url
stringlengths
49
58
headline
stringlengths
22
176
content
sequence
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=52
Kos sara hidup antara faktor lepasan SPM tidak sambung pengajian
[ "(Sebahagian pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 7A, 8A, 9A, 10A dan 11A dalam peperiksaan SPM 2022 bergambar kenangan di SMK Seksyen 18, Shah Alam/BERNAMA)", "Kemerosotan minat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian menjadi trend membimbangkan di Malaysia. Data terkini mendedahkan bahawa hampir 50% pelajar lepasan SPM dari sesi persekolahan 2021 telah memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Angka itu menyaksikan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, hanya 35% daripada lepasan SPM pada tahun 2020 menyatakan kurang minat untuk menyambung pelajaran.", "Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terhadap pengurangan minat dalam kalangan lepasan SPM ini untuk melanjutkan pengajian. Salah satu faktor penting adalah berkaitan kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan tuntutan perbelanjaan di institusi pengajian tinggi yang perlu ditanggung oleh pelajar dan keluarga mereka. Kos itu termasuk yuran pengajian, perbelanjaan, penginapan dan pelbagai kos lain.", "Cabaran kewangan yang dihadapi menyukarkan mereka memenuhi keperluan untuk melanjutkan pengajian, terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Akibatnya, terdapat pelajar cenderung memilih untuk menceburi alam pekerjaan sejurus selepas tamat peperiksaan SPM untuk memenuhi keperluan pendapatan keluarga serta memperoleh pendapatan sendiri.", "Selain itu, keinginan untuk berdikari dan membina peluang untuk menjana pendapatan sendiri mendorong lepasan SPM untuk berhenti melanjutkan pelajaran. Ramai pelajar merasakan bahawa mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang keadaan ekonomi peribadi mereka sendiri.", "Program universiti yang disifatkan terlalu panjang tempohnya dan menelan kos tinggi menjadikan lepasan SPM merasakan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Malaysia tidak menawarkan fleksibiliti seperti universiti di negara luar seperti di Australia, United Kingdom atau Amerika Syarikat.", "Oleh itu, ramai kalangan mereka percaya bahawa dengan membuat keputusan masuk ke alam pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri sejurus tamat SPM dapat memanfaatkan peluang pengalaman kerja secara langsung lebih awal dan dapat mengurus kewangan dengan lebih baik serta mencapai kestabilan kewangan lebih awal berbanding melalui pendidikan formal.", "Kurangnya keyakinan terhadap impak serta manfaat jangka masa panjang selepas melanjutkan pengajian di peringkat tinggi turut mempengaruhi sesetengah pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran.", "Graduan universiti swasta khususnya, telah menyatakan keraguan tentang jaminan pekerjaan serta kestabilan kewangan setelah memperoleh kelulusan dari universiti. Mereka merasakan bahawa limpahan graduan universiti dalam pasaran pekerjaan tidak semestinya membawa kepada prospek pekerjaan yang lebih baik atau tahap pendapatan lebih tinggi jika dibandingkan dengan masa dan wang yang telah dilaburkan.", "Tambahan pula, ketersediaan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig yang semakin berkembang telah mempengaruhi keputusan lepasan SPM untuk memasuki alam pekerjaan secara langsung. Ekonomi gig menawarkan waktu kerja yang lebih anjal atau fleksibel dan pilihan pekerjaan jangka pendek, menarik minat generasi muda.", "Kebangkitan perniagaan dan platform dalam talian juga telah menyediakan ruang dan peluang kepada lepasan SPM untuk terlibat dalam e-dagang sekali gus memperoleh pendapatan melalui pelbagai cara secara digital.", "Namun, terdapat lepasan SPM mengiktiraf dan percaya kepentingan bidang profesional khusus yang memerlukan pendidikan formal, seperti perubatan, perakaunan, dan undang-undang. Bagaimanapun, mereka mempersoalkan kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan pelajar yang bergelut untuk menanggung kos sara hidup semasa belajar dan mencadangkan agar kerajaan menilai semula kelemahan sistem pinjaman pendidikan dan meningkatkan jumlah pinjaman sejajar dengan inflasi.", "(Reaksi calon SPM 2022 meraikan kejayaan selepas memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin/Foto BERNAMA)", "Kementerian Pendidikan telah menyedari bahawa minat untuk menyambung pengajian dalam kalangan lepasan SPM semakin berkurangan. Oleh itu pihak kemenrian kini dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah.", "Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan pendidikan tinggi sambil melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran, dan minat kerjaya untuk persediaan masa hadapan.", "Justeru, dalam melahirkan generasi masa akan datang yang berpendidikan tinggi, langkah-langkah berikut boleh diambil:", "Bagi menangani kebimbangan kewangan yang mungkin menghalang sesetengah lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, pihak berwajib serta institusi pendidikan perlu menyediakan platform serta program bantuan kewangan yang lebih luas seperti mendedahkan pelajar berkaitan peluang biasiswa, geran dan pinjaman pendidikan yang tersedia daripada badan kerajaan, organisasi swasta