin boleh meningkat sehingga 30% ke 50%, bergantung pada jumlah pinjaman yang dimohon,” ujar Aishah. Dengan anggaran MAA bagi tahun 2016, mungkin ada faktor positif yang bakal menyumbang memacukan lagi jualan lebih dari 600,000 buah kendeaan. Antara faktor penyumbang tersebut ialah pengenalan beberapa projek infrastruktur besar, seperti peningkatan dan pembangunan lebuh raya baharu seluruh negara. MAA juga percaya kempen promosi yang lebih utuh dan kompetitif oleh syarikat pengeluar kenderaan juga mampu membantu mengekalkan dan memacu perkongsian pasaran mereka dengan menyumbangkan prestasi yang lebih kukuh pada tahun 2016. Malah dengan pengenalan model baharu pada tahun ini juga dilihat mampu menambahkan lagi angka jualan kenderaan. MAA turut memberikan ramalan ringkas untuk tahun 2017 hingga 2020. Tanpa penjelasan yang tepat, MAA percaya industri automotif Malaysia akan terus berkembang dengan lebih konsisten melebihi apa yang diramalkan untuk tahun 2016, iaitu pada kadar antara 2.2% hingga 3.0% setiap satu tahun. Jika ramalan ini tepat, TIV Malaysia bagi jualan kenderaan mampu mencecah 700,000 pada 2019, dan akan terus memberikan prestasi yang lebih tinggi menjelang tahun 2020.
MAA umum Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2015 bagi angka jualan di Malaysia – 666,674 unit
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015, yang dianggap sebagai tahun penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia. Walau bagaimana pun, angka yang diumumkan ini ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014. Menurut kenyataan dari MAA, meskipun dilanda pelbagai isu dan cabaran, angka yang tercatat ini jelas berbeza daripada apa yang pernah diramalkan oleh sesetengah penganalisis. Malah ia juga dilihat sebagai petanda industri automotif tempatan mampu pulih dan telah menghasilkan prestasi yang memberangsangkan. Menerusi jadual angka jualan terbut, menunjukkan prestasi pada bulan Disember 2015 dengan jualan sebanyak 13,309 unit atau 23.7% iaitu lebih tinggi daripada bulan sebelumnya. Malah setakat ini, ia merupakan jumlah bulanan tertinggi bagi tahun lalu. Menurut MAA, prestasi yang kukuh pada bulan Disember disumbangkan oleh kempen promosi yang agresif oleh pemain industri yang tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Disember. Tambahan pula, kebanyakan pengedar turut menawarkan pelbagai insentif sempena Krismas dan Tahun Baru bagi menambahkan lagi sasaran jualan tahunan mereka. Selain itu, faktor kenaikan harga mulai Januari 2016 turut mendorong orang ramai untuk menempah dan membeli kenderaan bagi mengelakkan harga yang lebih tinggi. Pada Oktober 2015, UMW Toyota Motor mula mengumumkan harga baharu bagi kenderaan Toyota dan Lexus iaitu antara 4% hingga 16% mulai Januari 2016. Ia disusuli oleh Honda Malaysia yang turut mengumumkan kenaikan harga. Pada awal bulan ini, Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi telah mengeluarkan harga baharu yang mengalami peningkatan. Malah Proton juga akan menuruti jejak langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina ini. Namun buat setakat ini, Perodua pula masih mengekalkan harga yang sama.
KTM Komuter beroperasi 24 jam sempena Thaipusan
Sempena dengan perayaan Thaipusam ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari bermula 22 hingga 25 Januari ini. Dalam satu kenyataannya hari ini, perkhidmatan tren tanpa henti itu melibatkan 953 perkhidmatan tambahan dengan kekerapan yang membabitkan laluan antara Batu Caves ke Seremban dan laluan Rawang ke Pelabuhan Klang, laporan Bernama. Di mana KTM Komuter akan melanjutkan waktu operasinya selepas waktu perkhidmatan sedia ada dengan menyediakan tren tambahan antara pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi, dengan kekerapan pada setiap sejam pada 22 dan 23 Januari. Manakala pada 24 dan 25 Januari kekerapan tren dipertingkatkan lagi kepada setiap 20 minit. KTM Berhad berkata, perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khasnya kepada yang beragama Hindu serta pelancong untuk berkunjung ke Batu Caves semasa perayaan berlangsung.
