title
int64
4
3.51k
body
stringlengths
18
82.3k
3,235
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ada terbaca pasal berkenaan dengan hadis 99 nama Allah yang mana dalam hadis itu menyatakan sesiapa yang menghitung 99 nama tersebut akan masuk syurga. Jadi, adakah maksud menghitung ini dengan hanya semata-mata mengira atau bagaimana. Mohon pencerahan pihak Datuk. Terima Kasih. Ringkasan Jawapan: Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat  makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Pandangan yang paling kuat (rajih) di sisi Imam al-Syairazi ialah makna yang pertama dan kedua. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT. Huraian Jawapan: Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda SAW. Berkenaan dengan persoalan yang diajukan, ia merujuk kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari: 2736) Secara umumnya hadis tersebut menyatakan bagi nama Allah SWT yang mempunyai 99 nama dan kelebihan bagi mereka yang menghitunganya. Oleh itu, para ulama telah metafsirkan maksud ‘menhitung’ tersebut kepada beberapa wajah. Pertama: Mengira dan Menghafal Sheikh Badruddin al-‘Aini menaqalkan di dalam syarahnya pandangan al-Khatabi yang mana beliau mendefiniskan kalimah ‘menghitung’ itu dengan maksud membilang satu persatu nama-nama Allah meliputi keseluruhan dan tidak mengurangkan sesetengah dari nama-nama tersebut.[1] Manakala menurut kitab Faidhul Bari, maksud kalimah ‘أحصى’ ialah dengan makna menghafal yang mana ia juga merupakan makna yang diberi oleh ahli-ahli hadis.[2] Selain itu, terdapat juga dalam riwayat yang lain yang menggunakan lafaz ‘حفظ’ seperti yang dinyatakan oleh Imam Muslim melalui hadis Abu Hurairah, yang mana Rasulullah SAW bersabda: لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا، مَنْ حَفِظَهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ Maksudnya: “Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, sesiapa yang menghafaznya akan masuk syurga.” (Sahih Muslim: 2677) Kedua: Beriman dan Melaksanakan Kewajipan: Di dalam karya Sheikh Badr al-Din al- ‘Aini, kalimah ‘أحصى’ juga ditafsirkan dengan maksud beriman yang mana ia merujuk kepada melaksanakan hak-haknya seperti beramal dengan maksud yang terkandung di dalam nama-nama tersebut. Dengan kata lain, perlu mengambil pengajaran daripadanya dan melazimi dirinya dengan kewajipan tersebut.[3] Ketiga: Mengenali dan memahami makna: Al-Khattabi juga turut menghuraikan maksud daripada kalimah ini dengan makna mengenali dan memahami dalam masa yang sama memikirkan makna-makna kalimah tersebut.[4] Begitu juga al-Syairazi mentakrifkannya dengan orang yang mengetahui dan memahami makna-makna nama Allah SWT.[5] Keempat: Membacanya di dalam al-Quran: Maksud ini merujuk kepada pandangan Imam Ibn Qayyim yang dinukilkan oleh Sheikh Badr al-Din di dalam syarahnya: (من أحصاها) من قَرَأَ الْقُرْآن حَتَّى يختمه فيستوفي، أَي: من حفظ الْقُرْآن الْعَزِيز دخل الْجنَّة، لِأَن جَمِيع الْأَسْمَاء فِيهِ Maksudnya: “(Sesiapa yang menghitung) sesiapa yang membaca al-Quran sehingga mengkhatamkannya serta meliputi kesemuanya, iaitu bagi sesiapa yang menghafaz al-Quran akan memasuki syurga kerana kesemua nama terhimpun di dalamnya.” (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari: 12/22)   Berdasarkan definisi dan pendapat-pendapat yang telah dinyatakan, Imam al-Syairazi teah mentarjihkan bahawa maksud menghitung (أحصى) tersebut dengan dua makna. Makna pertama ialah membaca dan menghafaz seperti dalam padangan pertama manakala makna kedua pula beramal dan beriman dengan nama-nama tersebut.[6] Kesimpulan: Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Dari sudut pentarjihan pula, yang ditarjihkan ialah wajah pertama dan kedua dikategorikan dengan makna kalimah tersebut. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT. Wallahu A’lam..   Rujukan:  [1] Al-‘Aini, Badr al-Din. (T,T). ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy. Jilid 14 hlm 22. Teks Asal: قَالَ الْخطابِيّ: الإحصاء يحْتَمل وُجُوهًا: أظهرها: العدّ لَهَا حَتَّى يستوفيها، أَي: لَا يقْتَصر على بَعْضهَا [2] Al-Kasymiri dan al-Deobandi, Muhammad Anwar Shah bin Mu‘azzam. 2005. Faidhul Bari ‘ala Sohih al-Bukhari. Tahkik: Muhammad Badr ‘Alam al-Mairathi. Cetakan 1, Lubnan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jilid 4, hlm 125. Teks Asal: أي مَنْ حَفِظها، وهو المرادُ عند المُحدِّثين [3] ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy Jilid 14 hlm 22. Teks Asal: الإطاقة، أَي: من أطَاق الْقيام بِحَقِّهَا وَالْعَمَل بمقتضاها، وَهُوَ أَن يعْتَبر مَعَانِيهَا وَيلْزم نَفسه بواجبها [4] Ibid, j14 hlm22. Teks asal:  وَثَالِثهَا: الْعقل، أَي: من عقلهَا وأحاط علما بمعانيها [5] Al-Syairazi, al-Hussain bin Mahmud al-Hassan. 2012. Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. Tahkik: Lajnah Mukhtassah. Dar al-Nawadir. Jilid 3, hlm149. Teks asal: معنى الإحصاء: العقل والمعرفة؛ يعني: من عرف وعقل معانيها [6] Ibid, jilid 3, hlm 149. Teks Asal: فإذا عرفت هذا فالمختارُ هو الوجه الأول والثاني، وعلى الوجه الثاني يحتاجُ قارئُها إلى معرفة معانيها؛ ليعتقدها ويعمل بموجبها
3,238
Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara ini. Lantaran itu, tiada dalam sejarah negara kita, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah rigid yang menyusahkan. Sebaliknya ajaran Islam itu disampaikan dan disebarluaskan oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah wasatiyyah sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan seperti raja sehingga kepada rakyat jelata.        2. Sebagai satu-satunya institusi kefatwaan di peringkat Wilayah Persekutuan, kami menggalas tanggungjawab bagi mengangkat                   prinsip-prinsip wasatiyyah dengan membawa mesej keharmonian dan keamanan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam di negara         ini. Bahkan sumbangan kami dalam hal ini semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat institusi Islam terkemuka di               peringkat antarabangsa. Antaranya adalah seperti berikut:   Pada 12 Mac 2017, kami dijemput menghadiri dan membentangkan kertas kerja berjudul, “Peranan Pemimpin dan Tokoh agama dalam menyebarkan Thaqafah Islam” dalam Seminar "Peranan Pemimpin dan Pembuat Keputusan Dalam Menyebarkan Budaya Keamanan Bagi Memerangi Terorisme dan Cabaran-Cabaran Lain", di Kaherah, Mesir anjuran Kementerian Waqf, Mesir.   Pada 17-19 Oktober 2017 di Kaherah, Mesir, kami dijemput menghadiri dan membentang kertas kerja dalam Muktamar Peranan Fatwa Dalam Keamanan Masyarakat atas jemputan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Negara Mesir). Muktamar yang dihadiri oleh 63 orang perwakilan daripada pelbagai negara Islam tersebut telah menghasilkan 10 resolusi, yang antara lain mengusulkan agar mengkaji dan memantau fatwa-fatwa yang meragukan (syaz) yang dikeluarkan oleh golongan pelampau dan membentangkan jawapan segera bagi menangani fatwa-fatwa meragukan yang tersebar dengan pantas.   Pada 16 Januari 2018, kami dijemput oleh al-Imam al-Akbar, Syeikh al-Azhar menghadiri persidangan bermatlamat menyatakan solidariti dalam mempertahankan kesucian Baitul Maqdis anjuran Universiti al-Azhar yang dihadiri oleh para ulama’ dari seluruh dunia.   Pada 12-15 April 2018, kami dijemput menyertai Persidangan Antarabangsa Keempat Pemikiran Sufi Menurut Shaikh Ma’al-‘Aynayn (Multaqa al-Dauli al-Rabi’ li al-Fikr al-Sufi li al-Shaikh Ma’al-‘Aynayn) di Marocco anjuran Mu’assasah al-Shaikh Ma’al-‘Aynayn li al-‘Ulum wa al-Turath. Persidangan ini diadakan bertujuan menghimpunkan semua tarekat sufiyyah tanpa mengira perguruan dan zawiyah. Tema persidangan adalah Tasawuf: Benteng Menentang Kerapuhan Iman: Jaminan kepada Keamanan Rohani (al-Tasawwuf: Tiryaqun Dhidh Hashashat al-Iman; Dhaman li al-Amn al-Ruhi). Ia bertujuan untuk mengembalikan peranan tasawuf sebagai satu-satunya ilmu yang boleh menciptakan keamanan dalam kalangan manusia, bermula dengan keamanan dan ketenangan yang tercapai di dalam jiwa seseorang. Ini sekaligus dapat mengujudkan sebuah dunia yang selamat dan terhindar daripada segala perlakuan ganas dan fahaman golongan pelampau.   Pada 1-3 Mei 2018, kami dijemput menghadiri dan membentangkan kertas kerja oleh Kerajaan Indonesia dalam persidangan High Level Consultation of Muslim Scholar on Wasatiyyat Islam bertempat di Bogor, Indonesia yang dihadiri oleh ulama dunia termasuk Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad Toyyib. Antara resolusi yang dicapai ialah; Mengakui realiti peradaban moden saat ini yang menunjukkan kekacauan, ketidakpastian dan akumulasi kerosakan global yang diparahkan lagi oleh kemiskinan, buta huruf, ketidakadilan, diskriminasi, dan berbagai bentuk keganasan sama ada di peringkat nasional dan global; Meyakini Islam sebagai agama damai dan rahmat, agama keadilan, dan agama peradaban yang ajaran dan asas dasarnya mengajarkan cinta, belas kasih, harmoni, persatuan, kesetaraan, kedamaian dan kesopanan.   Islam merupakan sebuah agama yang sangat mengambil berat terhadap konsep keamanan. Dalam Islam konsep keamanan adalah berdasarkan kepada sistem dan doktrin Islam yang menyeluruh melibatkan alam sejagat, kehidupan dan kemanusiaan. Konsep yang dianjurkan itu melahirkan satu sistem atau organisasi yang sihat yang benar-benar praktikal dan menyelesaikan permasalahan ummah seluruhnya.   Pada hakikatnya, ajaran Islam memberi keutamaan terhadap keamanan dalam jiwa individu terlebih dahulu dengan membawa prinsip keEsaan Allah SWT kerana daripada-Nyalah kehidupan ini bermula dan kepada-Nyalah juga manusia kembali. Ini agar keamanan yang ada dalam jiwa individu boleh dibawa ke dalam keluarga dan seterusnya ke dalam masyarakat dan akhirnya dalam hubungan sejagat dan global.   Berdasarkan asal-usul manusia yang sama, maka ajaran Islam menegah sama sekali segala bentuk diskriminasi terhadap bangsa dan agama. Oleh yang demikian, tidak sewajarnya berlaku permusuhan dan pertelingkahan dalam kalangan golongan yang beriman kerana mereka bukan sahaja bersatu dari segi kemanusiaan, malah berada dalam keyakinan yang sama iaitu kepercayaan kepada Allah SWT dan rukun iman yang lain. Dalam Islam, keamanan adalah ketetapan, manakala peperangan, pertelingkahan dan perbalahan adalah pengecualian. Keamanan inilah yang akan menjadi permulaan kepada wujudnya keharmonian alam sejagat.   Namun demikian, kehendak Allah SWT mengatasi segala-galanya. Antara punca terbesar konflik yang berlaku sesama umat Islam adalah salah faham terhadap agama yang dianuti. Bukan agama itu yang salah, tetapi cara memahami agama itu yang salah. Tiada lagi kesederhanaan (tawassut), sebaliknya ummah terjurus kepada ifrat (terlalu rigid) dan tafrit (terlalu longgar), ghuluw (melampau) dan tasahul (mengambil mudah). Ini semua terzahir melalui cara mereka berfikir dan bertindak.   Ketaksuban dan kefanatikan telah menjadi sebahagian sikap umat Islam. Istilah taksub atau ta’assub dalam bahasa Arab bermaksud sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan perkataan fanatik. Lawan kepada taksub ialah tasamuh atau toleransi. Tasamuh diertikan dengan kelapangan dada, keluasan fikiran dan kesabaran.   Tanpa syak lagi, sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah s.w.t sejak zaman umat terdahulu lagi. Allah s.w.t berfirman: قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٖ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرٗا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٧٧ “Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang Telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka Telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”. (Al-Maidah: 77)   Sikap melampau-lampau juga diistilahkan dengan ghuluww, tanattu’ dan tasydid. Sikap sebegini bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh Islam. Allah SWT berfirman:   وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ “Dan demikian (pula) kami Telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. (Al-Baqarah: 143)   Tabiat pemikiran sebegini amat berbahaya jika tidak dibendung. Ia menjadi punca utama berlakunya tindakan yang digelar al-irhab dalam bahasa Arab. Orang yang melakukannya disebut irhaby, manakala fahamannya disebut irhabiyyah atau terorisme dalam bahasa masyarakat dunia pada hari ini.   Terorisme didefinisikan sebagai tindakan kejahatan terhadap kemanusiaan dan peradaban yang menimbulkan ancaman serius terhadap kedaulatan negara, bahaya terhadap keamanan, perdamaian dunia, serta merugikan kesejahteraan masyarakat. Terorisme adalah salah satu bentuk kejahatan yang diorganisasi dengan baik (well organized), bersifat transnasional dan digolongkan sebagai kejahatan luar biasa (extra-ordinary crime) yang tidak membeza-bezakan sasaran (indiskriminative).   Justeru, syariat Islam amat tegas dalam memerangi terorisme dan keganasan. Dalam konteks syariah, perbuatan tersebut termasuk salah satu daripada jenayah hudud di bawah kategori hirabah. Ia perbuatan yang menimbulkan kekacauan dalam masyarakat sehingga menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. Ia mencakup perbuatan merusuh, mengancam bunuh, mengebom diri sendiri di tengah-tengah masyarakat awam dan seumpamanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah: 33-34:   إِنَّمَا جَزَٰٓؤُاْ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓاْ أَوۡ يُصَلَّبُوٓاْ أَوۡ تُقَطَّعَ أَيۡدِيهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَٰفٍ أَوۡ يُنفَوۡاْ مِنَ ٱلۡأَرۡضِۚ ذَٰلِكَ لَهُمۡ خِزۡيٞ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ٣٣ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِن قَبۡلِ أَن تَقۡدِرُواْ عَلَيۡهِمۡۖ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣٤ “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara berselang atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan akhirat mereka beroleh siksaan yang besar, kecuali orang-orang yang bertaubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka. Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”     Sesungguhnya, tiada yang dapat menghentikan tindakan terorisme, keganasan atau irhab sedemikian kecuali dengan mengembalikan umat Islam kepada konsep wasatiyyah Islam. Para ulama menyimpulkan definisi wasatiyyah itu adalah "al-I'tidal (kesederhanaan), al-khairiyyah (kebaikan), al-insaf (keadilan) dan al-rif'ah (ketinggian) dengan sebab sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang tidak terlalu ketat (ifrath) dan tidak terlalu longgar (tafrith). Apabila istilah wasatiyyah disandarkan kepada umat Islam, maka ia membawa maksud: Umat Islam yang mencapai sifat-sifat mahmudah yang terbit daripada kedudukan syariat Allah dalam kesederhanaan, kebaikan, keinsafan dan ketinggian yang menjadikannya sebagai penghulu segala umat, ketua segala bangsa dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari Qiyamat.   Lantaran itu, konsep wasatiyyah itu amat kontradik dan bertentangan dengan sikap ghuluw, melampau dan ekstrem. Ia sebagaimana Nabi SAW bersabda: إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ Ertinya : "Jauhilah melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama". (Riwayat Ibn Majah, no: 3029)   Ini bermakna, sifat wasatiyyah yang perlu diyakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan, sama ada dari sudut aqidah, syariah dan akhlak, secara individu atau berkumpulan. Di samping itu, kita perlu meyakini bahawa ghuluw atau ekstrem dalam beragama bakal merosakkan aqidah, syariah dan akhlak sama ada secara individu atau berkumpulan.   Renungkanlah kata-kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya, "Kalimaat fi al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa Ma'aalimihaa". (کلمات فی الوسطية الإسلامية ومعالمها) bahawa wasatiyyah itu ialah tunjang kesatuan. Wasatiyyah melambangkan kesatuan dan titik pertemuan. Apabila berlakunya kepelbagaian, pertengahan akan muncul sebagai penyatu. Besar kemungkinan, kepelbagaian itu tadi akan bertemu pada pertengahan yang menjadi pusat. Ini adalah jelas, sama ada dari segi kebendaan, pemikiran dan juga spiritual. Titik pusat satu bulatan membolehkan setiap garisan yang datang dari kelilingnya bertemu di pertengahannya.   Pemikiran yang pertengahan membolehkan setiap arus pemikiran yang ekstrem bertemu dalam satu titik keseimbangan dan kesamarataan. Seperti juga kepelbagaian pemikiran jadi meruncing ketika mana adanya unsur melampau. Adapun pertengahan dan kesamarataan merupakan jalan penyatuan pemikiran. Oleh yang demikian, pada kebiasaannya mazhab-mazhab dan aliran pemikiran yang melampau akan menimbulkan perselisihan dan perpecahan, berbeza dengan pemikiran yang mengutamakan kesederhanaan yang pada kebiasaannya tidak akan menimbulkan perselisihan.   Maka, dengan fadhilat, kepentingan dan keistimewaan yang wujud pada manhaj wasatiyyah yang dibentangkan, Islam menganjurkan agar ia menjadi salah satu ciri penting yang perlu ditonjolkan dalam segenap kehidupan umat Islam terutamanya dalam konteks bernegara. Ia boleh kami terjemahkan seperti berikut:   Pertengahan ANTARA penyeru kepada mazhab yang terlalu sempit (sehingga seolah-olah yang selainnya adalah sesat dan salah) DENGAN mereka yang menyeru agar tiada perlu bermazhab untuk berpegang terus kepada teks al-Qur'an dan al-Hadis dengan tafsiran sendiri tanpa panduan mazhab. Pertengahan ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan akal walaupun bercanggah dengan nas muktamad DENGAN kumpulan yang menolak sepenuhnya fungsi akal atau terlampau literal dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya. Pertengahan ANTARA mereka yang terlalu obses dengan teori idealistik sehingga kelihatan tidak mengambil kira praktikaliti dan suasana semasa DENGAN mereka yang terlalu mementingkan suasana semasa sehingga tidak mahu melihat langsung kepada yang ideal. Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal hingga menyucikan hak individu melebihi hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu. Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada kemestian menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi walaupun dalam hal cabang dan urusan muamalat (literalis) DENGAN mereka yang menyeru kepada inovasi dan reformasi sehingga ingin merungkaikan prinsip-prinsip Islam yang telah muktamad (liberalis). Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan prinsip agama dan hal qat'iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang belum pernah disentuh oleh ulama silam. Pertengahan ANTARA mereka yang mengabaikan nas-nas syarak yang sabit dengan dakwaan menjaga maqasid shariah DENGAN mereka yang mengabaikan pertimbangan maqasid shariah dengan dakwaan ingin menjaga nas-nas syarak secara total. Pertengahan ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan sesama muslim DENGAN mereka yang terlalu bermudahan-mudahan dalam perkara yang jelas kekufuran dan kemurtadannya. Pertengahan ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menghukumkan haram atas segala perkara, hingga seolah-olah tiada yang halal DENGAN mereka yang melampau-lampau dalam mengharuskan segala perkara, hingga seolah-olah tiada yang haram di dalam agama. Pertengahan ANTARA mereka yang terlampau bermegah-megah dengan kegemilangan sejarah silam hingga terleka dengan situasi semasa umat Islam DENGAN mereka yang mengabaikan terus sejarah lampau hingga melupakan prinsip-prinsip yang telah dibina oleh generasi terdahulu. Pertengahan ANTARA mereka yang menjadikan politik sebagai matlamat untuk memperoleh kekuasaan walaupun terpaksa menggadaikan agama DENGAN mereka yang langsung mengabaikan politik sebagai alat untuk memartabatkan agama. Pertengahan ANTARA mereka yang menyempitkan makna jihad hanya perang semata-mata DENGAN mereka yang mengaitkan semua jihad adalah militan dan keganasan. Pertengahan ANTARA mereka yang meletakkan kebenaran hanya berpihak pada parti politik anutannya DENGAN mereka yang langsung tidak mempercayai kebenaran ada pada mana-mana parti politik. Pertengahan ANTARA mereka yang memaksumkan pemimpin sehingga langsung membiarkannya melakukan kesalahan tanpa ditegur DENGAN mereka yang berterusan memusuhi pemimpin sekalipun kebenaran jelas berpihak kepadanya. Pertengahan ANTARA mereka yang mengagungkan bangsa sendiri sehingga ke tahap merendah-rendahkan bangsa lain DENGAN mereka yang langsung tidak mempertahankan apa-apa kepentingan dan keistimewaan bangsanya sendiri. Pertengahan ANTARA mereka yang membangkang kerajaan sehingga menolak terus keabsahan sesebuah kerajaan (anarkisme) DENGAN mereka yang mendewa-dewakan kerajaan sehingga meletakkan apa sahaja yang diputuskan tidak boleh disanggah walaupun dalam hal yang menyentuh kedaulatan agama dan negara. Pertengahan ANTARA mereka yang meletakkan politik sebagai prinsip aqidah DENGAN mereka yang membuang langsung politik daripada ruang lingkup agama (sekularisme). Pertengahan ANTARA mereka yang memperkudakan sistem demokrasi demi mendewakan hak asasi manusia secara liberal DENGAN mereka yang menolak sistem demokrasi secara total atas alasan ianya sistem kufur tajaan Barat. Pertengahan ANTARA mereka yang ingin menegakkan Negara Islam (Daulah Islamiyyah) secara semberono tanpa melihat kepada pendekatan fiqh kontemporari dan realiti semasa DENGAN mereka yang menolak konsep Negara Islam lalu menggantikannya dengan negara sekular. Pertengahan ANTARA mereka yang setia secara melulu kepada pemimpin negara asalkan mereka itu orang Melayu beragama Islam tanpa mengambil kira integriti dan moralnya DENGAN mereka yang membenci negara hanya kerana ia dipimpin oleh orang Melayu beragama Islam. Pertengahan ANTARA mereka yang menjadikan orang kafir sebagai sekutu sehingga sanggup menggugurkan prinsip demi mendapat keredaan mereka DENGAN mereka yang memusuhi semua orang kafir hanya kerana kekufuran mereka. Pertengahan ANTARA mereka yang melampau dalam berpolitik kepartian demi memenangi pilihan raya bagi mendapatkan kuasa pemerintahan DENGAN mereka yang langsung tidak mempedulikan kepentingan berpolitik dan pilihan raya demi mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.   Sebagai kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan ialah satu manhaj yang sewajibnya dipegang dan dipraktikkan oleh seluruh umat Islam bermula dari peringkat individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Ia adalah satu tuntutan yang tidak boleh dikesampingkan kerana lawan kepada wasatiyyah iaitu melampau dan ekstremisme hanya akan membawa kepada kehancuran dan keruntuhan ummah serta negara.   Akhirnya, kami menyeru kepada seluruh umat Islam, marilah kita sama-sama berganding bahu mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara yang kita kecapi selama ini. Suburkanlah prinsip wasatiyyah dalam segenap tindakan dan keputusan yang kita lakukan. Moga-moga cita-cita untuk mengujudkan sebuah negara yang bercirikan baldatun thoyyibah wa rabbun ghafur akan dapat direalisasikan bersama.   Akhukum fillah,   Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan
3,239
Soalan Assalammualaikum, Saya tidak memahami kaedah minimum haid selama 24 jam. Bolehkah terangkan cara penentuan 24 jam haid. Mohon pencerahan.  Ringkasan Jawapan: Tempoh minimum haid ialah 24 jam yang terbahagi kepada dua: Tempoh 24 jam darah yang keluar   bersambung sehari semalam  (أقل فقط)  Tempoh 24 jam darah keluar  bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain  selama 15 hari (أقل مع غيره). Huraian Jawapan: Haid dari sudut bahasa ialah mengalir. Sementara pada sudut istilah ialah darah tabi‘i (semulajadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya keadaan sihat dalam tempoh tertentu [1]. Tempoh masa haid berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian (istiqra’) oleh Imam Syafi‘i. Had masa  yang paling minimum berdasarkan istiqra’ tersebut ialah  24 jam. Minimum haid terbahagi kepada 2 bentuk iaitu : Kadar masa selama 24 jam keluar bersambung sehari semalam (أقل فقط)  Kadar masa selama 24 jam hasil gabungan darah yang keluar terputus-putus atau bercerai dalam tempoh  kebiasaan,  atau maksimum 15 hari haid.  (أَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَر)  [2] Darah yang tidak mencukupi 24 jam setelah digabungkan dalam tempoh 15 hari dikenali darah rosak (fasad) seperti dihukumkan  darah istihadah.[3] Oleh itu, darah yang tidak mencapai kadar sekurang- kurang miminum haid (24 jam) tidak boleh dihukumkan haid. Jadual berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam yang terbahagi kepada 2 bentuk iaitu darah yang bersambung dan darah yang bercerai. Jadual 1.1 Tempoh minima haid 24 jam sehari semalam  yang bersambung   Tarikh Masa Keluar Darah Hukum 1 MEI   2 MEI 12 PM Hingga 12 PM Keluar darah sehari semalam berterusan dan bersambung Darah yang keluar adalah darah haid kerana mencukupi 24 jam selama sehari semalam (فقط أقل) Jadual 1.2 Tempoh minima haid 24 jam darah keluar bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kebiasaan, atau maksimum 15   PENUTUP  Berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian ( istiqra’ ) oleh Imam Syafi‘i, tempoh minimum haid adalah 24 jam sama ada dalam bentuk darah yang keluar bersambung sehari semalam (أقل فقط) atau darah keluar  bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain (أقل مع غيره). Kiraan tempoh haid pada setiap jam sangat penting untuk menentukan darah yang keluar itu mencukupi 24 jam untuk dihukumkan sebagai darah haid. Hal ini kerana ia melibatkan perlaksanaan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1]Al-Khatib As-Syirbini, Syamsuddin. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj ( Dar al-Kutub Ilmiyah. 1994)  1/277 وَهُوَ لُغَةً: السَّيَلَانُ وَشَرْعًا دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ [2] Al-Bujairimi. Sulaiman Bin Muhammad. Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala-al-Khatib ‘ala Syarh al-Minhaj(1994) 1/132  وَأَقَلُّهُ) زَمَنًا (يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ) أَيْ قَدْرُهُمَا مُتَّصِلًا وَهُوَ أَرْبَعٌ وَعِشْرُونَ سَاعَةً (وَأَكْثَرُهُ) زَمَنًا (خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا بِلَيَالِيِهَا) وَإِنْ لَمْ تَتَّصِلْ وَغَالِبُهُ سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ كُلُّ ذَلِكَ بِالِاسْتِقْرَاءِ مِنْ الْإِمَامِ الشَّافِعِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ. الْأَقَلُّ فَقَطْ إلَّا إذَا رَأَتْ أَرْبَعًا وَعِشْرِينَ سَاعَةً عَلَى الِاتِّصَالِ، ؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ إمَّا مَعَ الْغَالِبِ أَوْ مَعَ الْأَكْثَرِ اهـ ح ل (قَوْلُهُ: وَإِنْ لَمْ يَتَّصِلْ) أَيْ وَكَانَ قَدْرُ مَجْمُوعِهِ يَوْمًا وَلَيْلَةً. فِي حُصُولِ أَقَلِّ الْحَيْضِ ح ل؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَرِ [3] al-Bakri al-Dimyati. Abu Bakar Uthman. I’anah al-Thalibin ‘ala Halli al-Faz  Fath al-Mu’in, (Dar al-Fikr. 1997)  1/88. يوم وليلة أي قدرهما مع اتصال الحيض، وهو أربع وعشرون ساعة. خمسة عشر يوما أي بلياليها، وإن لم يتصل، لكن بشرط أن تكون أوقات الدماء مجموعها أربع وعشرون ساعة فإن لم يبلغ مجموعها ما ذكر كأن دم فساد،
3,240
Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?   اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan ‘afiah.”   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Menjadi kewajipan setiap insan itu untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan keselamatan dan kesejahteraan hidup serta dijauhkan daripada segala perkara-perkara yang tidak baik berlaku kepadanya. Ini kerana, terlalu banyak dalil atau nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadith Nabi SAW yang menunjukkan tuntutan untuk setiap insan itu berdoa kepada Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT:   ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ al-‘Araf:55 Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”   Sumber Dan Hukum Hadith Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan doa di atas secara penuh dan doa ini ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam msunadnya, Imam Abu Daud dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka, iaitu:   Daripada Ibn Umar R.anhuma berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi:   اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]   Di samping itu juga, doa ini turut dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Azkar yang mana kitab tersebut menghimpunkan zikir-zikir dan doa-doa yang bersumberkan daripada hadith Nabi SAW. Adapun berkaitan status hadith ini, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menialai sanad hadith ini adalah sahih. Tambahan pula, Imam Ibn Hibban menilai hadith ini sebagai sahih dan beliau meriwayatkan hadith ini di dalam kitab sahihnya. Justeru, melihat kepada beberapa pandangan di atas, maka hadith ini adalah sahih dan ia amat digalakkan untuk beramal dengannya.   Makna Doa Keampunan di dalam doa ini adalah pelepasan daripada melakukan dosa. Adapun ‘afiyah pula adalah keselamatan daripada kerosakan-kerosakan dan juga kesusahan-kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276] Menurut Imam al-Nawawi berkaitan makna ‘afiyah sebagaimana yang terkandung di dalam doa di atas, sudah terlalu banyak hadith yang menyarankan agar sentiasa memohon ‘afiyah (kepada Allah SWT) dan ia (lafaz ‘afiyah) adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12] Selain itu, Syeikh al-Munawi berpandangan bahawa ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4] Melihat kepada beberapa definisi atau pengertian di atas, maka kami simpulkan bahawa al-‘Afiyah adalah keselamatan atau kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, pada badan daripada segala penyakit-penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah.   Penutup Kesimpulannya, doa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana ia mengubungkan terus seorang hamba itu kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Bahkan, kita dibenarkan untuk berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.   Wallahua’lam
3,243
SOALAN   Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah para lelaki mukallaf yang tidak hadir solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut kerana mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan kerajaan wajib untuk bertaubat dengan mendirikan solat sunat taubat?   Mohon penjelasan. Terima kasih.   RINGKASAN JAWAPAN   Tidak diwajibkan bertaubat dan juga tidak wajib mengerjakan solat taubat bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi arahan kerajaan dan menjaga diri daripada wabak Covid-19.   Hal ini kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, maka ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat. Dalam situasi sekarang digalakkan untuk kita sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dalam setiap masa kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW maksum.   Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf perlulah untuk berusaha dengan sebaiknya mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang tertentu yang ditetapkan oleh pihak masjid seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid. Ini supaya tidak termasuk dalam perbuatan mengambil ringan kewajipan solat Jumaat sehingga tidak mempedulikan tentangnya.   WaAllahu a’lam.   HURAIAN JAWAPAN   Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.   Allah SWT telah menetapkan tentang kewajipan solat Jumaat ke atas lelaki yang mukallaf di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:   يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ   Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).   (Surah al-Jumu’ah: 9)   Begitu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan Allah SWT akan mengunci mati hatinya. Rasulullah SAW bersabda:   مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ   Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya.   Riwayat Abu Daud (1052) dan al-Nasa’ie (1369)   Selain itu, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nasaie, Rasulullah SAW bersabda:   لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ   Maksudnya: Hendaklah sesuatu kaum itu menghentikan daripada perbuatan mereka meninggalkan solat Jumaat, jika tidak Allah akan menutup hati-hati mereka, maka demikian mereka akan tergolong daripada golongan yang lalai.   Riwayat Muslim (865) dan al-Nasa’ie (1370)   Berkaitan hadis-hadis ini, kami telah menghuraikannya bahawa ancaman tersebut merujuk kepada mereka yang meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak. Jika sekiranya seseorang itu meninggalkannya walau sebanyak tiga kali berturut-turut disebabkan keuzuran yang dibenarkan syarak, maka dia tidak termasuk dalam ancaman ini. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk artikel Al-Kafi #1674 : Meninggalkan Tiga Kali Solat Jumaat Dalam Suasana Covid- 19.   Oleh yang demikian, jika seseorang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran seperti khuatir menularnya wabak Covid-19 serta mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan, maka dia tidak berdosa. Kewajipan untuk bertaubat kepada sesiapa yang sengaja melakukan dosa sama ada melakukan maksiat atau meninggalkan kewajipan. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitab Riyadh al-Salihin bahawa:   ويجِبُ أنْ يَتُوبَ مِنْ جميعِ الذُّنُوبِ، فَإِنْ تَابَ مِنْ بَعْضِها صَحَّتْ تَوْبَتُهُ عِنْدَ أهْلِ الحَقِّ مِنْ ذلِكَ الذَّنْبِ وبَقِيَ عَلَيهِ البَاقي. وَقَدْ تَظَاهَرَتْ دَلائِلُ الكتَابِ والسُّنَّةِ، وإجْمَاعِ الأُمَّةِ عَلَى وُجوبِ التَّوبةِ.   Maksudnya: Wajib untuk bertaubat ke atas semua dosa-dosa, jika sekiranya seseorang itu bertaubat ke atas sebahagian sahaja daripada dosa-dosanya, maka taubat sah bagi dosa-dosa tersebut di sisi para ulama’. Oleh itu, masih berbaki lagi dosa-dosa yang belum dia bertaubat. Terdapat banyak dalil-dalil daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulama berkaitan kewajipan bertaubat. (Rujuk Riyadh al-Salihin Min Kalam Sayyid al-Mursalin: 17)   Justeru, tidak wajib ke atasnya untuk bertaubat dan solat taubat atas perkara tersebut kerana ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat. Namun digalakkan untuk memperbanyakkan beristighfar di setiap masa dan waktu kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW seorang yang maksum. Sabda Nabi SAW:   يَا أَيُّهَا النَّاسُ، تُوبُوا إِلَى اللَّهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ   Maksudnya: Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah SWT. Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah SWT seratus kali dalam sehari.   Riwayat Muslim (2702)   Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf itu hendaklah berusaha dengan sebaiknya untuk mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang telah ditentukan. Antara usaha yang perlu dilakukan ialah seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid. Berkaitan hal ini, rujuk artikel Al-Kafi #1735 : Adakah Wajib Hadir Beratur Untuk Mendapat Tempat Bagi Solat Jumaat Pada Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)?   Berbalik kepada maksud hadis yang dinyatakan sebelum ini, ia memberi gambaran jelas bahawa golongan lelaki yang mukallaf tidak boleh mengambil ringan tentang kewajipan solat Jumaat. Imam Badruddin al-Aini menjelaskan maksud lafaz تَهَاوُنًا (mengambil ringan) sepertimana yang dinyatakan dalam hadis di atas, kata beliau:   قوله: "تهاونا بها" أي: كسلاً واستهتارا بها   Maksudnya: (Maksud) sabda Rasulullah SAW “mengambil ringan terhadapnya (kewajipan solat Jumaat)” ialah meninggalkannya kerana bermalasan dan tidak peduli tentangnya. (Rujuk Syarah Sunan Abi Daud, 4:372)   Manakala menurut Imam al-Suyuti dalam tentang maksud hadis ini:   الظَّاهِر أَن المُرَاد بالتهاون التكاسل وَعدم الْجد فِي أَدَائِهِ لَا الاهانة وَالِاسْتِخْفَاف فَإِنَّهُ كفر   Maksudnya: Apa yang nyata bahawa maksud mengambil ringan ialah bermalas-malasan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, bukan maksud menghina dan memandang enteng (kewajipannya) kerana perkara tersebut adalah satu kekufuran. (Rujuk Syarh Sunan Ibn Majah, 1:79)   Kesimpulannya, dapat difahami bahawa perlulah ada usaha dan kesungguhan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid supaya tidak timbul rasa bermalas-malasan dan tidak mempedulikan kewajipan solat Jumaat. Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah Imam al-Buwaithi, seorang anak murid Imam al-Syafie, yang diriwayatkan bahawa beliau walaupun dipenjara, beliau akan mandi dan memakai pakaian yang terbaik baginya pada setiap hari Jumaat, kemudian beliau pergi mengetuk pintu jeriji penjara bagi menarik perhatian pengawal penjara. Lalu pengawal penjara itu bertanya kepada beliau, “Apa yang tuan mahu?”. Kata beliau, “Aku mahu menyahut seruan Tuhan-ku (azan Jumaat)”, walaupun dia mengetahui pengawal penjara tersebut tidak akan membenarkannya keluar. Begitulah pada setiap hari Jumaat, Imam al-Buwaithi melakukan hal yang sama sebagai usaha beliau untuk pergi mendirikan solat Jumaat. Rahimahullah taala.   WaAllahu a’lam.
3,247
MUKADIMAH Kita telah sampai kepada awal Zulhijjah yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Justeru, Bayan Lil Haj pada kali ini dinamakan dengan keistimewaaanya dan fadhilat 10 awal Zulhijjah. Untuk memahami kelebihan, fadhilat dan keistimewaanya, kami nukilkan daripada kitab Lata'if Al-Maarif oleh Ibnu Rajab al-Hanbali. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ. Maksudnya : "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali." Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757) Perbahasan tentang kelebihan 10 hari terawal Zulhijjah terdapat dalam 2 fasal : Kelebihan beramal dalam waktu itu dengan hadis ini menjadi dalilnya, dan kelebihannya yang tersendiri. FASAL PERTAMA : Kelebihan beramal soleh pada 10 hari tersebut. Hadis menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian.Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisi-Nya. Hadis ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz, مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ أفضل من أيام العَشْر Maksudnya : "Tiada hari-hari amalan yang dilakukan padanya menjadi afdal berbanding 10 hari awal Zulhijjah." Hadis ini juga diriwayatkan dengan terdapat keraguan disisi perawi pada lafaz: Paling disukai atau afdal. Apabila sesuatu amalan dalam 10 hari ini dan lebih disukai oleh Allah berbanding amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain dalam setahun, maka jadilah amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam 10 hari ini afdal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya.Sebab itulah, para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah,walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya ?", Baginda bersabda, "Walaupun jihad, ia tidak menandinginya."Kemudian, Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad kerana baginda juga pernah ditanya, "Manakah jihad yang afdal?",Baginda menjawab, "Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid[1]."Orang demikian mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa, اللَّهُمَّ اعْطِني أَفْضَلُ ما تُعطِيْ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ Maksudnya : "Ya Allah, Berikanlah kepadaku sebaik-baik pemberian yang engkau berikan kepada hamba-Mu yang soleh." Lalu baginda bersabda kepadanya, إِذَنْ يُعْقَرُ جَوَادُكَ ، وَتَسْتَشْهِدُ Maksudnya : "Oleh itu, pastikan (Kamu berjihad sehingga) kudamu mati ditikam dan kamu mati syahid." Riwayat Ibnu Hibban (4639), al-Hakim (2/74) di dalam al-Mustadrak Secara khususnya, Jihad sebegini lebih baik daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Manakala jihad yang lain, amalan dalam 10 hari terawal Zulhijjah menjadi afdal dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, malah termasuk semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahwa amalan yang kurang utama, yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan yang seperti amalna yang lebih utuama yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan yang pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadis riwayat Ibnu Abbas R.A, iaitu : وَالْعَمَلَ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ سَبْعمِائَةِ ضِعْفٍ Maksudnya : " Dan amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan digandakan pahalanya sehingga 700 kali” Namun, sanadnya terdapat kelemahan. Selain itu, kadar gandaan pahala dinyatakan dalam banyak riwayat yang berbeza. Al-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan hadis daripada Al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab , daripada Abu Hurairah, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, مَا مِن أَيَّامٍ من أيام الدٌّنْياَ أَحَبُّ إِلىَ اللهِ أَنْ يُتَعَبّدَ له فيها من أيام العَشْرِ، يَعْدِلُ صِيامُ كُلُّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ وَقِيَامِ كُلُّ لَيلةٍ مِنْهَا بقيام ليلة القَدْرِ Maksudnya : "Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukkan ibdah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr." Riwayat al-Tirmizi (758), Ibnu Majah (1728) Namun, ulama  hadis melemahkan Al-Nahhas Bin Qahm.Al-Tirmizi menyebutkan daripada Al-Bukhari bahawa hadis tersebut diriwayatkan daripada Al-Qatadah daripada Sa'id, secara mursal. Thuwair Bin Fakhitah - seorang perawi yang lemah – turut meriwayatkannya daripada mujahid, daripada Ibnu Umar R.A, Katanya : ليس يوم أعظم عند الله من يوم الجمعة ليس العشر فإن العمل فيها يعدل عمل سنة Maksudnya : "Tiada suatu hari yang paling agung di sisi Allah selain hari Jumaat bukannya 10 hari (Terawal Zulhijjah) kerana suatu amalan yang dikerjakan pada hari itu menyamai amalan selama setahun." Abu Amru al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab Al-Hikayat dengan sanadnya, daripada Humaid, beliau berkata,"Aku mendengar ibnu Sirin dan Qatadah berkata, Puasa setiap hari daripada 10 hari Zulhijjah menyamai puasa setahun."Sebenarnya, banyak lagi hadis yang diriwayatkan dengan gandaan ganjaran pahala, antaranya: Harun Bin Musa Al-Nahwi meriwayatkan dengan berkata, " Aku mendengar Al-Hassan menceritakan daripada Anas bin Malik, Katanya, pernah disebutkan tentang 10 hari tersebut : Setiap harinya menyamai seribu hari, dan hari Arafah menyamai 10 000 hari." Al-Hakim berkata, " Semua ini adalah sejumlah hadis yang tidak disebutkan sanadnya daripada Rasulullah SAW ." Terdapat juga riwayat tentang gandaan pahala yang kurang daripada setahun. Humaid bin Zanjawaih berkata, Yahya bin Abdullah Al-Harrani menceritakan kepada kami, Abu Bakr bin Abu Mariam, menceritakan kepada kami, daripada Rasyid Bin Sa'ad, bahawa Rasulullah SAW bersabda: صيام كل يوم من أيام العشر كصيام شهر، Maksudnya : "Puasa setiap hari daripada 10 hari (terawal Zulhijjah ) menyamai puasa sebulan." Hadis ini disandarkan kepada Ibnu Zanjawaih di dalam Kanzul ‘Ummal (12117)  Hadis ini mursal dengan sanad yang lemah. Abdurrazaq turut meriwayatkan dalam kitabnya daripada Ja'far, daripada Hisyam,daripada al-Hassan, katanya ,"Puasa sehari daripada 10 hari ( terawal Zulhijjah ) menyamai puasa dua bulan."[2] Abdul Karim meriwayatkan daripada Mujahid, katanya, "Amalan yang dilakukan dalam 10 hari tersebut akan digandakan pahalanya." Berkenaan gandaan pahala juga,terdapat banyak lagi hadis marfu' yang lain tetapi palsu. Oleh itu, kami abaikannya serta hadis-hadis lain yang menyerupai palsu yang menyebutkan kelebihan 10 hari itu. Hadis riwayat Ibnu Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amal soleh dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian pun sudah menjadi dalil dalam perkara ini. Di samping itu, terdapat hadis yang diriwayatkan secara khusus berkenanan puasa, qiamullail, dan memperbayakkan zikir pada tempoh tersebut. Apa yang disebutkan adalah kelompok dalil yang baik untuk diceritakan, tanpa mengambil dalil yang tidak baik untuk diceritakan kerana statusnya tidak sahih. Hal ini terdapat dalam hadis riwayat Abu Hurairah yang lalu, hadis mursal Rasyid bin Sa'd, suatu riwayat daripada hadis al-Hasan , Ibnu Sirin, dan Qatadah tentang ibadah puasa pada tempoh itu.      Diriwayatkan dalam kitab al-Musnad dan Sunan, daripada Hafsah, كَانَ لَا يَدَعُ صِيَامَ عاشوراءَ والعَشر وثلاثة أيام من كُلِّ شَهْرٍ Maksudnya :"Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa pada hari Asyura, 10 hari (terawal Zulhijjah), dan tiga  hari setiap bulan." Riwayat Imam Ahmad (6/287), al-Nasaie (4/220). Kata al-Zaila’i di dalam Ansab al-Rayah: hadis ini daif   Tetapi, terdapat perselisihan dalam kalangan ulama pada sanadnya . Diriwayatkan juga daripada salah seorang isteri Nabi SAW: أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ Maksudnya :" Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa  9 Zulhijjah." Riwayat Abu Daud (2438)   Antara individu yang berpuasa selama 10 hari terawal Zulhijjah ialah Abdullah bin Umar R.a. Riwayat daripada al- hassan, Sirih , dan Qatadah tentang kelebihan puasa dalam tempoh tersebut telah dinyatakan sebelum ini, dan ia juga adalah pandangan kebanyakan atau ramai daripada kalangan ulama. مَا رَأَيْتٌ رَسُولَ اللهِ صَائمَا العَشْرِ قَطّ Maksudnya :"Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari( terawal Zulhijjah ) Riwayat Muslim (1176),Abu Daud (2439),al-Tirmizi (756),Ibnu Khuzaimah (2103),Ibnu Majah (1729) Jawapan Iman Ahmad kepada hadis ini dilihat berbeza. Satu ketika beliau mengatakan ada hadis lain yang diriwatkan bertentangan denganya lalu menyebutkan hadis riwayatkan Hafsah. Beliau juga menyatakan bahawa wujud perselihan pendapat uluma berkenaan kedudukan sanad hadis riwayat Aisyah yang diriwayatkan oleh al-A'masy secara bersambung, namun Mansur meriwayatkannya daripada Ibrahim secara mursal. Selain itu, ulama selain beliau menjawab, apabila berlaku perselisihan antara Aisyah dan Hafsah ketika menafikan atau mengisbatkan suatu perkara, pandangan yang mengisbatkan diambilkan kerana orang tersebut mengetahuinya berbanding orang yang menafikan. Satu ketika yang lain, Imam Ahmad menjawab bahawa Aisyah memaksudkan Baginda tidak berpuasa 10 hari secara sempurna, manakala Hafsah memaksudkan Baginda berpuasa pada kebanyakan harinya. Maka, ada hari yang Baginda berpuasa , dan ada hari yang Baginda tidak berpuasa. Cara penggabungan ini bersusaian dengan riwayat yang menyatakan," Aku tidak pernah melihatnya berpuasa 10 hari." Adapun perawi yang meriwayatkan,"Aku tidak pernah melihatnya berpuasa dalam tempoh 10 hari ini," kaedah gabungan hadis sukar atau tidak dapat  dilakukan. Ibnu Sirin tidak suka apabila dikatakan, "Seseorang berpuasa pada 10 hari (alam Zulhijjah)," kerana ditakuti memasukkan hari raya korban ke dalamnya,tetapi hendaklah disebut, "seseorang berpuasa pada Sembilan hari." Namun, apabila ibadah pusa disandarkan pada 10 hari tersebut, maksudnya puasa yang dibenarkan untuk dilakukan sahaja. Sebelum ini, telah disebutkan sebuah hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada 10 hari terawal Zulhijjah. Jika ada orang yang bernazar untuk berpuasa pada 10 hari tersebut , maka dia hendaklah mengerjakan sebanyak Sembilan hari sahaja. Dia juga tidak dikenakan qada atau kafarah apabila tidak berpusa pada hari raya korban kerana penggunaan kalimah 10 hari ini difahami sebagai sembilan hari menurut 'uruf. Boleh jadi perbahasa tentang kewajipan qada dan kafarah ini menimbulkan khilaf dalam kalangan ulama. Ahmad mengatakan bahawa sesiapa yang bernazar untuk berpuasa dibulan Syawal, kemudian tidak berpuasa pada hari raya fitrah dan berpuasa pada baki harinya,maka dia hendaklah mengatikan puasa sebanyak dan dikenakan kafarah. Al-Qadhi Abu Ya'la berkata ,' keadaan tersebut adalah apabila seseorang yang berniat puasa penuh pada bulan Syawal . Jika niatnya mutlak,dia tidak dikenankan apa-apa kerana hari raya fitrah dikecualikan di sisi syarak. Ini adalah satu kaedah daripada sejumlah kaedah fiqah, iaitu adakah satu yang umum dikhusukan dengan syarak atau tidak? Dalam masalah ini ,terdapat khilaf yang masyur. Berkenanan qiamullail pada 10 malam terawal Zulhijjah, ia sangat digalakkan dan hadis berkenaannya telah dinyatakan sebelum ini . Terdapat juga pelbagai riwayat menyatakan secara khusus tentang kelebihan menghidupkan malam dua hari raya, namun tidak sahih. Ada juga riwayat tentang doa yang dimustajabkan pada dua malam itu, Dan al-Syafi'i serta ulama lain menggalakkanya. Kebiasaan Sa'id Bin Jubair, perawi yang meriwayat kan hadis ini daripada Ibnu Abbas R.A , apabila tiba 10 hari terawal Zuhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak berdaya melakukannya. Diriwatkan daripanya lagi, katanya," jangalah kamu memadamkan pelita pada waktu malam selama 10 hari ini kerana ibadah sangat disukai untuk dilakukkan saat itu." Adapun galakkan memperbanyakkan Zikir,Firman Allah SWT berikut menjadi dalil kepadanya , : وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ Maksudnya: " Dan supaya menyebut nama allah pada hari-hari yang dimaklumi." (Surah al-Hajj : 28) Hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah menurut jumhur ulama dan perbahasan tentangnya akan disebutkan selepas ini, Insya-Allah. Diriwayatkan dalam Musnad Al-Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda, مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ : هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ Maksudnya: " Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya. Riwayat Imam Ahmad (6154) Jika ada orang yang berkata ," Apabila suatu amalan yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama berbanding amalan yang dilakukan pada waktu selainya walaupun ia sendiri afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari itu disebabkan keistimewaan masanya, maka jadilah amalan yang kurang utama tadi lebih utama menandingi jihad yang merupakan sebaik-baik amalan seperti yang dinyatakan dalam banyak dalil. Inilah pandangan Imam Ahmad dan Ulama yang lain. Seharusnya haji afdal daripada jihad kerana haji hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 hari itu, dan ia juga adalah di antara atau sebaik-baik amalan yang dilakukan dalam masa tersebut. Namun, bagaimanakah jihad boleh menjadi afdal daripada haji, sedangkan telah disabitkan al-Sahihain, daripada Abu Hurairah R.A : إِذْ جَاءَ رَجُلٌ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ الله ، أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : إِيمَانٌ بِالله ، وَتَصْدِيقٌ بِهِ ، وَجِهَادٌ فِي سَبِيلِ الله ، وَحَجٌّ مَبْرُورٌ Maksudnya: "Seorang lelaki berkata, 'Wahai Rasulullah,apakah amalan yang afdal,' Baginda menjawab, " beriman dengan Allah dan Rasul-Nya." Kemudian dia berkata , " selepas itu , apa?" Baginda menjawab," jihad dijalan Allah." Dia berkata lagi, " seterusnya, apa? " Baginda menjawab, " haji yang mabrur." Riwayat al-Bukhari (26), Muslim (83), al-Tirmizi (1658) Jawapannya: Keluar berjihad sunat lebih afdal daripada keluar menunaikan haji sunat disisi jumhur ulama, dan hal ini disebutkan oleh Imam Ahamad melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-ash. Ada juga hadis-hadis marfu' tentangnya , tetapi sanadnya dikritik, namun hadis riwayat Abu Hurairah diatas jelas menyatakan sedemikian. Hadis ini boleh digabungkan dengan hadis Ibnu Abbas melalui dua cara. Jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali lebih afdal.   Hadis Ibnu Abbas menyebutkan secara jelas bahawa jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Maka, Kesimpulannya haji afdal daripada jihad kecuali jihad orang yang keluar bersama hartanya dan tidak kembali.Itulah maksud yang terdapat pada hadis Abu Hurairah dan saat itu, Maksud dua hadis ini dapat digabungkan.   Amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara ain yang membolehkannya menjadi afdal.   Pandangan yang lebih tepat ialah amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara lain yang membolehkannya menjadi afdal daripada amalan yang lebih utama, seperti yang dijelaskan sebelum ini.Ketika itu, haji boleh disertai dengan perkara lain yang menjadikannya afdal daripada jihad, dan boleh jadi juga ia bersendirian lalu jihad menjadi afdal daripadanya. Sekiranya hai yang dikerjakan adalah fardhu, maka ia lebih afdal daripada jihad sunat kerana amalan fardhu ain afdal daripada amalan fardhu kifayah menurut jumhur ulama'.   Terdapat hadis berkenaan hal ini yang menyebutkan haji dan jihad secara khusus yang diriwayatkan daripada Abdulllah bin Amru bin al-Ash', serta diriwayatkan juga secara marfu' melalui pelbagai jalan periwayatan, namun sanad-sanadnya lemah.Suatu riwayat berikut yang diceritakan oleh Nabi SAW daripada Tuhannya sudah cukup menjadi dalil kepadanya, firman-Nya di dalam hadis Qudsi مَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِمِثْل أدَاءِ ما افْترَضَتْ عَلَيهِ Maksudnya : "Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku serupa dengan kefardhuan yang aku perintahkan ke atasnya." Riwayat al-Bukhari (6502)   Jika orang yang menunaika haji bukan daripada kalangan orang yang berjihad, maka hajinya afdal daripada jihadnya seperti wanita.   Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari daripada Aisyah R.A, katanya,   يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ نُجَاهِدُ مَعَكَ؟ قَالَ : لاَ وَلَكُنَّ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ Maksudnya : "Wahai Rasulullah, Kami melihat bahawa jihad adalah amalan yang paling utama, maka bolehlah kami berjihad?" Baginda bersabda, "Sebaik-baik jihad adalah haji yang mabrur." Dalam salah satu riwayatnya dinyatakan : Jihad kamu adalah haji. Dalam riwayatnya yang lain juga dinyatakan : sebaik-baik jihad adalah haji. Riwayat al-Bukhari (1520)   Begitu juga apabila 10 hari terawal Zulhijjah mencakupi seluruh perbuatan dalam haji dan dilaksanakan dengan cara yang sempurna iaitu melakukan amalan wajib dan meninggalkan iaitu melakukan amalan wajib denga meninggalkan yang haram;ditambah pula dengen berbuat baik kepada manusia dengan menyebarkan salam, memberi maka; serta disertai dengan banyak mengingati Allah SWT, meninggikan suara ketika talbiah dan menyembelih binatang korban; maka haji seperti ini boleh melebihi jihad. Jika amalan haji dilakukan dalam suatu tempoh dalam 10 hari tersebut dan tidak dilakukan dengan cara yang sempurna tadi, maka jihad afdal daripadanya. Ada suatu riwayat daripada Umar, Ibnu Umar, Abu Musa al-Asy'ari, dan Mujahid yang menunjukkan bahawa haji melebihi jihad dan haji mabrur yang dilaksanakan dengan cara yang sempurna serta segala perbuatannya dibuat dalam tempoh 10 hari itu lagi. Wallahuallam.   Jika ada orang berkata,"Sabda Baginda SAW, tidak ada hari-hari yang amalan soleh lebh disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini(10 hari terawal Zulhijjah)”.Adakah ia bermaksud semua amalan soleh yang dilakukan pada suatu tempoh dalam 10 hari ini melebihi seluruh amal soleh yang dikerjakan pada waktu lain walaupun lebih lama atau sekejap?"   Jawapannya: Pandangan yang tepat- Wallahua'lam – ialah amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari dibulan lain. Oleh itu, setiap amal soleh yang dilakukan dalam  10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada mana-mana amalan yang dilakukan dalam 10 hari lain dalam mana-mana bulan sekalipun.Maka, hadis itu melebihkan amalan yang dikerjakan pada setiap harinya keatas amalan yang dilakukan pada mana-mana hari lain dalam setahun.   Sudah jelas sebelum ini ; amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah melebihi jihad apabila amalan yang dikerjakan merengkumi seluruh waktu di dalamnya. Maka, ia afdal berbanding jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut.Jika suatu amalan yang dilakukan pada beberapa hari dari 10 hari terawal Zulhijjah ia afdal daripada jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut. Dalilnya ialah Nabi SAW menjadikan puasa dan solat yang berterusan tanpa henti bersamaan dengan jihad yang dilakukan pada bila-bila masa. Apabila puasa dan solat tadi dibuat pada masa 10 hari terawql Zulhijjah, ia afdal daripada jihad dalam tempoh masa yang sama disebabkan keistimewaan dan kemulian 10 hari tersebut. Diriwayatkan dalam al-Sahihain, daripada Abu Hurairah, katanya, جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي عَمَلًا يَعْدِلُ الْجِهَادَ قَالَ لَا أَجِدُهُ قَالَ هَلْ تَسْتَطِيعُ إِذَا خَرَجَ الْمُجَاهِدُ أَنْ تَدْخُلَ مَسْجِدًا فَتَقُومَ لَا تَفْتُرُ وَتَصُومَ لَا تُفْطِرُ قَالَ لَا أَسْتَطِيعُ Maksudnya : "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata, 'Tunjukkan kepadaku suatu amalan yang menyamai jihad.' Dia berkata lagi, ' Aku tidak menjumpainya.' Baginda bersabda, ' apabila seorang yang berjihad keluar, adakah kamu datang ke masjid kemudian solat tanpa henti dan puasa sepanjang masa?' Dia menjawab, 'Siapakah yang mampu lakukan sedemikian?' Riwayat al-Bukhari (2785) & Muslim (1878) Lafaz hadis ini adalah di sisi Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan makna beserta tambahan lafaz, مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْقَانِتِ بِآيَاتِ اللهِ لاَ يَفْتُرُ مِنْ صِيَامٍ، وَلاَ صَلاَةٍ حَتَّى يَرْجِعَ الْمُجَاهِدُ إِلَى أَهْلِهِ Maksudnya : "Baginda bersabda, 'Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, solat, membaca ayat-ayat Allah, tanpa berasa penat menunaikan solat dan puasa, sehinggalah orang yang berjihad di jalan Allah itu pulang." Riwayat Muslim (3490) Manakala, Lafaz di sisi Al-Bukhari pula ialah : مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَنْ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ Maksudnya : "Perumpamaan orang yang berjihad dijalanAllah- Allah lebih mengetahui siapakah yang berjihad di jalan-Nya-adalah sama seperti orang yang berpuasa serta menunaikan solat." Riwayat al-Bukhari (2787) Lafaz di sisi An-Nasaie ialah : كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْخَاشِعِ الرَّاكِعِ السَّاجِدِ Maksudnya : " Adalah sama seperti orang yang berpuasa, solat, khusyuk, rukuk dan sujud." Riwayat al-Nasaie (4320) di dalam Sunan al-Kubra Antara dalil khusus kepada kelebihan suatu amalan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah ke atas jihad yang sama tempohnya ialah hadis yang diriwayatkan dalam Shahih Ibnu Hibban daripada Jabbir, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ، قَالَ: فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُنَّ أَفْضَلُ أَمْ عِدَّتُهُنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَالَ: هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهِنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ Maksudnya : "Tidak ada hari-hari yang afdal di sisi Allah berbanding 10 hari dalam bulan Zulhijjah." Seorang lelaki berkata, "Wahai Rasulullah, adakah hari-hari itu afdal atau jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut?" Baginda bersabda, "Ia afdal berbanding jihad di jalan Allah dala tempoh tersebut." Justeru, amalan yang dilakukan pada 10 hari ini dilebihkan keatas jihad yang dilakukan pada 10 hari juga, bukannya secara mutlak. Adapun perbahasan lalu mengenai setiap harinya menyamai setahun, sebulan, atau 1000 hari, maka semuanya termasuk daripada hadis-hadis yang lemah tentang kelebihan beramal. Kebanyakannya menceritakan tentang kelebihan puasa dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah, sedangkan puasa juga mempunyai keistimewaan dalam gandaaan pahalanya. Puasa bagi Allah, dan Allah berhak memberi ganjarannya jika ada orang berkata, "ia tidak khusus kepaada puasa bahkan meliputi semua amalan sebenarnya hadis itu menjadi dalil kepada setiap malam yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama daripada amalan yang sama yang dilakukan selain daripada tempoh itu dalam suatu tahun. Maka, maksudnya adalah orang yang berjihad pada 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama berbanding orang yang berjihad ada waktu selainnya dalam suatu tahun." Apabila dikatakan lagi,"oleh itu, berdasarkan konsep amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama daripada tempoh 10 selainnya, puasa pada 10 hari tersbut afdal daripada puasa pada 10 dalam bulan Ramadhan, dan qiamulailnya afdal daripada qiamullail dalam bulan ramadhan." Maka, dijawab, " berkenaan puasa di bulan Ramadhan , ia sememangnya afdal daripda pada 10 hari terawal Zuhijjah kerana sudah pasti puasa fardu afdal daripa puasa sunat. Ketika itu, amala fardu yang dilaksanakan pada 10 hari tersebut afdal daripada amalan fardu yang dilaksana pada 10 hari selainnya. Sesungguhnya solat fardu dalam 10 hari ini digandakan pahalanya berbanding solat fardu pada 10 hari pada bulan Ramadhan. Manakala amalan sunat yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini juga afdal daripda  amalan sunat yang dilakukkan pada 10 hari selainnya. Umar dan Ali ra pernah beselisih pandangan tentang isu mengantikan puaa Ramadhan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Umar mengalakknya kerana keistimewaannya hari-harinya, maka jadilah puasa ganti di dalam bulan Ramadan itu afdal berbanding jika dilakukan dalam tempoh 10 hari yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amlana fardu dilipat ganda pahalanya keatas amalan sunat dalam tempoh 10 hari tersebut. Sedangkan Ali melarang perekara yang sedemikian dan terdapat dua riwayat daripada Ahmad dalam hal ini . Alasan kepada pandangan Ali ialah puasa qada pada hari tersebut menyebabkan hilangnya kelebihan waktu berpuasa sunat padanya. Begitu juga alsan yang digunakan oleh Imam Ahmad dan ulama' selainnya. Sebelum ini telah dinyatakan bahawa cara sebegitru tetap menghasilkan kelebihan puasa sunat. Ini adalah pandangan orang yang mengatakan, "jika seseorang bernazar puasa sebulan, lalu berpuasa pada bulan Ramadhan dia telah melakasanakan nazarnya dan fardhunya tetap telaksana." Namun, terdapat juga alasan lain bagi pandangan ini. Adapun qiamullail pada 10 hari terawal Zuhijjah dan keutamaanya keatas qiamullail pada 10 malam dibulan ramadhan, perbahasan tentang nya akan menyusul insyaAllah.    FASAL KEDUA: KELEBIHAN 10 HARI AWAL ZULHIJJAH BERBANDING 10 HARI DALAM BULAN LAIN Hadis marfu’ riwayat Ibn Umar sebelum ini menyatakan: ما من أيامٍ أعظم عند اللهِ ولا أحبّ إليه العملُ فيهن من أيامِ العشرِ Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini.” Riwayat Imam Ahmad (5446) di dalam Musnad,al-Baihaqi (3751) di dalam Syu’ab al-Iman. Diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: ما مِن أيَّامٍ أفضلُ عندَ اللهِ مِن أيَّامِ عشْرِ من ذي الحجَّةِ Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang lebih utama di sisi Allah daripada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah.”  Riwayat Ibnu Hibban (3853) Hadis ini telah pun dinyatakan pada perbahasan lalu. Kami turut meriwayatkan melalui jalan periwayatan lain dengan tambahan lafaz: ولا ليالي أفضل من ليالهن. قيل: يا رسولَ اللهِ هنَّ أفضلُ مِن عِدَّتِهنَّ جهادًا في سبيلِ اللهِ ؟ قال: هنَّ أفضلُ مِن عِدَّتِهنَّ جهادًا في سبيلِ اللهِ إلا من عفر وجهه تعفيرا. وما مِن يومٍ أفضلُ مِن يومِ عرفةَ Maksudnya: “Dan tidak ada malam-malam yang lebih utama daripada 10 malam ini. Ada orang bertanya, “wahai Rasulullah, adakah hari-hari ini lebih utama (melaksanakan ibadah) berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama?” Baginda menjawab, “Ia lebih utama berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama, kecuali orang yang dilumuri wajahnya dengan tanah. Tidak ada hari yang terbaik berbanding hari Arafah.” Riwayat Ibnu Hibban (3853) Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Musa al-Madini melalui jalan Abu Nu’aim al-Hafiz dengan sanad yang turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Al-Bazzar dan ulama selainnya meriwayatkan hadith daripada Jabir juga, baginda bersabda: أفضلُ أيامِ الدنيا أيامُ العشرِ قالوا يا رسولَ اللهِ ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِ قال ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِ إلا مَن عفَّر وجهَه في الترابِ Maksudnya: “Sebaik-baik hari di dunia ialah 10 hari (bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya? Baginda menjawab, “jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya melainkan sesiapa yang wajahnya dilumuri dengan tanah (mati syahid).” Riwayat Ibnu Hibban (3853) dan al-Bazzar (1128) Hadith ini diriwayatkan secara mursal dan ada ulama mengatakan riwayat mursal lebih sahih. Sebelum ini dinyatakan satu riwayat daripada Ibn Umar yang berkata: “Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT berbanding hari Jumaat, tidak termasuk 10 hari awal Zulhijjah.” Ucapan ini menunjukkan bahawa 10 hari tersebut lebih utama daripada sebaik-baik hari iaitu Jumaat. Suhail bin Abu Soleh meriwayatkan daripada bapanya, daripada Ka’ab, beliau berkata, “Allah telah memilih masa, dan sebaik-baiknya di sisi Allah ialah bulan haram. Bulan haram yang paling disukai Allah ialah Zulhijjah, dan hari dalam bulan Zulhijjah yang paling disukai Allah ialah 10 hari terawalnya.” Seorang perawi meriwayatkannya daripada Suhail, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah secara marfu’, namun tidak sahih. Masruq berkata mengenai firman Allah Taala  “Ia adalah sebaik-baik hari dalam satu tahun. Hal ini diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dan perawi selainnya. Selain itu juga, 10 hari itu merangkumi Hari Arafah. Dan ada riwayat yang menyatakan sebagai sebaik-baik hari di dunia seperti yang terkandung dalam hadis riwayat Jabir yang telah kami sebutkan. 10 hari tersebut mengandungi Hari Raya Korban, dan hadis riwayat Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: عَظْمُ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ ، ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ Maksudnya: “Hari-hari yang paling agung disisi Allah ialah Hari Raya Korban, kemudian Hari al-Qarr (11 Zulhijjah).” Riwayat Imam Ahmad (19285), Abu Daud (1765),Ibnu Khuzaimah (2866) di dalam Sahihnya Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan selain mereka. Semua hadis tadi menunjukkan bahawa ada 10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Ini adalah penjelasan berkenaan waktu siangnya. Manakala waktu malam 10 terawal Zulhijjah, ada kalangan ulama muta’akhkhirin mendakwa bahawa 10 malam terakhir bulan Ramadhan afdhal daripada 10 malamnya kerana mengandungi malam al-Qadr. Namun, pandangan ini sangat jauh daripada kebenaran. Kalaulah hadis riwayat Abu Hurairah yang menyatakan, “Menghidupkan setiap malamnya (10 hari terawal Zulhijjah) sama seperti menghidupkan malam al-Qadr” adalah sahih, pastilah 10 malamnya yang lebih utama berbanding 10 malam terakhir bulan Ramadan disebutkan dengan jelas. Sesungguhnya 10 malam terakhir bulan Ramadhan diberi kelebihan disebabkan satu malam yang ada padanya. Sedangkan semua malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah ini mempunyai kelebihan yang sama pada amalan qiamullai berdasarkan hadis tadi. Tetapi, hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Abu Musa jelas menyatakan keutamaan malam-malam pada sepuluh hari terawal Zulhijjah sama seperti siangnya. Jika perkataan “hari” disebut, ia merangkumi waktu malam yang mengirinya. Begitu juga malam, waktu siang yang mengirinya turut dikira. Sesungguhnya Allah SWT bersumpah dengan 10 malam terawal Zulhijjah dengan berfirman : وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ Maksudnya : “Demi waktu fajar, dan 10 malam(serta hari terawal Zalhijjah).” (Surah al-Fajr : 1-2) Sumpahan ini menunjukkan kepada kelebihan malam-malamnya, tetapi tidak sabit hadis berkenaan semua malam atau salah satunya menyamai malam al-Qadr. Beberapa kumpulan ulama mazhab kami (Mazhab Hanbali) mendakwa bahawa malam jumaat afdal daripada malam al-Qadr, namun pengambilannya daripada Imam Ahmad adalah tidak benar. Oleh itu, berpandukan kepada pandangan mereka, melebihkan 10 malam ini ke atas malam al-Qadr boleh diterima. Pandangan sebenar ialah pandangan sebahagian ulama’ muta’akhkhirin yang mengatakan : “Keseluruhan 10 malam terawal Zulhijjah afdal daripada keseluruhan 10 malam di bulan Ramadan walaupun dalam 10 malam bulan Ramadan terdapat satu malam yang tiada tolok bandingnya”. Wallahua’lam. Kenyataan Ka’ab yang lalu menunjukkan bahawa bulan Zulhijjah adalah bulan yang paling utama daripada empat bulan haram, begitu juga yang dinyatakan oleh Sa’id Ibn Jubair, perawi hadis berikut daripada Ibn Abbas yang berkata, “Tidak ada bulan yang paling tinggi kehormatannya selain Zulhijjah.” Diriwayatkan dalam Musnad al-Bazzar, daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi SAW, baginda bersabda : سيِّدُ الشُّهورِ رمضانُ وأعظمُها حرمةً ذو الحجَّةِ Maksudnya : “Penghulu bagi semua bulan ialah Ramadan dan bulan yang paling tinggi kehormatannya ialah Zulhijjah.” Riwayat al-Bazzar (960).Di dalam sanad hadis ini terdapat Abdul Malik al-Naufali. Kata al-Bazzar: dia ada melakukan kesalahan di dalam riwayat. Dalam sanadnya terdapat kelemahan. Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Abu Sa’id al-Khudri juga : أن النبي صلى علىيه و سلم قال في حجة الوداع في خطبته يوم النحر : ألا إِنَّ أحرمَ الأَيَّامِ يومُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ الشُّهورِ شَهْرُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ البَلَدِ بَلَدُكُمْ هذا Maksudnya : “Bahawa Nabi SAW bersabda ketika haji wada’ dalam khutbahnya pada hari raya korban, “Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia hari ialah hari kamu ini(arafah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia bulan ialah bulan kamu ini ( Zulhijjah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia tempat ialah tempat kamu ini( Makkah).” Riwayat Ibnu Majah (3931) Hadis ini turut diriwayatkan daripada Jabir, Wabisah Bin Ma’bad, Nubait Bin Syarit, dan para sahabat selain mereka, daripada Nabi SAW. Kesemuanya memberi petunjuk bahawa bulan Zulhijjah adalah sebaik-baik bulan haram iaitu bulan yang paling tinggi kehormatannya. Ada suatu riwayat daripada al-Hasan menyatakan bahawa sebaik-baik bulan haram ialah al-Muharram, dan kami akan menyebutkan tentangnya dalam perbahasan bulan al-Muharram, insyaallah. Pandangan yang mengatakan, “Sebaik-baik bulan haram ialah Rejab,” adalah tertolak. Terdapat kelebihan lain bagi 10 hari bulan Zulhijjah selain yang telah disebutkan. Antara kelebihannya ialah: Allah Taala bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Firman Allah Taala, وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ Ertinya: ''Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta) hari dalam bulan Zulhijjah).” (Surah al-Fajr : 1-2) Berkenaan maksud fajar, ada ulama mengatakan ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang; yang semua ini adalah khilaf dalam kalangan mufassirin. Selain itu, ada juga pandangan yang memilih maksudnya ialah: waktu fajar tertentu, fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, atau fajar pada hari terakhirnya, iaitu hari raya korban. Berdasarkan semua pandangan ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah. Sementara itu, maksud 10 malam ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pandangan yang sahih yang dipegang oleh jumhur mufassirin dari kalangan salaf dan selainnya. Ia juga adalah pandangan yang sahih daripada Ibnu Abbas, serta diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. Manakala suatu riwayat daripadanya yang menyebutkan, ''Ia adalah 10 hari dalam bulan Ramadhan,'' sanadnya lemah. Pandangan tadi disandarkan kepada sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa'i dalam al-Tafsir, daripada Zaid bin al-Hubab, Khair bin Nu'aim menceritakan kepada kami , daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda, إِنَّ الْعَشْرَ عَشْرُ الْأَضْحَى وَالْوَتْرَ يَوْمُ عَرَفَةَ وَالشَّفْعَ يَوْمُ النَّحْرِ Ertinya: "Maksud sepuluh ialah 10 hari dalam bulan korban (Zulhijjah), yang ganjil ialah hari Arafah, dan yang genap ialah hari raya korban.'' Sanad Hadis Ini Hasan. Maksud kalimah ''genap'' dan ''ganjil'' tersebut juga ditafsirkan oleh Ibnu Abbas menerusi riwayat daripada Ikrimah dan lain-lain, dan Ikrimah, al-Dhahhak, serta ramai ulama lagi turut mentafsirkan maksud yang sama. Terdapat banyak pandangan yang disebutkan pada maksud kalimah ''genap'' dan ''ganjil'' kebanyakannya tidak terkeluar daripada menyatakan bahawa 10 hari terawal Zulhijjah atau sebahagiannya sudah merangkumi maksud ''genap'' dan ''ganjil'', atau salah satunya. Contohnya: A: Baginda bersabda, Ertinya: ''Ia adalah solat, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.'' Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi, daripada 'Imran bin Hushain, daripada Nabi SAW. B: Pandangan yang menyebutkan, ''Ia adalah makhluk, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.'' Hari yang 10 ini termasuk dalam kategori makhluk. C: Pandangan yang menyebutkan, ''Genap itu seluruh makhluk, manakala ganjil pula ialah Allah.'' Maka, 10 hari tersebut termasuk dalam kalangan makhluk.   10 hari ini adalah termasuk daripada tempoh 40 hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa alaihissalam. Firman Allah Taala, وَوَاعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ ﴿١٤٢﴾ Ertinya: ''Kami telah menjanjikan tempoh kepada Musa (untuk diberikan kitab Taurat) selama 30 malam, dan Kami sempurnakan jumlahnya dengan 10 lagi, lalu cukuplah waktu yang ditentukan oleh Tuhannya selama 40 malam. Musa berkata kepada saudaranya, Harun (semasa hendak keluar dalam tempoh 40 hari ini), 'Gantikanlah aku dalam urusan memimpin kaumku, perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah turuti jalan golongan yang melakukan kerosakan.''' Surah al-A'raf : 142 Tetapi, adakah 10 hari dalam bulan Zulhijjah itu adalah penutup bagi 40 malam tersebut, dan jadilah ia sebagai tempoh yang menyempurnakan 30 malam sebelumnya; atau adakah ia 10 hari pertama daripada 40 malam, lalu ia termasuk daripada 30 malam yang disempurnakan dengan 10 malam lagi? Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat antara mufassirin. Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ma'mar, daripada Yazid bin Abu Ziyad, daripada Mujahid, katanya,'' Tidak ada amalan pada seluruh hari dalam setahun yang afdal daripada 10 hari terawal Zulhijjah. Ia adalah 10 hari yang disempurnakan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam. Ia adalah penutup bagi bulan-bulan yang dimaklumi, iaitu bulan-bulan Haji yang disebutkan oleh Allah. الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ Maksudnya: ''Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi.'' (Surah al-Baqarah : 197) Bulan-bulan tersebut ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Umar, anaknya Abdullah, Ali, Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabiin, mazhab Syafi'i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi'i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulama memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akhbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu. Terdapat juga sekumpulan ulama berkata,''Seluruh hari dalam Zulhijjah termasuk dalam bulan-bulan haji.'' Ini adalah pandangan Malik dan al-Syafi'i menurut mazhab qadimnya. Hal ini turut diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan sekumpulan salaf. Sandarannya ialah sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, namun tidak sahih. Perbahasan mengenai isu ini begitu panjang, dan di sini bukanlah tempatnya. Ia adalah hari-hari yang dimaklumi yang disebutkan Allah sebagai tempoh pengurniaan rezeki berupa binatang ternakan. Firman Allah Taala, وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾ Ertinya: ''Serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari pelbagai jalan yang jauh. Hal tersebut agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat buat mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang dimaklumi atas kurniaan-Nya kepada mereka berupa binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).'' (Surah al-Hajj:  27-28) Jumhur ulama berpendapat bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Antaranya ialah Ibnu Umar, Ibnu Abbas, al-Hasan, 'Atha', Mujahid, Ikrimah, Qatadah, al-Nakha'i, serta pandangan Abu Hanifah, al-Syafi;i, dan Ahmad pada satu riwayatnya yang masyhur. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyari bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 9 Zulhijjah, tidak termasuk hari raya korban. Beliau berkata,''Doa pada hari tersebut tidak akan ditolak.'' Hadis ini diriwayatkan oleh Ja'far al-Firyabi dan lain-lain. Sekumpulan ulama berkata, ''Hari-hari itu ialah hari sembelihan binatang korban,'' dan perkara ini diriwayatkan daripada sekumpulan salaf, yang merupakan pandangan Malik dan Abu Yusuf. Mereka menjadikan zikir kepada Allah pada hari-hari ini disebut ketika menyembelih binatang korban. Ibnu Umar R.anhuma turut berpandangan sedemikian. Al-Maruzzi menukilkan daripada Ahmad bahawa beliau mengatakan pandangan ini adalah lebih baik. Namun, pandangan pertama lebih kuat. Mengingati dan menyebut nama Allah di sisi binatang ternak tidak hanya dikhususkan ketika menyembelihnya, sepertimana firman Allah Taala, ذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾  Ertinya: ''Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan   Allah atas nikmat petunjuk-Nya kepada kamu.'' (Surah al-Hajj : 37) Firman Allah Taala lagi, وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ Ertinya: ''Bagi setiap umat Kami syariatkan ibadah (sembelihan binatang korban) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai tanda bersyukur akan kurniaan rezeki binatang ternak kepada mereka.'' (Surah al-Hajj:34) Setelah itu, Allah Taala berfirman pula, ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾ ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ﴿٢٩﴾ Maksudnya : ''Maka, makanlah binatang korban itu (dagingnya) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir. Kemudian, mereka hendaklah membuang kotoran (pada tubuh badan) dan menyempurnakan nazar (korban) di Rumah yang Lama (Kaabah, kerana ia mula-mula sekali dibangunkan manusia).'' (Surah al-Hajj: 28-29) Allah menjadikan amalan zikir ini dilaksanakan selepas mengingati-Nya pada hari-hari yang dimaklumi dan menghilangkan kekusutan, debu kotoran dan keletihan setelah menunaikan haji. Tawaf di Baitullah dilakukan pada hari raya korban dan selepasnya, bukan sebelum itu. Sesungguhnya Allah menjadikan amalan zikir tersebut menyusul selepas mengingatiNya pada hari-hari yang dimaklumi dengan meletakkan lafaz tsumma . Justeru, ia menunjukkan bahawa maksud hari-hari yang dimaklumi itu ialah tempoh sebelum hari raya korban, iaitu 10 hari terawal Zulhijjah. Mengenai firman Allah Taala, وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ (Surah al-Hajj : 28) Sebahagian ulama berkata, ''Maksudnya ialah menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang ternak, dan penyebutan ini berlaku pada hari raya korban kerana ia hari adalah hari terbaik untuk sembelihan korban.'' Pandangan yang paling sahih ialah Allah mengkehendaki agar nama-Nya disebut sebagai tanda syukur di atas nikmat-Nya  apabila menundukkan binatang ternak untuk para hamba-Nya. Hal ini demikian kerana terdapat banyak nikmat  daripada Allah Taala ke atas para hamba-Nya pada binatang ternak, yang sebahagiannya disebutkan di beberapa tempat dalam al-Quran. Orang yang menunaikan haji mendapat keistimewaan tersebut berbanding orang lain kerana mereka menunggangnya menuju ke Tanah Haram bagi menunaikan ibadah Haji, seperti yang yang difirmankan oleh Allah Taala. عَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ Maksudnya:”Dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj :  27) Firman Allah SWT lagi : وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا بَالِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ الْأَنفُسِ Maksudnya : “Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah.” (Surah al-Nahl : 7) Mereka juga dapat makan dagingnya, meminum susunya dan memanfaatkan pelbagai jenis bulunya. Keistimewaan 10 hari bulan Zulhijjah dikhususkan bagi orang yang menunaikan haji apabila hari-hari tersebut adalah tempoh mereka membawa binatang korban yang melengkapkan kelebihan ibadah haji dan memakan dagingnya di hari terakhir daripada 10 hari itu, iaitu hari raya korban. Sebaik-baik cara membawa binatang korban adalah bermula dari miqat, lalu ditandakan sebagai korban ketika ihram dengan disertai laungan talbiah yang termasuk daripada mengingati Allah pada hari-hari yang dimaklumi. Dinyatakan dalam sebuah hadis : أفضلُ الحجِّ العجُّ والثَّجُّ Maksudnya : “Sebaik-baik haji ialah menguatkan suara ketika bertalbiah dan menyembelih binatang korban.” Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975) Dinyatakan dalam hadis yang lain, عجوا التكبير عجا، و ثجوا الإبل ثجا Maksudnya : “Angkatlah setinggi-tinggi suara ketika bertakbir, dan tumpahkanlah darah binatang korban sebanyak-banyaknya.” Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975) Oleh itu, mengingati Allah sebanyak-banyaknya pada 10 hari awal Zulhijjah adalah tanda syukur di atas segala nikmat yang berkaitan dengan binatang ternak, yang sebahagiannya bersangkut paut dengan ibadah orang yang menunaikan haji, dan sebahagian yang lain dengan urusan dunia mereka. Amalan yang terbaik ialah amalan yang disertai dengan banyak mengingati Allah SWT , anataranya ialah ibadah haji secara khusus. Sesungguhnya Allah SWT menyuruh agar banyak mengingatinya pada hari-hari mengerjakan ibadah haji. Allah SWT berfirman: فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ ﴿١٩٨﴾ ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٩٩﴾ Maksudnya : “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah : 198-199) Banyak mengingati Allah ini dilakukan pada 10 Zulhijjah. Kemudian Allah berfirman lagi: فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ Maksudnya : "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat". (Surah al-Baqarah : 200) Begitu juga amalan ini dilakukan pada hari raya korban, iaitu hari penutup kepada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian Allah memerintahkan untuk mengingatinya dalam hari-hari tertentu selepas 10 hari itu, iaitu hari-hari tasyrik. Diriwayatkan dalam kitab al-Sunan daripada Nabi  SAW, baginda bersabda : إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ Maksudnya : “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie diantara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.” Riwayat al-Tirmizi  (902) & Abu Daud (1888) Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Muaz Bin Anas : أَنَّ رَجُلًا سَأَلَهُ فَقَالَ أَيُّ الْجِهَادِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا قَالَ فَأَيُّ الصَّائِمِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا ثُمَّ ذَكَرَ لَنَا الصَّلَاةَ وَالزَّكَاةَ وَالْحَجَّ وَالصَّدَقَةَ كُلُّ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ لِعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ يَا أَبَا حَفْصٍ ذَهَبَ الذَّاكِرُونَ بِكُلِّ خَيْرٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجَلْ Maksudnya :'' Seorang lelaki berkata,'Wahai Rasul'' Seorang lelaki berkata,'Wahai Rasul'' Seorang lelaki berkata,'Wahai Rasul'' Seorang lelaki berkata,'Wahai Rasulullah, manakah jihad yang paling besar pahalanya?' Baginda bersabda,'Orang yang paling banyak mengingati Allah ketika berjihad.'Dia bertanya lagi,'Siapakah orang yang berpuasa yang paling besar puasanya?'orang itu bertanya solat, zakat, haji, dan sedekah; kesemua dijawab oleh Rasulullah SAW,' Orang yang paling banyak mengingati Allah dalam kalangan mereka.' Lalu,Abu Bakar berkata,'Wahai Abu Hafs ( Umar bin al-Khattab ),golongan mengingati Allah akan berlalu pergi dengan seluruh kebaikan.' Lantas,Rasulullah SAW bersabda,'Betul.'' Riwayat Imam Ahmad (3/438) Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dan Ibnu Abu al-Dunya melalui jalan-jalan periwayatan yang lain secara mursal. Dalam satu riwayatnya berbunyi, فأي الحجاج خير؟ قال : أكثرهم ذكرا لله Maksudnya: '' Siapakah orang yang mengerjakan haji yang paling besar pahalanya?'' Baginda bersabda, ''Orang yang paling banyak mengingati Allah dalam kalangan mereka.'' Riwayat al-Baihaqi (558) di dalam Syu’ab al-Iman   Kemudian, Baginda menyebutkan amalan-amalan lain, seperti maksud hadis sebelum ini. Kesemua keadaan ini adalah merujuk kepada orang yang mengerjakan haji. Bagi masyarakat di negara lain, mereka menyertai orang yang mengerjakan haji pada 10 Zulhijjah dengan berzikir dan mempersiapkan binatang korban tarikh 10 Zulhijjah ialah hari untuk mengerjakan sembelihan sebagaimana orang yang menunaikan haji menunggang binatang korban. Meraka juga menyertai jemaah haji dalamsebahagian ibadah ihram. Sesiapa yang memasuki 10 hari terawal Zulhijjah dan hendak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya, seperti yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah daripada SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Amalan ini dipegang oleh al-Syafi'i, Ahmad, dan kebanyakan fuqaha hadis. Ada juga kalangan mereka yang mensyaratkan supaya binatang korbannya hendaklah dibeli sebelum 10 Zulhijjah, namun kebanyakannya tidak mensyarakatkan sedemikian. Akan tetapi, Malik, Abu Hanifah, dan ramai fuqaha berbeza pendapat dalam hal ini. Mereka berkata, ''Perbuatan itu tidak makruh untuk dilakukan.'' Mereka berdalilkan hadis riwayat Aisyah, katanya. كُنْتُ أَفْتِلُ قَلَائِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا ثُمَّ لَا يَحْرُمُ مِنْهُ شَيْءٌ Maksudnya : '' Aku pernah mengikat tali pada tali leher binatang kerban kepuyaan Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah mengharamkan sesuatu amalan yang telah dihalalkan oleh Allah kepada Baginda.'' Riwayat Muslim (1321) & Imam Ahmad (6/35) Ramai ulama yang berpegang dengan pandangan pertama menjawab: “Kedua-dua hadis tersebut perlu digabung. Maka,hadis Ummu Salamah diamalkan oleh orang yang ingin melakukan korban di negaranya sendiri. Manakala hadis Aisyah diamalkan oleh orang yang mengirimkan binatang korbannya bersama orang lain, Sedangkan dia berada dalam negaranya.” Apabila Ibnu Umar melakukan sembelihan pada hari raya korban, beliau mencukur kepalanya, dan hal ini disebutkan oleh Ahmad. Ulama berbeza pendapat tentang amalan orang yang tidak mengerjakan haji menyerupai amalan jemaah haji pada malam hari Arafah. Imam Ahmad tidak pernah melakukannya dan tidak mengingkari orang yang melakukannya kerana perbuatan ini pernah diriwayatkan daripada amalan Ibnu Abbas dan para sahabat yang lain. Berkenaan penglibatan orang tersebut dengan mereka dalam amalan zikir pada hari-hari yang dimaklumi, hal tersebut disyariatkan kepada semua manusia untuk banyak mengingati Allah, terutamanya dalam tempoh 10 hari terawal Zuhijjah. Sebelum ini, hadis marfu' riwayat Ibnu Umar menyatakan : فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ Maksudnya: ''Banyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid sepanjang tempoh tersebut.'' Riwayat Imam Ahmad (6154) di dalam Musnad dan al-Baihaqi (3481) di dalam Syu’ab al-Iman   Ulama berselisih pendapat pula tentang: Adakah disyariatkan untuk bertakbir dan melaungkannya dengan kuat di kawasan perniagaan pada 10 hari terawal Zulhijjah ? Sekumpulan mereka mengingkarinya, manakala Ahmad  dan al-Syafi'i berpendapat ia adalah sunat. Tetapi, al-Syafi'i mengkhususukannya ketika melihat binatang ternak dan Ahmad berpandangan ia adalah sunat secara mutlak. Al-Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya daripada Ibnu Umar dan Abu Hurairah bahawa mereka berdua keluar menuju ke pasar pada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian mereka bertakbir, dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka[3]. 'Affan meriwayatkan tentang kejadian ini,katanya,''Salam Abu al-Munzir menceritakan kepada kami, daripada Humaid al-A'raj, daripada Mujahid, beliau berkata, 'Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan datang melainkan datang melainkan  untuk untuk untuk bertakbir.'' Ja'far al-Firyabi meriwayatkan dalam Kitab al-Idain, beliau berkata, ''Ishak bin Rahawaih menceritakan kepada kami,'Jarir mengkhabarkan kepada kami, daripada Yazid bin Abu Ziyad, katanya,'Aku melihat Sa'id bin Jabair, Mujahid, dan Abdul Rahman bin Abu Laila atau dua orang daripada mereka, serta beberapa orang fuqaha, yang mengucapkan pada 10 hari tersebut: 'Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah , dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala pujian.'' Tatkala Allah SWT mencampakkan perasaan rindu untuk melihat Baitullah al-Haram ke dalam jiwa mukminin namun tidak semua orang mampu melihatnya pada setiap tahun, maka Allah memfardhukan haji sekali seumur hidup keatas orang yang mampu mengerjakannya. Allah juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bagi orang yang mengerjakan haji dan merrka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam haji dalam suatu tahun, dia boleh melakukan amal soleh di tempat tinggalnya sepanjang 10 hari tersebut. Keadaaan ini lebih utama daripada jihad yang pada asalnya merupakan amalan yang lebih utama daripada haji. Kata Penyair : Malam - malam sepuluh adalah waktu-waktu mustajab,      Maka segeralah beramal dengan penuh keinginan, nescaya kamu akan mendapat ganjaranya. Ingatlah tiada masa lagi untuk mereka beramal, di dalamnya      terdapat ganjaran kebaikan yang lebih hampir untuk dicapai pada 10 malam dalam bulan Zuhijjah secara pasti.      Maka, bersungguh sungguhlah dan kembalilah kepada Allah.   Berhati-hatilah dengan maksiat kerana ia dapat menghalang keampunan pada musim-musim yang sarat dengan rahmat. Al-Marruzi meriwayatkan dalam Kitab al-Wara' dengan sanadnya daripada Abdul Malik bin Umair, daripada seorang lelaki, sama ada daripada kalangan sahabat atau tabiin bahawa seseorang telah datang dalam mimpinya pada suatu malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah, lalu berkata, ''Tidak ada seorang Muslim melainkan akan diampuni dosa-dosanya dalam hari-hari ini, setiap hari sebanyak lima kali melainkan para pemain asy-syah ( الشاه) yang berkata,' Raja telah mati.' Apa kaitan kematiannya?! Beliau memaksudkan para pemain catur. Sekiranya bermain catur itu sudah menghalang daripada mendapat keampunan, maka apatah lagi dengan dosa besar yang disepakati oleh ulama yanag dilakukan secara berterusan. Ketaatan kepada Allah adalah sebaik-baik kelaziman bagi seorang hamba, Kata penyair :      Maka jadilah hamba yang taat dan janganlah menderhakai-Nya. Jiwa tidak akan binasa melainkan dengan maksiat,     Jauhilah segala perbuatan yang dilarang-Nya dan janganlah mendekatinya. Sesungguhnya suatu perkara yang membawa kepada kebinasaan dirimu,      hendaklah engkau memelihara dirimu daripadanya. Maksiat adalah sebab kepada penjauhan dan tidak diendahkan, manakala ketaatan adalah sebab kepada mendekatkan diri kepada Allah dan kasih sayang-Nya.   Adakah terdapat mana-mana pemuda yang dapat menjamin diriny untuk meninggalkan maksiat,      maka, aku gadaikan kepadanya jaminan keselamatan. Suatu kaum mentaati Allah, lalu mereka hidup dalam keadaan tenang,      dan mereka tidak akan menelah kepahitan maksiat.   Dalam tempoh ini, sesungguhnya saudara kamu sudah pun mengenakan kain ihram pada tubuh mereka dan pergi ke Baitullah al-Haram, serta memenuhi setiap ruang angkasa dengan laungan talbiah, takbir, tahlil, tahmid dan mengangunkan Penciptanya. Mereka berjalan pergi, namun kita masih duduk. Mereka semakin hampir, namun kita tetap jauh. Sekiranya kita memiliki bahgian bersama mereka, pasti kita akan bahagia. Adakah kamu menyendiri ketika melalui kawasan bukit pasir dan jalan berliku di gunung,      untuk menyebut tentang kami, wahaikafilah yang merentasi Sal'a (nama sebuah bukit di Madinah)? Kami terputus hubungan, sedangkan kalian dapat sampai.Justeru, mengertilah,     dan bersyukurlah kepada Tuhan Pemberi nikmat,wahai penduduk Mina. Sesungguhnya kami telah rugi sebaliknya kalian beruntung.Oleh itu, sampaikanlah,      lebihan keuntungan kepada orang yang kehilangan modal. Hatiku turut mengekori di belakang muatan barangan kalian,      namun hanya keuzuran menghalang badanku. Setiap lembah yang kalian lalui,sesungguhnya.      aku datang berjalan ke sana dengan langkah pengharapan. Semenjak kalian pergi, aku tidak putus mengingati kalian.      Adakah keadaan kami diperlihatkan kepada kalian?   Orang yang tidak mengerjakan haji kerana suatu keuzuran tetap mendapat sama seperti orang yang mengerjakannya. Boleh jadi orang yang berangkat pergi dengan hatinya mendahului orang pergi berhaji. Salah seoerang pergi ke sana melihat dalam mimpi seseorang yang berkata kepadanya di malam Arafah,''Adakah engkau dapat melihat suasana yang sesak di kawasan ini? Sesungguhnya tiada seorang pun daripada mereka yang mengerjakan haji kecuali seorang lelaki yang tidak berada di sini. Dia mengerjakan haji dengan sepenuh keazamannya, lalu ganjaran orang yang berada di kawasa ini dikurniakan kepadanya.'' Wahai orang-orang yang berjalan menuju ke Baitul Atiq,sesungguhnya      kamu berjalan dengan tubuh badan,sedangkan kami pula berjalan dengan roh. Kami beramal dalam keadaan uzur sedangkan mereka telah berangkat pergi.      Sesiapa yang beramal dalam keadaan uzur, samalah seperti orang yang pergi ke sana.   Capailah keuntungan dengan merebut peluang pada hari-hari yang agung ini, ia tidak boleh diganti dan tidak ternilai. Segeralah beramal, lakukanlah dengan cepat sebelum kedatangan ajal, sebelum orang yang lalai bersa menyesal atas perbuatan yang dilakukannya, Sebelum dia meminta agar dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh namun tidak diperkenankan, sebelum maut memisahkan antara orang yang berharap dan impian yang hendak dicapai sebelum seseorang yang tertahan dengan amalan yang dia lakukan di dalam lubang kuburnya. Tidak ada bagi mayat di dalam kuburnya     makanan berbuka, binatang korban, dan 10 hari dalam bulan Zuhijjah. Dia berada jauh daripada ahli keluarga yang berada dekat dengannya.     Begitulah keadaan bagi sesiapa yang berumahkan kuburan. Wahai orang yang mula ditumbuhi uban selepas mencapai usia 40 tahun! Wahai orang yang sudah melalui 10 hari terawal Zulhijjah setelah usia itu selama 10 tahun sehingga mencecah usia 50 tahun! Wahai orang yang berada di medan pertarungan antara usia 60 tahun ke 70 tahun! Tidak ada suatu perkara yang engkau nantikan selepas mengetahui khabar ini melainkan  mati yang akan datang kepadamu. Wahai orang mempunyai dosa yang sebanyak bilangan ganjil dan genap! Adakah engkau tidak malu dengan malu dengan para malaikat yang mulia, para pencatat amalanmu? Ataupun engkau termasuk daripada kalangan orang yang mendustakan hari kiamat? Wahai orang gelap hatinya bagaikan malam yang tiba! Bukanlah telah sampai masanya untuk hatimu bersinar atau menjadi lembut? Terimalah pelbagai hadiah daripada Penjagamu dalam tempoh masa 10 hari ini kerana sesungguhnya hadiah-hadiah tersebut adalah milik Allah dalam tempoh itu, yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesiapa yang memperolehnya, dia pasti akan bahagia di akhir hayat. Matahari hidupku Matahari hidupku telah menyingsing,     dan condong mengarah ke barat. Kegelapan malam di kepalaku telah berlalu pergi,     dan kelihatanlah cahaya uban. Wahai Tuhanku,selamatkanlah diriku kerana sesungguhnya,     aku pernah bergelumang di lautan dosa. Kurniakanlah kepadakua kemaafan wahai Tuhan,      yang sangat dekat daripada kalangan sesiapa sahaja yang dekat.   Penutup Itulah petikan yang kami nukilkan daripada kitab lataif al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-Am Min al-Wazaif yang ditulis dan dikarang oleh Ibnu Rajab al-Hanbali. Oleh itu,marilah kita beramal dan perbanyakkan amal kebajikan.Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa melakukan amal soleh untuk bekalan di akhirat kelak.     [1] Riwayat Abu Daud (1449) [2] Riwayat Abdurrazaq (8126) di dalam Musannaf [3] Imam al-Bukhari menyebutnya secara ta’liq
3,248
"Usul Persendirian bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian, bernama Rang Undang-Undang Mahkanah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat. Di samping sebahagian pihak menyambut baik cadangan tersebut, muncul juga pihak-pihak yang skeptikal dengan RUU tersebut dan menolaknya atas alasan bertentangan dengan perlembagaan, bukan keutamaan, pertentangan dengan Maqasid al-Syariah, dan hanya berkepentingan survival politik individu dan parti tertentu. Tidak kurang juga respon negatif yang diterima daripada sebahagian ahli parlimen bukan Islam yang bermati-matian menolak usul persendirian tersebut tanpa mengambil kira keperluan mendesak warganegara Muslim yang lain . Atas sebab inilah, makalah ini muncul bagi menjelaskan salah faham dan kejahilan beberapa pihak yang keliru, atau masih berdiam diri, daripada aspek yang lebih luas seperti sejarah, perundangan, Maqasid al-Syariah dan aspirasi asal penubuhan undang-undang ibu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ], merentasi perbezaan politik, ras dan agama. Semoga keputusan kita pada hari ini bermanfaat kepada generasi kemudian. InsyaAllah." Muat turun makalah penuh: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris
3,250
Soalan: Apakah sah puasa orang keluar mani di siang hari apabila menyedarinya ketika bangun daripada tidur? Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami nukilkan teks asal daripada kitab al-Muktamad di dalam mazhab al-Syafie: “Keluarnya mani dengan sengaja dengan tanpa bersetubuh seperti bercium, onani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau onani dengan sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (terpancutnya mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). Adapun jika mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu inzal (terpancut atau keluar mani) maka hal ini tidak membatalkan puasa kerana tidak berlakunya mubasyarah. Selain itu, hal ini sama juga bagi sesiapa yang bermimpi pada siang hari Ramadhan maka tidak membatalkan puasa secara ijma’ (ulama’) kerana perkara ini di luar kawalannya”. [Lihat: al-Muktamad, 184/2] Pendapat ini didasarkan dengan sebuah hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Mustafa al-Bugho di dalam Sunan Abi Daud bahawa hadith ini mubham iaitu tidak diketahui siapa yang meriwayatkan tetapi perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Darquthni: [Lihat: Ifadah al-Raghibin, 655/1] Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW:  لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ Maksudnya: “Tidak berbuka (batal puasa) sesiapa yang muntah, tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam”. [Riwayat Abu Daud (2376)] Untuk itu, kami katakan bahawa tidak batal puasa bagi orang yang keluar air mani ketika tidur dengan syarat air mani itu keluar dengan sendirinya bukannya dengan sebab-sebab kemesraan. Ini kerana, perkara ini berlaku bukan dengan kehendaknya dan ia juga di luar kawalannya. Tambahan pula, orang yang tidur taklifnya diangkat dan tidak ambil kira. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima amalan kita serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini agar kita dapat meneruskan amal ibadah seharian dengan sempurna pada bulan yang mulia ini. Amin. Wallahua’lam
3,251
SOALAN Salam Datuk. Saya ingin bertanya berkenaan lafaz akad nikah. Dalam kad pengenalan abah saya menyatakan namanya ABULLAH. Kemudiannya saya baru perasan dalam surat beranak nama ayah saya adalah ABDULLAH. Persoalan saya semasa lafaz akad nikah, yang mana saya perlu ikut sama ada nama di kad pengenalan atau surat beranak dan adakah akad tersebut terbatal jika saya atau jurunikah tersalah menyebut nama abah?     RINGKASAN JAWAPAN Sebuah perkahwinan dianggap sah apabila memenuhi syarat dan rukun-rukunnya. Kesalahan ketika menyebut nama pengantin perempuan atau nama bapa pengantin perempuan tidak menjejaskan akad perkahwinan tersebut. Bahkan ia dianggap sah di sisi syarak. Hal ini kerana menyebut nama pengantin bukan termasuk syarat-syarat sah perkahwinan. Antara syarat sah perkahwinan bagi pengantin perempuan adalah ta’yin iaitu penentuan seorang wanita sebagai isteri.   HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.   Setiap individu muslim yang ingin melaksanakan akad perkahwinan wajib memenuhi syarat dan rukun-rukunnya. Syarak menetapkan lima rukun yang wajib dipenuhi ketika akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, lafaz (ijab dan qabul), wali dan dua orang saksi. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 4/226)[1]   Antara syarat sah perkahwinan bagi pengantin wanita adalah ta’yin iaitu penentuan pengantin perempuan di dalam akad. Suami wajib menentukan pengantin wanita ketika akad. Sama ada ditentukan melalui nama, atau isyarat, atau melalui sifat-sifat yang membezakan sekira terdapat persamaan atau tidak. Dr Muhammad al-Zuhaili menukilkan perkara ini di dalam karyanya: يشترط في الزوجة أن تكون معينة في العقد، وإلا بطل العقد، فوجب تعيينها في العقد، لأن المقصود في النكاح أعيان الزوجين إما بالاسم أو الإشارة أو الصفة المميزة Maksudnya: “Syarat pengantin perempuan adalah ditentukan dalam akad, jika tidak (ditentukan) maka batal akad tersebut. Ini kerana maksud perkahwinan adalah ditentukan pasangan suami isteri sama ada dengan nama, isyarat atau dengan sifat-sifat yang dapat membezakan.” (Rujuk: al-Muktamad, 4/58)   Di sisi mazhab Syafi’i, sekiranya bapa melafazkan ijab dalam sesuatu pernikahan dengan tanpa menyebut nama atau tersalah sebut nama anaknya, maka pernikahan tersebut tetap dianggap sah. (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/163)[2]   Tambahan pula, menyebut nama bukan syarat sah dalam akad perkahwinan sebagaimana contoh yang dinukilkan oleh imam al-Nawawi di dalam kitabnya: لَو ‌قَالَ ‌الْوَلِيّ ‌تَزَوَّجتهَا فَقَالَ تزوجت صح Maksudnya: “Berkata wali: kahwini dia, maka kata suami: aku mengahwininya, sah.” (Rujuk: Minhaj al-Tolibin, hlm 207) Oleh hal yang demikian, menurut pandangan dan kenyataan di atas dapat difahami bahawa akad perkahwinan yang dilaksanakan dalam keadaan tersalah menyebut nama wali atau nama pengantin perempuan tidak menyebabkan batal perkahwinan tersebut. Ini kerana syarat bagi pengantin wanita adalah ditentukan sama ada melalui sifat, isyarat atau namanya jika terdapat persamaan atau tidak mampu untuk membezakan.   KESIMPULAN Kesimpulannya, kesalahan menyebut nama pengantin perempuan atau nama walinya tidak membatalkan perkahwinan. Bahkan perkahwinan tersebut dianggap sah di sisi syarak jika memenuhi syarat dan rukun-rukunnya..والله أعلم   [1] وَأَرْكَانُهُ خَمْسَةٌ: صِيغَةٌ، وَزَوْجَةٌ، وَشَاهِدَانِ، وَزَوْجٌ، وَوَلِيٌّ، وَهُمَا الْعَاقِدَانِ [2] وَقَال شَمْسُ الدِّينِ الرَّمْلِيُّ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ: لَوْ قَال أَبُو بَنَاتٍ: زَوَّجْتُكَ إِحْدَاهُنَّ أَوْ بِنْتِي أَوْ فَاطِمَةَ ‌وَنَوَيَا ‌مُعَيَّنَةً وَلَوْ غَيْرَ الْمُسَمَّاةِ فَإِنَّهُ يَصِحُّ، قَال الشَّبْرَامَلِّسِيُّ: لَوْ زَوَّجَهَا الْوَلِيُّ ثُمَّ مَاتَ ثُمَّ اخْتَلَفَتُ الزَّوْجَةُ مَعَ الزَّوْجِ فَقَالَتْ: لَسْتُ الْمُسَمَّاةَ فِي الْعَقْدِ، وَقَال الشُّهُودُ: بَل أَنْتِ الْمَقْصُودَةُ بِالتَّسْمِيَةِ، وَإِنَّمَا الْوَلِيُّ سَمَّى غَيْرَكَ فِي الْعَقْدِ غَلَطًا وَوَافَقَهُمَا الزَّوْجُ عَلَى ذَلِكَ، فَهَل الْعِبْرَةُ بِقَوْلِهَا لأَنَّ الأَصْل عَدَمُ النِّكَاحِ، أَوِ الْعِبْرَةُ بِقَوْل الشُّهُودِ؟ فِيهِ نَظَرٌ وَالأَقْرَبُ الأَوَّل، لأَنَّ الأَصْل عَدَمُ الْغَلَطِ
3,253
Soalan Adakah Tawaf Wada’ wajib dan apakah perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’?   Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Kami mulakan hal ini dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.” Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: Hadis ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747) Hadis di atas menunjukkan Tawaf Wada` hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadis ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan “الأمر المطلق” menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni’ oleh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqithi, 13/127) Dalam hadis yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).” Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070) Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79) Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’, 8/254) Imam al-Zarkasyi berkata: Larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya (ضده). Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah sebelum tawaf wada` ialah melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421) Imam al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadis di atas berkata: “Perkataan Baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke akhirnya, ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada’. (Lihat Nail al-Autar, 5/106)   Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada', Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada’, iaitu:   Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’ Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram. Berdoa di Multazam. Mengucup Al-Hajar al-Aswad. Menunaikan solat sunat safar. Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan. Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram. Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.    Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel) Makan dan minum di hotel. Qadha hajat. Menyalin dan menukar pakaian. Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu. Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan. Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang. Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama. Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang. Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat). Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya. Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya). Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan. Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada’. Semoga pencerahan ini dapat merungkai pelbagai isu berkaitan Tawaf Wada’, apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan.