dan universiti. Tekankan kepentingan perancangan kewangan dan teroka pilihan untuk kerja sambilan atau program pengajian sambilan.", "Mengadakan sesi penerangan, seminar, pameran pendidikan di sekolah atau melalui media sosial dan platform digital bagi menerangkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM tentang faedah dan peluang pendidikan di intitusi pengajian tinggi. Beri penekana dalam aspek kelebihan seperti peningkatan prospek kerjaya, potensi pendapatan yang lebih tinggi, pembangunan peribadi, dan pemerolehan kemahiran khusus.", "Menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya kepada lepasan SPM untuk membantu mereka memahami minat, kekuatan dan aspirasi mereka. Menyediakan panduan tentang laluan pendidikan berbeza yang tersedia, seperti universiti, kolej, latihan vokasional dan institut teknikal, berdasarkan matlamat kerjaya mereka.", "Mewujudkan program bimbingan; lepasan SPM boleh berhubung dengan individu yang berjaya dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi bagi membimbing mereka dalam mengambil keputusan yang tepat dan memberikan panduan dalam mengembangkan visi kerjaya yang diminati dengan lebih jelas berdasarkan minat dan bakat mereka. Mentor boleh memberi bimbingan, berkongsi pengalaman peribadi, dan menjadi contoh teladan, memberi inspirasi kepada lepasan SPM untuk mengikuti jejak mereka.", "Serlahkan kisah kejayaan lepasan SPM yang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mencapai matlamat mereka. Wujudkan rangkaian atau platform alumni di mana bekas lepasan SPM yang telah melanjutkan pelajaran boleh berkongsi pengalaman mereka, memberi nasihat, dan berfungsi sebagai sistem sokongan untuk lepasan SPM semasa.", "6. Sokongan dan testimoni rakan sebaya", "Atur sesi untuk lepasan SPM berinteraksi dengan pelajar pengajian tinggi semasa, sama ada secara peribadi atau melalui platform dalam talian. Benarkan mereka mendengar pengalaman secara langsung dan mendapatkan pandangan tentang kehidupan kampus, cabaran akademik dan faedah melanjutkan pengajian tinggi.", "Bekerjasama dengan universiti, kolej dan pusat latihan vokasional untuk memudahkan lawatan kampus, hari terbuka dan pameran kerjaya. Galakkan lepasan SPM untuk meneroka institusi pendidikan yang berbeza, belajar tentang program yang ditawarkan, dan berinteraksi dengan pelajar dan fakulti secara langsung.", "Terangkan pilihan pembelajaran fleksibel yang terdapat di institusi pengajian seperti program separuh masa, dalam talian atau pendidikan jarak jauh. Tekankan pilihan program pengajian yang fleksibel dan kemudahan yang ditawarkan yang sesuai dengan keadaan pelajar, terutamanya bagi mereka yang mungkin mempunyai kekangan dalam mengurus komitmen lain atau cabaran dari sudut kewangan.", "9. Kerjasama industri  serta pengalaman pembelajaran menarik", "Jalinan kerjasama dengan industri bagi memberi pendedahan tentang peluang kerjaya.  Pamerkan pelbagai kursus dan program yang tersedia dalam pendidikan tinggi seiring dengan keperluan industri semasa dan berikan pendedahan tentang peluang pembelajaran secara praktikal dan pembelajaran berdasarkan pengalaman, latihan amali, dan projek penyelidikan yang boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam pendidikan formal.", "Penglibatan ibu bapa dengan menganjurkan sesi maklumat khusus untuk mereka adalah penting. Atasi kebimbangan mereka, berikan mereka sumber, dan tekankan faedah jangka panjang pendidikan tinggi untuk masa depan anak-anak mereka.", "Kesimpulannya, kurangnya minat pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran boleh dikaitkan dengan faktor seperti kos sara hidup yang tinggi, keinginan untuk berdikari dan pendapatan segera, dan keraguan terhadap nilai pendidikan universiti.  Ketersediaan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig dan persepsi pilihan pengajian yang lebih pendek dan fleksibel di luar negara turut mempengaruhi keputusan lepasan SPM.", "Adalah penting bagi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhan untuk menangani kebimbangan ini dengan menyediakan sokongan kewangan, dan mendedahkan manfaat jangka panjang pendidikan tinggi untuk menggalakkan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pelajaran.", "PENULIS WAN SHAHZLINDA SHAH SHAHAR DAN AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Muamalah Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=53
Keputusan SPM: Kawal debaran tentukan hala tuju seterusnya
[ "Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Memang menjadi kelaziman, debaran pasti dirasakan terutama pelajar mahu pun ibu bapa. Debaran yang dirasakan semasa menunggu keputusan peperiksaan SPM adalah perasaan normal dan lumrah. Ia merupakan kombinasi perasaan gementar, gelisah, dan tidak pasti tentang keputusan hasil peperiksaan yang telah mereka jalani setahun lalu,", "Dalam menghadapi debaran, peranan ibu bapa dan guru penting kerana jika tidak dikawal, debaran ini boleh menjadi tekanan emosi yang besar dan boleh mempengaruhi keadaan mental serta fizikal pelajar. Oleh itu, dengan mengamalkan pemeliharaan diri yang baik, menguruskan emosi dengan berkesan, dan mengalihkan fokus kepada aktiviti lain, pelajar dapat mengurangkan tekanan sekali gus memperoleh keseimbangan semasa menunggu