Mercedes-Benz GLC Edition 1 diprebiu di Malaysia
Hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan tiga model baharu SUV iaitu GLC, GLE dan GLE Coupe di Kuala Lumpur Performance Arts Centre (KLPAC). Namun antara model-model yang dilancarkan itu, pastinya Mercedes-Benz GLC 250 4Matic Edition 1 pastinya yang paling mendapat perhatian. Ia merupakan model edisi terhad yang turut dipamerkan di KLPAC mulai hari ini sehingga 17 Jan ini. GLC 250 Edition 1 kelihatan benar-benar menyamai model biasa GLC 250. Kedua-duanya ditampilkan dengan kit luaran AMG Line dan rim aloi multi-spoke bersaiz 20-inci. Hanya yang membezakannya ialah logo “Edition 1” yang tertampal pada dapra hadapan. Pada bahagian dalamnya, terdapat beberapa perubahan dilakukan. GLC 250 Edition 1 ini menerima rekaan dua-tona platinum white pearl di atas warna hitam kulit nappa. Manakala kekemasan kayuan berwarna hitam masih dikekalkan, bersama dengan longitudinal-grain aluminium pada papan pemuka dan stereng. Logo rekaan Designo juga terdapat pada perehat belakang pada tempat duduk hadapan dan belakang. Sementara pada panel pintu dan perehat tangan pada pintu turut menerima bentangan upholstery berwarna putih mutiara dengan rekaan berlia bersama jahitan putih. Pada perehat tangan bahagian tengah pula menerima kekemasan jahitan putih. Manakala jahitan kelabu kristal pula melatari bahagian papan pemuka, yang dibalut dengan kulit Artico buatan tangan berwarna hitam. Karpet lantai berwarna hitam dengan logo “Edition 1” juga menyerlahkan lagi gaya eksklusif model ini. Selebihnya, ia menyamai ciri yang ada pada GLC 250 4Matic. Berkenaan dengan harganya, MBM masih belum mengesahkan namun ia akan diumumkan apabila model ini bersedia untuk memasuki pasaran.
Setiawangsa-Pantai Expressway (DUKE 3) diuruskan oleh Ekovest Bhd – sepanjang 32km, siap tahun 2020
Bagi melaksanakan pembinaan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) atau DUKE 3, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan. Perjanjian tersebut untuk mereka bentuk, membangun, mengendali, mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai DUKE Fasa 3, menurut laporan Utusan Malaysia. Menurut Ekovest, SPE akan menjadi lebuh raya pertama di Malaysia yang direka menampung penuh sistem tol elektronik dan dijangka menggunakan sistem aliran bebas pelbagai laluan semasa pembukaannya pada 2020. SPE akan dibina sepanjang 35 km, menghubungkan bahagian utara dan selatan KL. Kawasan yang terlibat ialah Universiti Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang, Lebuhraya Bertingkat Tun Razak dan koridor Bandar Malaysia serta Kerinchi.