3,254
Soalan: Assalamualaikum al-fadhil ustaz. Kita biasa membaca Penghulu Istighfar yang berbunyi: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ Yang bermaksud: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berpegang dengan perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepada-Mu dan aku akui nikmat-Mu kepadaku, maka ampunilah daku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain-Mu, dan aku meminta ampun dari segala yang pernah aku perbuat.” Apakah maksud al-`ahd dan al-wa’d yang diterjemahkan sebagai perjanjian dan janji dalam konteks hadis di atas?   Jawapan: Waalaikumsalam wrm. wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Hadis di atas diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus secara marfuk kepada Rasulullah ﷺ dan dimasukkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih-nya (no.6306). Antara fadilat membacanya dengan meyakininya ialah jika dia mati pada hari itu maka akan dikira sebagai ahli Syurga. Dalam menghuraikan hadis ini, berkata Imam Ibn Battal dalam Syarah Sahih al-Bukhari (10/76): “al-`Ahd bermaksud perjanjian yang Allah ambil daripada hamba-hambanya ketika penciptaan mereka yang mula-mula, semasa Dia mengeluarkan mereka daripada sulbi bapa mereka (Adam) seumpama zarah dan menyaksikan mereka bersaksi atas diri mereka sendiri: "Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami).” Maka mereka mengakui ketuhanan Allah ketika mereka berada dalam keadaan asal kejadian, mereka tunduk dan patuh pada sifat Wahdaniyah-Nya. Manakala al-wa`d bermaksud janji Allah Taala kepada mereka bahawa barangsiapa dalam kalangan mereka yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, kemudian menunaikan apa yang telah difardukan Allah ke atasnya maka masuklah Syurga. Hendaklah setiap orang beriman itu berdoa kepada Allah Taala agar mematikannya dalam (memegang kukuh) perjanjian tadi, serta dimatikan dalam iman, supaya dapat mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah Taala bagi sesiapa yang mengotakan yang demikian itu, kerana mengikut cara Nabi ﷺ apabila berdoa untuk perkara itu. Ini juga serupa dengan apa yang diminta oleh para nabi AS dalam doa-doa mereka. Berdoa akan Nabi Ibrahim ﷺ: وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الْأَصْنَامَ Maksudnya: “dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.” (Surah Ibrahim: 35) Dan berkata (Nabi) Yusuf: تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ Maksudnya: “sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".” (Surah Yusuf: 101) Dan doa Nabi kita: وَإِذَا أَرَدْتَ فِي النَّاسِ فِتْنَةً فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ Maksudnya: “Dan jika Engkau (Allah) berkehendakkan berlaku fitnah dalam kalangan manusia, maka cabutlah nyawaku untuk menemuimu dalam keadaan selamat daripada fitnah.” RIwayat Malik dalam al-Muwatto’ (no.40) Beginda mengajarkan umatnya dengan sabdanya: أَنَا عَلَى عَهدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسِتَطَعْتُ Maksudnya: “Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.” Daripada kenyataan di atas, boleh kita fahami bahawa kaliamah al-`ahd bererti perjanjian yang dibuat oleh manusia sewaktu berada di alam roh dengan Allah Taala agar sentiasa bertauhid dan melaksanakan perintah-Nya. Manakala al-wa`d merujuk kepada janji Allah Taala bahawa manusia yang melaksanakan segala yang diperintah oleh-Nya dijanjikan untuk masuk ke Syurga. Berkata Ibn Hajar Al-Asqalani dalam Fath al-Bari (11/100): “Dan perkataan Ibn Battal “dan menunaikan apa yang telah difardukan” adalah tambahan yang bukan menjadi syarat dalam konteks ini. Ini kerana Rasulullah menjadikan maksud bagi al-‘ahd ialah mithaq (perjanjian yang termeterai) yang diambil pada Alam Dzar (alam ruh) yakni tauhid secara khusus, manakala al-wa`d ialah janji untuk memasukkan sesiapa yang mati dalam keadaan demikian (berpegang teguh dengan perjanjian untuk bertauhid) ke dalam Syurga. Berkata lagi Ibn Battal tentang “sesuai dengan kemampuanku” bermaksud Nabi mengajar umatnya tentang hakikat bahawa seseorang itu tidak akan mampu untuk melaksanakan semua kewajiban kerana Allah dan tidak mampu menepati janji untuk melaksanakan semua ketaatan dengan sempurna serta bersyukur dengan segala nikmat, maka Allah pun bersifat lembah lembut kepada para hambanya dengan tidak memberikan tanggungjawab kepada mereka melainkan berdasarkan kemampuan mereka.” Keterangan di atas bermaksud, bahawa Allah mengetahui keadaan manusia yang lemah untuk melaksanakan semua arahan justeru meletakkan piawai ketaatan itu berdasarkan kemampuan manusia. Ini juga merupakan adab yang diajar oleh Rasulullah ﷻ kepada kita semasa berdoa untuk mengakui kelemahan diri kita dan berharap agar Allah Taala belas kasihan terhadap kita terhadap segala kekurangan kita dalam melalukan ketaatan. Wallahua’lam. Semoga penjelasan ini memberikan kita motivasi untuk memperbanyakkan ibadah dan mengelokkannya semata-mata kerana Allah ﷻ. Amin
3,255
Soalan Assalamualaikum wrth Datuk, benarkah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan bulan Rejab bahawa sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat di bulan Rejab maka dia tidak akan mati sehingga di melihat tempatnya di dalam syurga? Ringkasan Jawapan Riwayat yang menyebutkan bahawa “sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan dibacakan pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan 100 kali surah al-Ikhlas pada rakaat kedua maka dia tidak akan mati sehingga dilihatkan tempatnya di dalam syurga” merupakan riwayat yang palsu. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh ulama hadis seperti Imam Ibn al-Jauzi, Imam al-Suyuti, Imam al-Laknawi dan lain-lain. Huraian Jawapan Saban tahun apabila datang bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) maka akan timbul persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kelebihan bulan-bulan tersebut. Menceritakan kelebihan bulan-bulan tersebut demi menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang baik tetapi menjadi suatu kesalahan apabila menyebarkan riwayat-riwayat yang palsu lalu disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini kerana, sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara. Berdasarkan kepada persoalan di atas, maka riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut: مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَبٍ وَصَلَّى فِيهِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَقْرَأُ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ مِائَةَ مَرَّةٍ آيَةَ الْكُرْسِيِّ وَفِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِائَةً مَرَّة قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَرَى مقعده من الْجَنَّةِ أَوْ يُرَى لَهُ Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa satu hari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan membaca pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan membaca 100 kali “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”  pada rakaat kedua. Dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya daripada syurga atau dilihatkan kepadanya. Riwayat ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis muktabar. Namun, riwayat ini disebutkan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam al-Mauduʻat[1], Imam al-Suyuti dalam al-La’ali’ al-Masnuʻah[2], Imam al-Kinani dalam Tanzih al-Syariʻah[3], Imam al-Syaukani dalam al-Fawa’id al-Majmuʻah[4] dan Imam al-Laknawi dalam al-Athar al-Marfuʻah[5]. Imam Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa: هَذَا حَدِيث مَوْضُوع عَلَى رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. أَكْثَر رُوَاته مَجَاهِيل، وعُثْمَان مَتْرُوك عِنْد الْمُحدثين. Maksudnya: Hadis ini adalah palsu ke atas Rasulullah SAW. Kebanyakan perawinya tidak dikenali dan Uthman[6] merupakan perawi matruk(perawi yang ditinggalkan periwayatannya) menurut ulama hadis.[7] Justeru, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu dan tidak boleh disebarkan serta disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas RA mengenai kelebihan bulan Rejab di dalam tafsirnya bahawa beliau berkata: ثُمَّ اخْتَصَّ مِنْ ذَلِكَ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ فَجَعَلَهُنَّ حَرَامًا، وعَظم حُرُماتهن، وَجَعَلَ الذَّنْبَ فِيهِنَّ أَعْظَمَ، وَالْعَمَلَ الصَّالِحَ وَالْأَجْرَ أَعْظَمَ Maksudnya: Lalu dikhususkan dan menjadikan empat bulan haram, kehormatannya sangat besar, dosa yang dilakukan pada bulan tersebut (azabnya) lebih besar dan amal soleh yang dilakukan pada bulan tersebut (pahalanya) lebih besar.[8] Menerusi nukilan ini, difahami bahawa segala amal kebaikan yang dilakukan pada bulan haram seperti bulan Rejab pahala akan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Begitu juga sekiranya kejahatan yang dilakukan pada bulan tersebut maka dosanya juga akan digandakan oleh Allah SWT. Oleh itu, dinasihati untuk tidak menyebarkan hadis-hadis palsu demi menggalakkan umat Islam beribadah. Tetapi biarlah ajakan untuk meningkatkan ibadah tersebut dilakukan dengan menggunakan nas-nas agama yang bersumberkan daripada sumber yang berautoriti bukannya sumber-sumber yang bersifat hoax. Wallahuaʻlam [1]    Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, ed. ‘Abd al-Rahman Muhammad ‘Uthman (Madinah: Muhammad ‘Abd al-Muhsin, 1966), 2: 123. [2]    Jalal al-Din al-Suyuti, al-La’ali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. Solah bin Muhammad bin ‘Uwaidah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1996), 2: 47. [3]    Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Wahab ‘Abd al-Latif dan ‘Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1399), 2: 89. [4]    Muhammad bin ʻAli bin Muhammad al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Muʻallimi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t), 47. [5]    Abu al-Hasanat al-Laknawi, al-Athar al-Marfuʻah fi al-Akhbar al-Mauduʻah, ed. Muhammad al-Saʻid Basyuni Zaghlul (Baghdad: Maktabah al-Syarq al-Jadid, t.t), 61. [6]    Uthman bin ‘Ata’. Rujuk Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, 2: 90. [7]     Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, 2: 124. [8]    Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ed. Sami bin Muhammad Salamah (Dar al-Taibah, 1999), 4: 148.
3,256
Salah faham Terdapat pihak yang mengatakan tidak benar mereka yang mendakwa kelompok Daesh atau ISIS itu sebagai Khawarij. Ini kerana Khawarij telah lama luput ditelan zaman. Sebaliknya Daesh atau ISIS adalah kelompok yang berpegang kuat kepada al-Qur’an dan al-Sunnah demi menegakkan Khilafah Islamiyyah. Benarkah kenyataan ini?   Pencerahan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Dari segi sejarah, kemunculan Khawarij berkait rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada penghujung zaman Khulafa al-Rasyidin. Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah, kumpulan Khawarij pada awalnya muncul kebanyakannya daripada kalangan golongan al-Qurra’ yang majoritinya terdiri daripada golongan ‘arab badwi yang tidak memahami selok belok percaturan politik. Mereka juga tidak mampu untuk menerima hakikat apabila kaum Quraish mengambil alih kepimpinan dan memiliki keistimewaan tertentu setelah Islam menyamaratakan antara kaum Muslimin. Golongan al-Qurra’ berperanan besar sehingga tercetusnya pemberontakan terhadap Sayyiduna Uthman bin Affan, terutamanya ketika timbulnya isu yang melibatkan kaum kerabat Bani Umayyah pada enam tahun kedua pemerintahan Uthman. Selepas pembunuhan Uthman, golongan al-Qurra’ menjadi kumpulan teramai yang menyokong Sayyiduna Ali bin Abi Talib dalam memerangi penentang-penentang Ali. Bagaimanapun setelah perang Siffin dan peristiwa tahkim antara Ali dan Mu‘awiyah, golongan ini telah keluar daripada kumpulan Ali kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ali untuk menerima tahkim. Kumpulan ini kemudiannya dikenali dengan gelaran Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 15-19) Kata-kata terkenal yang dilaungkan oleh puak Khawarij ketika menolak tahkim antara Ali dan Mu’awiyah adalah, “Kedua-dua pengadil itu telah kafir, tidak ada pengadilan melainkan bagi Allah”. (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/190) Peristiwa tahkim adalah titik mula kemunculan golongan Khawarij. Ia bermula dengan pendirian mereka yang mengkafirkan Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Talhah, al-Zubayr dan Aishah RAnhm serta menghalalkan darah mereka. Lama kelamaan konsep kafir turut mengalami perubahan. Kafir bukan lagi hanya dinisbahkan kepada orang yang tidak berhukum dengan al-Quran, tetapi orang yang berbuat dosa besar juga turut dipandang sebagai kafir oleh golongan Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 23; al-Madhahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu‘asirah, 59-60) Daripada peristiwa ini, isu ini akhirnya telah berubah menjadi satu fahaman teologi melibatkan kedudukan pelaku dosa besar. Bagi Khawarij, mereka berpandangan pelaku dosa besar adalah kafir dan terkeluar daripada Islam. Ini berbeza dengan Muktazilah yang berpandangan bahawa pelaku dosa besar adalah bukan mukmin dan bukan juga kafir tetapi berada antara dua kedudukan atau dikenali sebagai al-manzilah bayn al-manzilatayn. Sementara Murji’ah pula mengatakan bahawa pelaku dosa besar tetap dianggap beriman dengan iman yang sempurna manakala dosanya diserahkan kepada Allah SWT sama ada diampuni atau tidak. Secara umumnya, pemikiran Khawarij berkait rapat dengan perbahasan mengenai kedudukan pelaku dosa besar yang melibatkan tiga aliran utama yang lain. Pertama, golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mengatakan pelaku dosa besar dianggap sebagai seorang yang beriman dan menjadi fasiq dengan perlakuan itu manakala urusannya di akhirat nanti adalah terserah kepada kehendak Allah SWT. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/167) Asas kedudukan ini kerana Ahli Sunnah mendefinisikan iman sebagai ikrar dengan lisan, tasdiq dengan hati, beramal dengan anggota badan serta bertambah dan berkurang. Kedua, golongan Murjiah yang berpendapat pelaku dosa besar tetap kekal keimanannya tanpa berkurangan atau terjejas sedikit pun. Ketiga, golongan Muktazilah yang beranggapan kedudukan pelaku dosa besar tergantung-gantung antara menjadi seorang mukmin atau seorang kafir, manakala di akhirat nanti ia kekal di dalam neraka selama-lamanya. Di antara kumpulan-kumpulan tersebut, Khawarij menjadi kumpulan yang paling esktrem. Ini kerana Khawarij berpandangan pelaku dosa adalah kafir dan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Ia bermula pada awalnya dengan pengkafiran mereka terhadap Ali, Muawiyah dan mereka yang terlibat dalam peristiwa al-Tahkim lalu menghalalkan darah mereka untuk diperangi. Pegangan ini kemudiannya diteruskan oleh kumpulan-kumpulan Khawarij yang terkemudian seperti al-Muhakkimah, al-Azariqah, al-Mukarramiyyah, al-Syabibiyyah, al-Baihasiyyah, al-Yazidiyyah dan al-Najadat.   Khawarij Akhir Zaman Terdapat riwayat bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran mengenai kemunculan Khawarij. Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif: هَلْ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: فِي الخَوَارِجِ شَيْئًا؟ قَالَ: سَمِعْتُهُ يَقُولُ، وَأَهْوَى بِيَدِهِ قِبَلَ العِرَاقِ: «يَخْرُجُ مِنْهُ قَوْمٌ يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ» Maksudnya: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda - sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq - Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.” Riwayat al-Bukhari (6934) Para ulama yang mensyarahkan hadis ini telah bersepakat bahawa hadis ini ingin mengisyaratkan kepada kemunculan Khawarij. Ia termasuk daripada tanda-tanda kenabian Baginda SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda benar-benar telah berlaku. Kemunculan Khawarij bermula di Kufah yang terletak di sebelah timur Madinah. Mereka telah mengisytiharkan diri keluar daripada tentera Ali, lalu mereka dengan jumlah lapan ribu orang telah menuju ke Harura’, sebuah perkampungan di Kufah sebelum menjadikan Basrah sebagai markas mereka. (Lihat Akmal al-Bayan fi Sharh Hadith Najd Qarn al-Shaytan, 52) Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar telah menukilkan satu athar yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat dengan sanad yang baik bahawa Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri telah ditanya oleh seorang lelaki dari Iraq. Lelaki itu mengatakan bahawa di negerinya terdapat satu kaum yang memberontak dan membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan syahadah dan beriman kecuali daripada kumpulan mereka. Lalu kedua-duanya menjawab: “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memerangi mereka, baginya pahala syahid dan sesiapa yang dibunuh oleh mereka maka baginya pahala syahid”. (Lihat Fath al-Bari, 12/302) Ini menunjukkan kelompok Khawarij akan terus wujud hingga ke akhir zaman. Nas-nas syarak yang mengisyaratkan berkenaan Khawarij tidak menyatakan ia hanya wujud pada zaman tertentu. Antaranya seperti sabda Rasulullah SAW: يَحْقِرُ أَحَدَكُمْ عَمَلَهُ مِنْ عَمَلِهِمْ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ، فَإِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ Maksudnya: “Mereka menghina amalan kamu (dengan membandingkan amalan mereka dengan amalan kamu), mereka memerangi umat Islam, maka apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka…” Riwayat Ahmad (5562) Di samping itu, terdapat satu lagi athar yang lebih nyata menjelaskan ciri-ciri golongan Khawarij yang akan datang pada akhir zaman. Ia diriwayatkan daripada Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata: إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّايَاتِ السُّودَ فَالْزَمُوا الْأَرْضَ فَلَا تُحَرِّكُوا أَيْدِيَكُمْ، وَلَا أَرْجُلَكُمْ، ثُمَّ يَظْهَرُ قَوْمٌ ضُعَفَاءُ لَا يُؤْبَهُ لَهُمْ، قُلُوبُهُمْ كَزُبَرِ الْحَدِيدِ، هُمْ أَصْحَابُ الدَّوْلَةِ، لَا يَفُونَ بِعَهْدٍ وَلَا مِيثَاقٍ، يَدْعُونَ إِلَى الْحَقِّ وَلَيْسُوا مِنْ أَهْلِهِ، أَسْمَاؤُهُمُ الْكُنَى، وَنِسْبَتُهُمُ الْقُرَى، وَشُعُورُهُمْ مُرْخَاةٌ كَشُعُورِ النِّسَاءِ، حَتَّى يَخْتَلِفُوا فِيمَا بَيْنَهُمْ، ثُمَّ يُؤْتِي اللَّهُ الْحَقَّ مَنْ يَشَاءُ Maksudnya: “Jika kalian melihat bendera hitam, maka bertahanlah di bumi (tempat tinggal kamu). Jangan gerakkan tangan dan kaki kalian. Kemudian akan muncul kaum yang lemah. Hati mereka seperti potongan besi. Mereka (mengaku) pemegang kekuasaan (pemilik daulah). Mereka tidak mempedulikan apa-apa perjanjian. Mereka mengajak kepada haq namun mereka bukan ahlinya. Nama mereka menggunakan kunyah (seperti Abu) dan nisbat mereka menggunakan nama daerah (seperti al-Baghdadi). Rambut mereka terurai seperti wanita, hingga mereka berselisih di antara mereka. Kemudian Allah mendatangkan kebenaran kepada yang dikehendaki-Nya.” Riwayat Nu’aim bin Hammad dalam kitab al-Fitan (573) Menurut sebahagian ulama, walaupun sanad athar ini daif, namun begitu berdasarkan realiti apa yang berlaku dengan kemunculan golongan seperti Islamic State (IS), maka athar ini boleh dianggap hasan atau sahih terutama dalam athar-athar yang melibatkan sejarah atau fitnah-fitnah akhir zaman. Justeru, dalam isu golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai IS di Syria dan Iraq, kita dapati para ulama dari seluruh dunia termasuk di Syria dan Iraq sendiri telah bersepakat mengatakan bahawa ciri-ciri yang wujud pada kumpulan ini menyamai dengan ciri-ciri yang wujud pada kumpulan Khawarij. Ini kerana mereka telah mengkafir dan menghalalkan darah sesama umat Islam. Antara ulama yang berpandangan sedemikian adalah Syeikh Abdullah Rahhal ketua Rabithah Ulama' Idlib (Ketua Mahkamah Syariah di Aleppo Selatan dan anggota Rabithah Persatuan Ulama' Syria), Muhammad bin Ali bin Jamil Ash Shabuni, ulama tafsir terkemuka dari bumi Syria, Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa'id bin Kurayyim Rajih (Ketua Rabitah Ulama Syria), Imam Masjid al-Haram Syeikh Sudais, Syeikh Abdullah Ben Bayyah, ahli Majma’ al-Fiqh al-Islami, Kesatuan Ulama Muslimin di Iraq di bawah pimpinan Syeikh Ali Qurrah al-Daghi, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar, pemimpin parti Islam Ennahda, Dr Rashid Ghannoushi dan lain-lain lagi. Boleh dikatakan, jumhur ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat di serata dunia mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan IS dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda IS. Pada 25 September 2014, lebih kurang 126 ulama Muslim terkenal dari seluruh dunia juga telah menandatangani kenyataan bersama yang dibacakan oleh Nihad Awwad, presiden Council on American Islamic Relations (CAIR) mengutuk IS dan juga menolak keganasan dan juga khilafah yang diisytiharkan oleh IS.   Kesimpulan Berdasarkan pencerahan di atas, kami berpandangan bahawa kumpulan Khawarij pada namanya tidak dinafikan ia telah luput ditelan zaman. Ini kerana, tiada sesiapa pun dalam kalangan individu atau kumpulan yang mengaku pada hari ini bahawa mereka daripada golongan Khawarij. Namun demikian, ciri-ciri kumpulan tersebut masih kekal wujud hingga ke akhir zaman sebagaimana nas-nas hadis yang mengisyaratkan hal tersebut. Bayangkan jika Khawarij yang terdahulu berpegang kepada doktrin mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar, tetapi pada hari ini wujud mereka yang mengkafirkan sesama Islam hanya kerana dosa-dosa kecil atau khilaf di dalam perkara-perkara furu’ agama atau berbeza pendekatan dalam isu politik. Akhirnya, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua agar dijauhkan daripada segala sifat melampau dan ekstrem terhadap semasa umat Islam. Wallahu a’lam.
3,259
Soalan: Assalammualaikum, Saya dah terbiasa pakai krim mahupun losyen, sudah pasti semua bahan tersebut meresap ke dalam badan melalui kulit. Hal ini sama juga ubat-ubat sapuan lain. Persoalannya, bahan-bahan tersebut masuk ke dalam rongga badan, adakah ia membatalkan puasa. Mohon pencerahan Mufti. Terima Kasih. Ringkasan Jawapan: Penggunaan losyen, krim mahupun sebarang ubat sapuan kulit tidak membatalkan puasa, walaupun sapuan krim mahupun minyak serap ke dalam kulit badan. Hal ini kerana ia tidak masuk melalui rongga terbuka sehingga boleh tembus ke perut mahupun ke bahagian otak. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Definisi puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat yang khusus. [1] Antara syarat sah puasa menahan daripada sesuatu ain (jirim) sampai ke dalam rongga.  Imam al-Nawawi ada menyatakan:[2] وعن وصول العين إلى ما يسمى جوفا وقيل: يشترط مع هذا أن يكون فيه قوة تحيل الغذاء أو الدواء فعلى الوجهين باطن الدماغ والبطن والأمعاء والمثانة مفطر بالاستعاط أو الأكل أو الحقنة أو الوصول من جائفة أو مأمومة ونحوهما “Menahan sesuatu ain (jirim) hingga ke sesuatu yang dipanggil rongga. Pendapat lain (lemah) menyatakan syarat mesti padanya memiliki kemampuan untuk  mencerna makanan dan perubatan. Berdasarkan dua pendapat ini, batin otak, perut, usus dan pundi kencing adalah membatalkan puasa dengan sedutan hingga ke otak, makan, suntikan atau luka sampai tembus ke perut atau otak atau seumpama keduanya” Adalah disyaratkan untuk menjadikan puasa itu batal  ialah sampai sesuatu ain (jirim) melalui rongga yang terbuka. Oleh yang demikian, sesuatu yang masuk melalui kulit tidak membatalkan puasa berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab Minhaj al-Tolibin:[3] وَشَرْطُ الْوَاصِلِ كَوْنُهُ مِنْ مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ فَلَا يَضُرُّ وُصُولُ الدُّهْنِ بِتَشَرُّبِ الْمَسَامِّ “Syarat sampai sesuatu benda daripada saluran rongga yang terbuka, maka tidak terbatal puasa dengan sapuan minyak yang meresap masuk ke dalam liang-liang roma kulit badan”. Sementara, rongga terbuka ialah mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun wanita.[4] Penutup Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, penggunaan losyen, krim mahupun sebarang ubat sapuan kulit tidak membatalkan puasa, walaupun sapuan krim mahupun minyak serap ke dalam kulit badan. Hal ini kerana ia tidak masuk melalui saluran rongga yang terbuka. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf. (2003) al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, Dar Mirath- al-Nabawi, P:433 [2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr J:1 P75 [3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, : Dar al-Fikr J:1 P75 [4] Muhammad al-Zuhaili,  (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 2/181. منفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقُبلً والدبر من الذكر والأنثى
3,260
SALAH FAHAM Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa perempuan yang sudah tua tidak perlu memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya. Adakah benar dakwaan ini?   PENCERAHAN Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (31/44). Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah: وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita” Surah an-Nur: 31   يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ  Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman bahawa hendaklah mereka melabuhkan jilbab (pakaian yang dipakai di atas baju dan tudung) mereka ke seluruh tubuh mereka, Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, maka mereka tidak akan diganggu” Surah al-Ahzab: 59   Nabi SAW telah bersabda: المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya” Riwayat ibn Hibban (5598), Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan perawi-perawi hadith ini thiqah (dipercayai).   Sebelum menjawab persoalan ini, kita harus meneliti beberapa istilah pakaian wanita dari segi bahasa dan syara’ agar kita lebih memahami maksud sebenar disebalik ayat al-Quran yang diturunkan mengenai masalah ini. Al-Khimar (الخِمَار) Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala. Ia membawa makna yang sama sepertimana takrifan al-khimar dari sudut bahasa, iaitu kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/46), Lisan al-‘Arab (4/254). Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung yang mana dipakai oleh para wanita untuk menutup rambut dan kepala mereka tanpa mengira apa jua jenisnya. Al-Jilbab (الجِلْبَاب ) Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas. Rujuk al-Qamus al-Muhit (hlm.68) Imam Ibnu Kathir Rahimahullah telah berkata, “Al-Jilbab adalah ar-rida’ (kain atau pakaian lebar) yang dipakai di atas al-khimar (tudung). Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud RA, ‘Ubaidah, Qatadah, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha’i, Atha’ al-Khurasani dan selain daripada mereka”. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/481) Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT: وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ ۖ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ Maksudnya: “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Surah an-Nur: 60 Makna al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) berasal daripada perkataan al-qa’id (القاعد) yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah telah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut”. Rujuk Tafsir al-Baghawi (3/429) Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat: Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi. Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa’id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yan melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini. Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi. Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkina bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya, berbeza dengan wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara dan tidak ada keinginan terhadapnya jika melihatnya. Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (12/309), Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Qur’an (3/429), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/83). Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada wanita yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.   Makna Thiyab (ثِيَاب) Ulama’ berbeza pendapat mengenai makna sebenar perkataan thiyab (ثِيَاب) dalam ayat ke-60 surah an-Nur: فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ Maksudnya: “Maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka” Pendapat Pertama: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab yang dipakainya. Ini adalah pendapat majoriti ahli tafsir di kalangan para Sahabat dan generasi awal di kalangan ahli tafsir seperti ibn ‘Abbas RA, ibn Mas’ud RA, ibn Umar RA, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Muqatil bin Hayyan, Ibrahim an-Nakha’ie, al-Hasan al-Basri, Qatadah, az-Zuhri, al-Auza’ie Rahimahumullah dan selain daripada mereka. Pendapat ini juga dipegang oleh majoriti ahli tafsir yang datang selepasnya seperti Imam ibn Jarir at-Tobari, Imam ibn Kathir, Imam al-Qartubi, Imam al-Baghawi Rahimahumullah. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/84), al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (12/309), Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Qur’an (3/429), Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an (19/216) Pendapat kedua: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-khimar (yang dikenali sebagai tudung oleh masyarakat zaman ini) dan al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab dan khimar (tudung) yang dipakainya. Ini adalah pendapat ibn Umar RA, ‘Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam Rahimahumullah. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim li ibn Abi Hatim (8/2641), Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an (19/217)   Kesimpulan Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah ini adalah wajib ke atas wanita yang sudah berusia untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain berdasarkan dali-dalil daripada al-Qur’an dan hadith Nabi SAW. Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata: “Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya. Telah berkata al-Qadi ar-Rauyani: “Jika mencapai usia yang selamat daripada fitnah dengan melihat kepadanya, harus untuk melihat wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat yang ke-60” Rujuk Raudhah at-Tolibin (7/24) Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama’ adalah ia ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya. Adapun pakaian yang dibenarkan untuk ditanggalkan oleh wanita tua yang memenuhi kriteria-kriteria di atas adalah al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain), bukannya al-khimar (tudung yang dipakai untuk menutup rambut dan kepala) seperti dakwaan sesetengah pihak. Pendapat yang mengatakan bahawa perempuan tua tidak perlu memakai tudung tertolak berdasarkan beberapa perkara: Bercanggah dengan tafsiran majoriti para Sahabat, Tabi’in dan ahli tafsir Bercanggah dengan amalan Sahabiyyat dan wanita-wanita salafussoleh Terdapat riwayat lain daripada ibn ‘Umar RA dan Sulaiman bin Yasar Rahimahullah yang mengatakan bahawa perempuan tua hanya dibenarkan untuk menanggalkan jilbab mereka sahaja seperti yang dinukilkan dalam Tafsir ibn Abi Hatim. Ini bertentangan dengan riwayat mereka berdua yang membenarkan perempuan tua untuk membuka jilbab Keadaan zaman ini yang mana perempuan yang sudah berumur namun masih lagi mampu mengekalkan kecantikan dan nampak seperti lebih muda daripada usianya yang sebenar kerana kecanggihan teknologi dan barangan kosmetik yang digunakan, serta cara pemakaian mereka. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan mereka masih mampu menarik perhatian lelaki walaupun sudah berusia. Kami ingin menasihati kepada semua agar tidak menafsirkan mana-mana ayat al-Qur’an, hadith Nabi SAW, kata-kata para Sahabat, para ulama’ dan sebagainya dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Allah SWT telah berfirman: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (tentang sesuatu perkara) jika kamu tidak mengetahui” Surah an-Nahl: 43 Marilah kita mencontohi akhlak para muslimah yang hidup di zaman salaf. Mereka sangat menjaga kehormatan diri walaupun mereka sangat memahami apa yang dimaksudkan di dalam al-Qur’an. Mereka memilih untuk menjaga kesucian mereka dengan cara yang terbaik di saat mereka mempunyai pilihan lain untuk berbuat demikian. Ini sebagaimana kisah Hafsah binti Sirin Rahimahallah yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Sunan al-Kubra: ‘Asim al-Ahwal telah berkata, “Kami pernah masuk ke rumah Hafsah binti Sirin (yang telah berusia pada ketika itu), lalu dia segera menutupi dirinya dengan jilbab. Kami pun berkata kepadanya, “Semoga Allah merahmatimu, bukankah Allah SWT telah berfirman (surah an-Nur: 60) “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian (jilbab) mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka.” Maka Hafsah pun berkata kepada kami, “Apakah sambungan daripada ayat tersebut?” Lalu kami membaca, “Dan menjaga kesucian diri mereka (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka.” Hafsah pun berkata: ‘Ia bermakna tetaplah dengan pemakaian jilbab (kerana itu lebih baik).’ al-Sunan al-Kubra (13534) Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
3,261
CLIENT'S CHARTER OF MUFTI OF FEDERAL TERRITORY PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN DENGAN INI BERJANJI AKAN MELAKSANAKAN AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB DENGAN MEMAINKAN PERANAN SEBAGAI PENERAJU DALAM PENGURUSAN FATWA BERTARAF DUNIA YANG EFISYEN, PROFESIONAL DAN DIYAKINI. DENGAN INI KAMI BERSEDIA: Menjawab pertanyaan dan aduan pelanggan mengenai persoalan hukum syarak : Tidak perlu rujukan dan penyelidikan : 1 hari bekerja Perlu rujukan namun tidak memerlukan penyelidikan : 14 hari bekerja Perlu rujukan dan penyelidikan : 30 hari bekerja Memberikan fatwa yang diminta oleh pihak Kerajaan dan masyarakat di Wilayah Persekutuan dalam tempoh 30 hari bekerja; Menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dalam tempoh lapan (8) minggu dari arahan Mufti Wilayah Persekutuan Mengeluarkan Kad Tauliah Mengajar dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja selepas Mesyuarat Pengawasan Pengajaran Agama Islam Wilayah Persekutuan Membekalkan takwim tahunan sebelum 15 Disember tahun semasa Mengeluarkan Surat Pengesahan Arah Kiblat dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh pengukuran arah kiblat. Menerbitkan bahan penerbitan berkaitan fatwa dan penjelasan hukum secara berkala: Tiga (3) bahan terbitan ilmiah setahun. Sepuluh (10) risalah edaran setahun. Memberi maklum balas aduan / cadangan / penghargaan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja Membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari bekerja Melaksanakan sesi konsultasi akidah bersama plaintif sebanyak lapan (8) atau dua belas (12) sesi berdasarkan perintah dan tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.
3,262
SALAH FAHAM Mutakhir ini terdapat sekelompok daripada umat Islam yang mendakwa bahawa jihad itu adalah semata-mata perang. Mereka tidak menerima istilah jihad nafsu, jihad harta, jihad ilmu dan sebagainya. Bagi mereka, istilah jihad yang dimaksudkan dalam al-Quran dan al-Hadith hanya merujuk kepada perang samata-mata. Oleh yang demikian, orang yang ingin berjihad, hendaklah menunaikannya dengan cara berperang secara fizikal, membunuh orang kafir atau mereka yang dianggap musuh Allah SWT. Persoalannya, adakah benar jihad itu semata-mata berperang? PENCERAHAN Definisi jihad Pertama sekali mari kita lihat jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud  menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab: 3/133) Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97) Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (al-Fawakih al-Dawani: 2/879), Ibn Hajar (Fath al-Bari: 1/6) dan al-Buhuti (Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh. Jihad dalam ayat Makkiyyah Berdasarkan definisi di atas, jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat 52: فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا “Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar” Kalimah “وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ” merujuk kepada jihad atau berjuang dengan al-Quran yakni berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. (Al-Tafsir al-Wasit: 10/208) Dalam surah Al-Ankabut ayat yang ke-6, Allah SWT berfirman: وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ “Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. Menurut Ibn Kathir, al-‘Ankabut merupakan surah Makkiyyah dan ayat “Dan sesiapa yang berjihad” bermaksud “sesiapa yang beramal soleh.” (Tafsir Ibn Kathir: 6/263-264) Dalam surah Al-Ankabut ayat 69 pada penghujung surah, Allah telah menerangkan maksud jihad yang lebih umum. Firman-Nya: وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” Menurut al-Suddiy dan lain-lain, ayat ini diturunkan di Makkah sebelum perang disyariatkan. Ibn ‘Atiyyah mengatakan ia adalah jihad umum demi agama Allah dan memohon keredaan-Nya. Kata Abu Sulaiman al-Darani, ayat tersebut menunjukkan jihad bukan hanya peperangan bahkan ia adalah memperjuangkan agama, membantah golongan batil, mengekang golongan zalim dan setinggi-tingginya adalah amar makruf nahi mungkar. (Tafsir al-Qurtubi: 13/364-365) Nabi Nuh a.s berjihad dakwah Selain daripada itu, jika kita mengkaji sirah dakwah para nabi terdahulu, kita akan dapati terdapat nabi yang tidak pernah melancarkan jihad perang seperti Nabi Nuh a.s. Sebaliknya pendekatan yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s hanyalah berdakwah semata-mata. Allah s.w.t telah menceritakan dalam surah Nuh ayat 5-8: قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا (5) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا (6) وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (7) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (8) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (9) فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا(10) “Nuh berkata, " Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan Sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka. mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian Sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian Sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) secara terbuka dan dengan diam-diam, maka aku berkata (kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu,' sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,” Merujuk dalam kitab Tafsir Al-Maraghi, Nabi Nuh a.s. berjihad dengan berdakwah kepada kaumnya agar kembali ke jalan yang benar dengan cara berdoa (dakwah bil-qalbi) dengan bersungguh-sungguh. Nabi Nuh a.s. berdakwah siang dan malam, kadangkala Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya secara sembunyi dan kadang-kadang dengan cara terang-terangan. Akan tetapi dakwahnya tetap tidak diterima oleh kaumnya sehinggakan mereka menutup ketat telinga dan mata dengan pakaian mereka, kerana tidak mahu menerima dakwah tersebut. Namun Nabi Nuh a.s. tetap bersabar dengan kedegilan kaumnya. (Tafsir al-Maraghi: 15/729) Peringkat-peringkat jihad Bagi menjelaskan lagi bahawa jihad bukan sekadar bermaksud perang, amat baik jika kita merujuk kepada perbahasan mengenai peringkat-peringkat jihad sebagaimana yang dibentangkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad. Menurut Ibn al-Qayyim, secara amnya, jihad terbahagi kepada 4 bahagian iaitu jihad memperbaiki diri (melawan nafsu), jihad melawan godaan syaitan, jihad memerangi orang-orang kafir dan jihad terhadap orang-orang munafik. (Zaad al-Ma’ad: 3/9-10) Pertama: Jihad melawan nafsu Jihad melawan nafsu adalah perkara yang perlu setiap umat Islam mengambil berat kerana ia jihad untuk mengawal diri dari dikuasai oleh hawa nafsu.  Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu: Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari. petunjuk, dan agama yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpanya dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, maka malang dia di dunia dan akhirat. Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil. Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang-orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah s.w.t. turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberika`n manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah. s.w.t. Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah s.w.t dan menanggung semuanya dengan mengharapkan redha Allah s.w.t Kedua: Jihad melawan syaitan Jihad melawan syaitan mempunyai dua peringkat, iaitu: Berjihad melawan syaitan dengan membuang segala kebimbangan dan keraguan (shubuhat) yang dilemparkan oleh syaitan kepada manusia bagi merosakkan iman. Ini termasuk menjawab segala bentuk keraguan yang ditimbul oleh pihak tertentu terhadap aqidah dan syariat Islam seperti menuduh Islam sebagai agama terroris, Nabi Muhammad seorang pedofilia kerana menikahi kanak-kanak, majoriti para sahabat telah murtad dan lain-lain. Berjihad melawan syaitan yang mengarahkan manusia agar memenuhi nafsu syahwatnya dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Ia seperti mencegah manusia melakukan zina, pergaulan bebas, orientasi seks songsang (LGBT), rasuah, penyelewengan kuasa, zalim, khianat dan lain-lain. Ketiga: Jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual Jihad melawan bid’ah bermaksud berjihad dalam menyekat ajaran-ajaran baharu dalam akidah dan syariah yang menyesatkan atas nama Islam. Ia dikenali sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiyani, Khawarij, Murji’ah, Muktazilah, Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu dan lain-lain. Bid’ah yang direkacipta atas nama agama jauh lebih bahaya berbanding maksiat kerana maksiat dapat dilihat dan disingkap urusannya. Manakala bid’ah bersembunyi di sebalik pakaian agama dan diperkenalkan sebagai perkara yang mampu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sedangkan ia perkara yang tertolak di sisi agama. Ia sering kali disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam beberapa hadis, antaranya:  Nabi Muhammad s.a.w bersabda: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً ليسَ عليه أمرُنا هذا فهو رَدٌّ “Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tiada ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.” (HR.Bukhari no. 2697 dan Muslim no.1718)   Manakala penyelewengan intelektual pula merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang disandarkan kepada Islam atas nama progresif dan kemodenan. Namun hakikatnya, ia telah melanggar prinsip-prinsip dan batasan-batasan syarak. Antaranya seperti menyeru kepada pentafsiran semula al-Quran, kebebasan murtad, kesaksamaan gender termasuk dalam isu faraid, menyamaratakan semua agama dan seumpamanya. Jihad perlu dilancarkan dalam menangani kedua-dua golongan ini.  Ia sama ada dengan menggunakan kuasa undang-undang, atau ceramah dan penulisan bagi menjelaskan dan menjawab dengan hujah segala kesesatan dan penyelewengan yang ditimbulkan. Keempat: Jihad melawan musuh yang jelas Jihad melawan orang kafir dan munafik yang jelas disebut dalam surah Al-Furqan, ayat 51 dan 52: وَلَوۡ شِئۡنَا لَبَعَثۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَة نَّذِيرا، فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا “Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran. Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.  Jihad menentang orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah). Adapun jihad untuk menentang orang kafir yang memerangi Islam, maka ia tertakluk kepada hukum hakam sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama dalam bab fiqah jihad. Namun begitu, jihad menentang musuh-musuh Allah s.w.t di luar tetap merupakan cabang daripada jihad seorang hamba melawan hawa nafsu demi mentaati Allah s.w.t. Ia seperti mana yang disabdakan Nabi s.a.w, “Mujahid adalah orang yang berjihad melawan hawa nafsunya kerana mentaati Allah s.w.t.” (HR Ahmad no. 23965) Di sini kita dapat lihat keutamaan meletakkan jihad melawan nafsu daripada jihad melawan musuh di luar, ini kerana jihad melawan nafsu yakni memperbaiki diri adalah tiang asas kepada jihad-jihad yang lain. Ini kerana, bagaimana seseorang yang tidak mampu melawan musuh dalam dirinya untuk menentang musuh-musuh yang penuh dengan tipu daya.  Kesimpulan  Kesimpulannya, adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana, maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Ia bermula dengan memperbaiki diri (jihad nafsu), jihad melawan syaitan, jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual dan jihad menentang musuh yang nyata. Jika ditelusuri sejarah para rasul, sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah. Justeru, Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam dan umatnya. Wallahu a’lam.
3,263
Soalan Apakah hukum mengambil sisa lebihan makanan yang ditinggalkan oleh pelanggan lain di atas meja makan dan makanan tersebut masih elok? Mohon pencerahan.   Ringkasan Jawapan Mengambil sisa lebihan makanan yang ditinggalkan pelanggan lain di atas meja makan adalah dibolehkan dengan syarat meyakini bahawa pelanggan itu memang benar-benar sudah tidak mahukannya. Selain itu, perlu memastikan makanan tersebut diyakini bersih dan masih elok untuk dimakan bertujuan mengelakkan keracunan makanan yang boleh memudaratkan diri sendiri. Namun begitu, sekiranya amalan mengambil lebihan pelanggan di restoran menimbulkan sangkaan buruk dan tomahan masyarakat, sebaiknya dielakkan. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat secara umum pula, jika ada yang bertindak untuk tidak membiarkan lebihan makanan itu, maka orang-orang di sekeliling perlulah bersangka baik melihat kepada elak pembaziran merupakan amalan terpuji.   Huraian Jawapan Secara umumnya, setiap Muslim hendaklah mensyukuri setiap nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Antara tanda mensyukurinya ialah memastikan tidak berlaku sebarang pembaziran makanan mahupun minuman kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada perbuatan merosakkan harta benda. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT, يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf: 31) Bahkan perkara ini juga disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, مَرَّ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ بتَمْرَةٍ مَسْقُوطَةٍ فقالَ: لَوْلا أنْ تَكُونَ مِن صَدَقَةٍ لَأَكَلْتُها Maksudnya: “Nabi SAW berjalan lalu ternampak sebutir tamar gugur (dari pohonnya) pantas bersabda: ‘Kalaulah buah kurma itu bukan daripada sedekah, nescaya aku akan memakannya’(yakni: terdapat kemungkinan kurma tersebut merupakan harta sedekah)”. Riwayat al-Bukhari (3055) Hadis di atas memberi isyarat bahawa Nabi sangat menghargai dan sentiasa memastikan bahawa tidak ada berlaku pembaziran walaupun sekecil-kecil perkara seperti sebutir kurma yang jatuh dari pohonnya. Kenyataan di atas dikuatkan lagi dengan sebuah hadis lain yang menunjukkan bahawa Nabi sangat menitikberatkan soal kepentingan mengelakkan pembaziran dan pembuangan makanan. Ini sepertimana yang ditunjukkan dalam sebuah hadis Anas RA yang lain, أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ إذا أَكَلَ طَعامًا لَعِقَ أَصابِعَهُ الثَّلاثَ، قالَ: وَقالَ: إذا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْها الأذى وَلْيَأْكُلْها، وَلا يَدَعْها لِلشَّيْطانِ، وَأَمَرَنا أَنْ نَسْلُتَ القَصْعَةَ، قالَ: فإنَّكُمْ لا تَدْرُونَ في أَيِّ طَعامِكُمُ البَرَكَةُ. Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila makan, Baginda akan menjilat tiga jarinya. Baginda juga bersabda: Sekiranya terdapat makanan salah seorang daripada kamu terjatuh (ke tanah), maka bersihkan kotoran yang menimpanya kemudian makan sahaja. Jangan biarkan makanan tersebut untuk syaitan. Selain itu, Baginda juga mengarahkan kami untuk menghabiskan dan melicinkan makanan yang berada dalam dulang (bekas makanan untuk 5-10 orang makan) lalu berpesan: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada bahagian mana makanan tersebut yang mempunyai berkat”. Riwayat Muslim (2034) Berdasarkan dalil dan petunjuk yang diajarkan Rasulullah SAW di atas, kami berpandangan bahawa diharuskan untuk mengambil sisa lebihan makanan mahupun minuman yang ditinggalkan oleh pelanggan lain di atas meja makan dengan syarat pelayan yakin bahawa makanan tersebut masih elok untuk dimakan dalam masa yang sama pelanggan memang benar-benar sudah tidak mahukannya. Perbuatan seperti pelanggan selesai membayar bil dan bergerak keluar daripada kedai makanan tersebut boleh dijadikan sebagai petunjuk bahawa mereka sudah tidak mahukan makanan tersebut, maka harus pelayan mengambilnya. Uruf dan adat kebiasaan boleh dijadikan hujah dalam hal ini. Kriteria kebersihan juga perlu dititikberatkan supaya sisa makanan yang diambil tersebut tidak memberi mudarat kepada kesihatan pekerja bertepatan dengan kaedah Fiqh yang menyebut “Tidak boleh ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan”. Penelitian hal di atas bertujuan di samping mengelakkan berlaku pembaziran makanan, keselamatan diri tetap terjamin, dalam masa yang sama tidak mengambil hak orang lain tanpa izin. Akhir kata, semoga Allah berikan kepada kita kefahaman yang benar dan tepat dalam urusan beragama. Amin Wallahu a’lam.
3,264
Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, benarkah Ibn Khaldun menolak Tasawwuf?   Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Kami mulakan dengan definisi tasawwuf. Sepertimana yang biasa kami nyatakan, terdapat banyak takrifan, tetapi di sini cukuplah kami nyatakan dua takrif tasawwuf: Al-Kalabazi berkata: Ahli tasawwuf (adalah) pada saf yang pertama (dalam) perjalanan menuju kepada Allah merangkumi jernih dalamannya, bersih hatinya, bercahaya dadanya, dan begitu akrab dengan Allah. (Lihat al-Ta’arruf li Mazhab Ahli al-Tasawwuf, 28-29) Imam Junaid al-Baghdadi berkata: “Tasawuf adalah membersihkan hati dari yang selain Allah, berjuang memadamkan semua ajakan yang berasal dari hawa nafsu, mementingkan kehidupan yang lebih kekal, menyebarkan nasihat kepada umat manusia, dan mengikuti contoh Rasulullah SAW dalam segala hal. Ruang lingkup pendekatan tasawwuf yang dianggap lengkap dan sempurna ialah pendekatan tasawwuf yang dilakukan oleh al-Imam al-Ghazali yang menyatukan keperluan pendekatan akidah, syariat dan akhlak di dalam pendekatan tasawufnya sebagaimana terbina di dalam karangan beliau yang bertajuk Ihya’ Ulum al-Din.   Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Ibn Khaldun[1] di dalam kitabnya sendiri, yang menyebut: “Ilmu tasawwuf adalah pecahan daripada ilmu Syariat di dalam Islam. Perjalanan golongan sufi adalah menuruti perjalanan salaf dari kalangan sahabat, tabi’in dan yang selepas mereka dengan menurut jalan yang benar sejak awal. Asal usulnya tekun beribadat dan memutuskan diri daripada yang lain selain hubungan dengan Allah SWT serta berpaling daripada perkara-perkara keduniaan dan perhiasannya. Begitu juga zuhud daripada perkara yang menjadi kemegahan orang ramai seperti kelazatan, harta, kemegahan, dan (mereka) mengasingkan diri dengan beribadat. Perjalanan ini merupakan perjalanan sahabat, dan (mereka) dari kalangan salaf. Khususnya selepas meluasnya penerimaan terhadap keduniaan pada abad ke-2 Hijrah dan selepasnya serta liarnya perlakuan sebahagian umat. Lantaran itu, mereka mengkhususkan diri dengan ibadat. Dengan demikian mereka dikenali sebagai orang-orang sufi. (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 467-475) Semoga pencerahan ini menjadikan kita memahami hakikat tasawuf yang sebenar mengikut kaca mata ulama’ dan Ibn Khaldun. Amin.   Nota Hujung: [1] Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 - 1395. Nama penuhnya ialah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir. Keluarga Ibn Khaldun merupakan orang berada yang memberikan pendidikan terbaik kepadanya. Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun menjawat beberapa jawatan di bawah pemerintah Tunisia dan Morocco dan pada tahun 1363 menjalankan tugas sebagai duta raja Moor di Granada. Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, dimana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abu al-Abbas, Kaherah dan mengerjakan haji pada 1387. Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barbar, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang dikurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian). Ibn Khaldun juga mengembangkan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang, dan melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan. Dari segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri. Ibn Khaldun juga terkenal dengan hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia, dan sejarah. Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi intelelek pemikiran bebas Islam dan Arab, kerajaan bertanggung jawab, pasaran efisien, kajian sains empirikal, pengkajian sosiologi, dan penyelidikan sejarah. Antara mutiara kata Ibn Khaldun: "Sesiapa jua yang mengambil harta orang lain, atau menggunakannya untuk kerja paksa, atau membuat tuduhan yang tidak wajar hendaklah ingat bahawa ini adalah apa yang Pemberi Hukum maksudkan apabila melarang ketidakadilan." (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Al-Rahman_Ibn_Muhammad_Ibn_Khaldun)
3,266
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang itu tidak mendengar khutbah hari raya? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.  Ringkasan Jawapan Sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya termasuk dalam perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya hukumnya adalah makruh. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، يُصَلُّونَ العِيدَيْنِ قَبْلَ الخُطْبَةِ Maksudnya: “Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar R.Anhuma menunaikan solat dua hari raya sebelum khutbah.” Riwayat al-Bukhari (963) Berdasarkan kepada riwayat hadis inilah, disunatkan untuk membaca dua khutbah selepas daripada mengerjakan dua solat sunat hari raya sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha, rukun-rukun dan sunnah-sunnahnya pula adalah sama seperti pelaksanaan khutbah Jumaat[1], namun tidak pada syarat-syaratnya[2]. Adapun sekiranya khutbah raya tersebut dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya, maka ia tidak baik dan tidaklah diambil kira kerana berlawanan dengan sunnah Rasulullah SAW[3]. Berbalik kepada persoalan yang diajukan iaitu berkenaan adakah sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Berhubung isu ini, Syeikh al-Damiri ada mengulas, sekiranya imam menyampaikan khutbah secara sendirian, atau seseorang itu meninggalkan khutbah, atau seumpamanya, maka perbuatan itu adalah tidak baik, dan tidak perlu lagi mengulangi penyampaian khutbah[4]. Sememangnya disunatkan ke atas orang ramai untuk mendengar khutbah raya. Akan tetapi, khutbah raya dan juga perbuatan mendengarnya bukanlah suatu syarat sah solat hari raya, maka sekiranya seseorang itu meninggalkan khutbah raya, atau berbicara ketika khutbah disampaikan, ataupun seseorang itu berpaling daripadanya lalu meninggalkan khutbah, maka dihukumkan makruh ke atasnya, dan khutbah tidak perlu diulang[5]. Kesimpulannya, sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya adalah perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya, hukumnya adalah makruh. Akhir kalam, sebaiknya kita perbanyakkan amalan-amalan sunat pada pagi raya sebagai tanda meraikan hari berbahagia ini mengikut neraca syariat dan juga menuruti sunnah Nabi SAW. Wallahu A‘lam   Rujukan: [1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftiin, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H), hlm.52. ويسن بعدها خطبتان أركانهما كهي في الجمعة ويعلمهم في الفطر الفطرة وفي الأضحى الأضحية يفتتح الأولى بتسع تكبيرات والثانية بسبع ولاء. [2] Muhammad bin Ahmad bin ‘Umar al-Syatiri, Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, (Beirut: Dar al-Minhaj, cetakan ke-5, 1436H), hlm. 176. ويخطب بعدها ندبًا خطبتين كخطبتي الجمعة في الأركان والسنن، دون الشروط، يكبر في الأولى تسعًا، وفي الثانية سبعًا. [3] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 2/542.  قال: (ويسن بعدها خطبتان) اقتداء برسول الله صلى الله عليه وسلم والخلفاء الراشدين؛ ففي (الصحيحين)] خ 963 - م 888 [عن ابن عمر: (أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يصلون العيد قبل الخطبة). فلو خطب قبلها .. أساء ولا يعتد بها، وكذا قبل طلوع الشمس قطعا. Lihat juga: Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/220. قَوْلُهُ: (وَيَخْطُبُ بَعْدَهُمَا) وَلَوْ خَرَجَ الْوَقْتُ كَمَا فِي شَرْحِ الرَّوْضِ، وَلَوْ قُدِّمَتْ الْخُطْبَةُ عَلَى الصَّلَاةِ لَمْ يُعْتَدَّ بِهَا [4] Al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj, 2/545. ولو خطب واحدة، أو ترك الخطبة، أو شيئا منها .. أساء ولا إعادة عليه. [5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/555-556. ويستحب للناس استماع الخطبة، ولكن خطبة العيد واستماعها ليست شرطًا لصحة صلاة العيد، فلو ترك استماع خطبة العيد، أو تكلم فيها، أو انصرف وتركها، كره له ذلك، ولا إعادة عليه.
3,268
SOALAN Assalamualaikum. Saya bekerja sebagai content reviewer yang mana kerjanya adalah tapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna seperti content berbaur keganasan, penganiayaan dan termasuk juga perkara-perkara lucah. Pada awal masuk kerja, sudah diberitahu memang tak dapat lari daripada content lucah di samping sekalian content sensitif yang lain. Jadi, apa hukumnya kalau bekerja sebagai content reviewer ni dalam keadaan dia sedar yang dia akan dedahkan diri kepada maksiat melihat aurat/ adegan lucah secara sengaja semasa bekerja? Mohon pencerahan. RINGKASAN JAWAPAN Bekerja sebagai content reviewer diharuskan kerana tujuan pekerjaan ini demi menjaga kemaslahatan awam dengan menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin dalam mencegah kemungkaran dan maksiat. Oleh yang demikian content reviewer perlu sentiasa menjaga diri agar tidak terpengaruh dengan kandungan negatif yang dilihat atau dibaca. Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan ini. Wallahu a’lam. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Dalam keadaan dunia teknologi kini, bekerja sebagai content reviewer adalah harus kerana pekerjaan tersebut menjadi satu keperluan dalam mencegah maksiat sebagaimana kaedah fiqh: الضرورات تبيح المحظورات Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara haram. Sebagai seorang mukmin, kita dipertanggungjawabkan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT: وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Surah Ali ‘Imran (104) Tugasan content reviewer menapis dan menyemak kandungan hebahan-hebahan yang negatif dan sensitif daripada dihebahkan kepada masyarakat di internet boleh dianggap sebagai mencegah perbuatan kemungkaran. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh content reviewer dengan penuh sabar dan amanah, malah ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu (dengan tangan), maka dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu juga (dengan lisan), maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. Riwayat Muslim (49) Keadaan menjadi lebih terdesak apabila telah banyak bahan-bahan yang tersebar di internet mengandungi unsur keganasan, berbahaya dan negatif seperti penyebaran berita palsu, ideologi-ideologi yang boleh menjejaskan kemuliaan agama Islam dan juga kesejahteraan negara. Oleh yang demikian pekerjaan content reviewer ini diperlukan untuk mengelakkan penyebaran unsur-unsur negatif tersebut. Tidak dinafikan bahawa pekerjaan ini akan mendedahkan diri kepada maksiat dan perbuatan itu perlu dielakkan jika tiada keperluan. Namun begitu, pekerjaan ini sangat diperlukan dalam keadaan dunia teknologi yang semakin berkembang untuk menjaga maslahah masyarakat awam. Hal ini kerana apabila wujudnya pekerjaan content reviewer ini, hantaran di internet yang mengandungi perkara-perkara negatif mampu dikawal daripada disiarkan kepada masyarakat walaupun reviewer akan terdedah dengan perkara negatif tersebut. Pertimbangan ini selari dengan kaedah fiqh: إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا Maksudnya: Apabila bertembung dua kemudaratan, maka elakkanlah mudarat yang lebih besar dengan melakukan mudarat yang lebih kecil. [1] Selain itu, kaedah berikut: يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام Maksudnya: Menanggung mudarat yang khusus demi mencegah mudarat yang umum. [2] Walau bagaimanapun, setiap keharusan untuk melakukan perkara yang haram pada asalnya perlulah dilakukan sekadarnya. Bagi seorang penyemak kandungan hendaklah memastikan kadar melihat maksiat dalam keadaan darurat mengikut kadar keperluan sahaja, bukan berlebih-lebihan dan mengambil kesempatan selari dengan kaedah fiqh: الضرورة تقدّر بقدرها Maksudnya: Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja. Oleh yang demikian, penyemak kandungan yang akan kerap terdedah dengan kandungan yang negatif hendaklah sentiasa menjaga dirinya agar tidak terpengaruh dengan perkara yang membawa kepada kemungkaran serta tidak menyalahgunakan keizinan untuk menapis kandungan sensitif demi kepentingan peribadi.  KESIMPULAN Berdasarkan penerangan di atas, menjadi content reviewer merupakan satu pekerjaan yang sangat penting dalam menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna. Di samping itu, ini juga salah satu cara dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin untuk mencegah kemungkaran. Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan sebagai content reviewer ini.  Akhir sekali, semoga Allah SWT membantu kita dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan mengikut syariat-Nya. Wallahu a’lam.   Rujukan  [1] Al-Suyuti, Abd al-Rahman bin Abi Bakr. (1990). Al-Asybah wa al-Naza’ir. Cetakan pertama. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Hlm. 87. [2] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa. (2006). Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islamiy. Cetakan kedua. Dar al-Khair li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’ – Damsyik. Jld. 1, Hlm. 125.