keputusan amat penting itu.", "Perasaan sama mungkin dirasai bersama-sama 403,637 orang calon yang telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 di seluruh negara di 3,355 pusat peperiksaan. Namun, pelajar tidak berseorangan, ini kerana ibu bapa dan guru turut merasai debaran. Malah ibu bapa dan guru merupakan pendukung utama kepada pelajar walau apa pun keputusan SPM yang pelajar peroleh.", "Ibu bapa dan guru perlu mengingatkan pelajar bahawa keputusan peperiksaan SPM bukanlah penentu tunggal masa hadapan mereka. Ini kerana peluang untuk berjaya dalam hidup tetap terbuka luas dengan pelbagai jalan dan mereka mesti terus berusaha untuk mencapai matlamat hidup tanpa mengabaikan nilai-nilai dan pengalaman lain sepanjang menimba ilmu di sekolah.", "Realitinya, debaran tidak dapat dielak sepenuhnya, terdapat beberapa cara yang dapat membantu mengendalikan debaran semasa menunggu keputusan SPM. Antaranya pelajar perlu memastikan diri mereka mendapat tidur mencukupi, mengamalkan pemakanan seimbang dan menjaga kesihatan fizikal. Penjagaan diri dengan baik membolehkan pelajar mengurangkan kesan mental, fizikal seterusnya mengatasi kelesuan yang mungkin timbul daripada debaran.", "Selain itu, penting untuk menguruskan emosi dengan berkesan. Pelajar boleh menggunakan pelbagai teknik pernafasan, meditasi, solat atau senaman untuk membantu mengurangkan tahap kegelisahan dan meningkatkan keadaan mental yang positif. Di sini pentingnya peranan ibu bapa, guru dan rakan sebaya untuk berbual yang boleh memberikan sokongan emosi serta menjadi sumber kekuatan saat-saat akhir.", "Pelajar juga boleh memilih untuk terlibat dalam aktiviti luaran yang menyeronokkan dan memberi mereka kepuasan, seperti membaca buku, menulis, atau melibatkan diri dalam hobi dan minat mereka. Ini dapat membantu mengalihkan perhatian daripada debaran dan memberikan rasa kawalan dan kepuasan yang positif.", "Debaran pelajar mungkin hanya untuk mengetahui keputusan peperiksaan SPM, namun, dalam diam ibu bapa turut mengalami debaran yang tersendiri walaupun wajah kelihatan tenang. Debaran ibu bapa lebih kepada memikirkan masa hadapan anak kesayangan mereka selepas menerima keputusan peperiksaan itu nanti.", "Ini lebih kepada keprihatinan ibu bapa terhadap peluang menyambung pelajaran atau seterusnya peluang kerjaya anak mereka selepas tamat belajar di universiti. Ia adalah hal yang wajar dan sering kali muncul. Mereka prihatin kerana ingin anak-anak mereka memiliki masa depan yang cerah dan stabil, serta memiliki peluang yang baik untuk bekerja setelah menyelesaikan pengajian di universiti.", "Pengajian di universiti merupakan nilai jangka panjang pelaburan hidup untuk anak-anak. Mempunyai ijazah universiti selalunya membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi dalam kerjaya.", "Dalam jangka panjang, melabur dalam pendidikan universiti boleh menjana pulangan yang tinggi melalui peluang kerjaya lebih baik dan kestabilan kewangan. Walaupun kos pendidikan universiti boleh menjadi beban besar, adalah penting memahami keprihatinan ibu bapa untuk melihatnya sebagai tanggungjawab demi masa depan anak mereka.", "Dalam mempertimbang faedah, kelebihan dan kekurangan, pilihan pembiayaan yang tersedia serta merancang kewangan dengan baik boleh membantu mengatasi kebimbangan tentang kos dan memastikan peluang pendidikan yang baik untuk anak-anak.", "Ini kerana, memahami kebimbangan ibu bapa mengenai kos pendidikan universiti juga adalah penting. Memang benar bahawa pengajian peringkat universiti melibatkan pelbagai kos, termasuk yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup, buku, peralatan, dan sebagainya.", "Keprihatinan ini penting untuk difahami kerana melibatkan perancangan kewangan keluarga. Ibu bapa perlu membuat rancangan kewangan yang baik bagi merangka menguruskan kos pendidikan anak di universiti. ", "Ini termasuk menetapkan belanjawan, menyimpan secara konsisten dan mempertimbangkan pilihan seperti kerja sambilan untuk membantu membayar pendidikan anak. Walaupun terdapat pelbagai kaedah pembiayaan pendidikan yang boleh membantu memenuhi keperluan perbelanjaan pendidikan. Namun adalah penting untuk ibu bapa membuat penyelidikan dan memahami dengan baik terma dan akibat mengambil pinjaman.", "Selain itu, terdapat juga kebimbangan lain ibu bapa terhadap masa hadapan anak mereka. Ini berkaitan dengan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti. Ini berkaitan terdapat persaingan yang sengit dalam peluang pekerjaan. Realitinya peluang pekerjaan hari ini sangat kompetitif, dan bilangan graduan universiti juga meningkat dari tahun ke tahun.", "Ibu bapa mungkin bimbang anak mereka sukar mendapatkan pekerjaan yang diingini kerana persaingan sengit. Selain itu, terdapat ketidakpadanan antara keperluan pendidikan dan industri, kadang kala terdapat jurang antara apa yang diajar di universiti dan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja. Ibu bapa mungkin bimbang kurikulum yang diajar di universiti tidak menepati dalam menyediakan anak mereka untuk memasuki alam pekerjaan.", "Dari tahun ke tahun, dunia pekerjaan berubah dengan pantas disebabkan oleh kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi. Mereka mungkin merasakan sukar bagi graduan