Penutupan jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang diteruskan selama 15 malam mulai esok hingga 31 Jan
MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan notis pemberitahuan berhubung penutupan jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang akan diteruskan selama 15 malam iaitu dari 15 hingga 31 Januari ini. Jalan berkenaan akan ditutup di dua bahagian iaitu Penutupan A dan Penutupan B, dari jam 11 malam hingga 6 pagi secara sekejap-sekejap untuk membolehkan kerja penyudah dan mengecat dilakukan terhadap Tiang Penyambut 55 – Tiang Penyambut 57 SBG (Lintasan Khas). Menurut syarikat itu, penutupan A melibatkan jalan sepanjang 200 meter di KM18, Lebuhraya Cheras di mana dua lorong akan dibuka kepada kenderaan dari Kuala Lumpur ke Kajang. Sebagai alternatif, kenderaan boleh menggunakan jalan susur ke Bukit Dukung/Taman Koperasi Cuepacs dan Jalan Cheras Lama untuk ke Kajang. Penutupan B pula melibatkan penutupan laluan sepanjang 400 meter dari KM18.2 ke KM17.8 di Lebuhraya Cheras-Kajang. Sepanjang penutupan itu, pemandu dari arah Kajang menghala ke Kuala Lumpur dinasihatkan supaya membelok ke jalan susur untuk ke Jalan Kampung Bukit Dukung dan belok ke kiri bagi memasuki semula Lebuhraya Cheras-Kajang (Lebuhraya Grandsaga) untuk menuju ke Kuala Lumpur. Sumber foto : Laman web MRT
Perancangan Proton 2016 – Empat model baharu, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan
Tahun ini merupakan tahun yang penuh mencabar bagi Proton, bagi mengotakan janji untuk langkah pemulihan selepas perkembangan yang kurang memberangsangkan pada 2015 lalu. Syarikat pengeluar kenderaan nasional ini hanya mencapai jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun lalu, berbanding mensasarkan sebanyak 115,000 unit pada tahun sebelumnya. Di mana keadaan ini “tidak begitu bagus” menurut CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah. Oleh itu, Proton telah nekad untuk memperkenalkan produk baharu dan yang jauh lebih baik berbanding yang sedia ada termasuklah perkhidmatan selepas jualan bagi jenama ini. Sebagai mengotakan janji, syarikat ini akan memperkenalkan empat model baharu, di mana seperti yang kita ketahui, tiga daripadanya adalah Perdana, Persona dan Saga, dan satu lagi merupakan model hasil kerjasama di antara Proton dan Suzuki. Bagi Perdana di bawah segmen-D, ia dibangunkan berdasarkan platform generasi ke-lapan Honda Accord, dan ia bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Manakala Iriz yang menggunakan platform Persona pula akan memasuki pasaran segmen-B iaitu bersaing dengan Toyota Vios, Honda City dan Mazda2 Sedan, juga akan dilancarkan tidak lama lagi. Bagi Saga pula, ia masih menggunakan platform yang sama dengan model sedia ada, tetapi akan diberi suntikan yang lebih segar dan terkini. Bagi model yang masih belum didedahkan iaitu hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki, ia dijangka diperkenalkan sebelum tahun 2016 berakhir. Walau bagaimana pun, Proton masih belum mendedahkan perinciannya, tetapi kemungkinan ia akan berada di bawah segmen-A. Mungkin ia merupakan model rebadged bagi Alto atau Celerio? Datuk Harith berkata, model baharu ini akan menggunakan teknologi dan elemen keselamatan standard tetapi dengan harga yang berpatutan. Menurutnya lagi, ia adalah penting bagi memastikan produk ini bersedia “dengan teknologi dan kualiti terbaik”, selain mengekalkan harga yang kompetitif bagi jenama ini. Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata Proton akan meneruskan nama model sedia ada termasuk Perdana, Persona dan Saga, seperti mana yang dilakukan oleh Toyota dan Honda yang membangunkan model baharu tetapi mengekalkan nama yang sama. Bagi membangunkan model baharu ini, Proton telah membelanjakan sebanyak RM2.20 bilion sejak dua tahun yang lalu, bagi peringkat kajian dan pembangunan termasuk membangunkan enjin baharu. Sebelum ini, Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, berkata Proton mencari pengganti bagi enjin CamPro dengan enjin suntikan-terus baharu berkapasiti 1.3 dan 1.5 liter, bagi bentuk pengecas turbo dan aspirasi-semulajadi Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, sememangnya ada kelemahannya bagi jenama ini. Namun Datuk Harith berkata, mutu perkhidmatan tersebut akan dipertingkatkan, malah syarikat ini hanya akan menambah pengedar 3S dan 4S bagi rangkaian jualan dan servisnya. Dengan penambahan sebanyak 29 pusat servis Suzuki yang telah diambil alih oleh Proton dan ditukarkan menjadi Proton Edar iaitu sebahagian daripada kerjasama Proton-Suzuki, kini rangkaian edaran Proton bagi pusat 1+1S, 2S dan 3S bertambah menjadi 105. Di mana Datuk Harith berkata, ia membuatkan Proton memiliki rangkaian edaran yang lebih mantap untuk menyokong kehadiran model baharu. Selain itu, Proton juga dalam perancangan untuk menggunakan kapasiti sepenuhnya bagi kilangnya di Tanjung Malim dan Shah Alam, yang berkeupayaan memproduksikan sehingga 300,000 unit kenderaan setahun. Syarikat ini turut mensasarkan untuk menghasilkan sebanyak 150,000 unit kenderaan pada tahun ini, iaitu bagi meningkatkan jualan sebanyak 50%. Bukan itu sahaja, Proton juga berazam untuk meningkatkan nilai dan keyakinan terhadap jenama, dengan memberikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik serta mempergunakan tekologi Suzuki sepnuhnya bagi model-model yang akan datang. Dengan kerjasama antara pakar kereta bersaiz kecil dari Jepun ini, diharap jenama ini mamou melangkah lebih cemerlang dan memberikan persaingan lebih jitu buat para pesaingnya. “Kami amat yakin bahawa tahun 2016 ini akan menjadi tahun yang lebih baik bagi Proton. Sekali gus menjadi titik perubahan baharu bagi Proton,” ujar Datuk Harith.