3,269
Soalan: Assalamualaikum wrm. wbt., Saya  ingin bertanyakan satu soalan. Apakah ucapan salam pada akhir solat yang betul? Ada sesetengah orang cuma berkata “Salamu'alaikum Warahmatullah”, tanpa sebutan AS diawal salam tersebut. Adakah itu dibolehkan? Adakah hadith atau apa apa nas? Jawapan: Waalaikumussalam wrm. wbt. Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat. Mengikut pendapat muktamad mazhab al-Syafie, ucapan salam ketika mengakhiri solat mesti dengan lafaz ta`rif, iaitu dengan lafaz Assalamu`alaikum, bukan Salamun `alaikum. Menurut Imam al-Nawawi, wujud khilaf dalam kalangan ulama yang mengharuskan lafaz Salamun`alaikum, dengan alasan hukumnya sama dengan lafaz tasyahhud, yakni diharuskan membaca salamun alaika. Mereka menyatakan tanwin pada salamun ini menempati kedudukan alif laf dalam Assalamualaikum. Ini merupakan pendapat majoriti ulama Syafieyyah dari Khurasan, seperti Imam al-Juwaini, Imam al-Baghawi dan Imam al-Rafie.  Akan tetapi majoriti ulama Syafieyyah, seperti Syeikh Abu al-Hamid, al-Bandaniji, Qadhi Abu Toyyib, dan al-Nawawi sendiri, menolak alasan ini dengan mengatakan pendapat yang lebih sahih ialah Salamun alaikum tidak boleh digunakan bahkan batal solat jika disebut dengan sengaja. Ini kerana tidak ada hadis daripada Rasulullah ﷺ yang pernah menukilkan bahawa baginda pernah membaca salam pengakhiran solat dengan lafaz Salamun. Ini berbeza dengan lafaz tasyahhud kerana wujud riwayat yang membuktikannya. Tambahan lagi, menurut Imam al-Nawawi, inilah yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafie. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (3/476) Antara hadis yang membuktikan penggunaan lafaz Assalamualaikum ialah hadis riwayat Abdullah bin Mas`ud RA yang berkata: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ الْأَيْمَنِ، وَعَنْ يَسَارِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ الْأَيْسَرِ Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ mengucapkan salam (ketika solat) ke sebelah kanannya dengan “Assalamualaikum wa rahmatullah” sehingga kelihatan putihnya pipi kanan baginda, kemudian ke sebelah kiri dengan “Assalamualaikum wa rahmatullah” sehingga kelihatan putihnya pipi kiri baginda.” Riwayat al-Nasaie (no.1325) Ini bertepatan dengan hadis riwayat Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي Maksudnya: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.” Riwayat al-Bukhari (no.6008); al-Syafie dalam Musnad-nya (1/55); dan Ibn Hibban dalam Sahih-nya (no.1658) Walau bagaimanapun, menurut pandangan lemah mazhab Syafie, dan pendapat ulama mazhab lain seperti mazhab Maliki dan Hanbali, hukum mengucap salam dengan Assalamualaikum adalah afdhal dan mengucapkan Salamun alaikum tetap sah dan tidak membatalkan solat. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (11/315) Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa wajib menggunakan lafaz Assalamualaikum ketika mengakhiri solat berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie. Sewajarnya para imam di masjid dan surau menggunakan lafaz yang terbukti sahih daripada Rasulullah ﷺ dan menghindari lafaz-lafaz yang dipertikaikan keharusan untuk menjaga keharmonian masyarakat. Rujuk artikel berikut untuk penjelasan terperinci: Al-Kafi #1436 : Hukum Memberi Salam Yang Pertama Dua Kali Semoga penjelasan ini memberikan pencerahan kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita hidayah dan inayah untuk menjalani Syariat-Nya dengan sempurna. Amin. Disediakan oleh, Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
3,272
Soalan: Assalammualaikum, semasa pemilihan haiwan korban, terdapat haiwan korban yang berisi tapi tanduknya patah. Persoalannya, adakah haiwan korban yang tanduknya patah masih boleh dijadikan haiwan sembelihan korban.Mohon pencerahan SS Mufti. Ringkasan Jawapan: Haiwan yang dijadikan sembelihan korban mestilah yang paling terbaik. Bahkan, sebaiknya mencari haiwan yang gemuk dan bertanduk. Namun, sekiranya terdapat aib pada tanduk haiwan, maka hukumnya  berdasarkan keadaan - keadaan berikut : Ketiadaan tanduk adalah sah dijadikan sembelihan korban kerana termasuk cacat cela sedikit tanpa mengurangkan daging. Tanduk terpatah atau pecah yang tidak memberi kesan pada kerosakan daging adalah harus dan sah dijadikan sembelihan korban. Tanduk terpatah yang memberi kesan kepada rosaknya daging haiwan tersebut adalah tidak sah dijadikan sembelihan korban. Justeru itu, disunatkan mencari haiwan korban yang sempurna termasuklah tidak patah tanduk mahupun ketiadaan tanduk. Sekiranya tidak bertanduk, harus dijadikan haiwan korban namun makruh hukumnya. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Pensyariatan ibadah korban bagi mereka yang mampu berdasarkan dalil-dalil berikut: Firman Allah SWT فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” Surah al-Khauthar (2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: مَن كان له سَعَةٌ ولم يُضَحِّ ، فلا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانا Maksudnya: “Siapa yang diberi kemampuan sehingga dia mampu untuk berkorban dan tidak mahu melaksanakan ibadah korban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (masjid)”. Riwayat Ibn Majah 2123 Melaksanakan ibadah korban antara syiar agama Allah, firman Allah SWT: ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” Surah al-Hajj: (32) Ibn Abbas RA menyatakan maksud mengagungkan syiar melalui ibadah korban iaitu mengemukkan haiwan korban.[1] Sementara ulama menyatakan sunat memilih haiwan korban yang sempurna dan baik termasuklah tidak patah  tanduk atau kehilangan tanduk.  [2] Seterusnya, ulama bersepakat bahawa permilihan haiwan korban digalakkkan mencari yang paling terbaik, sempurna dan mempunyai tanduk sempurna berdasarkan riwayat riwayat berikut: Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Samit, bahawa Rasullullah SAW bersabda : خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ Maksudnya: "Sebaik-baik haiwan korban adalah  kibas (kambing biri-biri) yang mempunyai tanduk " Riwayat al-Hakim Haiwan korban yang mempunyai tanduk kelihatan lebih baik. Sebaliknya, makruh haiwan yang tiada tanduk   namun sah untuk dijadikan haiwan korban seperti yang dinukilkan dalam Majmu’  [3]  Galakan memilih haiwan korban yang bertanduk berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata: قَالَ: ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا» Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibas (kambing biri-biri) putih bertompok kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut " Berdasarkan hadis tersebut, ulama berpandangan disunatkan mencari haiwan korban yang bertanduk dan ulama turut bersepakat harus menyembelih haiwan korban anak lembu yang masih tiada tanduk lagi. Walau bagaimanapun, fuqaha mazhab Syafi’i serta pandangan jumhur menyatakan hukum harus menyembelih haiwan korban yang tanduknya patah  sama ada ia berdarah atau tidak. [4] Selain itu, haiwan korban yang bertanduk lebih berat timbangan pahala berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”  Riwayat al-Tirmidzi (1493) Hadis ini bermaksud setiap anggota daripada haiwan korban terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia akan datang pada hari kiamat sebagaimana di dunia, tanpa mengurangkan sedikitpun daripadanya. Haiwan tersebut akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [5] Seterusnya, fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan syarat haiwan korban mestilah   selamat daripada aib dan kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya.  Namun tidak terjejas aib yang sedikit seperti ketiadaan tanduk haiwan korban.[6] Oleh itu, tidak terjejas syarat sah sembelihan korban daripada haiwan yang  tidak mempunyai tanduk atau dikenali sebagai “al-Jalha’ (الْجَلْحَاءَ).  Seterusnya tidak mematahkan tanduknya, namun, sekiranya tanduknya patah atau pecah dan merosakkan dagingnya, maka tidak sah sembelihan haiwan korban kerana disamakan seperti kurap/ kudis.[7] Hal ini kerana kudis yang sedikit menyebabkan tidak sah haiwan sembelihan korban berdasarkan pendapat  yang sahih daripada kalam Imam al-Nawawi : قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الجرب والله أعلم “Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit”[8] Oleh itu, tanduk yang terpatah, pecah atau ketiadaan tanduk termasuk dalam aib yang sedikit tanpa menjejaskan daging haiwan korban.  Namun, sekiranya terpatah tanduk dan merosakkan daging haiwan tersebut, maka tidak sah sembelihan korban. Bahkan, maksud ibadah korban itu sendiri ialah untuk mempersembahkan daging haiwan sembelihan korban.[9] PENUTUP Berdasarkan perbahasan fuqaha mazhab Syafi’i, haiwan korban yang aibnya  sedikit   seperti ketiadaan tanduk atau patah tanduknya  sah dijadikan haiwan korban kerana tidak mengurangkan daging. Sebaliknya, tidak sah jika tanduk yang terpatah memberi kesan kepada rosaknya daging haiwan sembelihan korban tersebut. Justeru itu, mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban disunatkan untuk memilih haiwan korban yang terbaik, sempurna dan bertanduk. Sekiranya tidak bertanduk, harus dijadikan haiwan korban namun makruh hukumnya.   RUJUKAN : [1] Ibn Kathir,1999 Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Tayyibah : J : 5 p: 421  قُولُ تَعَالَى: هَذَا {وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ} أَيْ: أَوَامِرَهُ، {فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ} وَمِنْ ذَلِكَ تَعْظِيمُ الْهَدَايَا وَالْبُدْنِ، كَمَا قَالَ الْحَكَمُ، عَنْ مقْسَم، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: تَعْظِيمُهَا: اسْتِسْمَانُهَا وَاسْتِحْسَانُهَا. [2] Abu Bakar al-Dimyati, 1997, I’anah al-Thalibin ‘ala Hal al-Faz Fath al-Mu’in. Dar al-Fikr, J: 2 P: 380  يسن في الأضحية استسمانها، لقوله تعالى: * (ومن يعظم شعائر الله) * الآية. قال العلماء: هو استسمان الهدايا واستحسانها، وأن لا تكون مكسورة القرن، ولا فاقدته، [3] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p 129 ذَاتُ الْقَرْنِ أَوْلَى لِخَبَرِ «خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ» رَوَاهُ الْحَاكِمُ وَصَحَّحَ إسْنَادَهُ، وَلِأَنَّهَا أَحْسَنُ مَنْظَرًا بَلْ يُكْرَهُ غَيْرُهَا كَمَا نَقَلَهُ فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ الْأَصْحَابِ، Az-Zuhaili, 2018, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, Damsyik : Darul Qalam  J: 2 P : 482 وَ يجزئ - مع الكراهة - التي لم يخلق لها قرن، والتي  انكسر غلاف  قرنها أو انكسر قرنها [4]Al-Nawawi, 1392, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Bayrut : Dar al-Ihya’ Turath al-Arabi. J : 13 P: 120  قَالَ الْعُلَمَاءُ فَيُسْتَحَبُّ الْأَقْرَنُ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ جَوَازُ تَضْحِيَةِ الْإِنْسَانِ بِعَدَدٍ مِنَ الْحَيَوَانِ وَاسْتِحْبَابُ الْأَقْرَنِ وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى جَوَازِ  التَّضْحِيَةِ بِالْأَجْمِ الَّذِي لَمْ يُخْلَقْ لَهُ قَرْنَانِ وَاخْتَلَفُوا فِي مكسورة القرن فجوزه الشافعى وأبو حنيفة والجمهور سواءكان يدمى أم لاوكرهه مَالِكٌ إِذَا كَانَ يُدْمِي وَجَعَلَهُ عَيْبًا وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا [5] Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ al-Tirmidzi, Bayrut : Kitab Ilmiah  J 5 p 62   وَأَنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَمَا كَانَ فِي الدُّنْيَا مِنْ غَيْرِ نُقْصَانِ شَيْءٍ مِنْهُ لِيَكُونَ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهُ أَجْرٌ وَيَصِيرُ مَرْكَبُهُ عَلَى الصِّرَاطِ انْتَهَى [6] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 320 وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. [7] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p 129 (وَلَا) يَضُرُّ (فَقْدُ قَرْنٍ) خِلْقَةً، وَتُسَمَّى الْجَلْحَاءَ، وَلَا كَسْرُهُ مَا لَمْ يَعِبْ اللَّحْمَ، وَإِنْ دَمِيَ - بِالْكَسْرِ - لِأَنَّ الْقَرْنَ لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ كَبِيرُ غَرَضٍ، فَإِنْ عِيبَ اللَّحْمُ ضَرَّ كَالْجَرَبِ وَغَيْرِهِ، وَذَاتُ الْقَرْنِ أَوْلَى لِخَبَرِ «خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ» رَوَاهُ الْحَاكِمُ وَصَحَّحَ إسْنَادَهُ [8] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 320 [9] مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج (6/ 128) ؛ لِأَنَّ الْمَقْصُودَ مِنْ الْأُضْحِيَّةِ اللَّحْمُ أَوْ نَحْوُه؛
3,273
SOALAN 47 (29/06/2015 BERSAMAAN 12 RAMADAN 1436H) Apakah maksud sabda Nabi SAW: “Kecuali puasa maka sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya”   JAWAPAN Ini kerana mereka yang mempunyai keimanan yang kental sahaja mampu melakukan amalan puasa, sebaliknya mereka yang goyah dan mudah mengikut hawa nafsu amat sukar baginya untuk melakukan ibadat puasa.             Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (Faidh al-Qadir: 4/250)
3,276
Soalan: Assalamualaikum,saya ingin bertanya,adakah simbol tangan seperti ini semuanya berkaitan dengan bible?. Bolehkah menggambarkan tangan Tuhan seperti itu? Jawapan ringkas : Menggambarkan tangan Tuhan adalah satu perbuatan yang dipanggil tajsim iaitu menggambarkan Tuhan sama seperti manusia yang mana perbuatan tersebut adalah perbuatan yang diharamkan bahkan boleh merosakkan akidah. Mustahil Allah serupat dengan makhluk-Nya.Semoga Allah memelihara kita semua daripada perkara yang boleh merosakkan akidah. Huraian jawapan : Satu perkara yang perlu diketahui apabila membicarakan tentang sifat Allah, adalah Allah sama sekali tidak serupa dengan makhluk-Nya.Iktikad yang betul adalah mentahzihkan (mensucikan) Allah dari sebarang bentuk penyerupaan. Oleh kerana itu,di antara sifat wajib bagi Allah SWT adalah Mukhalafutuhu Lil Hawadith yang memberi maksud bahawa Allah SWT berlawanan dengan yang baharu dan tidak serupa dengan makhluk-Nya. Mustahil Allah SWT bersifat serupa dengan makhluk yang diciptakan oleh-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)…”[1] Sheikh Mustafa Al-Maraghi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : أي ليس كخالق الأزواج شىء يزاوجه ، لأنه الفرد الصمد ، وقد يكون المعنى ليس مثله شىء فى شئونه التي يدبرها بمقتضى قدرته الشاملة ، وعلمه الواسع ، وحكمته الكاملة “(Maksud ayat tersebut) Iaitu tiada yang seperti Pencipta pasangan-pasangan dengan sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[2] Para ulama apabila memberikan takrif mukhalafutu Lil Hawadith, mereka mengatakan : عبارة عن نفي المماثلة في الذات والصفات والأفعال “Satu ibarat berkaitan (adanya) penafian penyerupaan (dengan makhluk-Nya) pada zat, sifat-sifat dan perbuatan.” Sheikh Muhammad Bin Umar Al-Tilmisani menukilkan maksud mukhalafatuhu Lil Hawadith daripada kitab Umm Al-Barahin : نفي المثل له تعالى في الذات والصفات والأفعال “ Penafian adanya penyerupaan bagi Allah Ta’ala pada zat, sifat dan af’al (perbuatan).”[3] Menyamakan Allah dengan makhluk dengan melukis tangan dan sebagainya lalu menyebut ia adalah hand of god atau tangan Tuhan  adalah satu perbuatan yang menjurus kepada kekufuran. Ini dijelaskan oleh Sheikh Abdurrahman Habannakah bahawa iktikad yang kufur adalah melukis atau menterjemahkan sifat atau zat Allah dalam bentuk jasad yang mempunyai keserupaan dengan makhluk.[4] Justeru itu, haram hukumnya menyamakan Allah SWT dengan makhluk apatahlagi menggambarkannya dalam bentuk lukisan yang merupakan satu bentuk tasybih (penyerupaan) dan merupakan satu perbuatan yang kufur bahkan boleh merosakkan akidah. NOTA HUJUNG: [1] Surah Al-Syura : 11 [2] Al-Maraghi, Muhammad Mustafa, Tafsir Al-Maraghi j.25 h.15 [3] Abu Abdullah Al-Millali Al-Tilmisani, Muhammad Bin Umar Bin Ibrahim, Syarh Umm Al-Barahim h.58 [4] Al-Midani, Abdurrahman Bin Hasan Habannakah, Al-‘Akidah Al-Islamiyyah Wa Ususuha, h.618
3,277
Memperkasa pemahaman dan penghayatan Islam berlandaskan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, dan Qias ke arah melahirkan ummah yang wasatiy secara tuntas dan progresif
3,278
HUKUM ENGGAN MENERIMA RAWATAN ATAU MENJALANI PEMBEDAHAN Soalan: Assalamualaikum W.B.T. Saya mempunyai mak yang sudah tua. Beliau seorang yang menghidap penyakit buah pinggang. Namun begitu, beliau enggan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana takutkan doktor. Apakah hukum bagi perbuatan tersebut? Jawapan: Wa’alaikumussalam Wrm W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.  Riwayat al-Bukhari (5678) Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah S.W.T. (Rujuk: A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204). Shaikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Rujuk: Fath al-Mun'im, 8/582). Berbalik kepada persoalan di atas, sebelum itu kita harus meneliti terlebih dahulu apakah hukum mendapatkan rawatan mengikut pandangan syarak? HUKUM MENDAPATKAN RAWATAN Ulama’ berselisih pandangan berkenaan hukum mendapatkan rawatan kepada beberapa pendapat: Pendapat Pertama: Sunat. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 5/96; Mughni al-Muhtaj, 1/357). Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang telah disebutkan sebelum ini. Dan mazhab Syafie menghukumkannya (mendapatkan rawatan) sebagai sunat kerana perintah untuk mendapatkan rawatan  tidak qat’ie (putus). Adapun sekiranya perintahnya berbertuk qat’ie maka hukumnya adalah wajib. (Rujuk: Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 11/115). Pendapat Kedua: Harus. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi, Maliki dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. Para fuqaha’ Hanafi berkata: Maka tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan selagi mana seseorang beri’tiqad bahawa yang menyembuhkannya adalah Allah S.W.T. Berkata fuqaha’ mazhab Maliki: Adalah tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan apabila ditimpa kesakitan. (Rujuk: Al-Kifayah ‘ala al-Hidayah, 8/500; Syarh al-Zarqani ala al-Muwattha', 4/329; Kasysyaf al-Qina', 2/76). Pendapat Ketiga: Wajib. Ini adalah pandangan mazhab Zahiri, salah satu riwayat dalam mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dalam mazhab Syafie. Berkata para ulama’ mazhab Hanafi: Mendapatkan rawatan itu wajib sekiranya seseorang yakin bahawa dengan mendapatkan rawatan itu boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: Di sisi kami pandangan yang mewajibkannya (untuk mendapatkan rawatan) sekiranya dia ditimpa penyakit yang dikhuatiri akan membawa kepada kebinasaan. Berkata Imam Ibn Hazim: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menyuruh kita untuk berubat, dan melarang daripada meninggalkannya, justeru ia menunjukkan bahawa berubat itu adalah wajib.(Rujuk: Al-Fatawa al-Hindiyah, 5/355; Mughni al-Muhtaj, 1/357; Al-Muhalla, 7/418). Pendapat Keempat: Harus, tetapi meninggalkannya (rawatan) adalah lebih baik kerana ia lebih dekat kepada taqwa. Ini adalah pandangan Imam al-Nawawi dan jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 5/95; Kasysyaf al-Qina', 2/76). Perbezaan pandangan tersebut berlaku disebabkan oleh sandaran para fuqaha’ terhadap pelbagai hadis yang berbeza yang menunjukkan hukum yang berbeza. Antara hadis yang menerangkan hukum mendapatkan rawatan ialah: Pertama: Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Dia menurunkan ubatnya”. Riwayat al-Bukhari (5678) Kedua: Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas R.A: إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ، فَقَالَتْ: أَصْبِرُ Maksudnya: "Jika kamu mahu bersabar, maka ganjaran untukmu adalah syurga, dan jika kamu mahukan (kesembuhan), akan aku doakan kepada Allah untuk menyembuhkan kamu”. Wanita tersebut lalu berkata, "Kalau begitu aku akan bersabar”. Riwayat al-Bukhari (5652) dan Muslim (2576) Ketiga: Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah Ibn Syu’bah R.A: مَنِ اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّلِ Maksudnya: “Sesiapa yang meminta dirawat atau meminta dijampi maka dia telah membebaskan dirinya dari bertawakkal”. Riwayat al-Tarmizi (2055) dan Ibnu Majah (3489) FATWA MU’ASARAH BERKAITAN HUKUM MENDAPATKAN RAWATAN Disebut di dalam Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami bahawa: Hukum mendapatkan rawatan adalah wajib sekiranya apabila meninggalkannya (rawatan) boleh membawa kepada kematian atau kehilangan anggota tubuh atau lemahnya tubuh badan, atau sekiranya ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit. (Rujuk: Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No. 2148, 3/563). Disebut di dalam kitab Fiqh al-Nawazil, hukum berubat sekiranya ditimpa penyakit adalah seperti berikut: Disunatkan bagi seseorang yang ditimpa penyakit untuk mendapatkan rawatan, kerana Allah yang menurunkan sesuatu penyakit maka Dia juga yang menurunkan sesuatu ubat, untuk menghilangkan kesakitan, maka dengan (mendapatkan rawatan) akan menjadikan seseorang cergas untuk melaksanakan ibadah, mempelajari ilmu agama dan berdakwah di jalan Allah, memperbaiki urusan kehidupannya seharian, memberi manfaat kepada orang lain. Namun sekiranya dia yakin apabila meninggalkan rawatan, ia boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri maka wajib baginya untuk mendapatkan rawatan. Adapun sekiranya hal keduanya sama (mendapatkan rawatan atau tidak) maka meninggalkannya lebih baik, supaya dapat menghindarkan diri daripada kemudaratan yang tidak disedari. (Rujuk: Fiqh al-Nawazil, 1/491) Disebut di dalam Fiqh al-Muyassar, bahawa hukum berubat adalah seperti berikut: Sekiranya seseorang yakin bahawa apabila meninggalkan rawatan boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri, dan boleh mendapatkan manfaat melalui rawatan tersebut iaitu kesembuhan maka wajib baginya untuk berubat seperti penyakit kanser. Adapun sekiranya dia terpaksa memotong sebahagian tubuh untuk menyelamatkan dirinya maka ketika itu juga hukum berubat adalah wajib. Sekiranya seseorang yakin boleh mendapatkan manfaat (kesembuhan) daripada rawatan tersebut, tetapi tidak ada sebarang risiko sekiranya tidak mendapatkan rawatan, maka adalah lebih utama baginya untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya bersamaan dua keadaan, iaitu yakin mendapatkan manfaat daripada rawatan tetapi dalam masa yang sama terdapat risiko yang boleh membahayakan nyawanya maka lebih utama dia meninggalkannya supaya dapat menghindarkan dirinya daripada sebarang kemudaratan. (Rujuk: Fiqh al-Muyassar, 1/455-456). Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: Hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi setiap individu. Hukumnya adalah wajib sekiranya apabila meninggalkan rawatan boleh membawa kepada kebinasaan diri (kematian) atau kehilangan anggota tubuh atau menyebabkan tubuh badannya tidak berdaya, atau sekiranya seseorang ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit. Hukumnya adalah sunat sekiranya apabila meninggalkan rawatan akan menyebabkan tubuhnya lemah dan lesu (bukannya seperti keadaan yang pertama). Hukumnya harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua. Hukumnya adalah makruh sekiranya apabila seseorang mendapatkan rawatan maka ia membawa kepada risiko yang lebih besar daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204). ADAKAH MENDAPATKAN RAWATAN MENYALAHI KONSEP TAWAKKAL Berkata Imam Hajar al-Asqalani: “Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud dapat difahami bahawa ada sesetengah penyakit yang tidak diketahui penawarnya oleh sesiapapun, adapun perbuatan berubat ialah sebagai ikhtiar dan hal tersebut tidak menafikan konsep tawakkal kepada Allah bagi sesiapa yang beriman bahawa sesuatu penawar itu tidak dapat menyembuhkan penyakit dengan sendirinya melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah”. “Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A dapat difahami bahawa semuanya berlaku (iaitu kesembuhan) dengan izin Allah dan kehendaknya, adapun berubat itu tidak menafikan konsep tawakkal seperti mana tidak ternafi tawakkal dengan menolak lapar dan dahaga dengan makan dan minum. Begitu juga (tidak ternafi tawakkal) dengan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang membawa kepada kebinasaan dan berdoa supaya mendapat kesihatan yang baik dan ditolak segala kemudaratan”. (Rujuk: Fath al-Bari, 10/135). Berkata Imam Ibnu al-Qayyim: “Bahawa dapat difahami daripada hadis Nabi S.A.W perintah untuk berubat dan ianya bukanlah menafikan konsep tawakkal, seperti tidak ternafinya ia (tawakkal) dengan menghilangkan lapar, dahaga, panas dan sejuk dengan perkara yang dapat menghilangkannya”. (Rujuk: Zad al-Ma'ad, 4/15). Berkata Imam Ibnu Kathir: “Bahawasanya Allah-lah yang mengizinkan sesuatu penyakit untuk sembuh, adapun kita perlu berikhtiar dan mengambil langkah-langkah yang boleh membawa kepada kesembuhan seperti mendapatkan rawatan daripada ahlu al-ikhtisas (orang yang berautoriti), mereka yang mahir tentang perubatan. Maka mengabaikan sebab dan ikhtiar adalah perkara yang dicela dalam agama, sedangkan bertawakkal atau menyandarkan sesuatu keputusan kepada sebab semata-mata adalah perkara yang dicela dalam tauhid”. (Rujuk: Tafsir al-Quran al-Karim, 5/131). Justeru, mendapatkan rawatan untuk merawat sesuatu penyakit ialah salah satu ikhtiar untuk memperoleh kesembuhan dan bukannya menafikan konsep tawakkal kepada Allah. Bahkan mengambil sebab-sebab yang diharuskan di sisi syarak adalah dituntut dalam agama. Namun mestilah seseorang itu tetap meyakini bahawa Allah jualah yang mengizinkan sesuatu penyakit itu sembuh. TARJIH PANDANGAN Pada asalnya hukum mendapatkan rawatan adalah diraikan oleh syarak, kerana terdapat banyak ayat al-quran dan sunnah nabi samada dari segi percakapan atau perbuatan yang menunjukkan kepada hal tersebut. Dan ia juga termasuk dalam menjaga nyawa iaitu salah satu daripada maqasid al-kuliyyah. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204). Perubatan juga diumpamakan seperti syariat, bahawa ia berperanan untuk membawa kemaslahatan kepada manusia dan menolak kemudaratan iaitu menjaga kesihatan manusia dan merawat mereka daripada penyakit. (Rujuk: Qawa’id al-Ahkam, 1/40). Syariat telah menjelaskan mengenai kepentingan ilmu perubatan dan hukum mendapatkan rawatan pada asalnya adalah harus. Ia juga bertepatan dengan salah satu maqasid al-syariah iaitu untuk menjaga nyawa manusia, akan tetapi hukumnya boleh berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/182). Konsep al-tadawi (berubat) atau mendapatkan rawatan adalah untuk mencapai matlamat-matlamat syarak seperti: Menjaga kesihatan yang sedia ada. Mengembalikan kesihatan dengan usaha yang termampu. Menghilangkan kesakitan atau mengurangkannya dengan usaha yang termampu. Mengambil mudarat yang sedikit untuk menolak mudarat yang lebih besar. Meninggalkan manfaat yang sedikit demi menjaga manfaat yang lebih besar. (Rujuk: Zad al-Ma'ad, 3/111; Al-Tib al-Nawawi, hlm. 114). Adapun mengenai hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ((إٍن شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ para ulama’ mentafsirkan hadis ini seperti berikut: Hadis ini menunjukkan keharusan untuk meninggalkan rawatan dan keutamaan untuk memilih pilihan yang lebih berat iaitu bersabar di atas kesakitan daripada mendapatkan rawatan bagi sesiapa yang berkemampuan. Dan ianya diharuskan dengan dua syarat iaitu niat yang benar dan pergantungan yang kuat kepada Allah. Adapun berubat itu tetaplah dianjurkan berdasarkan hadis Rasulllah S.A.W yang lain, namun hadis ini menerangkan ada kelebihan bagi sesiapa yang bersabar. (Rujuk: Fath al-Bari, 10/115) Berkata Imam al-Syanqiti: “Bahawasanya di dalam syariat terdapat beberapa pilihan, iaitu samada baik atau lebih baik. Dan perkataan nabi di dalam hadis tersebut (إن شئت دعوت لك) adalah menunjukkan nabi memberi pilihan kepadanya untuk berubat dan sembuh dari penyakit tersebut dan ia adalah pilihan yang baik. Manakala yang lebih baik ialah dia bertawakkal dan menyerahkkan urusannya kepada Allah sekiranya dia yakin dirinya (mampu bersabar menghadapi penyakit itu)”. Tetapi hal ini tidaklah menunjukkan kepada terbatalnya anjuran untuk berubat tetapi bertawakkal adalah pilihan yang lebih baik yang telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada wanita tersebut . (Rujuk: Syarh Zaad al-Mustaqni', 243/20). Adapun hadis ini tidaklah bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, justeru barangsiapa yang mampu bersabar maka dia boleh bersabar, adapun bagi mereka yang tidak mampu bersabar kerana kesakitan atau sempit dada maka ketika itu berubat adalah lebih baik baginya kerana kelebihan untuk bertawakkal telah hilang kerana hilangnya kemampuannya untuk bersabar”. (Rujuk: Al-Raudhah al-Nadiyyah, 2/228). Manakala mengenai hadis Al-Mughirah bin Syub’bah (مَن اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّل) pula, ulama’ memperincikan hadis tersebut seperti berikut: Disebut di dalam kitab Al-Adab al-Syar'iyyah: “Hadis ini tidak menunjukkan kepada dianjurkan untuk tidak berubat, kerana ruqyah itu bukannya ubat, tetapi kerana ia berkait dengan kepercayaan mereka, kerana pada zaman jahiliyah kebanyakan ruqyah adalah berkait dengan perkara-perkara yang batil dan khurafat”. (Rujuk: Al-Adab al-Syar'iyyah, 2/333). Berkata Imam al-Nawawi: “Hadis ini tidak bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, kerana yang dimaksudkan dengan meninggalkan ruqyah di sini ialah ruqyah yang mengandungi bacaan daripada kalam kuffar atau yang tidak diketahui maknanya kerana berkemungkinan boleh membawa kepada maksud kufur atau yang dibenci. Adapun ruqyah yang dibaca dengan ayat-ayat al-quran dan zikir-zikir yang diketahui (ada sandaran daripada para ulama’) maka hal tersebut tidaklah ditegah bahkan ianya adalah sunat”. (Rujuk: Nail al-Authar, 8/230). Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa hukum mendapatkan rawatan adalah sangat dianjurkan oleh agama. Namun begitu, hukumnya adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit, maka hukumnya menjadi wajib. Hukum mendapatkan rawatan menjadi sunat dalam keadaan jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap yang memudaratkannya. Hukumnya akan kekal menjadi harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua. Manakala hukum rawatan akan menjadi makruh apabila terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat.   Kesimpulan Tuntasnya, hukum mendapatkan rawatan adalah amat dituntut oleh agama kerana ia selari dengan salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Ia juga tidaklah menolak konsep tawakkal itu sendiri kerana ianya adalah salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan melalui jalan yang dibenarkan di sisi syarak. Walau bagaimanapun, hendaklah seseorang meyakini bahawa ubat dan rawatan itu adalah suatu ikhtiar semata-semata tetapi yang menyembuhkan segala penyakit adalah daripada Allah S.W.T. Namun begitu hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi yang dihadapi oleh setiap individu iaitu seperti berikut: Pertama: Wajib – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit. Kedua: Sunat – Sekiranya jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap memudaratkannya. Ia juga sunat sekiranya jika seseorang meninggalkan rawatan ia boleh membawa kepada pengabaian hak-hak manusia seperti seorang bapa yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, dan membawa kepada pengabaian hak-hak Allah seperti kurang cergas dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa. (Rujuk: Silsilah al-Tafasir, 8/80). Ketiga: Harus – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua. Keempat: Makruh – Sekiranya terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut. Oleh itu, bentuk rawatan yang sesuai perlu dijalankan ke atas pesakit sekiranya penyakit yang dihadapi olehnya boleh memudaratkan diri lebih-lebih lagi dalam situasi yang mampu menggugat nyawanya. Namun begitu segala risiko ini mestilah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan terlebih dahulu. Wallahu a’lam. Semoga Allah S.W.T memberikan kita kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen
3,283
Soalan: Apakah al-Qur’an dan al-Sunnah ada menyebutkan perihal kasyaf? Jawapan: Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Definisi Kasyaf Perkataan kasyaf adalah daripada bahasa Arab (كشف). Ibn Manzur berkata, “Kasyaf didefinisikan sebagai kamu mengangkat daripada sesuatu apa yang menutupinya atau melindunginya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/300) Al-Jurjani pula berkata: “Kasyaf pada bahasa bererti mengangkat hijab dan pada istilah ialah sesuatu yang dicampak ke dalam hati dengan cara anugerah dari makna ghaibi dan perkara hakiki secara wujud dan syuhud.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 237) Abu Nasr al-Sarraj mentakrifkan kasyaf sebagai menjelaskan apa yang menghalang daripada kefahaman seseorang, disingkapkan kefahaman tersebut kepada hamba seperti dia melihatnya dengan pandangan mata. (Lihat al-Luma’, hlm. 422) Dalam Kamus Dewan, kasyaf diertikan sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati; mengkasyaf membuka hati. [1] Ulama Sufi yang sebenar tidak menerima kasyaf ilmi atau dzauqi atau wujdani kecuali menepati Kitab dan Sunnah. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Sulaiman al-Darani, “Boleh jadi jatuh pada hati aku satu perkara berkenaan dengan satu-satu kaum selama kaum beberapa hari, maka aku tidak menerima daripadanya (kasyaf) kecuali dengan dua saksi yang adil, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat Tabaqat al-Sufiyyah, 1/76) Inilah ketegasan ulama’ Sufi terdahulu dalam menjalani kehidupan dan ibadat. Apa jua yang berlaku pada diri mereka mestilah menepati al-Quran dan Sunnah. Kasyaf dalam al-Qur’an dan al-Hadith Kisah utama yang menjadi bukti wujudnya kasyaf ini adalah peristiwa yang berlaku antara Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS. Terdapat tiga persoalan Nabi Musa AS iaitu: Kapal yang dirosakkan. Remaja yang dibunuh. Harta karun di bawah tembok. Firman Allah SWT: أ َمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79) وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (80) فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (81) وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (82) Maksudnya: “Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".” (Surah al-Kahfi: 79-82) Menurut Imam al-Qusyairi: “Setelah berpisahnya Khidir dan Musa AS, hati Musa tidak tenang seakan-akan tidak bersetuju. Baginda pun segera membuang perasaan tersebut daripada hatinya dengan apa yang diperjelaskan kepadanya. Disingkapkan kepadanya akan rahsia tujuan Khidir yang merosakkan kapal bagi menyelamatkan dan mengekalkan ahlinya agar tidak menjadi mangsa raja yang suka merampas. Kekallah kapal tersebut kepada ahlinya. Ini adalah musibah iaitu kemarahan, (maka apa yang dilakukan itu) baik bagi keselamatan mereka.” (Lihat Lata’if al-Isyarat, 2/412) Adapun dalam hadith, ianya terzahir sendiri pada diri Rasulullah SAW. Kasyaf yang dimiliki oleh Baginda SAW diterima sebagai mukjizat. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Iqamat telah dikumandangkan. Lalu Rasulullah SAW menghadapkan wajahnya kepada kami seraya bersabda: أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، وَتَرَاصُّوا، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي Maksudnya: "Dirikan saf-saf kamu dan rapatkannya. Sesungguhnya aku melihat kamu semua daripada belakang punggungku." (Riwayat al-Bukhari, no. 719) Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda: أَخَذَ الرَّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَهَا جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَهَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَوَاحَةَ فَأُصِيبَ - وَإِنَّ عَيْنَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَذْرِفَانِ - ثُمَّ أَخَذَهَا خَالِدُ بْنُ الوَلِيدِ مِنْ غَيْرِ إِمْرَةٍ فَفُتِحَ لَهُ Maksudnya: "Zaid membawa panji dan beliau gugur. Setelah itu panji diambil oleh Ja'far, lalu beliau gugur. Setelah itu, panji diambil oelh Abdullah bin Rawahah, kemudian beliau gugur. (Kedua mata Rasulullah SAW mengalirkan air mata). Kemudian panji diambil oelh Khalid bin al-Walid tanpa perintah. Lalu beliau memperoleh kemenangan." (Riwayat al-Bukhari, no. 1246) Kematian para Sahabat ini dikhabarkan oleh Rasulullah SAW awal sebelum kematian mereka lagi. Ini membuktikan adanya kasyaf pada Rasulullah SAW sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikh Abdul Qadir ‘Isa al-Syazili. (Lihat Haqa’iq ‘an al-Tasawwuf, m. 340-342) Penutup Kasyaf adalah termasuk dalam kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Sebarang kasyaf yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah baik kepada orang yang mendakwa memilikinya atau apa yang dikhabarkannya, hendaklah ditolak kerana boleh membawa kekeliruan. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa: اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin. [1] http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kasyaf
3,284
Soalan Assalamualaikum Dato’. Adakah saya dikenakan kaffarah sekiranya saya berjimak selepas sengaja membatalkan puasa dengan makan dan minum. Terima kasih ustaz   Jawapan Waalaikumsalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.   Kaffarah Jimak Kaffarah (الكفارة) dari segi bahasa bermaksud menutup. Ini kerana menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT. Kaffarah dari segi istilah bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. Para fuqaha bersepakat, sesiapa yang melakukan jimak di siang hari Ramadhan secara sengaja dan dengan ikhtiarnya sendiri maka batallah puasanya dan dikenakan kaffarah kubra ini sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya: بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: مَا لَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِى وَأَنَا صَائِمٌ، في رواية: في رَمَضَان. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ. فَمَكَثَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، فَبَيْنَمَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ، أُتِىَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفرقٍ فِيهِ تَمْرٌ. قَالَ: أيْنَ السَّائِلُ؟ فَقَالَ: أَنَا. قَالَ: خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. فَقَالَ: الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ Maksudnya: “Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.” Hadis Riwayat al-Bukhari (1834) Terdapat pelbagai jenis kaffarah yang telah ditetapkan syarak, seperti kaffarah sumpah, bunuh dan zihar. Adapun kaffarah yang dikenakan disebabkan membatalkan puasa dengan bersetubuh adalah dengan: Memerdekakan seorang hamba Berpuasa selama dua bulan berturut-turut sekiranya tiada hamba atau tidak mampu mendapatkannya Memberi makan 60 orang miskin, setiap orang secupak makanan asasi negeri berkenaan. Ia mestilah dilakukan mengikut urutan sebagaimana yang telah dijelaskan. Oleh itu, tidak boleh memilih mana-mana kaffarah kecuali sekiranya tidak mampu melakukan kaffarah yang sebelumnya. Walaupun tidak mampu melakukannya, ia tetap menjadi tanggungjawabnya dan mesti dilaksanakan apabila mampu. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 2/364)   Hukum Membatalkan Puasa Dengan Sengaja kemudian melakukan Jimak Berdasarkan permasalahan di atas para Fuqaha’ mazhab berbeza pendapat berkenaan hal ini. Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan “mengikut pandangan Syafi’iyah, sekiranya membatalkan puasa dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kaffarah baginya”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu li Zuhaili, 3/1722) Begitu juga apa yang didatangkan oleh Imam al-Baijuri di dalam Hasyiahnya menyatakan: “Dikecualikan (Kaffarah) dengan melakukan Jimak apabila membatalkan puasanya dengan makan dan minum. Helah ini hanya menghilangkan kaffarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya. (Lihat: Hasyiah al-Baijuri 1/440) Selain itu, mengikut Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad wajib dikenakan kaffarah sekiranya membatalkan puasa dengan makan kemudian melakukan jimak. Ini kerana kewajipan berpuasa tidak gugur ke atas dirinya oleh itu larangan melakukan jimak juga tidak gugur kerana berbuka puasa di atas sebab yang tidak disyariatkan (Lihat: al-Fiqh ala al-Mazhab al-Arba’ah 1/509-511)   Dosa Membatalkan Puasa Dengan Sengaja Puasa Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hambanya supaya berpuasa seperti firmanNya: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah, 183) Barang siapa yang meninggalkan kewajipan berpuasa dengan sengaja, maka ia telah meninggalkan satu rukun daripada Islam. Dan ini merupakan satu dosa yang sangat besar dan dimurkai oleh Allah SWT. Terdapat amaran yang keras sekiranya meninggalkan puasa dengan sengaja, ini seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW: عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ Maksudnya: Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan satu daripadanya dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.” Hadis Riwayat Abu Ya’la, (2349) Selain itu, ganjaran meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang rukhsah tidak akan sama dengan menggantinya pada hari yang lain. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Sabda Nabi SAW: مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلاَ مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya”. Hadis Riwayat al-Tarmizi, (723) Helah Helah الْحِيلَةُ dari segi bahasa iaitu kemahiran menguruskan sesuatu perkara, seperti menukarkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain sehinggalah mencapai matlamat dan tujuannya. (Lihat: al-Mausuah al- Fiqhiyyah al-kuwaitiyyah 2/101) Di dalam kamus dewan helah merupakan, akal, muslihat, tipu daya. Menggunakan helah serta berdalih. Dari segi istilah helah bermaksud penggunaannya dikhususkan bagi menukarkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain. Dan kebiasaannya digunakan mengikut keadaan dan uruf. (Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuawaitiyyah, 18/328) Para fuqaha’ membahagikan helah ini kepada dua bahagian Helah yang dibenarkan, penggunaannya dengan tujuan yang baik serta mempertahankan kebenaran. Penggunaan helah mestilah tidak bertentangan dengan syarak dan tidak bercanggah dengan maqasid syariah. Penggunaan helah yang bertepatan dengan syarak diterima oleh jumhur pada fuqaha’. Helah yang diharamkan adalah penggunaannya untuk mencapai tujuan yang bertentangan dengan syarak dan memasukkan perkara yang syubhah. Ini seperti membatal dan menukarkan hukum syarak dengan meninggalkan yang wajib serta menghalalkan perkara yang haram serta bercanggah dengan maqasid syariah. (Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330) Berdasarkan penjelasan di atas, berbuka puasa tanpa sebarang sebab bagi tujuan untuk melakukan jimak tanpa dikenakan kaffarah di siang Ramadhan adalah termasuk dalam bentuk helah yang dilarang. Ini kerana ia bertujuan untuk melakukan perkara yang pada asalnya adalah membatalkan puasa dan dikenakan kaffarah kubra disamping caranya juga membawa kepada dosa besar kerana berbuka tanpa sebarang keuzuran syarie.   Kesimpulan Berdasarkan kepada persoalan di atas, dapat disimpulkan bahawa Fuqaha’ berbeza pendapat sama ada perlu dikenakan kaffarah ataupun tidak. Dan mengikut pandangan Mazhab Syafie tidak dikenakan kaffarah kerana perbuatan jimak itu dilakukan setelah tidak lagi berpuasa. Adapun kewajipan kaffarah adalah melakukan jimak ketika masih lagi berpuasa. Akan tetapi perbuatan membatalkan puasa dengan menggunakan helah supaya tidak dikenakan kaffarah dengan makan dan minun kemudian melakukan jimak. Helah yang digunakan ini dikategorikan sebagai helah yang diharamkan. Ini kerana penggunaan helah bagi mencapai tujuan yang haram dengan cara yang diharamkan. Ia merupakan tindakan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT dan sangat besar dosanya. Ini kerana berpuasa di bulan Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Adapun islam tidak melarang daripada melakukan jimak pada malam bulan Ramadhan. Ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT: أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم Maksudnya: Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian. Surah al-Baqarah (187) Sekiranya ia meninggalkan kewajipan berpuasa maka ia meninggalkan satu daripada rukun Islam. Said Sabiq di dalam kitabnya menukilkan kata-kata Imam Zahabi, katanya “Sesungguhnya barang siapa yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah lebih buruk daripada perbuatan berzina dan meminum arak bahkan mereka ini diragukan keislamannya dan berkemungkinan kafir zindik” (Lihat: Fiqh al-Sunnah, 1/434) Oleh itu, bagi sesiapa yang melakukan perkara ini wajib ke atas mereka bertaubat dengan sepenuh hati, meninggalkan dosa yang dilakukan itu serta berazam tidak mengulanginya kembali. Ini seperti yang disarankan al-Kalbiy: التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ Maksudnya: Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 18/198) Wallahualam.
3,285
SOALAN Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya. Soalannya: Apakah hukum memberi dan meletakkan bunga di atas keranda bagi mayat bukan Islam? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat. Di dalam agama Islam, perbuatan meletakkan bunga di atas kubur merupakan perkara yang dibahaskan oleh para ulama’. Sebagaimana amalan menabur bunga di atas kubur ini diharuskan dengan kaedah qias terhadap hadis pelepah tamar yang masyhur. Daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda ketika melalui dua buah kubur yang sedang diseksa: إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا فَقَالَ: "لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا". Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering”. (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 218) Kata Sheikh Abu Bakar Utsman al-Dimyathi al-Bakri di dalam penulisannya: يُسَنُّ وَضْعُ جَرِيْدَةٍ خَضْرَاءَ عَلَى الْقَبْرِ لِلْإ تِّباَعِ وَلِأَنَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُ بِبَرَكَةِ تَسْبِيْحِهَا وَقيِسَ بِهَا مَا اعْتِيْدَ مِنْ طَرْحِ نَحْوِ الرَّيْحَانِ الرَّطْبِ Maksudnya: Disunatkan meletakkan pelepah kurma yang masih hijau di atas kubur, kerana ia dapat meringankan beban si mati melalui berkat bacaan tasbihnya dan hal ini disamakan dengan sebagaimana adat kebiasaan, iaitu menaburi bunga yang harum dan basah atau yang masih segar. (Rujuk kitab I’anah al-Thalibin, 2/119) Maka konklusi di sisi agama Islam, meletakkan bunga di atas kubur adalah disunatkan kerana ia adalah satu medium perantaraan melalui sifatnya yang bertasbih kepada Allah SWT. Moga-moga dengan asbab tasbih itu Allah SWT merahmati ahli kubur dan meringankan azab seksa yang ditangung. Merujuk kepada soalan yang ditanyakan, apakah hukum memberi dan meletakkan bunga di atas keranda yang bukan beragama Islam?  Menurut ajaran agama Krisitian, bunga digunakan sebagai simbol kepada berkabung dan kesedihan. Bahkan tidak jauh beza diantara ajaran agama buddha. Di dalam sesebuah upacara kematian, bunga adalah hadiah atau tanda kehormatan kepada si mati. Ia adalah perkara yang dialu-alukan semasa di rumah keluarga si mati atau di kubur. Namun begitu, ia tidak sesuai ketika berada di rumah pengebumian. Bunga putih adalah bunga tradisi dan simbol kepada berkabung. Bunga merah adalah simbol kepada keceriaan dan perayaan dan tidak sesuai untuk dijadikan hadiah ketika waktu berkabung. (Rujuk A Guide to a Proper Buddhist Funeral, m/s 12; Theravadin Buddhist Chinese Funeral, m/s 11) Dalam menjawab persoalan ini, kami berpandangan bahawa memberikan dan meletakkan bunga di atas keranda bagi mayat bukan Islam adalah haram kerana ia merupakan ritual dan adat dalam pengurusan mayat bukan Islam. Lebih-lebih lagi, jika niat dan tujuan meletakkan bunga tersebut adalah sama menurut agama Islam iaitu memohon supaya Allah SWT merahmati kematiannya agar diampunkan dosa-dosanya maka ini adalah haram. Firman Allah SWT: مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, memintakan ampun (kepada Allah SWT) untuk orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka. (Surah at-Taubah: 113) Begitu juga Imam Nawawi menyatakan bahawa; وأما الصلاة على الكافر والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع Maksudnya: “Adapun solat ke atas orang kafir dan mendoakan agar diampuni dosanya, maka ini merupakan perbuatan haram berdasarkan nas al-Quran dan Ijma’. (Rujuk Kitab al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 5/120) Nasihat kami, jika perbuatan untuk memberi dan meletakkan bunga di atas keranda bukan Islam adalah terpaksa, maka letakkanlah sahaja tanpa ada apa-apa niat. Semoga Allah SWT sentiasa menghidayahkan kepada kita dengan petunjuknya. Amin. WallahuA’lam.
3,288
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, seperti yang diketahui bahawa apabila seseorang itu membaca al-Quran dan surah-surah yang mengandungi ayat sajadah dia perlu sujud tilawah. Soalan saya, bagaimana pula jika seseorang itu membaca ayat tersebut secara berulang kali seperti orang yang sedang menghafal al-Quran. Jadi, adakah perlu mengulangi sujud tilawah tersebut?   Ringkasan Jawapan: Pada asasnya hukum mengulangi sujud tilawah bagi yang membaca ayat sajadah secara berulang kali bergantung kepada dua keadaan. Pertama, sunat mengerjakan sujud tilawah dengan kadar satu kali sujud bagi mereka yang mengulangi ayat tersebut dalam majlis atau tempat yang sama. Kedua, sunat serta dituntut mengulangi sujud tilawah bagi seseorang yang membaca 2 ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama atau membaca ayat sajadah yang sama dalam majlis yang berbeza. Adapun bagi orang yang mengulangi bacaannya bagi tujuan menghafal ia termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana sunat baginya mengerjakan sekali sujud sahaja.   Huraian Jawapan: Mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, hukum mengerjakan sujud tilawah sama ada bagi orang yang mendengar atau membaca ayat Sajadah adalah sunat muakkad yang mana ia merupakan sunat yang dituntut untuk dilaksanakan.[1] Hal ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang mana Rasulullah SAW bersabda: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ عَلَيْنَا السُّورَةَ، فِيهَا السَّجْدَةُ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ Maksudnya: “Nabi SAW memperdengarkan kami bacaan surah (ketika menjadi imam) surah yang mempunyai ayat Sajdah, lalu Baginda sujud dan kami pun turut bersujud.”[2] (Riwayat Bukhari: 1075) Oleh itu, bagi sujud tilawah yang dilakukan diluar solat, maka ia tertakluk kepada dua keadaan iaitu: Keadaan Pertama: Pengulangan satu ayat Sajadah dalam satu majlis. Di dalam situasi ini, memadai bagi orang yang mendengar dan membaca ayat sajadah ini membaca mengerjakan sujud tilawah dengan kadar sekali sujud sahaja Hal ini merujuk kepada pandangan Sheikh al-Ruyani[3]: لو كرر وقراءة ‌أية ‌السجدة في مجلس واحد مرتين وثلاثاً يكفيه سجدة واحدة Maksudnya: “Sekiranya seorang itu mengulangi atau membaca ayat sajadah di dalam satu majlis sebanyak dua atau tiga kali, memadai dia bersujud sajadah sekali”. (Rujuk Bahr al-Mazhab: 1/288) Kedua: Mengulangi Ayat Sajadah dalam Majlis yang Berbeza. Situasi ini juga sama bagi keadaan orang yang membaca dua ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama. Oleh itu, jika seseorang itu membaca satu ayat sajadah dalam dua majlis yang berbeza atau membaca dua ayat sajadah yang berbeza pada majlis yang sama maka dituntut bagi pembaca dan pendengar mengerjakan atau mengulangi sujud tilawah sebanyak dua kali.[4] Oleh yang demikian, bagi seseorang yang sedang menghafal ayat tersebut dan mengulangi bacaan hafalannya itu termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana cukup baginya mengerjakan sekali sahaja sujud tilawah. Kesimpulan: Hukum mengulangi sujud tilawah bagi yang membaca ayat sajadah secara berulang kali bergantung kepada dua keadaan. Pertama, sunat mengerjakan sujud tilawah dengan kadar satu kali sujud bagi mereka yang mengulangi ayat tersebut dalam majlis atau tempat yang sama. Kedua, sunat serta dituntut mengulangi sujud tilawah bagi seseorang yang membaca 2 ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama atau membaca ayat sajadah yang sama dalam majlis yang berbeza. Adapun bagi orang yang mengulangi bacaannya bagi tujuan menghafal ia termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana sunat baginya mengerjakan sekali sujud sahaja. Wallahu A’lam..     [1] Mausu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (2012). Cetakan 1, Kuwait: Wuzarat al-Awqaf wa la-Syu’un al-Islami. Jilid 24 hlm 212. Teks asal: فَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّ سُجُودَ التِّلاَوَةِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ [2] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. 1422H. Sohih Bukhari. Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Dar al-Tuq al-Naja. Jilid 2 hlm 41, no:1075. [3] Al-Ruyani, Abu al-Mahasin ‘Abd al-Wahid bin Ismail. (2009). Bahr al-Mazhab. Tahkik: Tariq Fathi al-Sayyid. Cetakan 1, Dar al-Kutub al-‘llmiyyah. Jilid 2 hlm 140. [4] Makhluf, Hasanain Muhammad. (1965). Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah. Cetakan 2, Mesir: Syarikat Makatabah Mustafa al-Halabi.Ibid, jilid 1 hlm 288. Teks asal: ولو تلا آيتين في مجلس واحد، أو اية واحدة في مجلسين
3,289
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ada terbaca pasal berkenaan dengan hadis 99 nama Allah yang mana dalam hadis itu menyatakan sesiapa yang menghitung 99 nama tersebut akan masuk syurga. Jadi, adakah maksud menghitung ini dengan hanya semata-mata mengira atau bagaimana. Mohon pencerahan pihak Datuk. Terima Kasih. Ringkasan Jawapan: Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat  makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Pandangan yang paling kuat (rajih) di sisi Imam al-Syairazi ialah makna yang pertama dan kedua. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT. Huraian Jawapan: Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda SAW. Berkenaan dengan persoalan yang diajukan, ia merujuk kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari: 2736) Secara umumnya hadis tersebut menyatakan bagi nama Allah SWT yang mempunyai 99 nama dan kelebihan bagi mereka yang menghitunganya. Oleh itu, para ulama telah metafsirkan maksud ‘menhitung’ tersebut kepada beberapa wajah. Pertama: Mengira dan Menghafal Sheikh Badruddin al-‘Aini menaqalkan di dalam syarahnya pandangan al-Khatabi yang mana beliau mendefiniskan kalimah ‘menghitung’ itu dengan maksud membilang satu persatu nama-nama Allah meliputi keseluruhan dan tidak mengurangkan sesetengah dari nama-nama tersebut.[1] Manakala menurut kitab Faidhul Bari, maksud kalimah ‘أحصى’ ialah dengan makna menghafal yang mana ia juga merupakan makna yang diberi oleh ahli-ahli hadis.[2] Selain itu, terdapat juga dalam riwayat yang lain yang menggunakan lafaz ‘حفظ’ seperti yang dinyatakan oleh Imam Muslim melalui hadis Abu Hurairah, yang mana Rasulullah SAW bersabda: لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا، مَنْ حَفِظَهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ Maksudnya: “Allah SWT memiliki sembilan puluh sembilan nama, sesiapa yang menghafaznya akan masuk syurga.” (Sahih Muslim: 2677) Kedua: Beriman dan Melaksanakan Kewajipan: Di dalam karya Sheikh Badr al-Din al- ‘Aini, kalimah ‘أحصى’ juga ditafsirkan dengan maksud beriman yang mana ia merujuk kepada melaksanakan hak-haknya seperti beramal dengan maksud yang terkandung di dalam nama-nama tersebut. Dengan kata lain, perlu mengambil pengajaran daripadanya dan melazimi dirinya dengan kewajipan tersebut.[3] Ketiga: Mengenali dan memahami makna: Al-Khattabi juga turut menghuraikan maksud daripada kalimah ini dengan makna mengenali dan memahami dalam masa yang sama memikirkan makna-makna kalimah tersebut.[4] Begitu juga al-Syairazi mentakrifkannya dengan orang yang mengetahui dan memahami makna-makna nama Allah SWT.[5] Keempat: Membacanya di dalam al-Quran: Maksud ini merujuk kepada pandangan Imam Ibn Qayyim yang dinukilkan oleh Sheikh Badr al-Din di dalam syarahnya: (من أحصاها) من قَرَأَ الْقُرْآن حَتَّى يختمه فيستوفي، أَي: من حفظ الْقُرْآن الْعَزِيز دخل الْجنَّة، لِأَن جَمِيع الْأَسْمَاء فِيهِ Maksudnya: “(Sesiapa yang menghitung) sesiapa yang membaca al-Quran sehingga mengkhatamkannya serta meliputi kesemuanya, iaitu bagi sesiapa yang menghafaz al-Quran akan memasuki syurga kerana kesemua nama terhimpun di dalamnya.” (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari: 12/22)   Berdasarkan definisi dan pendapat-pendapat yang telah dinyatakan, Imam al-Syairazi teah mentarjihkan bahawa maksud menghitung (أحصى) tersebut dengan dua makna. Makna pertama ialah membaca dan menghafaz seperti dalam padangan pertama manakala makna kedua pula beramal dan beriman dengan nama-nama tersebut.[6] Kesimpulan: Maksud kalimah ‘أحصى’ di dalam hadis ini mengandungi empat makna iaitu pertamanya ialah dengan makna mengira dan menghafaz nama-nama Allah SWT. Manakala makna yang kedua pula ialah beriman dan melaksanakan kewajipan dan makna ketiga ialah mengenali dan memahami nama-nama tersebut. Keempat pula ialah membaca nama-nama tersebut di dalam al-Quran. Dari sudut pentarjihan pula, yang ditarjihkan ialah wajah pertama dan kedua dikategorikan dengan makna kalimah tersebut. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang beriman dengan nama-nama Allah SWT. Wallahu A’lam..   Rujukan:  [1] Al-‘Aini, Badr al-Din. (T,T). ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy. Jilid 14 hlm 22. Teks Asal: قَالَ الْخطابِيّ: الإحصاء يحْتَمل وُجُوهًا: أظهرها: العدّ لَهَا حَتَّى يستوفيها، أَي: لَا يقْتَصر على بَعْضهَا [2] Al-Kasymiri dan al-Deobandi, Muhammad Anwar Shah bin Mu‘azzam. 2005. Faidhul Bari ‘ala Sohih al-Bukhari. Tahkik: Muhammad Badr ‘Alam al-Mairathi. Cetakan 1, Lubnan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jilid 4, hlm 125. Teks Asal: أي مَنْ حَفِظها، وهو المرادُ عند المُحدِّثين [3] ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabiy Jilid 14 hlm 22. Teks Asal: الإطاقة، أَي: من أطَاق الْقيام بِحَقِّهَا وَالْعَمَل بمقتضاها، وَهُوَ أَن يعْتَبر مَعَانِيهَا وَيلْزم نَفسه بواجبها [4] Ibid, j14 hlm22. Teks asal:  وَثَالِثهَا: الْعقل، أَي: من عقلهَا وأحاط علما بمعانيها [5] Al-Syairazi, al-Hussain bin Mahmud al-Hassan. 2012. Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. Tahkik: Lajnah Mukhtassah. Dar al-Nawadir. Jilid 3, hlm149. Teks asal: معنى الإحصاء: العقل والمعرفة؛ يعني: من عرف وعقل معانيها [6] Ibid, jilid 3, hlm 149. Teks Asal: فإذا عرفت هذا فالمختارُ هو الوجه الأول والثاني، وعلى الوجه الثاني يحتاجُ قارئُها إلى معرفة معانيها؛ ليعتقدها ويعمل بموجبها
3,290
Soalan Assalamualaikum, saya nak tanya berkaitan hukum korban, di Malaysia hari raya Aidiladha jatuh pada hari Ahad dan di Arab Saudi  jatuh pada hari Sabtu. Jika saya melakukan korban di Saudi atau negara yang raya pada hari Sabtu, dari segi hukum tidak dibenarkan untuk memotong kuku dan bulu di badan, adakah ia mengikut tarikh di Malaysia atau negara yang saya lakukan korban. Dan bilakah gugurnya larangan tersebut. Adakah pada hari Sabtu atau Ahad. Terima kasih Ringkasan Jawapan Larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban bermula pada 1 Zulhijah waktu Malaysia, kerana penentuan tarikh Zulhijah mengikut negeri yang ia berada.  Manakala larangan tersebut akan gugur setelah haiwan korban tersebut disembelih seperti yang dinyatakan di dalam hadis (حَتَّى يُضَحِّ) maksudnya (sehingga selesai sembelihan). Hal ini juga termasuk bagi mereka yang melakukan ibadah korban di luar negara yang berbeza tarikh hari raya Aidiladha, kerana had larangan memotong kuku dan rambut ialah sehingga selesai haiwan disembelih. Huraian Jawapan Ibadah korban bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan syiar agama Islam bagi menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT.[1] Umat Islam yang berniat untuk menunaikan ibadah korban, mereka disarankan untuk tidak memotong kuku dan bulu-bulu di badan bermula pada awal bulan Zulhijah sehingga hari pelaksaan sembelihan. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah isteri Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلاَلُ ذِي الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّ Maksudnya: Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban. Riwayat Muslim (1977) Menurut Imam al-Nawawi, makruh bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban memotong kuku dan rambut sehinggalah haiwan korban itu disembelih. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam karyanya: مَذْهَبُنَا أَنَّ إزَالَةَ الشَّعَرِ وَالظُّفْرِ فِي الْعَشْرِ لِمَنْ أَرَادَ التَّضْحِيَةَ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ حَتَّى يُضَحِّيَ Maksudnya: Menurut mazhab kami (al-Syafi’i), sesungguhnya memotong rambut dan kuku pada sepuluh hari (iaitu 1 hingga 10hb) bulan Zulhijah bagi mereka yang hendak menunaikan ibadah korban adalah makruh, iaitu makruh tanzih sehingga selesai haiwan korban disembelih[2] Syeikh Ibrahim al-Baijuri menyatakan bahawa, mereka yang melakukan korban disunatkan untuk tidak memotong kuku dan rambut sehingga haiwan korbannya disembelih walaupun ia disembelih pada hari terakhir hari tasyrik. Begitu juga pada hari Jumaat, seseorang itu disunatkan untuk memotong kuku, namun bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban makruh untuk melakukannya. Hal ini kerana dapat mengambil ganjaran yang diberikan iaitu pengampunan daripada dosa dan diberi kebebasan daripada api neraka.[3] Oleh itu, larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban bermula pada 1 Zulhijah waktu Malaysia, kerana penentuan tarikh Zulhijah mengikut negeri yang ia berada.[4] Manakala larangan tersebut akan gugur setelah haiwan korban tersebut disembelih seperti yang dinyatakan di dalam hadis (حَتَّى يُضَحِّ) maksudnya (sehingga selesai sembelihan). Hal ini juga termasuk bagi mereka yang melakukan ibadah korban di luar negara yang berbeza tarikh hari raya Aidiladha, kerana had larangan memotong kuku dan rambut ialah sehingga selesai haiwan disembelih. Selain itu boleh juga merujuk artikel yang bertajuk: IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 12: ANJURAN UNTUK TIDAK MEMOTONG KUKU DAN RAMBUT BAGI YANG INGIN MELAKUKAN IBADAH KORBAN APABILA TIBANYA 1 ZULHIJAH sebagai maklumat tambahan. Wallahu’alam   [1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413H) 1/232 ثم إن من أبرز المعاني المتعلقة بالأَضحية إحياء معنى الضحية العظمى التي قام بها إبراهيم عليه الصلاة والسلام، إذ ابتلاء الله تعالى بالأمر بذبح ابنه [2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Dar al-Fikr) 8/392 [3] ويسن لمن يريد التضحية أن لا يزيل شعره و ظفره في عشر ذي الحجة حتى يضحي، ولو أخر التضحية الى آخر أيام التشريق استمر كذلك حتى يضحي. ومثل شعره وظفره جلدة لا تضر ازالتها ولا حاجة له فيها، فيكره له ازالة ذلك ولو في يوم الجمعة ونحوه للنهي عنها في خبر مسلم، والمعنى فيه شمول المغفرة والعتق من النار لجميع ذلك. [4] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/144-145 (إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ) مِنْهُ قَطْعًا كَبَغْدَادَ وَالْكُوفَةِ؛ لِأَنَّهُمَا كَبَلَدٍ وَاحِدَةٍ كَمَا فِي حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ (دُونَ الْبَعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) كَالْحِجَازِ وَالْعِرَاقِ. وَالثَّانِي: يَلْزَمُ فِي الْبَعِيدِ أَيْضًا (وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ) وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ؛ لِأَنَّ الشَّرْعَ عَلَّقَ بِهَا كَثِيرًا مِنْ الْأَحْكَامِ (وَقِيلَ بِاخْتِلَافِ الْمَطَالِعِ. قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) ؛ لِأَنَّ أَمْرَ الْهِلَالِ لَا تَعَلُّقَ لَهُ بِمَسَافَةِ الْقَصْرِ، وَلِمَا رَوَى مُسْلِمٌ عَنْ كُرَيْبٍ
3,292
Sejak akhir-akhir ini timbul isu dalam kalangan masyarakat berkaitan capal    Rasulullah ﷺ. Kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga dihujani dengan soalan-soalan daripada khalayak masyarakat yang ingin mendapatkan penjelasan tuntas berkaitan perkara ini. Maka atas tujuan tersebut, kami kemukakan siri Bayan Linnas kali ini dengan tajuk Bayan Linnas: Capal Rasulullah ﷺ, Lakaran dan Tabarruk. Moga-moga ia mampu untuk meleraikan pelbagai persoalan berkaitan hal ini. Memuliakan dan mentakzimkan Rasulullah ﷺ dan apa-apa yang dikaitkan dengan Baginda ﷺ adalah dituntut dalam Islam pada setiap masa dan keadaan. Firman Allah Taala dalam surah al-Fath ayat 8-9: إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا لِّتُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad ﷺ) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad ﷺ) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Para Ulama telah mengambil berat dan perhatian khusus berkaitan capal Nabi ﷺ kerana keterikatannya dengan Baginda ﷺ dengan memuatkan di dalam pelbagai tulisan karangan mereka. Antara topik perbincangannya adalah berkaitan dengan sifat-sifat, ciri-ciri, warna, bilangan, bentuk, lakaran, ukuran, jenis dan puji-pujian sama ada dalam bentuk prosa atau syair. Ada dikalangan mereka meletakkan tajuk khusus bab capal di dalam karya mereka seperti di dalam Kitab al-Syamail al-Muhammadiah oleh al-Imam Al-Tirmizi Rahimahullahu Taala (w. 279H), kitab Wasaail al-Wusul ila Syamail al-Rasul, karya Al Imam Yusuf bin Ismail al-Nabhani Rahimahullahu (w.1350H) dan pelbagai kitab lagi.  Ada juga yang mengarang kitab dan syair puji-pujian para ulama khusus berkaitan capal Nabi ﷺ, antaranya kitab Fath al-Muta’al fi Madh al-Ni’al  karya Al-Imam Syeikh Syihabudin Abu Abbas Al-Maqarri Al-Tilimsani (w. 1041H). Begitu juga dengan kitab Nail al-Syifa Bi Na’li al-Mustofa ﷺ karya salah ulama besar daripada Deoband, India iaitu Maulana  Muhammad Ashraf Ali Al-Thanwi (w.1362H) dan pelbagai kitab lagi seumpama dengannya. Semua ini menggambarkan kepada kita bahawa keperihatinan dan kecaknaan para ulama terhadap Baginda ﷺ dan apa sahaja yang berkait dengan Baginda ﷺ. Ini semua adalah kerana perasaan yang lahir dari hati hasil kecintaan dan mahabbah terhadap Rasulullah ﷺ. Takrif Capal (النَّعْل) Capal dalam Bahasa arab disebut sebagai al-Na’lu (النعل) dan kata jamaknya ( النعال ) ialah kasut atau capal digunakan sebagai pelindung kaki. Ia sebagaimana yang disebut oleh Ibn Manzur di dalam Mu’jamnya: النَّعْل والنَّعْلةُ: مَا وَقَيْت بِهِ القدَم مِنَ الأَرض Maksudnya: al-Na’lu dan al-Na’lah : iaitu apa melindunginya akan kaki daripada tanah. (Rujuk Lisan al-Arab, 11:667) Imam Badr al-Din al-‘Aini menukilkan pandangan Ibn al-Athir menyebut bahawa: النَّعْل هِيَ الَّتِي تسمى الْآن: تاسومة Maksudnya: al-Na’lu sekarang diberi nama sebagai Tasumah (kasut digunakan untuk berjalan).  (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 22:24) Imam Ibn Hajar r.a menyatakan pandangan Ibnu al-‘Arabi r.a di dalam syarahnya dengan menyatakan: النَّعْل لِبَاس الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم السَّلَام، وَإِنَّمَا اتخذ النَّاس غَيرهَا لما فِي أَرضهم من الطين، وَقد تطلق النَّعْل على كل مَا بَقِي الْقدَم Maksudnya: al-Na’lu merupakan pakaian para Nabi AS, dan sesungguhnya manusia lainya mengambilnya dan menggunakannya di tempat mereka sebagai pelindung daripada tanah, dan sesungguhnya jelas bahawa al-Na’lu diletakkannya ke atas setiap kaki. (Rujuk Fath al-Bari li Ibn Hajar, 10 308) Selain itu, Allah SWT menyebut perkataan al-Ni’al di dalam al-Quran. Firman-Nya: إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ ۖ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى Maksudnya: Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. (Surah Taha, 12) Imam al-Qurtubi r.a dalam mensyarahkan ayat di atas menyebut: والنعل ما جعلته وقاية لقدميك من الأرض Maksudnya: Dan al-Na’lu apa yang dijadikannya pelindung pada kedua kaki kamu daripada tanah. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 11:173) Sejarah Capal Nabawi ﷺ Dari sudut sejarah pula, kemuliaan terhadap capal Rasulullah ﷺ ini sebenarnya telah bermula pasca era kewafatan Baginda ﷺ lagi. Menurut al-Maqarri r.a, terdapat sebuah riwayat yang disokong oleh beberapa orang Imam seperti Ibn Asakir, al-Bulqini, al-Sakhawi dan lain-lain menunjukkan bahawa capal ini berasal daripada Saidatina ‘Aisyah r.a[1]. Kemudian, dalam riwayat yang lain dicatatkan bahawa ia telah berpindah ke tangan Saidatina Ummu Kalthum r.a. dan Saidatina Maimunah binti al-Harith r.a. Selain itu, dalam sebuah riwayat yang lain pula menunjukkan bahawa salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ, iaitu Saidina Anas bin Malik r.a bertindak sebagai penjaga kepada capal Baginda ﷺ. Dinyatakan bahawa pada setiap malam, beliau r.a. akan memandang capal tersebut dan kemudiannya menangis kerana merindui Baginda Demikian juga Abdullah bin Mas’ud r.a yang terkenal dengan ‘sahib al’na’layn’. ﷺ[2]. Dalam maksud yang lain, objek capal tersebut dijadikan sebagai salah satu faktor pendorong untuk menambahkan lagi kecintaan kepada Rasulullah ﷺ. Selepas berlalunya era sahabat, pemilikan terhadap capal Nabawi ﷺ ini telah berlangsung secara bersilang-ganti. Menurut Taimur Basha, capal ini telah berada di sekitar Damsyik dan diwarisi oleh Bani Abi al-Hadid. Ia kemudiannya dimiliki oleh pemerintah wilayah itu, al-Malik Musa bin al-‘Adil al-Ayyubi. Beliau kemudiannya menempatkan replika capal berkenaan di Dar al-Hadith al-Ashrafiyyah untuk dijadikan sebagai khazanah yang perlu dipelihara. Sejajar dengan itu, amalan memuliakan atau mengambil keberkatan (tabarruk) kepada Rasulullah ﷺ secara zahirnya telah bermula pada waktu itu. Hal ini dapat dijelaskan menerusi perbuatan dan percakapan oleh al-Malik Musa itu sendiri yang mencium dan memandangnya sambil menangis. Beliau turut menyatakan kepada umum keperluan untuk bertabarruk dengan capal tersebut. Berdasarkan beberapa peristiwa tersebut, ia menunjukkan bahawa sebenarnya amalan amalan memuliakan capal Nabawi ﷺ ini mempunyai asas dari sudut sejarah bermula selepas era kewafatan Baginda ﷺ lagi. Kedudukan Capal Mengikut Perspektif Sunnah Capal atau kasut adalah termasuk dalam pakaian yang menjadi kebiasaan para Nabi ‘Alaihimussalam. Ibn al-‘Arabi mengatakan bahawa sandal itu pakaian para nabi dan sesungguhnya manusia menggunakannya untuk memijak tanah dan melindungi kaki mereka. (Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi, 5/468). Al-Quran menyebut Nabi Musa a.s ketika dipanggil di lembah Thuwa, Baginda telah diminta untuk melepaskan capalnya. Firman Allah SWT: فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ يَا مُوسَى إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى Maksudnya: “Ketika ia datang ke tempat api itu ia dipanggil: “Hai Musa.” Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua sandalmu; sesungguhnya kamu berada dilembah yang suci, Thuwa”.  Surah Taha (11-12) Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a, daripada Nabi ﷺ bahawa Baginda ﷺ menggalakkan umatnya agar sentiasa menggunakan capal kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk ibadah. Baginda ﷺ bersabda: اسْتَكْثِرُوا مِنَ النِّعَالِ فَإِنَّ الرَّجُلَ لاَ يَزَالُ رَاكِبًا مَا انْتَعَلَ Maksudnya: “Selalulah memakai sandal. Ini kerana seseorang akan selalu naik kendaraan selama mana dia memakai sandal.”  Riwayat Muslim (5615) Imam al-Nawawi (wafat 676H) menamakan bab untuk hadis ini iaitu  استحباب لبس النعال وما في معناها iaitu anjuran untuk memakai capal atau alas kaki lainnya. Beliau kemudiannya menjelaskan maksud hadis tersebut: معناه أنه شبيه بالراكب في خفة المشقة عليه ، وقلة تعبه ، وسلامة رجله ممّا يعرض في الطريق من خشونة وشوك وأذى ، وفيه استحباب الاستظهار في السفر بالنعال وغيرها مما يحتاج إليه المسافر Maksudnya: Bahawa memakai sandal disamakan seperti orang yang menaiki kenderaan dalam masalah meringankan beban, tidak mudah keletihan dan kakinya selamat daripada sebarang bentuk bahaya seperti batu tajam dan duri di jalanan. Hadiṡ ini menganjurkan supaya mengambil persediaan semasa dalam musafir dengan capal atau yang serupanya (bekalan yang diperlukan oleh musafir). (Rujuk: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/73). Di samping itu, para ulama banyak mengarang bab dan kitab dalam masalah capal nabi ﷺ. Antaranya Imam al-Tarmizi r.a yang mengarangkan satu bab khusus dalam kitab al-Syamail al-Muhammadiah berkenaan capal nabi iaitu Bab: Hadis Berkenaan Capal Rasulullah ﷺ’ (باب ما جاء في نعل رسول الله ﷺ). Terdapat banyak riwayat yang menggambarkan bentuk capal Nabi Muhammad ﷺ iaitu seperti berikut: Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah: عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ قُلْتُ لأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لَهُمَا قِبَالاَنِ ‏.‏ Maksudnya: Daripada Qatadah, katanya: Aku bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah bentuk capal Rasulullah ﷺ?” Anas bin Malik menjawab: “Sandal Baginda ﷺ mempunyai dua tali qibal. Riwayat al-Bukhari (5857) Imam Ibn Hajar menjelaskan dalam kitab Fathul Bāri bahawa masing-masing capal itu memiliki dua qibal. Qibal ertinya tali pengikat, iaitu tali untuk mengikat syis’ (tali pengikat jemari kaki) dan terdapat di antara dua jari kaki. (Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 10/325). Selain itu, hadis yang diriwayatkan daripada Amr bin Huraith: عَنِ السُّدِّيِّ، قَالَ‏:‏ حَدَّثَنِي مَنْ سَمِعَ عَمْرَو بْنَ حُرَيْثٍ، يَقُولُ‏:‏ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، يُصَلِّي فِي نَعْلَيْنِ مَخْصُوفَتَيْن Maksudnya: Amr bin Huraith berkata: “Aku melihat Rasulullah ﷺ solat memakai sepasang sandal yang bertampal dan berjahit”. Riwayat Ahmad (19941) Seterusnya, hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik: ‏ أَخْرَجَ إِلَيْنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ نَعْلَيْنِ جَرْدَاوَيْنِ، لَهُمَا قِبَالانِ‏.‏ قَالَ : فَحَدَّثَنِي ثَابِتٌ بَعْدُ عَنْ أَنَسُ ، أَنَّهُمَا كَانَتَا نَعْلَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  Maksudnya: “Anas bin Malik memperlihatkan kepada kami sepadang sandal yang tidak berbulu (kulitnya). Sandal itu memiliki dua tali qibal”. Kemudian, Thabit menyampaikan kepadaku, Anas bin Malik melaporkan: “Sandal itu adalah sandal kepunyaan Rasulullah ﷺ”. Riwayat al-Bukhari (3107) Di samping itu, para ulama’ turut menyenaraikan adab-adab yang berkaitan dengan pemakaian capal berdasarkan hadis Nabi ﷺ. Antaranya, disunatkan memakai capal dengan dimulakan dengan kaki kanan. Disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Āisyah r.a: عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُحِبُّ التَّيَمُّنَ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ فِي نَعْلَيْهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ Maksudnya: Rasulullah ﷺ selalu cuba memastikan Baginda ﷺ mendahulukan anggota yang kanan dalam kesemua perkara seperti dalam memakai sandal, menyikat rambut dan ketika bersuci. Riwayat al-Bukhari (5926) Menurut Imam al-Nawawi r.a. dianjurkan untuk memulai dengan yang kanan dalam setiap perbuatan yang mulia, mengenakan perhiasan, membersihkan diri dan sebagainya. (Rujuk: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, hlm. 74). Selain itu, terdapat hadis yang menunjukkan disunatkan solat dengan memakai capal mengikut pandangan sebahagian ulama’ dengan syarat ianya suci. عن أبى مسلمة سعيد بن يزيد قال: قلت لأنس بن مالك: أكان رسول الله صلّى الله عليه وسلّم يصلّي فى النعلين؟ قال نعم. Maksudnya: Daripada Abu Maslamah Sa’īd bin Yazid, katanya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik: “Apakah Rasulullah ﷺ mengerjakan solat dengan mengenakan sandal? Baginda ﷺ menjawab: ‘Ya’. Riwayat al-Bukhari (5850) Seterusnya, terdapat hadis yang melarang berjalan dengan sebelah capal. عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏"‏لا يمشي أحدكم في نعل واحدة لينعلهما جميعًا او ليخلعهما جميعًا‏"‏‏.‏ وفي رواية ‏"‏ أو ليحفهما جميعًا  Maksudnya: “Janganlah kalian berjalan dengan sebelah capal sahaja. Hendaklah memakai atau melepaskan kedua-duanya”. Riwayat al-Bukhari (5855) dan Muslim (2097) Rasulullah ﷺ sebagai panduan dalam setiap tatacara kehidupan adalah sebagai satu bukti dalam menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah ﷺ. Hal ini demikian sebagaimana dalam firman Allah SWT: لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah ﷺ itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” Surah al-Ahzab (21) Justeru, jelaslah bahawa capal atau sandal adalah salah satu pakaian nabi ﷺ. Oleh yang demikian sekiranya seseorang mencontohi cara pemakaian Rasulullah ﷺ dengan niat untuk mengikuti sunnah Baginda ﷺ, maka dia telah mendapat pahala kerana menghidupkan sunnah Rasullulah ﷺ dalam pemakaiannya. Ciri-Ciri Reka Bentuk Capal Nabi ﷺ Berbalik kepada ciri-ciri yang diceritakan berkenaan dengan capal atau kasut Baginda ﷺ terdapat pelbagai hadith Baginda Nabi ﷺ yang dihimpunkan oleh para ulama hadis di dalam kitab mereka. Di antaranya ialah hadis yang diriwayat oleh Isa bin Thahman katanya: أَخْرَجَ إِلَيْنَا أَنَسٌ نَعْلَيْنِ جَرْدَاوَيْنِ لَهُمَا قِبَالاَنِ، فَحَدَّثَنِي ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ بَعْدُ عَنْ أَنَسٍ أَنَّهُمَا نَعْلاَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم Maksudnya: Saidina Anas menunjukkan kepada kami sepasang capal yang diperbuat daripada Jardawain (kulit yang dibuang bulu) terdapat pada keduanya Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari), selepas itu, Imam Thabit al-Bunani menceritakan kepadaku apa yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bahawa sesungguhnya sepasang kasut itu kepunyaan Nabi ﷺ. Riwayat al-Bukhari (3107) Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah katanya: قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: «لَهُمَا قِبَالَانِ» Maksudnya: Aku bertanya kepada Saidina Anas bin Malik: Bagaimanakah bentuk capal Rasulullah ? Anas berkata terdapat pada keduanya Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari). Riwayat al-Tirmizi (1772) Selain itu Imam al-Tirmizi r.a juga mengumpul hadis yang berkaitan dengan ciri-ciri capal Nabi ﷺ di dalam kitabnya. Di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a berkata: كَانَ لِنَعْلِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قِبَالانِ، مَثْنِيٌّ شِرَاكَهُمَا‏ Makdsudnya: Sesungguhnya bagi capal Rasulullah ﷺ terdapat Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari), diikat dengan dua tali yang berentangan (bersambung dengan permukaan capal). (Rujuk al-Syamail al-Muhammadiyyah: 75) Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ubaid bin Juraij bahawa beliau bertanya kepada Ibn Umar RA: رَأَيْتُكَ تَلْبَسُ النِّعَالَ السِّبْتِيَّةَ، قَالَ‏:‏ إِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَيْسَ فِيهَا شَعَرٌ، وَيَتَوَضَّأُ فِيهَا، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَلْبَسَهَا Maksudnya: Aku pernah melihat kamu memakai capal al-Sibtiyyah (yang diperbuat daripada kulit yang tidak berbulu), Ibnu Umar berkata: Sesungguhnya aku melihat Rasulullah ﷺ memakai capal yang tidak terdapat padanya bulu, dan berwuduk dengannya, oleh itu aku gemar memakainya. (Rujuk al-Syamail al-Muhammadiyyah: 77) Dalam menjelaskan tentang ciri-ciri capal yang dipakai oleh Baginda ﷺ, ianya terdapat al-Qibalain iaitu pada hadapan capal Baginda ﷺ terdapat dua tali disulam yang membahagikan jari-jari kaki Baginda ﷺ. Imam Yusuf al-Nabhani menyebut di dalam kitabnya: وكان صلّى الله عليه وسلّم يضع أحد القبالين بين الإبهام والّتي تليها، والاخر بين الوسطى والّتي تليها Maksudnya: Dan sesungguhnya Nabi ﷺ meletakkan satu daripada dua ikatan (al-Qibalain) di antara ibu jari kakinya dan jari selepas daripadanya (iaitu jari telunjuk dan jari tengah) manakala satu lagi diletakkan di antara jari tengah dal selepasnya (iaitu jari manis dan jari kelingking). (Rujuk Wasail al-Wusul ila Syamail al-Rasul ﷺ, 1:128) Selain itu, capal Baginda ﷺ diperbuat daripada kulit yang tidak berbulu disebut sebagai al-Sibtiyyah. Imam al-Bajuri di dalam hasyiahnya menyebut bahawa al-Sibtiyyah iaitu kulit yang tidak terdapat padanya bulu di nisbahkan kepada Sibt iaitu kulit lembu yang telah disamak dan bulunya telah gugur apabila ia disamak. (Rujuk al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala Syamail Muhammadiyyah: 188)   Pandangan Ulama Berkaitan Lakaran Capal Rasulullah ﷺ Pada asasnya, lakaran capal Nabi ﷺ dilakar untuk menggambarkan sifat capal Nabi ﷺ. Ia dilakar dan dilukis berdasarkan kepada beberapa hadith dan penerangan para Sahabat tentang capal Nabi ﷺ. Ada yang dipanggil sebagai capal al-Sibtiyah iaitu capal yang tiada bulu. Ini berdasarkan beberapa hadith. Antaranya Hadith Saidina Ibn Umar ketika beliau ditanya oleh Saidina Ubaid Bin Juraij r.a mengapa beliau memakai capal yang tiada bulu (Al-Sibtiyyah). Saidina Ibn Umar r.a menjawab: إني رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس النعال ليس فيها شعر يتوضأ فيها فأنا أحب أن ألبسها Maksudnya: Saya melihat Rasulullah memakai capal yang tiada bulu. Baginda berwuduk menggunakan capal tersebut dan saya suka untuk memakainya.”[3] Begitu juga dengan penjelasan Saidina Ibn ‘Abbas r.a yang menyebut bahawa capal Nabi ﷺ mempunyai dua tali yang bersilang.[4] Antara yang lain, terdapat juga riwayat yang menjelaskan bentuk, lebar dan panjang capal Nabi ﷺ. Berdasarkan kepada hadith-hadith dan pernyataan tersebut, para ulama melakar dan melukis bentuk gambaran capal Nabi ﷺ. Dengan erti kata lain, ia bukan capal Nabi ﷺ yang sebenar yang berbentuk fizikal akan tetapi gambaran terhadap capal yang pernah digunakan oleh Baginda Nabi ﷺ. Adapun berkaitan lakaran capal Rasulullah ﷺ (Mitsal Ni’al) untuk dijadikan sesuatu simbol logo dan persoalannya, adakah lakaran logo capal boleh disamakan kemuliaan dengan capal yang dipakai Baginda Rasulullah ﷺ untuk diambil berkat ataupun tidak? Maka, sebahagian ulama telah membahaskan dan menerangkan lakaran gambaran capal Rasullullah ﷺ dengan menyatakan sifat dan manfaat lakaran gambar capal Baginda . ( Rujuk "Fath al-Muta'al Fi Madh Khair al-Ni'al, 493  )   Perakuan Ulama Berkaitan Sifat dan Lakaran Capal Baginda ﷺ Di kalangan ulama ada yang menjelaskan gambaran capal Rasulullah ﷺ  dalam bentuk bait-bait syair. Umpamanya Imam al-Hafiz al-Iraqi mengungkapkan menyatakan reka di dalam bait-bait syairnya dengan menyebut: ونَعْلُهُ الكَريمَةُ المَصُونَهْ ... طُوبى لمَنْ مَسَّ بِها جَبِينَهْ Dan capal Baginda ﷺ yang mulia lagi dipelihara # Berbagialah bagi sesiapa yang dipilih menyentuhnya لهَا قِبَالانِ بِسَيْرٍ وَهُمَا ... سِبْتِيَّتَانِ سَبَتوا شَعْرَهُمَا Padanya dua Qibal dengan dimasukkan jari dan keduanya # diperbuat dari kulit yang dihilangkan bulunya وطُولُهَا شِبْرٌ وإصْبَعَانِ ... وعَرْضُها مِمَّا يَلي الكَعبَانِ Panjangnya sejengkal dua jari # dan lebarnya di antara dua buku lali سَبْعُ أصَابِعَ، وبَطْنُ القَدَمِ ... خَمْسٌ، وفَوقَ ذا فَسِتٌّ فاعلَمِ Tujuh jari, dan panjang tumit kaki # lima jari, dan di atas itu (ukuran tapak kaki) enam jari maka ketahuilah وَرَأْسُهَا مُحَدَّدٌ، وعَرْضُ مَا ... بَينَ القِبَالَينِ اصْبَعَانِ، اضبِطْهُمَا Dan di hujungnya Muhaddad (tajam), dan luas # di antara al-Qibalain dua jari, ukuran keduanya وهَذهِ تِمثَالُ تِلكَ النَّعْلِ ... ودورهَا، أكْرِمْ بها من نعل Dan inilah lakaran capal itu # Dan gulungannya (lakaran capal), muliakanlah dengannya (Rujuk Alfiah al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 88) Di dalam kitab Wasail al Wusul ada dinyatakan: ذكر ابن عساكر فى جزء مفرد في فتح القسطنطينية    من فضلها وجُرب من نفعها وبركتها أن أبا جعفر أحمد بن عبد المجيد ـ وكان شيخاً صالحاً ـ أعطى مثالها لبعض الطلبة ، فجاءه وقال له: رأيت البارحة من بركة هذا النعل عجباً ، أصاب زوجتى وجع شديد كاد يُهلكها ، فجعلت النعل على موضع الوجع وقلت: اللهم أرنى بركة صاحب هذا النعل ، فشفاها الله تعالى للحين Maksudnya: Imam Ibnu Asakir menyebut di dalam satu juzuk yang berasingan di dalam kitab Fathu Al-Qustantiniah: Maksudnya: Antara kelebihan dan mujarrabat (berdasarkan pengalaman) di sebabkan keberkatan dan manfaat lakaran capal Nabi ﷺ, Abu Jaafar bin Ahmad bin Abdul majid seorang syeikh yang soleh telah memberikan kepada sebahagian muridnya akan lakaran capal Nabi ﷺ, lalu keesokan harinya murid tersebut bertemu gurunya lalu memberitahu bahawa beliau telah melihat keberkatan yang terdapat pada lakaran atau gambaran capal tersebut yang sangat ajaib. Maka syeikh pun bertanya kepada muridnya apakah yang kamu lihat? Muridnya menjawab, isteriku telah terkena akan suatu penyakit yang tersangat sakit sehingga boleh menyebabkan kematian, lalu aku meletakkan lakaran dan gambaran capal ini dan berdoa dengan doa ini: اللهم أرنى بركة صاحب هذا النعل ertinya: “Ya Allah tunjukkanlah kepadaku keberkatan pemilik capal ini”, Maka Allah Taala menyembuhkan penyakit tersebut seketika itu jua.  وقال أبو إسحاق ـ إبراهيم بن محمد المشهور ابن الحاج ـ قال أبو القاسم بن محمد : ومما جُرب من بركته أن من أمسكه عنده متبركاً به كان له أماناً من بغى البغاة وغلبة العداة ، وحرزاً من كل شيطان مارد وعين حاسد ، وإن أمسكته الحامل بيمينها وقد اشتد عليها الطلق تيسر أمرها بحول الله تعالى وقوته . Maksudnya:  Telah berkata Abu Ishak, Imam Ibrahim Bin Muhammad Al Masyhur Ibnu al Haj, telah berkata Abu Qasim Antara perkara yang pernah dilihat akan keberkatan akan lakaran atau gambar capal ini, adalah barangsiapa yang memegangnya dengan mengharapkan keberkatan maka ia akan diselamatkan kezaliman mereka yang zalim, dapat mengalahkan musuh, menjadi pelindung daripada syaitan, menjadi pelindung daripada pandangan mata yang hasad dan jika perempuan hamil memegangnya dengan tangan kanannya maka akan dimudahkan urusan kelahirannya. Kesemua ini berlaku dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah Taala. Begitu juga Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala menyatakan di dalam sebahagian bait syairnya yang berbunyi: ونعلِ خضعنا هيبة لبهائها         وإنَّا متى نخضع لها أبداً نعلو فضعها على أعلى المفارق        إنها حقيقتها تاج وصورتها نعل بأخمص خير الخلق حازت مزيةً         على التاج حتى باهت المفرق الرِّجلُ شفاءٌ لذى سقم رجاء لبائسٍ          أمان لذى خوفٍ كذا يُحسب الفضلُ Maksudnya: Dan pakailah capal maka akan tunduklah kehebatan dengan kehebatannya/kemegahannya, dan sesungguhnya selama mana kita merendah diri maka kita akan sentiasa ditinggikan, letakklah capal di atas belahan-belahan rambut, walaupun ia merupakan lakaran atau gambaran capal tetapi hakikatnya ia adalah sebuah mahkota dengan kebaikan sebaik-baik manusia maka dapatlah ia keistimewaannya di atas sebab mahkota yang dipakainya sehinggakan belahan rambut yang pudar bagi  seorang lelaki pun tidak kelihatan, ia juga menjadi kesembuhan terhadap sesuatu penyakit, harapan terhadap mereka yang putus asa, keamanan mereka yang di dalam ketakutan. Maka itulah keistimewaan dan kelebihannya. ( Kitab Wasail Wusul, m.s 130-131) Isu Bertabarruk Pada Lakaran Capal Yang Dibentuk Isu ini hendaklah dilihat dalam konteks perbincangan para ulama dalam isu tabarruk. Perbahasan isu tabarruk adalah sangat panjang, cuma memada untuk disebut di sini bahawa hukum secara umum berkaitan tabaruk (mengambil keberkatan) dengan athar para Anbiya, auliya dan para solihin ketika hidup mahupun ketika telah wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat telah bersepakat akan keharusannya. Antara contoh-contoh  tabarruk yang ada disebut dalam perbincangan tabarruk ialah: Rasulullah ﷺ sendiri apabila mencukur rambutnya ketika haji Wada’ (haji terakhir Baginda ﷺ) baginda memberikan rambut Baginda ﷺ pada seorang sahabat dan Baginda ﷺ memerintahkan agar diagih-agihkan kepada sahabat lain. Saidina Umar Radiyallahu Anhu memegang mimbar Nabi ﷺ sebelum beliau berdoa lalu mengusapkan pada wajahnya. Saidatina Asma’ Radiyallahu Anha mengeluarkan baju Qamis Baginda ﷺ untuk digunakan sebagai ubat, dicelupkan jubah Baginda ke dalam air dan diberikan minum kepada orang-orang sakit dan tidak ada seorang pun sahabat yang mengingkarinya. Para sahabat berlumba-lumba untuk mengambil air ludah dan bekas wuduk nabi ﷺ lalu menyapukan pada bahagian jasad mereka. Begitu juga bertabarruk dengan menggunakan air zamzam Imam Sabit al Bunani Rahimahullahu Taala mencium tangan Saidina Anas bin Malik, lalu diletakkan pada wajahnya dan berkata aku telah menyentuh tangan yang telah disentuh oleh Rasulullah ﷺ Imam Al Nawawi Rahimahullahu Taala pada syarah sohih muslim 14/44 berkaitan Hadis para sahabat bertabarruk dengan wuduk Nabi ﷺ   "ففيه التبرك بآثار الصالحين واستعمال فضل طهورهم وطعامهم وشرابهم ولباسهم." Maksudnya: Padanya bab bertabarruk pada athar orang-orang solih dan menggunakan lebihan bersuci, makanan, minuman dan pakaian mereka. Pelbagai lagi contoh-contoh yang terdapat dalam athar dan perbincangan para ulama. Hakikatnya, ini semua dilakukan kerana kecintaan mereka kepada RasulNya yang menatijahkan tindakan dalam bentuk tabarruk dan tidak lebih daripada itu. Ini adalah sebahagian dari catatan para ulama yang merujuk kepada amalan bertabarruk. Pada asasnya ia memang telah diamalkan tetapi dengan penuh keyakinan dan kepercayaan dengan beriktikad bahawa hanyalah Allah SWT jua yang mampu untuk memberi manfaat, mudharat dan yang memberi bekas.   Firman Allah SWT: وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-An’am: 17) وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ Maksudnya: Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT. (Surah Al Baqarah : juzuk 1:102) Berkata Imam Abu Abdullah Muhammad Al Sanusi Al Hasani (wafat pada 895H) di dalam Kitab Ummul Al Barahin hlmn 25 sebahagian bait matannya berbunyi: وَيُؤُخَذُ مِنْهُ أَيْضًا: أَنَّهُ لاَ تَأْثِيرَ لِشَيْءِ مِنَ الْكَائِنَاتِ فِي أَثَر مَّا Maksudnya: “Dan diambil daripadanya juga bahawa tiada memberi bekas baginya sesuatu daripada segala makhluk daripada barang bekas yang ada ia”. Berkaitan dengan isu lakaran capal dijadikan sebagai lambang, adakah ia berkaitan dengan akidah? Maka bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita perlu memahami bahawa selama mana perbuatan seseorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad yang sebenar kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik. Para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim. Ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya. Memetik kata-kata ulama yang perlu dijadikan panduan umum untuk berhadapan dengan saudara seIslam kita antaranya ialah: Imam Ibnu Hajar Al Haytami rahimahullahu Taala wafat 974H mengatakan di dalam Kitab Tuhfatul Muhtaj 9/88:  ينبغي للمفتي أن يحتاط في التكفير ما أمكنه لعظيم خطره وغلبة عدم قصده سيما من العوام وما زال أئمتنا على ذلك قديما وحديثا اهـ Maksudnya: Seharusnya bagi seorang mufti berhati-hati didalam menghukum kekafiran pada seseorang selama mana yang ia mampu kerana bahayanya sangat besar dan takut menghukum yang tidak bermaksud sedemikian itu terutama melibatkan orang awam, maka senantiasa ulama kami yang dahulu dan sekarang berpegang dengan itu. Berkata Imam Ibnu Abidin dalam kitab Raddul Mukhtar syarah Ad Dur Mukhtar 4/ 229-230: لَا يُفْتَى بِكُفْرِ مُسْلِمٍ أَمْكَنَ حَمْلُ كَلَامِهِ عَلَى مَحْمَلٍ حَسَنٍ أَوْ كَانَ فِي كُفْرِهِ خِلَافٌ، وَلَوْ كَانَ ذَلِكَ رِوَايَةً ضَعِيفَةً] اهـ Maksudnya: Tidak boleh menghukum kufur seseorang Muslim selagi mana boleh menanggung perkataanya atas sebaik-baik ikhtimal atau padanya kekufurannya itu terdapat makna di sebaliknya, walaupun dengan riwayat yang dhoif. Berkata juga Imam Mula Ali Qari dalam kitabnya Syarah Al Syifa’ juzuk 2 hlmn 502: قال علماؤنا: إذا وجد تسعة وتسعون وجهًا تشير إلى تكفير مسلم, ووجه واحد على إبقائه على إسلامه, فينبغي للمفتي والقاضي أن يعملا بذلك الوجه، وهو مستفاد من قوله عليه السلام: ادرءوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم. اهـ Maksudnya: Berkata ulama kami, apabila terdapat sembilan puluh sembilan (99) wajah yang menunjukkan kepada kekufuran seseorang muslim, dan satu (1) wajah menunjukkan ke atas keIslamannya, maka seharusnya para mufti dan qadhi beramal akan satu wajah yang mengekalkannya di dalam Islam, ini berdasarkan Hadis Nabi ﷺ “Tolaklah selama mana kamu mampu daripada menjatuhkan hukuman hudud ke atas muslimin”. Begitulah sikap yang ditunjukkan para ulama dalam menangani perkara antara batasan iman dan kufur. Maka begitulah juga perkara yang berkaitan dengan lakaran capal Baginda ﷺ dan apa-apa yang berkait dengan Baginda ﷺ dan bertabarruk dengannya. Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca dari kasih dan rindu dan ini tidak memerlukan dalil khas untuk mengharuskannya sebagaimana dalam isu-isu tabarruk yang lain yang tidak nas secara khusus sebagaimana contoh-contoh yang diberikan di atas. Ia adalah bersifat individu dan bukannya bersifat umum kepada semua orang. Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan kerana ada sedikit persamaan sudah boleh mendatangkan semangat rindu dan kasih maka pada ketika itu cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagimana tidak bertentangan dengan prinsip syarak. Berpada dan Langkah Penjagaan Ini hukum asal berkait tabarruk. Pada masa yang sama adalah tidak harus sama sekali  untuk menjadikan keharusan tabarruk ini membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi ﷺ  sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi yang menimbulkan fitnah kepada orang awam. Isu tabarruk adalah isu individu kerana ia berkait dengan rasa cinta dan kasih dan bukannya umum kepada setiap orang. Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam samada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya, maka di sinilah datangnya peranan otoriti agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan) dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah ﷺ .   Kesilapan yang berlaku ialah apabila neraca ilmiah dalam isu tabarruk sebagaimana yang dihuraikan di atas telah dinafikan sedari awal lalu terus menghukum tabarruk dengan lakaran capal Nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya telah melahirkan pula sikap-sikap sinis terhadap apa-apa yang di kaitkan dengan Rasulullah ﷺ. Tanpa disedari diri Rasulullah ﷺ yang dicintai telah dijadikan subjek gurauan dan sendaan. Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabarruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah ﷺ dan berasaskan prinsip-prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda ﷺ. Pada masa yang sama menjadi kewajipan kepada kita untuk  mempertahan dan membela Rasulullah ﷺ dalam segenap aspek dan keadaan.   Dr Luqman Haji AbdullahMufti Wilayah Persekutuan   Nota Hujung : [1] Ahmad Taimur Basha, al-Athar al-Nabawiyyah (Mesir : Muassasah Hindawi, 2012), 93-108. [2] Abu al-Fida’ Isma’il Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah (Dar Hijr, 1997), 12 : 450. [3] Riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Al-Syamail Al-Muhammadiah no 74,Al-Bukhari no 5513. Muslim no 1187 dan Abu Daud no 1772. [4] Riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Al-Syamail Al-Muhammadiah no 72 dan Ibn Majah no 3614
3,293
SOALAN Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum seseorang berwasiat supaya dilaksanakan badal haji  sunat untuknya selepas dia meninggal dunia. Adakah perlu dilaksanakan wasiat tersebut ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Hukum seseorang berwasiat kepada warisnya agar melaksanakan badal haji sunat setelah dia meninggal dunia adalah harus dan dibolehkan. Hal ini diharuskan sekiranya dia telah melaksanakan ibadah Haji dan Umrah yang fardu. Namun jika belum dilaksanakan, maka wajib didahulukan kedua-dua ibadah fardu tersebut terlebih dahulu. Selain itu, hendaklah upah bagi badal haji tersebut tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalannya. Jika satu pertiga daripada hartanya tersebut tidak mencukupi untuk dilaksanakan badal haji yang sunat, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan serta harta dikembalikan kepada ahli waris. WaAllahu a’lam.  HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Pertama, hukum melaksanakan ibadah Haji dan Umrah ialah wajib ke atas umat Islam yang berkemampuan sekali seumur hidup di sisi mazhab al-Syafie.[1] Justeru, hendaklah dipastikan sama ada seseorang yang berwasiat untuk dilaksanakan haji atau umrah yang sunat tersebut bahawa mereka telah melaksanakan kedua-duanya yang fardu terlebih dahulu. Hal ini kerana ibadah yang fardu lebih perlu diutamakan dan didahulukan berbanding ibadah yang sunat. Jika masih belum dilaksanakan ibadah yang fardu tersebut, maka wajib digantikannya terlebih dahulu menggunakan harta peninggalannya. Kedua, harus untuk berwasiat supaya dilaksanakan badal haji atau umrah yang sunat mengikut pandangan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafie. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini bahawa: (وَتَصِحُّ) الْوَصِيَّةُ (بِحَجٍّ) وَعُمْرَةِ (تَطَوُّعٍ فِي الْأَظْهَرِ) بِنَاءً عَلَى الْأَظْهَرِ مِنْ جَوَازِ النِّيَابَةِ فِيهِ؛ لِأَنَّهَا عِبَادَةٌ تَدْخُلُ النِّيَابَةُ فِي فَرْضِهَا فَتَدْخُلُ فِي نَفْلِهَا كَأَدَاءِ الزَّكَاةِ Maksudnya: Sah untuk berwasiat supaya dilaksanakan haji dan umrah yang sunat mengikut pandangan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafie, iaitu pandangan muktamad yang mengharuskan ibadah itu untuk digantikan perlaksanaannya  kerana ia (haji dan umrah wajib) merupakan ibadah yang boleh digantikan (perlaksanaan) oleh orang lain, termasuk juga ibadahnya yang sunat sama seperti perlaksanaan zakat.[2] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 4:107) Selain itu, harus untuk berwasiat bagi melaksanakan badal haji sunat dengan menggunakan satu pertiga daripada harta peninggalannya. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya: فَالتَّطَوُّعُ تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِهِ عَلَى الْأَظْهَرِ تَفْرِيعًا عَلَى صِحَّةِ النِّيَابَةِ فِيهِ. ثُمَّ هُوَ مَحْسُوبٌ مِنَ الثُّلُثِ Maksudnya: Manakala bagi ibadah Haji yang sunat pula, sah untuk berwasiat dengannya menurut pandangan yang muktamad sebagai cabang kepada perbahasan sahnya penggantian bagi ibadah tersebut. Kemudian, wasiat tersebut hendaklah dikira dengan (tidak melebihi) satu pertiga (daripada keseluruhan hartanya). [3] (Rujuk Raudhat al-Talibin, 6:195) Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa hanya satu pertiga daripada harta peninggalannya tersebut boleh diambil untuk dilaksanakan bagi badal Haji sunat tersebut. Justeru, jika jumlah satu pertiga daripada hartanya tersebut tidak mencukupi untuk menunaikan satu ibadah Haji yang sunat, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan. Dalam hal ini, Imam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa: (تَصِحُّ الْوَصِيَّةُ بِحَجِّ التَّطَوُّعِ) بِنَاءً عَلَى صِحَّةِ النِّيَابَةِ فِيهِ (وَتَبْطُلُ) الْوَصِيَّةُ بِهِ (إنْ عَجَزَ الثُّلُثُ أَوْ مَا يَخُصُّهُ) أَيْ الْحَجَّ (مِنْهُ) أَيْ مِنْ الثُّلُثِ Maksudnya: Sah berwasiat untuk dilaksanakan Haji yang sunat berdasarkan kepada sahnya gantian baginya. Walau bagaimanapun terbatal wasiat tersebut jika sekiranya tidak mampu ditunaikan dengan satu pertiga daripada harta peninggalannya atau harta yang dikhususkan untuk haji yang sunat itu daripada satu pertiga tersebut.[4] (Rujuk Asna al-Mathalib, 3:59) Begitu juga, jika dia berwasiat dengan dua pertiga daripada hartanya, maka hendaklah digunakan hanya satu pertiga daripada hartanya sahaja untuk dilaksanakan ibadah sunat tersebut. Namun jika harta tersebut mencukupi untuk kos perbelanjaan ibadah Haji sebanyak dua, tiga atau lebih daripada itu, maka ia boleh dilaksanakan lebih daripada satu ibadah haji. Walau bagaimanapun jika jumlah harta yang berbaki tidak mencukupi untuk perlaksanaan badal haji yang kedua, maka harta tersebut hendaklah dikembalikan kepada ahli warisnya. Namun jika si mati menentukan hanya satu ibadah Haji sunat sahaja, maka digunakan satu pertiga daripada hartanya tersebut untuk sekali sahaja dan bakinya dikembalikan kepada ahli waris. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa beliau berkata: وَإِذَا لَمْ يَفِ الثُّلُثُ، أَوْ حِصَّةُ الْحَجِّ مِنْهُ بِالْحَجِّ، بَطَلَتِ الْوَصِيَّةُ، وَكَذَا لَوْ قَالَ: أَحِجُّوا عَنِّي بِمِائَةٍ مِنْ ثُلُثِي وَلَمْ يُمْكِنْ أَنْ يُحَجَّ بِهَا.وَلَوْ قَالَ: أَحِجُّوا عَنِّي بِثُلُثِي، صُرِفَ ثُلُثُهُ إِلَى مَا يُمْكِنُ مِنْ حَجَّتَيْنِ وَثَلَاثٍ فَصَاعِدًا. فَإِنْ فَضَلَ مَا لَا يُمْكِنُ أَنْ يُحَجَّ بِهِ، فَهُوَ لِلْوَرَثَةِ. Maksudnya: Jika harta itu tidak mencukupi dengan satu pertiga atau tidak mencukupi untuk bahagian haji dengan satu haji, maka terbatallah wasiatnya. Begitu juga jika seseorang berkata, ‘Tunaikanlah haji (sunat) bagiku dengan 100 dinar daripada dua pertiga daripada hartaku’ dan tidak mampu untuk dilaksanakan dengannya (maka batallah wasiatnya juga). Jika seseorang berkata, ‘Tunaikanlah (haji yang sunat) bagiku dengan dua pertiga daripada hartaku’, maka digunakan hanya satu pertiga daripadanya untuk dilaksanakan haji sunat baginya sehingga bilangan haji yang mampu dilaksanakan dengannya (jumlah harta) sama ada dua (ibadah haji), tiga atau lebih. Jika sekiranya berbaki jumlah harta yang tidak mencukupi untuk melaksanakan haji seterusnya, maka ia diberikan kepada ahli waris.[5] (Rujuk Raudhat al-Talibin, 6:195) Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa upah untuk badal haji yang sunat tersebut hendaklah tidak lebih daripada satu pertiga daripada harta peninggalan si mati tersebut. Apabila ia mencukupi maka hendaklah dilaksanakan badal haji sunat untuknya berdasarkan apa yang telah diwasiatkan. Jika tidak mencukupi, maka wasiat itu terbatal dan tidak perlu dilaksanakan. WaAllahu a’lam.  RUJUKAN [1] (Al-Syirazi, Abu Ishaq, t.t, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, 1:358) الحج ركن من أركان الإسلام وفرض من فروضه لما روى ابن عمر رضي الله عنهما قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً رسول الله صلى الله عليه وسلم وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة والحج وصوم رمضان" وفي العمرة قولان: قال في الجديد: هي فرض لما روت عائشة رضي الله عنها قالت: قلت: يا رسول الله أعلى النساء جهاد؟ قال: جهاد لا قتال فيه الحج والعمرة. [2] Al-Syirbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj fi Ma’rifati Maani al-Minhaj, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah, jld. 4, hlmn. 107) [3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991,  Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 6, hlmn. 195. [4] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Talib, Beirut, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 3, hlmn. 59. [5] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991,  Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 6, hlmn. 195.