baharu untuk mencari kerja yang sepadan dengan kelayakan mereka.", "Ibu bapa mungkin bimbang bahawa pekerjaan semasa tidak relevan atau hilang pada masa hadapan, dan anak mereka bakal menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Malah lebih parah kemungkinan anak mereka menganggur selepas tamat pengajian.", "Semua maklum berkenaan laporan yang dibacakan oleh Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini di parlimen berkenaan statistik pelajar yang tidak mahu menyambung pengajian selepas SPM.", "Menurut beliau, melalui data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) menunjukkan bahawa seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Malah pada tahun sebelumnya 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran.", "Terdapat peningkatan membimbangkan berkenaan perkara itu. Ternyata laporan itu juga turut menambah debaran kepada masyarakat; berkenaan generasi masa hadapan selaku pewaris kepimpinan dan peneraju negara.", "Melalui dasar Malaysia Madani, pendidikan dalam membangunkan generasi muda yang mampan perlu bermula dengan pendekatan holistik seawal mungkin untuk memaksimumkan potensi pendidikan pada tahap rentas bidang antara universiti dan industri sebagai suatu langkah terkehadapan menangani isu itu.", "Justeru, langkah kawalan perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengekang situasi itu daripada menular setiap tahun kepada calon-calon SPM yang mendatang. Terutama calon yang mengambil keputusan SPM pada hari ini.", "Di sini pentingnya peranan guru bimbingan dan kaunseling (GBK) dalam memberikan pendedahan secara menyeluruh kepada maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta kerjaya masa hadapan selaras dengan peranan mereka sebagai pakar rujuk dan bimbingan di peringkat sekolah menengah. Bukan hanya untuk pelajar, tetapi juga untuk ibu bapa.", "Peranan GBK secara berterusan mampu memberi pendedahan dan bimbingan berterusan dan menjernihkan minda pelajar berkenaan hala tuju hidup yang mungkin berubah dari semasa ke semasa disebabkan pengaruh media sosial dan rakan sebaya.", "Pelajar yang mendapatkan bimbingan daripada GBK mampu mendapat pencerahan secara profesional terhadap bidang yang mereka kehendaki untuk meneroka pilihan yang ada dan membuat keputusan terbaik untuk masa hadapan. Pengetahuan peringkat awal adalah penting bagi pelajar untuk memikirkan minat, kekuatan dan matlamat jangka panjang mereka apabila memutuskan halatuju kehidupan masa depan selepas SPM.", "Ini kerana, selepas tamat SPM, hala tuju kehidupan masa depan seseorang pelajar adalah berbeza berdasarkan minat, matlamat dan keadaan mereka. Berikut ialah beberapa pilihan dan jalan yang mungkin boleh dipertimbangkan para pelajar selepas mendapat keputusan SPM:", "Walau apapun keputusan SPM yang diperoleh, debaran itu pasti berlalu. Pertahankan keseimbangan emosi diri. Baik untuk pelajar, mahupun ibu bapa. Menerima keputusan peperiksaan boleh menjadi pengalaman yang emosional. Itulah qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah. Apapun keputusannya, penting untuk mengendalikan tekanan perasaan.", "Jika merasa gembira dengan keputusan yang baik, jangan biarkan kegembiraan tersebut menghalangi diri daripada membuat keputusan yang bijak tentang langkah seterusnya. Jika keputusan tidak begitu baik, jangan biarkan kekecewaan menghalang semangat untuk mencapai cita-cita dan impian dalam hidup.", "Muhasabah dan buatlah tafsiran keputusan secara objektif. Jangan menganggap keputusan tersebut sebagai penentu tunggal masa depan. Ingat semula dan perhatikan setiap pencapaian sepanjang zaman persekolahan dan kejayaan lain yang telah dicapai. Ingatlah bahawa peperiksaan SPM hanyalah satu komponen dalam proses pemilihan peringkat seterusnya dalam menyambung pengajian dalam kehidupan.", "Jadi, ambil langkah bijak dengan berbincang bersama-sama guru bimbingan dan kaunseling (GBK) tentang pilihan pengajian yang sesuai dengan keputusan SPM tersebut. Terdapat banyak jalan untuk mencapai matlamat hidup dan kejayaan. Pilihlah tapak langkah yang terbaik serta bersesuaian dengan keupayaan, minat, dan impian.", "Ini kerana, sebenarnya keputusan peperiksaan SPM adalah permulaan perjalanan dalam mencapai impian hidup yang seterusnya. Setiap keputusan membuka pintu untuk peluang baharu. Jangan berputus asa jika keputusan tersebut tidak seperti yang diharapkan. Tetapkan sasaran secara jelas, berusaha dengan gigih dan terus meluncur tinggi memetik bintang di langit. Semoga berjaya mencapai impian anda!", "PENULIS DR MD ROZALAFRI JOHORI ialah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=54
Kuasa A.I untuk kebaikan meski ada keburukan