CEO Proton: kecewa jualan Iriz kurang memberangsangkan akibat pinjaman kadar rendah yang sukar diluluskan; teknologi Iriz bakal dinaiktaraf
Walau pun Proton Iriz telah diperkenalkan pada September 2014 dan bersaing dengan Perodua Myvi bagi pasaran segmen-B, namun nampak gayanya nasib kurang menyebelahi model hatchback terbaharu Proton itu. Di mana prestasi jualannya sedikit perlahan berbanding pesaingnya. Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton, berkata, penjualan Iriz sedikit perlahan walau pun ia diterima di dalam pasaran. Beliau berpendapat, perkara ini didorong oleh pinjaman bank yang yang sukar untuk diluluskan bagi amaun yang agak rendah. Katanya, “Itu sebabnya Proton kini bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi menangani masalah ini.” Beliau turut menambah, Proton mensasarkan jualan bagi Iriz antara 4,000 hingga 5,000 unit sebulan, namun kini ia hanya dijual sekitar 2,500 unit sebulan sahaja. Ketika ditanya, adakah Proton bakal memperkenalkan elemen baharu bagi model akan datang, Harith menjawab, ia juga akan dilakukan pada Iriz. “Bagi model sedia ada hari ini, ada sesetengahnya akan digantikan dengan model serba baharu, yang kini telah pun berada dalam perancangan. Sesetengahnya akan diperkenalkan tahun ini.” Sambungnya lagi, “Bagi Iriz, ia terlalu baru lagi, tetapi mungkin kita akan menaik tarafnya atau melakukan penambah baikan dari segi teknikal pada tahun ini.” Terdapat perkhabaran yang mengatakan, Proton sedang menambah baik NVH bagi Iriz dengan pemegang enjin baharu, seperti mana kotak gear CVT yang dinaik taraf. Ini termasuk bagi varian turbo yang mungkin bakal diperkenalkan, seperti mana yang pernah dipamerkan dalam Alami Proton pada tahun lalu. Rasa-rasanya, apakah perubahan atau pun penambah baikan yang anda inginkan pada model Iriz versi facelift? Adakah dengan pilihan kotak gear manual? Kongsikan bersama kami.
CEO Proton: Harga mungkin akan naik selepas CNY
Disebabkan kemelesetan pertukaran mata wang asing di peringkat global yang agak menjejaskan Ringgit Malaysia, banyak industri agak terjejas disebabkan peningkatan kos pengeluaran. Industri automotif juga tidak ketinggalan terkena tempias yang sama, malah kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan telah mula menaikkan harga bagi model kenderaan masing-masing. Ini termasuklah Honda, Toyota, Lexus dan Audi. Dalam majlis menandatangani pengambilan 29 pusat servis Suzuki oleh Proton pada pagi ini, CEO nya, Dato’ Abdul Harith Abdullah turut mengumumkan kemungkinan besar syarikat ini bakal mengambil langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina (CNY) ini. “Perkara ini tidak dapat dielakkan dan ia akan diumumkan selepas CNY tidak lama lagi. Jadi bagi anda yang ingin membeli kenderaan Proton, saya sarankan anda membelinya sekarang sebelum kami umumkan kenaikan harga,” ujar Harith. Malah Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed turut menjelaskan, perkara ini adalah disebabkan kemerosotan ringgit di mana pembuat kereta nasional harus membayar lebih bagi komponen yang diimport atau perkhidmatan. Di mana kadar pertukaran mata wang asing bagi USD$1 kini bersamaan sekitar RM4.40 berbanding RM3.00 sebelum ini. Dengan kos yang tinggi bagi memproduksikan kenderaan secara tidak langsung memberikan kesan terhadap harga model berkenaan. Tun Dr Mahathir juga mendakwa, bukan setakat Proton sahaja yang terpaksa menanggung kesan akibat kejatuhan ringgit ini, malah banyak jenama pengeluar kenderaan lain turut berhadapan dengan realiti ini. Buat masa ini, pengeluar kenderaan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan harga sedia ada selama yang termampu.