3,294
SOALAN: Assalamualaikum Dato’ SS Mufti. Saya ingin bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan dua kegembiraan yang diperolehi oleh orang yang berpuasa, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.   JAWAPAN: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah hadith: لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ Maksudnya: Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. Riwayat al-Tirmizi (696) Di dalam hadith di atas, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Para ulama’ telah memberi syarahan terhadap maksud dua kegembiraan tersebut. Pertama, kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Justeru, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 215) Kedua, kegembiraan ketika bertemu Tuhannya pula bermaksud, ganjaran balasan kebaikan yang diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah SWT: وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Muzammil: 20) Begitu juga firman Allah SWT: يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا Maksudnya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya). (Surah Ali Imran: 30) Justeru, apabila orang yang telah berpuasa tersebut melihat ganjaran yang bakal diperolehinya daripada Allah SWT, maka dia merasa gembira dengan puasa yang telah dilaksanakannya itu dengan sebaiknya. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 216-217)   Kesimpulan Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa maksud kedua-dua kegembiraan yang merupakan kegembiraan di dunia dan di akhirat. Di dunia, seseorang yang berpuasa akan memperoleh kegembiraan apabila dia dapat melakukan perbuatan yang dia dihalang daripada melakukannya ketika berpuasa dengan makan dan minum. Manakala, begitu juga di akhirat kelak, dia akan mendapat ganjaran yang besar yang disimpan oleh Allah SWT buatnya, maka dia bergembira dengan apa yang diperolehinya itu. WaAllahu a’lam. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamanya serta memberikan taufiq dan hidayat untuk kita terus beramal dengan ikhlas kepadaNya. Amin.
3,295
Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah boleh bertawakkal tanpa berusaha untuk mencapai apa yang diingini?   Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Kami mulakan maksud tawakkal. Ibn al-Athir menyebut, tawakkal bermaksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/221) Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.” (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, 3/1266) Allah SWT berfirman: وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Surah al-Talaq (3) Ibn Qayyim menjelaskan: Dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakkal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakkal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/775)   Adakah Tawakkal itu Tidak Perlu Kepada Usaha? Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda: لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894) Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalamTuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8) Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman berkata: “Hadis ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadis ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki. Imam al-Ghazali menyatakan: Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65) Justeru, usaha mesti tetap dilakukan. Malah Rasulullah SAW turut melakukannya. Rasulullah SAW berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta: اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708) Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah SWT.   Kesimpulan Berdasarkan nas dan kenyataan-kenyataan di atas, dapat difahami bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. Kami nyatakan di sini, maksud sebenar tawakkal terangkum padanya tekad, azam, strategi, usaha dengan bersungguh, doa dan diakhiri dengan redha atas keputusan Allah SWT. Jika berjaya dan terhasil, disyukurinya. Sebaliknya jika gagal, dia akan berusaha di samping bersabar. Sudah pasti, wujud di sebaliknya hikmah yang tak terjangkau dek akal. Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan kita daripada mereka yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal kepada-Nya. Amin.
3,296
Soalan Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Saya telah diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi kerana kegagalan membayar hutang. Saya telah membuat permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk menjelaskan hutang tersebut secara ansuran dan telah mendapat kelulusan. Persoalannya, adakah seorang yang bankrap dikira sebagai orang yang tidak mampu untuk mengerjakan fardu haji kerana saya sudah mendapat panggilan haji pada tahun ini. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti. Ringkasan Jawapan Individu yang diisytihar bankrap oleh mana-mana badan berautoriti dan telah mendapat panggilan haji, maka terdapat beberapa pandangan hukum berkenaannya. Pertama, bagi mereka yang berkemampuan untuk membayar segala hutangnya dengan segera maka wajib ia berbuat demikian. Lebihan harta tersebut pula mestilah mencukupi bagi menanggung nafkah tanggungan sepanjang permusafiran. Kemudian, jika ada lebihan harta maka dia wajib menunaikan haji. Kedua, jika dia tidak mampu membayar segera maka perlu membuat permohonan kepada badan berautoriti untuk membuat pembayaran ansuran. Sekiranya diluluskan, maka mereka harus menunaikan haji dengan syarat nafkah bagi tanggungan mencukupi selama ketiadaannya dan hajinya itu tidak menjejaskan pembayaran hutang setelah ia pulang kemudian. Huraian Jawapan Ibadah haji merupakan satu kefarduan yang perlu ditaati oleh umat islam secara amnya dan termasuk dalam salah satu daripada rukun-rukun islam. Orang islam yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji perlu menunaikan haji bahkan dia dikira berdosa sekiranya mengambil ringan akan kewajipan ini. Salah satu daripada syarat wajib haji adalah berkemampuan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran: وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَیۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَیۡهِ سَبِیلࣰا Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” Surah Ali Imran (97) Konsep orang yang berkemampuan (istitaah) untuk menunaikan haji menurut Imam al-Syafi’i terbahagi kepada dua[1]: Kemampuan secara langsung : Orang yang mampu menunaikan haji dengan dirinya (secara fizikal) iaitu mereka yang mempunyai kekuatan untuk mengadakan perjalanan dan mempunyai perbelanjaan harta yang mencukupi. Mereka yang dikategorikan dalam golongan ini wajib menunaikan haji dengan dirinya sendiri dan tiada pilihan lain kerana dianggap berkemampuan secara sempurna. Kemampuan secara tidak langsung : Orang yang sukar (sakit) untuk menunaikan haji dengan dirinya dalam keadaan tidak mampu mengadakan perjalanan. Namun dia mampu untuk mengupah dan menanggung perbelanjaan harta bagi orang yang melakukan haji bagi pihaknya.  Golongan ini juga wajib ke atasnya haji sebagaimana orang yang mampu haji dengan sendirinya. Maksud “berkemampuan” dalam melaksanakan haji sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda[2]: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ :‏ الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ. Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan bertanya: “wahai Rasulullah, Apakah perkara yang menyebabkan wajib haji?” Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan”. (Sunan al-Tirmidzi) Berdasarkan hadis di atas, antara aspek utama yang diambil kira bagi memastikan seseorang itu tergolong dalam golongan yang berkemampuan iaitu mempunyai bekalan dan kenderaan. Apa yang dimaksudkan dengan mempunyai bekalan adalah merangkumi perbelanjaan pergi dan balik bagi mereka yang difardukan haji seperti bayaran tiket penerbangan, kos pembuatan pasport, kos penghasilan visa perjalanan, bayaran upah pengendali haji, kos perbelanjaan sepanjang menunaikan haji dan lain-lain yang berkaitan. Selain itu, mereka juga wajib memastikan bahawa nafkah tanggungan-tanggungan di bawahnya adalah mencukupi sepanjang keberadaan mereka di tanah suci[3]. Ini berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Umar, Nabi SAW bersabda[4]: كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang berada di bawah tanggungannya”. Dari aspek mempunyai kenderaan pula adalah kemampuan seseorang untuk sampai ke destinasi tanpa sebarang halangan. Perjalanan tersebut mestilah bebas daripada halangan-halangan tertentu seperti adanya musuh yang mengganggu perjalanan, kekurangan bekalan air dan sebagainya[5]. Namun, perlu difahami bahawa “bekalan dan kenderaan” ini mestilah  daripada lebihan harta setelah membayar hutang-hutangnya[6]. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jika seseorang muslim itu mempunyai perbelanjaan harta dan mampu mengadakan perjalanan tetapi harta tersebut diperlukan untuk membayar hutang. Justeru, dia tidak diwajibkan untuk menunaikan haji bahkan haram kerana dia diwajibkan membayar hutang kepada pemiutang. Ini tidak membezakan sama ada hutang tersebut boleh dilunaskan serta merta atau dilunaskan secara ansuran. Hal ini kerana, hutang segera perlu dilangsaikan secepat mungkin walhal ibadah haji boleh ditunda pelaksanaannya, maka dalam hal ini perlu diutamakan pembayaran hutang daripada haji. Manakala, berkenaan hutang ansuran maka ia dikhuatiri sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar hutang setelah kepulangannya daripada mengerjakan haji. Kemudian, ada satu pandangan yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai hutang ansuran yang mana tempoh pembayarannya masih berjalan walaupun setelah dia pulang daripada mengerjakan haji, maka dia tetap diwajibkan mengerjakan ibadat haji. Namun, ini merupakan pandangan yang lemah dan syaz di sisi mazhab al-Syafi’i sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi[7]. Tambahan pula, Al-Rafi'i ada menyebutkan sekiranya seseorang itu mempunyai hutang yang perlu dilunaskan segera sedangkan dia berkemampuan membayarnya, maka pemiutang dibenarkan untuk menghalang penghutang tersebut daripada keluar menunaikan haji. Hal ini bukanlah kerana pemiutang mempunyai hak untuk menghalangnya daripada melakukan ibadah haji namun ia sebagai tuntutan kepada penghutang untuk melangsaikan hak  pemiutang terlebih dahulu. Namun jika pemiutang termasuk daripada kalangan mereka yang susah dan tidak berupaya untuk menyelesaikan hutang (bankrap), maka mereka tidak dituntut untuk keluar dan juga tidak dilarang daripada menunaikan haji kerana melihat kepada apa yang memberi kelapangan kepadanya. Begitu juga hukumnya dengan orang yang berhutang secara ansuran, maka penghutang tidak dihalang daripada menunaikan haji kerana pembayaran hutang tidak perlu dilunaskan segera. Akan tetapi disunatkan  sekiranya mereka tidak keluar sehingga ada wakil yang boleh membayarkan hutang bagi pihak dirinya ketika dia melakukan haji[8]. Kesimpulan Berdasarkan konteks perundangan di Malaysia, kebankrapan merujuk kepada satu proses yang berlaku apabila seorang penghutang diisytiharkan sebagai bankrap ekoran daripada suatu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi atas kegagalan pembayaran hutang melebihi amaun tertentu. Akibat daripada itu, segala harta milik orang yang bankrap akan terletak haknya ke atas Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) dan mereka tertakluk di bawah Akta Kebankrapan 1967. Berdasarkan Akta Kebankrapan 1967, tindakan senarai hitam ke atas individu bankrap yang menyekat mereka daripada ke luar negara. Mereka yang diisytihar bankrap tidak boleh meninggalkan negara kecuali setelah mendapat kelulusan bertulis daripada KPI atau kebenaran mahkamah. Walau bagaimanapun, permohonan ke luar negara dibenarkan bagi tujuan ibadah seperti mengerjakan ibadah haji dan umrah[9]. Justeru, kami cenderung dengan pandangan bahawa seseorang yang bankrap diharuskan untuk menunaikan haji sekiranya telah mendapat panggilan haji dengan syarat: Jika mampu melangsaikan hutang secara segera, maka wajib berbuat demikian. Lebihan harta daripada hutang tersebut pula hendaklah mencukupi untuk membiayai tanggungannya selama ketiadaan dirinya. Kemudian, sekiranya ada lebihan harta untuk menunaikan haji, maka dia wajib menunaikan haji. Jika tidak mampu membayar segera, mereka perlu membuat permohonan kepada badan berautoriti untuk membuat pembayaran hutang secara ansuran dan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu. Dia perlu meyakini bahawa pelaksanaan haji itu tidak menjejaskan pembayaran ansuran hutang; iaitu dia mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar hutang setelah pulang daripada haji dan dapat membayarnya mengikut ketetapan waktu. Dia juga perlu memastikan semua tanggungan di bawahnya mendapat perbelanjaan yang cukup semasa tempoh hajinya. Sekiranya, kesemua ini dipatuhi maka dia dibolehkan menunaikan haji. Pandangan ini juga merupakan fatwa telah dikeluarkan oleh Jabatan Fatwa Kerajaan Mesir[10]. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1] Al-Syafi’i, Abu Abdullah Muhammad bin Idris. Al-Ummu. (Beirut: Dar al-Fikr, 1983). Jld 2. Hlmn 124. قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى: الِاسْتِطَاعَةُ وَجْهَانِ: أَحَدُهُمَا أَنْ يَكُونَ الرَّجُلُ مُسْتَطِيعًا بِبَدَنِهِ وَاجِدًا مِنْ مَالِهِ مَا يُبَلِّغُهُ الْحَجَّ فَتَكُونُ اسْتِطَاعَتُهُ تَامَّةً وَيَكُونُ عَلَيْهِ فَرْضُ الْحَجِّ لَا يُجْزِيهِ مَا كَانَ بِهَذَا الْحَالِ، إلَّا أَنْ يُؤَدِّيَهُ عَنْ نَفْسِهِ .وَالِاسْتِطَاعَةُ الثَّانِيَةُ أَنْ يَكُونَ مُضْنُوًّا فِي بَدَنِهِ لَا يَقْدِرُ أَنْ يَثْبُتَ عَلَى مَرْكَبٍ فَيَحُجَّ عَلَى الْمَرْكَبِ بِحَالٍ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى مَنْ يُطِيعُهُ إذَا أَمَرَهُ أَنْ يَحُجَّ عَنْهُ بِطَاعَتِهِ لَهُ أَوْ قَادِرٌ عَلَى مَالٍ يَجِدُ مَنْ يَسْتَأْجِرُهُ بِبَعْضِهِ فَيَحُجَّ عَنْهُ فَيَكُونُ هَذَا مِمَّنْ لَزِمَتْهُ فَرِيضَةُ الْحَجِّ كَمَا قَدَرَ. [2] Al-Tirmidzi, Abu Isa Muhammad bin Isa. Sunan al-Tirmidzi. Ed: Basyar Iwadh Ma’ruf. (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1997). Jld 2. Hlmn 166. No hadis 813. [3] Al-Ruyani, Abu al-Muhasin Abdul Wahid bin Ismail. Bahr al-Mazhab fi Furu’ al-Mazhab al-Syafi’i. ed: Thariq Fath al-Sayyid. (t.t: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2009). Jld 3. Hlmn 351. وأما الزاد فإن كان له أهل يلزمه أن ينفق عليهم، فلا يختلف المذهب أن زاده أن يجد نفقة نفسه في الطريق في ذهابه، ورجُوعهِ إلى بلده، ونفقة من تلزمه نفقته في مدة غيبته [4] Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’as bin Ishak al-Azdi. Sunan Abi Daud. (Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah, t.tt). Jld 2. Hlmn 132. No hadis 1692. [5] Al-Thabari, Abu Jaafar Muhammad bin Jarir. Jami’ al-Bayan. (Mekkah: Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.tt). Jld 6. Hlmn 43. السبيل التي إذا استطاعها المرء كان عليه الحج: الطاقةُ للوصول إليه، وقد يكون مع وجودهما العجز عن الوصول إليه: بامتناع الطريق من العدوّ الحائل، وبقلة الماء، وما أشبه ذلك. [6] Kamaluddin Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin Isa. Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj. Ed: Lajnah Ilmiyyah. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004) Jld 3. Hlmn 405. ويشترط كون الزاد والراحلة فاضلين عن دينه حالًا كان أو مؤجلً [7] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syarif. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1347H). Jld 7. Hlmn 68-69. وَإِنْ وُجِدَ مَا يَشْتَرِي بِهِ الزَّادَ وَالرَّاحِلَةَ وَهُوَ مُحْتَاجٌ إلَيْهِ لِدَيْنٍ عَلَيْهِ لَمْ يَلْزَمْهُ حَالًّا كَانَ الدَّيْنُ أَوْ مُؤَجَّلًا لِأَنَّ الدَّيْنَ الْحَالَّ عَلَى الْفَوْرِ وَالْحَجُّ عَلَى التَّرَاخِي فَقُدِّمَ عَلَيْهِ وَالْمُؤَجَّلُ يَحُلُّ عَلَيْهِ فَإِذَا صَرَفَ مَا مَعَهُ فِي الْحَجِّ لَمْ يَجِدْ مَا يَقْضِي بِهِ الدَّيْنَ. وَفِيهِ وَجْهٌ شَاذٌّ ضَعِيفٌ أَنَّهُ إذَا كَانَ الدَّيْنُ مُؤَجَّلًا أَجَلًا لَا يَنْقَضِي إلَّا بَعْدَ رُجُوعِهِ مِنْ الْحَجِّ لَزِمَهُ [8] Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i al-Qazwaini. Fath al-Aziz bi Syarh al-Wajiz. (t.tp: Dar al-Fikr, t.tt). Jld 8. Hlm 46. قال ) السادس لمستحق الدين منع المحرم الموسر من الخروج وليس له التحلل بل عليه الاداء وان كان معسرا أو كان الدين مؤجلا لم يمنع من الخروج(إذا كان عليه دين حال وهو موسر فلمستحق الدين أن يمنعه من الخروج لا لان حقه في منعه من الحج ولكن يحبسه ليستوفى حقه منه فان كان قد أحرم فقد ذكرنا انه ليس له التحليل والحالة هذه بل عليه أن يقضي دينه ويمضى وإن كان معسرا فلا مطالبة ولا منع لانه منظر إلى ميسرة وكذا لو كان الدين مؤجلا لا منع إذ ليس عليه تسليم في الحال ولا يتوجه للمستحق مطالبة والاولى أن لا يخرج حتى يوكل من يقضى الدين عليه عند حلول الاجل [9] https://www.mdi.gov.my [10]https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/14694/%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%AC-%D9%84%D9%85%D9%86-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D8%AF%D9%8A%D9%88%D9%86-%D9%85%D9%88%D8%AC%D9%84%D8%A9 يجوز شرعًا لمن كان عليه دَيْنٌ مُؤجَّلٌ في صورة أقساطٍ أن يحج إذا اطمأن إلى أن أداء فريضة الحج لا يؤثر على سداد هذه الأقساط في أوقاتها المحددة لها سلفًا؛ كأن يتوفر له من المال ما يستطيع من خلاله الوفاء والسداد لهذا الدَّيْن حين يأتي أجلُه.
3,297
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum tapau makanan kenduri? Terima kasih Datuk. Ringkasan Jawapan Hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis. Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan. Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan. Sebagaimana kebiasaan, mereka yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan, menyambut menantu atau seumpamanya akan dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah hidangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kenduri bererti perjamuan makan (yang lazimnya didahului oleh zikir, doa, dan sebagainya) kerana sesuatu tujuan keagamaan, meminta berkat, mendoakan orang yang telah meninggal, memperingati sesuatu peristiwa atau sebagainya.[1] Sekiranya diperhatikan, aktiviti perjamuan makan ini terpakai ke atasnya suatu konsep  atau akad yang dipanggil sebagai al-Dhiyafah (الضيافة) iaitu menjamu tetamu. Ia berbeza dengan akad hibah dari sudut pemilikan oleh kerana akad hibah merupakan sebuah akad pemilikan barangan dan bukannya manfaat.[2] Pun begitu, ia agak hampir dengan akad pinjaman (العارية), dari sudut ketika menjamah makanan yang dihidangkan. Hal ini kerana, berlakunya konsep al-Ibahah (الإباحة). Konsep ini terbahagi pula kepada dua jenis iaitu Ibahat al-Intifa‘ (إباحة الانتفاع) iaitu keharusan untuk mengambil manfaat dan Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) yakni keharusan untuk menggunakan sepenuhnya atau menghabiskannya, dan aktiviti kenduri dan jamuan makan kepada tetamu ini terletak di bawah jenis Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) iaitu keharusan untuk menghabiskannya.[3] Namun, di bawah akad al-Dhiyafah (الضيافة) ini juga, tetamu hanya diberikan kebenaran untuk menjamah makanan yang dihidangkan hanya untuk dirinya tanpa diharuskan untuk mengambilnya atau memberi makan pula kepada orang lain mahupun kucing. Meskipun begitu, sekiranya ada keizinan daripada tuan rumah atau pemilik makanan, maka ia diharuskan.[4] Oleh itu, persoalan utama yang perlu diketengahkan di sini adalah makanan kenduri ini akhirnya menjadi milik siapa? Maka, dalam hal ini, Imam al-Syirbini ada menyatakan tentang perkara ini di dalam karyanya ‘Mughni al-Muhtaj’ bahawa makanan yang dihidangkan menjadi milik tetamu sesudah ia dimasukkan ke dalam mulut.[5] Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan hukum tapau, tapau menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan membungkus (makanan dan lain-lain) untuk dibawa pulang dan sebagainya.[6] Berkenaan hal ini, Imam al-Syirbini ada memberikan jawapan yang umum terhadap soalan yang diajukan: فَهَلْ لَهُ أَنْ يُبِيحَهُ لِغَيْرِهِ أَوْ يَتَصَرَّفَ فِيهِ بِغَيْرِ الْأَكْلِ؟ وَجْهَانِ الصَّحِيحُ قَوْلُ الْجُمْهُورِ لَا يَجُوزُ كَمَا لَا يُعِيرُ الْمُسْتَعِيرُ، فَالْمُرَادُ أَنَّهُ يَمْلِكُ أَنْ يَنْتَفِعَ بِنَفْسِهِ كَالْعَارِيَّةِ لَا أَنَّهُ مَلَكَ الْعَيْنَ كَمَا تَوَهَّمَهُ بَعْضُهُمْ Maksudnya: Maka adakah seseorang itu dibolehkan untuk memberikannya (makanan) kepada orang lain atau dia menggunakannya untuk selain makan? Di sini terdapat dua pendapat, dan pendapat yang sahih ialah pendapat jumhur ulama iaitu tidak boleh sebagaimana tidak boleh bagi orang yang meminjam memberi pinjam kepada orang lain. Hal ini kerana, dia hanya memiliki makanan tersebut untuk manfaatnya tersendiri sebagaimana pinjaman, dan bukannya memiliki ‘ain (objek) barangan tersebut.[7] Melainkan sekiranya adanya keizinan daripada tuan majlis atau tuan rumah, atau adanya uruf yakni adat kebiasaan di kawasan itu yang menunjukkan diperbolehkan perbuatan tapau untuk benda yang kecil atau sedikit, atau juga adanya petanda lain (قرينة) yang membenarkan perbuatan tersebut.[8] Akhir kalam, perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam. Firman Allah SWT: وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ Al-Baqarah, 2:188 Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut. Wallahu A'lam. [1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kenduri&d=241100&, laman web diakses pada 12 Januari 2022. [2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 3/175. والهبة في الاصطلاح الفقهي: تمليك العين بلا عوض في حال الحياة تطوعا، فالهبة عقد للتمليك فيخرج العارية والضيافة والوقف، وهي لتمليك العين، فيخرج تمليك الدين والمنفعة. [3] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Beirut: Dar al-Salasil, cetakan kedua, 1404H), 1/132. الْمَأْذُونُ فِيهِ مِنَ الْعِبَادِ 18 - إِبَاحَةُ الْعِبَادِ كَذَلِكَ عَلَى نَوْعَيْنِ: نَوْعٌ يَكُونُ التَّسْلِيطُ فِيهِ عَلَى الْعَيْنِ لاِسْتِهْلاَكِهَا، وَنَوْعٌ يَكُونُ التَّسْلِيطُ فِيهِ عَلَى الْعَيْنِ لِلاِنْتِفَاعِ بِهَا فَقَطْ. إِبَاحَةُ الاِسْتِهْلاَكِ: 19 - لِهَذِهِ الإِْبَاحَةِ جُزْئِيَّاتٌ كَثِيرَةٌ نَكْتَفِي مِنْهَا بِمَا يَأْتِي: أ - الْوَلاَئِمُ بِمُنَاسَبَاتِهَا الْمُتَعَدِّدَةِ وَالْمُبَاحُ فِيهَا الأَْكْل وَالشُّرْبُ دُونَ الأَْخْذِ. ب - الضِّيَافَةُ. وَيُرْجَعُ فِي تَفْصِيل أَحْكَامِهِمَا إِلَى مُصْطَلَحَيْهِمَا. [4] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/318. أَكْل طَعَامِ الضِّيَافَةِ: 9 - يَأْكُل الْمُضِيفُ مِمَّا قُدِّمَ لَهُ بِلاَ لَفْظٍ اكْتِفَاءً بِالْقَرِينَةِ، إِلاَّ إِذَا كَانَ الْمُضِيفُ يَنْتَظِرُ غَيْرَهُ مِنَ الضُّيُوفِ، فَلاَ يَجُوزُ حِينَئِذٍ الأَْكْل إِلاَّ بِإِذْنِ الْمُضِيفِ، وَلاَ يَأْكُل مِنَ الطَّعَامِ إِلاَّ بِالْمِقْدَارِ الَّذِي يَقْتَضِيهِ الْعُرْفُ، مَا لَمْ يَعْلَمْ رِضَا الْمُضِيفِ، وَلاَ يَتَصَرَّفُ بِهِ إِلاَّ بِأَكْلٍ، لأَِنَّهُ الْمَأْذُونُ لَهُ فِيهِ، فَلاَ يُطْعِمُ سَائِلاً، وَلاَ هِرَّةً، وَلَهُ أَخْذُ مَا يَعْلَمُ رِضَاهُ، لأَِنَّ الْمَدَارَ عَلَى طِيبِ نَفْسِ الْمَالِكِ، فَإِذَا دَلَّتِ الْقَرِينَةُ عَلَى ذَلِكَ حَل. وَتَخْتَلِفُ قَرَائِنُ الرِّضَى فِي ذَلِكَ بِاخْتِلاَفِ الأَْمْوَال، وَمَقَادِيرِهَا [5] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 4/410. تَنْبِيهٌ: يَمْلِكُ الْمُضِيفُ مَا الْتَقَمَهُ بِوَضْعِهِ فِي فَمِهِ عَلَى مَا اقْتَضَى كَلَامُ الشَّرْحِ الصَّغِيرِ تَرْجِيحَهُ، وَجَزَمَ بِهِ ابْنُ الْمُقْرِي وَصَرَّحَ بِتَرْجِيحِهِ الْقَاضِي وَالْإِسْنَوِيُّ، وَإِنْ كَانَ قَضِيَّةُ كَلَامِ الْمُتَوَلِّي أَنَّهُ يَتَبَيَّنُ بِالِازْدِرَادِ أَنَّهُ مَلَكَهُ قَبْلَهُ، وَقِيلَ: يَمْلِكَهُ بِالْوَضْعِ بَيْنَ يَدَيْهِ، وَحَيْثُ قُلْنَا: يَمْلِكُ الْأَخْذَ أَوْ بِالْوَضْعِ فِي الْفَمِ [6] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tapau, laman web diakses pada 18/1/2022. [7] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 4/410. Lihat juga: Ibn Qasim al-Ghazzi, Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, (Jakarta: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, cetakan pertama, 1428H), 2/18. قوله: (وَمَنْ لاَ يَمْلِكُ الْمَنْفَعَةَ كَمُسْتَعِيرٍ) لأنه إنما أبيح له الانتفاه، فلا يملك نقل الإباحة لغيره. وقوله: (لاَ نَصِحُّ إِعَارَتَهُ إِلاَّ بِإِذْنِ الْمُعِيرِ) فإن كانت بإذنه صحت. [8] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/134. وَعِبَارَاتُ الْفُقَهَاءِ فِي الْمَذَاهِبِ الْمُخْتَلِفَةِ تَتَّفِقُ فِي أَنَّ تَصَرُّفَ الْمَأْذُونِ لَهُ فِي طَعَامِ الْوَلِيمَةِ قَبْل وَضْعِهِ فِي فَمِهِ لاَ يَجُوزُ بِغَيْرِ الأَْكْل، إِلاَّ إِذَا أَذِنَ لَهُ صَاحِبُ الْوَلِيمَةِ أَوْ دَل عَلَيْهِ عُرْفٌ أَوْ قَرِينَةٌ
3,298
Soalan: Sepertimana kita tahu, amalan beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan merupakan satu perkara yang amat dituntut. Namun dalam keadaan sekarang, masjid terpaksa ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19. Maka adakah dibolehkan untuk kita beriktikaf di ruang khas di rumah kita sebagai ganti iktikaf di masjid?   Jawapan: Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.   Keutamaan beriktikaf Terdapat banyak riwayat yang menjelaskan akan keutamaan beriktikaf, antaranya riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma di mana beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Sahih al-Bukhari (2025) Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata: كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ Maksudnya: Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda. Sahih Muslim (1172) Berdasarkan dalil-dalil ini, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan hukum beriktikaf ialah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dan mencari Lailatul Qadr. (Rujuk Raudhah al-Tolibin 2/389)   Adakah beriktikaf hanya di masjid? Menurut pandangan mazhab Syafi’e, antara rukun iktikaf hendaklah ianya dilakukan di dalam masjid. Apabila iktikaf tidak dilakukan di dalam masjid maka ianya tidak sah kerana telah meninggalkan satu rukun. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT: وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ Maksudnya: Dan janganlah kalian bersetubuh dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid. Surah al Baqarah (187) وَعَهِدْنَا إلَى إبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِي لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ Maksudnya: Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) Surah al-Baqarah (125) Ini juga berdasarkan petunjuk Nabi SAW yang mana Baginda tidak beriktikaf melainkan hanya di dalam masjid. Kata Imam al-Nawawi: لا يصح الاعتكاف من الرجل ولا من المرأة إلا في المسجد، ولا يصح في مسجد بيت المرأة ولا مسجد بيت الرجل، وهو المعتزل المهيأ للصلاة، هذا هو المذهب، وحكى الخراسانيون وبعض العراقيين فيه قولين: (أصحهما) وهو الجديد هذا، (والثاني) وهو القديم: يصح اعتكاف المرأة في مسجد بيتها Maksudnya: Tidak sah iktikaf seorang lelaki mahupun wanita kecuali di masjid, dan tidak sah iktikaf mereka di ruang solat di rumah; dan inilah pandangan muktamad dalam mazhab (Syafi’e). Para ulama Khurasan dan sebahagian ulama Iraq menyatakan di sana terdapat dua qaul: yang lebih sahih ialah qaul jadid iaitu tidak sah iktikaf melainkan di masjid; qaul kedua pula iaitu qaul qadim menyatakan sah iktikaf seorang wanita di ruang solat di rumah mereka. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/480) Daripada kata-kata Imam al-Nawawi ini menunjukkan meskipun pandangan muktamad ialah ianya tidak diharuskan, namun ia mengisyaratkan bahawa tidak berlaku ijmak dalam permasalahan ini. Kata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى مَشْرُوطِيَّةِ الْمَسْجِدِ لِلِاعْتِكَافِ إِلَّا مُحَمَّدَ بْنَ عُمَرَ بْنِ لُبَابَةَ الْمَالِكِيَّ فَأَجَازَهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَأَجَازَ الْحَنَفِيَّةُ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَعْتَكِفَ فِي مَسْجِدِ بَيْتِهَا وَهُوَ الْمَكَانُ الْمُعَدُّ لِلصَّلَاةِ فِيهِ وَفِيهِ قَوْلٌ الشَّافِعِي قديم وَفِي وَجْهٍ لِأَصْحَابِهِ وَلِلْمَالِكِيَّةِ يَجُوزُ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ لِأَنَّ التَّطَوُّعَ فِي الْبُيُوتِ أَفْضَلُ Maksudnya: Para ulama telah bersepakat akan disyaratkan iktikaf di masjid, kecuali Muhammad bin Umar bin Lubabah – ulama mazhab Maliki – yang mengharuskan iktikaf di semua tempat; para ulama Hanafiyyah pula mengharuskan bagi wanita untuk beriktikaf di ruang solat di rumahnya, dan pada isu ini terdapatnya qaul qadim dalam mazhab Syafi’e satu wajah pendapat di sisi ulama Syafi’eyyah, manakala ulama Malikiyyah mengharuskan iktikaf di rumah kerana ibadat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 4/272. Turut dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autor 4/317) Atas asas inilah Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi telah mengeluarkan fatwa dalam isu ini, dan antara lain isi kandungan fatwa tersebut menegaskan bahawa: 1. Harus bagi wanita untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala, khasnya ketika masjid-masjid tidak dibuka untuk iktikaf. 2. Harus bagi lelaki untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya di negara-negara yang masjidnya tidak dibuka untuk solat dan beriktikaf, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala. Adapun di negara di mana masjid kekal dibuka, maka tidak diharuskan untuk beriktikaf selain di masjid, bahkan lebih adhal untuk beriktikaf di masjid jami’ yang didirikan solat Jumaat padanya. Fatwa ini dikeluarkan atas beberapa pertimbangan, antaranya ialah: Wujudnya pandangan-pandangan fiqh yang menyokong, maka ia bukan merupakan perkara ijmak yang tsabit secara qath’ie. Ibadah iktikaf merupakan ibadah sunat yang dibina di atas prinsip taysir (meringankan), dan tidak terlalu ketat syaratnya berbanding ibadah fardhu. Ibadah iktikaf berbeza dengan solat Jumaat, di mana ia tidak semestinya dilakukan secara berjemaah, bahkan tidak disyaratkan adanya individu lain bersama orang yang beriktikaf. Namun Syeikh turut mengingatkan agar iktikaf di rumah tetap memelihara syarat-syarat serta dhawabit iktikaf, iaitu: Hendaklah kekal di ruang khas tersebut dan tidak keluar melainkan untuk keperluan, dan segera kembali setelah selesai. Niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT, dengan keazaman untuk menyucikan jiwa beserta taubat dan ketundukan kepada-Nya, serta penyesalan atas dosa-dosa. Tidak melakukan persetubuhan antara suami dan isteri. Menyibukkan diri dengan tilawah al-Quran, zikir, solat, tasbih dan seumpamanya. [1] Hal yang hampir sama turut dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Abd al-Sami’, Setiausaha Fatwa bagi Dar al-Iftaa al-Misriyyah yang menyatakan bahawa diharuskan bagi wanita untuk beriktikaf di ruang solat di rumahnya, manakala bagi lelaki yang sering melazimi iktikaf pada bulan Ramadhan sebelumnya dan berniat iktikaf pada tahun ini, inshaAllah dia akan memperoleh pahala iktikaf yang sama seolah dia beriktikaf di masjid.[2] Namun demikian, hukum keharusan iktikaf di rumah ini hanyalah bersifat sementara, iaitu diharuskan selagi mana masjid-masjid dan surau-surau diri Jumaat masih lagi tidak dibuka untuk beribadah kepada masyarakat awam. Kaedah fiqh menyebut: الحاجة تقدر بقدرها Maksudnya: Suatu keperluan itu diraikan mengikut kadarnya. Adapun setelah keadaan kembali stabil, penularan virus Corona berjaya dibendung dan masjid kembali dibuka, maka perlulah kembali kepada hukum asal, iaitu iktikaf hanya di masjid dan di surau diri Jumaat.   Kesimpulan Tuntasnya, kami nyatakan bahawa hukum asal iktikaf menurut majoriti ulama ialah di masjid, sama ada bagi lelaki atau wanita. Namun dalam keadaan sekarang, di mana masjid dan surau terpaksa ditutup untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini, maka diharuskan untuk beriktikaf di ruang khas di rumah untuk beribadat berdasarkan pandangan qaul qadim mazhab Syafi’e, beberapa pandangan daripada mazhab lain serta fatwa ulama kontemporari. Ini membuka ruang kepada umat Islam untuk menambah ruang untuk beramal dan menggandakan pahala, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia dan diberkati ini. Wallahu a’lam. Disediakan oleh, unit Buhuth Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan   Nota Hujung: [1] Rujuk pautan: http://www.iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11499 [2] Rujuk pautan: //masralarabia.net/اخبار-مصر/1539705-فيديو--بعد-غلق-المساجد-بسبب-كورونا--هل-يجوز-الاعتكاف-بالمنزل-في-رمضان؟%C2%A0
3,299
Soalan: Apakah hukum memakai dan terhidu minyak wangi ketika puasa? Jawapan: Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T: وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”. (Surah al-Baqarah: 187) Ayat di atas menunjukkan larangan dan tegahan untuk makan dan minum setelah terbit fajar bagi orang yang berpuasa. Para ulama’ juga menyatakan di antara perkara yang boleh membatalkan puasa ialah jimak, muntah dengan sengaja dan lain-lain. Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa. Adapun berkenaan dengan memakai wangian ketika puasa, maka para ulama’ tidak menyebutkan tentang hal ini secara jelas mengenai larangan atau keharusannya. Di sisi mazhab Syafie hukum memakai atau menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada nas sahih yang menunjukkan hal tersebut (batalnya puasa) dan ia bukanlah satu bentuk perbuatan makan dan minum. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Dan hendaklah menahan diri daripada menyampaikan sesuatu ke dalam rongga yang disebut sebagai perut, kerana orang melakukan hal tersebut tidak dinamakan mumsik (orang yang menahan dirinya), berbeza halnya dengan sampainya kesan seperti rasa (makanan) dan bau yang dihidu, contohnya seperti masuknya asap kayu gaharu ke dalam perut sekalipun dengan sengaja, maka hal itu tidak membatalkan puasa”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/400-401). Oleh itu, menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja kerana ia bukannya dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (bau minyak wangi) tersebut. Namun sebahagian ulama’ Syafie mengatakan sunat untuk meninggalkan wangi-wangian kerana ia termasuk dalam perkara yang boleh membangkitkan syahwat. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A: والذي نفسي بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله  من ريح المسك يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي Maksudnya: “Demi diriku yang berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Mereka meninggalkan makan minum dan nafsu syahwat kerana-Ku". Riwayat al-Bukhari (1771) Berkata Imam al-Nawawi: “Dan sunat (bagi orang yang berpuasa) memelihara dirinya daripada perkara yang tidak membatalkan puasa seperti mencium wangi-wangian atau tumbuhan-tumbuhan yang bau harum dan melihat kepadanya (bunga yang wangi) dan mendengar nyanyian kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu sampai boleh membangkitkan nafsu dan mengalahkan ia (nafsu) ke atas taqwa bahkan dimakruhkan itu ke atasnya”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/435). Hukum memakai minyak wangi saat berpuasa adalah tidak membatalkan puasa namun hukumnya makruh. Para ulama’ menjelaskan hikmah kemakruhan tersebut kerana ketika puasa kita wajib menahan diri daripada syahwat, sedangkan minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat contohnya sekiranya suami yang sedang puasa memakai minyak wangi maka ia boleh membangkitkan syahwat dan begitulah sebaliknya. (Rujuk: Ittihaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, hlm. 111-112). Berkata Imam al-Nawawi: “Jikalau berlawanan di antara hukum makruhnya mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa dan makruh hukumnya menolak wangian, maka menjauhkan diri daripada mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa adalah lebih utama kerana hal tersebut (mengenakan wangian) boleh membawa kepada kurangnya (khusyuk) dalam ibadah”. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/249). Kesimpulan Justeru, kami berpandangan bahawa hukum memakai dan menghidu minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana ia tidak menyampaikan sesuatu ke perut melainkan sampai baunya sahaja dan ianya bukanlah termasuk dalam perbuatan makan, minum serta perkara yang boleh memberi tenaga kepada orang yang berpuasa. Kami juga cenderung mengatakan hukum menghidu minyak wangi (yang terlalu kuat) adalah makruh kerana padanya terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa dan boleh membuka jalan kepada naiknya syahwat. Adapun hukum memakai sesuatu yang boleh menghilangkan bau badan seperti sabun atau deodorant bagi orang yang berpuasa adalah harus kerana secara kebiasaannya ia adalah alat untuk membersihkan badan serta menghilangkan bau busuk dan bukannya untuk tujuan berwangi-wangi itu sendiri. Wallahu a’lam.
3,300
Salah Faham Terdapat golongan tertentu yang mengkafirkan pemerintah kerana didakwa tidak berhukum dengan hukum Allah SWT, lalu bertindak menghalalkan darah dan mengisytiharkan perang ke atas mereka. Bagaimanakah pendirian kita terhadap pemikiran sebegini?   Pencerahan Pada hakikatnya, kita tidak mengetahui alasan lain yang digunakan oleh golongan yang memerangi pemerintah kecuali dengan mendakwa pemerintah telah kafir dalam erti terkeluar daripada Islam. Punca terkeluar daripada Islam pula adalah kerana tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. Bagi menjawab persoalan ini, dua perkara yang perlu dijelaskan adalah seperti: Siapakah yang dimaksudkan dengan pemerintah Muslim Apakah sandaran yang digunakan untuk mengkafirkan pemerintah Muslim   Pertama, pemerintah Muslim adalah orang yang tidak melakukan kekufuran yang nyata atau menyeru kepadanya. Selagi mana dia tidak melakukan sedemikian, maka dia berhak untuk mendapat ketaatan daripada rakyatnya. Begitu juga nasihat daripada ahli ilmu dan golongan pakar. Dia juga berhak mendapat hak-haknya berdasarkan undang-undang atau perlembagaan sesebuah negara sebagaimana yang telah dipersetujui bersama oleh pemerintah dan rakyat. Banyak nas syarak yang menjelaskan kewajipan mentaati pemerintah dan larangan memerangi mereka. Antaranya adalah hadith-hadith berikut: السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ Maksudnya: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” Riwayat al-Bukhari (7144) Hadith di atas jelas menunjukkan, jika seseorang pemerintah itu menyuruh kepada kemaksiatan sekalipun, rakyat masih tidak dibenarkan untuk memerangi mereka. Tetapi cukup dengan tidak mentaati perintah tersebut. Ini sebagaimana dalam hadith yang lain, Baginda SAW bersabda: خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ»، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ؟ فَقَالَ: «لَا، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلَاةَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ، فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ، وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka meyintai kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita boleh memerangi mereka dengan pedang? Baginda bersabda: Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu. Jika kamu melihat sesuatu yang kamu benci daripada pemimpin kamu, maka bencilah perbuatannya, dan jangan meninggalkan ketaatan (kepadanya).” Riwayat Muslim (65) Bahkan sememangnya Rasulullah SAW telah memberikan perkhabaran agar umat Islam bersiap sedia untuk menerima pelbagai ragam pemerintah. Termasuk mereka yang zalim dan bergelumang melakukan maksiat. Sabda Rasulullah SAW: يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ»، قَالَ: قُلْتُ: كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ قَالَ: «تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ، وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ.  Maksudnya: “Akan datang selepasku, para pemimpin yang tidak mengambil petunjuk dengan petunjukku, tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan ada kalangan mereka pemerintah-pemerintah yang hati mereka bagaikan hati para syaitan dalam jasad seorang manusia. Dia (Huzaifah bin al-Yaman) bertanya: Bagaimana aku perlu lakukan jika aku sempat melalui demikian itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Dengar dan taat kepada pemerintah walaupun dipukul belakangmu dan dirampas hartamu, maka dengarlah dan taatlah.” Riwayat Muslim (52) Dalam menjelaskan hadith-hadith di atas, al-Nawawi mengatakan perbuatan memberontak terhadap pemerintah itu haram secara ijmak. Walaupun mereka terdiri dari kalangan golongan yang fasiq lagi zalim. Bahkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah ijmak bahawa seseorang pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan sebab kefasiqan. Al-Nawawi menolak pendapat sesetengah para ulama fiqh yang mengatakan pemerintah boleh dijatuhkan bahkan menganggap ia pendapat yang silap dan menyalahi ijmak. Beliau menegaskan pengharaman tersebut berdasarkan akibat terhadap perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada fitnah, pertumpahan darah dan perpecahan sehingga mudaratnya menjadi lebih besar berbanding kekalnya mereka di tampuk pemerintahan. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 12/229) Ini menunjukkan bagaimana Syarak melihat kepada fiqh implikasi atau risiko daripada perbuatan memberontak dan memerangi pemerintah. Ketiadaan pemerintah akan menjadikan negara huru hara tanpa sistem. Ini bukan bermakna kita mengatakan pemerintah boleh melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsunya, bahkan pemerintah itu sendiri hendaklah terikat dengan sistem pengawalan berdasarkan institusi keadilan dan penguatkuasaan sedia ada. Adapun hujah akalnya, ia bermaksud untuk mengelakkan fitnah dan menjamin keamanan rakyat. Hujah ini berdalilkan hadith ‘Ubadah bin al-Samit R.A: أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا، وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ Maksudnya: “Di antara baiat yang Baginda ambil daripada kami adalah kami berbai'at untuk mendengar dan taat, baik saat semangat atau lesu, sulit atau lapang dan mengalahkan kepentingan kami serta tidak menggulingkan pemerintahan daripada pemiliknya. Baginda berkata, 'Kecuali jika kalian melihat kekufuran yang jelas telah kalian dapat buktinya dari Allah SWT.” Riwayat al-Bukhari (7056) Demikian Rasulullah SAW daripada awal cuba memadamkan bibit-bibit kemunculan kumpulan pelampau sebegini yang pada hari ini didalangi oleh kumpulan pengganas antarabangsa. Mereka ini sentiasa mencari-cari peluang untuk meniupkan fitnah ke dalam penganut agama ini agar melakukan tindakan yang di luar batas agama dan kemanusiaan.   Kedua, golongan tersebut menyandarkan hujah kekufuran para pemerintah adalah berpunca daripada tindakan mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. Ia berdasarkan firman Allah SWT: وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Surah al-Ma’idah: 44) Hujah mereka ini adalah batil berasaskan dua sebab berikut: Pertama, pengkafiran tersebut dilakukan secara mutlak tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kekufuran. Ia juga dilakukan tanpa melihat sama ada ia bertepatan dengan Maqasid Syariah ataupun tidak. Maka segala hukum yang ditetapkan oleh golongan ini dilakukan tanpa ilmu dan penyelidikan. Mereka terjebak dalam mengkafirkan sesuatu perbuatan yang hanya menyalahi keutamaan (khilaf awla), atau pendapat yang tidak kuat (ra’yun marjuh) yang dipilih disebabkan oleh maslahah tertentu yang tidak difahami oleh mereka. Sedangkan dengan maslahah tersebut mungkin menjadikan pendapat yang marjuh itu rajih dan pendapat yang rajih itu marjuh, tertakluk kepada perubahan masa, tempat dan situasi. Bagi mereka, hanya dengan berhukum dengan hukuman yang menyalahi syariat Allah SWT, maka ia dihukumkan kafir. Padahal maksud ayat tersebut tidak boleh difahami secara literal dan simplistik sedemikian. Seseorang yang beriktikad bahawa hukum Islam adalah yang terbaik, namun disebabkan situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan, memaksa ia berhukum dengan selainnya, maka ini tidak menjadikan ia kafir. Sebagaimana situasi darurat boleh berlaku kepada individu, demikian juga darurat boleh berlaku kepada sesebuah kerajaan yang memerintah. Kedua, dalam membahaskan surah al-Ma’idah ayat 44 di atas, ia perlu dirujuk kepada perbahasan ulama dan tidak boleh difahami secara literal. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibn 'Abbas: وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." (Surah al-Ma’idah :44), bukannya kekafiran pada Allah, para malaikat, kitab-kitab, dan para rasul". (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355) Riwayat lain dari beliau tentang ayat ini: لَيْسَ بِالْكُفْرِ الَّذِي يَذْهَبُونَ إِلَيْهِ إِنَّهُ لَيْسَ كُفْرًا يَنْقِلُ عَنِ الْمِلَّةِ {وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ} [المائدة: 44] كُفْرٌ دُونَ كُفْرٍ " Maksudnya: “Itu bukan kekafiran yang mereka fahami, itu bukan kekafiran yang mengeluarkan dari Islam, kekafiran yang bukan kekafiran (akbar)". (Lihat al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, 2/342 (No. 3219). Ibn Kathir menukilkan dalam Tafsirnya dari al-Hakim, bahawa beliau berkata: "Sahih memenuhi syarat Syaikhain". (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/109) Pada riwayat lain dari beliau, melalui riwayat 'Ali bin Abi Thalhah dari Ibn 'Abbas, berkata: "Siapa yang menentang apa yang diturunkan Allah maka dia telah kafir, sedangkan siapa yang mengakuinya tetapi tidak berhukum dengannya maka dia zalim lagi fasiq". (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355) Menurut al-Syanqiti, para ulama berkhilaf mengenai kepada siapakah ayat ini ditujukan. Adakah ditujukan kepada orang Islam atau orang kafir? Diriwayatkan daripada al-Sya’bi ia diturunkan kepada orang Islam. Daripada beliau juga terdapat riwayat ia diturunkan kepada Yahudi. Daripada Tawus pula meriwayatkan ia diturunkan kepada orang Islam. Tetapi yang dimaksudkan dengan kufur bukan kufur yang mengeluarkan daripada Islam. Demikian juga seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abbas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407) Al-Qurtubi berpandangan semua ayat 44, 45 dan 47 dari surah al-Ma’idah turun kepada orang kafir. Ini sebagaimana yang sabit dalam hadith al-Bara’ yang diriwayatkan oleh Muslim. Adapun orang Islam, maka ia tidak menjadi kafir walaupun melakukan dosa besar. Dikatakan pada ayat tersebut diandaikan; sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana menolak al-Qur’an, dan membantah kata-kata Rasulullah SAW, maka ia kafir. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Ibn ‘Abbas dan Mujahid. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/190) Menurut Ibn Mas’ud dan al-Hasan, ayat tersebut turun secara umum ke atas setiap orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah sama ada orang Islam, Yahudi dan golongan kafir yang lain, yakni disertai dengan iktikad dan mengharuskannya. Adapun mana-mana orang Islam yang melakukannya tetapi kekal beriktikad akan keharamannya, maka ia termasuk dalam kalangan orang yang fasiq. Mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT sama ada diazab atau diampunkan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/190) Secara kesimpulannya, al-Syanqiti menyimpulkan, ketiga-tiga ungkapan iaitu kufur, zalim dan fasiq dilafazkan oleh syarak dengan membawa dua maksud. Adakala ia memberi maksud maksiat dan di tempat lain ia memberi maksud kufur yang terkeluar daripada Islam. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407)    Kesimpulan Berdasarkan perbahasan di atas, jelas menunjukkan tidak boleh sama sekali sewenang-wenangnya mengkafirkan pemerintah secara semberono. Apatah lagi untuk menghukum darah mereka halal hingga boleh dibunuh. Ini berdasarkan dalil-dalil yang jelas melarang kita daripada memerangi pemerintah hanya disebabkan kefasiqan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh mereka. Demikian juga, nas-nas al-Qur’an yang menyebutkan tentang kekafiran golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT tidak boleh diambil secara literal tetapi mestilah difahami dalam konteksnya sebagaimana yang telah dijelaskan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang benar dan menjauhkan kita daripada sikap melampau dan ekstrem yang meruntuhkan agama. Wallahu a’lam.
3,302
Soalan Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanya, bagaimana nak jawab jika ada yang bertanya apa yang Allah buat sebelum mencipta alam semesta? Terima kasih.   Ringkasan Jawapan Waalaikumussalam wbt. Allah SWT adalah pencipta segala-galanya termasuk mencipta masa dan waktu. Jadi untuk meletakkan Allah SWT di dalam lingkungan masa ‘sebelum/selepas’ seperti manusia adalah tidak tepat. Namun begitu, berdasarkan surah al-Rahman ayat 29 Allah SWT sentiasa mengurus ciptaannya pada tiap-tiap masa. Wallahua’lam.    Huraian Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. Persoalan tentang apa yang Allah lakukan sebelum mencipta alam semesta adalah topik yang jarang dibincangkan dikalangan ulama-ulama Islam. Ini kerana naratif soalan sedemikian mencari keterangan tentang perbuatan yang terikat dengan konsep masa dan waktu yang telah berlaku sebelum ini. Contoh soalan yang boleh ditanyakan di dalam naratif yang sama adalah “Apa yang Allah buat pada waktu sekarang?”, atau “Dimanakah Allah berada?”. Jika soalan ini ditujukan kepada manusia, maka sudah semestinya kita boleh memberi jawapan yang spesifik kerana perbuatan kita terkait dengan ruang dan masa.  Disebabkan “masa” yang manusia lalui ini wujud sebagai entiti yang sama waktu ciptaannya dengan ciptaan mahkluk-makhluk yang lain, maka secara logiknya tiada persoalan mengenai “sebelum” untuk Tuhan. Namun itu tidak menghentikan ulama-ulama serta ahli ilmu untuk berbincang mengenai permasalahan ini. Malah ada yang mempersoalkan adakah Tuhan itu wujud serentak bersama ciptaannya.[1] Pernyataan seperti ini sudah tentunya seperti menghadkan keterbatasan Tuhan kerana terkait dengan masa. Imam al-Ghazali ketika membahaskan mengenai sifat alam dalam perdebatan dengan ahli falsafah yang mengatakan bahawa alam ini qadim[2] sepertimana qadimTuhan, ada menyebutkan apa yang wujud sebelum alam dicipta:  فقبل وجود العالم كان المريد موجودًا, والإرادة موجودة, ونسبتها إلى المراد موجودة Maksudnya: Sebelum wujudnya alam, Yang Maha Berkehendak (Allah) itu wujud, kehendak (Iradah) juga wujud, dan hubungan iradah dengan objek yang mahu diwujudkan itu juga wujud. [Lihat Tahafut al-Falasifah: 4/95-96] Al-Ghazali dalam pernyataan di atas menyatakan bahawa zat Tuhan seperti iradah tuhan untuk mencipta alam semesta telah wujud secara azali. Hujah ini membidas kenyataan ahli falsafah seperti Aristotle dan Ibn Sina yang mengatakan bahawa qadim kewujudan alam adalah sama dengan qadimnya kewujudan Allah SWT. Majoriti ahli falsafah kecuali Plato berhujah bahawa alam ini telah (dan sentiasa) dibuktikan wujud, dan mustahil untuk alam ini mempunyai permulaan. Maka disebabkan tidak dapat mengukur bilakah masa dan waktu spesifik alam ini wujud, mereka bersetuju bahawa alam ini qadim.[3] Perdebatan antara al-Ghazali dan ahli falsafah mengenai konsep wujudnya alam telah membina naratif ilmu bahawa alam berkait rapat dengan “masa”. Ini kerana perbincangan mengenai wujudnya alam tidak akan lari dari fasa masa yang lepas, masa yang kini, dan masa yang akan datang. Dengan masa, manusia mampu untuk membilang detik ataupun memberi petunjuk tentang apa yang mahu dilakukan dalam kehidupan seharian. Dengan masa juga, manusia menyaksikan sejarah bagaimana sesebuah tamadun itu jatuh dan bangun, perkembangan teknologi yang berlaku, penemuan-penemuan sejarah, dan juga bagaimana masa itu memberi peluang kepada hidupan yang bernyawa untuk hidup. Firman Allah SWT: كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ Maksudnya: “Segala yang ada (di muka bumi) itu akan binasa. Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan” Surah ar-Rahman (26-27) Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa kehidupan di muka bumi akan merasai tempoh binasa (mati), begitu juga dengan kehidupan di langit seperti malaikat. Kecuali Zat Tuhan sahaja yang akan kekal, kerana Dia yang menghidupkan, dan juga mematikan, dan sesungguhnya Hidup-Nya adalah kekal serta tidak akan mati selama-lamanya.[4] [Lihat Tafsir al-Maraghi: 27/114]  Berdasarkan kefahaman di atas, kita seharusnya bersetuju bahawa apa jua entiti selain daripada Allah SWT seperti manusia, alam dan masa, akan mengalami kebinasaan juga kelak. Tiada satu yang akan dapat lari daripada kematian dan pengakhiran kecuali Allah SWT. Setiap ciptaan juga akan dapat merasai nikmat hidup di dalam lingkungan masa dan waktu, daripada kecil sehingga dewasa, sebelum mati pada akhirnya. Secara empirik dan metafizik, tiada apa yang dapat membuktikan apa yang Allah SWT lakukan sebelum mencipta alam semesta. Namun menurut al-Quran secara umum, Allah SWT sentiasa mengatur urus dan mentadbir akan ciptaannya. Firman Allah SWT: كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ Maksudnya: “Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!”  Surah ar-Rahman (29) Menurut Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, ayat ini menjelaskan berkenaan keadaan Allah di dalam mentadbir urusan-Nya pada setiap masa dan setiap hari. Antara urus tadbir Allah SWT adalah menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki, memberi kemuliaan dan memberi kehinaan, memberi kesakitan dan juga menyembuhkan, memberi arahan serta panduan di samping menegah beberapa perbuatan, mengampunkan dosa dan memberi azab kepada yang bersalah dan yang melakukan dosa, dan perbuatan-perbuatan lain yang tidak akan terkira oleh manusia.[5] [Lihat Tafsir al-Munir: 14/226] Berdasarkan kefahaman daripada tafsir al-Quran ayat di atas, Allah SWT mempunyai urusan-Nya yang tersendiri yang kadang kala manusia tidak dapat huraikan melalui akal fikiran. Tidak semua dapat dibuktikan oleh akal manusia, tambahan pula dalam bab ghaib/metafizik seperti ini. Kedua, Allah SWT sentiasa dalam urusan yang berkaitan dengan hambaNya, dan juga sentiasa dalam urusan yang Allah SWT sahaja lebih mengetahui.   Kesimpulan Justeru, Allah SWT adalah pencipta segala-galanya termasuk mencipta masa dan waktu. Jadi untuk meletakkan Allah SWT di dalam lingkungan masa ‘sebelum/selepas’ seperti manusia adalah tidak tepat. Oleh yang demikian, mengaitkan urusan Allah sebelum ciptaan alam ini secara tidak langsung mengaitkan Allah SWT dengan masa. Sedangkan Allah tidak bergantung kepada masa dan tempat seperti makhluk. Namun begitu, berdasarkan surah ar-Rahman ayat 29 Allah SWT sentiasa mengurus dan mentadbir urus ciptaannya pada setiap masa. Wallahua’lam.   Rujukan Al-Ghazali, Sulaiman Dunya, Tahafut al-Falasifah, 2015, Percetakan Darul Maarif Mesir, jil.4 h.91-92 Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi, 1946, Percetakan Mustafa al-Bami Mesir, jil.27 h.114 Wahbah az-Zuhaili, Tafsir al-Munir, 2009, Darul Fikr Damsyiq, jil.14 h.226   Nota Hujung [1] God and Time, Internet Encyclopedia of Philosophy, https://iep.utm.edu/god-time/ [2] Qadim menurut kamus al-maany bermaksud kekal abadi ataupun tiada permulaan  [3] ومهم كان العالم موجودا واستحال حدوثه, ثبت قدمه لا محالة [4] أي إن جميع أهل الأرض يذهبون ويموتون, وكذلك أهل السموات, ولا يبقى سوى وجه ربك الكريم, فإن الحي لا يموت أبدا    [5] وأنه سبحانه كل يوم ووقت في شأن, ومن شأنه يحيي ويميت, ويرزق, ويغني ويفقر, ويعزّ ويذلّ, ويمرض ويشفي, ويعطي ويمنع, ويغفر ويعاقب, إلى غير ذلك مما لا يحصى
3,303
Soalan: Assalammualaikum. Kebiasaannya, gula getah hanya di kunyah dan tidak di telan, jadi ianya tidak sampai masuk ke dalam kawasan tekak. Persoalannya batalkah puasa? Mohon pencerahan SS Mufti. Ringkasan Jawapan: Pada asasnya hukum mengunyah gula - gula getah ketika puasa di sisi mazhab Syafi’i adalah makruh kerana dikhuatiri tertelan sehingga melepasi had yang boleh membatalkan. Walau bagaimanapun pada kebiasaannya   sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya. Oleh yang demikian, tiada keperluan bagi orang yang berpuasa untuk mengunyah gula-gula getah. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Bahagian Had Rongga Mulut Rongga mulut mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa, Fuqaha menentukan piawaian had zahir dan had batin rongga mulut seperti berikut: Had Zahir: Had zahir dalam mulut ialah makhraj ha’ al-muhmalah (ح) dan kha’ al-mu’jamah (خ) Had Batin: Had batin dalam mulut ialah  makhraj ha(ه)dan hamzah(ء).Had batin ini membatalkan puasa. [1] Berdasarkan penentuan had rongga mulut di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan dalam   mulut yang mengunyah makanan merupakan had zahir yang mana ia tidak membatalkan puasa sekiranya sesuatu ain (jirim) masuk ke  kawasan mulut tersebut. Apabila sampai sesuatu ain (jirim) ke dalam tekak pada had batin mahupun melepasi had zahir, maka ia membatalkan puasa. Selain itu, fuqaha mazhab Syafi’i telah membahaskan hukum mengunyah gula-gula getah tidak membatalkan puasa, namun perbuatan tersebut adalah makruh : قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ يُكْرَهُ لِلصَّائِمِ الْعِلْكُ لِأَنَّهُ يجمع الريق ويورث العطش والقئ “Imam al-Syafi’i dan para ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa mengunyah gula - gula getah adalah makruh bagi orang yang berpuasa kerana ia mengumpul air liur, menimbulkan rasa dahaga dan muntah.”[2] Selain itu, ulama al-Zuhaili dalam kitab Mu’tamad menyatakan makruh bagi orang yang berpuasa mengunyah gula-gula getah kerana dikhuatiri tertelan  sampai ke rongga perut. Batal puasa bagi mereka yang menelan gula-gula getah.  [3] Oleh yang demikian, Imam al-Syafi’i menyatakan hukum mengunyah gula-gula getah adalah makruh.  Walau bagaimanapun pada kebiasaanya sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya. WallahuA'lam.   Rujukan: [1] Hajar al-Haitami, (2000) al-Manhaj al-Qayyim, Dar Kitab ilmiyah p: 246 وإنما يفطر بالواصل إلى الحلق إن وصل إلى الباطن منه شيء، ومخرج الهمزة والهاء باطن ومخرج الخاء المعجمة والحاء المهملة ظاهر، ثم داخل الفم إلى منتهى المهملة [2] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya al-Din, (t.th) Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr . p 6/353 [3] Muhammad al-Zuhaili, (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 2/182   يكره للصائم مضغ العلك وذوق الطعام خوفا من وصول شيء من ذلك إلى الجوف، فإن ابتلع منه شيئا أفطر، وكذلك إذا تفرك العلك وتفتت فوصل إلى الجوف منه شيء بطل الصوم
3,304
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya sama ada wanita tanpa mahram boleh menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah atau pun tidak ya?. Ini pertama kali saya mahu menunaikan umrah.Sebab saya pernah terdengar yang wanita tidak boleh untuk bermusafir kalau tiada mahram. Musyklil saya dibuatnya.Boleh ustaz terangkan sedikit mengenai persoalan ini?. Terima kasih ustaz Jawapan : Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Umrah merupakan salah satu ibadah yang wajib untuk ditunaikan.Apatah lagi bagi seorang wanita, Umrah adalah satu jihad baginya.Ini berdasarkan pertanyaan Ummul Mukminin Aisyah R.anha. Beliau berkata : يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ Maksudnya : Wahai Rasulullah, adakah ada jihad untuk para wanita. Rasulullah SAW menjawab : Ya, mereka wajib berjihad tetapi jihad yang tiada peperangan di dalamnya iaitu Haji dan Umrah.” Riwayat Ibnu Majah (3013) Al-San’ani menyebut bahawa Nabi SAW menyamakan jihad dengan Haji dan Umrah adalah kerana di dalam kedua-dua amalan tersebut adanya kepayahan dan kesusahan. (Rujuk Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram, 1/91). Kata Ibnu Ruslan : الحّجّ فَرضٌ وكذاك عمرة # لم يجبا في العمر غيرَ مرّة “Haji adalah satu kefarduan begitu juga umrah. Kedua-duanya diwajibkan sekali seumur hidup” Begitu juga hukum menunaikan umrah tanpa mahram seperti soalan yang dikemukakan adalah terkait dengan hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadis yang sahih. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda : لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ Maksudnya : “ Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.” Riwayat Al-Bukhari (1729) & Muslim (2391) Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda : لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ Maksudnya : “ Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalana kecuali bersamanya ada mahram.” Riwayat Muslim (1339) Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500) Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, para ulama ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup.Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi keran sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya. Bagi wanita, para ulama menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 1/150-151). Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500). Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Rujuk Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35). Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam. Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya.Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 8/334 ; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104). Kesimpulannya, kami cenderung mengatakan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram. Semoga Allah memberikan kefahaman agama kepada kita semua. Wallahu’alam.
3,306
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, di sini terdapat satu soalan berkaitan ibadat umrah dan haji yang ingin diajukan. Memandangkan umat Islam dah boleh mengerjakan ibadat umrah, apakah hukumnya jika memakai face mask ketika dalam ihram?   Ringkasan Jawapan Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan, hukum memakai pelitup muka (face mask) bagi orang yang berada dalam ihram ini adalah harus kerana ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dari dijangkiti wabak. Bahkan di musim wabak yang masih berpotensi untuk berjangkit ini,  umat Islam dituntut untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) antara satu sama lain kerana penjagaan kesihatan juga merupakan salah satu dari tuntutan agama.   Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat. Perkataan ihram sinonim dengan ibadat haji dan umrah yang mana ia menandakan seseorang itu telah beniat dan berada dalam situasi mengerjakan ibadat haji atau umrah. Oleh itu, terdapat beberapa larangan apabila seseorang itu sedang berada dalam keadaan ihram. Antaranya ialah seorang Jemaah dilarang untuk memakai pakaian selain dari pakaian ihram. Hal ini sebagai mana dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Umar dalam perkara-perkara yang tidak boleh dipakai ketika ihram: عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا يَلْبَسُ الْمُحْرِمُ مِنَ الثِّيَابِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تَلْبَسُوا الْقُمُصَ، وَلَا الْعَمَائِمَ، وَلَا السَّرَاوِيلَاتِ، وَلَا الْبَرَانِسَ، وَلَا الْخِفَافَ، إِلَّا أَحَدٌ لَا يَجِدُ النَّعْلَيْنِ، فَلْيَلْبَسِ الْخُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلَا تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ وَلَا الْوَرْسُ» Maksudnya: “Daripada Ibn Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: apakah pakaian bagi orang yang berihram? Maka jawab Rasulullah SAW: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).”[1] (Riwayat Muslim: 1177) Berdasarkan hadis tersebut, pakaian yang berjahit seperti kemeja, seluar, topi dan sepatu adalah dilarang sama sekali untuk dipakai ketika ihram. Imam Nawawi telah datangkan pandangan ulama berkenaan hadis tersebut yang mana tidak harus bagi orang yang sedang berihram memakai kemeja, seluar dan pakaian-pakaian yang berjahit.[2] (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim: 8/73) Oleh itu, dalam isu memakai pelitup muka (face mask) ketika mengerjakan ibadat haji dan umrah terutama sekali di musin pandemik ini adalah satu norma yang baharu bagi ibadat ini. Hal ini perlu dilihat dalam konteks hukum menutup muka dalam ihram yang mana para ulama telah menyatakan hukum menutup muka ketika dalam ihram seperti mana berikut: Hukum menutup muka bagi lelaki. Menurut ulama mazhab Syafie, harus hukumnya bagi kaum lelaki yang sedang berihram menutup mukanya seperti mana yang dinyatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya: مذهبنا أنه يجوز للرجل المحرم ستر وجهه ولا فدية عليه Maksudnya: “Menurut mazhab kami adalah harus bagi lelaki yang berihram menutup wajahnya serta tiada fidyah ke atasnya.”[3] Hukum menutup muka bagi wanita ihram Di dalam hal ini, haram bagi wanita yang berada dalam keadaan Ihram menutup mukanya kerana larangan tersebut terdapat dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita yang berada dalam ihram dari memakai sarung tangan dan niqab”. (Sunan Abi Daud: 1827)             Oleh yang demikian, berdasarkan 2 pandangan hukum yang telah dinyatakan, hukum memakai pelitup muka adalah seperti mana hukum menutup muka ketika dalam ihram yang mana harus bagi kaum lelaki dan tidak bagi kaum perempuan. Namun begitu, dalam mendepani wabak covid ini perlu juga diambil kira peningkatan kes di negara Arab Saudi yang mana telah mencatat sebanyak lebih 746,000 kes dan 9000 kematian.[4] Tambahan lagi, wabak ini berjangkit melalui cecair pernafasan melalui hidung dan nafas seseorang yang dijangkiti Covid-19 iaitu dengan bersin, batuk atau menghembuskan nafas.[5]             Oleh itu, pemakaian pelitup muka merupakan salah satu langkah untuk mencegah kadar keboleh jangkitan wabak ini dari terus merabak seperti mana yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).[6] Justeru itu, di sini terdapat beberapa pandangan kontemporari yang telah dikeluarkan antaranya ialah: 1) Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Lembaga Fatwa Mesir) Harus bagi orang yang berihram memakai pelitup muka (face mask) untuk mencegah virus Corona yang mana ia telah terbukti bahayanya dan jangkitannya melalui pernafasan dari hidung dan mulut.[7] 2) Majelis Ulama Indonesia (MUI) Keputusan Majelis Ulama Indonesia tentang pemakaian pelitup muka diharuskan terdapat penularan penyakit berbahaya, cuaca yang ekstrim atau buruk dan terdapat ancaman kesihatan yang mana dengan menanggalkan pelitup muka akan merbahayakan kesihatan.[8] 3) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89  Di dalam muzakarah tersebut, keputusan telah diputuskan bahawa jemaah haji dan umrah ketika di dalam ihram diharuskan menutup sebahagian muka dengan memakai mask (penutup mulut dan hidung) serta tidak perlu membayar dam.[9] Kesimpulan: Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan, hukum memakai pelitup muka (face mask) di musim pandemik bagi orang yang berada dalam ihram ini adalah harus kerana ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dari dijangkiti wabak. Bahkan di musim wabak ini umat Islam dituntut untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) antara satu sama lain kerana penjagaan kesihatan juga merupakan salah satu dari tuntutan agama. Hal ini juga selaras dengan kaedah fiqhiyyah: الضروريات تبيح المحظورات Maksudnya: “Sebarang kemudaratan mengharuskan perkara yang dilarang.”[10] Wallahu A’lam   [1] An-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi. T.T. Sohih Muslim. Tahqiq: Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. J2 h834. [2] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf. 1392H. Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim. Cetakan 2. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy. J8 h73. Teks asal: وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ على أنه لا يجوز للمحرم لبس شئ مِنْ هَذِهِ الْمَذْكُورَاتِ وَأَنَّهُ نَبَّهَ بِالْقَمِيصِ وَالسَّرَاوِيلِ عَلَى جَمِيعِ مَا فِي مَعْنَاهُمَا وَهُوَ مَا كَانَ مُحِيطًا أَوْ مَخِيطًا [3] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab. Dar al-fikr. J3, H379. [4] https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2022/03/930618/arab-saudi-tamatkan-kebanyakan-sekatan-covid-19 diakses pada 16/3/2022. [5] https://www.moh.gov.bn/COVID-19/SitePages/FAQ_copy(2).aspx 17/3/2022 [6] https://www.who.int/health-topics/coronavirus#tab=tab_1 diakses pada 16/3/2022. [7] ‘Allam, Syauqi Ibrahim. 2020. Fatawa al-Nawazil Waba’ Corona; Covid-19. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. H474 teks asal: فيجوز للمحرم رجلا أو امرأة لبس الكمامة الطيبة، توقيا من فيروس كورونا المستجد، بعدما استفحل أمره وثبت خطره عن طريق العدوى المنتقلة عن طريق الرذاذ المتناثر من الأنف أو الفم، ولا فدية عليهز [8] https://mui.or.id/produk/fatwa/29828/fatwa-tentang-pemakaian-masker-bagi-orang-yang-sedang-ihram/ diakses pada 16/3/2022. [9] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10241 Diakses pada 16/3/2022. [10] Al-Suyuthi, Jalal al-Din. 1990M/1411H. Al-Asybah wa Al-Nazoir. Cetakan 1. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm 84.