[ "(Antara contoh gambar hasil janaan A.I. Midjourney)", "Sekitar tahun 2001, pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg telah pun mengarah filem sains fiksyen bertajuk ‘A.I.: Artificial Intelligence’; mengisahkan robot budak lelaki yang begitu mendambakan kasih sayang ibu angkatnya sehingga sanggup membuat apa sahaja untuk menjadi manusia.", "Tahun 2016 pula menyaksikan satu peristiwa bersejarah antara manusia dan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (A.I.) apabila AlphaGo menewaskan jaguh permainan Go, Lee Seedol.", "Go merupakan permainan berpapan berstrategi untuk dua orang pemain. Permainan berkenaan menggunakan batu hitam dan putih sebagai buah caturnya.", "Lembah Silicon menyambut kemenangan AlphaGo dengan begitu meriah kerana teknologi mereka berjaya menumbangkan jaguh dalam kalangan manusia. Korea Selatan pula diselubungi dengan suasana suram apabila jaguh kebanggaan mereka ditewaskan A.I ciptaan manusia.", "Hari ini, A.I. dilihat seakan-akan mendominasi kehidupan seharian kita. Ia bukan sahaja membantu kita dalam melaksanakan tugas harian, malah ia mengubah budaya dan tatacara manusia melakukan sesuatu proses kerja.", "ChatGPT, salah satu A.I. yang mempunyai pemikiran dan mampu berinteraksi dengan manusia. Ia mempunyai pengetahuan yang sangat tinggi sehingga mampu menjawab apa sahaja soalan yang diajukan dalam konteks yang betul.", "Selain ChatGPT, satu lagi A.I. yang semakin popular ialah Midjourney. Keupayaan Midjourney mampu menghasilkan imej yang tidak wujud dan kelihatan begitu realistik.", "Terdapat banyak lagi aplikasi A.I. lain yang mungkin kurang didengari namun memberikan impak besar dalam kehidupan manusia.", "Seperti Jenni yang mampu menulis artikel, 10Web yang boleh menjana laman sesawang sendiri, WonderDynamics yang boleh menghasilkan video animasi, Presentation Maker mampu menghasilkan slaid pembentangan dan Synthesia yang mampu mencipta video tanpa perlu melalui proses penggambaran atau suntingan.", "Sungguhpun dibangunkan oleh syarikat berbeza, kesemua platform A.I. itu mempunyai satu persamaan iaitu mampu memberikan hasil dalam tempoh masa singkat berdasarkan arahan (prompt) tertentu yang tepat.", "(ChatGPT, aplikasi A.I. yang menjadi kontroversi dalam kalangan warga pendidik)", "Dari satu sudut, aplikasi A.I. dilihat memberikan kemudahan dan menyenangkan kehidupan seharian kita.", "Tidak dapat dinafikan keupayaan dan kepintaran A.I. semakin menyamai manusia. Penggunaannya pada kos berpatutan atau pun percuma, prestasinya yang melangkaui kekangan masa, konsistensi kualiti mahupun bebanan tugas, sentiasa memberikan output secara maksimum adalah antara faktor penting pengguna beralih  kepada A.I.", "Dari satu perspektif lain, A.I. berpotensi ‘membunuh’ karier seseorang. Sebagai contoh, orang yang tidak tahu melukis juga mampu menghasilkan potret yang indah dengan menggunakan Midjourney. Di samping itu, Midjourney mampu mencipta gambar tanpa perlu ada subjek. Jelas sekali A.I. mampu menggugat ‘periuk nasi’ pelukis dan jurugambar.", "Keupayaan ChatGPT menjawab pelbagai soalan dalam pelbagai bidang seperti bidang perubatan dan mencipta pengaturcaraan kod komputer juga menimbulkan risiko dalam kalangan warga akademik dan pelajar sekiranya mereka menerima sahaja bulat-bulat maklumat diberikan A.I. berkenaan tanpa sebarang usul periksa.", "Ini boleh mencipta fenomena plagiat versi baharu dalam kalangan masyarakat hari ini. Lebih buruk, ChatGPT akan melahirkan generasi ‘tin kosong’ atau generasi yang malas berusaha kerana sumber maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Mereka juga akan menjadi semakin malas kerana kebergantungan secara keterlaluan kepada A.I.", "Walaupun A.I. mampu menjumudkan beberapa sektor pekerjaan pada masa akan datang, A.I. juga mencipta ‘pekerjaan baru’ bagi mereka yang nampak potensi dan bijak mengambil peluang daripada aplikasi ini.", "Seorang jurugambar sepenuh masa, Hafiz Ismail yang telah berkecimpung dalam dunia fotografi selama 17 tahun kini mula serius dengan teknologi Midjourney.", "Beliau yang pada mulanya hanya sekadar mencuba kini menjadikan A.I. sebagai salah satu platform mencipta gambar-gambar baharu dan mencipta gambar mengikut cita rasa pelanggannya.", "Hafiz juga secara aktif membuat kursus secara dalam talian bagi melahirkan lebih ramai usahawan, pelajar dan syarikat ‘celik A.I.’ ", "Jabatan kerajaan juga wajar menjadikan A.I. sebagai salah satu ‘pekerja’ bagi mengurangkan bebanan dan lambakan tugasan yang dihadapi penjawat awam.", "Sebagai contoh,  pembantu digital boleh digunakan berinteraksi dengan orang awam bagi menjawab sebarang persoalan dan pertanyaan yang dikemukakan.", "Tidak terhad kepada itu sahaja. Petugas A.I. juga boleh membantu pelanggan menggunakan aplikasi dengan betul, menyemak sama ada aplikasi memberi output sepatutnya dan menganalisis punca laporan diterima, seterusnya menyokong pihak pengurusan membuat penambahbaikan dalam urusan kerja seharian.", "(Antara contoh gambar hasil janaan A.I. Midjourney)", "Kesimpulannya, aplikasi A.I. adalah sistem yang rumit dan memberikan faedah serta potensi besar kepada kehidupan manusia. Penggunaannya perlu diperkasakan, diperkemaskan dan diseimbangkan agar kesan buruknya tidak terus merebak dalam kehidupan kita.", "Perlu diingatkan, A.I. tidak mempunyai naluri, emosi, akal atau perasaan. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya memanfaatkan aplikasi A.I. dengan bijaksana.", "Justeru, perlunya ada satu polisi atau garis panduan yang dapat mengawal atau mengurus aplikasi ini agar ia tidak disalahgunakan, di samping tidak membantutkan kemajuan teknologi bagi memudahkan urusan manusia.", "PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, Pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=55
Lepasan SPM perlu optimis dalam pemilihan program pengajian?