Proton-Suzuki bakal memproduksikan model kerjasama baharu sebelum 2016 berakhir
Pada 15 Jun 2015 lalu, Proton dan Suzuki telah menandatangani Memorandum persefahaman (MOU) bagi penghasilan model baharu kenderaan dengan rekaan dan teknologi tersendiri. Selain daripada teknologi, Kerjasama ini adalah bagi perkongsian kepakaran bagi penghasilan model kenderaan enjin berkapasiti kecil, terutamanya bagi segmen A dan B. Menerusi pembangunan hasil daripada kerjasama ini, secara tidak langsung memberikan peluang kepada Proton untuk memanfaatkan kekuatan Suzuki, yang mana mampu memaksimumkan potensi pengeluaran, memasarkan produk tepat pada masanya. Ia mampu dicapai menerusi perkongsian teknologi dan keupayaan mengekalkan penjimatan kos. “Kerjasama ini dilihat sebagai satu lagi langkah bagi Proton untuk bergerak lebih progresif dan mengembangkan lagi rangkaian edaran, vendor, kemahiran tenaga kerja, perkongsian platform dan teknologi,” ujar Dato’ Abdul Harith Abdullah, CEO Proton. Beliau turut menambah Proton juga berbesar hati apabila mendapat sokongan penuh daripada kerajaan atas usahasama ini sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP). Ujarnya lagi, “Suzuki diharap dapat membantu Proton bagi meningkatkan lagi kedudukan kami di dalam industri ini. Sekali gus dapat memacu Proton dalam membangunkan dan menghasilkan model kereta yang menepati standard dan piawaian antarabangsa.” Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Proton akan menggunakan kelebihan yang ada pada Suzuki termasuk pembangunan model, platform, penjana kuasa dan teknologi automotif yang ada. Di mana Suzuki akan memberikan bantuan teknikal yang lebih spesifik untuk penghasilan produk yang direncana. Sebelum ini Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamed pernah berkata, penghasilan kenderaan ini akan memfokuskan kenderaan kompak terlebih dahulu dengan kapasiti enjin yang disasarkan iaitu 1.0 liter memandangkan Suzuki ada menghasilkan kenderaan kompak dengan enjin dengan kapasiti yang lebih rendah. Malah Suzuki tidak memasarkan kenderaan dengan enjin berkapasiti itu di Malaysia. Produksi bagi model kerjasama ini akan dimulakan sebelum akhir 2016 di kilang Proton yang terletak di Tanjung Malim.