3,307
Soalan Apakah hukum penggunaan perkataan ‘shalom’ secara lafaz/tulis/perbuatan bagi umat islam khususnya di malaysia untuk menyapa orang islam dan bukan islam, dalam satu kelompok ataupun dalam kelopok berasingan? Penggunaan ‘shalom’ ini digunakan oleh kebanyakan anak muda dan menganggap bahawa perkataan shalom hanya sekadar bahasa yang berlainan tapi sama maksudnya dengan lafaz ‘assalamualaikum’.   Ringkasan Jawapan Agama Islam menganjurkan kepada penganutnya untuk menegur sapa dengan lafaz ucapan ‘assalamualaikum’ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu, dan ini merupakan salah satu dari sunnah Nabi SAW. Tidak salah untuk menggunakan perkataan ‘shalom’ secara lafaz, tulis, dan perbuatan untuk menyapa orang lain kerana ucapan shalom juga bermaksud aman dan sejahtera dalam bahasa ibrani, dan menjadi ucapan yang dianjurkan dalam agama Yahudi sebagai doa kepada orang lain. Namun begitu sebagai umat Islam, seseorang muslim wajar menghidupkan Sunnah Nabi SAW dengan melafazkan bentuk lafaz yang dianjurkan oleh Baginda. Di samping itu juga, setiap muslim perlu mengelakkan segala kelakuan yang boleh menimbulkan fitnah dari masyarakat sekeliling. Contohnya jika ucapan “Shalom” itu menyebabkan buah mulut dan sangkaan buruk dari orang sekeliling makai a sepatutnya dielakkan.    Huraian Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas baginda junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga beliau, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat. Menurut Hebrew Word Studies, ‘shalom’ bermaksud keamanan, sejahtera, dalam keadaan baik, ataupun kesihatan yang baik di dalam bahasa ibrani. Ucapan ini sering digunakan oleh masyarakat Yahudi untuk menegur seseorang secara sopan dan mesra, dan seakan-akan menjadi penyambung kepada hubungan yang lebih baik. Perkataan ‘shalom’ juga disebutkan di dalam kitab Exodus perjanjian lama 21-22 yang boleh diterjemahkan sebagai ‘semoga dalam kebaikan’, ‘semoga sihat sepenuhnya’, dan ‘akan dibalas kebaikannya’. Jika menurut bahasa ibrani klasik pula, ia bukan sahaja bermaksud kebaikan bahkan boleh difahami juga sebagai pemulihan tubuh badan yang merangkumi kesihatan jiwa dan mental. Maka, perkataan kesejahteraan, keamanan, kebaikan, dan kesihatan yang baik boleh diterjemahkan dalam satu perkataan menurut bahasa ibrani iaitu ‘shalom’.[1] Dalam menjalani kehidupan di atas dunia sebagai seorang yang beragama Islam, banyak panduan dan tatacara yang telah disebut dan diajarkan kepada kita. Antaranya adalah menegur seseorang dengan ucapan atau teguran yang baik dan sopan, dan menjawab teguran itu dengan baik juga. Firman Allah SWT: وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.  (Surah al-Nisa’:86) Al-Baghawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini menyarankan agar kita memberi salam kepada muslim yang lain, dan untuk jawapan salam itu pula disarankan untuk membalas dengan lebih baik daripada ucapan yang diterima itu. Jika diberi salam ‘assalamualaikum’, maka jawablah dengan ‘waalaikumussalam warahmatullah’, jika diberi salam’ assalamualaikum warahmatullah’, maka balaslah dengan ‘waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh’, dan jika diberi salam ‘assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh’, maka balaslah yang semisal dengannya. [Lihat Tafsir Al-Baghawi: 1/669]   Hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Menurut ulama-ulama kami, ia adalah sunat kifayah jika sekolompok jemaah melintasi di hadapan seorang lelaki atau jemaah lain kemudian salah seorang daripada kelompok pertama memberi salam maka terhasil hukum sunat. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka pihak yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai memenuhi tuntutan fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya menjadi fardu kifayah.”  [Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 4/493-494]   Maka timbul persoalan bolehkah memberi salam kepada yang bukan Islam? Kita sedia maklum bahawa jika seorang muslim dituntut untuk memberi dan menjawab salam daripada muslim yang lain, namun ada sedikit perbezaan jika melibatkan ucapan salam kepada yang bukan Islam. Isu ini telah dibahaskan dalam artikel-artikel yang lepas di pautan berikut:  Hukum memberi salam kepada yang bukan Islam: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3985-irsyad-al-fatwa-siri-ke-368-memberi-salam-kepada-kelompok-muslim-dan-non-muslim Ucapan salam: Hadith dan Feqahnya: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3985-irsyad-al-fatwa-siri-ke-368-memberi-salam-kepada-kelompok-muslim-dan-non-muslim   Berkenaan isu memberi salam kepada yang bukan Islam juga, memang ada disebutkan di dalam hadis. Sabda Nabi SAW:  لَا تَبْدَؤُوا اَلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.” (Riwayat Muslim: 1905) Hadis di atas menjelaskan tentang larangan memulakan salam kepada orang bukan Islam. Ada pun jika menjawab salam daripada mereka, diharuskan jika aman daripada fitnah. Namun jika ucapan itu sekadar ucapan umum seperti ‘selamat pagi’, ‘selamat petang’ dan seumpama dengannya maka tiada masalah untuk kita memulakan teguran atau ucapan. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam kitab al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah: وإذا كانت هناك حاجة داعية إلى بدء الكافر بالتحية فلا حرج فيها حينئذٍ، ولتكن بغير السلام، كما لو قال له: أهلاً وسهلاً أو كيف حالك ونحو ذلك. لأن التحية حينئذ لأجل الحاجة لا لتعظيمه Maksudnya: “Apabila ada keperluan/hajat untuk memulakan ucapan salam, maka tidaklah mengapa, akan tetapi tidak boleh menggunakan perkataan ‘assalam’ (doa keselamatan). Cukup dengan mengatakan  selamat datang, apa khabar dan sebagainya. Salam ketika itu juga kerana adanya keperluan, bukannya untuk memuliakannya”. [Lihat al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah 25/168] Ibn Hajar al-Haytami juga ada membincangkan tentang keharusan memberi salam dalam bahasa selain bahasa arab iaitu Assalamualaikum. Diharuskan untuk memberi ucapan salam dan sejahtera dalam bahasa asing, namun jika salam itu diberi dalam bahasa arab lalu yang menerima salam itu memahaminya maka wajib untuk menjawab salam tersebut.[2] [Lihat Tuhfat al Muhtaj Fi Syarh al Minhaj: 9/225] Namun begitu menurut Imam Nawawi lagi bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie berpendapat tidak sah memberi salam selain dari lafaz bahasa arab, dan sebahagiannya mengatakan sah. Oleh itu lebih utama jika keluar dari masalah khilaf iaitu mengambil pendapat yang lebih selamat dengan mengucapkan salam sepertimana yang dianjurkan oleh sunnah Nabi SAW demi menjamin ganjaran pahala. [Lihat al-Majmu’ Syarh Muhazzab: 4/599]   Kesimpulan Agama Islam menganjurkan kepada penganutnya untuk menegur sapa dengan lafaz ucapan ‘assalamualaikum’ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu, dan ini merupakan salah satu dari sunnah Nabi SAW. Tidak salah untuk menggunakan perkataan ‘shalom’ secara lafaz, tulis, dan perbuatan untuk menyapa orang lain kerana ucapan shalom juga bermaksud aman dan sejahtera dalam bahasa ibrani, dan menjadi ucapan yang dianjurkan dalam agama Yahudi sebagai doa kepada orang lain. Namun begitu sebagai umat Islam, seseorang muslim wajar menghidupkan Sunnah Nabi SAW dengan melafazkan bentuk lafaz yang dianjurkan oleh Baginda. Di samping itu juga, setiap muslim perlu mengelakkan segala kelakuan yang boleh menimbulkan fitnah dari masyarakat sekeliling. Contohnya jika ucapan “Shalom” itu menyebabkan buah mulut dan sangkaan buruk dari orang sekeliling makai a sepatutnya dielakkan. Alangkah baik dan murninya ucapan salam itu dikekalkan dengan kalimah asal “Assalamualaikum” yang telah diajar oleh Rasulullah. Wallahua’lam.     [1] Doug Hershey, ‘The True Meaning of Shalom’, Fellowship of Israel Related Ministries, 2020, https://firm.org.il/learn/the-meaning-of-shalom/ [2] وَلَوْ سَلَّمَ بِالْعَجَمِيَّةِ جَازَ وَإِنْ قَدَرَ عَلَى الْعَرَبِيَّةِ حَيْثُ فَهِمَهَا الْمُخَاطَبُ وَوَجَبَ الرَّدُّ
3,309
Soalan: Apakah hukum seorang Muslim menggunakan gelaran ‘priest’, sedangkan gelaran itu secara khusus digunakan merujuk kepada paderi agama Kristian? Adakah ia termasuk dalam perbuatan menyerupai penganut agama lain yang dilarang oleh Islam? Ringkasan Jawapan: Seorang Muslim itu diharamkan menggunakan gelaran priest pada nama mereka, kerana gelaran tersebut telah menjadi suatu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian. Hal ini demikian kerana terdapatnya larangan yang mengharamkan seorang muslim meniru syiar agama lain, serta larangan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap diri sendiri dan agama Islam. Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Berdasarkan kamus Merriam Webster, kalimah priest bermaksud: “Someone who is authorized to perform the sacred rites of a religion especially as a mediatory agent between humans and God.” Manakala Cambridge Dictionary pula mendefinisikannya sebagai: “A person, usually a man, who has been trained to perform religious duties in the Christian Church, especially the Roman Catholic Church.” Jelas daripada takrifan ini, gelaran priest merujuk kepada seorang paderi yang melaksanakan tugas-tugas keagamaan bagi gereja Kristian. Justeru, kami berpandangan bahawa seorang Muslim itu tidak boleh menggunakan gelaran priest pada nama mereka, kerana gelaran tersebut telah menjadi suatu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian. Hal ini berdasarkan tegahan daripada Nabi SAW yang melarang umat Islam daripada menyerupai atau meniru orang kafir (tasyabbuh bil kuffar) dari sudut identiti, lambang atau syiar mereka. Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”    Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya, al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan al-Bazzar dalam Musnadnya. Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami, bahawa hadis hadis ini ialah meniru orang kafir dari sudut pakaian, perlakuan dan perbuatan mereka. Mulla Ali al-Qari pula berpandangan bahawa hadis ini bermaksud seseorang yang meniru golongan kafir atau fasiq, sama ada dari sudut cara berpakaian atau selainnya, maka dia juga turut akan menerima balasan buruk seperti mereka.[1] Menurut Imam al-San‘ani pula, hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq dari sudut pakaian dan perilaku orang kafir atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka.[2] Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.[3] Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami pula, jika seseorang itu meniru syiar orang kafir dengan niat untuk menyerupai mereka, maka dia menjadi kafir, namun jika dia tidak meniatkan demikian, dia tidak jatuh kafir, namun dia tetap dianggap berdosa.[4] Selain itu, terdapat satu kaedah Islam yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri: اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.” Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A: مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”[5] Berdasarkan kepada kaedah di atas, kita disuruh untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada terhadap diri sendiri, dan lebih-lebih lagi terhadap nama baik agama.  Wallahu a‘lam. [1] ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud oleh al-‘Azim Abadi (1415H) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Kedua, 11/51 قَالَ الْمُنَاوِيُّ وَالْعَلْقَمِيُّ أي تزي فِي ظَاهِرِهِ بِزِيِّهِمْ وَسَارَ بِسِيرَتِهِمْ وَهَدْيِهِمْ فِي ملبسهم وبعض أفعالهم انتهى وقال القارىء أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسَهُ بِالْكُفَّارِ مَثَلًا مِنَ اللِّبَاسِ وَغَيْرِهِ أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوِ الْفُجَّارِ أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّفِ وَالصُّلَحَاءِ الْأَبْرَارِ (فَهُوَ مِنْهُمْ) أَيْ في الإثم والخير قاله القارىء [2] Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San‘ani (t.t) Dar al-Hadis, 2/646-647. وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ [3] Lihat: Tafsir Ibn Kathir (1999) Dar al-Tayyibah, Cetakan Kedua, tahkik: Sami bin Muhammad al-Salamah, 1/374 فَفِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى النَّهْيِ الشَّدِيدِ وَالتَّهْدِيدِ وَالْوَعِيدِ، عَلَى التَّشَبُّهِ بِالْكُفَّارِ فِي أَقْوَالِهِمْ وَأَفْعَالِهِمْ، وَلِبَاسِهِمْ وَأَعْيَادِهِمْ، وَعِبَادَاتِهِمْ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ أُمُورِهِمُ التِي لم تشرع لنا ولا نُقَرر عَلَيْهَا [4] Lihat Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra oleh Ibn Hajar al-Haitami (t.t) al-Maktabah al-Islamiyyah, 4/239 فَالْحَاصِلُ أَنَّهُ إنْ فَعَلَ ذَلِكَ ‌بِقَصْدِ ‌التَّشْبِيهِ بِهِمْ فِي شِعَارِ الْكُفْرِ كَفَرَ قَطْعًا، أَوْ فِي شِعَارِ الْعَبْدِ مَعَ قَطْعِ النَّظَرِ عَنْ الْكُفْرِ لَمْ يَكْفُرْ وَلَكِنَّهُ يَأْثَمُ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ التَّشْبِيهَ بِهِمْ أَصْلًا وَرَأْسًا فَلَا شَيْءَ [5] Kasyfu al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas ‘amma Usytuhira min al-Ahadith ‘ala Alsinah al-Nas oleh Isma ‘il al-‘Ajluni (1451H) Kaherah: Maktabah al-Qudsi, 1/44 (‌اتقوا ‌مواضع ‌التهم) ذكره في الإحياء وقال العراقي في تخريج أحاديثه لم أجد له أصلا لكنه بمعنى قول عمر من سلك مسالك الظن اتهم ورواه الخرائطي في مكارم الأخلاق مرفوعا بلفظ من أقام نفسه مقام التهم فلا يلومن من أساء الظن به
3,310
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Telah sampai kepada kami sebuah video yang menunjukkan seorang wanita yang seakan sedang mencuba ritual sembahyang di sebuah tokong, dalam program lawatan ke rumah ibadah agama lain. Samada ianya berlaku di Malaysia atau tidak, apa yang lebih penting adalah memahami hukumnya kerana ia melibatkan batas-batas akidah seorang Muslim. Untuk makluman, alat yang dicuba oleh wanita berkenaan adalah alat menilik nasib. Antara kaedah yang dapat dilihat di dalam video itu dinamakan kau cim. Ianya mudah ditemui di kebanyakan tokong di mana-mana. Kaedahnya adalah melibatkan goncangan batang-batang buluh kecil hingga salah satu tercampak keluar dari bekasnya. Setiap batang buluh itu bertulis maklumat ramalan yang kemudiannya diperjelaskan oleh seseorang yang pakar atau sami.[1] Terdapat satu lagi alatan yang terdapat dalam video iaitu Pwak Pwee (disebut puak pui). Ia dikenali juga sebagai Jiaobei Ia adalah satu ritual yang melibatkan dua bentuk kayu yang menyerupai bulan sabit yang dilontar ke tanah/lantai untuk meminta petunjuk daripada dewa dan lain-lain. Jawapan dilihat daripada kayu yang terjatuh samada, depan (terbuka) atau belakang (tertutup). Apabila salah satu terbuka dan yang lainnya tertutup, berarti jawapannya Shi Pui yang bererti setuju atau positif. Apabila keduanya terbuka, berarti dewa/dewi tertawa, namun ini bermaksud negatif. Apabila keduanya tertutup, bererti dewa/i marah, dan jawapannya Ba Pui yaitu negatif.[2]   Hukum Tenung Nasib Tenung nasib adalah perbuatan meramal masa depan atau hal-hal ghaib yang tidak diketahui oleh seseorang. Berkenaan hukum tenung atau tilik nasib, ianya adalah haram kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang ghaib. Firman Allah SWT: وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja” (Surah Al An’am: 59) Begitu pula dalam ayat lainnya disebutkan, قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ Maksudnya: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”(Surah al-Naml: 65) Allah SWT secara jelas memerintahkan orang beriman supaya menjauhkan diri daripada amalan tenung nasib sebagaimana firman-Nya: حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik...”(Surah al-Ma’idah: 3) Menurut Syeikh Mustafa al-Maraghi, ayat berkaitan pengharaman merenung nasib ini bermaksud diharamkan untuk meminta ilmu tentang apa yang telah ditentukan kepada seseorang dengan anak panah sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliah. Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/52. Selain itu, Allah SWT juga berfirman. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”(Surah al-Ma'idah: 90) (الْأَزْلَامُ) menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Ata, Sa'id ibnu Jubair, dan Al-Hasan serta lain-lainnya  ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu pengimbang dan tidak diberi hujung). Alat ini biasa mereka pakai untuk mengundi nasib. Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/161. Kalimah (الرِّجْسُ) dari segi bahasa menurut Imam Fakhruddin al-Razi adalah segala perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji. Menyatakan ia adalah amalan syaitan merupakan satu penyempurnaan bagi perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji kerana syaitan itu sendiri adalah najis yang bersifat khabith (buruk/kotor/teruk). Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/423.   Tasyabbuh Ibadah Orang Kafir Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya:  Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.Riwayat Abu Daud (4031) Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali syiar/simbol agama atau bentuk perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai agama-agama lain Imam al-San’ani rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam, 2/647. Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i'tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. Lihat Faidh al-Qadir, 6/104.   Hukum Mencuba Alatan Tenung Nasib Berdasarkan hujah di atas, kami melihat bahawa perbuatan wanita terbabit adalah satu bentuk tasyabbuh (penyerupaan) dengan ritual agama lain yang diharamkan Islam, walaupun ia dibuat dengan niat untuk belajar. Pastinya terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih sesuai dan tidak menyalahi syarak untuk mempelajar dan memahami hal-hal agama lain. Walaubagaimanapun, kami bersangka baik bahawa wanita tersebut tidak tahu akan hukumnya. Kami juga menyarankan masyarakat supaya tidak menyebarkan video berkenaan kerana: Akan membawa sangkaan-sangkaan yang buruk. Menjatuhkan maruah. Dalam masa yang sama, kami suka untuk mengingatkan kepada umat Islam untuk sedaya upaya menjauhi ruang-ruang fitnah dan tohamhan. Ini berdasarkan satu kaedah اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan. Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA, مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah. Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Semoga kita menginsafi akan pentingnya untuk lebih berhati-hati memelihara batas-batas aqidah dalam setiap aktiviti harian kita. Wallahu a’lam. _____________________________________________ [1] Rujukan lanjut di http://accesschinese.com/divination/kaucim/kaucim.php [2] Rujukan lanjut di https://exemplore.com/fortune-divination/chinese-jiaobei-or-moon-blocks-divination
3,312
Soalan: Apakah status hadith memohon untuk menjadi miskin?   Ringkasan Jawapan: Hadith di atas adalah dhaif dan doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Walaubagaimanapun, sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang diajar oleh Allah SWT dan juga Nabi SAW.   Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Berdasarkan soalan di atas, sebelum kami membicarakan berkaitan isu ini dengan lebih mendalam, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu riwayat-riwayat berkaitan doa ini. Terdapat dua riwayat di dalam al-Kutub al-Sittah berkaitan doa tersebut iaitu daripada Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah: Daripada Anas bin Malik RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ المَسَاكِينِ يَوْمَ القِيَامَةِ Maksudnya: “Ya Allah! Hidupkanlah aku sebagai seorang yang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang yang miskin serta himpunkanlah aku bersama orang-orang yang miskin di hari Kiamat.” [Riwayat al-Tirmizi (2352)] Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ Maksudnya: “Ya Allah! Hidupkanlah aku sebagai seorang yang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang yang miskin serta himpunkanlah aku bersama orang-orang yang miskin.” [Riwayat Ibn Majah (4126)] Antara ulama yang menilai hadith atau riwayat di atas: Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadith ini sebagai gharib di dalam Jami’nya. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, 4/577] Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 3/141-142] Imam al-Nawawi (676 H) mengatakan sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/196] Imam al-Dimyathi menilai sanad hadith adalah saqim (dhaif). [Lihat: al-Matjar al-Rabih, 327] Imam Ibn al-Mulaqqin (804 H) menghukum sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: al-Badr al-Munir, 7/367] Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas dhaif disebabkan terdapat perawi yang dipertikaikan dari sudut kethiqahan dan hafazannya terhadap hadith. Walaupun begitu, kita tidak dihalang sama sekali untuk berdoa dengan doa tersebut. Ini kerana, di dalam doa terdapat keluasan dan boleh berdoa dengan apa jua meskipun lafaznya tidak diajar oleh Nabi SAW selagimana makna doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa di sisinya (Imam al-Baihaqi) Nabi SAW tidak memohon kemiskinan dengan maksud kekurangan tetapi Baginda SAW memohon kemiskinan yang mana ia membawa maksud khusyu’ dan tawadhu’ (merendah diri). [Lihat: al-Talkhis al-Habir, 3/234] Di samping itu juga, Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan bahawa maksud miskin di dalam hadith adalah kehinaan dan kebergantungan (kepada Allah). Tujuan Rasulullah SAW berdoa seperti ini adalah bagi mengzahirkan sifat tawadhu’ dan kebergantungan Baginda SAW kepada Tuhannya supaya ia menjadi petunjuk kepada umatnya agar sentiasa bersifat tawadhu’ dan meninggalkan sifat takabbur dan berbangga. Di samping itu juga, Baginda SAW ingin menunjukkan akan ketinggian kedudukan orang miskin dan dekatnya mereka dengan Allah SWT. Menurut Imam al-Tibi, maksud “agar Allah menghimpunkan aku bersama orang-orang yang miskin” adalah himpunkan aku atau jadikan aku daripada kalangan mereka dan bukannya maksud miskin yang dipohon itu adalah kekurangan tetapi ia menunjukkan sifat rendah diri (tawadhu’) dan juga khusyu’. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 7/16]   Penutup Kesimpulannya, hadith di atas adalah dhaif dan doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Walaubagaimanapun, sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang diajar oleh Allah SWT dan juga Nabi SAW. Kita boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.   Wallahua’lam
3,313
Mukadimah Alhamdulillah, Ramadhan hampir menjelma. Marilah sama-sama kita menginsafi diri kita seterusnya menjadi yang terbaik dalam kesempatan yang ada dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak. Pada siri Bayan Linnas kali ini dan bersempena dengan kedatangan Ramadhan, kami kemukakan satu tajuk untuk tatapan para pembaca yang berjudul Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan. Pertamanya, kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan  acara-acara ibadah dan antaranya yang dapat kami sebutkan di sini dalam menyambut kedatangan Ramadhan ialah: Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah ﷺ berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.” اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan” Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)   Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah ﷺ berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan. اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.” Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (1397). Syeikh Ahmad Syakir mengatakan isnadnya hasan manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid yang lain.   Begitu juga dikatakan ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka ialah: اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).” Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)     Sikap Kita… Hendaklah kita merasa gembira dengan Ramadhan yang bakal menjelma dengan tawaran tuhan yang lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula merasa gelisah, buntu dengan Ramadhan. Maka benarlah sabda Nabi ﷺ : أَظَلَّكُمْ شَهْرُكُمْ هَذَا بِمَحْلُوفِ رَسُولِ اللهِ، مَا مَرَّ بِالْمُؤْمِنِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ، وَلَا بِالْمُنَافِقِينَ شَهْرٌ شَرٌّ لَهُمْ مِنْهُ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَكْتُبُ أَجْرَهُ وَنَوَافِلَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ، وَيَكْتُبُ إِصْرَهُ وَشَقَاءَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ Maksudnya: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini dengan Rasulullah ﷺ bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah ﷻ menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadhan.” Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (8870) & Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1884). Sanadnya dho’if kerana terdapatnya Tamim maula Abu Rumanah.     Cara Menyambut Ramadhan Terdapat beberapa cara untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan agar kedatangannya memberikan rahmat dan keberkatan buat kita. Antara yang dapat kami nyatakan di sini ialah: Perbaiki Niat Firman Allah SWT: وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”. (Al-Bayyinah: 5)   Tanpa niat maka ianya tidak dikira sebagai ibadah boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat kita untuk mengahadapi Ramadhan ini hanya kerana Allah ﷻ. Jika jantung hati telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah ﷻ maka amal perbuatannya selepas itu akan menjurus kepadanya juga. Memperbaiki niat bukanlah sesuatu yang mudah semudah mengucapkannya di bibir, para salaf juga tidaklah terlepas dari kepayahan ini. Sufyan al-Thauri Rahimahullah meskipun dengan kehebatan ilmu dan kewarakannya juga pernah berkata: “Tidaklah pernah aku merawat sesuatu yang paling sukar melainkan niatku (untuk ikhlas kepada Allahﷻ)”. Jika beginilah keadaannya Sufyan al-Thauri apatah lagi kita?   Berdoa Jika kita melihat perihal golongan salaf dalam menyambut Ramadhan, antara yang diamalkan oleh mereka adalah dengan berdoa. Begitu juga dengan Nabi ﷺ yang mana di dalam sebahagian hadith  meriwayatkan mengenai perihal doa Nabi ﷺ untuk diberkati di dalam bulan Ramadhan dan juga ketika melihat anak bulan Ramadhan. Antara doa-doanya telah kami sebutkan pada perbincangan di atas. Meskipun sesetengah hadith tersebut tidak mencapai taraf sahih namun ianya boleh diamalkan berdasarkan keumuman berdoa selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak dan mestilah tidak menyandarkan doa tersebut pada Nabi ﷺ. Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah ﷻ selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah ﷻ menerima daripada mereka amalan mereka”. Beliau juga menyebut daripada Yahya bin Abi Kathir iaitu di antara doa para salaf itu ialah: “Ya Allah, selamatkanlah (sampaikanlah) diriku hingga ke bulan Ramadhan, terimalah (pahala) Ramadhan untukku dan perkenankanlah amalanku di bulan Ramadhan”.   Memperbanyakkan Membaca Al-Quran Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Firman Allah ﷻ: شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.  (Al-Baqarah: 185) Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA menyebutkan: أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi ﷺ pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi ﷺ, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali. Riwayat Al-Bukhari (4998)   Mari kita lihat keadaan salaf dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, semoga dengannya dapat membangkitkan semangat kita dalam beramal soleh: Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51] Adalah Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276] Daripada Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat Al-Tibyan li al-Nawawi, hlm. 74] Telah berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36] Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran. Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”. Begitulah keadaannya para salaf apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya.   Bersedekah & Memberi Makan Dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma: كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏ Maksudnya: Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah ﷺ menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas. Riwayat Al-Bukhari (3554)   Banyaknya Nabi ﷺ bersedekah pada bulan Ramadhan  menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan: سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: ‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: ‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ ‏ Maksudnya: Ditanyakan Nabi ﷺ puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi ﷺ: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi ﷺ: Sedekah di bulan Ramadhan. Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.   Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Ianya juga adalah dari jenis sedekah bahkan mempunyai ganjarannya yang tersendiri. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang mana Baginda telah bersabda: مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu. Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.   Qiyam Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah  dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah ﷻ. Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian.  Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ianya sepertimana sabda Rasulullah ﷺ: مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ Maksudnya: Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah  telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam. Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327)   Maka rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan amal-amal yang lain di siang harinya agar tawaran yang telah disediakan oleh Allah ﷻ ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita. Telah berkata Dr. Sayyid al-Affani: “Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadhan dengan taubat nasuha kepada Allah ﷻ dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”   Penutup Akhir kalam, ingin kami katakan di sini bahawa Ramadhan bakal membawa seribu satu macam kebaikan yang mana sudah barang pasti dapat dimanfaatkan oleh mukmin sejati sama ada amalan yang wajib atau yang sunat seperti tadarus al-Quran, qiyammullail, solat taraweh dan lain-lain. Begitu juga dengan mengkaji sejarah Ramadhan melalui kemenangan umat Islam sejak zaman Rasulullah ﷺ lagi sehingga kepada mutakhir ini. Sudah pasti kita dapati kemenangan Islam banyak berlaku pada bulan Ramadhan, seolah-olah mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kerohanian, spiritual dan juga semangat yang kental sehingga dapat melakarkan kemuncak kejayaan. Sebenarnya isu tentang puasa, ibadat pada bulan Ramadhan amat banyak dan sentiasa terdapat permasalahan yang baru dan ianya amat memerlukan kita untuk menelaah dan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain agar benar-benar menepati syariat Islam. Antara caranya untuk meningkatkan kefahaman mengenai hukum-hakam mengenai ibadah puasa ini adalah dengan membaca dan juga menghadiri kuliah-kuliah yang berkaitan serta jangan segan untuk bertanya kepada mereka yang layak. Semoga dengan ketibaan Ramadhan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Ingatlah sabda Nabi ﷺ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ  Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah ﷻ, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Riwayat Al-Bukhari (38)   Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini sebagai Madrasah Rohaniah dan Fikriyyah yang boleh melonjakkan kita ke persada kejayaan. Sekian, wassalam.   Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan   3 Jun 2016 bersamaan 27 Sya’ban 1437H.
3,314
Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya ada beberapa persoalan. Pada 2007, saya telah bernazar sekiranya saya mendapat anak, saya akan membawanya menunaikan umrah. Alhamdulillah, dalam masa terdekat, saya akan berangkat untuk menunaikan umrah bersama suami dan anak saya itu. Penerbangan saya dijadualkan akan ke Madinah terlebih dahulu. Jadi, saya akan miqat di Bir Ali. Soalan saya, bagaimanakah niat umrah saya? Adakah niat umrah nazar seperti umrah kebiasaan? Selain itu, yang manakah patut saya utamakan, adakah saya perlu melakukan umrah Islam (wajib) atau umrah nazar terlebih dahulu? Harap Datuk Mufti dapat beri pencerahan. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Kami mulakan dengan firman Allah SWT : وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadah  Haji dan Umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah : 196) Selain itu, terdapat sebuah hadis daripada Aisyah R.Anha, katanya : “Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?” Baginda bersabda : نَعَمْ : جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ : الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ Maksudnya : “Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.” Riwayat Ibn Majah (3013) Para ulama’ telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafie, umrah juga adalah fardhu, sebagaimana haji. Dan ayat dia atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116 dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379) Rukun-rukun umrah Sepertimana yang kita ketahui, rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah. Maka, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut : Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji. Melakukan tawaf umrah. Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah Bercukur atau bergunting rambut. Syeikh Abd al-Fattah Husein menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah Tertib. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/144 dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 386) Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, kami akan bahagikan jawapan kami kepada dua bahagian. Bahagian pertama berkenaan cara niat ihram umrah dan bahagian kedua mengenai yang mana lebih patut diutamakan dahulu antara umrah wajib dan umrah nazar. Cara niat umrah ihram Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan sesiapa yang mahu menunaikan umrah, hendaklah berniat di dalam hatinya dan melafazkan dengan lisannya secara perlahan (ketika di Miqat) : نَوَيتُ العُمْرَةَ وَأَحرَمْتُ بها لله تعالى ، لَبَّيكَ اللهُمَّ بِعُمْرَةِ Maksudnya : “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah taala, Aku menyahut seruanMu Ya Allah untuk berumrah.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 476) Seterusnya, ucapkanlah talbiah : لَبَيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ Maksudnya : “Aku menyahut seruan-Mu ya Allah, aku menyahut seruanMu. Tiada sekutu bagiMu, aku menyahut seruanMu. Sesungguhnya puji-pujian dan nikmat adalah bagiMu, dan begitu juga pemerintahan. Tiada sekutu bagiMu.” Walau bagaimanapun, yang wajib hanyalah berniat dalam hati, manakala melafazkannya dan mengucap talbiah adalah sunat sahaja. Setelah selesai berniat ibadah umrah, maka bermulalah ibadah tersebut dengan segala hukum dan perkara wajib yang berkaitan dengannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,  2/132 ) Manakala, bagi yang mahu menunaikan umrah nazar hendaklah menambah di dalam niatnya seperti, “Sahaja aku mengerjakan umrah nazar dan berihram dengannya kerana Allah taala.” (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, Terbitan Tabung Haji, hlm. 30) Adapun niat bagi anak atau tanggungannya. Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadi anak tangungannya berihram. Lafaz niatnya : “Sahaja aku mengerjakan Umrah atau untuk anakku/tanggunganku dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT.” Perkara ini kami telah bahaskan di dalam Bayan Li al-Haj Siri ke-5 : Hukum Kanak-kanak Mengerjakan Haji. Antara umrah Islam (wajib kali pertama) atau umrah nazar, yang mana patut di dahulukan? Terlebih dahulu kita kena ketahui bahawa kedua-dua umrah tersebut termasuk di dalam kewajipan (wajib) yang mesti dia tunaikan. Walau bagaimanapun, yang manakah yang patut dia utamakan? Mengenai hal ini, kaedah fiqh ada menyebutkan : إذَا تَعَارَضَ وَاجِبَانِ أَوْ حَرَامَانِ قُدِّمَ آكَدُهُمَا Maksudnya : “Jika bertembung antara dua perkara yang wajib, atau antara dua perkara yang haram, maka didahulukan perkara yang mana lebih kuat.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra,1/165) Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan : فلو وجبت عليه الفروض الثلاثة فالمقدَّم : حجة الإسلام فالقضاء فالنذر Maksudnya : “Sekiranya diwajibkan ke atasnya (untuk melaksanakan) tiga kefarduan (haji), maka didahulukan haji Islam (yang wajib kali pertama). Kemudian, haji Qada’ (ganti) dan barulah haji nazar.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 471) Begitu juga, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sekiranya seseorang bernazar mahu menunaikan haji dan dia masih belum lagi menunaikan haji Islam (yang wajib kali pertama sebagai rukun Islam), maka wajib ke atasnya haji yang lain bagi menunaikan nazarnya. Juga, hendaklah dia memulakan dengan haji Islam kerana apa yang telah ditetapkan oleh syarak didahulukan berbanding apa yang ditetapkan oleh manusia. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/515) Oleh itu, keutamaan patut diberikan kepada umrah Islam terlebih dahulu. Kemudian, barulah selesaikan umrah nazar pula. Hal ini kerana kewajipan umrah Islam adalah lebih kuat. Selain itu, tempoh bagi menyelesaikan ibadah umrah juga pendek, tidak seperti ibadah haji. Justeru, tiada masalah bagi jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah berkali-kali sepanjang tempoh mereka berada di Mekah. Caranya ialah, apabila selesai mengerjakan semua rukun ibadah umrah. Kemudian, berkeinginan melakukan umrah lagi, hendaklah dia keluar ke tanah halal dan berniat umrah di sana (sebagaimana penduduk Mekah). Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata : يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ Maksudnya : “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan'im.’ Maka, Abdurrahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.” Riwayat al-Bukhari (1518) Walau bagaimanapun, melihat kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa nazarnya telah tertunai apabila dia membawa anaknya menunaikan ibadah umrah. Hal ini kerana dia bernazar sekiranya dia direzekikan anak, dia akan membawanya menunaikan umrah. Oleh itu, dengan membawanya menunaikan umrah, maka telah tertunai nazar tersebut, tanpa mengambil kira umrah apa yang dilakukan, sama ada wajib sebagai rukun Islam, nazar atau sunat. Kesimpulannya Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara : Apabila seseorang bernazar, maka hendaklah dia menunaikan apa yang telah dinazarkan semampu mungkin. Sekiranya dia tidak mampu atau terdapat halangan, dia dikenakan kafarah nazar. Kami berpendapat bahawa nazarnya telah tertunai apabila dia membawa anaknya menunaikan ibadah umrah. Hal ini kerana dia bernazar sekiranya dia direzekikan anak, dia akan membawanya menunaikan umrah. Oleh itu, dengan membawanya menunaikan umrah, maka telah tertunai nazar tersebut, tanpa mengambil kira umrah apa yang dilakukan, sama ada wajib sebagai rukun Islam, nazar atau sunat. Sesiapa yang mahu menunaikan umrah, hendaklah berniat di dalam hatinya dan sunat melafazkan dengan lisannya secara perlahan (ketika di Miqat) : “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah taala, Aku menyahut seruanMu Ya Allah untuk berumrah.” Manakala, bagi yang mahu menunaikan umrah nazar hendaklah menambah di dalam niatnya seperti, “Sahaja aku mengerjakan umrah nazar dan berihram dengannya kerana Allah taala.” Selain itu, kami juga berpendapat bahawa keutamaan patut diberikan kepada umrah Islam (yang wajib kali pertama) terlebih dahulu. Kemudian, barulah selesaikan umrah nazar pula. Hal ini kerana kewajipan umrah Islam adalah lebih kuat. Selain itu, tempoh bagi menyelesaikan ibadah umrah juga pendek, tidak seperti ibadah haji. Justeru, tiada masalah bagi jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah berkali-kali sepanjang tempoh mereka berada di Mekah. Caranya ialah, apabila selesai mengerjakan semua rukun ibadah umrah. Kemudian, berkeinginan melakukan umrah lagi, hendaklah dia keluar ke tanah halal dan berniat umrah di sana (sebagaimana penduduk Mekah). Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
3,316
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak jenama tempatan yang dikeluarkan oleh Winepak Corporation dan telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2021. Apa yang lebih mengejutkan, arak tersebut menggunapakai jenama ‘Timah’ dan berlatarbelakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis seorang Muslim. Hal ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah satu tindakan biadap dan tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang merupakan penduduk majoriti. Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim. Walau bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi mereka pada 15 Oktober 2021, syarikat tersebut menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era pelombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu. Manakala gambar lelaki itu pula adalah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British, iaitu Kapten Speedy. Kemudian, syarikat itu menegaskan lagi sebarang pentafsiran nama yang tidak ada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu.[1] Isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib dan semua pihak kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini. Bagi umat Islam pengharaman arak adalah adalah satu prinsip yang jelas dan apa-apa yang ada kaitan dengannya adalah wajib dijauhi. Dalam Islam, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah najis dan hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90) Dalam ayat di atas, perkataan rijsun “رِجْسٌ” dari segi bahasa bermaksud kotor dan najis.[2] Selain itu, dalam ayat berkenaan juga, penggunaan lafaz al-Ijtinab “الاجتناب” (yakni menjauhi arak) menunjukkan bahawa tegahan dan pengharamannya adalah lebih kuat dan menyeluruh berbanding penggunaan lafaz tahrim al-Syurb “تَحْرِيمُ الشُرْبِ” (yakni tegahan meminum arak) semata-mata kerana tegahan meminumnya sahaja tidak merangkumi tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti membeli arak, menjualnya dan lain-lain. Manakala perintah menjauhinya pula merangkumi setiap sudut perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan lain-lain urusan yang berkaitan dengannya.[3] Tambahan lagi, ia menunjukkan celaan Allah SWT terhadap semua perkara buruk yang dinyatakan dalam ayat di atas dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji. Sehubungan dengan itu, kita diperintahkan untuk meninggalkan semua perkara tersebut kerana kejayaan (di dunia dan akhirat) tidak akan dapat dicapai melainkan dengan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, khususnya perkara-perkara keji yang disebutkan dalam ayat di atas.[4] Bukan itu sahaja, malah terdapat sebuah hadis yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata: لعَنَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم في الخمرِ عشرةً: عاصرَها ومُعتصرها وشاربَها، وحاملَها والمحمولةُ إليهِ وساقيها وبائعُها، وآكلُ ثمنِها، والمشترِي لها والمشترَي له Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi, 1295) Manakala tindakan menggunapakai nama ‘Timah’ sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam. Hal ini kerana, penggunaan nama tersebut boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang tidak baik, khususnya dalam konteks negara kita, yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Lebih-lebih lagi, nama ‘Timah’ itu juga sudah sinonim dalam masyarakat Melayu. Malah, tindakan memilih dan menggunakan gambar Kapten Speedy yang memakai penutup kepala juga, dilihat seolah-olah menjadi tanda dan isyarat bahawa produk ini keluaran Melayu Muslim sedangkan arak merupakan satu perkara yang sangat ditegah dalam Islam. Sebarang isu sensitiviti agama dan kaum haruslah dijauhkan kerana ia boleh menjurus berlakunya kemudaratan, sedangkan sebarang kemudaratan mestilah ditegah apatah lagi yang melibatkan perkara yang sensitif. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menyebut: الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَانِ Maksudnya: Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin.[5] Meskipun sebahagian pihak akan mengemukakan pelbagai alasan untuk membenarkan jenama arak ini, namun syarak menegaskan bahawa segala perkara yang mempunyai unsur kemudaratan hendaklah dicegah semampu yang boleh, lebih-lebih lagi umat Islam merupakan penduduk majoriti di negara ini. Penolakan ini juga berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan. Hal ini kerana, kami melihat perkara ini sekiranya dibiarkan dan dibuka seluasnya, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan bahawa seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam atau budaya yang dekat dan diterima dalam kalangan masyarakat Muslim, seterusnya mengganggu-gugat keharmonian masyarakat Islam dalam negara Malaysia. Sehubungan dengan itu, tindakan dan langkah proaktif pihak kerajaan dan juga pemerintah amat perlu dalam menyelesaikan isu ini, dengan memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan juga kemudaratan ke atas rakyat turut terhindar. Kaedah fiqh ada menyebut: تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.”[6] Dalam hal ini, maslahat atau kebaikan menjaga keharmonian negara dalam kalangan masyarakat daripada timbulnya huru-hara, kekacauan dan seumpamanya dengan melarang penggunaan jenama yang sensitif ini adalah lebih besar berbanding membiarkannya, di samping dapat meminimumkan mafsadah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat akibat daripada arak tersebut. Maka, tindakan tegas daripada pihak berwajib amat perlu dalam menangani permasalahan ini. Kesimpulan Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti ‘Timah’ ini amatlah tidak wajar sama sekali. Ia mesti ditarik dan diubah serta-merta, di samping gambar yang digunakan juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti, demi keharmonian negara. Adalah dinasihatkan pihak-pihak berkaitan agar lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu sebegini yang berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum. Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini. Nota hujung:  [1] https://www.facebook.com/TIMAHWhiskeyOfficial/. Telah diakses pada 18 Oktober 2021. [2] Dr. Mustafa al-Khin, et. al, al-Fiqh al-Manhaji, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992), 3/77-78. [3] Dr. Mustafa al-Khin, et. al, al-Fiqh al-Manhaji, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992), 3/75-76 dan 3/77-78. [4] Al-Sa‘di, ‘Abd al-Rahman bin Nasir, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan, (Beirut: Muassasah al-Risalah, Cetakan Pertama, 2000), hlm. 243. [5] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa, al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, (Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2006), 1/208. [6] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa, al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, (Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2006), 1/493.
3,317
Soalan: Benarkah kenyataan No Muslim should be denied entry to masjid regardless of how they dress? Apakah pandangan Mufti tentang orang yang ke masjid dengan pakaian yang tidak sopan? Bolehkah pengawal meminta individu sebegini keluar daripada masjid? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Firman Allah SWT: يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”  (Surah al-Anfal: 31) Erti (الزِّينَةِ) adalah memakai pakaian berdasarkan dalil Surah al-Nur ayat 31: وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ Maksudnya: “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…” (الزِّينَةِ) di sini adalah pakaian dan ia tidak akan tercapai maksud pakaian kecuali tertutup keseluruhan aurat. Beginilah yang disebutkan oleh Imam Fakhruddin al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib 14/228. Perhiasan’ dalam ayat ini, maksudnya pakaian yang menutupi aurat, sebagaimana dikatakan oleh Ibn ‘Abbas RA, Mujahid rahimahullah dan yang lainnya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/391; Tafsir al-Baghawi, 3/225; dan Tafsir Ibnu Kathir 3/405) Islam amat menekankan untuk menghormati masjid, begitu rumah-rumah ibadah agama lain. Penghormatan yang diberikan oleh Islam ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kewujudan agama-agama lain dan memelihara hak-hak mereka.  Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 40: وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ Maksudnya: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” Etika Pemakaian di Rumah Ibadah Agama-Agama Lain Secara umumnya, setiap rumah ibadah agama-agama ada menetapkan kod etika pemakaian walaupun ianya mungkin tidak tertera secara jelas dalam kitab suci masing-masing. Pergilah samada ke gereja, kuil Hindu, gurdwara, wat dan tokong di Malaysia, kesemuanya mempunyai kod etika pemakaian masing-masing yang dipatuhi dan dihormati sekian lamanya. Ianya diterima dengan baik tanpa bantahan oleh mana-mana pihak samada yang beragama Islam mahupun tidak. Malah, peraturan ini seakan sudah menjadi satu kesepakatan pada rumah-rumah ibadah seluruh dunia. Kami lampirkan beberapa contoh peraturan rumah ibadah di agama-agama dunia yang boleh diakses di Internet: ·         Kuil Angkor Wat telah menguatkuasakan undang-undang untuk tidak membenarkan pelancong ke situ sekiranya tidak menutup bahu dan lutut.[1] ·         Mereka yang melawat Pope dan Vatican diwajibkan memakai pakaian yang menutup bahu dan bawah daripada lutut.[2] ·         Pelawat Kuil Sri Mariamman Singapura dikehendaki memakai pakaian menutup bahu (dibenarkan juga menutupnya dengan selendang atau skaf), skirt dan seluar yang menutup lutut. Pakaian yang terlalu ketat, terlalu nipis dan terlalu mencolok mata hendaklah dielakkan.[3] ·         Synagogue Yahudi iaitu Whitefield Hebrew Congregation turut mensyaratkan pemakaian dress, blaus ataupun skirt yang mana panjang lengannya dan skirt adalah ¾.[4] Sepengetahuan kami, Queen Elizabeth juga memakai pakaian yang sopan ketika melawat Masjid Hijau di Bursa, Turki. Maka, ini menzahirkan bahawa berpakaian sopan ketika berada di rumah ibadah adalah satu bentuk nalar awam (common sense) semua masyarakat bermoral tinggi di seluruh dunia. Sikap Saling Menghormati (Mutual Respect) Sabda Nabi SAW: لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا Maksudnya: Bukanlah daripada kami sesiapa yang tidak mengasihi yang kecil dalam kalangan kami dan tidak menyayangi yang dewasa dalam kalangan kami.”               (Riwayat al-Tirmizi, no. 1919) Hadis tersebut menjelaskan tentang bagaimana seharusnya seorang Muslim menghormati dan mengasihi orang lain sesuai dengan usia atau kedudukan yang dimilikinya.  Imam al-Tirmizi rahimahullah berkata: “Berkata sebahagian ulama bahawa makna sabda Nabi SAW ‘Bukan termasuk golonganku’ adalah ‘Bukan termasuk sunnah kami, bukan termasuk adab kami.” (Lihat Sunan al- Tirimizi, 4/322) John Rawls ada menukilkan, “Oleh itu, sebagai tambahan kepada prinsip-prinsip bagi institusi-institusi, di sana perlu ada persetujuan tentang prinsip-prinsip untuk beberapa konsep antaranya keadilan dan kesetiaan, sikap saling menghormati (mutual respect) dan berbuat baik (beneficence) kerana ia terpakai kepada individu-individu, begitu juga kepada prinsip-prinsip bagi urustadbir negara.” (Lihat A Theory of Justice, m. 95) Pada membahaskan Bab Prinsip Keadilan, John Rawls tidak menafikan kepentingan sikap saling menghormati di peringkat individu. Ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sisi tokoh falsafah Barat ini, sikap saling menghormati tidak boleh dipandang enteng dalam memaknai makna sebenar keadilan. Hal ini juga jelas dalam Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan Sekolah Menengah dan Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan Sekolah Rendah, ada dinyatakan antara objektif subjek ini adalah memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Jika hal ini sudah pun dititikberatkan sejak peringkat sekolah rendah, sepatutnya tidak akan timbul isu berpakaian tidak sopan di rumah ibadah, khususnya masjid.   Tindakan Meminta Keluar Daripada Masjid Sekiranya tindakan individu terbabit adalah satu bentuk yang boleh dianggap sebagai provokasi ataupun pengingkaran terhadap peraturan masjid, pihak pengurusan masjid berhak memintanya mematuhi peraturan dan mengambil tindakan yang bersesuaian atas tindakannya di bawah kuasa yang diberikan. Dari sudut perlembagaan, merujuk kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan: Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai mana-mana bahagian Persekutuan. Jika hal ini boleh difahami dengan baik oleh masyarakat bukan Islam, tidak timbul isu mengapa ada segelintir umat Islam tidak memahami akan hal ini. Dalam masa yang sama, jika diteliti pada Perkara 11 (5) dijelaskan bahawa kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan kententeraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral. Individu tersebut sepatutnya sudah memahami bahawa hak pihak pengurusan masjid termaksud di bawah Perkara 11 (3) (a) iaitu tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Begitu juga sekiranya seorang Muslim masuk ke rumah ibadah agama lain dan melakukan tindakan yang dianggap tidak menghormati rumah ibadah agama berkenaan, dia juga berhak dikeluarkan daripada rumah ibadah tersebut.   Kesimpulan Etika pemakaian yang ditetapkan di masjid bukanlah sesuatu yang hal yang mengongkong sebaliknya ia bertujuan memelihara kemuliaan rumah Allah SWT. Malah, pemakaian jubah khas berwarna ungu yang ditetapkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur adalah praktik yang juga dilakukan oleh rumah ibadah agama-agama lain di seluruh dunia yang mempunyai etika pemakaian yang tersendiri. Kepada petugas dan pihak pengurusan masjid, gunakanlah kaedah yang terbaik dan profesional dalam menangani isu-isu seperti ini. Jelaskan dengan penuh kesantunan dan berundinglah dengan laras bahasa yang sesuai sekiranya ada pelawat yang mungkin tidak memahami peraturan ini. Firman Allah SWT: ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125) Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan peribadi kita sebagai umat Islam. Sebagaimana kita inginkan penghormatan daripada pihak lain, begitu jugalah kita perlu bersedia menghormati keputusan dan kehendak pihak lain. Wallahu a’lam   [1] https://www.telegraph.co.uk/travel/destinations/asia/cambodia/articles/cambodia-angkor-wat-enforces-strict-new-dress-code/ [2] http://www.papalaudience.org/dress-code [3] https://heb.org.sg/our-subsidiaries/temples/sri-mariamman-temple.aspx [4] http://www.thewhc.co.uk/wp-content/uploads/2013/03/WHC-visitor-guide.pdf
3,319
Mukadimah Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat. Mutakhir ini, banyak isu berkaitan perubatan telah sampai ke meja kami untuk diminta atau diputuskan hukum. Ini sebahagian daripada petanda kemodenan dan high tech serta perkembangan yang memberangsangkan dalam bidang perubatan. Justeru kami mengambil sebuah kecaknaan dan keprihatinan yang tinggi untuk menjawab isu tersebut dengan merujuk kepada ahli ikhtisas (pakar bidang) bagi mendapatkan maklumat yang secukupnya sebelum memberi dan menjawab apa-apa persoalan. Alhamdulillah, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami ajukan perbincangan dengan sebuah tajuk yang kami namakan Anggota, Tisu Dan Janin Orang Islam: Hukum Pelupusannya. Semoga ia menatijahkan sebuah pemahaman yang baik dalam kehidupan kita.   Tajuk Perbahasan Dalam melakukan diagnostik atau pembedahan rawatan pengambilan tisu atau bahagian anggota badan manusia, kebanyakan hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia, lazimnya menggunakan teknik seperti Biopsi Tisu, pembedahan pembuangan ketumbuhan, pengambilan tisu semasa bedah siasat dan sebagainya. Tisu-tisu ini disimpan di dalam formalin (sejenis bahan kimia dan bersifat carcinogenic) bagi tujuan pengawetan. Apabila tiba masa, tisu ini akan dilupuskan dan ia dikategorikan sebagai “clinical waste”.[1] Urusan pelupusan “clinical waste” ini dilakukan dengan cara penunuan (incineration) oleh syarikat konsesi (Radicare Sdn. Bhd, Faber Medi-Serve Sdn. Bhd. Dan Pantai Medivest Sdn. Bhd.) yang bertanggungjawab melakukan prosedur perlupusan daripada proses pengumpulan di premis hospital hingga ke proses pembakaran di tapak penunuan (incineration). Manakala pelupusan “chemical waste” dilakukan oleh Syarikat Konsesi Kualiti Alam Sdn. Bhd. Maka timbul persoalan di sini mengenai teknik pelupusan anggota, tisu dan janin orang Islam yang diamalkan di hospital-hospital di Malaysia pada hari ini. Adakah ia bertepatan dengan hukum syarak?   Takrif Sebelum dibentangkan pandangan ulama mengenai pelupusan anggota, tisu dan janin orang Islam, di sini dikemukakan beberapa tafsiran terminologi utama dalam kajian ini. 1. Anggota Ia juga dikenali sebagai organ merujuk kepada sebarang bahagian badan yang memainkan fungsi tertentu seperti pernafasan, perembesan dan penghadaman.[2] Menurut Ahmad Muhammad Kan’an, organ ditakrifkan sebagai setiap anggota daripada jasad manusia yang membezakannya dengan anggota yang lain di samping memiliki fungsi yang tersendiri seperti jantung, lidah, hidung, telinga dan sebagainya. (Lihat al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah, hlm. 711) 2. Tisu Ia merujuk kepada sebarang bilangan bahan berasingan terdiri daripada sel yang membentuk struktur badan seperti tisu penghubung.[3] 3. Janin Ia juga dikenali sebagai fetus adalah bayi yang belum dilahirkan selepas fasa embrionik iaitu selepas tiga bulan daripada tarikh persenyawaan sehingga bayi dilahirkan.[4]   Hujah dan Dalil Sesungguhnya setiap sesuatu yang hidup akan menemui pengakhirannya iaitu mati. Adalah menjadi hukum alam bagi setiap yang bernyawa termasuk manusia akan menemui ajalnya. Setiap manusia tidak boleh lari daripada mati sekalipun mereka berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, sebagaimana firman Allah SWT: أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ Maksudnya: Di mana jua kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Surah al-Nisa’ (78) Firman Allah SWT lagi: كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ Maksudnya: Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasakan mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Surah Ali-Imran (185) Menurut Sayyid Qutub, setiap yang hidup akan menghadapi maut dan akan terpisah dengan hayat. Tiada sebarang perbezaan di antara seorang yang lain dalam kepastian meneguk gelas maut yang diedarkan kepada semua orang, malah yang berbeza hanya dari segi nilai dan nasib kesudahan yang akhir. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/56) Allah SWT telah mengangkat darjat manusia melebihi makhluk lain yang terdapat di atas muka bumi ini. Kemuliaan ini adalah kekal terpelihara meskipun seseorang manusia itu telah meninggal dunia. Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya: وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. Surah al-Isra’ (70) Menurut Dr. Wahbah al-Zuhailiy, Allah SWT telah memuliakan Bani Adam iaitu dengan memberikan mereka kemuliaan, kehormatan dan juga kelebihan dengan sebaik-baik bentuk penciptaan. Kemudian dikurniakannya dengan pendengaran, penglihatan, segala pancaindera bagi tujuan kefahaman dan penghayatan seterusnya diperelok serta dihiaskan manusia dengan akal yang memandunya dalam memahami hakikat sesuatu. Kemudian manusia diberikan petunjuk dalam menghasilkan sesuatu barangan, tanaman, perniagaan, mengetahui bahasa, serta berfikir dalam mengeluarkan hasil bumi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/124) Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka menjadi fardhu kifayah kepada orang yang hidup terhadap si mati untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut: Memandikan Mengkafankan Menyembahyangkan Mengebumikan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494) Keempat-empat perkara tersebut wajib dilaksanakan dengan sempurna dan segera selepas berlaku kematian. Berdasarkan kepada nas syarak, memandikan mayat adalah fardhu kifayah dan ia diterangkan dalam hadis Nabi SAW, daripada Ummi ‘Atiyyah, beliau berkata: Nabi SAW masuk ke tempat kami memandikan anak perempuannya, lalu bersabda: اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَاجْعَلْنَ فِى الآخِرَةِ كَافُورًا Maksudnya: “Mandikanlah dia tiga kali atau lima kali atau lebih, jika kamu berpendapat baik lebih daripada itu dengan air serta daun bidara. Dan basuhlah yang penghabisan dicampur dengan kapur barus”. Riwayat al-Bukhari (1254) dan Muslim (939)   Selain itu, dalam pengurusan jenazah juga, ia perlu dilakukan secara berhemah dan berhati-hati. Perkara ini juga disebut dalam hadis Nabi SAW: كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا Maksudnya: Mematah-matah tulang orang yang mati sama seperti mematahkannya ketika dia masih hidup. Riwayat Abu Daud (3209) dan Ibn Majah (1616) Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian dan kelonggaran (rukhshah) diberikan dalam pengurusan jenazah sebagaimana yang berikut: - Dikecualikan daripada mandi dan sembahyang kepada orang Islam yang terbunuh dalam peperangan melawan orang kafir kerana menegakkan agama Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/265) Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW, daripada Jabir R.A, Baginda SAW bersabda: ادْفِنُوهُمْ فِي دِمَائِهِمْ ، يَعْنِي يَوْمَ أُحُدٍ ، وَلَمْ يُغَسِّلْهُمْ Maksudnya: “Kebumikan mereka dengan darah-darahnya iaitu para syuhada’ Uhud, dan mereka tidak dimandikan.” Riwayat al-Bukhari (1346) - Diberi kelonggaran (rukhshah) dengan tayammum bagi menggantikan mandi sekiranya mayat sudah hancur akibat kebakaran, apabila ketiadaan air atau pada ketika tidak ada perempuan atau mahram untuk memandikan mayat perempuan begitu jugasebaliknya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/252)   Pelupusan Anggota Dan Tisu Manusia Yang Masih Hidup Menurut jumhur fuqaha, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan juga disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut. (Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 2/28, al-Mudawwanah al-Kubra, 1/256; Mughni al-Muhtaj, 1/518-519; al-Mughni, 1/88; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/146) Menurut al-Khatib al-Syarbini, apa-apa yang terpotong daripada jasad yang masih hidup atau disyaki telah meninggal dunia seperti tangan pencuri, rambut, kuku, darah beku, darah bekam dan sebagainya, maka sunat ditanam bagi memuliakan pemiliknya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/518-519) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Julai 2004 telah membincangkan mengenai pembuangan dan pelupusan tisu-tisu manusia daripada pesakit. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut: 1) Bahawa organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit samada daripada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam. Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut. Sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar kerana dharurat; 2) Cara untuk menanam organ-organ atau tisu-tisu daripada pesakit adalah seperti berikut: Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit yang masih hidup, organ-organ dan tisu-tisu itu hendaklah ditanam di tempat-tempat yang selamat.   Pelupusan Anggota Dan Tisu Manusia Yang Telah Meninggal Dunia Dalam konteks orang yang hilang dan disyaki telah meninggal dunia, menurut mazhab Hanafi, apabila ditemui separuh daripada anggota badan beserta dengan kepala, maka hendaklah dimandikan. Jika tiada kepala, maka tidak perlu dimandikan. Ini kerana kepala dihukumkan sebagai bahagian terbesar pada anggota badan. Jika dijumpai sebahagian badan yang telah terpisah, maka ia tidak perlu dimandikan. (Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 2/29) Para ulama mazhab Hanafi telah berhujah berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.Anhuma berkata: لَا يُصَلَّى على عُضْوٍ Maksudnya: Tidak disembahyangkan ke atas anggota badan. Bagi mazhab Maliki, mereka berpandangan jika dijumpai anggota badan manusia kurang 2/3 daripada jasad sebenar, maka ia tidak perlu dimandi dan disembahyangkan. Sekiranya ditemui separuh daripada jasad beserta kepala, maka ia juga tidak perlu dimandi dan disembahyangkan. Sembahyang hanya dilakukan jika keadaan jasad itu 2/3 atau lebih dan tidak disembahyangkan jasad yang kurang daripada itu. (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/256) Mereka berhujah mengatakan solat itu tidak boleh dilakukan bagi jenazah yang ghaib (tidak dijumpai). Oleh itu, jika hanya dijumpai anggota tangan, kaki, atau kepala, maka tidak perlu dimandikan. Sekiranya jasad itu terbakar, menghadapi penyakit cacar, cacar air, cedera teruk, hancur di bawah runtuhan, jika boleh, ia hendaklahdimandikan, dan jika tidak boleh, hanya dicurahkan air. Namun, jika penggunaan air mengakibatkan kerosakan atau terputus jenazah, ia perlu ditayammumkan. (Lihat al-Iklil Syarah Mukhtasar Khalil, hlm. 79 dan al-Nawadir wa al-Ziyadat, hlm. 548) Bagi mazhab Shafie, jika didapati sebahagian daripada jenazah muslim yang bukan syahid, maka hendaklah disolatkan selepas ia dimandikan, kemudian ditutup dengan cebisan kain dan dikebumikan sama seperti mayat yang hadir. (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/171) Mengikut al-Khatib al-Syarbini, jika didapati anggota orang Islam yang diketahui dan disahkan kematiannya walaupun sekecil kuku atau rambut, maka hendaklah disolat selepas dimandikan sama seperti mayat yang hadir. Ini kerana pada hakikatnya ia adalah solat ke atas jenazah yang ghaib. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/518) Bagi mazhab Hanbali, jika mayat itu tidak dijumpai melainkan sebahagian anggotanya sahaja, maka ia hendaklah dimandi dan disembahyangkan. (Lihat al-Mughni, 2/209-210) Apabila jelas sesuatu anggota itu daripada mayat yang masih belum dikebumikan maka ia hendaklah dimandikan dan dikafankan bersama-samanya. Pendapat ini dinukilkan daripada Ibn Sirin tanpa sebarang khilaf padanya. Selain itu, isu ini juga dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Julai 2004 mengenai pembuangan dan pelupusan tisu-tisu manusia daripada pesakit. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut: Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit selepas meninggal dunia, organ-organ atau tisu-tisu itu hendaklah ditanam bersama-sama mayat dan lebih afdhal dengan diletakkan di dalam kain kafan. 3) Mana-mana pihak samada pihak hospital atau keluarga pesakit boleh menanam organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit setelah pihak hospital mengesahkan organ-organ atau tisu-tisu tersebut selamat untuk ditanam.   Pelupusan Janin Manusia Menurut mazhab Hanafi, jika janin itu keluar dalam keadaan mati, dan tiada sebarang tanda awal hidup, maka ia hendaklah dimandi, diberi nama, dibungkus dalam secebis kain dan dikebumikan tanpa solat. Namun, jika ia hidup seketika selepas dilahirkan, maka hendaklah diberi nama, dimandi, dan disembahyangkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna. (Lihat Rad al-Mukhtar ‘ala al-Dar al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, 1/501 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/122) Bagi mazhab Maliki pula, mereka berpandangan tidak dimandikan janin yang tiada sebarang tanda-tanda hidup seperti tangisan dan gerakan bayi yang tidak dikira sebagai tanda hidup. Menurut Ibn Syihab, tidak disembahyangkan ke atas janin, namun ia boleh dikebumikan bersama-sama ibunya. (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/255-256) Dalam mazhab Shafie, pelupusan janin manusia yang mengalami keguguran, ia terbahagi kepada dua keadaan: Tiada tangisan sewaktu kelahiran, jika kandungan yang tidak sampai tempoh empat bulan ke atas, maka ia tidak wajib dimandi, dikafan dan disolatkan. Namun, disunatkan ia dikafankan dengan kain dan dikebumikan tanpa solat; Terdapat tangisan sewaktu kelahiran atau diyakini ia hidup dengan sedikit gerakan atau seumpamanya, maka diwajibkan solat dan semua kewajipan yang lain. Tiada beza antaranya dengan orang dewasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/265) Mereka berhujahkan kepada hadis Nabi SAW: إِذَا اسْتَهَلَّ[5] الصبي صُلِّىَ عَلَيْهِ وَوَرِثَ Maksudnya: Apabila bayi itu menunjukkan tindak balas awal (tanda-tanda hidup) maka ia disolatkan dan mewarisi harta pusaka. Riwayat Ibn Majah (2750) Dalam mazhab Hanbali pula, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qudamah, jika janin telah mencapai usia empat bulan atau telah sempurna kejadiannya, maka ia dimandi dan disembahyangkan walaupun tiada sebarang tanda-tanda awal hidup serta disunatkan juga diberi nama padanya. (Lihat al-Furu’, 1/294) Isu seumpama ini pernah dikemukakan di Islamweb.net apabila salah sebuah hospital di Perancis telah membakar janin berusia tujuh bulan yang ditinggalkan oleh pasangan suami isteri muslim. Mereka berpandangan haram jika janin tersebut dibakar sebaliknya ia hendaklah dimandi dan disolatkan ke atasnya.[6] Pandangan para ulama seperti yang dinyatakan di atas boleh diringkaskan seperti berikut: BIL PERKARA KAEDAH PELUPUSAN 1. Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang Islam Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Hidup:      i.        Menurut jumhur fuqaha, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan juga disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut. Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Mati      i.        Menurut mazhab Hanafi dan Maliki, jika ditemui sebahagain besar daripada anggota jenazah, maka ia hendaklah dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan.     ii.        Bagi mazhab Shafie dan Hanbali, ia hendaklah dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan walaupun sebahagian kecil dijumpai anggota jenazah tersebut. 2. Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang bukan Islam Ia hendaklah ditanam atau dibakar mengikut ajaran agama mereka. 3 Pengurusan anggota dan tisu yang merbahayakan kesihatan dan mencemarkan alam sekitar      i.        Organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit sama ada daripada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam.     ii.        Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut.    iii.        Sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar kerana darurat. 4. Pengurusan janin orang Islam a.   Janin yang hidup seketika ketika dilahirkan      i.        Jika ia hidup seketika selepas dilahirkan, maka hendaklah diberi nama, dimandi, dan disembahyangkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna.     ii.        Dalam mazhab Shafie, jika terdapat tangisan sewaktu kelahiran atau diyakini ia hidup dengan sedikit gerakan atau seumpamanya, maka diwajibkan solat dan semua kewajipan yang lain. Tiada beza antaranya dengan orang dewasa. b.   Janin yang mati ketika dilahirkan      i.        Menurut mazhab Hanafi, jika janin itu keluar dalam keadaan mati, dan tiada sebarang tanda awal hidup, maka ia hendaklah dimandi, diberi nama, dibungkus dalam secebis kain dan dikebumikan tanpa solat.     ii.        Bagi mazhab Maliki pula, mereka berpandangan tidak dimandikan janin yang tiada sebarang tanda-tanda hidup seperti tangisan dan gerakan bayi tidak dikira sebagai tanda hidup. Menurut Ibn Syihab, tidak disembahyangkan ke atas janin, namun ia boleh dikebumikan bersama-sama ibunya.    iii.        Tiada tangisan sewaktu kelahiran, jika kandungan yang tidak sampai tempoh empat bulan ke atas, maka ia tidak wajib dimandi, dikafan dan disolatkan. Namun, disunatkan ia dikafankan dengan kain dan dikebumikan tanpa solat.   iv.        Dalam mazhab Hanbali pula, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qudamah, jika janin telah mencapai usia empat bulan atau telah sempurna kejadiannya, maka ia dimandi dan disembahyangkan walaupun tiada sebarang tanda-tanda awal hidup serta disunatkan juga diberi nama padanya. 5. Peraturan pengurusan pelupusan sedia ada      i.        Berdasarkan kepada amalan semasa, pihak konsesi akan melupuskan segala tisu, organ dan janin sama ada clinical waste atau chemical waste secara penunuan (incineration).     ii.        Berhubung dengan cadangan untuk menanam bahan yang mengandungi formalin dan bahan kimia lain (chemical waste), pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pernah berbincang hal tersebut dengan Jabatan Alam Sekitar, mereka mencadangkan agar bahan-bahan tersebut ditanam di kawasan-kawasan yang jauh lebih kurang 100 meter daripada punca air. Selain itu, dicadangkan juga agar tempat penanaman tersebut berdekatan dengan kubur yang sedia ada asalkan jauh dari punca air, kawasan perumahan, telaga dan empangan.     KESIMPULAN Berdasarkan kepada pandangan-pandangan ulama yang telah dibentangkan tadi, maka didapati dalam konteks pelupusan anggota dan tisu manusia yang masih lagi hidup, para fuqaha bersependapat bahawa anggota dan tisu tersebut hendaklah dilupuskan dengan cara menanamnya tanpa perlu dibasuh dan disembahyangkan. Ini bertujuan bagi memuliakan ciptaan Allah terhadap pemiliknya. Bagi anggota dan tisu manusia yang telah meninggal dunia, para fuqaha telah berbeza pandangan dalam melupuskannya. Menurut mazhab Hanafi dan Maliki, jika dijumpai sebahagian besar daripada jenazah, maka ia hendaklah diuruskan sebagaimana jenazah yang sempurna. Manakala jika dijumpai sebahagian daripadanya sahaja, maka ia tidak wajib dimandi dan disembahyangkan, hanya dikebumikan sahaja. Dalam mazhab Shafie dan Hanbali pula, mereka berpendapat jika dijumpai sebahagian daripada anggota badan jenazah, maka ia hendaklah dimandi dan disembahyangkan sebelum ditanam. Bagi kes janin yang mengalami keguguran pula, jumhur fuqaha bersependapat mengatakan janin perlu dimandi dan disolatkan jika terdapat tanda-tanda awal kehidupan seperti tangisan, gerakan dan seumpamanya. Manakala janin yang tidak memiliki tanda-tanda tersebut ia hanya perlu dikafan dan dikebumikan tanpa dimandi serta disembahyangkan. Namun, mazhab Shafie dan Hanbali telah menetapkan tempoh empat bulan kehamilan merupakan tempoh janin tersebut mula memiliki tanda-tanda awal kehidupan. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 21 Februari 2019 telah memutuskan hukum seperti di atas. Oleh itu, (incineration) yang diamalkan oleh hospital-hospital pada hari ini dalam melupuskan anggota, tisu dan janin orang Islam adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak melainkan dalam situasi darurat. Manakala bagi golongan bukan Islam pula, ia boleh dilupus secara tanam atau teknik penunuan berdasarkan ajaran agama mereka. Kami amat berharap agar jasad manusia perlu diberi penghormatan yang sewajarnya sekalipun anggota kecil. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik mengikut neraca Syariah. Amin.   Akhukum fillah, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 7 Mac 2019 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1440H   Nota Hujung: [1] Kertas Pengurusan Tisu Dari Pesakit Dan Jenazah Muslim oleh YBhg. Dato’ Dr. Zahari bin Noor. [2] http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/organ, dilawati pada 17 November 2015. [3] Anon, 2010, The New International Webster’s Pocket Medical Dictionary, United States: Typhoon Media Corporation, hlm 187. [4] http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/fetus, dilawati pada 17 November 2015. [5] Perkataan استهل bermaksud apa-apa permulaan awal bagi janin seperti tangisan, bersin atau gerakan yang diketahui sebagai tanda hidup. [6] https://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=FatwaCategory&CatId=1546, dilawati pada 6 November 2015.
3,320
Soalan: Assalamu’alaikum YBhg. S.S. Dato’ Dr Mufti, Saya ingin bertanya tentang status Hadith Nabi yang bermaksud :“Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai” Mohon YBhg. Dato’ Dr dapat menjelaskannya sama ada ianya adalah hadith sahih atau Hassan atau dhoif atau maudhu’.  Sekian, terima kasih.   Ringkasan Jawapan: Setelah merujuk kepada beberapa karya ulama seperti al-Mawdhuʻat oleh al-Saghani, maka status hadis tersebut adalah maudu’ (palsu). Namun begitu, kebenaran kandungannya tidaklah mensabitkan riwayat itu daripada Nabi SAW.   Huraian Jawapan: Waalaikumussalam, Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Berkenaan dengan persoalan yang diajukan maka lafaz asal teks seperti yang dimaksudkan adalah seperti berikut: الدُّنيا جِيفةٌ ، وطُلَّابُها كلابٌ Maksudnya: “Dunia itu ibarat bangkai dan golongan yang mengejarnya itu adalah anjing-anjing.” [1] (Rujuk Al-Maudhu’at, 1/38) Berdasarkan pencarian kami, riwayat ini tidak terdapat dalam kitab-kitab hadis yang muktabar serta di dalam sumber yang primer. Riwayat tersebut telah dimasukkan oleh Imam al-Saghani dalam karyanya al-Maudhuʻat. Al-‘Ajluniy juga menukilkan pandangan Al-Saghani, di mana beliau dengan perincian berikut: قال الصغاني موضوع، أقول وإن كان معناه صحيحا لكنه ليس بحديث Maksudnya: “Al-Saghani berkata ia adalah maudhu’. Aku menyatakan bahawa dari sudut makna ia adalah benar akan tetapi ia bukanlah hadis.” [2] (Rujuk Kasyf al-Khafa’: 1/409) Berdasarkan kenyataan di atas, al-‘Ajluniy mengatakan meskipun maknanya itu benar tetapi ia bukan hadis. Riwayat ini juga disebutkan oleh al-Suyuti dengan lafaz berikut: الدُّنْيَا جيفَةٌ، والنَّاسُ كِلاَبُهَا Maksudnya: “Dunia ibarat bangkai dan manusia adalah anjing-anjingnya.” [3] Kemudian, Abu Nu’aim dalam Hilyah menyebutkan daripada Yusuf bin Asbat berkata, Ali bin Abi Talib RA berkata: الدنيا جيفة، فمن أرادها فليصبر على مخالطة الكلاب Maksudnya: “Dunia itu adalah bangkai, maka sesiapa yang menginginkannya hendaklah ia bersabar dalam bercampur dengan anjing-anjing.” [4] (Rujuk Hilyah al-Auliya’: 8/238) Kesimpulan: Berdasarkan kenyataan dan fakta yang telah dinyatakan, status hadis tersebut adalah maudu’ sepertimana yang telah dinyatakan oleh al-Saghani. Namun begitu, kebenaran kandungannya tidaklah mensabitkan riwayat itu daripada Nabi SAW. Wallahua’lam.   Rujukan: [1] Al-Saghani, Radhiyuddin al-Hasan bin Muhammad bin al-Hasan bin Haidar al-‘Adwi al-‘Umari al-Qarsyi. 1405H. Al-Maudhu’at. Cetakan ke-2. Tahqiq: Najmu Abd Rahman Khalaf. Damsyik: Dar al-Ma’mun Li al-Turath. H38, no:36. [2] Al-Jarahi, Ismail bin Muhammad al-‘Ajluni. 1351H. Kasyf al-Khafa’ wa Mazil al-Ilbas ‘Amma Isytahara Min al-Ahadis ‘Ala Alsinah an-Nas. Kaherah: Maktanah Al-Qudsi. H409, no:1313. [3] Jalal al-Din al-Suyuti. t.t. al-Durrar al-Mutanathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah, ed. al-Riyad: ‘Umadah Syu’un al-Maktabat. j1: H119. [4] Abu Nuʻaim Ahmad bin Abdullah al-Asbahani. 1974. Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabiy. j8: H238.
3,323
Soalan: Seorang pesakit yang perlu mengambil sublingual medication, adakah boleh menyebabkan puasanya terbatal?   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Kemajuan di dalam bidang sains perubatan khususnya di dalam bidang farmasi  melalui hasil kajian dan eksperimen telah membawa  kaedah perubatan dan pengubatan ke tahap yang lebih tinggi dan terkini. Suka di sini untuk kami jelaskan secara ringkas mengenai subligual medication ini agar gambaran awal tentang kaedah pengubatan ini dapat difahami oleh masyarakat Islam dan kaitannya dalam hukum-hakam berkaitan dengan puasa.   Sublingual Medication Sublingual di dalam bahasa Latin membawa maksud ‘di bawah lidah’. Ianya merujuk kepada proses pengubatan bagi sesetengah penyakit di mana pil atau tablet diletakkan di bawah lidah dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat. Ianya berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut) kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut. Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas tidak seperti kaedah pengubatan secara oral. Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera. Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya: Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil) Steroids Sebahagian ubat Barbiturate Enzyme Vitamin Sesetengah ubat bagi masalah mental.   Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa? Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa. Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa. Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka. Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka.[1] Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas. Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong.[2] Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan: “Mengambil  ubat pil/tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka. Tetapi,  jika ianya ditelan, maka batallah puasanya”.[3] Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi.[4] Wallahu a’lam.   Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Kuwait City.   24 Jun 2016 bersamaan 18 Ramadhan 1437H   [1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e (2/181) [2] Lihat keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami nombor 93 (1/10) yang telah diputuskan pada muktamar kali ke-10 di Jeddah pada 28 Jun sehingga 3 Julai 1997 yang mana sebelum itu, kajian mengenai ‘Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Di Dalam Proses Perubatan’ telah dibentangkan di Maghribi pada 14-17 Jun 1997. [3] http://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103 [4] http://dar-alifta.org/AR/Default.aspx. Sila klik pada banner yang tertulis: بعض الأمور الطبية التي قد تفسد الصيام
3,326
Salah faham Terdapat segelintir masyarakat Islam yang berpendapat bahawa tidak mengapa jika berpegang dengan fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana, berpegang dengan fahaman selain Ahli Sunnah Wal-Jamaah, bukan bermakna keluar daripada agama Islam, tetapi ia sekadar fahaman yang berbeza dengan pegangan umat Islam majoriti. Justeru, tidak mengapa seseorang berpegang dengan fahaman Syiah atau Mu’tazilah atau Khawarij atau seumpama dengannya kerana ia bukan bermakna murtad daripada agama Islam. Adakah ini pendirian yang tepat?   Pencerahan Bagi menjawab isu ini, terlebih dahulu kita perlu memahami siapakah Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu. Pemahaman yang betul akan memimpin kita untuk mengetahui kedudukan sebenar Ahli Sunnah Wal-Jamaah di dalam Islam. Justeru, ia dapat memberikan gambaran dan kesimpulan yang tepat. Jika sebaliknya, seseorang akan gagal menempatkan kedudukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah pada tempatnya yang betul lalu terpedaya dengan idea-idea baharu yang ultra-inklusif sehingga terjebak dengan ajaran-ajaran yang pada hakikatnya merosakkan ketulinan agama ini.   Epistemologi Ahli Sunnah Wal-Jamaah Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.” Riwayat al-Baihaqi (20123) Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW: فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.” Riwayat al-Tirmizi (2676) Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadith yang menegah tiga orang al-sahаbah yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda: أَمَا والله إني لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ له لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.” Riwayat al-Bukhari (4776) Demikian juga hadith Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya: لا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.” Riwayat Ibn Hibban (3510) Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT: وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ  Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasyr: 7) Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda. Hadith yang paling masyhur adalah sabda Baginda: وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.” Riwayat Ibn Majah (3993) Berdasarkan hadith ini dan beberapa hadith lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian. Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadis menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam. Kedua, kumpulan para ulama mujtahid. Ketiga, para sahabat Rasulullah SAW. Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijmak atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua. Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Setelah menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Ini jelas menunjukkan bahawa perhimpunan ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud, “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397) Walau bagaimanapun, ungkapan Ibn Mas‘ud tersebut dalam konteks sekiranya majoriti umat Islam benar-benar telah rosak dan terkeluar daripada mengikuti manhaj generasi terdahulu yang masih kekal di atas kebenaran. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397) Hal ini mustahil berlaku apabila melibatkan kesepakatan para ulama mujtahid dalam kalangan umat Muhammad SAW seperti mana sabda Baginda, “Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan.” (Riwayat Ahmad: 27267) Hadis ini menjadi dalil ke atas keautoritian ijmak para ulama sebagai salah satu daripada sumber hukum yang muktabar di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamаah. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/408-410) Ini bermakna Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak menjadikan bilangan majoriti semata-mata sebagai hujah kebenaran sesuatu golongan. Ini kerana, Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak mengambil kira bilangan majoriti sekiranya ia bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dan tidak diwakili oleh para ulama mujtahid.     Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, dapat disimpulkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu secara umumnya adalah golongan yang bermanhaj seperti berikut: هم المتمسكون بسُنٌة النَّبِيِّ- صلى الله عليه وعلى آله وسلم- وأَصحابه ومَن تبعهم وسلكَ سبيلهم في الاعتقاد والقول والعمل، والذين استقاموا على الاتباع وجانبوا الابتداع، وهم باقون ظاهرون منصورون إِلى يوم القيامة فاتَباعُهم هُدى، وخِلافهم ضَلال     Maksudnya: “Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”. (Lihat al-Wajiz fi ‘Aqidah al-Salaf, hlm. 36)[1]    Penggunaan Terawal Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah Mengenai penggunaan terawal istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah, ia didapati telah wujud sejak zaman para sahabat. Ini terbukti menerusi tafsiran Ibn ‘Abbаs terhadap surah Аli ‘Imrаn ayat 106: يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri”. Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Syari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “muka (orang-orang) menjadi putih berseri”, adalah penganut Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. Penggunaannya juga semakin meluas pada zaman salafussoleh sebelum kemunculan Imam Ahmad bin Hanbal (w .241H) dan Imam Abu al-Hasan al-Ash‘arі (w. 324H). Antara para ulama salaf yang didapati telah pun menggunakan istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebelum kemunculan Abu al-Hasan al-Ash‘arі adalah Ayyub al-Sukhtiyаnі (w. 131H). Beliau pernah berkata, “Aku diberitahu mengenai kematian seorang lelaki dalam kalangan Ahl al-Sunnah, (saat itu) aku merasa seakan-akan kehilangan sebahagian anggota tubuhku.” (Lihat Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/59-60) Seorang lagi ulama salaf iaitu Sufyаn al-Thawrі (w. 161H) yang pernah dinukilkan perkataannya mengenai Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. Beliau berkata, “Berpesan-pesanlah dengan Ahl al-Sunnah dengan kebaikan, sesungguhnya mereka itu asing.” Di tempat lain beliau berkata, “Betapa sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 7/273) Al-Fudayl bin ‘Iyаd (w. 187H) turut menyebut mengenai golongan Ahli Sunnah Wal-Jamаah ketika membuat perbandingan dengan golongan Murji’ah dan Jahmiyyah. Beliau mengatakan, “Golongan Murji’ah berpendapat iman itu ialah perakuan dengan kata-kata tanpa amalan; Jahmiyyah pula berpendapat iman itu ialah makrifah tanpa perakuan dengan kata-kata dan amalan; manakala Ahl al-Sunnah pula mengatakan iman itu ialah makrifah, perakuan dengan kata-kata dan amalan.” (Lihat al-Sunnah, 1/306) Manakala Ahmad bin Hanbal (w. 241h) pula diriwayatkan pernah menegaskan bahawa, “Ini adalah mazhab ahli ilmu, aѕhаb al-аthаr dan Ahl al-Sunnah yang berpegang teguh kepada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya dan menjadi ikutan umat bermula daripada para al-sahаbah Nabi SAW hingga ke hari ini.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/204) Berdasarkan beberapa ungkapan golongan salaf berkenaan, dapat difahami bahawa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah telah sedia digunakan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini menunjukkan kewujudannya bukan disebabkan oleh perpecahan politik ataupun digagaskan oleh para ulama terkemudian, namun ia pada hakikatnya merupakan suatu manhaj yang berasal-usul daripada Rasulullah SAW sendiri.   Amaran Syarak Terhadap Golongan yang Tidak Berpegang kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah Terdapat banyak nas syarak yang menunjukkan amaran agar umat Islam tidak keluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Nas-nas tersebut datang dalam bentuk sama ada merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Antaranya firman Allah SWT: وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ  Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-An’am: 153) Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365) Di tempat lain, Allah SWT menjelaskan dengan lebih terang dan nyata mengenai keadaan golongan sesat yang tidak berpegang dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di akhirat kelak. Firman-Nya: يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ  Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu". (Surah Ali ‘Imran: 106) Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Shari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya” adalah pengikut hawa nafsu, bid’ah dan sesat. Demikian juga, hadith al-Hawd yang menunjukkan kedudukan golongan yang sesat di akhirat kelak. Antaranya riwayat Sayyidah ‘А’ishah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: إني على الْحَوْضِ أَنْتَظِرُ من يَرِدُ عَلَيَّ مِنْكُمْ فَوَاللَّهِ لَيُقْتَطَعَنَّ دُونِي رِجَالٌ فَلَأَقُولَنَّ أَيْ رَبِّ مِنِّي وَمِنْ أُمَّتِي فيقول إِنَّكَ لَا تَدْرِي ما عَمِلُوا بَعْدَكَ ما زَالُوا يَرْجِعُونَ على أَعْقَابِهِمْ Maksudnya: “Aku akan menunggu sesiapa di antara kalian yang akan dibawa kepadaku di al-Hawd. Demi Allah, pasti akan mereka akan ditarik pantas daripadaku, maka aku akan berkata: Wahai Rabb, mereka adalah daripadaku. Maka dijawab: Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan selepas engkau meninggalkan mereka. Mereka berterusan berundur ke belakang (menjadi kafir-murtad).” Riwayat Muslim (2294) Sebahagian ulama mengatakan mereka yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah ahli maksiat, pelaku dosa besar dan ahli bid’ah yang tidak mengkufurkan yang meninggal dunia dalam keadaan Islam. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64) Al-Nawawi menukilkan keterangan daripada Ibn ‘Abd al-Barr bahawa setiap orang yang melakukan bid’ah dalam agama akan diharamkan daripada al-Hawd seperti Khawarij, Rawafidh (Syiah) dan kumpulan bid’ah lain. Begitu juga para penzalim yang melampau dalam melakukan kezaliman dan menentang kebenaran. Mereka berkemungkinan termasuk dalam kalangan yang dimaksudkan dalam hadis al-Hawd tersebut. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64)         Pendirian Terhadap Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah Pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jammah adalah berbeza-beza mengikut keadaan mereka. Ini kerana, terdapat dalam kalangan mereka itu yang melakukan bid’ah yang mengkufurkan dan ada pula bid’ah yang tidak sampai ke tahap mengkufurkan. Demikian juga keadaan pelaku bid’ah itu sendiri, sama ada mereka bertindak menyebarkan atau tidak menyebarkan. Namun demikian, secara ringkasnya pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap mereka dapat dicontohkan seperti berikut: Al-Buwaiti mengatakan, aku bertanya kepada Imam al-Syafie, “Adakah harus aku solat di belakang seorang Rafidhi (Syiah)? Beliau menjawab: Jangan kamu solat di belakang seorang Rafidhi, tidak juga Qadari, tidak juga Murji’. Aku berkata: Sifatkan mereka itu kepada kami. Beliau menjawab: Sesiapa yang mengatakan iman itu dengan perkataan (sahaja) maka ia adalah Murji’. Sesiapa yang mengatakan bahawa Abu Bakar dan Umar kedua-duanya bukan imam maka ia Rafidhi. Dan sesiapa yang menjadikan kehendak (masyi’ah) kembali kepada dirinya sendiri maka ia Qadari.” (Lihat Manaqib al-Syafi’ie, 1/433) Al-Syaukani berkata, “Dan kadang-kadang kebinasaan mengikut hawa nafsu golongan bid’ah lebih bahaya ke atas agama ini (Islam) berbanding mengikut hawa nafsu agama lain. Ini kerana golongan bid’ah mereka bersandar kepada Islam, menzahirkan kepada manusia bahawa mereka memenangkan agama dan mengikutinya dgn baik. Padahal mereka adalah sebaliknya dan bertentangan dengan apa yang sebenarnya, mereka berterusan membawa orang yang cenderung kepada hawa nafsu mereka daripada satu bid’ah ke satu bid’ah, mendorongnya dari satu penyelewengan ke satu penyelewengan, sehingga mengeluarkannya daripada agama, sedangkan dia menyangka bahawa dia berada dalam kebenaran dan jalan yang dilaluinya adalah jalan yg lurus..” (Lihat Fath al-Qadir, 1/154) Berkata Abu ‘Ali al-Mufadhdhal al-Bajali, “Aku telah menemui Imam Ahmad bin Hanbal, lalu telah datang kepadanya pesuruh khalifah bertanya tentang hukum meminta bantuan dengan golongan bid’ah. Imam Ahmad menjawab: Tidak boleh meminta pertolongan mereka. Lalu ditanya: Boleh minta pertolongan Yahudi dan Nasrani, tapi tidak boleh meminta pertolongan mereka (ahli bid’ah)? Jawab Imam Ahmad: Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak menyeru kepada agama mereka, sedangkan golongan bid’ah menyeru (kepada ajaran mereka)..” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 1/275) Al-Lalaka’i menukilkan bahawa Abu al-Jauza’ berkata, “Sungguh kera dan khinzir berjiran denganku lebih aku sukai daripada aku berjiran dengan salah seorang daripada mereka – ahli bid’ah.” (Lihat Syarh Usul al-I’tiqad, 1/131) Sufyan al-Thauri berkata, “Bid’ah lebih disukai oleh iblis berbanding maksiat kerana maksiat akan dipohon taubat daripadanya sedangkan bid’ah tidak dipohon taubat daripadanya (kerana pelakunya menyangkakan ia benar)”. (Lihat Musnad Ibn al-Ja’d, 272) Al-Baghawi mengatakan, “Dan telah sekian lama para sahabat, tabi’in, pengikut mereka dan para ulama hadith atas (hal) ini iaitu berijmak dan bersepakat akan permusuhan dan pemulauan terhadap ahli bid’ah.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 1/227) Imam al-Tahawi selepas menjelaskan sejumlah iktikad yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menegaskan bahawa seorang muslim wajib berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang ajaran yang menyeleweng daripada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Beliau menyatakan, “Maka ini merupakan agama kami, aqidah kami secara zahir dan batinnya dan kami berlepas diri kepada Allah Ta’ala daripada setiap orang yang menyalahi apa yang kami sebutkan dan jelaskan. Kami memohon kepada Allah agar menetapkan kita di atas iman, menutup (hayat) kita dengannya, memelihara kita daripada hawa nafsu yang pelbagai, pemikiran yang bermacam-macam, mazhab-mazhab yang rosak daripada kalangan mereka yang menyalahi Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bersekutu dengan kesesatan. Kami berlepas diri daripada mereka dan mereka di sisi kami adalah sesat dan rosak.” (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 418) Kata al-Syatibi, “Sesungguhnya kumpulan yang terselamat, mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Mereka diperintahkan agar memusuhi ahli bid’ah, mengekang mereka, dan mencegah sesiapa yang mengikuti mereka. Dan kita diperintahkan supaya memusuhi mereka manakala mereka pula diperintah untuk mengikuti kita dan kembali kepada jamaah.” (Lihat al-I’tisam, 1/120) Al-Juwaini menjelaskan bagaimana keadaan apabila golongan bid’ah itu semakin berleluasa. Beliau mengatakan, “Maka imam (pemerintah) hendaklah menyeru mereka kepada kebenaran, jika mereka ingkar hendaklah diberikan amaran keras dan menegah mereka daripada menzahirkan kebid’ahannya. Jika mereka berdegil, hendaklah tindakan tegas diambil ketika mereka menolak ketaatan. Lalu memerangi mereka atas dasar penderhaka (bughah). Ini berlaku kepada setiap kumpulan yang menyandarkan diri kepada orang Islam, apabila keluar daripada mentaati (pemerintah). (Lihat Ghiyath al-Umam, 215) Berdasarkan penjelasan al-Juwaini, ia memberi makna bahawa tindakan pemerintah ke atas rakyatnya adalah tertakluk kepada maslahah. Apabila pemerintah mengharamkan sesuatu ajaran sesat atau bid’ah, ia bukan bertujuan untuk menyekat hak asasi rakyat tetapi demi memelihara kemaslahatan ummah yang pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam isu pengharaman buku golongan bid’ah, beliau mengatakan, “Bahawa buku-buku sebegini yang berisi dengan pembohongan dan bid'ah, maka hendaklah dimusnahkan dan dihapuskan. Ia lebih utama daripada menghapuskan alat hiburan, alat muzik dan bekas arak. Sesungguhnya bahayanya (buku-buku tersebut) lebih besar daripada bahaya semua ini...” (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar'iyyah, 714) Al-Ghazali ketika membahaskan berkenaan puak Syiah menjelaskan golongan sesat itu terbahagi kepada dua status. Status pertama adalah mereka yang dihukumkan sebagai salah, sesat dan bid’ah. Seperti seseorang yang beriktikad bahawa imam itu wajib dalam kalangan Ahl al-Bayt. Orang yang berhak pada zaman terawal dahulu selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah ‘Ali namun haknya dirampas oleh Abu Bakar. Imam juga dikatakan maksum daripada sebarang kesalahan dan kesilapan. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak mengkafir dan menghalalkan darah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun menganggap Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu sebagai penderhaka (bughah) kerana tersilap sehingga gagal menemui kebenaran. Orang sebegini tidak dihukumkan ia kafir, tetapi ia dihukumkan sebagai sesat dan ahli bid’ah. Pemerintah perlu mengambil tindakan tegas terhadap kesesatan dan kebid’ahannya menurut cara yang difikirkan wajar. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 146-147) Manakala status yang kedua pula adalah pendapat-pendapat yang mewajibkan kekufuran. Ini kerana di samping iktikad-iktikad (Syiah) yang dipegang itu, mereka turut berpendapat bahawa golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu kafir, harta benda dan darah mereka adalah halal. Pegangan sebegini mewajibkan kekufuran kerana mereka mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu beriktikad bahawa alam ini ada pencipta yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Berkata-kata, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Hidup dan Dia tidak sama dengan suatu apapun, dan bahawa Muhammad bin Abdullah itu Rasulullah, membenarkan apa jua yang disampaikan Baginda seperti hari kebangkitan, syurga dan neraka. Semua iktikad ini menjadi penilaian terhadap kesahihan agama, maka sesiapa yang menyangka iktikad sebegini adalah kekufuran maka ia kufur tanpa syak lagi. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 151)   Kedudukan Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia Dalam konteks di Malaysia, golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah dihukumkan sebagai sesat. Ini sebagaimana takrifan ajaran sesat yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti berikut: “Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu hadis sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, 57) Sebagai contoh, dalam kes menangani penyebaran Syiah di Malaysia, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 di Pulau Pinang telah memutuskan bahawa: Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak; Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Isam” seperti berikut:       “Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak” Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang; Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja; Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan. Penetapan fatwa ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama. Dalam konteks sebuah negara, sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sini, pihak berkuasa agama kerajaan Islam berperanan menjalankan prinsip hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya (pemeliharaan agama dan pembangunan duniawi) berteraskan siyasah syar’iyyah. Menurut Ibnu ‘Aqil; siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu. (Lihat ‘Ilam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 6/26)   Kesimpulan Berdasarkan perbahasan di atas, kami dapat simpulkan bahawa menganuti pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak. Ini kerana, ia adalah satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Sekalipun para ulama tidak mengatakan ajaran bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam secara mutlak, namun ia tidak bermakna syarak membenarkan ajaran tersebut harus untuk dianuti. Pada hakikatnya ia sama dengan perkara-perkara maksiat seperti berzina, minum arak, berjudi dan seumpamanya yang tetap dihukumkan haram walaupun semata-mata melakukannya tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Demikian juga dalam soal kesesatan aqidah, bahkan kemudaratannya jauh lebih besar berbanding kemaksiatan kerana ia menyentuh iktikad dan keyakinan seseorang. Ini disebabkan kegelinciran aqidah itu sering menyentuh isu-isu yang amat serius dan sensitif melibatkan hal ketuhanan, kenabian, keghaiban dan keautoritian sumber ilmu. Oleh itu, kepincangan dalam beraqidah berisiko mendekatkan seseorang ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Selain ia berupaya mencetuskan pelbagai implikasi lain seperti fanatisme, ekstremisme, terrorisme, liberalisme, kafir mengkafir, perpecahan dan adakalanya membawa kepada peperangan. Justeru, kami menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar terus berpegang teguh dan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Moga ia akan menyelamatkan kita bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat jua. Kami akhiri dengan doa: اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.   Nota Hujung: [1] Dari sudut  madaris fikriyyah dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia terbahagi kepada tiga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Safarini. Al-Athariyyah, imam mereka adalah Ahmad bin Hanbal, al-Asy'ariyah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari dan al-Maturidiyah, imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 73)