[ "(Sokongan Ibu bapa dan IPT sebagai motivasi kepada pelajar/Foto KUIS)", "Debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lagi, bukan hanya dirasai oleh 403,637 orang calon peperiksaan seluruh negara, malah ibu bapa mereka turut menaruh harapan tinggi.", "SPM menjadi medan penanda aras dalam menentukan hala tuju minat, cita-cita dan jangkaan kerjaya masa hadapan. Oleh kerana itulah keputusan SPM umpama satu tiket penting untuk para pelajar menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), asasi atau diploma.", "Mengikut rekod laporan Gred Purata Nasional (GPN), keputusan SPM 2020 mencatat keputusan terbaik dalam masa lima tahun sebelum ini dengan nilai 4.80. Namun pada tahun 2021 nilai GPN merosot menjadi 4.86 sama seperti tahun 2019. Nilai GPN yang kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik. Sebanyak 55.29% calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran pada 2021.", "Sama ada keputusan diterima baik atau tidak, survival perlu diteruskan. Meneruskan pengajian dengan pilihan bersesuaian dengan keputusan sering dilihat lebih mudah, berbanding dengan keputusan peperiksaan yang mendukacitakan. Namun pilihan bijak dan kajian pasaran kerjaya secara asasnya perlu diambil perhatian.", "Hala tuju dan minat dalam kerjaya", "Setiap individu sudah tentu mempunyai impian dan cita-cita yang hebat dalam kehidupan. Untuk mencapai impian tersebut, mereka memerlukan satu kerjaya yang baik dan boleh menjamin masa depan.", "Beruntunglah mereka yang sudah jelas  hala tuju kerjaya. Apa yang diperlukan adalah menyusun strategi  untuk mencapainya.", "Namun, bagi seseorang yang tidak peka atau masih tidak jelas hala tuju, wajar dibimbing dengan baik. Ibu bapa, ahli keluarga dan guru sewajarnya mengambil peranan ini.", "Kesediaan pihak sekolah yang menganjurkan program seperti karnival pendidikan tinggi atau membenarkan institusi pengajian tinggi turut serta meraikan pelajar semasa pengumuman keputusan SPM/SPVM dan STPM/STAM dengan menawarkan khidmat nasihat dan promosi pelbagai program pengajian IPT sangat wajar diberi penghargaan. ", "Ketika inilah pelajar dengan keputusan sedia ada ditangan, dapat mempertimbangkan semula ke manakah hala tuju mereka. Jaringan komuniti yang baik antara pihak sekolah dengan IPT dapat diperkasakan untuk manfaat para pelajar.", "Bagi yang mendapat keputusan cemerlang dan dari aliran sains, peluang mereka sangat besar dan mudah laluannya. Apatah lagi dengan galakan kerajaan melalui pelbagai biasiswa dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) bagi pengajian dalam atau luar negara.", "Bagaimanapun pengajian bidang sains sosial juga masih sangat diperlukan tenaga mahirnya. Walaupun dengan nisbah 40:60 berbanding bidang sains. Banyak peluang pengajian ditawarkan di seluruh universiti awam dan swasta di Malaysia. Malah peluang pekerjaan hampir keseluruhan organisasi masih memerlukan tenaga kerja seperti di Bahagian Sumber Manusia, Komunikasi Korporat, Pemasaran Digital dan Kewangan.", "(Calon lepasan SPM komited meninjau peluang pendidikan tinggi/Foto KUIS)", "Tidak disangkal, cabaran ibu bapa sangat besar apabila teknologi digital telah menguasai segenap ruang rumah mereka. Namun ini boleh dijadikan sandaran kuat mengenal pasti minat anak-anak yang mungkin kurang menyerlah akademiknya.", "Ramai remaja hanyut dengan ledakan teknologi terkini. Mereka leka dengan alatan atau gadget dan permainan internet di rumah. ", "Tanpa pengawasan bijak ibu bapa dan motivasi sewajarnya, mereka lebih berserah kepada ketentuan hidup dan tidak berminat menyambung pengajian kerana tanggapan kesukaran melalui tugasan dan peperiksaan bersifat ilmiah. ", "Anak-anak muda seperti itu masih mempunyai peluang melanjutkan pengajian yang berasaskan kemahiran dan teknikal sekurang-kurangnya hingga ke peringkat diploma atau sijil kemahiran tinggi.", "Dasar kerajaan yang menumpukan usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) adalah satu petujuk jelas bahawa lepasan SPM sangat perlu dilatih dalam aspek kemahiran teknikal. Ini juga sebagai indikasi bahawa kerjaya dalam bidang ini sangat luas permintaannya dalam pasaran kerja. ", "Lebih menarik apabila syarat asas kemasukannya tidak memerlukan kelulusan yang baik atau cemerlang. Maka tiada seorang pun sebenarnya dipinggirkan untuk melanjutkan pengajian bersesuaian.", "Minat yang telah dikenal pasti perlu diiringi dengan ketekunan dan ketelitian. Ini kerana  walaupun pendidikan TVET kurang memerlukan tumpuan akademik, namun ketekunan, komitmen, disiplin dan ketelitian sangat diutamakan. ", "Bagi anak muda lelaki terutamanya kepakaran aspek kemahiran teknikal menjadi nilai tambah dalam mendapatkan pekerjaan. Ganjaran berupa upah atau gaji yang tinggi dan insentif kerja seringkali lebih istimewa berbanding pekerjaan profesional lain.", "Setiap individu perlu mengetahui minat dan kelebihan yang ada pada diri, agar mudah untuk mereka membuat keputusan dalam proses untuk meneruskan pengajian mereka pada masa akan datang.", "Membuat keputusan masa depan, perlukan kewarasan akal dan pertimbangan yang rasional.  