Kesemua 29 pusat jualan Suzuki kini bertukar menjadi Proton Edar – jualan bagi jenama Suzuki ditamatkan
Hasil daripada jalinan usahasama dengan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd, Proton Holdings Bhd telah mengumumkan pengambilalihan 29 pusat servis Suzuki iaitu 25 daripadanya merupakan pusat servis 3S dan empat 4S. Seperti mana sedia maklum, Suzuki kini tidak lagi berkhidmat di Malaysia. Dengan itu, kesemua pusat servis terbabit kini ditukar menjadi antara cawangan Proton Edar tetapi akan mempamerkan kedua-dua logo iaitu Proton dan Suzuki. Walau bagaimana pun, ia akan terus menyalurkan perkhidmatan menyelenggara dan membaiki bagi sejumlah 48,000 kenderaan milik pelanggan Suzuki sedia ada di Malaysia. Pengambilahan ini turut membuka peluang kepada para pengedar Suzuki untuk mengembangkan perniagaan mereka termasuk menjual model Proton. Malah ramai pengedar Suzuki turut meluahkan perasaan teruja untuk menjual kenderaan Proton. Menurut CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, perkara ini adalah susulan daripada perjanjian sefahaman yang ditandatangani pada 15 Jun 2015 iaitu di antara Proton, DRB-Hicom dan Suzuki. “Kerjasama ini dilihat sebagai satu lagi langkah bagi Proton untuk bergerak lebih progresif dan mengembangkan lagi rangkaian edaran, vendor, kemahiran tenaga kerja, perkongsian platform dan teknologi,” ujar Harith. Pengarah Urusan Suzuki Automobile Malaysia Sdn Bhd (SMA) Masashi Fukuda pula berkata, “SMA sangat berbangga dapat berkhidmat untuk pelanggan di Malaysia sejak lebih sedekad yang lalu. Pengambilalihan bilik pameran Suzuki sedia ada ini dengan Proton dilihat mampu memantapkan lagi perkhidmatan selepas jualan seperti mana yang dikehendaki oleh para pelanggan kami.” Pemilik kenderaan sedia ada Suzuki kini boleh terus mendapatkan perkhidmatan selepas jualan dan pelindungan waranti termasuk alat ganti tulen Suzuki di semua pusat servis yang terbabit. “Dengan penambahan 29 pusat servis 3S dan 4S baharu ini, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi rangkaian Proton dan memperhebatkan lagi komitmen kami bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan,” akhiri Harith.
TIP: Elakkan insiden kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan berkunci
Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang. Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka. Kejadian seumpama ini bukannya pertama kali berlaku di negara kita. Ia telah banyak kali berlaku, namun terdapat segelintir ibu bapa yang masih tidak mengambil iktibar di sebalik kejadian ini. Banyak alasan tercipta, antaranya, “Enjin hidup tetapi tiba-tiba kenderaan terkunci secara automatik”. Memang benar, namun ia sudah mengundang padah! Sedar atau tidak, insiden sebegini sebenarnya mampu mengancam nyawa anak-anak anda. Jika terperangkap dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami sesak nafas dan strok haba (heat stroke) akibat kekurangan oksiden dan kepanasan melampau. Jadi, untuk golongan ibu bapa, sila ambik berat mengenai perkara ini. Usah abaikan keselamatan dan nyawa anak-anak anda. Apa yang paling penting ialah jangan sesekali meninggalkan bayi dan kanak-kanak kecil sendirian tanpa pengawasan penumpang dewasa atau kanak-kanak yang sudah mampu berdikari, tidak kira di mana sahaja termasuk di ruang parkir, stesen minyak, kedai dan sebagainya. Walau pun mungkin anda membuka sedikit cermin tingkap untuk aliran udara atau pun membiarkan enjin kenderaan hidup dengan penghawa dingin terpasang, atau pun dengan alasan, “sekejap saja!”, tindakan anda itu mampu mengundang padah. Ingat, malang tidak berbau! Selain itu, jadikan sebagai tabiat untuk memeriksa bahagian tempat duduk belakang sebelum anda mengunci pintu dan meninggalkan kenderaan anda. Pernah ada kejadian, seorang ibu tidak menyedari kehadiran anaknya di bahagian tempat duduk belakang dan meninggalkan kenderaan terbabit dalam tempoh yang agak lama. Sekembalinya ke kenderaan terbabit, didapati anaknya sudah tidak bernyawa kerana mengalami sesak nafas. Kanak-kanak tersebut dipercayai tertidur di bahagian tempat duduk belakang dan tidak disedari oleh ibunya. Malah, untuk golongan masyarakat pula, kepekaan dan keprihatinan anda juga amat wajar diperlukan. Keselamatan dan pelindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua pihak. Jika anda terlihat ada bayi atau kanak-kanak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan, sila perhatikan keadaannya. Jika bayi atau kanak-kanak terbiar tanpa pengawasan