3,328
Soalan: Apakah maksud tashif di dalam ilmu hadith?   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ‘ulum al-Hadith. Tashif adalah salah satu jenis atau bahagian hadith yang melibatkan sanad sesebuah hadith sama ada ia bersambung ataupun tidak. Dengan cara ini, para ulama’ akan mengeluarkan hukum sama ada hadith itu boleh diterima ataupun ditolak.   Definisi hadith Tashif (تصحيف) Tashif ialah perubahan yang berlaku pada huruf-huruf (sama ada di dalam sanad atau matan) seperti tertukarnya huruf dengan huruf yang lain atau titik. Ini merupakan definisi yang diberikan Dr. Mustafa al-Bugha di dalam kitabnya. [Lihat: Buhuth fi ‘Ulum al-Hadith wa Nususuhu, 180] Antara contoh tashif yang berlaku seperti yang disebutkan oleh Dr. Nuruddin ‘Itr adalah apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah daripada tulisan Musa bin ‘Uqbah kepadanya dengan sanad daripada Zaid bin Thabit RA:   أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ فِي الْمَسْجِدِ Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW telah berbekam di masjid.” [Riwayat Ahmad (21608)]   Telah berlaku tashif di dalam teks hadith ini, di mana Ibn Lahi’ah telah tersilap dalam meriwayatkan hadith ini dari tulisan Musa bin ‘Uqbah kerana dia hanya mengambil hadith ini daripada kitab tersebut dan bukannya dengan cara mendengarnya. [Lihat: Lamhat Mujazah fi Usul ‘Ilal al-Hadith, 68] Tashif yang dimaksudkan di dalam teks hadith ini adalah Ibn Lahi’ah telah tertukar satu huruf pada hujung kalimah “احْتَجَم”. Riwayat yang tepat adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi bahawa: Daripada Zaid bin Thabit RA berkata:   احْتَجَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَيْرَةً بِخَصَفَةٍ Maksudnya: “Rasulullah SAW telah membuat satu ruangan yang kecil dengan dibatasi dengan sehelai kain atau tikar di masjid.” [Riwayat al-Bukhari (781)]   Melihat kepada kedua teks hadith ini, jelas menunjukkan bahawa Ibn Lahi’ah telah melakukan tashif apabila terdapat kesilapan pada huruf yang terakhir iaitu tertukarnya di antara huruf mim dan ra’. Hal ini juga diperakui oleh al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) bahawa ini adalah tashif tanpa diragukan lagi. [Lihat: al-Itraf, 2/384] Riwayat yang sahih adalah sepertimana yang terdapat di dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz “احتجر.” Perkara ini telah menyebabkan berubahnya makna atau maksud sebenar hadith.   Penutup Kesimpulannya, kebiasaanya tashif ini berlaku disebabkan kurangnya sifat dhabt (ضبط) pada perawi iaitu seseorang yang kuat dan sempurna hafazannya, selamat daripada melakukan kesalahan serta berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya pada bila–bila masa yang dikehendaki apabila meriwayatkan seseuatu hadith. Selain itu, sifat dhabt ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu daripada syarat hadith Sahih.. Sifat Dhabt ini terbahagi kepada dua iaitu Dhabt Shodri (hafalan) dan Dhabt Kitabi (tulisan). Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.   Wallahua’lam
3,331
SOALAN Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah stokin kain digunakan sebagai khuf kerana saya ada melihat pelajar-pelajar luar negara hanya menyapu padanya sahaja? Adakah ia dibolehkan atau perlu ditegur? Mohon pencerahan. Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Kesimpulannya, jika stokin yang dimaksudkan ialah stokin kain yang biasa digunakan oleh masyarakat kita di Malaysia hari ini, maka ia tidak memenuhi syarat al-jawrab (sarung kaki) di sisi jumhur ulama’ yang mensyaratkan beberapa syarat, antaranya mestilah kuat, diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tidak rosak), tidak menyerap air dan sebagainya seperti yang disebut di dalam kitab-kitab turath. Oleh itu, pandangan yang sahih bagi mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat tersebut, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk. Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza di dalam perkara ini khususnya mazhab Hanbali dan beberapa ulama’ kontemporari. Mereka mengharuskan menyapu sarung kaki atau stokin secara mutlak sama ada ia nipis, tidak kuat, tidak menghalang air dan sebagainya. Oleh sebab ia merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama’, justeru jika dilihat ada sesetengah orang melakukannya, maka tidak perlu untuk menegur atau menghalangnya daripada bertaqlid kepada pendapat yang mengharuskannya. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan: لا ينكر المختلف فيه إنما ينكر المجمع عليه Maksudnya: Tidak perlu diingkar atau ditegur perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan ditegur ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’ (tentang keharamannya). Di samping itu, jika kita sebagai masyarakat Malaysia ingin beramal dengan menyapu khuf atau stokin ini, hendaklah kita meraikan uruf dan pengamalan yang ada di Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie dan tidak melakukannya sewenang-wenangnya serta bagi mengelakkan fitnah di mata awam. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang itu bermudah-mudah mengambil pendapat yang lebih mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak. WaAllahu a’lam.   HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali, iaitu tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. Perbuatan memakai khuf ini ialah satu sunnah Rasulullah SAW dan rukhsah kepada umat Baginda SAW bagi menggantikan membasuh kaki dalam berwuduk. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, beliau berkata: كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا Maksudnya: Aku pernah bermusafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, lalu Baginda SAW bersabda: Biarkan kedua-duanya, sesungguhnya aku memakainya dalam keadaan suci. Lalu Baginda SAW menyapu bahagian atas kedua-duanya. Riwayat al-Bukhari (203) dan Muslim (274) Imam Badruddin al-Aini di dalam ‘Umdah al-Qari berkata, hadith ini menunjukkan tentang keharusan memakai khuf dan penjelasan mengenai pensyari’atannya. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:102) Kami telah memperincikan tentang hukum dan cara pemakaian khuf dalam artikel yang lain, sila rujuk Irsyad al-Fatwa Siri ke-222 : Hukum Memakai Kasut Dengan Niat Memakai Khuf dan Irsyad al-Fatwa 239 : Tempoh Bermula Sapu Khuf. Manakala stokin pula di dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-syarab (الشراب) atau al-jaurab (الجورب). Imam al-Zabidi di dalam kitabnya Taj al-Arus memberikan definisi al-jaurab seperti berikut: الجورب: غشاءان للقدم من صوف يُتخذ للدفء Maksudnya: Al-Jaurab ialah dua sarung penutup bagi kaki yang diperbuat daripada benang-benang kain yang dipakai untuk tujuan memanaskan. (Rujuk Taj al-‘Arus Min Jawahir al-Qomus, 2:156) Oleh itu, perbezaan yang utama antara kedua-duanya (khuf dan stokin) ialah khuf biasanya diperbuat daripada kulit, manakala stokin diperbuat daripada selain daripada kulit, kebiasaan daripada benang-benang kain. Bagi permasalahan ini, pendapat yang sahih mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin jika tidak tahan lasak dan tidak boleh digunakan untuk berjalan. Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkata: وَالصَّحِيحُ بَلْ الصَّوَابُ مَا ذَكَرَهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْقَفَّالُ وَجَمَاعَاتٌ مِنْ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ إنْ أَمْكَنَ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ جَازَ كَيْفَ كَانَ وَإِلَّا فَلَا Maksudnya: Pendapat yang sahih bahkan yang benar ialah apa yang disebut oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qaffal dan beberapa kumpulan daripada muhaqqiqin bahawa jika sekiranya boleh digunakan untuk berjalan, maka ia diharuskan walaupun bagaimana keadaannya, jika tidak boleh digunakan untuk berjalan, maka tidak diharuskan. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:499) Namun begitu, para ulama’ berbeza pandangan berkaitan hukum menyapu di atas stokin yang dijadikan sebagai khuf. Jumhur ulama’ berpandangan bahawa ia tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas khuf. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam al-Mughni: وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمُجَاهِدٌ، وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ مُسْلِمٍ، وَالشَّافِعِيُّ: لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا، إلَّا أَنْ يُنْعَلَا؛ لِأَنَّهُمَا لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِمَا، فَلَمْ يَجُزْ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا Maksudnya: Abu Hanifah, Malik, al-Awza’ie, Mujahid, Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim dan al-Syafie berpandangan bahawa, tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya (al-jawrab) kecuali jika dipakai selipar kerana kedua-dua tidak boleh digunakan untuk berjalan. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk menyapu ke atas kedua-duanya. (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 1:215) Bagi ulama’ yang membenarkan menyapu di atas stokin seperti mazhab Hanbali, mereka bersandarkan kepada hadith daripada al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, bahawa beliau berkata: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَلَيه وآله وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas dua al-jaurab (sarung kaki) dan kasut Baginda SAW. Riwayat al-Tirmidzi (99), Abu Daud (159) Bagi pandangan mazhab al-Hanbali, diharuskan untuk menyapu al-jaurab (sarung kaki) yang digunakan sebagai khuf dengan bersandarkan hadith di atas. Imam al-Bahuti al-Hanbali di dalam kitabnya, Kasysyaf al-Qina’ berkata: وَلِأَنَّهُ قَوْلُ مَنْ ذَكَرَ مِنْ الصَّحَابَةِ وَلَمْ يُعْرَفْ لَهُمْ مُخَالِفٌ مِنْ الصَّحَابَةِ وَالْجَوَارِبُ فِي مَعْنَى الْخُفِّ؛ لِأَنَّهُ سَاتِرٌ لِمَحَلِّ الْفَرْضِ، يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِ أَشْبَهَ الْخُفَّ Maksudnya: Ini kerana ia merupakan pandangan daripada para Sahabat yang disebut (sembilan sahabat yang diriwayatkan menyapu di atas al-jaurab) [1] dan tidak diketahui seorang pun yang mengingkarinya dalam kalangan para Sahabat sendiri. Maka, al-jaurab sama maknanya dengan khuf kerana ia menutup bahagian kaki yang wajib dibasuh dan boleh digunakan untuk berjalan (tidak koyak atau rosak), justeru ia menyerupai khuf. (Rujuk Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, 1:111) Namun, hendaklah difahami bahawa maksud al-jaurab di sini berbeza dengan stokin yang biasa digunakan oleh masyarakat kita sekarang. Ini kerana sifat al-jaurab disebutkan di dalam teks di atas meletakkan syarat yang hampir serupa dengan khuf, seperti tahan lasak yang boleh digunakan untuk berjalan dan sebagainya. Jika diperhatikan sifat ini tidak ada pada stokin yang biasa digunakan kerana tidak boleh digunakan untuk berjalan serta mudah koyak dan rosak. Manakala, Imam al-Nawawi dalam memberikan takwil bagi pandangan mazhab al-Syafie terhadap hadith tersebut berkata: وَاحْتَجَّ أَصْحَابُنَا بِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ فَلَمْ يَجُزْ كَالْخِرْقَةِ: وَالْجَوَابُ عَنْ حَدِيثِ الْمُغِيرَةِ مِنْ أَوْجُهٍ أَحَدُهَا أَنَّهُ ضَعِيفٌ ضَعَّفَهُ الْحُفَّاظُ وَقَدْ ضَعَّفَهُ الْبَيْهَقِيُّ وَنُقِلَ تَضْعِيفُهُ عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ مَهْدِيٍّ وَأَحْمَدَ ابن حَنْبَلٍ وَعَلِيِّ بْنِ الْمَدِينِيِّ وَيَحْيَى بْنِ مَعِينٍ وَمُسْلِمِ بْنِ الْحَجَّاجِ وَهَؤُلَاءِ هُمْ أَعْلَامُ أَئِمَّةِ الْحَدِيثِ وَإِنْ كَانَ التِّرْمِذِيُّ قَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ فهوءلاء مقدمون عليه بل كل واحد من هوءلاء لَوْ انْفَرَدَ قُدِّمَ عَلَى التِّرْمِذِيِّ بِاتِّفَاقِ أَهْلِ الْمَعْرِفَةِ Maksudnya: Para ulama’ mazhab kita (al-Syafie) berhujah bahawa sarung kaki yang tidak boleh digunakan untuk berjalan maka tidak dibolehkan, sama hukumnya seperti khuf yang koyak. Manakala jawapan kepada hadith al-Mughirah RA dijawab dengan beberapa sudut: Pertama, hadith tersebut dhaif dan didhaifkan oleh para huffaz, antaranya Imam al-Baihaqi, dinukilkan tentang pendhaifannya juga daripada Sufyan al-Tauri, Abd al-Rahman Ibn Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Ma’in dan Muslim Ibn Hajjaj. Mereka semua itu tokoh ilmu Hadith walaupun Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith tersebut hasan, namun begitu mereka lebih diutamakan, bahkan jika salah seorang daripada mereka berpandangan sedemikian maka diutamakan di atas Imam al-Tirmidzi di sisi ulama’. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:500) Manakala, bagi ulama al-Syafi’iyyah yang mengharuskan untuk menyapu khuf pula, mereka membenarkannya dengan beberapa syarat. Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin berkata bahawa: وشرطه أن يلبس بعد كمال طهر ساترا محل فرضه طاهرا يمكن تباع المشي فيه لتردد مسافر لحاجاته قيل: وحلالا ولا يجزىء منسوج لا يمنع ماء في الأصح Maksudnya: Syaratnya (khuf atau sarung kaki) hendaklah dipakai selepas sempurnanya wuduk, hendaklah ia menutup semua tempat (kaki) yang wajib di basuh, tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan dengan berulang-alik bagi seorang musafir bagi menunaikan keperluannya. Menurut pendapat yang lemah, hendaklah yang halal (bukan dicuri). Dan tidak sah jika sekiranya diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air menurut pendapat yang paling sahih. (Rujuk Minhaj al-Tolibin: 14) Oleh itu dapat disimpulkan bahawa syarat sarung kaki yang boleh dijadikan sebagai khuf bagi mazhab al-Syafie ialah seperti berikut: Ia dipakai dalam keadaan sempurna bersuci dan mengambil wuduk sehingga membasuh kaki. Hendaklah menutup bahagian yang wajib dibasuh ketika wuduk, iaitu menutupi kaki sehingga ke atas buku lali. Ia hendaklah diperbuat daripada bahan yang halal dan bersih daripada najis, serta bukan dicuri. Ia hendaklah tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan tanpa koyak atau rosak. Ia hendaklah tidak menyerap air tersebut dan menghalangnya daripada terkena kulit kaki. Adapun begitu, terdapat juga sebahagian pandangan mazhab dan beberapa ulama’ kontemporari lain yang mengharuskannya secara mutlak tanpa beberapa syarat-syarat yang disebutkan di atas. Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir Shaykh Ali Jum’ah di dalam fatwanya di web Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan pandangan tentang perkara ini dengan berkata: يجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشراب- إذا كان مجلدًا يمكن تتابع المشي عليه وكان قد لُبِسَ على طهارة، والأصل في جواز المسح حديث الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم مَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ" رواه أحمد وأبو داود والترمذي وصححه. وقيَّد الجمهورُ الإطلاقَ الوارد في الحديث الشريف في الجورب بأحاديث المسح على الخُفِّ؛ فاشترطوا في الجورب شروط الخُفِّ. ولكن بعض العلماء -كبعض الحنابلة، وكالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين- أخذوا بظاهر النص وأجازوا المسح على الجورب مطلقًا: رقيقًا وسميكًا، ساترًا ومخرقًا. وعليه: فالمسح على الجورب الشفاف ممنوعٌ عند الجمهور، جائزٌ عند قليل من العلماء. ومما ذكر يعلم الجواب. والله سبحانه وتعالى أعلم. Maksudnya: Harus hukumnya di sisi jumhur ulama’ perbuatan menyapu di atas sarung kaki (stokin) jika sekiranya diperbuat daripada kulit, tahan lasak untuk digunakan untuk berjalan dan dipakai ketika dalam keadaan suci. Dalil keharusan berdasarkan kepada hadith al-Mughirah Ibn Syu’bah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidzi, beliau (al-Tirmidzi) mengatakan hadith ini sahih. Jumhur ulama’ mengikat keumuman hadith itu dengan hadith yang sama diriwayatkan berkenaan khuf, maka mereka mensyaratkan pada stokin dengan syarat yang sama dengan khuf juga. Namun begitu sebahagian ulama’ seperti sebahagian ulama’ mazhab Hanbali, dan seperti al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama’ mutaakhirin mengambil hadith tersebut secara literal dan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stokin secara mutlak: sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Oleh itu, berdasarkan perbahasan di atas, maka hukum menyapu stokin yang nipis adalah dilarang oleh jumhur ulama’, dan harus di sisi segelintir ulama’. Justeru daripada apa yang telah dibincangkan maka difahami jawapannya. Waallahu a’lam. [2] Hal ini sama juga sepertimana yang diputuskan oleh Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwa yang lain dengan memberikan kenyataan berikut: وبناءً على ذلك: فيجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشَّراب- بشرط: أن يكون مجلدًا، يمكن تتابع المشي فيه، وأن يكون ساترًا للقدمين كاملتين؛ أي: يغطي الكعبين، وأن يكون طاهرًا في نفسه، وأن يكون قد لُبِسَ على طهارة. ومن الفقهاء من ذهب إلى جواز المسح على الجورب مطلقًا حتى لو كان خفيفًا؛ كابن حزم الظاهري وابن تيمية، ومن القواعد المقررة أنه "لا إنكار في مختلفٍ فيه"، فمن كان في حاجةٍ ولا يجد إلا أن يمسح على الجورب (الشَّرَاب) الخفيف فلا حرج عليه ناويًا تقليد من أجاز من الفقهاء. Maksudnya: Berdasarkan perbincangan di atas, maka harus hukumnya untuk menyapu di atas stokin di sisi jumhur ulama’ dengan beberapa syarat: iaitu hendaklah diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tanpa koyak), hendaklah menutup kedua-dua kaki secara sempurna iaitu dengan menutup dua buku lali, hendaklah ia bersih (daripada najis), hendaklah dipakai dalam keadaan sempurna bersuci. Namun sebahagian fuqaha’ berpandangan harus hukumnya secara mutlak walaupun jika stokin itu nipis, seperti pandangan Ibn Hazm dan Ibn Taimiyah. Kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa ‘tidak boleh diingkar pada perkara yang ada khilaf’, justeru itu sesiapa yang berada dalam keadaan yang memerlukan untuk dia menyapu di atas stokin yang nipis, maka tiada masalah dengan dia berniat untuk bertaqlid kepada pandangan yang mengharuskannya. [3] Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan Manakala, Dar al-Ifta’ Jordan mengeluarkan fatwa dalam hal ini dengan memutuskannya seperti berikut: والخلاصة: أن الجوارب غير الشفافة التي يلبسها الناس اليوم يجوز المسح عليها في مذهب الحنابلة، وفي قول عند الشافعية يقابل "الأصح". والله أعلم Maksudnya: Kesimpulannya: stokin yang tidak nipis sehingga menampakkan kaki, dari jenis yang biasa dipakai oleh orang ramai pada hari ini, harus untuk menyapu di atasnya di sisi mazhab Hanbali dan pada pandangan muqabil asoh (tidak muktamad) dalam mazhab al-Syafie. [4] Pandangan Shaykh Yusuf al-Qardhawi Shaykh Yusuf al-Qardhawi di dalam Fatawa Mu’asoroh-nya pula tidak mensyaratkan apa-apa untuk menyapu pada stokin kecuali satu syarat sahaja iaitu hendaklah ia dipakai selepas sempurna bersuci dan berwuduk. (Rujuk Fatawa Mu’asoroh, 1:178) Kesimpulan Kesimpulannya, jika stokin yang dimaksudkan ialah stokin kain yang biasa digunakan oleh masyarakat kita di Malaysia hari ini, maka ia tidak memenuhi syarat al-jawrab (sarung kaki) di sisi jumhur ulama’ yang mensyaratkan beberapa syarat, antaranya mestilah kuat, diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan, tidak menyerap air dan sebagainya. Oleh itu, pandangan yang sahih bagi mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat tersebut, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk. Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza di dalam perkara ini khususnya mazhab Hanbali dan beberapa ulama’ kontemporari. Mereka mengharuskan menyapu sarung kaki atau stokin secara mutlak sama ada ia nipis, tidak kuat, tidak menghalang air dan sebagainya, hanya dengan syarat memakainya dalam keadaan suci sahaja. Oleh sebab ia merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama’, justeru jika dilihat ada sesetengah orang melakukannya, maka tidak perlu untuk menegur atau menghalangnya daripada bertaqlid kepada pendapat yang mengharuskannya tanpa syarat tersebut. Fatwa Dar al-Ifta’ Libya Hal ini sepertimana disebutkan di dalam fatwa Dar al-Ifta’ Libya bahawa: فالمسح على الجورب من مسائل الخلاف، ومسائل الخلاف لا يجوز فيها الإنكار على المخالف، فمن أخذ بقول من يقول بالمسح صحت صلاته، ولا يجوز لمن يخالفه أن ينكر عليه، ويقول له صلاتك باطلة Maksudnya: Perbahasan menyapu pada stokin ialah daripada perkara khilaf. Perkara khilaf tidak patut untuk diingkarkan atau ditegur kepada sesiapa yang berbeza dengan pandangannya. Barangsiapa yang berpegang kepada pandangan yang mengharuskannya, maka solatnya sah. Tidak patut bagi sesiapa yang berbeza pandangan dengannya untuk mengingkarinya dengan berkata, “Solat kamu batal (tidak sah)”. [5] Pendirian ini berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan: لا ينكر المختلف فيه إنما ينكر المجمع عليه Maksudnya: Tidak perlu diingkar atau ditegur perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan ditegur ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’ (tentang keharamannya). Namun jika kita sebagai rakyat Malaysia ingin beramal dengan menyapu khuf atau stokin ini, hendaklah kita meraikan uruf dan pengamalan yang ada di Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie dan tidak melakukannya sewenang-wenangnya, serta bagi mengelakkan fitnah di mata masyarakat awam. Oleh itu, lebih afdhal untuk dibasuh sahaja kaki kerana keperluan dan hajat terhadapnya di Malaysia adalah kurang berbanding di negara-negara lain. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa: قَالَ أَصْحَابُنَا مَسْحُ الْخُفَّيْنِ وَإِنْ كَانَ جَائِزًا فَغَسْلُ الرِّجْلِ أَفْضَلُ مِنْهُ بِشَرْطِ أَنْ لَا يَتْرُكَ المسح رغبة عن السنة ولا شكا فِي جَوَازِهِ Maksudnya: Ulama’ dalam mazhab kita (al-Syafie) berkata bahawa walaupun perbuatan menyapu di atas khuf adalah diharuskan, namun begitu membasuh kedua-dua belah kaki adalah lebih afdhal, dengan syarat tidak meninggalkan perbuatan itu kerana tidak suka kepada sunnah Rasulullah SAW atau disebabkan syak tentang keharusannya.[6] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:476) Namun jika betul-betul berhajat seperti sakit kaki, tidak mampu untuk membasuh kaki dengan sempurna, cuaca yang sangat sejuk dan lain-lain, maka diharuskan untuk kita melakukannya dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama. WaAllahu a’lam. Rujukan [1]       Sembilan para Sahabat yang diriwayatkan menyapu pada al-jaurab iaitu Ali, Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Anas, Ammar Ibn Yasir, Bilal, al-Baraa’, Abu Umamah dan Sahl Ibn Sa’ad. [2]       Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11078 [3] Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15037&LangID=1&%D8%AD%D9%83%D9%85_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8 [4]       Dar al-Ifta’ Jordan : http://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=1999#.YAeo1ugzZPa [5]       Dar al-Ifta’ Libya : https://ifta.ly/%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%AA%D8%A7%D9%88%D9%89/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8/
3,333
SOALAN Assalamualaikum, saya ada sedikit kemusykilan tentang darah yang keluar semasa mengandung? Adakah saya tidak perlu solat dan puasa sekiranya darah keluar? RINGKASAN JAWAPAN Wanita hamil yang keluar darah semasa mengandung dianggap haid menurut pandangan muktamad Syafie sekiranya darah mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan semasa mengandung disarankan untuk merujuk dan mendapat pandangan doktor perubatan kerana dikhuatiri terdapat masalah kepada kandungan. Sekiranya berlaku keguguran pada kandungan, maka darah yang keluar selepas kosongnya rahim ialah darah nifas. Wallahu a’lam. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Jenis Darah yang Keluar disebabkan Kehamilan Darah Nifas - Seorang wanita yang hamil akan mengalami nifas selepas kosongnya rahim selepas bersalin atau keguguran dan sebelum berlalunya 15 hari daripada tempoh kosong rahim. Darah al-Tolaq - Darah yang keluar ketika sakit melahirkan anak. Darah Fasad - Darah yang keluar semasa kelahiran bayi.[1] Namun begitu, terdapat beberapa keadaan seorang wanita hamil melihat darah keluar tetapi bukan kerana keguguran atau sakit hendak bersalin. Ulama mazhab Syafie berbeza pandangan berkenaan hukum darah yang keluar dalam keadaan ini: Pandangan pertama: Darah yang keluar semasa dalam tempoh mengandung ialah haid sekiranya darah tersebut mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam. Pandangan ini merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafie (al-azhar)[2]. Justeru itu, tidak sah ibadah solat dan puasa yang dilakukan sepanjang tempoh keluar darah tersebut. Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka ia dianggap darah istihadah dan sah solat serta puasanya. Pandangan kedua: Darah yang keluar semasa dalam tempoh mengandung ialah darah fasad. Maka, wanita yang mengalaminya dianggap dalam keadaan sentiasa berhadas. Ini kerana bayi dalam kandungan akan menghalang tempat darah keluar, justeru wanita yang hamil tidak akan mengalami haid. Sekiranya dia melihat darah, maka ia mungkin salah satu tanda untuk melahirkan atau keguguran.[3] Oleh yang demikian, dia wajib melaksanakan solat mengikut syarat yang ditetapkan syarak begitu juga kewajipan puasa. Walau bagaimanapun pandangan ini adalah pendapat yang lemah menurut majoriti ulama Syafi’iyyah. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan semasa mengandung disarankan untuk merujuk dan mendapat pandangan doktor perubatan kerana dikhuatiri terdapat masalah kepada kandungan. Oleh itu, wanita hamil yang keluar darah semasa mengandung dianggap haid menurut pandangan muktamad Syafie sekiranya darah mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebih 15 hari 15 malam. Namun jika berlaku keguguran pada kandungan, maka darah yang keluar selepas kosongnya rahim ialah darah nifas. Wallahu a’lam.   [1] Al-Ramli, Syihabuddin Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1, Hlm 323. وَالنِّفَاسُ: الدَّمُ الْخَارِجُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ مِنْ الْحَمْلِ، فَخَرَجَ بِذَلِكَ دَمُ الطَّلْقِ، وَالْخَارِجُ مَعَ الْوَلَدِ فَلَيْسَ بِحَيْضٍ لِكَوْنِهِ مِنْ آثَارِ الْوِلَادَةِ، وَلَا نِفَاسَ لِتَقَدُّمِهِ عَلَى خُرُوجِ الْوَلَدِ بَلْ هُوَ دَمُ فَسَادٍ إلَّا أَنْ يَتَّصِلَ بِحَيْضِهَا الْمُتَقَدِّمِ فَإِنَّهُ يَكُونُ حَيْضًا [2] Al-Syirbini, Syamuddin Muhammad bin Ahmad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1, Hlm 293. (وَالْأَظْهَرُ) الْجَدِيدُ (أَنَّ دَمَ الْحَامِلِ) حَيْضٌ وَإِنْ وَلَدَتْ مُتَّصِلًا بِآخِرِهِ بِلَا تَخَلُّلِ نَقَاءٍ لِإِطْلَاقِ الْآيَةِ السَّابِقَةِ وَالْأَخْبَارِ، وَلِأَنَّهُ دَمٌ مُتَرَدِّدٌ بَيْنَ دَمَيْ الْجِبِلَّةِ وَالْعِلَّةِ، وَالْأَصْلُ السَّلَامَةُ مِنْ الْعِلَّةِ، وَإِنْ لَمْ تَنْقَضِ بِهِ الْعِدَّةُ؛ لِأَنَّهَا لِطَلَبِ بَرَاءَةِ الرَّحِمِ، وَهِيَ لَا تَحْصُلُ بِالْأَقْرَاءِ مَعَ وُجُودِ الْحَمْلِ عَلَى أَنَّهَا قَدْ تَنْقَضِي بِهَا [3] Ibid. وَالثَّانِي وَهُوَ الْقَدِيمُ: أَنَّهُ لَيْسَ بِحَيْضٍ بَلْ هُوَ حَدَثٌ دَائِمٌ كَسَلَسِ الْبَوْلِ؛ لِأَنَّ الْحَمْلَ يَسُدُّ مَخْرَجَ الْحَيْضِ وَقَدْ جُعِلَ دَلِيلًا عَلَى بَرَاءَةِ الرَّحِمِ فَدَلَّ عَلَى أَنَّ الْحَامِلَ لَا تَحِيضُ. وَأَجَابَ الْأَوَّلُ بِأَنَّهُ إنَّمَا حَكَمَ الشَّارِعُ بِبَرَاءَةِ الرَّحِمِ بِهِ؛ لِأَنَّهُ الْغَالِبُ
3,335
Mukadimah Baru-baru ini pihak kami telah ditujukan soalan berkenaan hukum melakukan Lathi Challenge. Setelah meneliti isu ini, kami telah mengeluarkan pendapat kami perihal isu ini dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-521 : Hukum Melakukan 'Lathi Challenge'. Secara ringkas, berdasarkan maklumat yang kami dapati, Lathi Challenge ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran tersebut. Challenge ini merupakan cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan. Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul bagi sebuah lagu single yang dinyanyi Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira. Di dalam music video offical, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik. Malah, di dalam lirik turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus. Kami berpendapat hukum melakukan Lathi Challenge dengan gaya dan format yang ditularkan adalah haram dan berdosa kerana mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran. Artikel ini telah mendapat respon daripada masyarakat dan media massa sehingga timbul beberapa isu-isu baru yang berbangkit. Antaranya: Adakah lirik lagu mengandungi unsur pemujaan? Adakah sebarang perbuatan penyerupaan adalah salah? Justeru, kami mengambil langkah menghuraikan isu ini dengan lebih terperinci dalam Siri Tahqiq al-Masa’il yang kami tajukkan dengan “Tahqiq al-Masa’il Siri Ke-8 : Isu #LathiChallenge, Hindari Budaya Jahiliyyah”. Semoga huraian ini memberikan kita kefahaman tentang adab dan etika dalam berseni supaya sesuai dengan landasan yang ditetapkan Syariah.   Lirik Lagu Berdasarkan keperluan yang mendesak, pihak kami telah meneliti video muzik dan lirik lagu Lathi yang diterbitkan oleh pihak Weird Genius dalam laman web Youtube. Hasil daripada penelitian kami, lirik lagu berkenaan tidaklah secara langsung mengandungi unsur pemujaan kepada jin atau syaitan. Namun begitu, mengeluarkan hukum tidak boleh semata-mata berdasarkan satu sudut sahaja daripada kandungan, sebaliknya perlu melihat kepada keseluruhan produk yang dinisbahkan kepada penerbit. Ini bersesuaian dengan kaedah usul menyebut: الحُكْمُ عَلَى الشَّيءِ بِالنَّفِيِ والْإثْبَاتِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara, sama ada hendak menafikan atau menetapkannya, merupakan cabang daripada  gambarannya' (Rujuk Nihayah al-Sul, ms. 59, oleh Imam Jamaluddin al-Isnawi) Ertinya, jika hukum itu dikeluarkan tanpa melihat gambaran keseluruhannya, maka hukum itu dianggap cacat kerana tidak meraikan seluruh konteks, yang berkait antara satu sama lain, pada realiti. Contohnya, hukum berjual beli adalah harus, tetapi jika wang yang diberikan oleh penjual bersumber daripada harta yang haram, maka jual beli itu adalah maksiat sekalipun perpindahan milik itu berlaku. Namun jika pembeli itu tidak meyakini wang yang ditawarkan oleh penjual itu benar-benar bersumberkan harta haram, contohnya kerana penjual itu mempunyai banyak sumber pendapatan, maka hukum jual beli itu ialah makruh sahaja. Begitu juga jika pembeli hanya menjual tanpa mengetahui latar belakang wang berkenaan, maka hukumnya kekal pada hukum harus. Kami telah menghuraikan isu ini secara panjang lebar dalam artikel-artikel berikut. Mohon rujuk untuk mendapatkan gambaran lebih jelas: Al-Kafi # 776 : Hukum Beri Hutang Kepada Kawan Yang Diketahui Akan Beli Sesuatu Tidak Bermanfaat Al-Kafi #1001 : Menggunakan Wang Haram Untuk Membaikpulih Surau Al-Kafi #1033: Hukum Penglibatan Muslim Dalam Pembinaan Rumah Ibadat Agama Lain Al-Kafi #1480 : Hukum Menerima Sedekah Daripada Harta Riba Al-Kafi #838: Hukum Menghadiahkan Arak Kepada Non-Muslim Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 472 : Hukum Bermain Tiktok Di bawah kami letakkan lirik lagu berkenaan beserta dengan terjemahan perkataan Jawa ke Bahasa Melayu: “I was born a fool Broken all the rules, oh-oh Seeing all null Denying all of the truth, oh-oh Everything has changed It all happened for a reason Down from the first stage It isn't something we fought for Never wanted this kind of pain Turned myself so cold and heartless But one thing you should know "Kowe ra iso mlayu saka kesalahan, ajining diri ana ing lathi" (Anda tidak mampu lari dari kesalahan. Harga diri seseorang terletak pada lidahnya.” Pushing through the countless pain And all I know that this love's a bless and curse Everything has changed It all happened for a reason…” Dalam konteks perbincangan semasa, jika semata-mata lirik yang dipertikaikan sebagai mengandungi unsur-unsur yang menyalahi akidah Islamiah, maka hal itu barangkali dilihat tidak tepat kerana liriknya memiliki nilai subjektif dan menerima penafsiran atau sangkaan pelbagai. Imam al-Suyuti menyebut kaedah dalam kitabnya: الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ Maksudnya: “Jika wujud beberapa kemungkinan atau tanggapan pada suatu keadaan, maka batallah pendalilan (untuk satu hipotesis hukum).” Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 263) Namun begitu, apabila salah satu daripada sangkaan-sangkaan itu, disokong dengan dalil lain, sehingga menjadi rajih, maka sangkaan itu wajib diambilkira dalam pengeluaran hukum. Imam al-Zarkasyi dalam al-Bahr al-Muhit (4/494) menyebut: وَالْقَاعِدَةُ الشَّرْعِيَّةُ أَنَّ الْعَمَلَ بِأَرْجَحِ الظَّنَّيْنِ وَاجِبٌ Maksudnya: “Dan kaedah Syariah mengatakan bahawa beramal dengan sangkaan yang paling kuat itu ialah wajib.” Justeru, berdasarkan pemerhatian kami, fenonema #LathiChallenge ini ialah projek promosi lagu Lathi yang dikeluarkan oleh pihak Weird Genius, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Apabila digandingkan lirik lagu dengan qarinah-qarinah (alamat) tarian dan muzik latar yang menjurus kepada unsur-unsur mistik dan pemujaan secara jelas ia adalah dilarang oleh Syarak. Saranan sebahagian pihak supaya menghayati secara mendalam persembahan tersebut tidak boleh diterima kerana muzik latar dan tarian yang dipersembahkan begitu rancak dan mengasyikkan ditambah lagi dengan solekan tompok darah di baju penari dan kepulan asap hitam serta jelmaan makhluk halus adalah sinonim dengan amalan sihir dan pemujaan. Gambaran yang ditunjukkan dalam video muzik yang diterbitkan memberikan keyakinan yang kuat bahawa wujudnya unsur penyerupaan kepada pemujaan kuasa mistik dan ilmu sihir, sebagai pengakhiran kepada kisah cinta yang toksik dan menderitakan.   Hukum penyerupaan Tentang isu tasyabbuh atau penyerupaan, pihak kami juga telah beberapa kali mengulas perkara ini. Antaranya: Al-Afkar #39: Muslim Menyertai Pesta Pongal Al-Afkar #6: Mencuba Alatan Ritual Agama Lain Al-Kafi #637 : Hukum Memberikan Duit Raya Bayan Linnas Siri Ke - 215: Beberapa Isu Dalam Seminar Metamorphosis: Satu Pendapat Bayan Linnas Siri Ke-118: Pesta Tanglung & Kuih Bulan: Satu Sisi Pandang Bayan Linnas Siri Ke-5 : Isu Transgender, Tasyabbuh Atau Penyerupaan: Hukumnya (Edisi Kemaskini) Bayan Linnas Siri Ke-73: Penamaan Makanan Dan Minuman: Status Halal Dan Isunya Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-237 : Hukum Mendandan Rambut Dan Mandi Wajib Dengan Rambut Dreadlock Irsyad Al-Hadith Siri Ke-302: Syarah Hadith Tasyabbuh Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannaf-nya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnad-nya (2966) Menurut Imam Ibn Hibban, hadith ini isnadnya (sanadnya) jayyid. Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadith ini adalah thabit dan sanadnya adalah hasan (baik) di dalam Fath al-Bari. Al-‘Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam al-Ihya’. Al-Zahabi berkata, isnadnya (sanadnya) salih. Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: “Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87) Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175) Dalam masa yang sama, bukan semua bentuk penyerupaan adalah dilarang. Wujud beberapa hukum tentang penyerupaan yang beredar antara hukum makruh dan harus sahaja. Ini kerana larangan dalam penyerupaan itu bergantung kepada kadar penyerupaan yang merosakkan yang terdapat dalam satu-satu amalan itu. Berkata Imam Ibn Salah Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): فَإِنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِقًوْمٍ فَكَأَنَّهُ مِنْهُمْ والتَشَبُّهُ بِالكُفَّارِ قَدْ يَكُوْنُ مَكْرُوهًا وَقَدْ يَكُوْنُ حَرَامًا وَذَلِكَ عَلَى حَسْبِ الْفُحْشِ فِيهِ قِلَّة وَكَثْرَة وَاللهُ أَعْلَم Maksudnya: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.” Contohnya, penyerupaan yang dimakruhkan ialah; melakukan fesyen qaza’ (cukur sebahagian rambut) pada rambut yang menyerupai fesyen para rabi Yahudi, melumurkan darah pada kepala bayi yang menyerupai budaya Arab Jahiliyyah berpuasa tunggal pada hari Jumaat orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Duduk iq`a’ di dalam solat kerana menyerupai anjing. Manakala contoh penyerupaan yang diharuskan ialah: Memakai kain tailasan bagi lelaki yang menyerupai sebahagian Ahli Kitab. Melakukan atirah yakni sembelihan haiwan ternakan pada bulan Rejab untuk bersedekah yang menyerupai adat Jahiliyyah. Faktor yang menyebabkan tailasan dan atirah diharuskan ialah kerana hilangnya falsafah Jahiliyyah dalam pemakaian itu sehingga digantikan dengan pandang Islam iaitu tauhid. Inilah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi berkenaan pendapat Imam al-Syafie: قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْعَتِيرَةُ هِيَ الرَّجَبِيَّةُ وَهِيَ ذَبِيحَةٌ كَانَتْ الْجَاهِلِيَّةُ يَتَبَرَّرُونَ بِهَا فِي رَجَبٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (لَا عَتِيرَةَ) أَيْ لَا عَتِيرَةَ وَاجِبَةٌ قَالَ (وَقَوْلُهُ) صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (اذْبَحُوا لِلَّهِ فِي أَيِّ وَقْتٍ كَانَ) أَيْ اذْبَحُوا إنْ شِئْتُمْ وَاجْعَلُوا الذَّبْحَ لِلَّهِ فِي أَيِّ شهر كان لا أنها فِي رَجَبٍ دُونَ غَيْرِهِ مِنْ الشَّهْرِ Maksudnya: “Imam al-Syafi’e berkata: Atirah adalah Rajabiyyah, iaitu sembelihan yang dilakukan pada jahiliah sebagai bentuk amalan baik di bulan Rejab. Maka ketika Rasulullah berkata ‘Tidak ada Atirah maksudnya adalah tidak ada ‘Atirah yang wajib. Dan sabda Rasulullah SAW: “Sembelihlah olehmu kerana Allah pada waktu apa pun” maksudnya sembelihlah jika kamu menginginkannya dan jadikan sembelihan tersebut kerana Allah pada bulan apapun, baik sembelihan itu dilakukan di bulan Rejab atau bulan lainnya.” Penggantian ini disebut hari ini sebagai proses Islamisasi yang menukarkan adat dan budaya yang mempunyai unsur Jahiliyyah seperti ajaran Hindu atau Buddha kepada falsafah Tauhid Islam. Berkata Prof. Dr.  Muhammad Naquib al-Attas: “Islamisasi ialah pembebasan manusia pada tahap awalnya daripada tradisi magis, mitos, animisme dan tradisi budaya nasionalnya, seterusnya pembebasan daripada cengkaman ke atas fikiran dan bahasanya. Islamisasi bahasa membawa kepada Islamisasi pemikiran dan akal budinya, kerana bahasa, pemikiran dan akal begitu rapat hubungannya dalam memprojeksikan pandangan alam semestanya atau worldview. Pembebasan ini akan mengembalikannya (devolusi bukan evolusi) kepada fitrah kejadiannya yang asal berkeadaan harmonis dan saksama dengan segala kewujudan; iaitu bebas daripada tekanan nafsu badaniah yang bersifat sekular desakan sifat pelupanya yang membawa kepada kejahilan terhadap matlamat kejadiannya dan akan merosakkan dirinya.” (Lihat Islam and Secularism, ms. 41-44) Contohnya pada hari ini, penghasilan produk seni sama ada dalam bentuk lagu, puisi, dan sajak yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam adalah tidak dilarang dan dibenarkan. Adapun apa yang kami perhatikan tentang fenomena #LathiChallenge, ini merupakan proses yang terbalik, jauh sekali daripada proses Islamisasi, tetapi lebih kepada normalisasi simbol, syiar dan budaya Jahiliyyah yang tak wajar dihidupkan semula. Karakter para pelakon wanita yang ditunjukkan dalam muzik video sebenarnya lebih menyerupai ahli sihir atau syaitan yang dilarang untuk ditiru, seperti mana huraian hadis di atas. Masyarakat juga perlu beringat, ibrah dalam Peristiwa Fath Makkah, tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Khalid bin al-Walid untuk menghancurkan berhala al-`Uzza. Khalid keluar bersama 30 orang penunggang kuda lalu memusnahkan berhala itu. Setelah pulang Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu melihat apa-apa?” Khalid menjawab: “Tidak”. Baginda berkata: “Kamu belum memusnahkannya, kembalilah semula dan musnahkannya.” Dengan rasa marah Khalid kembali semula sambil siap menghunuskan pedangnya. Tiba-tiba sesampainya di situ, keluarlah seekor syaitan yang menyerupai perempuan yang bertelanjang, berkulit hitam, dan dengan rambut yang menggerbang sehingga menyebabkan penjaga berhala `Uzza menjerit memanggilnya. Khalid terus melibaskan pedangnya hingga terbelah dua tubuhnya. Kemudian dia pulang memberitahu Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ya, itulah al-`Uzza, dia sudah putus asa untuk disembah di negeri kamu selama-lamanya.” Pada bulan yang sama juga, Baginda mengutuskan Sa`ad bin Zayd al-Asyhadi bersama 20 orang penunggang kuda untuk memusnahkan berhala Manah di al-Musyallal dekat Qudayd. Ketika Sa`ad mara ke arah Manah untuk menghancurkannya, tiba-tiba keluar seorang perempuan bogel yang hitam kulitnya dan menggerbang rambutnya menyeru-nyeru dengan kecelakaan sambil menepuk-nepuk dadanya. Penjaga berhala berkata kepada perempuan, atau syaitan itu: Hai Manah! Hadapilah sebahagian manusia yang menderhakaimu. Lantas Sa`ad memukul perempuan itu lalu membunuhnya. Kemudian dia maju ke arah berhala itu lantas dimusnah dan dipecah-pecahkan. (Rujuk Sirah Nabawiyyah (Terjemahan al-Rahiq al-Makhtum), ms. 605, oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, terbitan YADIM)   Kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan para pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat untuk mengekalkan pendapat kami bahawa hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa. Ini kerana wujudnya unsur-unsur pemujaan dan sihir yang bertentangan dengan pandang alam Islam. Begitu juga tentang isu lirik, masyarakat tidak boleh melihat lirik sebagai isu terpisah, tetapi #LathiChallenge mesti dilihat sebagai satu pakej dengan video muzik yang diviralkan. Dalam kata lain, tanpa video musik berkenaan, maka tidak wujud #LathiChallenge. Larangan ditambah dengan kelakuan penari-penari wanita yang berpakaian menjolok mata dan mendedahkan kepada eksploitasi penonton. Apatahlagi gerak tari yang dipersembahkan menimbulkan fitnah, bercampur antara lelaki dan perempuan, menyerupai pemujaan, dan dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan. Ini bertentangan dengan Garis Panduan Hiburan dalam Islam (ms. 5) yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-68 pada 12 April 2005. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang bahayanya budaya Jahiliyyah yang cuba dihidupkan oleh sebahagian golongan.
3,336
SOALAN Assalamualaikum, Apakah hukum seseorang itu melaksanakan solat tanpa memakai pakaian dalam? Adakah ia akan membatalkan solat tersebut kerana berlaku banyak pergerakan? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti. RINGKASAN JAWAPAN Hukum solat tanpa memakai pakaian dalam yang melibatkan pergerakan zakar dan payudara adalah sah kerana pergerakan tersebut termasuk dalam kategori pergerakan anggota yang tidak mampu dikawal dan bukan kategori pilihan orang yang mendirikan solat. Ia juga termasuk dalam pergerakan sedikit kerana melibatkan anggota badan yang ringan HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Perbahasan mengenai pergerakan-pergerakan yang boleh membatalkan solat telah dibahaskan oleh ulama-ulama fiqah sejak sekian lama. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya Minhaj al-Tolibin berkenaan pergerakan-pergerakan anggota badan yang boleh membatalkan solat dalam mazhab al-Syafi‘i iaitu: ولو فعل في صلاته غيرها إن كان من جنسها بطلت إلا أن ينسى وإلا فتبطل بكثيره لا قليله Maksudnya: “Dan jika dia melakukan di dalam solatnya sesuatu perbuatan lain sekalipun dari jenisnya, maka terbatal solat kecuali kerana terlupa. Dan jika perbuatan itu bukan dari jenisnya, maka batal solatnya jika dilakukan dengan pergerakan yang banyak, dan pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat.” Berdasarkan ungkapan ini, dapat difahami bahawa pergerakan yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat sekalipun ia termasuk dalam jenis perbuatan dalam solat (seperti menambah rukuk atau sujud), maka batal solat tersebut kecuali dilakukan dalam keadaan terlupa. Manakala, pergerakan yang tidak termasuk dalam jenis perbuatan dalam solat, maka terbatal solat tersebut jika ia dilakukan dengan pergerakan yang banyak. Adapun pergerakan yang sedikit tidak akan membatalkan solat[1]. Para fuqaha mazhab al-Syafi’i telah membahaskan berkenaan kategori pergerakan banyak yang membatalkan solat dan perbezaannya dengan pergerakan sedikit. Ia mengikut ketetapan berikut: Pergerakan yang banyak mestilah dilakukan oleh anggota badan yang berat seperti tangan, kaki dan kepala[2]. Jika ia hanya melibatkan pergerakan anggota badan yang ringan seperti lidah, kelopak mata, bibir, zakar atau jari (tanpa menggerakkan telapak tangan seperti keadaan menggaru), maka tidak batal solat sekalipun dilakukan berulang kali kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit[3]. Pergerakan yang banyak ialah pergerakan yang dilakukan tiga kali secara berturut-turut atau lebih menurut uruf setempat. Berturut-turut itu dikira apabila pergerakan kedua tidak terputus daripada pergerakan pertama dan pergerakan ketiga tidak terputus daripada pergerakan kedua[4]. Ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ، بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلِأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا. Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat sambil mendukung Umamah binti Zainab, yang merupakan anak perempuan Zainab dan Abu al-As bin Rabiah bin Abd Syams, ketika sujud baginda meletakkannya dan apabila berdiri baginda mendukungnya.” (Riwayat al-Bukhari[5] dan Muslim[6]) Sebagai contoh seseorang melangkah kaki dengan dua langkah sederhana atau dua pukulan sederhana atau memberi isyarat menjawab salam tidak akan membatalkan solat kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit[7]. Satu pandangan mengatakan “berturut-turut” adalah apabila jarak pergerakan pertama dan seterusnya adalah kurang daripada satu rakaat yang seminimum mungkin[8]. Namun dalam kitab I’anah al-Tolibin menjelaskan bahawa ini merupakan pandangan yang lemah[9]. Terdapat satu lagi pandangan yang menjelaskan bahawa “berturut-turut” adalah dengan kadar tomakninah anatara dua pergerakan dan pandangan ini yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita[10]. Pandangan kedua ini disokong dalam Taqrirat al-Sadidah, iaitu jarak pergerakan pertama dan kedua adalah dengan kadar bacaan قل هو الله احد)) atau (الباقيات الصالحات)[11]. Justeru, pengharmonian permasalahan ini menurut kebiasaan apa yang diajar kepada masyarakat dan lebih bersesuaian dengan uruf. Pergerakan tersebut mestilah bukan termasuk daripada pergerakan yang tidak dapat mampu dikawal seperti menggaru kudis dan menggigil kerana kesejukan sebagaimana dinyatakan dalam Nail al-Raja, iaitu[12]: ولم يكن ضروريا لا يقدر على تركة كحكة الجرب Maksudnya: “Tidak termasuk (dalam hukum terbatal solat disebabkan pergerakan yang banyak) adalah mereka yang berada dalam keadaan darurat yang tidak mampu meninggalkan (pergerakan yang banyak kerana diluar kemampuan) seperti orang yang menghidapi penyakit kudis gatal (yang teruk). Kesimpulannya, merujuk kepada persoalan berkenaan pergerakan zakar dan payudara bagi orang yang menunaikan solat. Di sisi fuqaha Syafi’iyyah, pergerakan ini termasuk dalam kategori pergerakan anggota badan yang bukan kategori pilihan orang yang mendirikan solat kerana ia diqiyaskan dengan solat dalam keadaan tidak mampu mengawal pergerakkan. Ia juga dikaitkan dengan pergerakan sedikit kerana hanya melibatkan anggota badan yang ringan iaitu zakar dan payudara. Justeru, hukum solat bagi mereka yang tidak memakai pakaian dalam adalah sah dan tidak membatalkan solat sebanyak mana pergerakan sekalipun. Wallahu a’lam. Rujukan: [1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Ed: Iwadh Qasim Ahmad. (Beirut: Dar al-Fikr, 2005). Hlmn 32. [2] Sayyed Ahmad bin Umar al-Syatiri. Nail al-Raja.bi Syarh Safinah al-Naja. (Qaherah: Matba’ah al-Madani, 1972). Hlmn 107. يشترط أن يكون ثقيلا كاليد والرجل والراس [3] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad. Al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’. Ed: Maktab al-Buhuth wa al-Dirasat. (Beirut: Dar al-Fikr, t.tt). Jld 1. Hlmn 150. لَا الحركات الْخَفِيفَة المتوالية كتحريك أَصَابِعه بِلَا حَرَكَة كَفه فِي سبْحَة أَو عقد أَو حل أَو نَحْو ذَلِك كتحريك لِسَانه أَو أجفانه أَو شَفَتَيْه أَو ذكره مرَارًا وَلَاء فَلَا تبطل صلَاته بذلك [4] Al-Bajuri, Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad. Hasyiah al-Bajuri. Ed: Mahmud Soleh Ahmad. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2016). Jld 2 hlmn 25. (المتوالي) اي : المتتابع عرفا, بحيث لا يعد العمل الثاني منقطعا عن الأول, ولا الثالث منقطعا عن الثاني, [5] Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar al-Tuq al-Najah, 1422 H). jld 1. Hlmn 109. No hadis: 516. [6] Muslim Ibnu Hujjaj al-Naisaburi. Sahih Muslim. (Turki: Dar al-Tabaah al-Amirah, 1334 H). Jld 2. Hlmn 73. No hadis: 543. [7] Ibid. al-Khatib al-Syirbini. Jld 1. Hlmn 150. وَكَذَا الخطوتان المتوسطتان والضربتان كَذَلِك وَالثَّلَاث من ذَلِك أَو غَيره كثير إِن توالت  [8] Ibid. al-Bajuri. Jld 2. Hlmn 25. وقيل : بألا يكون بين الفعلين ما يسه ركعة بأخف ممكن. [9] Al-Dimyati, Abu Bakar Uthman bin Muhammad Syata. I’anah al-Tolibin ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in. (t.t: Dar al-Fikr, 1997). Jld 2. Hlmn 248. وحد البغوي بأن يكون بينهما قدر ركعة ضعيف، كما في المجموع. [10] Ibid. al-Bajuri. Jld 2. hlmn 25 وقيل : بألا يطمئن بينهما, والمعتمد : الول [11] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah. (Tarim: Dar al-Ilmu wa al-Dakwah, 2003). Hlmn 263. ويكون ذلك بالعرف, وقدره بعضهم بأن يفصل بينهم بقدر سورة (قل هو الله أحد) او بقدر (الباقيات الصالحات) [12] Ahmad bin Umar al-Syatiri. Nail al-Raja bi Syarh Safinah al-Naja. (Kuwait : Dar al-Dhiya). Hlmn 227.
3,339
SOALAN Assalamualaikum.  Apakah status hukum daging melalui proses penyembelihan halal tetapi melalui proses “ageing meat”? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti. Ringkasan Jawapan: Daging yang melalui proses “ageing meat” (penuaan kering) hendaklah diteliti dari aspek kebersihan dan penyembelihan. Oleh itu, status halal daging tersebut sekiranya memenuhi syarat -syarat  berikut: Penyembelihan mengikut hukum syarak. Setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk tidak tercemar daripada bahan bernajis. Hendaklah dipastikan dari sudut keselamatan penggunaannya tidak mendatangkan kemudaratan Justeru, proses penuaan kering “ageing meat” yang dijalankan ke atas daging lembu tidak mengubah status halal selagi ia bebas daripada unsur haram serta memenuhi piawaian sembelihan mengikut kehendak syarak. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat Proses “Ageing Meat” Penghasilan daging “ageing meat” melalui proses penuaan sama ada penuaan kering atau penuaan lembap. Dalam proses penuaan daging ini dasarnya bertujuan untuk melembutkan daging dan memberi rasa lebih enak serta kelainan pada tekstur daging tersebut. Bahagian daging yang dipilih akan dipotong, kemudian dikeringkan selama tempoh tertentu dan pada suhu yang rendah serta dikawal kelembapan udara dalam kawasan tersebut. Tempoh, suhu dan kelembapan udara memberi kesan berbeza kepada daging yang melalui proses penuaan.[1] Dalam proses penuaan, daging menjadi lembut apabila enzim yang berada dalam daging akan mencerna protein dan tisu daging. Proses ini juga menggalakkan pertumbuhan spesies kulat (acuan) tertentu pada permukaan luar daging. Spesies kulat ini melengkapkan enzim semula jadi dengan membantu melembutkan dalam daging lembu. Ini tidak menyebabkan kerosakan, sebaliknya membentuk ‘kerak’ luaran pada permukaan daging.[2] Kerak ini kemudiannya dikeluarkan sebelum daging boleh disediakan dengan selamat dan dihidangkan kepada pelanggan.[3] Hujah dan Analisis Dalam Islam, haiwan yang halal dimakan seperti lembu, kambing dan seumpamanya perlu melalui proses sembelihan yang disembelih dengan nama Allah. Firman Allah SWT: فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ ‎‏ Maksudnya: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya” Surah al-An’am (118) Sembelihan haiwan perlulah mengikut kehendak syarak seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW: مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ Maksudnya: “(Sembelihlah haiwan) dengan alat yang boleh mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah, justeru makanlah haiwan itu. Tidaklah sembelih menggunakan kuku dan gigi (haiwan)." Riwayat al-Bukhari (5498) Oleh itu, alatan sembelihan itu hendaklah ditajamkan sebelum menyembelih haiwan dengan memotong urat halkum dan mari’ iaitu saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Imam al-Nawawi menyebut tentang kaedah sembelihan syar’ie: ذَكَاةُ كُلِّ حَيَوَانٍ قُدِرَ عَلَيْهِ بِقَطْعِ كُلِّ الْحُلْقُومِ، وَهُوَ مَخْرَجُ النَّفَسِ وَالْمَرِيءِ وَهُوَ مَجْرَى الطَّعَامِ، وَيُسْتَحَبُّ قَطْعُ الْوَدَجَيْنِ، وَهُمَا عِرْقَانِ فِي صَفْحَتَيْ الْعُنُقِ Maksudnya: Sembelih setiap haiwan itu dengan memotong kedua urat halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’ (saluran pemakanan). Dan disunatkan memotong al-wadajain iaitu dua urat di tengkuk (berdekatan dengan urat halkum).[4] Justeru itu, sebarang daging yang disembelih mengikut kaedah syarak adalah halal walaupun selepas itu daging tersebut melalui proses-proses untuk mengekalkan ketahanan daging atau melembutkan daging seperti proses penuaan. Seterusnya, menurut syarak, konsep makanan yang halal mestilah memenuhi kriteria baik lagi suci. Ini berpandukan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” Surah al-Baqarah (168) Imam al-Tobari menyatakan definisi toyyiban (baik) iaitu suci dan bersih dari najis dan halal.[5] Oleh itu, dapat difahami bahawa lafaz al-ṭoyyib iaitu suci sebagai sifat makanan yang halal. Begitu juga, makanan tersebut hendaklah dipastikan dari sudut kesihatan dan keselamatan serta tidak mendatangkan kemudaratan. Hal ini juga merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menjaga nyawa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit RA, bahawa Nabi SAW memerintahkan bahawa: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ Maksudnya: Tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan memberi kemudaratan Riwayat Ibnu Majah (2340) Dalam proses penuaan, kulat yang tumbuh di atas permukaan daging terutamanya kulat jenis Thamnidium adalah kulat yang sangat diinginkan sepanjang proses. Walaupun kebiasaannya kulat sinonim dengan punca kerosakan, namun dalam proses penuaan, enzim daripada kulat ini akan membantu untuk melembutkan daging.[6] Bahkan permukaan daging yang keras dan berkulat akan dibuang sebelum daging dimasak. Berdasarkan perkara tersebut, daging yang melalui proses penuaan adalah selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada pengguna namun perlu juga dipastikan daging tersebut tidak rosak semasa proses penuaan. Oleh yang demikian, jika daging tersebut tidak mencapai tujuan asal proses penuaan itu, maka adalah lebih baik untuk dielakkan kerana tidak lagi dianggap baik dan selamat.   Penutup   Berdasarkan fakta pemprosesan daging penuaan kering yang hanya bertujuan sebagai kaedah pelembutan daging supaya rasanya lebih enak dimakan, maka tiada  proses yang melanggar syariah selagi tidak terjejas dengan najis mahupun tidak mengikuti cara penyembelihan mengikut kehendak syarak. Justeru itu, halal makan daging yang melalui  proses“ageing meat” selagi ia bebas daripada unsur haram. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1] Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review. J Anim Sci Technol 58, 20 (2016). https://doi.org/10.1186/s40781-016-0101-9 [2] https://www.australianbutchersguild.com.au/butchery/ageing-meat [3] https://www.lambandbeef.com/foodservice/production/preparation/ageing [4] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya Ad-Din. Minhaj al-Talibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, (Dar al-Fikr, 2005) hlm. 318) [5]  Ibn Jarir al-Thabarir. Tafsir al-Thabari, Muasasah, (al-Risalah, 2002) 3/301. "طيبًا" فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم [6] Ibid. Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review.
3,340
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum berpuasa bagi orang yang sakit dan apakah had-had sakit bagi mengharuskan seseorang pesakit berbuka puasa? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih. Jawapan Ringkas Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya dan menyukarkan dirinya jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa adalah wajib. Walau bagaimanapun, pendapat doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berbuka puasa atau tidak. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka. Huraian Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Firman Allah SWT: مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain” Surah al-Baqarah (184) Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sakit dan bermusafir adalah diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasanya[1]. Tulisan ini akan menjelaskan hukum yang berlainan berdasarkan tiga kategori sakit yang berbeza, iaitu: Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa Sakit yang boleh memudaratkan nyawa Sakit yang ringan Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa Sekiranya seseorang pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya jika berpuasa dan puasa tersebut adalah sukar baginya namun tidak membahayakan nyawa, maka dia diharuskan berbuka puasa. Ini merupakan pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab al-Hanafi[2], al-Maliki[3], al-Syafi’i dan al-Hanbali[4]. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: وان لم يقدر على الصوم لمرض يخاف زيادته ويرجي البرء لم يجب عليه الصوم Maksudnya: “Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dikhuatiri bertambah dan diharapkan kesembuhannya, maka tidak wajib baginya berpuasa ”[5]. Namun begitu, kekhuatiran atas keadaan penyakit yang akan menjadi semakin teruk tersebut bukanlah dengan sekadar syak atau sangkaan semata-mata. Malah, pendapat dan pengesahan doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berpuasa atau tidak[6]. Sakit yang memudaratkan nyawa Sekiranya sakit tersebut sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan dan memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa, organ-organ badan, atau fungsi organ, maka wajib baginya berbuka puasa menurut jumhur ulama daripada mazhab al-Hanafi[7], al-Maliki[8], al-Syafi’i[9], dan sebahagian ulama mazhab al-Hanbali[10]. Sakit yang ringan Jika seseorang pesakit ditimpa penyakit yang tidak menjejaskan puasa dan tidak membahayakannya seperti selsema, sakit kepala ringan, sakit gigi, dan seumpamanya, maka diharamkan berbuka puasa menurut para ulama daripada empat mazhab[11]. Menurut Ibn Qudamah, sekiranya puasa orang yang sakit tidak memberi kesan terhadap kesakitan yang dialaminya, maka dia dihukumkan seperti orang yang sihat dan dia diwajibkan untuk berpuasa. Hal ini kerana terdapat kategori penyakit yang memudaratkan dan juga tidak memudaratkan. Justeru, penyakit yang mengharuskan berbuka puasa adalah penyakit yang memudaratkan [12]. Kesimpulan Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan menjadi semakin teruk jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa baginya adalah wajib. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka. Wallahu’alam   Rujukan: [1] Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964M) 2/281 [2] Ibn ‘Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan 2, 1966M) 2/422 (أو مريض خاف الزيادة) لمرضه وصحيح خاف المرض، وخادمة خافت الضعف بغلبة الظن بأمارة أو تجربة أو بأخبار طبيب حاذق مسلم مستور [3] Muhammad bin Muhammad al-Hattab, Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, (Dar al-Fikr, cetakan 3, 1992M) 2/447 إذا كان الصوم يضر به ويزيده ضعفا أفطر ويقبل قول الطبيب المأمون [4] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, (Riyadh: Maktabah al-Nasr al-Hadithah) 2/310 (والمريض) غير الميئوس من برئه (إذا خاف) بصومه (ضررا بزيادة مرضه أو طوله) أي: المرض (ولو بقول مسلم ثقة أو كان صحيحا فمرض في يومه أو خاف مرضا لأجل عطش أو غيره سن فطره وكره صومه وإتمامه) [5] al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/258 [6] Zain al-Din bin Ibrahim Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303 ثم معرفة ذلك باجتهاد المريض والاجتهاد غير مجرد الوهم بل هو غلبة الظن عن أمارة أو تجربة أو بإخبار طبيب مسلم غير ظاهر الفسق وقيل عدالته شرط فلو برأ من المرض لكن الضعف باق وخاف أن يمرض سئل عنه القاضي الإمام فقال الخوف ليس بشيء كذا في فتح القدير وفي التبيين والصحيح الذي يخشى أن يمرض بالصوم فهو كالمريض ومراده بالخشية غلبة الظن كما أراد المصنف بالخوف إياها وأطلق الخوف ابن الملك في شرح المجمع وأراد الوهم حيث قال لو خاف من المرض لا يفطر  Ahmad bin Ghanim al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 1/309 الخوف المجوز للفطر هو المستند صاحبه إلى قول طبيب ثقة حاذق، أو لتجربة من نفسه أو لإخبار ممن هو موافق له في المزاج كما قالوه في التيمم [7] Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303 إذا خاف الهلاك فالإفطار واجب [8] al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 1/309 ولمرض خاف زيادته أو تماديه ووجب إن خاف هلاكا أو شديد أذى كحامل ومرضع لم يمكنهما استئجار أو غيره خافتا على ولديهما [9] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1348H) 6/258 قال أصحابنا وغيرهم من غلبه الجوع والعطش فخاف الهلاك لزمه الفطر وإن كان صحيحا مقيما  [10] al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/310 فلو خاف تلفا بصومه كره وجزم جماعة بأنه يحرم ولم يذكروا خلافا في الإجزاء (فإن صام) المريض مع ما سبق (أجزأه) صومه، نقله الجماعة لصدوره من أهله في محله كما لو أتم المسافر [11] Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 2/282 والتحق بالصحيح فيقع صومه عن رمضان فليس مرادهم بهذا القسم أن لا يضره الصوم مع القدرة عليه، وإلا كان هذيانا من القول؛ إذ لا يقول عاقل بإباحة الفطر له al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/309 ولا يجوز له الفطر بالفعل إلا عند حصول المشقة فليس كالمسافر al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/258 وأما المرض اليسير الذي لا يلحق به مشقة ظاهرة لم يجز له الفطر بلا خلاف عندنا al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/310 (ولا يفطر مريض لا يتضرر بالصوم كمن به جرب أو وجع ضرس أو أصبع أو دمل ونحوه) [12] Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah, al-Mughni, (Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, cetakan 3, 1997M) 4/404 فإن الأمراض تختلف، منها ما يضر صاحبه الصوم، ومنها ما لا أثر للصوم فيه، كوجع الضرس، وجرح في الإصبع، والدمل، والقرحة اليسيرة، والجرب، وأشباه ذلك، فلم يصلح المرض ضابطا، وأمكن اعتبار الحكمة، وهو ما يخاف منه الضرر، فوجب اعتباره بذلك
3,341
Soalan Assalamualaikum wrth Datuk, benarkah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan bulan Rejab bahawa sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat di bulan Rejab maka dia tidak akan mati sehingga di melihat tempatnya di dalam syurga? Ringkasan Jawapan Riwayat yang menyebutkan bahawa “sesiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan dibacakan pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan 100 kali surah al-Ikhlas pada rakaat kedua maka dia tidak akan mati sehingga dilihatkan tempatnya di dalam syurga” merupakan riwayat yang palsu. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh ulama hadis seperti Imam Ibn al-Jauzi, Imam al-Suyuti, Imam al-Laknawi dan lain-lain. Huraian Jawapan Saban tahun apabila datang bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) maka akan timbul persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kelebihan bulan-bulan tersebut. Menceritakan kelebihan bulan-bulan tersebut demi menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang baik tetapi menjadi suatu kesalahan apabila menyebarkan riwayat-riwayat yang palsu lalu disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini kerana, sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara. Berdasarkan kepada persoalan di atas, maka riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut: مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَبٍ وَصَلَّى فِيهِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَقْرَأُ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ مِائَةَ مَرَّةٍ آيَةَ الْكُرْسِيِّ وَفِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِائَةً مَرَّة قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَرَى مقعده من الْجَنَّةِ أَوْ يُرَى لَهُ Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa satu hari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan membaca pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan membaca 100 kali “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”  pada rakaat kedua. Dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya daripada syurga atau dilihatkan kepadanya. Riwayat ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis muktabar. Namun, riwayat ini disebutkan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam al-Mauduʻat[1], Imam al-Suyuti dalam al-La’ali’ al-Masnuʻah[2], Imam al-Kinani dalam Tanzih al-Syariʻah[3], Imam al-Syaukani dalam al-Fawa’id al-Majmuʻah[4] dan Imam al-Laknawi dalam al-Athar al-Marfuʻah[5]. Imam Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa: هَذَا حَدِيث مَوْضُوع عَلَى رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. أَكْثَر رُوَاته مَجَاهِيل، وعُثْمَان مَتْرُوك عِنْد الْمُحدثين. Maksudnya: Hadis ini adalah palsu ke atas Rasulullah SAW. Kebanyakan perawinya tidak dikenali dan Uthman[6] merupakan perawi matruk(perawi yang ditinggalkan periwayatannya) menurut ulama hadis.[7] Justeru, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu dan tidak boleh disebarkan serta disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas RA mengenai kelebihan bulan Rejab di dalam tafsirnya bahawa beliau berkata: ثُمَّ اخْتَصَّ مِنْ ذَلِكَ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ فَجَعَلَهُنَّ حَرَامًا، وعَظم حُرُماتهن، وَجَعَلَ الذَّنْبَ فِيهِنَّ أَعْظَمَ، وَالْعَمَلَ الصَّالِحَ وَالْأَجْرَ أَعْظَمَ Maksudnya: Lalu dikhususkan dan menjadikan empat bulan haram, kehormatannya sangat besar, dosa yang dilakukan pada bulan tersebut (azabnya) lebih besar dan amal soleh yang dilakukan pada bulan tersebut (pahalanya) lebih besar.[8] Menerusi nukilan ini, difahami bahawa segala amal kebaikan yang dilakukan pada bulan haram seperti bulan Rejab pahala akan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Begitu juga sekiranya kejahatan yang dilakukan pada bulan tersebut maka dosanya juga akan digandakan oleh Allah SWT. Oleh itu, dinasihati untuk tidak menyebarkan hadis-hadis palsu demi menggalakkan umat Islam beribadah. Tetapi biarlah ajakan untuk meningkatkan ibadah tersebut dilakukan dengan menggunakan nas-nas agama yang bersumberkan daripada sumber yang berautoriti bukannya sumber-sumber yang bersifat hoax. Wallahuaʻlam [1]    Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, ed. ‘Abd al-Rahman Muhammad ‘Uthman (Madinah: Muhammad ‘Abd al-Muhsin, 1966), 2: 123. [2]    Jalal al-Din al-Suyuti, al-La’ali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. Solah bin Muhammad bin ‘Uwaidah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1996), 2: 47. [3]    Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Wahab ‘Abd al-Latif dan ‘Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1399), 2: 89. [4]    Muhammad bin ʻAli bin Muhammad al-Syaukani, al-Fawa’id al-Majmuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Rahman bin Yahya al-Muʻallimi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t), 47. [5]    Abu al-Hasanat al-Laknawi, al-Athar al-Marfuʻah fi al-Akhbar al-Mauduʻah, ed. Muhammad al-Saʻid Basyuni Zaghlul (Baghdad: Maktabah al-Syarq al-Jadid, t.t), 61. [6]    Uthman bin ‘Ata’. Rujuk Nur al-Din al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, 2: 90. [7]     Jamal al-Din Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, 2: 124. [8]    Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ed. Sami bin Muhammad Salamah (Dar al-Taibah, 1999), 4: 148.
3,342
Mukadimah Pada 22 Ogos 2021, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri ke-9, telah mengumumkan sebuah konsep pembentukan dan tema pentadbiran beliau bagi tahun 2021 iaitu Keluarga Malaysia, sebagai langkah memulihkan negara secara bersama dan mewujudkan pendekatan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Beliau berkata: “Rakyat Malaysia seharusnya bertindak sebagai sebuah keluarga dalam memastikan negara ini kembali bangkit dalam mendepani wabak Covid-19.”[1] Konsep Keluarga Malaysia telah menggariskan tiga teras utama dan 20 pengayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan YAB Perdana Menteri, untuk bekerja secara bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik ini. Sehubungan dengan itu, kami Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) terpanggil bagi memberikan sedikit buah pandangan berkenaan perkara ini, sekali gus menyambut baik konsep yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri. Oleh itu, kami kongsikan dalam Bayan Linnas kali ini dengan tajuk “Bersama Kita Menjaga Negara.” ‘Keluarga Malaysia’ Konsep yang Merentasi Sempadan Pendekatan Keluarga Malaysia diperkenalkan kerana ia dilihat lebih bersifat inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa, latar belakang dan fahaman politik dalam kalangan masyarakat majmuk demi keutuhan dan keharmonian negara Malaysia. Secara umumnya, pemilihan istilah keluarga ini pastinya membawa konotasi positif kerana keluarga merupakan institusi penting dalam proses pembentukan sebuah masyarakat yang unggul dan luhur.[2] Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‎ Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah al-Hujurat (13) Ayat ini menjadi salah satu petunjuk dalam membina hubungan yang baik sesama insan atas muka bumi ini. Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa, daripada seorang ibu dan seorang ayah serta tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.[3] Selain itu, hubungan dan kesatuan antara sesama manusia juga adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (humanity). Hal ini adalah bertitik tolak daripada asal usul manusia yang berasal daripada usul yang sama iaitu Nabi Adam A.S. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ فَمُسْتَقَرٌّ وَمُسْتَوْدَعٌ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ Maksudnya: “Dan Dialah yang mencipta kamu daripada diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).” Surah al-An‘am (98) Menurut Wahbah al-Zuhaili, antara tanda kebesaran Allah SWT yang dapat dilihat daripada diri seorang manusia ialah asalnya Allah SWT telah menciptakan umat manusia daripada satu jiwa iaitu Nabi Adam A.S, yang kemudiannya berkembang biak menjadi semakin ramai.[4] Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan, keadilan, toleransi, menolak sebarang kezaliman dan seumpamanya menjadi asas penting dalam memandu masyarakat majmuk ke arah pembentukan sebuah negara yang harmoni. Seterusnya, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini juga mempunyai visi dan hala tuju iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat Covid-19. Firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ Maksudnya: “Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” Surah al-Ma’idah (2) Allah SWT memerintahkan setiap individu untuk saling bantu membantu antara satu sama lain dalam hal kebaikan, lebih-lebih lagi apabila kebaikan itu turut melibatkan ramai pihak dan menjamin keharmonian masyarakat majmuk dalam negara kita. Oleh yang demikian, konsep yang dibawa ini bertepatan dengan ruh Islami yang seharusnya diterap dan ditanam dalam diri setiap individu Muslim. Penerapan Nilai Dalam ‘Keluarga Malaysia’ Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini terdiri daripada tiga teras utama dan 20 nilai-nilai kemanusiaan. Tiga teras utama itu ialah: Keterangkuman (Inclusivity) Kebersamaan (Common Ground) Kesyukuran (Contentment) Manakala nilai-nilai yang diketengahkan pula meliputi hal integriti, sikap amanah, prinsip keadilan, amalan bermusyawarah, penerapan budaya ilmu, komunikasi berhemah, pembinaan akhlak mulia, nilai kebertanggungjawaban, membudayakan amalan ihsan, mengekalkan suasana harmoni, menyemai budaya khidmat sesama ahli, menjaga kehormatan dan maruah, menyemai semangat prihatin, menerap sifat sabar, memupuk semangat keamanan dan kesejahteraan, menjaga keimanan, membudayakan amalan sihat fizikal dan mental, berkasih sayang, bersikap hormat dan taat.[5]  Maka, melihat kepada setiap teras dan nilai-nilai yang ingin diterapkan, menunjukkan bahawa ia amat signifikan dan selari dengan apa yang ditekankan oleh syariat Islam. Kesemua nilai ini telah ditekankan dan dianjurkan dalam Islam melalui nas al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini sewajarnya disambut baik oleh semua pihak, bukan sahaja di pihak pemerintah, malah setiap lapisan masyarakat perlu turut serta menyumbang khidmat dan usaha bagi merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, seterusnya menjayakan visi dan matlamat yang ingin dicapai bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara tercinta Malaysia terus terjaga dan terpelihara.  Perutusan berhubung kebenaran merentas negeri Sebelum ini, pihak kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan bahawa semua kegiatan rentas negeri dan daerah di seluruh Malaysia tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). Larangan ini dibuat demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, meskipun ia merupakan satu keputusan yang sukar kerana ada pasangan dan ibu bapa yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga dalam tempoh yang terlalu lama. Akhirnya, pada 10 Oktober 2021, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk anggota Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu lagi memohon kebenaran daripada PDRM bermula pada hari Isnin, 11 Oktober 2021. Sekalipun begitu, turut diingatkan kepada sekalian ahli ‘Keluarga Malaysia’ agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Hal ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula sektor ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.[6] Oleh itu, kami menyambut baik saranan kerajaan yang menekankan penjagaan SOP di kala aktiviti merentas negeri dibenarkan. Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, selaras dengan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.” Surah al-Nisa’ (59) Maka, patuhilah arahan dan ketetapan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan. Hal ini kerana, setiap arahan dan perintah yang dikeluarkan itu semestinya bersandarkan kepada kebaikan dan kemaslahatan buat rakyat jelata. Kaedah fiqh menyebut: تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ Maksudnya: “Tindakan (polisi) pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.”[7] Begitu juga, Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa wajib mentaati arahan dan larangan daripada pihak pemerintah selagi mana tidak bercanggah dengan syarak,[8]  lebih-lebih lagi pada arahan yang mempunyai kemaslahatan kepada umum. Akhir kalam, kami berdoa agar usaha kerajaan bagi merealisasikan ‘Keluarga Malaysia’ dapat tercapai dan terlaksana dengan jayanya. Sehubungan dengan itu juga, kami menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat, sama ada dalam atau luar kerajaan untuk sama-sama berganding bahu dalam usaha memulihkan semula keadaan negara kepada keadaannya yang asal, bahkan lebih baik lagi daripada sebelumnya. Pada masa yang sama, kita hendaklah mematuhi SOP dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib, tanpa bersikap mementingkan diri sehingga mengakibatkan kemudaratan dan membandingkan perbezaan antara satu sama lain. Wallahua‘lam. [1] Lihat: https://my.lifenewsagency.com/2021/08/22/keluarga-malaysia-tema-pentadbiran-ismail-sabri/, laman web diakses pada 18 Oktober 2021. [2] Lihat: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/09/859648/perjelas-konsep-keluarga-malaysia-elak-dianggap-retorik-kosong, laman web diakses pada 18 Oktober 2021; Ratna Roshida Abd Razak & Nik Haslinda Nik Hussain, Peranan Institusi Keluarga dalam Penjanaan Bangsa Bertamadun, Jurnal Kemanusiaan, bil.9, Jun 2007. [3] Abu al-Qasim Mahmud bin ‘Amr al-Zamakhsyari, al-Kassyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, cetakan ke-3, 1407H), 4/374. مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثى من آدم وحوّاء. وقيل: خلقنا كل واحد منكم من أب وأمّ، فما منكم أحد إلا وهو يدلى بمثل ما يدلى به الآخر سواء بسواء، فلا وجه للتفاخر والتفاضل في النسب. [4] Al-Zuhaili, Wahbah, al-Tafsir al-Wajiz ‘ala Hamisy al-Quran al-‘Azim wa ma‘ahu Asbab al-Nuzul wa Qawa‘id al-Tartil, (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-2, 1996), hlm. 141. وأما آيات النفس فالله خلقكم من نفس واحدة هي آدم عليه السلام، ثم تكاثرتم [5] Pejabat Perdana Menteri, Keluarga Malaysia, lihat: http://www.kkr.gov.my/public/eBook%20Keluarga%20Malaysia_0.pdf, diakses pada 18 Oktober 2021. [6] Lihat: https://www.pmo.gov.my/2021/10/teks-ucapan-sidang-media-khas-yab-perdana-menteri-10-oktober-2021/, diakses pada 18 Oktober 2021. [7] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa, al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, (Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 2006), 1/493. [8] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1357H), 3/71. تَجِبُ طَاعَةُ الْإِمَامِ فِي أَمْرِهِ وَنَهْيِهِ مَا لَمْ يُخَالِفْ الشَّرْعَ أَيْ بِأَنْ لَمْ يَأْمُرْ بِمُحَرَّمٍ وَهُوَ هُنَا لَمْ يُخَالِفْهُ؛ لِأَنَّهُ إنَّمَا أَمَرَ بِمَا نَدَبَ إلَيْهِ الشَّرْعُ وَقَوْلُهُمْ يَجِبُ امْتِثَالُ أَمْرِهِ
3,343
Soalan: Apakah hukum makan cengkih ketika ihram? Adakah wajib fidyah kerana memakan sesuatu yang berbau wangi?   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Hukum memakai wangi-wangian semasa ihram adalah diharamkan. Jika seseorang itu melanggar larangan ini maka dia wajib dikenakan dam. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah ﷺ dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda ﷺ: لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ Maknanya: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” Riwayat Al-Bukhari (1542) Namun begitu, maksud wangi-wangian yang diharamkan itu ialah setiap bahan yang dianggap sebagai wangian pada adat kebiasaan. Jika diniatkan untuk berwangian maka diharamkan apa-apa bentuk penggunaannya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 504). Justeru bahan-bahan yang tidak diniatkan baunya ketika menggunakannya seperti untuk berubat, bersihkan diri, dan makan adalah tidak diharamkan dan tidak dikenakan dam sekalipun bahan-bahan itu memiliki bau yang wangi. Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/296) pada menerangkan perkara-perkara yang terkeluar daripada larangan berwangian ketika ihram ialah bahan makanan dan ubat-ubatan: وَمَا يُقْصَدُ بِهِ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي وَإِنْ كَانَ لَهُ رِيحٌ طَيِّبَةٌ كَالتُّفَّاحِ وَالْأُتْرُجِّ بِضَمِّ الْهَمْزَةِ وَالرَّاءِ وَتَشْدِيدِ الْجِيمِ عَلَى الْأَفْصَحِ وَيُقَالُ الْأُتْرُنْجُ وَالْقُرُنْفُلُ وَالدَّارَصِينِيُّ وَالسُّنْبُلُ وَسَائِرُ الْأَبَازِيرِ الطَّيِّبَةِ كَالْمُصْطَكَى لَمْ يَحْرُمْ وَلَمْ تَجِبْ فِيهِ فِدْيَةٌ لِأَنَّهُ إنَّمَا يُقْصَدُ مِنْهُ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي Maksudnya: “Dan apa-apa yang diniatkan dengannya untuk makan atau berubat, sekalipun ia memiliki bau yang wangi seperti epal, atruj (buah sitrus seakan lemon dan limau), cengkih, kayu manis, sunbul (sejenis tumbuhan yang akarnya digunakan untuk membuat wangian), dan segala jenis rembah ratus seperti mastoka (resin daripada pokok Mastik); maka tidak diharamkan (memakannya atau menggunakan sebagai ubat) dan tidak diwajibkan dengan penggunaannya fidyah (yakni dam) kerana sesungguhnya ia hanya digunakan untuk tujuan makan dan ubat-ubatan.” Tambahan lagi, berdasarkan buku Soal Jawab Haji & Umrah yang dikeluarkan oleh Tabung Haji dan dipersetujui oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH/JAKIM) menyebut soalan tentang hukum jika semasa ihram jemaah haji minum air sirap apakah hukumnya? Maka dijawab, jemaah haji boleh mengambil makanan dan minuman yang berperisa wangian kerana bahann yang digunakan itu adalah untuk menyedapkan makanan atau minuman itu sahaja. Rujuk Soal Jawab Haji & Umrah Cetakan 2017 (ms. 76) Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa memakan cengkih contohnya dalam makanan seperti sup, atau memakannya secara mutlak, tidaklah haram semasa ihram dan tidak dikenakan dam atau fidyah. Semoga penjelasan ini memberikan keyakinan kepada kita semua untuk beramal.
3,345
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.   Biografi dan latar belakang Imam al-Syafi’e Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada moyang mereka berdua iaitu Abdu Manaf. Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51) Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah. Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berumur 12 tahun, dan telah menghafal kitab al-Muwatto hanya dalam masa 9 hari untuk membolehkan dirinya belajar dengan Imam Malik bin Anas. Beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim, selain turut belajar daripada ulama Madinah yang lain. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berfatwa ketika umur beliau 15 tahun. Kemudiannya, beliau berpindah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan, sebelum menetap di Iraq dan berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Di Iraq, beliau telah mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim). Kemudian, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir, dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama dan mengasaskan mazhab yang baharu yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab al-Umm. Beliau turut mengarang kitab al-Risalah dalam ilmu Usul Fiqh, sekaligus menjadi pengasas bagi ilmu ini. Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas.Imam al-Syafi’e telah meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32)   Ketokohan Imam al-Syafi’e Ketokohan dan keilmuan Imam al-Syafi’e merupakan satu hal yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun. Kata Imam al-Karabisi: Kami tidak tidak mampu mengistinbatkan hukum daripada hadith-hadith, dan kami tidak mengetahui hakikat sebenar al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ sehinggalah Imam al-Syafi’e mengajarkannya kepada kami. Kata Imam Ahmad bin Hanbal: Syafi’e merupakan seorang ahli falsafah dalam empat bidang: bahasa Arab, perselisihan manusia, ilmu ma’ani dan fiqh. (Rujuk Tarikh Dimasyq 51/350)   Imam al-Syafi’e dan ilmu Maqasid Syariah Bagi penjelasan ringkas berkenaan Maqasid Syariah, rujuk artikel kami yang bertajuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke- 33: Pendahuluan Kepada Ilmu Maqasid Syariah.[1] Antara tokoh yang biasanya dikreditkan dengan penggagasan ilmu Maqasid Syariah ialah Imam al-Haramain al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Imam Abu Ishaq al-Syatibi. Namun, jarang sekali nama Imam al-Syafi’e disebut sebagai tokoh pembicara dalam ilmu ini. Dalam isu ini, Dr Ahmad Wifaq Mokhtar[2] telah mengarang sebuah kitab yang amat cemerlang, yang merupakan tesis Phd beliau yang bertajuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e (Maqasid Syariah Di Sisi Imam Syafi’e). Melalui kitab ini, Dr. Ahmad Wifaq mempersembahkan banyak bukti dan hujah yang mengesahkan bahawa Imam Syafie merupakan orang pertama yang berbicara mengenai ilmu Maqasid Syariah, dan yang terawal menggunakan istilah Maqasid al-Syari’ah itu sendiri. Hal ini sekaligus menyanggah pandangan sesetengah pihak yang tidak menyebut Imam Syafi’e sebagai pembicara terawal dalam bidang ini. Antara lain, beliau menukilkan kata-kata guru beliau iaitu Syeikh Farid al-Ansari[3]: “Ilmu Maqasid Syariah ini telah dikarang oleh dua orang tokoh, iaitu Imam al-Syafi’e dan Imam al-Syatibi”. Selain itu, tokoh-tokoh besar Maqasid seperti Imam al-Haramain al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Imam al-‘Izz bin Abdissalam merupakan ulama Syafi’eyyah, maka pastinya imam mereka semua iaitu Imam al-Syafi’e telah banyak membicarakan berkenaan Maqasid sebelum mereka. Bahkan Imam al-Syatibi sendiri dalam kitab beliau al-Muwafaqat, banyak merujuk kepada kitab al-Risalah karangan Imam al-Syafi’e. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Imam Al-Syafi’e merupakan insan pertama yang menggagaskan Maqasid sebagai satu manhaj dan menetapkan parameter-parameter dalam memahami Maqasid Syariah. (Rujuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 20-21 dan hlm. 41) Imam al-Syafi’e juga banyak menerapkan fikrah Maqasid Syariah sewaktu membahaskan objektif pensyariatan ibadah serta objektif pengharaman suatu perkara, antaranya: Tujuan solat- Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e: Ma’na yang dituntut daripada solat itu ialah bagi menghasilkan kekhusyukan dan ketundukan, penyerahan diri kepada Allah SWT, memperbaharui hati dengan pesanan-pesanan yang baik, hikmah yang sempurna, tafakkur terhadap ayat-ayat al-Qur’an serta doa kepada Allah SWT. Kerana itulah beliau melarang keras solat seumpama ayam yang mencatuk makanan kerana bercanggah dengan asas solat itu sendiri. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 78-79 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 91-92) Objektif puasa- Objektif pertama daripada tuntutan berpuasa, menurut Imam al-Syafi’e ialah sebagai ujian dan menilai kepatuhan terhadap Allah SWT, manakala objektif kedua ialah supaya manusia berlapar dan belajar melawan dorongan hawa nafsu. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 88) Kewajipan zakat- Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e berkenaan zakat: “Membayar zakat itu mestilah disegerakan, dan kewajipan itu tidak gugur dengan kematian. Jika kita katakan tidak wajib segera membayar zakat (tarakhiy) dan gugur kewajipan jika pembayar meninggal dunia, maka hal ini sebenarnya menyanggahi hikmah dan objektif syarak (maqasid) daripada pensyariatan zakat itu sendiri”. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm 60-61 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 43) Pengharaman benda yang memabukkan sebagai maqasid hifz al-aql- Haram bagi seseorang itu meminum arak, hatta untuk perubatan, kerana ia menghilangkan kewarasan dan kesedaran aqal, dan ia mencegah pula seseoran daripada melaksanakan kewajipannya dan membawa pula kepada perkara-perkara yang haram. (Rujuk Al-Umm 2/253)   Kesimpulan Tuntasnya, menurut kajian oleh Dr Ahmad Wifaq, Imam al-Syafi’e merupakan ulama pertama yang meletakkan batu asas kukuh bagi ilmu Maqasid Syariah, dan kesimpulan bagi kajian beliau antara lainnya ialah: Imam al-Syafi’e merupakan orang pertama yang menggunakan istilah Maqasid al-Syari’ah dan yang memahaminya sebagai kulliyyat al-syara’ dan maslahah ‘ammah. Istilah Maqasid al-Syari’ah banyak digunakan dalam kitab usul fiqh beliau, khasnya dalam kitab al-Risalah al-Qadimah. Imam al-Syafi’e merupakan yang terawal mengemukakan konsep al-dharuriyyat al-khams secara umum dan secara terperinci, serta membahagikan maslahah kepada dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Imam al-Syafi’e mengambil kira aspek Maqasid al-Syari’ah pada banyak permasalahan fiqh. Kitab al-Umm dipenuhi dengan ta’lil maqasidi yang memerlukan kepada kajian dan analisis untuk mengenalpasti manhaj ta’lil bi al-maqasid dan aplikasinya disisi Imam al-Syafi’e. (Rujuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e 468-471) Wallahu a’lam.   Nota kaki: [1] Rujuk pautan: https://bit.ly/2vtRLpT [2] Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Ibn Tufail di Maghribi, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Moulay Ismail juga di Maghribi, masing-masing dalam bidang Fatwa dan Maqasid Syariah. Merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. [3] Merupakan seorang ilmuan besar dalam bidang fiqh, usul fiqh, maqasid syariah dan pengajian al-Quran dari Maghribi. Juga merupakan pengarang karya-karya besar seperti Majalis al-Qur’an, Abjadiyyat al-Bahts fi al-‘Ulum al-Syar’iyyah dan al-Mustolah al-Usuliy ‘inda al-Syatibi.
3,346
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz berada dalam keadaan sihat sentiasa. Persoalan saya, apakah hukum mengebumikan jenazah pada waktu malam? Saya ada dengar yang kebumi jenazah waktu malam ini tidak dibenarkan. Mohon pencerahan ustaz. Maaf jika soalan saya ini menampakkan kejahilan saya. Ringkasan jawapan : Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Jika ahli keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari. Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya disegerakan. Semoga Allah mengurniakan pengakhiran hidup yang baik kepada kita semua. Huraian jawapan : Islam mengajarkan umatnya untuk menghormati manusia sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Oleh itu, Islam menuntut untuk mengebumikan mayat agar kehormatannya tetap terjaga. Ia juga bagi memastikan agar mayat tidak dirosakkan, bau tidak tersebar sehingga menarik perhatian binatang-binatang liar. Malahan, mengebumikan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang perlu ditunaikan dan tidak boleh ditinggalkan. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata : ‌رَأَى ‌نَاسٌ ‌نَارًا ‌فِي ‌الْمَقْبَرَةِ ‌فَأَتَوْهَا فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْقَبْرِ وَإِذَا هُوَ يَقُولُ: نَاوِلُونِي صَاحِبَكُمْ فَإِذَا هُوَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالذِّكْرِ Maksudnya : “Orang ramai melihat (cahaya) api di kawasan perkuburan. Lantas mereka pergi ke kawasan perkuburan tersebut. Rupa-rupanya Rasulullah SAW berada di kawasan tersebut. Baginda bersabda : “Bantu saya kebumikan sahabat kalian ini. Beliau adalah seorang lelaki yang menguatkan suara ketika berzikir.[1] Berdasarkan hadis di atas, para ulama menjadikan ia dalil tentang keharusan jenazah dikebumikan pada waktu malam, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi. Beliau menyatakan : ‌ويجوز ‌الدفن ‌ليلا “Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam”[2] Al-Khatib Al-Syirbini juga menjelaskan dengan lebih terperinci : (وَيَجُوزُ) بِلَا كَرَاهَةٍ (الدَّفْنُ لَيْلًا) لِأَنَّ عَائِشَةَ وَفَاطِمَةَ وَالْخُلَفَاءَ الرَّاشِدِينَ مَا عَدَا عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ دُفِنُوا لَيْلًا، وَقَدْ فَعَلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  كَمَا صَحَّحَهُ الْحَاكِمُ، وَلَا يَخْفَى أَنَّ الْكَلَامَ فِي مَوْتَى الْمُسْلِمِينَ “Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam tanpa ada kemakruhan pada perbuatan tersebut. Ini kerana ‘Aisyah, Fatimah dan para Khulafa’ Al-Rasyidin kesemuanya dikebumikan pada waktu malam melainkan Ali RA. Rasulullah SAW juga melakukannya seperti mana hadis yang telah dinilai sahih oleh Al-Hakim. Tidak syak lagi bahawa perbahasan tersebut adalah melibatkan jenazah orang Islam.”[3] Ibn Hajar Al-Haitami juga menjelaskan perkara yang sama. Beliau menyatakan : (‌وَيَجُوزُ ‌الدَّفْنُ ‌لَيْلًا) بِلَا كَرَاهَةٍ “Harus mengebumikan jenazah pada waktu malam bukan makruh.”[4] Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau terhadap hadis Sahih Muslim. Beliau menjelaskan bahawa keharusan mengebumikan jenazah pada waktu malam adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis antaranya hadis wanita berkulit hitam serta riwayat hadis tentang seorang lelaki yang berada di masjid dan meninggal dunia pada waktu malam. Namun,jika perbuatan mengebumikan jenazah pada waktu malam boleh menyebabkan orang ramai meninggalkan solat ke atas jenazah, kurangnya orang yang menunaikan solat ke atas jenazah atau tidak teliti ketika kafankan jenazah kerana ingin segera mengebumikan, maka ianya tidak dibenarkan seperti mana riwayat hadis yang lain.[5] Kesimpulannya, harus mengebumikan jenazah pada waktu malam. Jika ahli keluarga menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas jenazah, maka lebih baik dikembumikan pada siang hari. Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka sebaiknya disegerakan. Nota hujung : [1] Riwayat Abu Daud, no 3163, Sunan Abi Daud (2009), Dar Al-Risalah Al-‘Alamiyah, Beirut, j.5 h.65. [2] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Minhaj Al-Tolibin wa ‘Umdah Al-Muftin (2005), Dar Al-Fikr, Beirut, h.62 [3] Al-Khatib Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj (1994), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.2 h.54. [4] Ibn Hajar Al-Haitami, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (1983), Pencetakan Mustafa Muhammad, Mesir, j.3 h.194. [5] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Bin Hajjaj (1972),Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.7 h.11.