Jika tersilap keputusan berkemungkinan akan menyebabkan rasa kecewa, kesal dek impian tidak tercapai. ", "Bagi pelajar yang tidak pasti minat atau pun kerjaya yang sesuai, mereka digalakkan berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk mendapatkan nasihat. Kaunselor sekolah boleh memberikan runding cara melalui ujian kerjaya kepada para pelajar terlibat. ", "Ujian kerjaya adalah kaedah yang direka untuk membantu individu mengenal pasti dan meneroka laluan kerjaya yang berpotensi berdasarkan minat, kemahiran, nilai dan ciri personaliti mereka. ", "Ujian ini bertujuan mencerap  kekuatan, keutamaan dan bidang keserasian seseorang dengan pelbagai pekerjaan. Antara ujian kerjaya yang boleh ambil adalah inventori minat, ujian aptitud, penilaian personaliti, penilaian dan kemahiran.", "Hasil ujian kerjaya ini boleh membantu individu dalam proses membuat pilihan program pengajian yang seterusnya. Bagaimanapun, ujian kerjaya hanyalah satu komponen dalam proses membuat keputusan kerjaya.", "Namun keputusannya harus dipertimbangkan seiring dengan faktor lain seperti nilai peribadi, latar belakang pendidikan, pengalaman kerja dan arah aliran pasaran.", "Tidak dinafikan, terdapat kes remaja yang memohon kursus yang diminati tetapi gagal untuk menempatkan diri dalam program berkaitan. Mereka terpaksa akur dengan tawaran IPT dan sebahagiannya atas desakan ibu bapa terus menerima tawaran yang diberikan tanpa melihat peluang pekerjaan masa hadapan. Akibatnya mereka terpaksa melalui pelbagai situasi rumit yang lain. ", "(Sokongan kerajaan melalui penganjuran karnival pendidikan tinggi untuk lepasan SPM/foto KUIS)", "Sebelum membuat sebarang pemilihan kursus yang ditawarkan oleh mana-mana IPTA atau IPTS, para pelajar perlu mendapat beberapa maklumat kerjaya terkini berdasarkan laporan kajian dari Kementerian Sumber Manusia.", "Malaysia Critical Occupational List (MyCol) 2022/2023, melaporkan hasil kajian melibatkan 500 firma di Malaysia  mendapati; 713 pekerjaan kritikal yang merentas tiga sektor sangat diperlukan iaitu sektor aeroangkasa, sektor pembinaan dan sektor pembuatan (pemprosesan makanan). ", "Ketiga-tiga sektor ini memerlukan pekerja dalam kalangan kumpulan profesional untuk dipenuhi. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa, majikan berhadapan dengan masalah apabila graduan baharu tidak memenuhi standard industri. ", "Beberapa bidang pekerjaan yang mudah menembusi peluang pekerjaan adalah bidang pemasaran dan jualan, bidang pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, perakaunan dan kewangan, bidang teknologi maklumat, perkhidmatan, kejuruteraan, pembuatan, pembinaan,  hospitaliti, bidang media dan komunikasi, bidang perubatan dan lain-lain. Ditambah pula dengan kemahiran teknologi digital, ia menjadi nilai tambah dalam era semasa.", "Berdasarkan laporan MyCol 2022/2023 berkenaan, beberapa program sesuai untuk memenuhi permintaan majikan. Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal misalnya menjadi buruan majikan dalam industri penyediaan pelbagai produk  halal.", "Bukan sekadar makanan, malah melibatkan perubatan, kesihatan, kosmetik dan prosedur penyediaan pelbagai tatacara kerja. ", "Apatah lagi dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hub halal, bukan hanya di Rantau Asia, malah seluruh dunia. ", "Malaysia kini menjadi hub halal dalam pasaran antarabangsa. Antara faktor kejayaan tersebut adalah sumbangan hasil usaha berterusan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan sokongan daripada agensi lain termasuk Matrade dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).", "Semoga pelajar lepasan SPM menjadikan keputusan peperiksaan mereka satu inspirasi untuk menetapkan hala tuju terbaik dalam merancang masa hadapan. Cemerlang atau lemah, kedua-duanya mempunyai nilai nya yang tersendiri. ", "Sesebuah negara maju dengan jurutera hebat berbangunan pencakar langit, tetap perlukan pasukan pembersihan yang ikhlas dan amanah dalam menjaga kebersihan negara. ", "Sehebat mana negara maju dengan semua teknologi digitalnya, tetap perlukan  para usahawan kecil yang menjadikan media sosial sebagai perantara perniagaannya hingga menjadi asbab  lonjakan keuntungan dan reputasi seluruh dunia. ", "PENULIS SALINA MOHAMMED RASHID, Pensyarah Program Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN, Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=56