dengan keadaan enjin kenderaan yang dimatikan (sudah pasti penghawa dingin juga tidak dihidupkan), sila dapatkan bantuan segera. Seandainya ibu atau bapa bayi atau kanak-kanak terbabit tidak datang dengan kadar segera, sila hubungi pihak berkuasa, sama ada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam atau agensi keselamatan lain untuk tindakan lanjut. Sekiranya didapati bayi atau kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom strok haba seperti kulit bertukar kemerah-merahan (apa yang anda lihat dan ia mungkin membahayakan nyawa si kecil itu), mungkin tindakan anda memecahkan/mengumpil cermin tingkap kenderaan terbabit ‘harus dimaafkan’ kerana ia bertujuan untuk menyelamatkan nyawanya. Itu pun sekiranya bantuan kecemasan mungkin lambat tiba, namun disarankan anda mendapatkan bantuan polis peronda atau penguatkuasa berhampiran. Namun sekiranya anda terlihat ada si kecil yang bersendirian di dalam kenderaan dengan enjin hidup dan penghawa dingin berfungsi, dinasihatkan agar anda berada berhampiran kenderaan terbabit untuk memantau keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut sehinggalah ibu atau bapanya tiba. Waima, meninggalkan si kecil dalam keadaan ini memang merbahaya dan mampu mengancam keselamatanya sendiri. Jadi sebagai seorang dewasa, walau pun anda mungkin tidak mengenali si kecil atau ibu bapa terbabit, apa salahnya anda bersikap prihatin memantau keadaan tersebut. Manalah tau, bimbang ada perkara yang tidak diingini berlaku pula. Dalam cuaca panas terik El Nino yang melanda negara kita sekarang ini, adalah tidak wajar meninggalkan si kecil atau pun sesiapa sahaja di dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan. Ini kerana ia boleh menyebabkan gejala strok haba. Menurut pakar perubatan, antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Selain itu, tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam. Di mana suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian. Ingat, jika ia membabitkan keselamatan dan nyawa, tiada kompromi mengenainya! Jadilah seorang masyarakat yang prihatin!
PANDU UJI: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G di Melbourne – bakal dilancarkan 8 Dis ini, adakah ia berbaloi?
The English version of this story: DRIVEN: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G in Melbourne, was published on 26 September 2015. Sejak lima tahun kebelakangan ini, pasaran crossover segmen-B semakin menarik perhatian. Pengeluar telah lama memberikan petanda bahawa dengan gabungan supermini dan SUV, hatchback yang lebih tahan lasak ini akan menjadikan jentera sebegini seakan produk yang cukup sempurna. Mengimbas sejarah dahulu pada ketika Nissan Juke dilancarkan pada tahun 2010, para pengkritik tidak dapat menerima pengayaan yang ekstrovert, tetapi pembeli menyukainya dan ternyata jualan yang diperoleh jauh mengatasi jangkaan Nissan sendiri. Sejak itu, beberapa pesaing mula mengambil langkah yang sama, terutamanya di Eropah, di mana permintaannya begitu mendadak dalam masa yang agak singkat. Tetapi situasi di Malaysia sangat berbeza. Di sini, Juke tidak pernah dipasarkan, walau bagaimana pun beberapa pesaingnya termasuk Peugeot 2008 dan Ford EcoSport memasuki pasaran tempatan, sayangnya kedua-duanya tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan. Tetapi selepas memandu uji Honda HR-V pada awal tahun ini, kami mendapati bahawa ia memberikan praktikaliti yang mengagumkan dan rasa pemanduan yang memberangsangkan. Malah kami menjangkakan ia bakal memperoleh sambutan yang memberangsangkan apabila memasuki pasaran kita. Dan ternyata, ia menjadi kenyataan apabila HR-V berjaya memperoleh jualan sebanyak 16,115 unit sejak ia dilancarkan bulan Februari lalu, dengan tarikh menunggu selepas tempahan sehingga enam bulan pada satu ketika. Hari ini, semakin banyak syarikat pengeluar kenderaan saling berlumba-lumba untuk bersaing dengan Honda, menghasilkan SUV dari kelas yang lebih besar (termasuk Mazda CX-5 GL dan Kia Sportage 2WD) dan juga dari kelas yang sama (seperti Renault Captur yang merupakan crossover terlaris di Eropah). Namun masih tiada yang mampu mencabar kedudukan HR-V setakat ini, melainkan Mazda CX-3 baharu yang mempunyai senarai spesifikasi yang banyak serta mungkin boleh dianggap sebagai pencabar terdekat. Tetapi adakah ia benar-benar mampu mengugat kedudukan Honda? Kami telah memandu ujinya di Melbourne untuk mengetahui adakah ia menepati citarasa penggemar crossover di Malaysia. Baca artikel sepenuhnya.