3,348
SOALAN Seorang jemaah haji melaksanakan umrah sunat sebanyak empat kali namun pada umrah yang pertama, kedua dan ketiga dia tidak melakukan tahallul atau bergunting tetapi dia bertahallul hanya selepas menunaikan umrah yang keempat. Berapakah bilangan umrah yang dikira sah dan adakah dia dikenakan apa-apa dam?   JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Dalam mengunjungi Baitullah al-Haram sememangnya kita digalakkan memperbanyakkan ibadah umrah. Ini kerana, terdapat pelbagai kelebihan dan fadhilat yang akan dicapai oleh mana-mana para jemaah yang mampu melakukan ibadah umrah ini dengan sebanyak mungkin. Antara kelebihannya adalah apa yang disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadithnya:   Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:   الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)   Merujuk kepada persoalan di atas, ibadah umrah yang dilakukan oleh jemaah tersebut hanya sekali sahaja yang dikira sah. Ini kerana jemaah tersebut hanya mencukupkan satu kali rukun umrah yang wajib dilaksanakannya bagi menjadikan umrahnya lengkap dan sempurna. Antara rukun yang wajib dilakukan oleh seorang jemaah bagi melaksanakan satu ibadah umrah ialah: Niat umrah serta berihram. Tawaf umrah sebanyak tujuh pusingan. Sa’ie umrah di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Bercukur atau bergunting. Tertib Oleh itu, jika jemaah haji melaksanakan kesemua rukun-rukun yang dinyatakan seperti di atas maka sempurnalah baginya satu kali umrah. Sebaliknya, jika rukun-rukun di atas tidak dilakukan atau dilakukan secara tidak lengkap maka umrahnya adalah tidak dikira dan dikenakan dam jika melanggar mana-mana larangan dalam berihram. Allah SWT berfirman:   وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196)   KESIMPULAN Dalam isu ini, jemaah haji tersebut hanya melaksanakan satu kali umrah sahaja walaupun dia berniat, tawaf dan sa’ie secara berulang-ulang. Ini kerana pengulangan amalan-amalan tersebut adalah tidak sempurna selagimana dia tidak melaksanakan tahallul iaitu bercukur. Justeru, umrahnya yang dikira sah hanyalah satu kali sahaja iaitu umrahnya yang pertama dengan tahallul umrah yang terakhir manakala tiga umrah yang lain tidak dikira sah kerana dia tidak menyempurnakan tahallul. Selain itu, jika jemaah haji tersebut ada melanggar mana-mana larangan yang terdapat sepanjang berihram maka jemaah haji tersebut akan dikenakan dam. Dam yang dikenakan adalah mengikut kesalahan-kesalahan yang dibuat. Namun begitu, jika dia tidak melanggar apa-apa larangan ihram maka tidaklah dikenakan apa-apa dam. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.   Wallahua’lam
3,349
SOALAN Apakah yang dimaksudkan dengan Idhtiba’ (اضطباع) serta hukumnya? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW. Idhtiba’ (اضطباع) ialah seseorang lelaki yang berihram dengan meletakkan kain selendang yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanannya terbuka. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/109) Hukum idhtiba’ adalah sunat (mustahab). Daripada Ibn Ya’la meriwayatkan daripada bapanya: أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم طَافَ بِالْبَيْتِ مُضْطَبِعًا وَعَلَيْهِ بُرْدٌ Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW bertawaf di Baitullah secara mudhtabi’ dan Baginda memakai Burd (selendang yang bergaris).” Riwayat al-Tirmizi (829) Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau kepada hadis di atas menukilkan kata-kata Syeikh Al-Qari yang menyatakan: Idhthiba’ dan Ramal keduanya merupakan sunnah pada setiap tawaf yang selepasnya dilakukan sa’ie dan idhthiba’ adalah sunnah pada setiap pusingan berbeza dengan Ramal. Serta tidak digalakkan idhthiba’ pada selain tawaf. Dan apa yang dilakukan oleh masyarakat awam dari perbuatan idhthiba’ ketika bermulanya ihram semasa haji atau umrah adalah sesuatu yang tiada asal baginya, bahkan dimakruhkan semasa solat. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (1/506). Manakala perkataan Ramal yang dimaksudkan adalah merujuk kepada perbuatan seseorang itu bersegera dalam berjalan atau berjalan dengan laju semasa semasa tawaf serta bergoncang kedua bahunya. Perbuatan Ramal ini adalah di antara perkara sunat dalam tawaf dan disunatkan pada tiga pusingan tawaf yang pertama yang terdapat sa’ie selepasnya. Inilah pendapat majoriti para fuqaha dan mereka turut menyatakan bahawa perbuatan Ramal ini hanyalah disunatkan kepada golongan lelaki sahaja dan bukannya orang perempuan. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَصْحَابَهُ اعْتَمَرُوا مِنَ الْجِعْرَانَةِ فَرَمَلُوا بِالْبَيْتِ وَجَعَلُوا أَرْدِيَتَهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ قَدْ قَذَفُوهَا عَلَى عَوَاتِقِهِمُ الْيُسْرَى Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW dan para sahabatnya berumrah dari Ji’ranah, maka mereka segera mengelilingi al-Bait (Ka’bah) dan (menggerakkan bahunya) dengan penuh kebanggaan. Mereka meletakkan pakaian atas mereka di bawah ketiak mereka dan melemparkan hujung ke atas bahu kiri mereka. Riwayat al-Tirmizi (829) dan Abu Daud (1884)   KESIMPULAN Kami berpandangan bahawa disunatkan kepada semua jemaah haji lelaki untuk memakai ihram secata idtiba’. Hal ini kerana, perbuatan tersebut adalah apa yang mengikut tuntutan yang dibuat oleh baginda Nabi SAW dan para sahabat. Justeru pemakaian ihram secara idtiba’ adalah satu perkara mustahab (sunat) dan dikira ganjaran pahala mengikut sunnah Nabi SAW. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.
3,350
Soalan: Apakah status hadith ini?   Nabi SAW bersabda:   الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Rasulullah SAW merupakan insan yang terpuji Berselawat ke atas Nabi SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama yang mana dalilnya bersumberkan dari al-Quran dan juga sunnah.   Firman Allah SWT:   إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا al-Ahzab: 56 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya sentiasa berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman! berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”   Berdasarkan soalan di atas, terlebih dahulu suka bagi kami untuk menyatakan sumber hadith ini sebelum kami datangkan pandangan para ulama dalam menilai hadith ini: Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW seperti Ali bin Abi Talib, al-Husain bin Ali dan Abu Hurairah R.anhum. Tambahan pula, riwayat atau hadith ini ada dinukilkan atau diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885). Selain itu, Imam al-Tirmizi turut meriwayatkan hadith yang sama di dalam al-Jami’atau sunannya (3546). Di samping itu juga, Imam Ahmad dan juga Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan hadith atau riwayat seperti ini tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza iaitu:   Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” [Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)]   Adapun berkaitan status hadith atau riwayat di atas, di sini kami nukilkan beberapa pandangan para ulama dalam menilai riwayat ini: Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadith ini adalah hadith hasan sahih gharib. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. Hadith: 3546] Imam Ibn Hibban (354 H) menghukum hadith ini sebagai sahih di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 3/189] Imam al-Hakim (405 H) mengatakan sanad hadith ini adalah sahih tetapi ia tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim,. [Lihat: al-Mustadrak, 1/734] Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) mengatakan hadith ini tidak kurang daripada darjat hasan. [Lihat: Fath al-Bari, 11/168] Imam al-Zurqani (1122 H) menghukum hadith ini sebagai sahih. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 266] Imam al-Syaukani (1250 H) menilai hadith ini sebagai masyhur. [Lihat: Nail al-Awthar, 8/278]   Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah sahih. Adapun maksud hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh al-Munawi bahawa orang yang tidak berselawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama Nabi SAW adalah orang yang bakhil terhadap dirinya sendiri kerana telah terhalang ke atasnya selawat Allah sebanyak 10 kali kepadanya apabila dia berselawat sekali ke atas Nabi SAW. Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/373] Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat). [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 321]   Penutup Kesimpulannya, hadith berkaitan malas berselawat tanda kebakhilan adalah hadith yang sahih sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Di samping itu, di sana terdapat banyak lagi hadith-hadith yang sahih dalam menyatakan kelebihan bagi orang yang sentiasa melazimi selawat ke atas Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai Nabi SAW agar kita dapat bersama dengan Baginda SAW di dalam syurga kelak. Amin.   Wallahua’lam
3,352
Mukadimah Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Pada hari ini, kami diberi satu pertanyaan khusus berkenaan dengan isu bacaan al-Fatihah dalam solat dengan menggunakan bahasa Inggeris. Justeru, kami berpendapat, isu ini bukanlah besar tetapi ia menjadi sebuah tanda tanya kepada ramai golongan sama ada yang Muslim atau saudara mualaf ketikamana mereka melaksanakan ibadat solat. Insya Allah, kami akan memberi respon dan jawapan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Bacaan Al-Fatihah dalam Solat dengan Bahasa Inggeris. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. Amin.   Ucapan Tahniah Pertama sekali, kami mengucapkan tahniah kepada pengarah Michael Ang kerana memilih untuk kembali kepada agama fitrah, iaitu agama Islam. Suka kami nyatakan keislamannya memberi makna yang besar kepada umat Islam di Malaysia kerana beliau adalah salah seorang yang cukup berpengaruh dalam industri seni dan hiburan. Kami percaya bahawa keislamannya itu memberi sinar dalam kehidupannya sendiri untuk meniti hari-hari yang mendatang dengan panduan cahaya hidayah daripada-Nya. Kami berdoa kepada Allah SWT semoga saudara Michael Ang diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan penuh sabar dan mengisinya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita mengamalkan doa berikut: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”   Hukum Membaca Surah al-Fatihah dalam Solat Berkenaan isu ini, para ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat: Pertama: Jumhur ulama’ dari kalangan Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpendapat al-Fatihah merupakan rukun daripada rukun solat berdasarkan nas yang akan disebutkan nanti. Kedua: Mazhab Hanafi berpendapat membaca al-Fatihah termasuk dalam wajib solat dan bukan rukun solat kerana sabitannya berdasarkan khabar wahid. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/9) Kami berpendapat, hujah jumhur ulama’ adalah lebih kuat kerana itulah yang dilazimi oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan salafus soleh.   Bacaan al-Fatihah dalam Solat dengan Bahasa Selain Arab Solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri yang antaranya merangkumi rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli (ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda: لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900) Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali. Riwayat Muslim (907) Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283) Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang mazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288) Manakala berkenaan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi menyebut: وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ Maksudnya: Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365) Imam al-Baijuri ada menjelaskan berkenaan beberapa syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang, antaranya: Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mukjizat al-Qur‘an itu. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290. Lihat juga al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/255) Kami nyatakan juga daripada pendapat al-Baijuri, bahawa jika sekiranya tidak mampu membaca apa-apa hatta doa sekalipun, hendaklah dia berdiri seperti biasa sekadar membaca al-Fatihah. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290)   Pendapat Ibnu Qudamah dalam Mazhab Hanbali: Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam kitab al-Mughni menyebut: Tidak memadai membaca al-Fatihah selain daripada bahasa Arab serta tidak boleh menukarkan lafaznya dengan lafaz Arab yang lain sama ada seseorang itu baik bacaannya dalam bahasa Arab ataupun tidak. Inilah juga pendapat Imam Syafi’e, Abu Yusuf dan Muhammad ibn Hasan al-Syaibani. Sedangkan Abu Hanifah berpendapat harus membaca demikian itu selain daripada bahasa Arab. Para ashabnya menambah, ini bagi mereka yang tidak baik dalam penguasaan bahasa Arab. (Lihat al-Mughni, 1/350)   Syor dan Cadangan Kami nyatakan seperti berikut: Boleh mulakan dengan menghafal perkara-perkara rukun terlebih dahulu seperti al-Fatihah. Mungkin boleh hafal secara beransur-ansur mengikut potongan ayat seperti menghafal satu hari satu ayat atau satu minggu satu ayat. Dan kemudian menambah lagi sedikit demi sedikit secara beransur-ansur. Allah SWT berfirman: وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” Surah al-Qamar (17) Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan ayat di atas, menukilkan pendapat Mujahid yang berkata: "Yakni, bacaannya menjadi mudah." Al-Suddi pula berkata: "Ertinya, Kami mudahkan bacaannya bagi semua lidah." (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 7/135) Kemudian boleh meneruskan hafalan rukun-rukun qauli yang lain seperti bacaan tahiyat dan selawat dengan memulakan dengan hafalan yang ringkas dahulu. Adapun perbuatan menterjemahkan mengikut pandangan jumhur ulamak tidak dibenarkan kecuali satu pendapat dalam mazhab Hanafi yang menyatakan boleh untuk membaca seperti terjemahan akan tetapi diberi tempoh tertentu. Kepada yang tidak mampu baca al-Fatihah dalam bahasa Arab, bacalah ayat al-Quran seperti membaca “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ” yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al Fatihah. Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya zikir-zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fatihah berdasarkan hadis berikut: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ. Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi SAW, lalu beliau berkata kepada Baginda: Sesungguhnya aku tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al-Qur’an. Lalu Baginda SAW pun menjawab: Bacalah: سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ Maksudnya: (Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar). Riwayat Abu Daud (832), al-Baihaqi (4148) dan Ahmad (19138) Pada kesempatan ini juga, kami ingin menjemput saudara Michael Ang untuk berkunjung ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan insya Allah kami akan hadiahkan beberapa buah buku yang sesuai bagi memudahkan beliau mengamalkan ajaran Islam. Selamat menjalani ibadah puasa juga kami ucapkan.   Penutup Islam adalah satu agama yang lengkap, menyeluruh dan sentiasa sesuai dengan kondisi penganutnya. Allah SWT berfirman: لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah: 286) Allah SWT turut berfirman: فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…” (Surah al-Taghabun: 16) Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat sekeliling kita. Kami akhiri Bayan Linnas pada kali ini dengan berdoa kepada Allah SWT: رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Surah Ibrahim (40) Akhukum fillah, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 5 Mei 2019 bersamaan 29 Sya’ban 1440 Hijrah.    Baca juga artikel berkaitan: al-Afkar #5: Mualaf Tidak Tahu Baca al-Fatihah dalam Solat
3,353
Soalan: Terdapat rakan saya dalam facebook yang mengaku dirinya seorang penganut agnostik. Dia sering mempertikaikan pegangan umat Islam hari ini seperti mempersoalkan keadilan tuhan, mempertikaikan Islam satu-satunya agama yang benar dan seumpamanya. Apakah sebenarnya fahaman agnostik ini dan kedudukannya dalam Islam?     Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.   Salah satu fenomena paling kritikal yang kian membarah dalam kalangan anak-anak muda pada hari ini adalah kecenderungan terhadap fahaman agnostisisme. Kepesatan teknologi maklumat yang berasaskan internet, kecanggihan alat telekomunikasi seperti gajet dan android serta pelbagai perisian media sosial seumpama facebook, instagram, wechat dan whatsapp, telah mendedahkan golongan muda-mudi Islam kepada pelbagai bentuk aliran pemikiran dan ideologi semasa.   Dalam situasi masyarakat dunia bercakap tentang hak asasi manusia, sebahagian anak muda merasakan mereka perlu diberikan hak dalam segala perkara. Slogan hak asasi manusia dicanang ke sana ke mari seperti kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan beragama dan pelbagai lagi. Semua itu menjadi idealisme perjuangan bagi sesetengah anak muda masa kini.   Dalam soal agama, mereka inginkan ruang seluas-luasnya diberikan agar mereka boleh berbahas, mengkritik, menerima atau menolak apa sahaja isi kandungan agama. Jika ahli agama boleh menyatakan pendapat, mereka juga boleh menyatakan pendapat biarpun tanpa menguasai disiplin ilmu berkaitan bidang agama itu sendiri. Semua ini akhirnya menjadi punca mengapa sesetengah anak muda terjebak ke dalam fahaman songsang agnostik.   Definisi agnostik   Agnostik adalah seseorang yang menganut fahaman agnostisisme. Mereka mengatakan bahawa kebenaran yang pasti tidak akan dapat diketahui. Tiada perkara yang thabit (tetap) bahkan semuanya sentiasa berubah-rubah seumpama sungai yang berubah-ubah arah aliran mengikut keadaan masa. Mereka berpandangan tiada yang tetap di alam ini, dan ketidaktetapan itulah ketetapan.   Dalam bahasa Arab, golongan ini digelar sebagai penganut fahaman "Al-la adriyyah" yang bermaksud "Saya tidak tahu". Dengan kata frasa Arab "La" di hadapannya, ia bermaksud "Tidak tahu". Mereka menafikan bahawa terdapatnya kebenaran yang pasti dan boleh diketahui. Berasaskan fahaman sebegini, maka mereka membincangkan pelbagai isu tentang ketuhanan, kenabian, agama-agama lain dan sebagainya.   Hasilnya, tiada konklusi kukuh yang dicapai kecuali mengatakan semua pandangan bersifat relatif. Mungkin benar dan mungkin salah. Tiada kebenaran mutlak pada mana-mana pihak. Akhirnya mereka berkesimpulan, ilmu mengenai hakikat sesuatu perkara itu mustahil untuk dicapai kerana tiada sesuatu pun yang bersifat tetap di alam ini. Golongan ini akan terus menerus berada dalam keraguan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.   Agnostisisme salah satu cabang aliran sophisme   Pada hakikatnya, fahaman agnostisisme adalah termasuk salah satu fahaman yang telah dijawab dalam perbahasan ilmu kalam Islami. Ia adalah sekte yang wujud dalam faham sufasta’iyyah atau sophisme. Bahkan Imam al-Nasafi memasukkannya ke dalam perbahasan akidah. Beliau menyatakan, “ḥaqa’iq al-ashya’ thabitah wa al-ʿilm biha mutahaqqiq, khilafan li al-sufasta’iyyah”. Ertinya, hakikat segala sesuatu itu adalah tetap, dan pengetahuan tentangnya boleh dicapai, bersalahan dengan golongan sufasta’iyyah. (Syarh al-ʿAqa’id al-Nasafiyyah: 1988/13-14)   Ketika mensyarahkan ungkapan Imam al-Nasafi, Imam al-Taftazani membahagikan sufasta’iyyah ke dalam tiga bentuk. Pertama adalah al-‘indiyyah atau relativisme. Kelompok ini meyakini bahawa tiada yang objektif dalam ilmu dan kebenaran. Semuanya bersifat subjektif. Ringkasnya, kelompok ini meyakini bahwa kebenaran itu bergantung kepada orang yang mengatakannya.   Kedua, al-‘inadiyyah atau skeptisisme yang bermakna the obstinate alias keras kepala. Kelompok ini merasa ‘masih jahil’ dengan kebenaran walaupun kebenaran itu sudah jelas. Ringkasnya, kelompok ini mengatakan bahawa tidak ada manusia yang tahu di dunia ini.   Ketiga, al-la adriyyah atau agnostisme. Kelompok ini selalu ragu dalam melihat kebenaran kerana tidak tahu hakikat kebenaran itu sendiri. “I don’t know”, begitulah tepatnya. Ringkasnya, kelompok ini mengatakan bahwa kebenaran itu tidak dapat dicapai oleh manusia. (Ibid.)   Menurut al-Attas, kelompok ini berasal daripada sebuah gerakan falsafah pada zaman Yunani kuno oleh saintis palsu yang digelar sophist pimpinan Protagoras (480-410SM), Georgias (483-375SM), Hippias (460-399SM) dan Prodicus (465-395SM). Mereka ini kelompok yang menyesatkan dengan menyebarkan fahaman etika dan epistemologi relativisme.   Bagi mereka, hakikat kewujudan itu tidaklah penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka hanyalah penipuan belaka. Ibadat ritual itu tiada gunanya serta validiti hukum itu hanya sesuai untuk waktu dan tempat tertentu sahaja. Mereka juga memasukkan benih-benih keraguan dalam ilmu dan kemungkinan untuk mendapatkannya serta menerapkan faham skeptisisme. (The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The ʿAqa’id al-Nasafi: 1988/47-48).   Fenomena sophisme masa kini   Jika diteliti, ciri-ciri fahaman yang telah digariskan oleh para ulama ini jelas terlihat pada kelompok neo-sophist masa kini atau mereka yang sepemikiran dengan mereka. Misalnya, dalam hal ketuhanan, tiada sesiapa yang boleh mendakwa hakikat ketuhanan yang sebenar. Masing-masing berhak mengemukakan interpretasi tuhan mengikut daya pemikiran sendiri. Oleh itu, tiada sesiapa boleh dipersalahkan dalam memahami konsep ketuhanan termasuk mereka yang sampai ke peringkat menolak kewujudan tuhan. Ini kerana hakikat ketuhanan itu memang sesuatu yang tidak boleh dicapai disebabkan kesemua pendapat mengenainya boleh diragukan (al-la adriyyah).   Dalam bidang tafsir, tiada tafsir yang benar, semuanya relatif (al-‘indiyyah). Justeru, mereka hanya menukilkan pendapat para mufassir yang sesuai dengan selera mereka sahaja. Dalam bidang syariah, tidak ada lagi teks yang bersifat qat’i (muktamad) dan thawabit (tetap), semuanya terbuka luas untuk diijtihadkan oleh akal. Dalam bidang perbandingan agama, mereka pergi lebih jauh hingga mengatakan kebenaran wujud dalam semua agama dan tiada kebenaran yang mutlak.   Framework semacam ini digunakan dalam falsafah ilmu Barat moden dan diterima sepenuhnya oleh mereka. Maka yang perlu kita diperbetulkan di sini adalah ilmu itu tidaklah neutral atau bebas nilai, akan tetapi sarat dengan nilai. Oleh itu, ilmu yang lahir dari rahim Barat, tidak dinafikan sarat dengan nilai-nilai Barat. Namun, menolaknya secara mentah-mentah juga adalah suatu kebodohan. Kerana itu, ia boleh diterima tetapi disaring terlebih dahulu.   Hal inilah yang dilakukan oleh para ilmuan kita pada masa lalu ketika ilmu falsafah Yunani, Parsi dan India digalakkan untuk dikaji. Mereka tidak langsung menerima melainkan melalui proses penyaringan terlebih dahulu seperti yang dikatakan oleh al-Kindi bahawa para sarjana muslim tidak menerima bulat-bulat ilmu asing, tetapi ilmu itu mestilah melalui proses penyaringan yang berasaskan adat dan agama Islam. (Al-Kindi’s Metaphysics: 1974/58).   Akidah Islam menolak sophisme   Berdasarkan hakikat ini, amat penting bagi setiap muslim untuk memahami epistemologi ilmu menurut Islam. Setiap peradaban memiliki faham tersendiri tentang ilmu, demikian juga Islam. Bagi Islam, epistemologi bukan sekadar teori tetapi ia adalah sebahagian daripada akidah. Ini sudah dibahas oleh para ulama pada masa dahulu.   Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kitab karangan Imam al-Nasafi berjudul al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, adalah antara kitab akidah yang menjadi pegangan Ahli Sunah Wal-Jamaah dalam membicarakan apa yang disebut sebagai epistemologi ilmu. Ia membahaskan tentang hakikat sesuatu perkara yang boleh dicapai oleh manusia bertentangan dengan fahaman sophisme yang menafikannya. Adapun cara dan sebab musabbab manusia menerima ilmu serta jalan mencapainya (asbab al-‘ilm), yang pertama adalah melalui pancaindera yang lima (khawas al-khamsah). Kedua melalui akal yang sihat (al-‘aql al-salim). Dan ketiga adalah melalui perkhabaran yang benar (al-khabar al-sadiq). Melalui ketiga-tiga sumber inilah manusia boleh mencapai hakikat sesuatu perkara itu.   Dalam bahasa kontemporari, ketiga-tiga sumber ilmu itu dikenali sebagai sumber empirik (al-haqiqah al-tajribiyyah), sumber rasional (al-haqiqah al-‘aqliyyah) dan sumber autoriti (al-haqiqah al-mutlaqah). Sebagai contoh, jika kita ditanya bagaimana untuk memperoleh ilmu tentang warna cahaya matahari? Lalu dijawab, saya melihatnya sendiri dengan mata. Di sini, perbuatan melihat dengan mata itu merupakan bukti empirik yang paling asas.   Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 78, “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”   Di sini, penglihatan adalah lambang kepada pancaindera dan pendengaran adalah lambang kepada perkhabaran yang benar, manakala hati adalah lambang kepada akal yang sihat. Menerusi tiga sumber inilah ia menjadi wasilah (jalan) kepada manusia untuk memperoleh hakikat ilmu. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 179,   “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”   Ayat ini jelas menunjukkan kepincangan golongan yang mengatakan manusia tidak mampu mencapai hakikat kebenaran mutlak. Inilah fahaman sophisme atau sufasta’iyyah yang sangat ditolak oleh Islam. Ini yang sering dipelajari dalam ilmu-ilmu falsafah Barat yang keliru lagi mengelirukan.   Imam al-Taftazani berpendapat, tiada jalan untuk berbahas dengan golongan seumpama ini, khususnya puak agnostik. Ini kerana, mereka tidak menerima perkara yang maklum untuk mensabitkan perkara yang tidak maklum. Misalnya, mereka tidak menerima kewujudan alam ini, untuk mensabitkan pencipta di sebalik alam ini. Justeru,  mereka sewajarnya ditawarkan dua perkara,  sama ada mengakui hakikat kebenaran boleh dicapai atau diazab dengan api. (Sharh al-ʿAqa’id al-Nasafiyyah: 1988/14) Semoga apabila mereka disuakan dengan api, saat tersebut mereka akan benar-benar insaf bahawa hakikat sesuatu itu sabit dan boleh dicapai. Wallahu a’lam.
3,356
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Apa khabar? Ustaz saya ada terbaca seorang ‘Da’i‘ yang tulis sebuah hadis di media sosial. Dia tulis Nabi SAW bersabda sesiapa yang mengislamkan seseorang, wajib syurga baginya. Apa pandangan ustaz tentang hadis ini? Mohon penjelasan ustaz. Ringkasan jawapan: Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis, antaranya al-Mu’jam al-Ṣaghīr, al-Mu’jam al-Awṣaṭ dan al-Mu’jam al-Kabīr oleh Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī (m. 360 H). Hadis ini turut dinukilkan oleh al-Shihāb al-Quḍā’ī (m. 454 H) di dalam kitab Musnad beliau. Al-Khaṭīb al-Baghdādī (m. 463 H) juga menukilkan hadis ini di dalam Tarikh Baghdād dengan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh al-Ṭabarānī Hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih. Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang antaranya hadis yang diriwayatkan di dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Huraian jawapan: Terdapat sebuah teks (matan) yang sama dengan persoalan yang dikemukakan. Teks hadis tersebut ialah: ‌مَنْ ‌أَسْلَمَ ‌عَلَى ‌يَدَيْهِ ‌رَجُلٌ ‌وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ Maksudnya: “Sesiapa yang memeluk islam di tangannya (yakni melalui usahanya) seorang individu yang lain, wajib syurga baginya.” Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis, antaranya al-Mu’jam al-Ṣaghīr oleh Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī (m. 360 H).[1] Beliau menukilkan sanad seperti berikut: حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ عَمْرٍو الْعُكْبَرِيُّ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُعَاوِيَةَ النَّيْسَابُورِيُّ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْيَزَنِيِّ , عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ “Khalf bin ‘Amr al-‘Ukbarī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Mu‘āwiyah al-Nisabūrī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Laith bin Sa’ad telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Yazīd bin Abī Habīb daripada Abu al-Khayr Marthad bin Abd Allah al-Yazanī daripada ‘Uqbah bin ‘Āmir al-Juhanī, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda…” Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī turut meriwayatkan hadis ini di dalam al-Mu’jam al-Kabīr[2] dan al-Mu’jam al-Awṣaṭ[3] dengan sanad yang sama. Hadis ini turut dinukilkan oleh al-Shihāb al-Quḍā’ī (m. 454 H) di dalam kitab Musnad beliau. Beliau menukilkan sanad seperti berikut: أَخْبَرَنَا أَبُو مُحَمَّدٍ التُّجِيبِيُّ، أبنا يَحْيَى بْنُ الرَّبِيعِ الْعَبْدِيُّ، ثنا عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ مُحَمَّدٍ الْأُمَوِيُّ، ثنا سَعِيدُ بْنُ كَثِيرِ بْنِ عُفَيْرٍ، ثنا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ , عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya: “Abu Muhammad al-Tujaibī telah memberitahu kepada kami, beliau berkata: Yahyā bin al-Rabī’ al-‘Abdī, beliau berkata: Abd al-Salām bin Muhammad al-Amawī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Laith bin Sa’d telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada abu al-Khair daripada ‘Uqbah bin ‘Āmir, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda…”[4] Al-Khaṭīb al-Baghdādī (m. 463 H) juga menukilkan hadis ini di dalam Tarikh Baghdād dengan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh al-Ṭabarānī.[5] Jika dilihat sanad hadis tertumpu kepada al-Laith bin Sa’d dan terdapat dua orang perawi yang meriwayatkan daripada beliau iaitu Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair dan Muhammad  bin Mu’awiyah al-Naysaburī. Rajah berikut menjelaskan perkara ini.                    Muhammad bin Mu’āwiyah Abu ‘Ali al-Nisāburī adalah seorang perawi yang tidak thiqah (dipercayai kredibilitinya) bahkan periwayatan beliau ditinggalkan oleh ulama hadis (matrūk al-hadīth). Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nasaiī (m. 303 H)[6]. Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa Muhammad bin Mu’awiyah adalah seorang pendusta[7] bahkan Imam Ahmad menyebut : رأيت احاديثه أحاديث موضوعة “Saya melihat hadis-hadis beliau adalah hadis-hadis yang palsu”[8] Ibn Hatim juga turut mengkritik kredibiliti beliau dalam periwayatan hadis. Beliau menjelaskan bahawa Muhammad bin Mu’awiyah banyak meriwayatkan hadis yang tidak boleh dijadikan sokongan.[9] Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair adalah seorang perawi yang thiqah. Hal ini dijelaskan oleh Ibn Hibban di dalam kitab al-Thiqāt.[10] Imam al-Nasaiī menyebut beliau adalah seorang yang Ṣaliḥ.[11] Al-Laith bin Sa’ad adalah seorang tokoh terkenal di Mesir. Imam Ahmad menyebut bahawa beliau adalah seorang yang banyak meriwayatkan hadis dan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau ialah hadis yang sahih.[12] Yahyā bin Ma’in dan Ali bin al-Madīnī turut menilai beliau sebagai seorang perawi yang thiqah dan kuat hafalan.[13] Yazīd bin Abī Ḥabīb ialah Yazid bin Suwaid, seorang ahli hadis yang berasal daripada Mesir. Abu Zur’ah mengatakan beliau seorang perawi yang thiqah.[14] Beliau banyak meriwayatkan hadis dan ketokohan beliau diiktiraf.[15] Justeru hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih. Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang. Sahl bin Sa’ad meriwayatkan: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمَ خَيْبَرَ: لَأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يَفْتَحُ اللهُ عَلَى يَدَيْهِ، يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللهُ وَرَسُولُهُ. قَالَ: فَبَاتَ النَّاسُ يَدُوكُونَ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَاهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ النَّاسُ غَدَوْا عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّهُمْ يَرْجُو أَنْ يُعْطَاهَا، فَقَالَ: أَيْنَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَقِيلَ: هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ، يَشْتَكِي عَيْنَيْهِ، قَالَ: فَأَرْسِلُوا إِلَيْهِ. فَأُتِيَ بِهِ فَبَصَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَيْنَيْهِ وَدَعَا لَهُ، فَبَرَأَ حَتَّى كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجَعٌ، فَأَعْطَاهُ الرَّايَةَ، فَقَالَ عَلِيٌّ: يَا رَسُولَ اللهِ، أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا؟ فَقَالَ: انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقِّ اللهِ فِيهِ، فَوَاللهِ ‌لَأَنْ ‌يَهْدِيَ ‌اللهُ ‌بِكَ ‌رَجُلًا ‌وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda pada hari peperangan Khaibar: Saya akan memberikan panji ini esok kepada seorang lelaki yang mana Allah memberikan kemenangan di tangannya, dia sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya begitu Allah dan Rasul-Nya sangat mencintainya. Sahl berkata: Para sahabat mula berselisih pandangan pada waktu malam siapakah antara mereka yang akan diberikan panji tersebut. Apabila tiba waktu pagi, kesemua sahabat pergi bertemu Rasulullah sambil berharap mereka akan diberikan panji itu. Kemudian Nabi SAW bersabda: Di manakah Ali bin Abi Ṭalib, ada yang? Lalu dikatakan kepada Nabi: Wahai Rasulullah, beliau mengadu sakit mata. Rasulullah SAW bersabda: Pergi panggil beliau. Lalu Ali dibawa menghadap Nabi kemudian Nabi ludah ke mata beliau sambil berdoa. Lantas mata Ali menjadi sembuh seakan-akan beliau tidak pernah sakit. Kemudian Nabi memberikan panji kepada Ali, beliau berkata: Wahai Rasulullah, adakah saya perangi mereka sehingga mereka jadi seperti kita? Baginda bersabda: Perlahan-lahan sehinga kamu tiba di kawasan mereka kemudian seru mereka dan jelaskan kewajipan dan hak Allah yang perlu ditunaikan. Demi Allah, seorang lelaki yang diberikan hidayah oleh Allah kerana kamu lebih baik daripada kamu memiliki unta merah.“[16] Menurut Al-Mulā Ali al-Qarī hadis di atas merupakan satu pendekatan bagi memahami kelebihan mengajak orang lain memeluk islam. Nabi bersumpah dengan nama Allah sebagai satu penegasan bahawa sebelum berperang, perkara pertama ialah mengajak terlebih dahulu orang bukan Islam memeluk islam. Boleh jadi itu adalah sebab mereka tertarik untuk beriman. Mengajak seorang lelaki memeluk Islam lebih baik dari memerangi seribu orang kafir.[17] Kesimpulannya, hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih. Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang antaranya hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari. NOTA HUJUNG : [1] No. 439, Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1985), al-Mu’jam al-Ṣaghīr, ed. Muhammad Shakur Mahmud al-Haj, Beirut: al-Maktab al-Islamī, Amman: Dar ‘Ammar, j.1 h.267. [2] No. 786, , Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1994), al-Mujam al-Kabīr, ed. Hamdī bin Abd al-Majīd, Kaherah: Maktabah Ibn al-Taimīyah, j.17 h.285. [3] No. 3546, Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1995), al-Mu’jam al-Awṣaṭ, ed. Ṭāriq bin Iwaḍullah, Abd al-Muḥsin al-Husainī, Kaherah: Dar al-Haramain, j.4 h.36. [4] Abu Abdullah, Muhammad bin Salāmah (1986), Musnad al-Shihāb, ed. Hamdī bin Abd al-Majīd, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.1 h.288. [5] Abu Bakar, Ahmad bin ‘Ali (2002), Tarīkh Baghdād, ed. Dr Bashar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Dar al-Gharb al-Islamī, j.4 h.439. أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَحْمَدَ بْنِ شَهْرَيَارَ الأَصْبَهَانِيُّ قَالَ: أَخْبَرَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ أَحْمَدَ الطَّبَرَانِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ عَمْرٍو الْعُكْبَرِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُعَاوِيَةَ النَّيْسَابُورِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْيَزَنِيِّ عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [6] Abu Abd al-Raḥman, Ahmad bin Shu’aib, al-Ḍu’afā wa al-Matrukīn, ed. Mahmud Ibrahim Zayid, Aleppo: Dar al-Wa’ī, h.93. Beliau berkata: ‌مُحَمَّد ‌بن ‌مُعَاوِيَة ‌النَّيْسَابُورِي لَيْسَ بِثِقَة مَتْرُوك الحَدِيث [7] Abu Ja’far, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabir, ed. Abd al-Mu‘ṭī Qal’ajī, Beirut: Dar al-Maktabah al-Ilmiyah, j.4 h.144. Al-Uqailī berkata : حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ يَعْقُوبَ قَالَ: سَمِعْتُ أَحْمَدَ بْنَ حَنْبَلٍ، وَسُئِلَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ مُعَاوِيَةَ أَبِي عَلِيٍّ النَّيْسَابُورِيِّ، فَقَالَ: هُوَ كَذَّابٌ [8] Ibn Abi Ḥātim, Abd al-Raḥman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dar Ihyā al-Turath al-Arabī, j.8 h.103. [9] Ibid. Abu Hātīm menyebut : روى احاديث لم يتابع عليها، احاديث منكرة فتغير حاله عند اهل الحديث [10] Ibn Hibban, Muhammad bin HIbban (1973), al-Thiqāt, ed. Muhammad Abd al-Mu’īd Khān, India: Dairah al-Ma’arif al-Uthmāniyah, j.8 h.266. [11] Antara lafaz yang digunakan untuk menunjukkan kredibiliti beliau dalam periwayatan. Abu Abd al-Raḥman al-Sulamī, Muhammad bin al-Husain (2006), Suālāt al-Sulamī li al-Daruqutnī, ed. Sa’ad, bin Abdullah Humaid,Khalid bin Abd al-Raḥman al-Jarisī, Riyadh, h.186. al-Sulamī berkata: سمعتُ أبا عبدِالرحمنِ النَّسائيَّ يقولُ سَعيدُ بن عُفَيرٍ : صالحٌ [12] Abu Muhammad, Abd al-Ghanī bin Abd al-Wāhid (2016), al-Kamāl fī Asmā al-Rijal, ed. Shadī bin Muhammad Āli Nu’mān, Kuwait: Sharikat Ghurās li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nashr wa al-Tauzī’, j.8 h.263. Abd al-Ghanī al-Maqdisī berkata: وقال أحمد بن حنبل: الليث كثير العلم صحيح الحديث ما في هؤلاء المصريين أكتب منه ما أصح حديثه [13] Ibid. وقال يحيى بن معين: ثقة وقال ابن المديني: ثبت [14] Ibid., j.9 h.267. Ibn Abi Ḥatim menukilkan: نا عبد الرحمن قال سئل أبو زرعة عن ‌يزيد ‌بن ‌أبي ‌حبيب فقال مصرى ثقة [15] Ibid., j.9 h.387. Abd al-Ghanī al-Maqdisī menukilkan : وقال محمد بن سعد: هو مولًى لبني عامر بن لؤي من قُرَيش وكان ثقةً كثيرَ الحديث [16] Riwayat al-Bukhari no. 3701, 4210, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukharī, Beirut: Dar Ṭuq al-Najah, j.5 h.18, 134. [17] Nur al-Dīn, Ali bin Sultan Muhammad (2002), Mirqāh al-Mafātīh Syarh Mishkāh al-Maṣābīh, Beirut: Dar al-Fikr, j.9 h.3933. Beliau berkata : يُرَادُ بِهِ حُمْرُ الْإِبِلِ وَهِيَ أَعَزُّهَا وَأَنْفَسُهَا، وَيَضْرِبُونَ بِهَا الْمَثَلَ فِي نَفَاسَةِ الشَّيْءِ، وَإِنَّهُ لَيْسَ هُنَاكَ أَعْظَمُ مِنْهُ قَالَ النَّوَوِيُّ: تَشْبِيهُ أُمُورِ الْآخِرَةِ بِأَعْرَاضِ الدُّنْيَا إِنَّمَا هُوَ التَّقْرِيبُ لِلْأَفْهَامِ وَإِلَّا فَقَدْرٌ يَسِيرٌ مِنَ الْآخِرَةِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا بِأَسْرِهَا وَأَمْثَالِهَا مَعَهُ أَقُولُ: وَالظَّاهِرُ أَنَّ قَوْلَ: فَوَاللَّهِ. . إِلَخْ تَأْكِيدٌ لِمَا أَرْشَدَهُ مِنْ دُعَائِهِمْ إِلَى الْإِسْلَامِ أَوَّلًا، فَإِنَّهُ رُبَّمَا يَكُونُ سَبَبًا لِإِيمَانِهِمْ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ إِلَى قِتَالِهِمُ الْمُتَفَرِّعِ عَلَيْهِ حُصُولُ الْغَنَائِمِ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَغَيْرِهَا، فَإِنَّ إِيجَادَ مُؤْمِنٍ وَاحِدٍ خَيْرٌ مِنْ إِعْدَامِ أَلْفِ كَافِرٍ
3,357
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PutrajayaWilayah Persekutuan Labuan TAHUN MUAT TURUN 2023   Muat Turun 2022   Muat Turun 2021   Muat Turun 2020   Muat Turun 2019   Muat Turun 2018   Muat Turun 2017   Muat Turun 2016   Muat Turun 2015   Muat Turun 2014   Muat Turun 2013   Muat Turun TAHUN MUAT TURUN 2023   Muat Turun 2022   Muat Turun 2021   Muat Turun 2020   Muat Turun 2018   Muat Turun 2017   Muat Turun 2016   Muat Turun 2015   Muat Turun 2014   Muat Turun 2013   Muat Turun
3,359
Soalan : Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah berikan penjelasan tentang kaedah yang menyatakan bahawa keyakinan itu tidak hilang dengan syak. Terima kasih. Jawapan : Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Secara asasnya, usul feqh berlegar sekitar isu dalil-dalil serta kaedah-kaedah feqh. Antara kaedah feqh yang masyhur serta membantu dalam proses pengeluaran sesuatu hukum adalah kaedah : اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan). Dari sudut bahasa, keyakinan itu membawa erti : Suatu ilmu yang tidak ada bersamanya keraguan. Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud : Terhasilnya kepastian yang jazam sama ada sesuatu itu berlaku atau tidak berlaku. Syak pula dari sudut bahasa bermaksud : Ragu-ragu. Manakala dari sudut istilah syak membawa erti : Ragu-ragu terhadap sesuatu perbuatan sama ada berlaku atau tidak berlaku. Iaitu tidak ada murajjih (suatu yang memberatkan salah satu ke atas satu yang lain). Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata : Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. Rujuk Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah (Hlm. 45). Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam feqh. Bahkan Al-Qadhi Husin al-Syafi’e menyatakan bahawa feqh terbina dari empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan syak ini’. Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak daripada Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Antaranya adalah firman Allah S.W.T : إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا Maksudnya : Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun. Surah Yunus (36) Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. Rujuk Al-Jami’ Al-Bayan, Al-Thabari (15/89). Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَىْءٌ أَمْ لاَ فَلاَ يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا Maksudnya : Apabila salah seorang kamu mendapati ada sesuatu di dalam perutnya lalu dia berasa musykil sama ada telah keluar sesuatu dari perut atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehinggalah dia mendengar ada bunyi atau mendapati ada bau. Riwayat Muslim (362) Berdasarkan kepada kaedah di atas, ia turut membawa kepada beberapa kaedah yang lain seperti yang disebutkan oleh para ulama iaitu kaedah : الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ Maksudnya : Pada asasnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya. Sebagai contoh dalam menjelaskan kaedah di atas, sekiranya seseorang yang hendak berpuasa itu makan pada penghujung malam, lalu dia berasa syak sama ada fajar telah terbit atau tidak, maka puasanya adalah sah kerana hukum asalnya adalah masih kekalnya malam. Rujuk Al-Asybah wal Nazhair, Al-Suyuthi (Hlm. 52) Demikian juga kaedah : اليَقِينُ لَا يُزَالُ إِلَّا بِاليَقِين Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan melainkan dengan suatu keyakinan juga. Oleh itu, seseorang yang meyakini bahawa dirinya masih berada dalam keadaan taharah, kemudian timbul rasa ragu-ragu sama ada berlaku hadas atau tidak, maka kita katakan bahawa dia masih kekal berada dalam taharah melainkan setelah dia meyakini berlakunya hadas yang membatalkan taharah seperti dia yakin yang dia telah kentut sama ada dia mendapati ada bunyi atau bau kentut tersebut. Aplikasi Kaedah Berikut kami nyatakan beberapa contoh pengaplikasian kaedah di atas ini agar lebih mudah untuk difahami. Antaranya : Dalam isu wuduk, seseorang yang telah selesai mengambil wuduk kemudian dia berasa sangsi dan ragu-ragu sama ada wuduknya telah terbatal atau tidak, maka hendaklah dia berpegang dengan keyakinan bahawa dia masih berada dalam keadaan taharah (suci dari hadas). Dalam isu bilangan rakaat di dalam solat, seseorang yang berasa syak tentang bilangan rakaat solatnya maka hendaklah dia menghilangkan syak dengan mengambil pendapat yang paling yakin dan pasti. Justeru, dalam kes kekeliruan tentang dua atau tiga rakaat, maka seseorang menghilangkan syak dengan mengambil dua rakaat yang pasti. Lalu di penghujung solat dia melakukan sujud sahwi. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلاَثًا أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ Maksudnya : Apabila salah seorang kamu berasa syak di dalam solatnya, kemudian dia tidak tahu berapa rakaatkah yang telah dia lakukan sama ada tiga rakaat atau empat rakaat, maka hendaklah dia menghilangkan syak dan dia perlulah membina berdasarkan apa yang dia yakin. Riwayat Muslim (571) Hal ini dikuatkan lagi dengan apa yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالْوَاحِدَةِ فَلْيَجْعَلْهَا وَاحِدَةً وَإِذَا شَكَّ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالثَّلاَثِ فَلْيَجْعَلْهَا ثِنْتَيْنِ وَإِذَا شَكَّ فِي الثَّلاَثِ وَالأَرْبَعِ فَلْيَجْعَلْهَا ثَلاَثًا ثُمَّ لْيُتِمَّ مَا بَقِيَ مِنْ صَلاَتِهِ حَتَّى يَكُونَ الْوَهْمُ فِي الزِّيَادَةِ ثُمَّ يَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ Maksudnya : Apabila salah seorang dari kamu berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat sama ada dua rakaat dan satu rakaat, maka jadikanlah ia sebagai satu rakaat. Apabila berasa syak sama ada dua rakaat atau tiga rakaat, maka jadikanlah ia sebagai dua rakaat. Dan apabila seseorang itu syak sama ada tiga rakaat atau empat rakaat maka jadikanlah ia sebagai tiga rakaat. Kemudian dia menyempurnakan baki-baki dari perbuatan solatnya, sehinggahlah yang diragukan adalah pada (rakaat yang lebih), kemudian dia bersujud sebanyak dua kali dalam keadaan dia duduk sebelum dia memberi salam. Riwayat Al-Tirmizi (1209) Dalam isu talak, sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu sama ada dia menceraikan isterinya atau tidak, maka tidak berlaku talak dalam keadaan ini. Kerana perasaan syak itu tidak memberi kesan kepada keyakinan yang sedia ada iaitu mereka masih merupakan pasangan suami isteri. Maka perkahwinan tidak gugur semata berlakunya syak dalam perceraian. Kerana pensabitan sesuatu itu sama ada berlaku atau tidak hanyalah menerusi keyakinan dan kepastian. Meskipun begitu, bagi sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu usul fiqh maka dia akan mengetahui bahawa setiap kaedah pasti mempunyai pengecualian dalam beberapa permasalahan yang tertentu. Ini seperti yang disebutkan oleh para ulama : لكل قاعدة استثناء Maksudnya : Bagi setiap kaedah itu ada pengecualiannya. Antara permasalahan yang dikecualikan dari kaedah ‘keyakinan tidak hilang dengan adanya syak’ adalah seperti berikut : Apabila seseorang yang menyapu ke atas khuf itu syak sama ada telah tamat ataupun belum lagi tempoh sapuan iaitu sehari semalam bagi yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir, maka dalam kes ini kita berpendapat kepada telah tamatnya tempoh. Sekiranya ada seekor haiwan yang kencing di dalam air yang berkuantiti banyak, kemudian air itu berubah sifatnya, dan seseorang itu tidak tahu adakah air tersebut berubah dengan air kencing atau perkara lain maka ia dihukum sebagai najis. Jika seseorang itu bertayammum disebabkan ketiadaan air kemudian dia melihat sesuatu yang dia tidak pasti adakah ia fatamorgana atau air maka batal tayammumnya.   Penutup Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa dalam setiap perkara sama ada dalam urusan keduniaan atau akhirat, seseorang itu hendaklah berpegang dengan hukum asal yang diyakini dan menghilangkan syak yang mengganggu fikiran. Kaedah ini hakikatnya menjelaskan bahawa menjadi satu tuntutan kepada setiap individu untuk meninggalkan segala keraguan dan syak dalam kehidupan kepada keyakinan yang menenangkan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh menenangkan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :  دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ Maksudnya : Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan. Riwayat Al-Tirmizi (2518) Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
3,360
SOALAN 29 (24/06/2015 BERSAMAAN 07 RAMADAN 1436H) Benarkah puasa dan al-quran pemberi syafaat?   JAWAPAN Benar, sabda Nabi SAW: الصِّيَامُ وَالقُرآنُ يُشَفِعَانِ لِلْعَبدِ يَومَ القِيَامَةِ. يقولُ الصِيامُ: أَي رَبَّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامُ وَالشَّهوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ. وَيَقُولُ القُرآنُ: رَبِّ، مَنَعْتُهُ النَّومَ بِاللَّيلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ فَيُشَفِّعَانِ Maksudnya: “Puasa dan al-Quran member syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat.” (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)
3,361
Soalan: Assalamualaikum, saya ada soalan untuk ditanya, hukum korbankan rusa untuk hari raya qurban boleh atau tidak? RINGKASAN JAWAPAN: Tidak harus untuk menjadikan rusa sebagai haiwan sembelihan dalam ibadat korban meskipun rusa tersebut merupakan haiwan ternakan bagi seseorang pengusaha. Hal ini kerana, ibadat korban merupakan ibadat yang dikhususkan ke atas An’am iaitu haiwan ternakan yang boleh dizakatkan dan rusa tidak termasuk dalam kategori tersebut. WallahuA’lam.   HURAIAN JAWAPAN: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sesungguhnya ibadat korban ialah suatu ibadat menyembelih haiwan bagi tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT hukum perlaksanaannya adalah sunat ke atas umat islam dalam tempoh 10 hingga 13 zulhijah. Oleh itu, bagi menjawab pesoalan yang diajukan perlu fahami terlebih dahulu sepotong ayat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya: وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah al Haj: 34) Berdasarkan ayat berikut, dapat difahami bahawa pensyariatan ibadat korban ke atas umat Islam sebagai tanda syukur terhadap rezeki Allah dengan menyembelih binatang ternakan. Oleh yang demikian agama Islam telah meletakkan syarat dan ciri-ciri bagi haiwan yang harus untuk dijadikan sembelihan dalam ibadat korban. Haiwan yang ingin dijadikan sembelihan korban mestilah haiwan dalam kategori haiwan ternakan yang jinak atau haiwan yang boleh dikeluarkan zakat. Menurut Imam Nawawi di dalam karangannya tentang syarat dalam ibadat korban: “Haiwan yang disembelih itu mestilah daripada haiwan ternakan iaitu: unta, lembu dan kambing sama ada jantan atau betina, dan kesemua ini telah disepakati.”  (Rujuk Raudhah al Tholibin: 3/193) Tambahan lagi, ibadat korban ini adalah ibadat yang bersangkut-paut dengan binatang dan Islam telah mengkhususkan haiwan bagi ibadat tersebut seperti yang dinyatakan dalam karya Imam Khatib Syirbini: التَّضْحِيَةَ عِبَادَةٌ تَتَعَلَّقُ بِالْحَيَوَانِ فَتَخْتَصُّ بِالنَّعَمِ كَالزَّكَاةِ، فَلَا يُجْزِئُ غَيْرُ النَّعَمِ مِنْ بَقَرِ الْوَحْشِ وَغَيْرِهِ Maksudnya: “Korban ialah ibadat yang berkaitan dengan haiwan dan ia dikhususkan dengan haiwan ternakan seperti zakat, maka tidak sah (korban) selain daripada haiwan Na’am seperti lembu liar dan seumpamanya.” (Rujuk Mughni al Muhtaj: j6/125) Berdasarkan kepada kenyataan daripada kedua-dua tokoh mazhab Syafie, haiwan seperti unta, lembu, kambing dan seumpama dengannya seperti kerbau, biri-biri atau kibas sahaja antara haiwan termasuk dalam kumpulan haiwan ternakan. Maka, haiwan seperti rusa tidak boleh dijadikan haiwan korban kerana ia termasuk dalam kategori haiwan liar dan bukan ternakan di sisi Syarak. Kesimpulannya: Tidak harus untuk menjadikan rusa sebagai haiwan sembelihan dalam ibadat korban meskipun rusa tersebut merupakan haiwan ternakan bagi seseorang pengusaha. Hal ini kerana, ibadat korban merupakan ibadat yang dikhususkan ke atas An’am iaitu haiwan ternakan yang boleh dizakatkan dan rusa tidak termasuk dalam kategori tersebut. Wallahu A’lam.   Rujukan: [1] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf.  1412H/1991M. Cetakan: 3. Raudhah al Tolibin. Tahqiq: Zuhair al Syawish. Al Maktab al-Islami: Beirut [2] Al-Syirbini, Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994M/1415H. cetakan 1. Mughni al Muhaj Ila Makrifat Ma’ani alfaz al-Minhaj. Dar Kutub al-Ilmiah.
3,362
Soalan : Assalamualaikum ustaz.Semoga ustaz sihat-sihat sahaja. Saya ada soalan yang ingin diajukan. Saya ada terdengar ceramah yang mana Al-Quran ini nantinya akan datang dalam bentuk seorang lelaki pada hari kiamat nanti untuk memberikan untuk memberinya syafaat kepada yang sentiasa mendampingi. Adakah hadis ini hadis yang sahih. Dan adakah ini bermakna Al-Quran itu makhluk sebab dia datang dalam bentuk lelaki. Mohon pencerahan ustaz. Jawapan : Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW : مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakana ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” Riwayat Al-Tirmizi (2910) Bahkan lebih daripada itu, Al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Firman Allah SWT : ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa” (Surah Al-Baqarah : 2) Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Al-Quran mengandungi hidayah yang mana ianya menuntun mereka yang mencari kebenaran dan petunjuk. Ianya membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/39) Ini bermakna ianya bukan sekadar wahyu akan tetapi tujuan ianya diturunkan adalah sebagai petunjuk untuk manusia menjalani kehidupan di dunia mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah sehingga akhirnya nanti mendapat kebahagiaan di akhirat. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis ini diriwayatkan di dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya (22976), Ibnu Majah di dalam Sunannya (3781) dan ianya juga dinukilkan oleh Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat (5764). Lafaz hadis tersebut ialah : يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ , فَيَقُولُ : أَنَا الَّذِي أَسْهَرْتُ لَيْلَكَ ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارَكَ Maksudnya : “Al-Quran datang pada hari kiamat kelas seperti seorang lelaki yang kekuningan tubuhnya lalu dia berkata : Akulah yang menyebabkan engkau bangun malam dan menyebabkan engkau dahaga di siang harimu.” Sanad hadis ini bertumpu kepada Waki’ Bin Al-Jarrah daripada Basyir Bin Muhajir daripada Abdullah Bin Buraidah daripada ayahnya Buraidah Bin Husaib. Kesemuanya perawi ini adalah perawi yang thiqah kecuali di dalam riwayat Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsat terdapat seorang perawi yang bernama Yahya Bin Abdul Aziz Al-Hammani. Beliau adalah seorang perawi yang dhoif. (Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, 7/73). Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menghukumkan sanad hadis ini sebagai sanad yang hasan. (Rujuk Musnad Ahmad, tahkik Al-Risalah, 38/76). Secara ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang hasan. Pada asasnya , banyak hadis-hadis lain yang menceritakan bahawa Al-Quran datang pada hari kiamat dengan pelbagai bentuk. Di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda : اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” Riwayat Muslim (1910) Begitu juga di dalam hadis yang lain menyebut : يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ حَلِّهِ فَيُلْبَسُ تَاجَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ زِدْهُ فَيُلْبَسُ حُلَّةَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ ارْضَ عَنْهُ فَيَرْضَى عَنْهُ فَيُقَالُ لَهُ اقْرَأْ وَارْقَ وَتُزَادُ بِكُلِّ آيَةٍ حَسَنَةً Maksudnya : “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan,tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah.  Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan.” Riwayat Al-Tirmizi (2839) Dan banyak lagi hadis-hadis yang semisal dengan hadis-hadis tersebut. Namun begitu, adakah jika Al-Quran datang dalam bentuk lelaki, burung dan sebagainya bermakna Al-Quran adalah makhluk?. Sudah tentu tidak. Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW. Di antara yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut : المُراَدُ أَنَّ ثَوَابَهُما يَأتِي كَغُمَامَتَينِ “Yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya.” (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , 6/90). Imam Abdul Rauf Al-Munawi menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadis ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Rujuk Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/81) Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh para ulama seperti Imam Al-Nawawi dan Al-Munawi maka jelaslah  bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan hari akhirat. Inilah yang cuba disampaikan oleh Nabi SAW. Adapun Al-Quran ia merupakan Kalamullah Al-Qadim. Ia bukannya makhluk sepertimana dakwaan golongan Muktazilah. Rujuk artikel kami di dalam ruangan Bayan Linnas ke 139. [1] Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan bahawa Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak dalam bentuk lelaki adalah hadis yang hasan. Yang dimaksudkan oleh hadis tersebut bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki. Ini akan membawa kepada kefahaman bahawa Al-Quran itu makhluk. Namun yang dimaksudkan adalah pahala dan ganjaran hasil dari pembacaan dan beramal dengan Al-Quran. Pahala-pahala itu nanti akan datang pada hari kiamat kelak dengan pelbagai bentuk untuk memberikan syafaat dan perlindungan kepada mereka yang berhak. Semoga kita sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan menjadi orang yang sentiasa membaca dan beramal dengannya.Wallahu’am.   [1] Rujuk https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2486-bayan-linnas-siri-ke-139-al-quran-kalamullah-yang-mukjizat
3,364
SOALAN Pada tahun-tahun lepas, beberapa portal berita bebas dalam negara mengeluarkan artikel berkenaan puasa dalam Islam dan pelbagai agama. Sebahagian perbincangan dalam artikel tersebut menunjukkan persamaan antara ibadat berpuasa dalam Islam dengan ibadat berpuasa agama-agama lain. Soalan saya, adakah ibadah berpuasa dalam Islam mempunyai kaitan sejarah dengan ibadah berpuasa agama-agama terdahulu? Bagaimanakah pula pandangan Islam terhadap ibadat berpuasa agama Yahudi, Kristian, Hindu dan Budha?   RINGKASAN JAWAPAN Puasa merupakan suatu ibadat yang mempunyai sejarah pengamalan daripada umat agama-agama samawi sebelum Nabi SAW. Puasa juga merupakan suatu ibadat yang sejagat merentas sempadan geografi dan agama. Namun demikian, dari sudut spiritual yakni maksud dan tujuan ibadat berpuasa itu sendiri mempunyai perbezaan yang mendasar berasaskan kepercayaan masing-masinig. Ibadat berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Ibadat berpuasa dalam Islam khususnya di bulan Ramadan merupakan satu kewajipan kepada setiap muslim yang memenuhi syara-syaratnya. Ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang menyebabkan sesiapa yang mempertikaikan amalan ibadah ini secara sengaja boleh dipertikaikan keislamannya   HURAIAN JAWAPAN   Pendahuluan Puasa merupakan suatu ibadat yang mempunyai sejarah pengamalan daripada umat agama-agama samawi sebelum Nabi SAW. Allah SWT menjelaskan kefarduan ibadat berpuasa dalam ayat berikut: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah (183) Ayat di atas memperlihatkan penetapan ibadat puasa dalam kalangan umat pelbagai agama samawi yang beriktikad akan keesaan Allah SWT. [1] Namun begitu, kaifiat ibadat berpuasa yang tepat bagi umat pelbagai agama samawi terdahulu tidak diketahui melainkan Allah SWT. Hal ini kerana tidak ada nas yang sahih daripada Rasulullah SAW yang menjelaskan kaedah ibadat berpuasa tersebut.[2] Begitu juga kefarduan ibadat berpuasa umat pelbagai agama samawi terdahulu telah ditukar dan diubah oleh Ahli Kitab. Kadang kala puasa ini berlaku dalam waktu musim panas atau sejuk yang melampau, maka Ahli Kitab mengubah ke waktu musim bunga dan menambah sehingga bilangan ke-50 hari sebagai penutup kafarah dosa.[3] Dalam pada itu, berpuasa juga diamalkan oleh  kebanyakan agama dan kepercayaan lain termasuk penyembah berhala seperti agama Mesir kuno, agama Greek, Rom dan Hindu.[4]  Berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Antara matlamat  berpuasa dalam agama-agama lain termasuklah bertujuan untuk pengampunan dosa, pengorbanan, penyucian diri, pemfokusan dan mencapai maksud-maksud tertentu dalam agama seperti Nirvana dan Moksha.  Oleh yang demikian, berikut adalah pandangan Islam terhadap ibadah berpuasa agama Yahudi, Kristian, Hindu dan Budha: 1. Agama Yahudi:  Terdapat ibadat berpuasa dalam agama Yahudi yang dikenali sebagai Yom Kippur iaitu Hari Penebusan Dosa atau Sabbath bagi semua Sabbath tahunan (Sabbath of Sabbaths). Istilah Yom Kippur mengandungi dua perkataan iaitu Yom dikenali sebagai yawm, perkataan Kippur pula sebagai kafarah. Hari Yom Kippur adalah hari untuk berdoa, beribadat, berpuasa dan menebus segala dosa. Yom Kippur disambut pada setiap tahun pada hari kesepuluh dalam bulan ketujuh Yahudi iaitu Bulan Tishrei. Pada hari suci agama Yahudi ini mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi.[5] Golongan penganut agama Yahudi akan berpuasa selama 25 jam bermula daripada tenggelamnya matahari ke tenggelamnya matahari pada keesokannya. Sedangkan menurut Islam, Yom Kippur merujuk kepada hari di mana Allah SWT menerima taubat semua penganut agama Yahudi yang telah mengikuti Samiri dalam menyembah patung lembu yang dibentuknya. Ini berlaku setelah Nabi Musa AS menerima 10 Perintah (Ten Commandments) daripada Allah SWT di Gunung Sinai. Dalam Taurat yang wujud ketika hari ini menyatakan pujian ke atas ibadah berpuasa dan golongan orang yang berpuasa. Begitu juga telah sabit bahawa Nabi Musa AS pernah berpuasa 40 hari. Penganut agama Yahudi pada hari ini berpuasa selama seminggu untuk mengingati peristiwa keruntuhan dan rampasan keatas. Begitu juga berpuasa sehari pada bulan Ab (bulan Yahudi yang kesebelas).[6] 2. Agama Kristian:  Terdapat penetapan Puasa Lent dalam kalangan penganut agama Kristian. Lent berasal daripada Inggeris lama yang bermaksud musim bunga. Lent disambut bersempena dengan 40 hari Jesus Lent yang mengasingkan diri di padang pasir dan diuji dengan pelbagai godaan oleh Syaitan. 40 hari ini bermula daripada Ash Wednesday (Hari Abu Rabu di mana diletakkan abu berbentuk salib di dahi penganut agama Kristian) sehingga ke hari keempat puluh, pada sambutan Easter Sunday, tidak termasuk hari Ahad. Pada waktu Lent, penganut agama Kristian tidak memakan daging atau hanya memakan sekali sahaja sehari. Mereka juga tidak meminum arak atau berhibur dengan komputer atau telefon bimbit kerana menahan diri dalam ibadat berpuasa Lent. Mereka diminta menyembunyikan bahawa mereka sedang berpuasa dengan tidak bermuka muram dan merapikan rambut.[7] Maklumat lengkap berkenaan kaedah dan kandungan puasa juga berbeza-beza menurut pelbagai mazhab dalam agama Kristian. Manakala menurut Islam, terdapat dalam kitab Injil yang memuji ibadat puasa dan menganggapnya sebagai ibadat yang dapat mencegah riyak dan untuk menzahirkan kesedihan. Antara puasa yang paling masyhur dan tertua adalah puasa besar yang dilakukan sebelum Perayaan Easter (Pesach atau Passover). Dikatakan bahawa puasa inilah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan para pengikut setia Nabi Isa AS yang dikenali sebagai Hawariyyun. Kemudiannya para ketua penganut agama Kristian telah meletakkan pelbagai jenis puasa yang lain menurut gereja masing-masing.[8] 3. Agama Hindu:  Penganut agama Hindu didapati berpuasa dengan tidak makan apa-apa atau minum air sahaja pada beberapa perayaan seperti Shivaratri, Saraswati Puja dan Durga Puja (Navaratri).[9] Begitu juga mereka akan berpuasa pada sambutan Ekadasi dan Purnima (bulan mengambang penuh) menurut kaedah dan aliran yang mereka ikuti. Berpuasa bagi mereka  sebagai cara untuk membersihkan diri, bermeditasi dan mendapatkan fokus dalam mengamalkan yoga. Walaupun demikian,  puasa dalam agama Hindu ini telah melangkaui batasan akidah Islam kerana melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT dan menjurus kepada lembah kerosakan. Oleh itu, meninggalkan segala bentuk ritual ibadah agama lain merupakan perkara yang wajib bagi umat Islam sebagaimana firman Allah SWT: وَقَالُواْ لَنَآ أَعۡمَٰلُنَا وَلَكُمۡ أَعۡمَٰلُكُمۡ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمۡ لَا نَبۡتَغِي ٱلۡجَٰهِلِينَ Maksudnya: Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil. Surah Al-Qasas (55) Ayat diatas menjelaskan bahawa umat Islam mempunyai amal soleh tersendiri yang diterima untuk dilaksanakan. Bagi umat agama-agama lain pula, mereka mempunyai amalan batil yang sepatutnya ditinggalkan. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap amalan mempunyai perihal kesibukan dalam urusan masing-masing.[10] 4. Agama Budha:  Penganut agama Budha juga berpuasa dengan tidak memakan makanan yang keras. Sebaliknya hanya mengambil makanan yang lembut dan meminum air. Ibadat berpuasa dilakukan pada perayaan Budhisme tertentu atau pada waktu bulan mengambang penuh.  Berpuasa dilakukan untuk menyucikan diri dan melawan nafsu sesuai dengan Empat Kebenaran Utama dalam Ajaran Budha iaitu hidup penuh dengan kesengsaraan, sebab untuk kesengsaraan, keperluan menamatkan kesengsaraan dan lapan cara menamatkan kesengsaraan melalui pengertian, fikiran, ucapan, tindakan, penghidupan, usaha, perhatian serta konsentrasi yang benar.[11] Maka jelas  puasa dalam agama Budha ini mempunyai unsur-unsur adat keagamaan yang bercanggah dengan agama Islam. Oleh itu, umat Islam dilarang untuk mencampuradukkan ibadat berpuasa kerana Allah SWT dengan pelbagai rupa kebudayaan agama lain. Allah SWT berfirman:  وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌۭ مَّا عَبَدتُّمۡ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ Maksudnya: Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Surah Al-Kafirun (4-5) Ayat diatas menghuraikan bahawa terdapat perbezaan yang ketara dalam ibadat umat Islam dengan umat agama-agama lain. Perbezaan ini jelas menerusi kepada siapa yang ditujukan ibadat dan bagaimana cara beribadat. Umat Islam melakukan ibadat semata-mata kerana Allah SWT, sedangkan umat agama-agama lain tidak dianggap melakukan ibadat yang sebenar kerana mempunyai unsur syirik beserta kelalaian terhadap Allah SWT.[12]   Penutup Kesimpulan, puasa dari sudut fizikal iaitu menahan makan dan minum adalah satu ibadah yang sejagat merentas sempadan geografi dan agama.  Namun demikian, dari sudut spiritual yakni maksud dan tujuan ibadat berpuasa itu sendiri mempunyai perbezaan yang mendasar berasaskan kepercayaan masing-masinig. Ibadat berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Ibadat berpuasa dalam Islam khususnya di bulan Ramadan merupakan satu kewajipan kepada setiap muslim yang memenuhi syara-syaratnya. Ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang menyebabkan sesiapa yang mempertikaikan amalan ibadah ini secara sengaja boleh dipertikaikan keislamannya. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1] Al-Zuḥaylī, Wahbah, Al-Tafsīr al-Munīr, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1998), 2: 128-129. Teks asal: إذ يكفي في فهم الآية أن يكون الله كتب صوما ما على الذين من قبلنا، وهذا مسلّم به عند أهل الأديان. [2] Muḥammad al-Sayyid Tantawi, al-Tafsir al-Wasit Li al-Quran al-Karim, (Kaherah: Dar al-Nahdah al-Misriyyah), 1: 380. Teks asal: أن عبادة الصوم كانت مكتوبة ومفروضة على الأمم السابقة، ولكن بكيفية لا يعلمها إلا الله، إذ لم يرد نص صحيح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم يبين لنا فيه كيف كان صيام الأمم السابقة على الأمة الإسلامية. [3] `Ali al-Sabuni, Muhammad, Rawa`i al-Bayan Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Qur’an, (Beirut: Muasasah Manahil Irfan, 1980), 1:97. Teks asal: أشارت الآية الكريمة إلى أن الصوم عبادة قديمة، فرضها الله على الأمم قبلنا، ولكن أهل الكتاب غيّروا وبدّلوا في هذه الفريضة، وقد كان يتفق الحر الشديد والبرد الشديد، فحوّلوه إلى الربيع وزادوا في عدده حتى جعلوه خمسين يوما كفارة لذلك [4] Al-Zuḥaylī, Wahbah, Al-Tafsīr al-Munīr, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1998), 2: 128-129. Teks asal: فمن المعروف أن الصوم مشروع في جميع الملل، حتى الوثنية، فهو معروف عند قدماء المصريين واليونان والرومان والهنود. [5] Torah, Leviticus, 16:29-31. Teks asal: And this shall be a statute for ever unto you: that in the seventh  month, on the tenth day of the month, ye shall afflict your souls, and  do no work at all, whether it be one of your own country, or a stranger  that sojourneth among you: For on that day shall the priest make  an atonement for you, to cleanse you, that ye may be clean from all  your sins before the LORD. It shall be a sabbath of rest unto you, and ye shall afflict your souls, by a statute for ever. [6] Al-Zuḥaylī, Wahbah. Al-Tafsīr al-Munīr. Damsyik: Dār al-Fikr, 1998. 2: 129. Teks asal: وفي التوراة الحالية مدح الصيام والصائمين، وثبت أن موسى عليه السلام صام أربعين يوما، واليهود في هذه الأزمنة يصومون أسبوعا تذكارا لخراب أورشليم وأخذها، ويصومون يوما من شهر آب. [7] Bible, Matthew, 6:16-18. Teks asal: When you fast, do not look somber as the hypocrites do, for they disfigure their faces to show men they are fasting. I tell you the truth, they have received their reward in full. But when you fast, put oil on your head and wash your face, so that it will not be obvious to men that you are fasting, but only to your Father, who is unseen; and your Father, who sees what is done in secret, will reward you. [8] Al-Zuḥaylī, Wahbah. Al-Tafsīr al-Munīr. Damsyik: Dār al-Fikr, 1998. 2: 129. Teks asal: وكذلك الأناجيل الحالية تمدح الصيام وتعتبره عبادة كالنّهي عن الرّياء وإظهار الكآبة فيه، وأشهر صوم النصارى وأقدمه الصوم الكبير الذي قبل عيد الفصح، وهو الذي صامه موسى وعيسى والحواريون، ثم وضع رؤساء الكنيسة أنواعا أخرى من الصيام [9] Sri Swami Sivananda. Hindu fasts and festivals. 8th Edition. Distt. Tehri-Garhwal, Uttar Pradesh, Himalayas, India: Divine Life Society, 1983 [10] Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawalli, Tafsir al-Sya’rawi, (Mesir: Matobi’ Akhbar al-Yaum, t.th), 18: 10963. Teks asal: لنا أعمالنا الخيِّرة التي يجب أنْ نُقبل عليها، ولكم أعمالكم الباطلة التي ينبغي أنْ تُترك، فكلٌّ مِنَّا له شَأْن يشغله [11] Fisher, Mary Pat. Living religions: an encyclopaedia of the world's faiths. London [u.a.]: Tauris, 1997, 136-137. Teks asal: To live is to suffer. Suffering comes from desire. To end suffering end desire. To end desire is by following noble eightfold path: Right Understanding or Perfect Vision, Right Resolve or Perfect Emotion, Right Speech or Perfect Speech, Right Action or Perfect Action, Right Livelihood or Perfect Livelihood, Right Effort or Perfect Effort, Right Mindfulness or Perfect Awareness Right Meditation or Perfect. Samadhi [12] Al-Maraghi, Muhammad Mustafa, Tafsir al-Maraghi, (Mesir: Mustafa Bab Al-Halabi Wa Auladuhu, 1946), 30: 256. Teks asal: الاختلاف التامّ فى المعبود، والاختلاف البيّن فى العبادة فلا معبودنا واحد، ولا عبادتنا واحدة، لأن معبودى منزه عن الندّ والنظير، متعال عن الظهور فى شخص معين، وعن المحاباة لشعب أو واحد بعينه، والذي تعبدونه أنتم على خلاف ذلك .كما أن عبادتى خالصة لله وحده، وعبادتكم مشوبة بالشرك، مصحوبة بالغفلة عن الله تعالى، فلا تسمى على الحقيقة عبادة
3,365
Soalan: Apakah benar ucapan ini daripada Nabi SAW kerana ia sering diucapkan oleh para imam sebelum melaksanakan solat?   سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat”     Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Meluruskan saf termasuk di dalam adab-adab solat berjemaah. Disunatkan oleh imam untuk tidak memulakan solat sebelum saf diluruskan dan disunatkan juga mengarahkan makmum yang berada di belakangnya untuk meluruskan saf. Adapun, sekiranya masjid itu besar, maka disunatkan untuk melantik seseorang untuk memastikan agar saf-saf diluruskan dengan cara mengelilinginya atau dengan cara mengarahkan (dengan menggunakan suara). Disunatkan juga, bagi setiap yang hadir (di dalam saf) meminta agar disempurnakan saf jika terlihat terdapat kecacatan pada saf tersebut. Ini kerana, ia termasuk di dalam amar makruf dan juga tolong-menolong di dalam kebaikan serta ketaqwaan yang mana menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat. [Lihat: al-Muktamad, 439/1] Di sana juga terdapat hadith-hadith yang menceritakan berkaitan kepentingan meluruskan saf dan sebab yang akan berlaku sekiranya diabaikan perkara ini. Antaranya:   Daripada Abu Mas’ud RA berkata: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil berkata: Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih sehingga hati kamu juga turut berselisih.” [Riwayat Muslim (432)]   Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.” [Riwayat al-Bukhari (717)]   Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda: وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ Maksudnya: “Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan. Barangsiapa yang menyambungnya (saf) maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya” [Riwayat Abu Daud (666)]   Berdasarkan soalan di atas, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan arahan Nabi SAW agar meluruskan saf sebelum ditunaikan solat, antaranya adalah:   Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat” [Riwayat Muslim (433)]   Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam mendirikan solat” [Riwayat al-Bukhari (723)]   Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda: أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ Maksudnya: “Dirikan saf-saf kamu serta samakan bahu-bahu kamu dan tutuplah ruang-ruang (yang ada).” [Riwayat Abu Daud (666)]   Ini adalah sebahagian daripada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan lafaz Nabi SAW dalam memperbetulkan saf para sahabat sebelum Baginda SAW memulakan solat. Akan tetapi, sekiranya seseorang imam itu menggunakan lafaz yang lain, maka ia tidak menjadi masalah selagimana ucapan tersebut sampai kepada tujuan iaitu meluruskan saf. Selain itu juga, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini memberi galakan agar memperbetulkan (meluruskan) saf-saf (sebelum menunaikan solat) dan hadith ini juga menunjukkan keharusan bercakap di antara iqamah dan juga solat. Ini adalah pandangan mazhab kita (mazhab al-Syafie) dan juga mazhab jumhur ulama walaupun sebahagian ulama melarangnya (iaitu bercakap selepas iqamah). Namun begitu, pandangan yang tepat adalah diharuskan sama ada percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan solat dan selain daripada solat. [Lihat: al-Minhaj, 157/4]   Makna Meluruskan Saf Imam al-Iraqi ada menukilkan pandangan para ulama dalam memahami makna meluruskan saf, iaitu: [Lihat: Tharh al-Tathrib, 326/2] Bagi mendapatkan istiqamah dan I’tidal pada zahir sebagaimana yang dituntut pada batin. Supaya tidak diganggu syaitan dan ia akan merosakkan solat dengan waswas. Memberi satu gambaran atau keadaan yang baik. Supaya dapat diisi lebih ramai makmum sekiranya makmum terlalu ramai dan ia akan menjadi sempit jika tidak dirapatkan serta diluruskan saf. Agar setiap makmum itu tidak disibukkan dengan melihat di antara satu sama lain akan perkara yang boleh menganggu mereka.   Kisah-Kisah Para Salaf al-Soleh Di antara kisah para salaf al-Soleh berkaitan kisah para sahabat dalam menitikberatkan kelurusan saf adalah: [Lihat: Nail al-Awthar, 204/2]   Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA: أَنَّهُ كَانَ يُوَكِّلُ رِجَالًا بِإِقَامَةِ الصُّفُوفِ فَلَا يُكَبِّرُ حَتَّى يُخْبَرَ أَنَّ الصُّفُوفَ قَدْ اسْتَوَتْ Maksudnya: “Adapun beliau (Saidina Umar) mewakilkan beberapa orang lelaki untuk meluruskan saf-saf. Beliau tidak akan bertakbir (takbirat al-Ihram) sehingga dikhabarkan bahawa saf-saf telah lurus.”   Daripada Suwaid bin al-Ghaflah berkata: كَانَ بِلَالٌ يَضْرِبُ أَقْدَامَنَا فِي الصَّلَاةِ وَيُسَوِّي مَنَاكِبَنَا Maksudnya: “Adapun Bilal memukul kaki-kaki kami sebelum memulakan solat serta meluruskan bahu-bahu kami.”   Penutup Kesimpulannya, apa-apa lafaz boleh digunakan oleh imam bagi memperbetulkan saf para makmum dan meluruskan saf termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Justeru itu, setiap imam perlulah mengambil peranan ini sebelum memulakan solat. Sekiranya tidak mampu maka bolehlah mewakilkan seseorang untuk memikul peranan ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama. Amin.   Wallahua’lam
3,367
Soalan: Rakan serumah saya merupakan seorang yang sangat liat membayar hutang, sedangkan saya tahu dia mampu membayarnya. Pelbagai cara telah saya lakukan untuk mendesaknya membayar hutang, namun tidak membuahkan hasil. Bolehkah saya secara senyap-senyap mengambil wang daripada dompetnya sekadar nilai hutangnya daripada saya? Ringkasan Jawapan: Seseorang itu dibenarkan untuk mengambil semula harta yang diyakini menjadi miliknya yang dipinjam oleh orang lain, atau yang dirampas tanpa keredaannya. Hal ini setelah dia telah mencuba pelbagai cara lain untuk mendapatkannya semula namun tidak membuahkan hasil. Maka dalam hal ini, seseorang itu dibolehkan untuk mengambil semula hartanya daripada rakannya yang terlalu liat untuk membayar hutang, meskipun secara sembunyi dan tanpa pengetahuannya.  Namun disyaratkan supaya dia tidak mengambil melebihi kadar haknya, tidak mengambil barang yang berlainan jenis dan perbuatan tersebut tidak membawa kemudaratan kepadanya. Huraian Jawapan: Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat. Kewajipan membayar hutang Hutang itu wajib dibayar berdasarkan banyak ayat al-Quran dan hadis. Rasulullah SAW bersabda: مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ Maksudnya: Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. Riwayat al-Bukhari (2387) Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung (ditangguhkan hisab amalannya) disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya hutang tersebut. Riwayat al-Tirmizi (1078) Islam juga memandang buruk perbuatan menangguh-nangguhkan pembayaran hutang dan menganggapnya sebagai satu kezaliman. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ Maksudnya: Menangguh pembayaran hutang bagi orang yang mampu ialah satu kezaliman. Sahih al-Bukhari (2287) Rakan liat bayar hutang, bolehkah ambil secara sembunyi? Dalam keadaan di mana seseorang itu dinafikan haknya, maka hukum asalnya adalah dia perlu membawa perkara tersebut ke muka pengadilan. Namun dalam sesetengah keadaan, dia dibenarkan untuk mengambil semula haknya itu secara sembunyi dan tanpa pengetahuan orang yang memegang atau menahan haknya itu.  Perkara ini dibincangkan oleh para ulama dan diistilahkan sebagai al-zafr bi al-haq, yang bermaksud mengambil semula hak yang ditahan atau dirampas. Antara dalil yang mensyariatkan perkara ini ialah firman Allah SWT: وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ  Maksudnya: Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim. Surah al-Syura (40) Begitu juga hadis daripada Aisyah R.Anha, bahawa suatu hari Hindun R.Anha datang mengadu kepada Nabi SAW tentang suaminya Abu Sufyan yang merupakan seorang yang kedekut, lalu dia menyatakan bahawa dia ingin mengambil harta suaminya, lalu Baginda bersabda: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ Maksudnya: Ambillah daripada hartanya sekadar yang mencukupkan keperluanmu dan anakmu. Riwayat al-Bukhari (7180) Begitu juga dengan hadis riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنْ نَزَلْتُمْ بِقَوْمٍ، فَأُمِرَ لَكُمْ بِمَا يَنْبَغِي لِلضَّيْفِ فَاقْبَلُوا، فَإِنْ لَمْ يَفْعَلُوا فَخُذُوا مِنْهُمْ حَقَّ الضَّيْفِ Maksudnya: Jika kamu tinggal bersama satu kaum, lalu diberikan hak yang patut diberikan kepada tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak berbuat demikian, maka ambillah daripada mereka hak yang patut diterima oleh tetamu. Riwayat al-Bukhari (2461) Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika memberi komentar terhadap hadis ini: وَاسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى مَسْأَلَةِ الظَّفَرِ وَبِهَا قَالَ الشَّافِعِيُّ فَجَزَمَ بِجَوَازِ الْأَخْذِ فِيمَا إِذَا لَمْ يُمْكِنْ تَحْصِيلُ الْحَقِّ بِالْقَاضِي كَأَنْ يَكُونَ غَرِيمُهُ مُنْكِرًا وَلَا بَيِّنَةَ لَهُ عِنْدَ وُجُودِ الْجِنْسِ فَيَجُوزُ عِنْدَهُ أَخْذُهُ إِنْ ظَفِرَ بِهِ  Maksudnya: Hadith ini dijadikan dalil kepada isu al-Zafar dan ia disebut oleh Imam al-Syafie, dan beliau menegaskan keharusan hukum mengambil hak yang tidak mampu diambil melalui proses kehakiman. Contohnya jika penghutang menafikan bahawa dia berhutang dan pemiutang itu tidak mempunyai bukti, dalam keadaan dia mendapati harta yang sama jenis dengan haknya itu. Maka menurut al-Syafie, dia diharuskan untuk mengambilnya jika dia mendapatinya.[1] Menurut al-Khatib al-Syarbini pula:  )وَإِنْ) (اسْتَحَقَّ) شَخْصٌ (عَيْنًا) تَحْتَ يَدٍ عَادِيَةٍ (فَلَهُ) أَوْ وَلِيِّهِ إنْ لَمْ يَكُنْ كَامِلًا كَمَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ (أَخْذُهَا) مُسْتَقِلًّا بِالْأَخْذِ بِلَا رَفْعٍ لِقَاضٍ وَبِلَا عِلْمِ مَنْ هِيَ تَحْتَ يَدِهِ لِلضَّرُورَةِ (إنْ لَمْ يَخَفْ) مِنْ أَخْذِهَا (فِتْنَةً) أَوْ ضَرَرًا Maksudnya: Jika seseorang itu mempunyai hak terhadap suatu barang yang berada di bawah penguasaan seseorang yang zalim, maka menurut nas Imam al-Syafie, jika dia tidak cukup syarat sempurna pemilikan, dia atau walinya berhak untuk mengambilnya semula atas inisiatifnya sendiri tanpa mengadukannya kepada hakim, dan tanpa pengetahuan orang yang menguasai hartanya itu; ini disebabkan oleh keadaan terdesak, dan dibolehkan jika tidak dibimbangi berlakunya fitnah atau kemudaratan disebabkan perbuatannya itu.[2] Selain itu, Imam al-Qarafi pula meletakkan kaedah: أَنَّ كُلَّ أَمْرٍ مُجْمَعٌ عَلَى ثُبُوتِهِ، وَتَعَيَّنَ الْحَقُّ فِيهِ، وَلَا يُؤَدِّي أَخْذُهُ لِفِتْنَةٍ، وَلَا تَشَاجُرٍ وَلَا فَسَادِ عَرْضٍ أَوْ عُضْوٍ فَيَجُوزُ أَخْذُهُ مِنْ غَيْرِ رَفْعٍ لِلْحَاكِمِ Maksudnya: Sesungguhnya setiap perkara yang disepakati sabitannya dan diyakini haknya padanya, dan jika ia diambil tidak membawa kepada fitnah, perbalahan dan kerosakan pada harta atau tubuh badan, maka diharuskan ambi tanpa mengadukannya kepada hakim.[3] Syeikh Muhammad Sidqi Aali Borno pula menyebutkan kaedah: صاحِبُ الحَقِّ إِذا ظَفِرَ بِجِنْسِ حَقِّهِ كان لَهُ أَنْ يَأْخُذَهُ Maksudnya: Pemilik hak itu apabila dia mendapati harta daripada jenis yang sama dengan haknya (yang ada pada orang lain), dia dibenarkan untuk mengambilnya. Menurut beliau, berdasarkan kaedah ini: أن من له حق مالي على غيره، ومَطَلَه المدين أو جحده حقه، ثم وجد صاحب الحق مالاً من جنس حقه يخص المدين أو الجاحد فللدائن أن يأخذ منه مقدار حقه، ولو خُفْيَةً وبغير إذن المدين، ولا إثم عليه فى ذلك، ولو اتّهم بسرقته فله أن يحلف على أنه ما سرق؛ لأنه مظلوم، واليمين نَّية الحالف إن كان مظلوماً Maksudnya: Sesungguhnya seseorang yang mempunyai hak dari sudut harta terhadap orang lain, dan penghutang menangguhkan pembayaran hutang atau menafikan haknya, lalu pemilik hak itu mendapati harta dari jenis yang sama milik penghutang atau yang menahan haknya, maka pemiutang itu berhak untuk mengambilnya dengan kadar haknya, meskipun secara sembunyi dan tanpa izin penghutang, dan dia tidak dikira berdosa atas perbuatan tersebut. Sekiranya dia dituduh mencuri, maka dia boleh bersumpah bahawa dia tidak mencuri, kerana dia dizalimi, dan sumpah itu dikira berdasarkan niat orang yang bersumpah sekiranya orang yang bersumpah itu dizalimi.[4] Namun Darul Ifta’ Jordan (Badan Fatwa Jordan) meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum mengambil tindakan ini, antaranya: Hendaklah tidak mengambil melebihi daripada kadar haknya Dipastikan selamat daripada terkena hukuman Perbuatan ini mesti dilakukan oleh pemilik hak itu sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain Tidak boleh mengambil harta yang berlainan jenis daripada haknya, meskipun nilainya sama. Tindakan ini diambil setelah dia tidak mampu mendapatkan semula haknya kerana ketiadaan bukti, atau kerana sukarnya proses kehakiman yang perlu dilalui.[5]   Kesimpulan Tuntasnya, seseorang itu dibenarkan untuk mengambil semula harta yang diyakini menjadi miliknya yang dipinjam oleh orang lain, atau yang dirampas tanpa keredaannya. Hal ini setelah dia telah mencuba pelbagai cara lain untuk mendapatkannya semula namun tidak membuahkan hasil. Maka dalam hal ini, seseorang itu dibolehkan untuk mengambil semula hartanya daripada rakannya yang terlalu liat untuk membayar hutang, meskipun secara sembunyi dan tanpa pengetahuannya. Namun disyaratkan supaya dia tidak mengambil melebihi kadar haknya, tidak mengambil barang yang berlainan jenis dan perbuatan tersebut tidak membawa kemudaratan kepadanya. Wallahu a’lam. [1] Rujuk al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali ibn Hajar (1959) Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Ma’rifah, 5/109 [2] Rujuk al-Khatib al-Syarbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad (1994) Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 6/400 [3] Rujuk al-Qarafi, Abu al-‘Abbas Syihabuddin (t.t) Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, ‘Alam al-Kutub, 4/76-77 [4] Rujuk Muhammad Sidqi Aali Borno (2003) Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Beirut: Muassasah al-Risalah, Cetakan Pertama, 6/209-210 [5] Rujuk fatwa Dar al-Iftaa’ Jordan pada pautan: https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3004#.XrofpWgzY2y
3,369
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang itu tidak mendengar khutbah hari raya? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.  Ringkasan Jawapan Sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya termasuk dalam perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya hukumnya adalah makruh. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، يُصَلُّونَ العِيدَيْنِ قَبْلَ الخُطْبَةِ Maksudnya: “Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar R.Anhuma menunaikan solat dua hari raya sebelum khutbah.” Riwayat al-Bukhari (963) Berdasarkan kepada riwayat hadis inilah, disunatkan untuk membaca dua khutbah selepas daripada mengerjakan dua solat sunat hari raya sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha, rukun-rukun dan sunnah-sunnahnya pula adalah sama seperti pelaksanaan khutbah Jumaat[1], namun tidak pada syarat-syaratnya[2]. Adapun sekiranya khutbah raya tersebut dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya, maka ia tidak baik dan tidaklah diambil kira kerana berlawanan dengan sunnah Rasulullah SAW[3]. Berbalik kepada persoalan yang diajukan iaitu berkenaan adakah sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Berhubung isu ini, Syeikh al-Damiri ada mengulas, sekiranya imam menyampaikan khutbah secara sendirian, atau seseorang itu meninggalkan khutbah, atau seumpamanya, maka perbuatan itu adalah tidak baik, dan tidak perlu lagi mengulangi penyampaian khutbah[4]. Sememangnya disunatkan ke atas orang ramai untuk mendengar khutbah raya. Akan tetapi, khutbah raya dan juga perbuatan mendengarnya bukanlah suatu syarat sah solat hari raya, maka sekiranya seseorang itu meninggalkan khutbah raya, atau berbicara ketika khutbah disampaikan, ataupun seseorang itu berpaling daripadanya lalu meninggalkan khutbah, maka dihukumkan makruh ke atasnya, dan khutbah tidak perlu diulang[5]. Kesimpulannya, sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya adalah perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya, hukumnya adalah makruh. Akhir kalam, sebaiknya kita perbanyakkan amalan-amalan sunat pada pagi raya sebagai tanda meraikan hari berbahagia ini mengikut neraca syariat dan juga menuruti sunnah Nabi SAW. Wallahu A‘lam   Rujukan: [1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftiin, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H), hlm.52. ويسن بعدها خطبتان أركانهما كهي في الجمعة ويعلمهم في الفطر الفطرة وفي الأضحى الأضحية يفتتح الأولى بتسع تكبيرات والثانية بسبع ولاء. [2] Muhammad bin Ahmad bin ‘Umar al-Syatiri, Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, (Beirut: Dar al-Minhaj, cetakan ke-5, 1436H), hlm. 176. ويخطب بعدها ندبًا خطبتين كخطبتي الجمعة في الأركان والسنن، دون الشروط، يكبر في الأولى تسعًا، وفي الثانية سبعًا. [3] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 2/542.  قال: (ويسن بعدها خطبتان) اقتداء برسول الله صلى الله عليه وسلم والخلفاء الراشدين؛ ففي (الصحيحين)] خ 963 - م 888 [عن ابن عمر: (أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يصلون العيد قبل الخطبة). فلو خطب قبلها .. أساء ولا يعتد بها، وكذا قبل طلوع الشمس قطعا. Lihat juga: Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/220. قَوْلُهُ: (وَيَخْطُبُ بَعْدَهُمَا) وَلَوْ خَرَجَ الْوَقْتُ كَمَا فِي شَرْحِ الرَّوْضِ، وَلَوْ قُدِّمَتْ الْخُطْبَةُ عَلَى الصَّلَاةِ لَمْ يُعْتَدَّ بِهَا [4] Al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj, 2/545. ولو خطب واحدة، أو ترك الخطبة، أو شيئا منها .. أساء ولا إعادة عليه. [5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/555-556. ويستحب للناس استماع الخطبة، ولكن خطبة العيد واستماعها ليست شرطًا لصحة صلاة العيد، فلو ترك استماع خطبة العيد، أو تكلم فيها، أو انصرف وتركها، كره له ذلك، ولا إعادة عليه.
3,370
Soalan: Saya pernah mendengar ada ustaz menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang tidak akan ditolak. Adakah perkara ini benar? Ringkasan Jawapan Tiada hadis sahih yang menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima secara mutlak, namun terdapat banyak nukilan daripada para sahabat dan salafussoleh yang menyatakan yang demikian.  Namun, ia tidak bermaksud seseorang yang berselawat itu akan diberi pahala dalam semua keadaan, meskipun dia berselawat dalam keadaan riyak, tetapi maksudnya ialah selawatnya kepada Baginda yang merupakan satu doa agar Allah SWT mengurniakan rahmat kepada Baginda akan dikabulkan oleh Allah, meskipun orang yang berselawat itu sendiri tidak diberi pahala. Huraian Jawapan Terdapat beberapa hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW yang menyebut bahawa selawat kepada Baginda merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima Allah SWT, antaranya ialah: كُلُّ الْأَعْمَالِ فِيهَا الْمَقْبُولُ وَالْمَرْدُودُ إِلَّا الصَّلَاةَ عَلَيَّ فَإِنَّهَا مَقْبُولَةٌ غَيْرَ مَرْدُودَةٍ. Maksudnya: Setiap amalan itu ada yang diterima dan ada yang ditolak, kecuali selawat ke atasku. Sesungguhnya ia diterima tanpa ditolak.” Al-Hafiz Al-Sakhawi menukilkan daripada guru beliau, al-Hafiz Ibn Hajar yang menilainya sebagai sangat daif (ضعيف جدا).[1] Diriwayatkan juga daripada Baginda SAW: عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتي فَوَجَدْتُ مِنْهَا المَقْبُولَ وَالمَرْدُودَ إِلاَّ الصَّلاَةَ عَلَيَّ Maksudnya: Dibentangkan kepadaku amalan umatku, dan aku mendapati ada antaranya yang diterima dan ditolak, melainkan selawat kepadaku. Kata al-Hafiz al-Suyuti: Aku tidak menjumpai sanad baginya (لم أقف له على سند).[2] Jelas bahawa hadis-hadis ini dan seumpamanya bermasalah dari sudut sanad. Namun terdapat kata-kata yang dinukilkan daripada para sahabat dan ulama, antaranya daripada Abu al-Darda’ R.A, katanya: إِذا سَألتُمُ اللَّهَ حَاجةً فابدوؤا بالصلاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ اللَّهَ أَكْرَمُ مِنْ أَنْ يُسْأَلَ حَاجَتَيْنِ فَيَقْضِيَ إِحْدَاهُمَا وَيَرُدَّ الْأُخْرَى Maksudnya: Apabila kamu semua ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat maka mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya Allah itu lebih Maha Pemurah daripada hanya mengurniakan salah satu hajat sahaja dan menolak yang lain apabila diminta dua hajat (daripada-Nya). Begitu juga dengan kata-kata Abu Sulaiman al-Darani: الصَّلاةُ على النَّبِيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّم مقبولَةٌ Maksudnya: Selawat ke atas Nabi SAW itu diterima. Menurut al-Hafiz al-Sakhawi, Imam al-Ghazali menyandarkan kata-kata ini kepada Rasulullah SAW (marfu’), namun al-Sakhawi tidak mendapati sanad baginya, dan beliau menjelaskan bahawa kata-kata al-Darani ini sebenarnya bersumberkan Riwayat Abu al-Darda’ di atas.[3] Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi ketika menghuraikan riwayat-riwayat ini menjelaskan bahawa maksud dan konteks sebenar riwayat tersebut ialah selawat sebagai satu bentuk doa agar Allah mengurniakan rahmat dan kemuliaan kepada Rasulullah SAW akan diterima secara mutlak dan tidak akan ditolak. Hal ini demikian kerana sememangnya Allah SWT sentiasa berselawat kepada Baginda, melalui firman-Nya: إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Surah al-Ahzab (56) Penggunaan lafaz fi’il mudari’ (kata kerja kini/present tense) dalam ayat tersebut memberi maksud bahawa Allah SWT berselawat secara terus-menerus kepada Baginda, lalu Allah SWT memerintahkan kita untuk turut berselawat kepada Baginda, meskipun selawat daripada Allah telah mencukupi.  Maka difahami bahawa ini tidak sama riwayat tersebut tidak menyebut berkenaan sama ada seseorang yang berselawat itu diberi pahala atau tidak, kerana sesuatu amalan itu perlu menepati syarat untuk diterima dan tidak mengandungi perkara yang menghalang pahala seperti riyak dan seumpamanya.[4] Al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki pula menukilkan daripada al-Imam Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi bahawa beliau berkata: Para ulama menyebut bahawa selawat kepada Nabi SAW akan diterima, meskipun ia diucapkan dengan riyak dan sum’ah, dan selawat tersebut akan sampai kepada Baginda SAW, sekalipun orang yang berselawat itu tidak memperoleh sebarang pahala daripadanya. Hal ini kerana pemerolehan pahala melalui amalan bergantung kepada niat yang ikhlas.[5] Kesimpulan Kesimpulannya, tiada hadis sahih yang menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima secara mutlak, namun terdapat banyak nukilan daripada para sahabat dan salafussoleh yang menyatakan yang demikian. Walaupun begitu, ia bukanlah bermaksud seseorang yang berselawat itu akan diberi pahala dalam semua keadaan, meskipun dia berselawat dalam keadaan riyak, tetapi maksudnya ialah selawatnya kepada Baginda yang merupakan satu doa agar Allah SWT mengurniakan rahmat kepada Baginda akan dikabulkan oleh Allah. [1] Rujuk al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah oleh Syamsuddin al-Sakhawi (1985) BeirutL Dar al-Kitab al-‘Arabi, Cetakan Pertama, tahqiq: Muhammad ‘Uthman al-Khasyt, hlm. 513 حَدِيث: كُلُّ الأَعْمَالِ فِيهَا الْمَقْبُولُ وَالْمَرْدُودُ إِلا الصَّلاةَ عليَّ، فَإِنَّهَا مَقْبُولَةٌ غَيْرُ مَرْدُودَةٍ، قال شيخنا: إنه ضعيف جدا [2] Rujuk al-Durar al-Muntathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah oleh ‘Abd al-Rahman Jalaluddin al-Suyuti (t.t) al-Riyadh: ‘Imadah Syu’un al-Maktabat, tahqiq: Muhammad bin Lutfi al-Sabbagh, hlm. 149 [3] Rujuk al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 427 حديث: الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا ترد، هو من كلام أبي سليمان الداراني، ولفظه: الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مقبولة، وفي لفظ: إن اللَّه يقبل الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أخرجه باللفظ ابن النميري، كما بينته في القول البديع، بل في الإحياء مرفوعا، مما لم أقف عليه، وإنما هو عن أبي الدرداء من قوله: إذا سألتم اللَّه حاجة فابدوؤا بالصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فإن اللَّه أكرم من أن يسأل حاجتين، فيقضي أحدهما ويرد الأخرى [4] Rujuk Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar oleh Muhammad Amin Ibn ‘Abidin (1992) Beirut: Dar al-Fikr, Cetakan Kedua, 1/520-521 قَالَ {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ} [الأحزاب: 56] بِلَفْظِ الْمُضَارِعِ الْمُفِيدِ لِلِاسْتِمْرَارِ التَّجَدُّدِيِّ مَعَ الِافْتِتَاحِ بِالْجُمْلَةِ الِاسْمِيَّةِ الْمُفِيدَةِ لِلتَّوْكِيدِ وَابْتِدَائِهَا بِإِنَّ لِزِيَادَةِ التَّوْكِيدِ، وَهَذَا دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ سُبْحَانَهُ لَا يَزَالُ مُصَلِّيًا عَلَى رَسُولِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - ثُمَّ امْتَنَّ سُبْحَانَهُ عَلَى عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ حَيْثُ أَمَرَهُمْ بِالصَّلَاةِ أَيْضًا لِيَحْصُلَ لَهُمْ بِذَلِكَ زِيَادَةُ فَضْلٍ وَشَرَفٍ وَإِلَّا فَالنَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - مُسْتَغْنٍ بِصَلَاةِ رَبِّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَلَيْهِ، فَيَكُونُ دُعَاءُ الْمُؤْمِنِ بِطَلَبِ الصَّلَاةِ مِنْ رَبِّهِ تَعَالَى مَقْبُولًا قَطْعًا أَيْ مَجَّانًا لِإِخْبَارِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى بِأَنَّهُ يُصَلِّي عَلَيْهِ، بِخِلَافِ سَائِرِ أَنْوَاعِ الدُّعَاءِ وَغَيْرِهِ مِنْ الْعِبَادَاتِ، وَلَيْسَ فِي هَذَا مَا يَقْتَضِي أَنَّ الْمُؤْمِنَ يُثَابُ عَلَيْهَا أَوْ لَا يُثَابُ، بَلْ مَعْنَاهُ وَأَنَّ الطَّلَبَ وَالدُّعَاءَ مَقْبُولٌ غَيْرُ مَرْدُودٍ. وَأَمَّا الثَّوَابُ فَهُوَ مَشْرُوطٌ بِعَدَمِ الْعَوَارِضِ [5] Rujuk al-Zakha’ir wa al-Syama’il fi Fadha’il wa Syama’il al-Mustafa oleh al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki (t.t) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 209 قال الإمام الرباني مجدد الألف الثاني أحمد الفاروقي السرهندي في مكتوباته: قال العلماء إن الصلاة على النبي ص مقبولة ولو صدرت عن رياء وسمعة، وهي واصلة للنبي ص، وإن لم يحصل منها ثواب إلى المصلي، فإن حصول الثواب من الإعمال مربوط بنصحيح النية
3,375
Soalan: Assalammualaikum, semasa pemilihan haiwan korban, terdapat haiwan korban yang berisi tapi tanduknya patah. Persoalannya, adakah haiwan korban yang tanduknya patah masih boleh dijadikan haiwan sembelihan korban.Mohon pencerahan SS Mufti. Ringkasan Jawapan: Haiwan yang dijadikan sembelihan korban mestilah yang paling terbaik. Bahkan, sebaiknya mencari haiwan yang gemuk dan bertanduk. Namun, sekiranya terdapat aib pada tanduk haiwan, maka hukumnya  berdasarkan keadaan - keadaan berikut : Ketiadaan tanduk adalah sah dijadikan sembelihan korban kerana termasuk cacat cela sedikit tanpa mengurangkan daging. Tanduk terpatah atau pecah yang tidak memberi kesan pada kerosakan daging adalah harus dan sah dijadikan sembelihan korban. Tanduk terpatah yang memberi kesan kepada rosaknya daging haiwan tersebut adalah tidak sah dijadikan sembelihan korban. Justeru itu, disunatkan mencari haiwan korban yang sempurna termasuklah tidak patah tanduk mahupun ketiadaan tanduk. Sekiranya tidak bertanduk, harus dijadikan haiwan korban namun makruh hukumnya. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Pensyariatan ibadah korban bagi mereka yang mampu berdasarkan dalil-dalil berikut: Firman Allah SWT فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” Surah al-Khauthar (2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: مَن كان له سَعَةٌ ولم يُضَحِّ ، فلا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانا Maksudnya: “Siapa yang diberi kemampuan sehingga dia mampu untuk berkorban dan tidak mahu melaksanakan ibadah korban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (masjid)”. Riwayat Ibn Majah 2123 Melaksanakan ibadah korban antara syiar agama Allah, firman Allah SWT: ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” Surah al-Hajj: (32) Ibn Abbas RA menyatakan maksud mengagungkan syiar melalui ibadah korban iaitu mengemukkan haiwan korban.[1] Sementara ulama menyatakan sunat memilih haiwan korban yang sempurna dan baik termasuklah tidak patah  tanduk atau kehilangan tanduk.  [2] Seterusnya, ulama bersepakat bahawa permilihan haiwan korban digalakkkan mencari yang paling terbaik, sempurna dan mempunyai tanduk sempurna berdasarkan riwayat riwayat berikut: Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Samit, bahawa Rasullullah SAW bersabda : خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ Maksudnya: "Sebaik-baik haiwan korban adalah  kibas (kambing biri-biri) yang mempunyai tanduk " Riwayat al-Hakim Haiwan korban yang mempunyai tanduk kelihatan lebih baik. Sebaliknya, makruh haiwan yang tiada tanduk   namun sah untuk dijadikan haiwan korban seperti yang dinukilkan dalam Majmu’  [3]  Galakan memilih haiwan korban yang bertanduk berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata: قَالَ: ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا» Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibas (kambing biri-biri) putih bertompok kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut " Berdasarkan hadis tersebut, ulama berpandangan disunatkan mencari haiwan korban yang bertanduk dan ulama turut bersepakat harus menyembelih haiwan korban anak lembu yang masih tiada tanduk lagi. Walau bagaimanapun, fuqaha mazhab Syafi’i serta pandangan jumhur menyatakan hukum harus menyembelih haiwan korban yang tanduknya patah  sama ada ia berdarah atau tidak. [4] Selain itu, haiwan korban yang bertanduk lebih berat timbangan pahala berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”  Riwayat al-Tirmidzi (1493) Hadis ini bermaksud setiap anggota daripada haiwan korban terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia akan datang pada hari kiamat sebagaimana di dunia, tanpa mengurangkan sedikitpun daripadanya. Haiwan tersebut akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [5] Seterusnya, fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan syarat haiwan korban mestilah   selamat daripada aib dan kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya.  Namun tidak terjejas aib yang sedikit seperti ketiadaan tanduk haiwan korban.[6] Oleh itu, tidak terjejas syarat sah sembelihan korban daripada haiwan yang  tidak mempunyai tanduk atau dikenali sebagai “al-Jalha’ (الْجَلْحَاءَ).  Seterusnya tidak mematahkan tanduknya, namun, sekiranya tanduknya patah atau pecah dan merosakkan dagingnya, maka tidak sah sembelihan haiwan korban kerana disamakan seperti kurap/ kudis.[7] Hal ini kerana kudis yang sedikit menyebabkan tidak sah haiwan sembelihan korban berdasarkan pendapat  yang sahih daripada kalam Imam al-Nawawi : قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الجرب والله أعلم “Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit”[8] Oleh itu, tanduk yang terpatah, pecah atau ketiadaan tanduk termasuk dalam aib yang sedikit tanpa menjejaskan daging haiwan korban.  Namun, sekiranya terpatah tanduk dan merosakkan daging haiwan tersebut, maka tidak sah sembelihan korban. Bahkan, maksud ibadah korban itu sendiri ialah untuk mempersembahkan daging haiwan sembelihan korban.[9] PENUTUP Berdasarkan perbahasan fuqaha mazhab Syafi’i, haiwan korban yang aibnya  sedikit   seperti ketiadaan tanduk atau patah tanduknya  sah dijadikan haiwan korban kerana tidak mengurangkan daging. Sebaliknya, tidak sah jika tanduk yang terpatah memberi kesan kepada rosaknya daging haiwan sembelihan korban tersebut. Justeru itu, mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban disunatkan untuk memilih haiwan korban yang terbaik, sempurna dan bertanduk. Sekiranya tidak bertanduk, harus dijadikan haiwan korban namun makruh hukumnya.   RUJUKAN : [1] Ibn Kathir,1999 Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Tayyibah : J : 5 p: 421  قُولُ تَعَالَى: هَذَا {وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ} أَيْ: أَوَامِرَهُ، {فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ} وَمِنْ ذَلِكَ تَعْظِيمُ الْهَدَايَا وَالْبُدْنِ، كَمَا قَالَ الْحَكَمُ، عَنْ مقْسَم، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: تَعْظِيمُهَا: اسْتِسْمَانُهَا وَاسْتِحْسَانُهَا. [2] Abu Bakar al-Dimyati, 1997, I’anah al-Thalibin ‘ala Hal al-Faz Fath al-Mu’in. Dar al-Fikr, J: 2 P: 380  يسن في الأضحية استسمانها، لقوله تعالى: * (ومن يعظم شعائر الله) * الآية. قال العلماء: هو استسمان الهدايا واستحسانها، وأن لا تكون مكسورة القرن، ولا فاقدته، [3] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p 129 ذَاتُ الْقَرْنِ أَوْلَى لِخَبَرِ «خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ» رَوَاهُ الْحَاكِمُ وَصَحَّحَ إسْنَادَهُ، وَلِأَنَّهَا أَحْسَنُ مَنْظَرًا بَلْ يُكْرَهُ غَيْرُهَا كَمَا نَقَلَهُ فِي الْمَجْمُوعِ عَنْ الْأَصْحَابِ، Az-Zuhaili, 2018, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, Damsyik : Darul Qalam  J: 2 P : 482 وَ يجزئ - مع الكراهة - التي لم يخلق لها قرن، والتي  انكسر غلاف  قرنها أو انكسر قرنها [4]Al-Nawawi, 1392, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Bayrut : Dar al-Ihya’ Turath al-Arabi. J : 13 P: 120  قَالَ الْعُلَمَاءُ فَيُسْتَحَبُّ الْأَقْرَنُ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ جَوَازُ تَضْحِيَةِ الْإِنْسَانِ بِعَدَدٍ مِنَ الْحَيَوَانِ وَاسْتِحْبَابُ الْأَقْرَنِ وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى جَوَازِ  التَّضْحِيَةِ بِالْأَجْمِ الَّذِي لَمْ يُخْلَقْ لَهُ قَرْنَانِ وَاخْتَلَفُوا فِي مكسورة القرن فجوزه الشافعى وأبو حنيفة والجمهور سواءكان يدمى أم لاوكرهه مَالِكٌ إِذَا كَانَ يُدْمِي وَجَعَلَهُ عَيْبًا وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا [5] Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ al-Tirmidzi, Bayrut : Kitab Ilmiah  J 5 p 62   وَأَنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَمَا كَانَ فِي الدُّنْيَا مِنْ غَيْرِ نُقْصَانِ شَيْءٍ مِنْهُ لِيَكُونَ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهُ أَجْرٌ وَيَصِيرُ مَرْكَبُهُ عَلَى الصِّرَاطِ انْتَهَى [6] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 320 وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. [7] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p 129 (وَلَا) يَضُرُّ (فَقْدُ قَرْنٍ) خِلْقَةً، وَتُسَمَّى الْجَلْحَاءَ، وَلَا كَسْرُهُ مَا لَمْ يَعِبْ اللَّحْمَ، وَإِنْ دَمِيَ - بِالْكَسْرِ - لِأَنَّ الْقَرْنَ لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ كَبِيرُ غَرَضٍ، فَإِنْ عِيبَ اللَّحْمُ ضَرَّ كَالْجَرَبِ وَغَيْرِهِ، وَذَاتُ الْقَرْنِ أَوْلَى لِخَبَرِ «خَيْرُ الضَّحِيَّةِ الْكَبْشُ الْأَقْرَنُ» رَوَاهُ الْحَاكِمُ وَصَحَّحَ إسْنَادَهُ [8] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 320 [9] مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج (6/ 128) ؛ لِأَنَّ الْمَقْصُودَ مِنْ الْأُضْحِيَّةِ اللَّحْمُ أَوْ نَحْوُه؛
3,376
SOALAN 8 (19/06/2015 BERSAMAAN 02 RAMADAN 1436H) Bagaimana sekiranya seseorang itu meyangka fajar belum terbit (semasa bersahur) atau maghrib sudah masuk (semasa berbuka)?   JAWAPAN             Jika sekiranya seseorang menjangkakan fajar belum terbit lagi dengan makan atau minum, sedangkan ternyata sangkaannya itu salah, maka batallah puasanya. Walaupun begitu, hendaklah ia meneruskan imsak sepanjang hari tersebut kerana menghormati Ramadan.             Ibn Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni: “Bahawa sesiapa yang makan disangka fajar masih lagi belum terbit, tetapi sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan sangkaan matahati sudah terbenam, sedangkan belum lagi, maka puasanya batal dan hendaklah diqhada’. Ini pendapat kebanyakan ahli ilmu.” Pendapat ini amat kuat kerana yakin tidak boleh ditolak dengan syak.
3,377
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Apa khabar? Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada satu soalan yang ingin diajukan. Apakah hukum bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah? Adakah perkara tersebut dibenarkan. Bukankah kita dituntut untuk menginsafi dan ingat mati ketika iring jenazah? Mohon pencerahan ustaz. Ringkasan jawapan : Makruh hukumnya bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Lebih-lebih lagi bercakap tentang hal keduniaan. Waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian,alam barzakh dan menginsafi baki umur yang kita miliki. Ini kerana lambat laun kita juga akan merasai perkara yang sama. Semoga Allah mengurniakan penutup kehidupan yang baik kepada kita. Huraian jawapan : Mengiringi jenazah adalah antara sunnah yang digalakkan untuk dilakukan. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ Bin ‘Azib. Beliau berkata : أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا ‌بِاتِّبَاعِ ‌الجَنَازَةِ وَعِيَادَةِ المَرِيضِ وَتَشْمِيتِ العَاطِسِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَصْرِ المَظْلُومِ وَإِبْرَارِ الْمُقْسِمِ وَرَدِّ السَّلَامِ Maksudnya : “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami dari melakukan tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami mengiringi jenazah, menziarahi orang yang sakit, mendoakan kembali orang yang bersin, memenuhi undangan, membantu orang yang dizalimi, melepaskan orang yang bersumpah dan menjawab salam.”[1] Mengiringi jenazah adalah perkara yang boleh mengingatkan kita kepada kematian. Namun begitu, ada beberapa adab yang perlu diikuti. Antara adab ketika mengiringi jenazah adalah senyap dan tidak berkata-kata sepanjang mengiringi jenazah. Bahkan makruh menguatkan suara ketika mengiringi jenazah. Al-Khatib Al-Syarbini menukilkan ucapan Imam Al-Nawawi. Beliau berkata : قَالَ فِي الْمَجْمُوعِ: وَالْمُخْتَارُ بَلْ الصَّوَابُ مَا كَانَ عَلَيْهِ السَّلَفُ مِنْ السُّكُوتِ فِي حَالِ السَّيْرِ مَعَ الْجِنَازَةِ، وَلَا يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِقِرَاءَةٍ وَلَا ذِكْرٍ وَلَا غَيْرِهِمَا، ‌بَلْ ‌يَشْتَغِلُ ‌بِالتَّفَكُّرِ فِي الْمَوْتِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ “Imam Al-Nawawi menyebut dalam kitab Al-Majmu’, Pendapat yang terpilih bahkan yang tepat adalah apa yang dilakukan para salaf iaitu diam sepanjang berjalan bersama jenazah.  Tidak boleh menguatkan suara dengan bacaan Al-Quran, zikir dan juga lain-lain. Bahkan sepatutnya dia menyibukkan diri berfikir tentang kematian dan apa-apa yang berkaitan dengannya.”[2] Dalil bagi kenyataan imam Nawawi tersebut berdasarkan riwayat Qays bin ‘Ubad RA, beliau berkata: كان أصحابُ رسولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‌يَكرَهونَ ‌رَفعَ ‌الصَوتِ ‌عِندَ ‌الجَنائزِ وعِندَ القِتالِ وعِندَ الذَكرِ “Para sahabat  Rasulullah SAW tidak suka mengangkat suara ketika berada di samping jenazah, ketika berperang dan ketika berzikir.”[3] Di samping itu, makruh untuk berkata-kata tentang perkara-perkara keduniaan ketika mengiringi jenazah. Waktu itu seharusnya digunakan untuk berfikir tentang kematian. Perkara ini dijelaskan untuk Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut : وَيُكْرَهُ ‌اللَّغَطُ فِي الْمَشْيِ مَعَهَا، وَالْحَدِيثُ فِي أُمُورِ الدُّنْيَا، بَلِ الْمُسْتَحَبُّ الْفِكْرُ فِي الْمَوْتِ وَمَا بَعْدَهُ وَفَنَاءِ الدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ “Makruh menguatkan suara ketika berjalan mengiringi jenazah. Begitu juga berkata-kata tentang hal keduniaan. Bahkan sunat berfikir tentang kematian,apa yang akan berlaku selepas mati, fananya dunia ini dan lain-lain.”[4] Ibn Hajar Al-Haitami juga menyatakan bahawa makruh untuk bercakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Ianya juga disebut sebagai Al-Laghat. Perkara ini termasuk berzikir atau membaca Al-Quran dengan kuat.[5] Justeru, makruh hukumnya bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Lebih-lebih lagi bercakap tentang hal keduniaan. Waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian, alam barzakh dan menginsafi baki umur yang kita miliki. Ini kerana lambat laun kita juga akan merasai perkara yang sama. NOTA HUJUNG: [1] Riwayat Al-Tirmizi, no 2809, Jami’ Al-Tirmizi (1998), Dar Al-Gharb Al-Islami,Beirut, j.4 h.414 [2] Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughi Al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz Al-Minhaj(1994), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.2 h.48 [3] Riwayat Al-Baihaqi no 7262, Al-Sunan Al-Kubra(2011), Markaz Hijr Li Al-Buhuth wa Al-Dirasat Al-‘Arabiyah Al-Islamiyah, j.7 h.510. [4] Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Raudhah Al-Talibin wa ‘Umdah Al-Muftin (1991), Al-Maktab Al-Islamiy, Damsyik, j.2 h.116. [5] Ibn Hajar Al-Haitami, Ahmad Bin Muhammad, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (1983), Dar Ihya’ Al-Turath Al-Arabiy, Beirut, j.3 h.187.
3,378
Soalan: Apakah terdapat athar daripada Nabi SAW berkaitan hari agung di sisi Allah?   Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Ibadah Haji merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia merupakan satu kewajipan bagi orang yang mampu untuk menunaikannya. Antara dalil yang menunjukkan akan kewajipan Haji adalah: Firman Allah SWT: وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ Ali-Imran: 97 Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”   Berdasarkan kepada soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang sahih sebagaimana soalan di atas:   Daripada Abdullah bin Qurth RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ أَعْظَمَ الْأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَوْمُ النَّحْرِ، ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ Maksudnya: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah adalah hari raya korban, kemudian hari selepasnya.”[Riwayat Abu Daud (1765)][Riwayat Ahmad (19075)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]   Hadith ini menunjukkan bahawa antara hari yang paling afdhal di sisi Allah dalam setahun selepas daripada hari Arafah ialah hari raya Aidladha. Ini kerana, banyak perbuatan haji dilakukan pada hari tersebut seperti melontar jamrah al-Aqabah, melakukan korban, bertahallul, melakuan tawaf ifadhah dan sebagainya. Disebabkan itu, ia dinamakan sebagai hari haji al-Akbar sepertimana disebutkan di dalam al-Quran. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/148] Selain itu, dinamakan hari al-Qar adalah disebabkan hari tersebut para jemaah haji menetap di Mina selepas selesai menunaikan taqaf al-Ifadhah, korban dan waktu mereka berehat. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 5/127]   Penutup Kesimpulannya, hari al-Nahr atau hari raya Aidiladha merupakan di antara hari-hari yang agung dan besar di sisi Allah SWT. Justeru, kita amat dituntut untuk memperbanyakkan amal soleh pada hari-hari yang agung seperti ini, termasuklah sepuluh hari pertama di dalam bulan Zulkaedah. Adapun berkaitan status hadith di atas, ia adalah thabit atau sahih daripada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melakukan amal ibadah pada hari-hari seperti ini. Amin.   Wallahua’lam
3,379
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Seperti yang diketahui, wanita yang sedang istihadah wajib membersihkan bahagian faraj kemudian membalutnya dengan kain atau tuala wanita sebelum menunaikan solat. Bagaimana pula jika seseorang wanita istihadah menggunakan menstrual cup dan tidak membersihkannya sebelum solat dengan tanggapan bahawa darah tersebut tidak keluar ke bahagian luar faraj? Adakah sah solat wanita tersebut? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih. Jawapan Ringkas Membersihkan diri merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Penggunaan menstrual cup dianggap seperti menanggung najis kerana kedudukan darah tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Oleh itu, wanita yang sedang istihadah wajib membersihkan menstrual cup sebelum menunaikan solat dan tidak sah solat sekiranya tidak dibersihkan terlebih dahulu. Huraian Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Menstrual cup adalah sejenis alat kebersihan wanita yang berbentuk cawan kecil yang fleksibel, diperbuat daripada silikon dan bersifat tidak menyerap cairan. Ia digunakan sebagai alternatif kepada penggunaan tuala wanita, tampon dan lain-lain yang berfungsi menahan dan mengumpul cairan seperti darah haid. Kaedah penggunaan menstrual cup ini adalah dengan memasukkannya ke dalam bahagian dinding faraj (vagina) wanita. Ia dimasukkan beberapa inci di bawah servik dan akan terbuka untuk membuat kedapan udara yang berfungsi dalam menghentikan kebocoran. Cecair yang keluar daripada servik wanita kemudiannya akan menitis masuk ke dalam cawan tersebut tanpa melepasi bahagian luar faraj. Bagi sebahagian wanita yang kebiasaannya menggunakan menstrual cup ketika kedatangan haid, mereka lebih cenderung untuk terus menggunakannya ketika keluar darah istihadah atau keputihan yang banyak. Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah, penulis mendefinisikan istihadah sebagai[1]: الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa istihadah adalah hadas berterusan yang dihukumkan seperti penyakit kencing tidak lawas. Ia tidak menghalang kewajipan berpuasa dan solat seperti keluarnya darah haid. Justeru bagi wanita yang sedang istihadah, dia wajib membasuh farajnya dan membalutinya serta berwuduk pada waktu solat dan bersegera mengerjakannya[2]. Berdasarkan pernyataan ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh wanita istihadah adalah seperti berikut: Membasuh faraj daripada najis darah istihadah Memakai alat kebersihan wanita seperti tuala wanita di permukaan faraj agar tidak mengalir keluar Mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan seberapa banyak solat sunat. Sebahagian wanita istihadah menggunakan menstrual cup atas tujuan memudahkan mereka ketika hendak menunaikan solat. Oleh kerana darah yang keluar tidak melepasi bahagian luar faraj, maka ia dianggap tidak perlu dibersihkan. Justeru perlu dijelaskan di sini bahawa menurut mazhab al-Syafi’i, bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib adalah pada had zahir faraj; iaitu kawasan yang terzahir sekiranya duduk dalam keadaan mencangkung[3]. Manakala had batin faraj ialah apa yang sebaliknya. Terdapat perbahasan dalam bab puasa daripada kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab[4]: فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته فإن جاوزته بإدخال أصبعها زيادة عليه بطل صومها  Maksudnya: “Maka bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air, maka hendaklah dia membersihkannya dan jangan melebihi had tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya (untuk membersihkannya), maka puasanya terbatal.” Kedudukan had zahir dan had batin faraj wanita dapat disimpulkan seperti rajah berikut: Berdasarkan rajah di atas, didapati kedudukan pangkal menstrual cup telah memasuki had batin faraj wanita yang boleh menyebabkan batal puasa sekiranya dimasukkan di siang hari puasa, manakala bahagian hujung menstrual cup yang merupakan kawasan takungan darah kekal berada di had zahir faraj wanita. Oleh yang demikian, penggunaan menstrual cup dianggap sebagai menanggung najis (darah istihadah) kerana kedudukan darah tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Membersihkan diri merupakan syarat sah solat. Justeru, tidak sah solat wanita istihadah yang memakai menstrual cup tanpa membersihkannya terlebih dahulu.  Wallahua’lam   Rujukan:  [1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah, (Tarim: Dar al-‘Ilm wa al-Dakwah, cetakan 1, 1423H – 2003M), 167 [2] Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Dar al-Fikr, cetakan 1, 1425H – 2005M), 19 والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها [3] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj al-Tullab, (Matba’ah Halabi, 1369H – 1950M), 1/94 (وتعميم ظاهر بدنه) بالماء حتى الأظفار والشعر ومنبته وإن كثف وما يظهر من صماخ الأذنين ومن فرج المرأة عند قعودها لقضاء حاجتها Muhammad bin Qasim al-Ghazi, Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, (Beirut: Dar Ibn Hazm, cetakan 1, 1425H – 2005M), 43 والمراد بالبشرة ظاهر الجلد؛ ويجب غسل ما ظهر من صماخي أذنيه، ومن أنف مجدع، ومن شقوق بدن؛ ويجب إيصال الماء إلى ما تحت القلفة من الأقلف، وإلى ما يبدو من فرج المرأة عند قعودها لقضاء حاجتها [4] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Beirut: Dar al-Fikr), 6/314
3,382
Soalan Assalamualaikum, mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah berkenaan solat tarawih. Saya seorang jururawat yang bekerja mengikut jadual shif tertentu. Kadang-kadang shift saya bekerja pada waktu malam bermula jam 8 malam sehingga jam 8 pagi. Pekerjaan saya susah untuk berhenti rehat dengan mengambil waktu yang lama hanya sekadar sempat untuk menunaikan solat Isyak dan hanya sempat beberapa raakat sahaja solat Tarawih. Persoalannya bolehkah saya mengqada baki solat tarawih dan solat witir saya selepas saya selesai kerja pada waktu lain. Ringkasa Jawapan Solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir boleh diqada pada waktu yang lain sekiranya tertinggal dan tidak sempat dilakukan pada waktunya. Perkara ini merujuk kepada pandangan mazhab al-Syafi’e yang mengharuskan  qada solat sunat yang didirikan pada waktu tertentu (solat sunat al-Muaqqat) sekiranya luput waktunya. Hal ini juga termasuk solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir yang dikategorikan sebagai solat sunat yang memiliki waktunya tersendiri Huraian Jawapan Ganjaran diampunkan segala dosa pada bulan Ramadan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT bagi mereka yang mendirikan malam-malamnya dengan penuh kesungguhan dan pengharapan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu”. Riwayat Muslim Mendirikan malam pada bulan Ramadan yang dimaksudkan dalam hadis di atas merupakan solat sunat Tarawih.[1] Solat sunat Tarawih merupakan solat sunat yang memiliki waktunya yang tertentu dengan hanya dilakukan pada setiap malam selepas solat Isyak didirikan sehingga sebelum terbitnya fajar di bulan Ramadan.[2] Persoalan tentang qada solat Tarawih bagi mereka yang tertinggal dan tidak sempat menunaikannya, Imam al-Nawawi menyebut secara umum bahawa sunat qada solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat). Teks asalnya seperti berikut: وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ Maksudnya: “Jika luput waktu solat sunat yang telah ditetapkan waktunya, maka sunat untuk qada menurut pandangan yang muktamad”.[3] Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa sunat menggantikan solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat) sama ada solat itu afdal dilakukan secara berjemaah seperti solat sunat Hari Raya atau pun tidak seperti solat sunat Dhuha.[4] Hal ini berdasarkan dalil daripada hadis Nabi SAW yang menyatakan sesiapa yang tertidur atau terlupa sehingga terlepas waktu solatnya maka digantikan apabila mengingatinya.[5] Begitu juga dalam hadis yang lain, Nabi SAW menggantikan solat sunat Zohor setelah solat Asar dan juga Baginda SAW menggantikan solat sunat Fajar setelah terbitnya matahari kerana tertidur.[6] Begitu juga perihal solat sunat witir, menurut mazhab Syafi’i ia termasuk dalam kategori solat sunat yang digalakkan untuk qada jika tertinggal[7] berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, Nabi SAW bersabda: مَنْ نَامَ عَنْ الْوَتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُوتِرْ إِذَا ذَكَرَهُ أَوْ اسْتَيْقَظَ Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sehingga terlepas waktu solat Witir atau terlupa menunaikannya, maka lakukanlah apabila dia mengingatinya atau setelah dia bangun daripada tidur”. Riwayat al-Tirmizi (465) Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan, solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir boleh diqada pada waktu yang lain sekiranya tertinggal dan tidak sempat dilakukan pada waktunya. Perkara ini merujuk kepada pandangan mazhab al-Syafi’e yang membenarkan untuk qada solat sunat yang memiliki waktu tertentu (solat sunat muaqqat) sekiranya luput waktunya. Hal ini juga termasuk solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir yang dikategorikan sebagai solat sunat yang memiliki waktunya tersendiri Wallahu’alam   Rujukan: [1] Al-Minhaj Syarh Sahih muslim bin al-Hajjaj, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) Jld.6 Hlm. 39 وَالْمُرَادُ بِقِيَامِ رَمَضَانَ صَلَاةُ التَّرَاوِيحِ [2] Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, Dr. Wahbah Zuhaili. (Damsyiq: Dar al-Fikr) Jld. 2 Hlm. 1075 والتراويح عشرون ركعة بعشر تسليمات في كل ليلة من رمضان بين صلاة العشاء وطلوع الفجر، اتباعاً للسنة، مع مواظبة الصحابة عليها. [3] Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-fiqh, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Dar Fikr, 1425) Hlm. 36 [4] Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-minhaj, al-Khatib al-Syirbini. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 1 Hlm. 457 (وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ) سُنَّتْ الْجَمَاعَةُ فِيهِ كَصَلَاةِ الْعِيدِ أَوْ لَا كَصَلَاةِ الضُّحَى (نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ) [5] Hadis riwayat Muslim. No Hadis 684 مَنْ نَسِيَ صَلاَةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا [6] Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-minhaj, al-Khatib al-Syirbini. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 1 Hlm. 457 «قَضَى رَكْعَتَيْ سُنَّةِ الظُّهْرِ الْمُتَأَخِّرَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ» ، رَوَاهُ الشَّيْخَانِ «وَرَكْعَتَيْ الْفَجْرِ بَعْدَ الشَّمْسِ لَمَّا نَامَ فِي الْوَادِي عَنْ الصُّبْحِ» ، رَوَاهُ أَبُو دَاوُد بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ، [7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm. 41-42 فهذه فيها ثلاثة أقوال الصحيح منها أنها يستحب قضاؤها قال القاضي أبو الطيب وغيره هذا القول هو المنصوص في الجديد
3,384
Mukadimah Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap yang bernyawa pasti akan merasainya. Firman Allah SWT: كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati (Aal Imran: 185)   Baru-baru ini kita juga telah dikejutkan dengan kematian seorang pendakwah, tokoh politik yang terkemuka iaitu al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dato’ Dr. Harun Din Rahimahullah pada hari Jumaat 16 September 2016 bersamaan  dengan 14 Zulhijjah 1437 H tatkala menerima rawatan di Hospital Universiti of Stanford, Amerika Syarikat. Sekali lagi kami ucapkan takziah buat ahli keluarga al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dr. Harun Din. Semoga tabah dan sabar dalam menempuh ujian ini. Begitulah kehidupan manusia di dunia, pasti akan bertemu juga pengakhirannya. Pengakhirannya yang mana telah ditetapkan sejak azali lagi. Sehubungan dengan itu, Bayan Linnas pada kali ini ingin mengupas beberapa permasalahan berkaitan dengan solat jenazah ghaib, tempat pengebumian dan juga beberapa isu yang lain untuk panduan kita bersama. Semoga dengan perkongsian selepas ini dapat memberikan kita sedikit bekalan mengenai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan jenazah seterusnya dapat difahami serta diamalkan dengan baik.   Sunnah Menerima Berita Kematian Kematian adalah salah satu dari jenis musibah yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT: وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦ Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."  (Al-Baqarah: 155-156)   Begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kematian) maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka yang mengucapkan istirja’ iaitu ucapan: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ   Ucapan Takziah Takziah sepertimana yang didefinisikan oleh sebahagian ulama bermaksud suatu ucapan yang diucapkan bagi menggembirakan hati mereka yang ditimpa musibah serta galakan untuk bersabar serta doa buat si mati dan juga ahli keluarga. Ini sepertimana yang telah ditakrifkan oleh Ibn Muflih di dalam kitabnya al-Furu’. Begitu juga dengan al-Imam al-Nawawi ketika membicarakan tentang takziah. Kata beliau: “Ketahuilah, sesungguhnya takziah itu adalah bersabar dengan menyebutkan sesuatu yang baik (untuk menghiburkan hati) mereka yang ditimpa musibah, meringankan kesedihannya dan ianya adalah suatu yang mustahabbah (disunatkan). Ianya termasuk di dalam perkara amar makruf dan mencegah kemungkaran sepertimana firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى (dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan juga taqwa)dan inilah pendalilan yang terbaik di dalam takziah. Ianya juga sahih sabit daripada Nabi SAW yang mana telah bersabda:  وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ (dan Allah SWT sentiasa membantu hambanya selagi mana hamba-Nya itu membantu saudaranya).” [Lihat al-Azkar, hlm. 148-149]   Antara ucapan takziah yang disunatkan untuk diucapkan ialah: أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى…فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ Maksudnya: Sesungguhnya kepunyaan Allah segala yang telah diambil dan kepunyaan-Nya segala yang telah diberi dan bagi setiap sesuatu di sisi-Nya mempunyai tempoh yang tertentu…bersabarlah dan haraplah pahala daripada Allah. Riwayat Al-Bukhari (7377)   Jelas juga pada nas nabawi ini yang menganjurkan kepada mereka yang menerima musibah agar bersabar dan sentiasa bermuhasabah. Ini amat penting dalam sebuah kehidupan muslim sejati.   Solat Jenazah Ghaib Solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Pensyariatan solat jenazah ghaib ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا‏.‏ Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali. Riwayat Al-Bukhari (1245)   Hadith di atas menjadi dalil pensyariatan  bagi solat jenazah ghaib bagi mazhab Syafi’e dan juga Hanbali. Adapun mazhab Hanafi dan Maliki, mereka mengatakan bahawa solat jenazah ghaib ini adalah khususiyyah buat Nabi SAW dan tidak disyariatkan bagi yang lain. Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu’: “Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadith sahih mengenai al-Najasyi…”. [Lihat al-Majmu’, 5/211]   Adapun pendapat mazhab Hanafi dan juga Maliki itu tertolak kerana sekiranya ia adalah khususiyyah Nabi SAW, maka ianya memerlukan kepada dalil yang sahih dan pada asalnya juga, perbuatan Nabi SAW adalah untuk diikuti dan diamalkan sesuai dengannya. Adapun persoalan ke atas siapa disyariatkan sembahyang jenazah ghaib ini, maka terdapat khilaf dikalangan para ulama’ di dalam permasalahan ini. Kami ringkaskan seperti berikut: Pendapat pertama: Al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah berpendapat bahawa disyariatkan solat jenazah ghaib ini kepada semua yang ghaib dari negerinya meskipun telah disolatkan pada tempat dia meninggal. Pendapat kedua: Disyariatkan untuk diadakan solat jenazah ghaib kepada jenazah yang semasa hidupnya banyak memberi manfaat kepada umat Islam seperti seorang alim ulama’, mujahid, seorang yang kaya terkenal dengan sifat dermawannya atau yang setaraf dengannya. Ini adalah salah satu pendapat dari pendapat al-Imam Ahmad dan ini juga adalah pendapat Syeikh al-Sa’di dan ini juga adalah fatwa al-Lajnah al-Daimah, Arab Saudi. Pendapat ketiga: Solat jenazah ghaib hanya disyariatkan sekiranya tiada yang menyembahyangkan mayat tersebut di tempat yang dia meninggal seperti seseorang yang meninggal di negara bukan Islam dan tiada siapa yang boleh menguruskan jenazahnya. Sekiranya di tempat itu, mayat tersebut telah disembahyangkan maka gugur hukum untuk melakukan solat sunat ghaib terhadap mayat tersebut. Ini juga adalah salah satu pandangan dari al-Imam Ahmad dan pandangan ini juga dipegang oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan juga anak muridnya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah.   Waktu Solat Ghaib Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Bermula dari saat berita kematian hingga berlangsung selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.” Yang muktamad adalah harus solat selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. Lihat al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj 1/346. Sebagai penegasan, dinyatakan daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah antara nasnya:   “Jika didapati orang yang lemas maka hendaklah dimandi dan dikafan seterusnya disolat seperti mana mayat. Tetapi, jika tidak menjumpainya maka hendaklah di solat ghaib di sisi mazhab Syafie dan Hanbali. Akan tetapi, kebanyakan ulama’ Syafie mensyaratkan mengikut yang muktamad di sisi mereka hendaklah mayat tersebut didahului mandinya. Sebaliknya sebahagian jemaah mazhab Syafie di kalanga mutaakhir berpendapat sah solat atas mereka sekalipun tidak dimandikan…”  Lihat Mughni al-Muhtaj 2/49 dan Asna’ al-Mathalib 1/321     Hukum Memindahkan Jenazah Ke Negara Lain Berkenaan isu ini para fuqaha berbeza pendapat kepada beberapa pandangan: Memindahkan mayat ke negara lain sebelum dikebumikan adalah harus hukumnya di sisi Malikiyyah selagi mana perbuatan tersebut tidak mencemarkan kehormatan serta menyakiti si mati. Manakala di sisi Hanabilah hukumnya adalah makruh melainkan jika ada keperluan. Demikian juga di sisi Hanafiyyah yang menyatakan hukum memindahkan mayat ke negara yang lain adalah makruh. Di sisi para fuqaha yang bermazhab Syafie, mereka terbahagi kepada dua pendapat di dalam isu ini. Ianya seperti berikut: Sebahagian mereka mengatakan bahawa hukum memindahkan jenazah dari negeri kematiannya ke negeri yang lain adalah haram. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj dengan katanya: Dan diharamkan memindahkan jenazah daripada negara kematiannya sebelum ianya dikebumikan sekalipun jika jenazah selamat dari sebarang perubahan. Ini kerana, perpindahan mayat hanya akan membawa kepada lewatnya urusan pengebumian sedangkan kita diperintahkan untuk menyegerakannya serta ia juga akan mencemarkan kehormatan si mati. Kata beliau lagi: Manakala sebahagian mereka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Ini kerana, tidak ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman hal tersebut. Lihat Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/38). Setelah meneliti beberapa pendapat di atas, kami nyatakan di sini bahawa pendapat yang tidak membenarkan perpindahan jenazah ke negara lain tanpa sebarang keperluan itu adalah lebih tepat untuk keluar dari khilaf. Ini kerana, kita diperintahkan untuk menyegerakan majlis pengebumian manakala perbuatan memindahkan jenazah ke negara yang lain akan melewatkan proses tersebut. Rasulullah S.A.W bersabda: إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ Maksudnya: Apabila matinya salah seorang dari kamu maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya. Riwayat al-Baihaqi (8689)   Kelebihan Meninggal Dunia Di Luar Kawasan Kelahiran Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru R.anhuma beliau berkata: تُوُفِّيَ رَجُلٌ بِالْمَدِينَةِ مِمَّنْ وُلِدَ بِالْمَدِينَةِ فَصَلَّى عَلَيْهِ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَقَالَ ‏"‏ يَا لَيْتَهُ مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ وَلِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ قِيسَ لَهُ مِنْ مَوْلِدِهِ إِلَى مُنْقَطَعِ أَثَرِهِ فِي الْجَنَّةِ Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia di Madinah yang mana dia di antara manusia yang lahir di Madinah. Maka Rasulullah S.A.W pun solat ke atas jenazahnya lalu bersabda: Alangkah bagusnya sekiranya dia meninggal dunia di tempat selain tanah kelahirannya. Maka seorang lelaki pun bertanya: Mengapakah begitu wahai Rasulullah ? Jawab baginda S.A.W: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia meninggal dunia di selain tempat kelahirannya maka akan diukur buatnya jarak daripada tempat kelahiran sehinggalah tempat dia meninggal itu di syurga. Riwayat Ibn Majah (1614)   Kata Imam al-Sindi Rahimahullah apabila mengulas berkenaan hadis ini: Boleh jadi hadis ini tidak warid dengan lafaz tersebut iaitu mudah-mudahan lelaki itu tidak mati di Madinah. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah: Alangkah bagusnya jika lelaki ini seorang asing yang sedang berhijrah di Madinah lalu meninggal dunia di dalamnya. Hal ini supaya ia tidak bercanggah dengan hadis-hadis lain yang menceritakan berkenaan fadhilat meninggal dunia di Madinah. Rujuk Hasyiah al-Sindi, (Hlm. 306). Kami mengatakan bahawa mafhum daripada hadis di atas, ia menunjukkan yang jarak seseorang lelaki dengan tempat kematiannya akan diganjari pahala. Wallahu a’lam.   Penutup Sesungguhnya isu berkaitan jenazah begitu banyak dan besar dibincangkan oleh para ulama’. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa luasnya ilmu Islam itu sendiri yang perlu ditelaah dan dikaji untuk mendapatkan jawapan yang tuntas berasaskan dalil dan juga hujjah. Kami berharap dengan jawapan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan serta kedamaian dalam melayari bahtera kehidupan. Kami mengakhiri perbincangan ini dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk kita sama-sama amalkan iaitu: رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ  Maksudnya: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu". (Al-Hasyr: 10)   Marilah juga kita sama-sama berdoa kepada kedua ibu-bapa, ahli keluarga, sanak-saudara, guru-guru, sahabat handai yang telah pergi dahulu meninggalkan kita. Semoga mereka beroleh maghfirah dan rahmat daripada Allah SWT. اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ Ameen…   Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan   20 September 2016 bersamaan 18 Zulhijjah 1437 H.
3,386
Soalan: Bolehkah orang yang ingin masuk Islam mengucap syahadah dengan menggunakan bahasa yang dia fahami? Ini kerana dia belum mampu melafazkan dlm Bahasa Arab. Atau adakah dia tetap kena mengucap dlm Bahasa Arab juga? Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Syahadah (شهادة) dari sudut bahasa ialah pecahan daripada perkataan (شهد) yang memberi maksud menyaksikan. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 406). Perkataan syahadah juga boleh diertikan memberitahu apa yang dilihat, menafsirkan apa yang diketahui (Lihat Mu'jam al-Wasit, hlm. 516) Mengucap dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” Riwayat al-Bukhari (8) Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.” Riwayat Bukhari (3435)   Adakah Boleh Mengucap Syahadah Dalam Bahasa Lain? Menjawab isu di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi, kata beliau: أَمَّا إِذَا أَقَرَّ بِالشَّهَادَتَيْنِ بِالْعَجَمِيَّةِ وَهُوَ يُحْسِنُ الْعَرَبِيَّةَ فَهَلْ يُجْعَلُ بِذَلِكَ مُسْلِمًا ؟ فِيهِ وَجْهَانِ لِأَصْحَابِنَا : الصَّحِيح مِنْهُمَا أَنَّهُ يَصِير مُسْلِمًا لِوُجُودِ الْإِقْرَار ، وَهَذَا الْوَجْه هُوَ الْحَقّ  . Maksudnya: Adapun sekiranya berikrar dua kalimah syahadah dengan selain Bahasa Arab sedangkan dia boleh berbahasa Arab, adakah ia dapat menjadikan seseorang itu sah menganut Islam? Padanya terdapat dua pendapat. Yang sahih daripada kedua-dua pendapat tersebut ialah dia menjadi Muslim kerana wujudnya iqrar (pengakuan). Pandangan inilah yang benar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 1/69) Imam al-Mawardi pula berkata dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir: وَالْمَقْصُودُ بِالشَّهَادَتَيْنِ: الْإِخْبَارُ عَنِ التَّصْدِيقِ بِالْقَلْبِ، وَهَذَا الْمَعْنَى يَسْتَوِي فِيهِ لَفْظُ الْفَارِسِيَّةِ وَالْعَرَبِيَّةِ. Maksudnya: Maksud dengan dua kalimah syahadah ialah: “Perkhabaran tentang membenarkan dengan hati. Dan makna ini sama dalam lafaz Parsi dan Arab.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/96) Berdasarkan nas-nas ulama’ di atas, dapat disimpulkan, mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa selain Arab adalah dibolehkan. Oleh itu, sekiranya seseorang benar-benar tidak mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab, maka dibolehkan untuknya mengucapkan dalam bahasa selain Arab. Walaubagaimanapun, kami lebih cenderung agar lafaz asal dua kalimah syahadah dilafazkan dalam Bahasa Arab. Kemudian ia diterjemahkan dalam bahasa ibunda seseorang yang ingin memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang jelas dalam menjalankan setiap perintah-Nya. Amin.
3,387
Soalan Assalamualaikum w.b.t, saya mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat swasta dan saya diminta untuk membuka tudung ketika waktu bekerja dan perlu memakai uniform yang disediakan syarikat yang tidak dapat menutup aurat. Jika saya tidak patuh, saya akan dikenakan tindakan oleh pihak syarikat. Soalan saya, adakah perlu saya mengikut syarat yang ditentukan syarikat tersebut?   Ringkasan Jawapan Kesimpulannya, tuntutan untuk seorang muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan. Kami berpendapat bahawa tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. InsyaaAllah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang telah ditinggalkan tersebut akan diganti dengan perkara yang lebih baik.   Ini kerana Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka pada orang yang bertaqwa kepadaNya.   Kami juga ingin mengingatkan majikan-majikan terutama yang beragama Islam untuk peka berkenaan perkara yang menjadi sesitiviti umat Islam terutama aspek pemakaian pekerja muslim yang mesti menutup aurat dan tidak membuat arahan yang membelakangkan syariat seperti mesti menanggalkan tudung atau berpakaian ketat ketika waktu bekerja.   Huraian Jawapan Kewajipan untuk menutup aurat bagi setiap muslim telah thabit hukumnya dari al-Quran dan hadis. Perintah untuk menutup aurat ini telah disebut secara jelas di dalam Surah al-Ahzab ayat 59 dan Surah an-Nur ayat 31. Allah s.w.t berfirman: يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا Maksudnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab:59)   Firman Allah s.w.t pada ayat yang lain: وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nur: 31)   Ibnu Kathir mendatangkan satu hadis riwayat Bukhari ketika mentafsirkan perkataan (وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ) bahawa apabila wanita-wanita yang paling awal berhijrah mendengar ayat ini mereka terus mematuhi perintah untuk menutup aurat tersebut. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 46/6)   Menurut riwayat tersebut: عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ يَرْحَمُ اللَّهُ نِسَاءَ الْمُهَاجِرَاتِ الأُوَلَ، لَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ ‏{‏وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ‏}‏ شَقَّقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِها‏.‏ Maksudnya: Aisyah meriwayatkan, beliau berkata, moga Allah merahmati wanita-wanita yang paling awal berhijrah, apabila Allah s.w.t menurunkan ayat (hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka) mereka mengoyakkan kain mereka dan jadikannya sebagai tudung untuk menutup kepala. (Sahih Bukhari No.4758)   Dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis yang kami nyatakan di atas jelas menunjukkan kewajipan wanita untuk menutup aurat dan bertudung. Oleh kerana itu, haram bagi para wanita untuk menanggalkan tudung atau hijab dan menunjukkan auratnya di hadapan bukan mahram. Apabila Allah s.w.t dan RasulNya memerintahkan untuk melakukan sesuatu, maka ianya tidak boleh dipandang enteng. Allah s.w.t berfirman: لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمۡ لِوَاذٗاۚ فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ Maksudnya: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nur: 63)   Namun begitu, dalam persoalan ini, majikan meletakkan syarat atau meminta pekerjanya untuk meninggalkan perintah agama iaitu perintah menutup aurat dengan sempurna, maka ianya dikira sebagai suruhan untuk melakukan maksiat pada Allah s.w.t yang tidak boleh ditaati. Selain itu, terdapat hadis daripada beberapa riwayat seperti al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi yang menyatakan bahawa mentaati arahan pemimpin itu adalah wajib selagi ianya bukan pada perkara maksiat. السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ Maksudnya: Menjadi kewajipan untuk mendengar dan taat (arahan pemerintah) kecuali arahan untuk melakukan maksiat. Apabila arahan (dari pemimpin) adalah untuk maksiat maka dia tidak perlu mendengar atau mematuhinya. (Sahih Bukhari 2955; Sunan Abi Daud 2626; Jami’ al-Tirmizi 1707)   Imam Badruddin al-‘Aini ketika menerangkan hadis ini menyatakan bahawa apabila arahan dari seorang pemimpin atau dalam konteks ini majikan mengarahkan untuk kita lakukan sesuatu maka arahan tersebut mesti dipatuhi selagi mana arahan tersebut bukanlah untuk melakukan maksiat atau melakukan perkara yang dimurkai Allah s.w.t. إِذْ طَاعَة أوامرهم وَاجِبَة مَا لم يَأْمر بِمَعْصِيَة وإلَاّ فَلَا طَاعَة لمخلوق فِي مَعْصِيّة الْخَالِق Maksudnya: Oleh itu, mentaati perintah mereka wajib kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan tiada ketaatan pada makhluk pada melakukan maksiat kepada pencipta. (Rujuk ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari 221/14)   Selain itu, terdapat juga hadis daripada Imam Ahmad yang membawa maksud yang sama, tidak perlu taat arahan ketua atau majikan jika perkara tersebut adalah untuk melakukan maksiat kepada Allah. لا طاعةَ لمخلوقٍ في معصية الخالق Maksudnya: Tiada ketaatan kepada makhluk pada melakukan perkara maksiat kepada Pencipta. (Musnad Ahmad 1095)   Kesimpulan Kesimpulannya, tuntutan untuk seorang muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan. Tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. InsyaaAllah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang telah ditinggalkan tersebut akan diganti dengan tawaran atau perkara yang lebih baik.   Ini kerana Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka pada orang yang bertaqwa kepadaNya. …وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا. وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا Maksudnya:...Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Talaq: 2-3)   Kami juga ingin mengingatkan majikan-majikan terutama yang beragama Islam untuk peka berkenaan perkara yang menjadi sesitiviti umat Islam terutama aspek pemakaian pekerja muslim yang mesti menutup aurat dan tidak membuat arahan yang membelakangkan syariat seperti mesti menanggalkan tudung atau berpakaian ketat ketika waktu bekerja.   Wallahualam.   Bibliografi Badruddin al-‘Aini. ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari. Terbitan Dar Ihya’ Turath al-Arabiyy Ibn Kathir. 1999. Tafsir Ibn Kathir. Terbitan Dar Taibah lil Nasyr wa al-Tauzi’
3,388
Soalan Assalamualaikum wbt tuan mufti. Saya nak bertanya mengenai soalan apa hukum kita bergurau dengan keluarga atau kawan-kawan dengan cara sembunyikan barang-barang mereka? Adakah boleh menurut Islam kerana bergurau sahaja ataupun macam mana? Mohon penjelasan tuan mufti. Terima kasih.   Ringkasan Jawapan Waalaikumussalam wbt. Seseorang itu dilarang mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan dengan niat bergurau. Perbuatan tersebut dilarang kerana ia akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada tuan barangan tersebut. Islam juga menggalakkan umatnya untuk bergurau pada perkara yang mendatangkan kebaikan asalkan tidak melibatkan perbuatan yang boleh mendatangkan kesakitan atau perbalahan. Wallahua’lam.   Huraian Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Said bin Yazid berkenaan larangan mengambil barang orang secara gurauan mahupun serius, di mana Nabi SAW bersabda: لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا Maksudnya: Setiap seorang dalam kalangan kamu dilarang untuk mengambil barang kepunyaan saudara kamu secara bergurau dan secara serius (mencuri). Riwayat Abu Daud (5003) Menurut Syeikh al-Azim Abadi, hadis ini sebagai dalil tegahan daripada mengambil barang orang lain secara zahir, kerana ianya dikira mencuri. Dilarang juga mengambil barangan orang lain dengan niat untuk bergurau kerana perbuatan ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Bahkan ia boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti tuan empunya barang tersebut.[1] [Lihat: Aunul Ma’bud, 8/140] Syeikh Sulaiman al-Bujairimi dan Syeikh al-Jamal turut menyokong pendalilan hadis di atas dengan mengatakan mengambil barangan orang lain dengan niat bergurau adalah haram atas alasan ia akan menggusarkan hati mereka.[2] [Lihat: Hasiyah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, 4/228, Hasiyah al-Jamal ala Syarh al-Minhaj, 5/152] Kesimpulan Seseorang itu dilarang mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan dengan niat bergurau. Perbuatan tersebut dilarang kerana ia akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada tuan barangan tersebut. Islam juga menggalakkan umatnya untuk bergurau pada perkara yang mendatangkan kebaikan asalkan tidak melibatkan perbuatan yang boleh mendatangkan kesakitan atau perbalahan. Wallahua’lam.   Rujukan  [1] Al-Azim Abadi, Aunul Ma’bud, (Kaherah: 2011), Cetakan Syarikat al-Quds lil Nasyr wal Tauzi’,  وجه النهي عن الأخذ جدا ظاهر، لأنه سرقة، وأما النهي عن الأخذ لعبا فلأنه لا فائدة فيه، بل قد يكون سببا لإدخال الغيظ والآذى على صاحب المتاع. [2] Sulaiman al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, (Kaherah: 1950), Cetakan Matba’ah al-Halabi, يَحْرُمُ عَلَى الشَّخْصِ سَرِقَةُ مَالِ غَيْرِهِ عَلَى وَجْهِ الْمِزَاحِ؛ لِأَنَّ فِيهِ تَرْوِيعًا لِقَلْبِهِ
3,390
Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh terangkan berkenaan hakikat kasyaf?   Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Kami mulakan dengan definisi dan takrif kasyaf. Perkataan kasyaf adalah daripada bahasa Arab (كشف). Ibn Manzur berkata: Kasyaf didefinisikan sebagai kamu mengangkat daripada sesuatu apa yang menutupinya atau melindunginya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/300) Dalam Kamus Dewan, kasyaf diertikan sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati; mengkasyaf membuka hati. (Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kasyaf) Di dalam kitab Mu’jam Mustalahat al-Sufiyah menyebut makna kasyaf dengan beberapa definisi: Kasyaf dengan maksud penjelasan apa yang tertutup dari kefahaman sehingga terdedah seperti melihat pada zahir. Kasyaf mata dengan penglihatan sedangkan kasyaf hati dengan hubungan. Kasyaf ialah terangkatnya hijab antara roh jasmani dengan yang tidak mungkin mendapatinya berdasarkan pancaindera zahir. Al-Jurjani pula berkata: الكَشْفُ فِي اللَّفْظِ رَفْعُ الحِجَابِ وَفِي الاصْطِلَاحِ هُوَ الاِطِّلَاعُ عَلَى مَا وَرَاءَ الحِجَابِ مِنَ المعَانِي الغَيْبِيَّةِ وَالأُمُورِ الحَقِيقِيَّةِ وُجُودًا وَشُهُودًا Maksudnya: Kasyaf pada bahasa bererti mengangkat hijab dan pada istilah ialah sesuatu yang dicampak ke dalam hati dengan cara anugerah dari makna ghaibi dan perkara hakiki secara wujud dan syuhud. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 237) Al-Tusi mentakrifkan kasyaf sebagai menjelaskan apa yang menghalang daripada kefahaman seseorang, disingkapkan kefahaman tersebut kepada hamba seperti dia melihatnya dengan pandangan mata. (Lihat al-Luma’, hlm. 422) Ulama tasawwuf yang terdahulu tidak menerima kasyaf ilmi atau dzauqi atau wujdani kecuali menepati Kitab dan Sunnah. Benarlah kata Abu Sulaiman al-Darani[1]: رُبمَا يَقع فِي قلبِي النُّكْتَة من نكت الْقَوْم أَيَّامًا ، فَلَا أقبل مِنْهُ إِلَّا بِشَاهِدين عَدْلَيْنِ الْكتاب وَالسّنة Maksudnya: “Boleh jadi jatuh pada hati aku satu perkara berkenaan dengan kaum beberapa hari, maka aku tidak menerima daripadanya (kasyaf) kecuali dengan dua saksi yang adil, iaitu al-Quran dan al-Sunnah." (Lihat Tabaqat al-Sufi oleh al-Sulami, 1/76) Inilah ketegasan ulama’ tasawwuf terdahulu dalam menjalani kehidupan dan ibadat serta rasaan yang berlaku pada mereka mestilah menepati al-Quran dan Sunnah. Mungkin kita dapat bezakan antara yang benar dengan yang batil daripada kasyaf dengan dua perkara: Pertama: Keadaan mereka yang mendakwa kasyaf. Jika dia seorang yang soleh, sama ada lelaki atau wanita, daripada ahli kasyaf rabbani, maka ia boleh diterima. Sebaliknya, jika seorang yang sesat, boleh jadi digelincirkan oleh syaitan kepadanya. Firman Allah SWT: هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ ﴿٢٢١﴾ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ ﴿٢٢٢﴾ يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ Maksudnya: Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta. Surah al-Syu’ara’ (221-223) Ibn Kathir berkata: Allah SWT tujukan ucapan kepada golongan musyrikin yang menyangka bahawa yang datang kepada Nabi SAW adalah tidak benar. Tetapi itu adalah daripada perbuatannya sendiri dan daripada perasaanya sahaja, atau boleh jadi dia pergi ke satu tempat dan ditunjukkan kepadanya oleh jin, lantas Allah SWT membersihkan hal tersebut daripada Rasulullah SAW dan menempelak ucapan dan pendustaan mereka dan Allah dengan tegas menyatakan, ia adalah kebenaran dari sisi Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/172) Kedua: Kandungan kasyaf tersebut, apa yang didakwa adakah bertentangan dengan Quran dan Sunnah? Hal ini perlulah dilihat kepada khabar yang sahih dan benar, ilmu yang benar-benar difahami. Jika ini berlaku, barulah boleh diterima. Imam Al-Ghazali mengakui kasyaf tidak diperolehi melalui jalan biasa, ia didapati melalui jalan takwa[2] dan mujahadah[3], namun menurutnya tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, disebabkan jelas bertentangan dengan hukum syarak. Hakikat ini dibayangkan dalam kitabnya Minhaj al-Abidin menerusi dua rangkap syair yang dihubungkan kepada Ali Zainal Abidin[4] yang bermaksud: “Kadangkala ilmu ini kalau aku hebahkan rahsianya, nanti aku dituduh penyembah berhala. Orang Islam akan menghalakan darahku kerana menganggap baiknya perkara keji yang mereka lakukan itu.” Kebimbangan Imam al-Ghazali memang beralasan apabila dituduh sebagai penyembah berhala dan layak dibunuh kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syariat. Imam Al-Ghazali menjelaskan kasyaf, dengan katanya: “Hendaklah duduk dengan hati yang kosong, penuh keinginan kepada Allah, fikirannya tidak dipisahkan dengan bacaan al-Quran dan tidak juga meneliti tafsir, tidak menulis hadis dan sebagainya, cukup dengan lisan menyebut Allah Allah Allah.” Limpahan ilmu kasyaf ke dalam hati sehingga mendengar suara hak, berlaku melalui khalwah berikut: “Khalwah itu hanya berlaku dalam rumah yang gelap maka masuklah kepalanya dalam baju atau selimutnya dengan kain. Dalam keadaan ini ia akan mendengar seruan al-Haq dan menyaksikan keagungan Rububiyyah.” Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Apabila Allah menjaga urusan hati, nescaya melimpah-limpah rahmat atasnya. Terangkan cahaya pada hati, lapanglah dada dan terbukalah baginya rahsia pada alam malakut.” Walaubagaimanapun, Imam al-Ghazali tidak pernah menyebut malaikat turun kepada kaum sufi, kerana beliau sedar sesiapa mendakwa wahyu masih turun selepas kewafatan nabi, maka ia kafir. Atas sebab ini beliau menolak dakwaan yang mengatakan bahawa hati para wali dan kaum sufi dilimpahkan ilmu yang mereka dakwa ke atas mereka. Dalam penegasan mengenai kasyaf sufi, Imam al-Ghazali cukup dengan mengatakan limpah ilmu ke dalam hati dan juga pendengaran suara. Ibnu Khaldun berkata, “Kasyaf banyak sekali dialami oleh ahli Mujahadah. Mereka dapat mengetahui hakikat hidup yang tidak diketahui oleh orang lain. Pada zaman dahulu, para sahabat melakukan Mujahadah seperti ini dan mereka banyak memperoleh Karamah (kemuliaan). Akan tetapi mereka tidak menghiraukan perkara tersebut. Keistimewaan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali yang berkaitan dengan masalah ini sangat banyak sekali. Dan mereka diikuti oleh ahli Tariqat, sebagaimana disebutkan dalam Kitab al-Risalah al-Qusyairiyyah.” (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 329.)   Penutup Kami akhiri perbincangan ini dengan menyatakan betapa perlunya seseorang itu berguru dan belajar di samping sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah agar ditempatkan jalan yang lurus. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi: Setakat ini tidak diketahui ada ulama’ yang menafikan secara mutlak berlaku ilham dan kasyaf kepada orang-orang tertentu. Seterusnya beliau menambah bahawa kedua-duanya bukan menjadi sumber syarak. Walaubagaimanapun kasyaf adalah termasuk dalam karamah daripada Allah, ia boleh diterima asalkan tidak menolak atau merosakkan kaedah agama dan hukum syara’ yang diijma’kan ke atasnya, sebagaimana yang dijelaskan dengan dalil-dalil. Yang merosakkan kaedah hukum syara’ bukanlah sesuatu yang benar, bahkan tidak lebih dari khayalan atau waham atau bisikan syaitan. Perkara utama di kalangan orang sufi ialah menerima ilham daripada Allah atau terbukanya tabir yang disebut kasyaf, bukan sahaja dapat menerima daripada nabi, malaikat atau Allah bahkan dapat meninjau terus di Luh-Mahfuz, dapat melihat di alam ghaib. Inilah yang dianggap jauh menyimpang daripada aqidah, kerana ia merupakan suatu yang mengingkari al-Qur’an ayat 65 surah al-Najm. (Lihat Penjelasan Istilah yang Boleh Membawa Penyelewengan Akidah oleh Abdul Hamid Yunus, hlm. 4) Kami akhiri perbincangan ini dengan doa: اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.   Nota Hujung: [1] Abu Sulaiman al-Darani, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad bin ‘Atiyya al-Anasi al-Darani. Dilahirkan sekitar tahun 140 Hijrah. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/182) Dilahirkan di perkampungan di Damsyik yang disebut al-Dariya (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Asbihani, 9/254). Oleh kerana itu dia dikenali sebagai al-Darani. Meninggal pada tahun 215 Hijrah. Beliau pernah mengungkapkan: “Tidak seorang pun yang bersikap lunak dengan dunia ini kecuali yang ada pada hatinya oleh Allah, diletakkan cahaya yang membuatnya selalu terpesona oleh hal akhirat.” Imam al-Tusi dalam kitab al-Luma’ menyebut berkenaan Abu Sulaiman al-Darani: “Andaikan aku tahu bahawa di Mekah ada seorang tokoh yang boleh mengajarkanku ilmu tersebut (makrifat) sekalipun hanya satu kalimah, nescaya aku datang kepadanya dengan berjalan kaki walau jauhnya seribu farsakh (1 Farsakh = 3 mil = 5544 meter), sehingga aku boleh menyemaknya.” Beliau turut berkata di tempat lain: “Zuhud adalah meninggalkan segala yang melalaikan hati dari Allah.” [2] Saidina Ali R.A berkata: التقوى هي الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل Maksudnya: Taqwa ialah merasa takut dan gerun kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang terkandung dalam al-Quran, bersikap qana’ah dengan sedikit dan persediaan bagi hari Akhirat. (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad oleh al-Solihi al-Syami, 1/421) [3] Mujahadah ialah berusaha dengan keras, atau mengerahkan seluruh kemampuan untuk kebaikan dan mencari redha Allah SWT. (Lihat Lisan al-‘Arab, 1/710) Menurut Imam al-Ghazali, Mujahadah al-nafs adalah proses pertama dalam tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa). Ia juga disebut al-takhalli yang bermaksud mengosongkan jiwa daripada selain Allah SWT dan segala sifat mazmumah serta daripada penyakit-penyakit hati seperti mengumpat, hasad dengki, dendam, berprasangka buruk dan sebagainya. Menurut Harith al-Muhasibi, riyadah dan mujahadah adalah berjuang melawan segala tabiat jiwa dengan mengarahkannya untuk selalu menentang kemahuan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa berada padanya. Kedua-dua unsur ini sememangnya sering memujuk insan untuk mencintai keduniaan dan lalai dari mengingati Allah SWT. (Lihat al-Ri’ayah li Huquq Allah, 331-332) [4] Ali bin Husain (658-713) (Bahasa Arab: علي بن حسين زين العابدين) adalah imam ke-4 dalam tradisi Syi'ah. Beliau ialah anak dari Husain bin Ali dan cicit dari Muhammad. Beliau dikenali dengan gelaran Zainal Abidin kerana kemuliaan peribadi dan ketakwaannya dan juga digelar sebagai al-Sajjad sebagai tanda "orang yang amat banyak sujud dan solat pada waktu malam.” Dia juga dipanggil dengan nama Abu Muhammad, bahkan kadang ditambah dengan Abu al-Hasan.
3,391
Soalan Assalamualaikum, Maaf bertanya, apa hukum kalau kita meletakkan pokok di dalam tandas? Sebab ada orang kata yang pokok juga berzikir dan tidak elok letak di dalam tandas. Mohon pencerahan. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Larangan berzikir di dalam tandas itu hanya tertakluk kepada manusia yang ditaklifkan mengikut hukum syarak. Manakala, tumbuhan pula tidak menerima beban hukum untuk mengikut hukum syarak sepertimana yang diperintahkan Allah SWT kepada manusia. Oleh itu, jelas bahawa menanam pokok di dalam bilik air adalah diharuskan kerana tumbuhan tidak menerima beban hukum sepertimana manusia. Selain itu, tiada nas atau dalil syarak yang melarangnya. Huraian Jawapan Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya tanpa sesuatu yang sia-sia. Penciptaan makhluk seperti tumbuhan, haiwan, langit dan bumi yang sentiasa berzikir memuji-Nya menunjukkan bahawa tanda kebesaran Allah SWT yang tidak dapat diciptakan oleh setiap makhluk. Ini sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT: سَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَـٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا  Maksudnya: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Isra’, 44) Begitu juga, yang digambarkan di dalam hadis ketika mana para sahabat RAnhum dan Baginda Nabi SAW sedang menjamu selera lalu mendengar makanan sedang bertasbih memuji Allah SWT. Ini sepertimana yang disebut di dalam hadis daripada Abdullah RA berkata: لَقَدْ كُنَّا نَأْكُلُ الطَّعَامَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ Maksudnya: Sesungguhnya ketika kami menjamu selera bersama Nabi SAW lalu kami mendengar makanan itu sedang bertasbih Riwayat al-Tirmizi (3993) Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, larangan berzikir di dalam tandas hanya tertakluk kepada manusia, sebagai makhluk yang ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan dengan hukum-hakam syarak. Dalam penjelasan istilah hukum itu sendiri memberi maksud perintah dan larangan Allah SWT yang tertakluk kepada perbuatan mukallaf iaitu mereka yang dipertanggungjawabkan sahaja. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Isnawi di dalam kitabnya: خطاب الله تعالى المتعلق بأفعال المكلفين بالاقتضاء, أو التخيير Maksudnya: Khitab (kalam) Allah SWT berkenaan dengan perbuatan mukallaf (orang yang dipertanggungjawabkan) di dalam bentuk iqtida’ (perintah atau tuntutan) atau takhyir (pilihan) (Lihat, Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, 1/16) Oleh itu jelaslah, bahawa setiap sesuatu hukum itu hanya tertakluk dengan perbuatan dan tingkahlaku hamba-Nya yang mukallaf dan dipertanggungjawabkan untuk melakukan ibadah, dengan mengikut apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT dengan berpandukan apa yang ditetapkan syarak. Ini seperti mana yang disebut di dalam al-Quran Firman Allah SWT: وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah al-Zariyat, 56) Dalam hal yang lain, hukum seseorang itu berzikir di dalam tandas adalah makruh, ini seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Futuhat al-Rabbaniah bahawa makruh berkata-kata serta berzikir ketika sedang menunaikan hajat sama ada ketika di padang pasir atau di dalam binaan. Ini termasuk juga berkata-kata dalam hal yang lain melainkan dalam keadaan yang darurat sahaja. Selain itu apabila bersin tidak perlu menjawab Alhamdulillah ketika berada di dalam tandas. Juga tidak perlu menjawab salam dan menjawab azan (Lihat Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221) Selain itu, boleh rujuk artikel di laman sesawang PMWP yang bertajuk AL-KAFI #1022 : MENJAWAB AZAN DALAM TANDAS untuk maklumat yang lebih lanjut. Kesimpulan Justeru, dalam membincangkan permasalahan ini, dapat disimpulkan bahawa larangan berzikir di dalam tandas itu hanya tertakluk kepada manusia yang ditaklifkan untuk mengikut hukum syarak. Manakala, tumbuhan pula tidak menerima beban hukum untuk mengikut hukum syarak sepertimana yang diperintahkan kepada manusia. Oleh itu, jelas bahawa menanam pokok di dalam bilik air adalah diharuskan kerana tumbuhan tidak menerima beban hukum sepertimana manusia. Selain itu, tiada nas atau dalil syarak yang melarangnya. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam kitabnya: الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ Maksudnya:  Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat, al-Ashbah wa al-Nazair, 1/133) Wallahua’lam
3,392
SOALAN Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah orang gila yang pulih kembali di pertengahan bulan Ramadan perlu menggantikan semua puasa yang ditinggalkannya sebelum ini? RINGKASAN JAWAPAN Orang gila yang kembali pulih di siang hari bulan Ramadan maka tidak diwajibkan berpuasa pada hari tersebut dan tidak diwajibkan untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan pada hari itu dan hari-hari sebelumnya. Hal ini kerana mereka tidak tergolong daripada golongan mukalaf. WaAllahu a’lam. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Antara syarat wajib melaksanakan ibadah puasa ialah berakal. Oleh yang demikian, orang yang tidak berakal atau gila tidak diwajibkan untuk berpuasa. Gila di sisi para Fuqaha bermaksud hilang kewarasan akal sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk.[1] Justeru apabila seseorang ditimpa penyakit gila walaupun sekejap ketika dia berpuasa maka batal puasanya. Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini dengan berkata: وَالثَّالِثُ: الْعَقْلُ، فَلَا يَصِحُّ صَوْمُ الْمَجْنُونِ. فَلَوْ جُنَّ فِي أَثْنَاءِ النَّهَارِ، بِطَلَ صَوْمُهُ عَلَى الْمَذْهَبِ. Maksudnya: Syarat wajib puasa yang ketiga ialah berakal. Jika seseorang ditimpa sakit gila pada siang hari bulan Ramadan, maka batal puasanya bagi mazhab al-Syafi’i[2]. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 2:366) Untuk penjelasan lanjut berkaitan ini, kami telah bahaskannya dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan Siri Ke-188: Adakah Batal Puasa Bagi Orang Yang Gila Dalam Tempoh Sementara? Oleh yang demikian, sesiapa yang berpuasa ditimpa penyakit gila kemudian sedar kembali maka batal puasanya dan tidak wajib berpuasa pada hari tersebut. Imam al-Syirazi menjelaskan bahawa: ومن زال عقله بجنون لم يجب عليه الصوم فإن بلغ الصبي أو أفاق المجنون في أثناء النهار لم يلزمهما صوم ذلك اليوم Maksudnya: Sesiapa yang hilang akal disebabkan penyakit gila maka dia tidak wajib berpuasa. Justeru apabila seseorang kanak-kanak baligh atau orang yang gila kembali sedar daripada sakit gila pada siang hari bulan Ramadan, maka tidak diwajibkan untuk berpuasa.[3] (Rujuk al-Tanbih, 1:65) Justeru itu dapat difahami bahawa tidak berpuasa bagi orang yang pulih daripada penyakit gila di siang hari pada bulan Ramadan. Di samping itu juga dia tidak dituntut untuk menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu akibat penyakit gila tersebut serta tidak diwajibkan untuk menahan diri daripada makan dan minum. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Rajab Nuri bahawa: (ولو بلغ) الصبي (فيه مفطراً أو أفاق) المجنون (أو أسلم) الكافر (فلا قضاء في الأصح) لأنهم لم يكونوا من أهل التكليف (ولا يلزمهم إمساك بقية النهار في الأصح) لأن فطرهم بعذر Maksudnya: Jika seseorang kanak-kanak baligh atau seseorang yang gila kembali sedar atau seseorang yang kafir masuk Islam, maka puasa mereka tidak perlu diqada menurut pandangan yang muktamad. Ini kerana mereka bukan daripada golongan mukalaf. Selain itu, mereka tidak wajib menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa pada baki hari tersebut menurut pandangan yang muktamad kerana mereka tidak berpuasa atas keuzuran (yang dibenarkan syarak).[4] (Rujuk Dalil al-Muhtaj, 1:309) Kesimpulan Kesimpulannya, orang gila yang kembali pulih di siang hari bulan Ramadan maka tidak diwajibkan baginya berpuasa pada hari tersebut dan tidak diwajibkan baginya untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan pada hari itu dan sebelumnya. Hal ini kerana mereka tidak tergolong daripada golongan mukalaf. WaAllahu a’lam. Rujukan: [1] والجنون معناه: زوال العقل، أو فساد فيه. والجنون اصطلاحاً هو: اختلال القوة المميزة بين الأمور الحسنة والقبيحة المدركة للعواقب، بأن لا يظهر آثارها وتتعطل أفعالها. (الْمُهَذَّبُ في عِلْمِ أُصُولِ الفِقْهِ الْمُقَارَنِ، 1:332) [2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Beirut: Maktab Islami, jld. 2, hlm. 366. [3] Al-Syirazi, Abu Ishaq, t.t, al-Tanbih fi Fiqh al-Syafie, Beirut: ‘Alam al-Kutub, jld. 1, hlm. 65. [4] Rajab Nuri, t.t, Dalil al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, jld. 1, hlmn. 309.
3,394
Soalan Assalamualaikum ustaz, saya ada mendengar kisah Saidina Umar baca surah Taha kemudian dia peluk Islam. Boleh tak kalau kita amalkan surah tu untuk kita bagi lembut hati seseorang sebab pernah dengar surah Taha ni sebagai ayat pelembut hati. Mohon pencerahan terima kasih. Ringkasan Jawapan Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah harus berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi (ruqyah) menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah. Di samping itu begitu juga kisah Saidina Umar bin al-Khattab dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran yang mana beliau memeluk Islam ketika mendengar beberapa ayat dari surah Taha. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati. Huraian Jawapan Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada umat manusia. Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai penawar bagi hati serta Rahmat bagi mereka yang beriman kepada-Nya. Firman Allah SWT: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; (Surah al-Isra, 82) Para ulama mentafsirkan perkataan syifa’ pada ayat di atas sebagai ubat penawar iaitu sebagai penawar bagi hati dari segala kejahilan kemudian dianugerahkan kepadanya kesembuhan dengan diberi ilmu kefahaman. Perkara ini sebagaimana yang disebut oleh  Imam al-Qurtubi dengan menukilkan pandangan para ulama yang menyatakan bahawa: أنه شفاء للقلوب بزوال الجهل عنها وإزالة الريب، ولكشف غطاء القلب من مرض الجهل لفهم المعجزات والأمور الدالة على الله تعالى Maksudnya: Sesungguhnya ia (al-Quran) merupakan penawar bagi hati dengan menghilangkan kejahilan dan keraguan serta membuka hati yang tertutup daripada penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat dan perkara yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT[1] Surah Taha merupakan surah yang diturunkan di Mekah sebelum Islamnya Saidina Umar al-Khattab. Surah ini mempunyai hubungkait tentang kisah pengislaman Saidina Umar al-Khattab seperti yang dinukilkan oleh Imam  al-Qurtubi di dalam kitabnya, kisah yang  diriwayatkan oleh al-Daraqutni di dalam sunannya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang menceritakan bahawa Saidina Umar keluar bersama pedangnya dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah SAW. Ketika dalam perjalanan, beliau diberitahu bahawa saudara perempuannya telah mengjadi pengikut Baginda Nabi SAW. Lantas beliau terus meluru ke rumah saudaranya, apabila sampai di rumah tersebut beliau terdengar suara Khabbab membaca surah Taha. Lalu beliau meminta mushaf yang ditulis di dalamnya surah tersebut kemudian dia membacanya.[2] Kisah ini juga diceritakan dengan panjang lebar dan terperinci oleh Ibnu hisyam di dalam sirahnya dengan menukilkan kisah ini daripada Ibnu Ishaq, yang mana diceritakan setelah selesai Saidina Umar membersihkan diri, kemudian saudara perempuannya memberikan mushaf yang terkandung di dalamnya surah Taha ayat 1 hingga 20 tersebut kepada Saidina Umar lalu dibacanya. Setelah itu, beliau berkata: مَا أَحْسَنَ هَذَا الْكَلَامَ وَأَكْرَمَهُ! Maksudnya: Alangkah cantik dan mulianya kata-kata ini Kemudian beliau meminta Khabbab memberitahunya tempat untuk berjumpa Baginda Nabi SAW. Setelah itu Beliau terus pergi ke rumah tempat Nabi SAW dan para sahabatnya berkumpul yang terletak di bukit Safa untuk berjumpa Baginda Nabi SAW. Setelah beliau berdepan dengan Baginda SAW, lalu Baginda bertanya kepadanya: مَا جَاءَ بِكَ يَا بن الخطّاب؟ فو الله مَا أَرَى أَنْ تَنْتَهِيَ حَتَّى يُنْزِلَ اللَّهُ بِكَ قَارِعَةً Maksudnya: Apakah yang membawa kamu datang ke sini wahai Ibnu al-Khattab? Demi Allah Aku melihat ia tidak akan berakhir sehinggalah Allah menurunkan kepada kamu malapetaka. Lalu Saidina Umar al-Khattab berkata: يَا رَسُولَ اللَّهِ، جِئْتُكَ لِأُومِنَ باللَّه وَبِرَسُولِهِ، وَبِمَا جَاءَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ Maksudnya: Wahai Rasulullah, aku datang bertemu kamu untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta apa yang telah diwahyukan dari Allah. Setelah mendengar ikrar keimanan Saidina Umar al-Khattab RA maka Rasulullah SAW bertakbir kegembiraan dan disebabkan itu sahabat-sahabat Nabi SAW mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab telah memeluk Islam. [3] Kisah ini menggambarkan bahawa setelah Saidina Umar al-Khattab RA membaca surah Taha, lalu hatinya terpaut dengan keindahan ayat suci tersebut kemudian terus meminta izin untuk berjumpa Nabi SAW dan memeluk Islam. Ini menggambarkan dan membuktikan keindahan dan mukjizat al-Quran sebagai zikrullah yang dapat melembutkan dan menenangkan hati mereka yang keras sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT: أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ Maksudnya: Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah al-Ra’d, 28) Berdoa dan Jampi Menggunakan Ayat al-Quran Dalam menjawab persoalan ini, menggunakan ayat al-Quran sebagai amalan dan doa sebagai pelembut hati merupakan perkara yang diharuskan dalam syarak. Perkara ini juga sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT: وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, (Surah al-A’raf, 180) Di samping itu, Baginda Nabi SAW juga menyarankan supaya untuk meminta kepada Allah SWT apabila membaca al-Quran malah al-Quran juga boleh dijadikan perantaraan dalam memohon sesuatu hajat supaya ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain berkata, bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia Riwayat al-Tirmizi (2917) Hadis di atas jelas menyebut bahawa hendaklah meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara, sama ada perkara yang berkaitan dengan duniawi atau ukhrawi. Syeikh Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadis di atas beliau menyatakan: أَيْ فَلْيَطْلُبْ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى بِالْقُرْآنِ مَا شَاءَ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ Maksudnya: (مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ) iaitu meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara daripada perkara-perkara dunia dan akhirat.[4] Begitu juga perihal jampi atau ruqyah dengan menggunakan ayat al-Quran, para ulama berpendapat bahawa harus bahkan sunat sekiranya jampi tersebut menggunakan ayat al-Quran nama Allah SWT bdengan tujuan untuk mengubati penyakit. Imam al-Suyuti menukilkan pandangan Ibn al-Tin yang menyatakan: الرُّقَى بِالْمُعَوِّذَاتِ وَغَيْرِهَا مِنْ أَسْمَاءِ اللَّهِ تَعَالَى هُوَ الطِّبُّ الرُّوحَانِيُّ إِذَا كَانَ عَلَى لِسَانِ الْأَبْرَارِ مِنَ الْخَلْقِ حَصَلَ الشِّفَاءُ بِإِذْنِ Maksudnya: Jampi dengan al-Mu’awwizat dan selainnya dengan menggunakan nama Allah SWT merupakan rawatan ruhani. Begitu juga jika diungkapkan oleh golongan yang salih dari kalangan makhluk maka mendapat kesembuhan dengan keizinan daripada Allah.[5] Jelas pandangan Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa disunatkan ruqyah atau jampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan Nama-nama Allah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti: تَجُوزُ الرُّقْيَةُ بِكَلَامِ اللَّهِ وَأَسْمَائِهِ فَإِنْ كَانَ مَأْثُورًا اسْتُحِبَّ Maksudnya: Harus ruqyah (jampi) dengan menggunakan kalam Allah dan nama-Nya. Bahkan sekiranya ia ma’thur (terdapat dalil al-Quran dan sunnah) maka ia disunatkan.[6] Kesimpulan Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah diharuskan berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah. Di samping itu boleh juga kisah Saidina Umar al-Khattab yang memeluk Islam ketika mendengar dan membaca surah Taha boleh dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati. Selain itu boleh juga rujuk artikel yang bertajuk: AL-KAFI #1517: BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN UNTUK MENDAPAT HABUAN DUNIA SEMATA-MATA IRSYAD AL-FATWA KE-93: APAKAH HUKUM MEMBACA AL-QURAN DENGAN TUJUAN MEMENANGKAN MASJID AL-AQSA Wallahu’alam   [1] Abu Abdillah Muhammad Ahmad Abi Bakr Farh al-Ansari al-Qurtubi ed. Ahmad Barduni, Ibarahim Athfaish. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Tafsir al-Qurtubi (Cairo, Dar al-Kutb al-Misriyyah, 1384H) 10:316 [2] Ibid. 11:163. (روى الدارقطني في سننه عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال خرج عمر متقلدا بسيف فقيل له إن ختنك [وأختك «1»] قد صبوا «2» فأتاهما عمر وعندهما رجل من المهاجرين يقال له: خباب وكانوا يقرءون:" طه". فقال: أعطوني الكتاب الذي عندكم فأقرؤه- وكان عمر رضي الله عنه يقرأ الكتب- فقالت له أخته: إنك رجس ولا يمسه إلا المطهرون فقم فاغتسل أو توضأ فقام عمر رضي الله عنه وتوضأ وأخذ الكتاب فقرأ:" طه") [3] ‘Abd al-Malik Hisyam Ayyub al-Humairi, Abu Muhammad dan Jamaluddin, ed Mustafa al-Syaqa dan Ibrahim al-Abyari dan ‘Abd al-Hafiz al-Syilbi. Sirah Ibnu Hisham (Misr: Syarkah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi 1375H) 1:344-346 [4] Abu ‘Ala Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi ( Bairut: Dar al-Kutb al-‘Ilmiyyah t.t.t)  8:189 [5] Jalaluddin al-Suyuti, ed. Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li Kitab, 1294H) 4:165 [6] Ibid.