Kesedaran konsumerisme & peranan pengawal seliaan kepenggunaan harus dipertingkat
[ "SAUDARA PENGARANGPada hari ini, kesedaran terhadap konsumerisme dalam kalangan masyarakat di negara ini merupakan suatu tanda aras penentu kepada kebijaksanaan pengguna untuk menggunakan hak mereka untuk berbelanja atau menggunakan perkhidmatan yang tersedia. Kemajuan pesat teknologi komunikasi maklumat pada hari ini memaparkan lebih banyak dagangan perniagaan terbuka yang boleh menyebabkan lebih banyak implikasi terhadap hak pengguna dan peraturan dagangan yang boleh mencetuskan konflik kepada pengguna sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik.Pembangunan sistem atau aplikasi secara dalam talian mendorong kepada anjakan paradigma yang memberi impak kepada kehidupan harian masyarakat dalam memproses, berkongsi dan penyebaran maklumat. Selain itu, pembangunan teknologi ini akan menjana lagi pembentukan sebuah masyarakat abad ke-21 yang baharu, iaitu masyarakat digital atau masyarakat jaringan.Justeru, literasi konsumerisme dalam kalangan pengguna harus dipergiatkan bagi memastikan perkara-perkara yang tidak diingini seperti penipuan, pencerobohan hak pengguna dan sebagainya tidak berlaku, lebih-lebih lagi mendepani arus kemodenan dan kepantasan maklumat di hujung jari. Ancaman jenayah siber ini menjadi ancaman utama negara. Perangkaan menunjukkan peningkatan jenayah siber yang tinggi di negara ini. Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman pula dilaporkan menerima lebih 800 laporan polis berkaitan dengan penipuan penjualan barangan atas talian dari Januari hingga September tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM5.5 juta.", "(Kesedaran konsumerisme atau kepenggunaan ini bukan sahaja terhad kepada keprihatinanpengguna untuk menggunakan hak-hak mereka tetapi ia menjurus kepada pelaksanaan mekanisme Pengawal seliaan Kendiri dalam kalangan pengguna/Foto Hiasan)", "Sementara itu kes jenayah siber 2022 meningkat lebih 99% berbanding tahun 2021, 2020 dan 2019. Modus operandi sendiket ini menggunakan Instragam, Twitter dan Facebook untuk menipu mangsa sehingga menyebabkan mangsa terpengaruh dengan promosi atau iklan palsu yang ditularkan dalam media sosial.Isunya disini, sejauh mana pengguna aplikasi media sosial di Malaysia memiliki pengetahuan, kesedaran dan kefahaman terhadap wujudnya suatu mekanisme kawalan oleh pihak ketiga yang boleh menganggu keselamatan dan privasi pengguna. Adakah pengguna menyedari perkongsian data dalam media sosial juga memungkinkan ada pihak ketiga memerhati atau mengawasi gerak-geri seseorang pengguna tersebut? Sejauh mana pengguna memahami isu pengawasan melalui aplikasi media sosial ini membawa kesan yang positif dan negatif dalam kehidupan harian, lebih-lebih lagi memberi pengaruh kepada proses pembuatan keputusan ke atas pembelian barangan atau perkhidmatan?Oleh itu, suatu kajian secara komprehensif mengupas dan mendedahkan tahap dan pengaruh literasi pengguna dalam pembuatan keputusan berhubung dengan isu-isu kepenggunaan mereka seharian dan bagaimana sistem pengawasan pengguna dapat membantu para pengguna membuat penilaian sebelum sesuatu keputusan dibuat yang akan memberikan manfaat kepada mereka atau sebaliknya.Kesedaran konsumerisme atau kepenggunaan ini bukan sahaja terhad kepada keprihatinan pengguna untuk menggunakan hak-hak mereka apabila mengguna atau berbelanja barangan atau perkhidmatan di media sosial tetapi ia menjurus kepada pelaksanaan mekanisme Pengawal seliaan Kendiri dalam kalangan pengguna.Sistem Pengawalan Kendiri merupakan suatu kaedah bagaimana pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat pemeriksaan dan penelitian ke atas sebarang barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka menerusi medium sesuatu media. Menurut kajian yang dibuat oleh Prof Johannes Klinglmayr dari Austria Tahun 2016 juga mendapati bahawa gaya membuat keputusan berdasarkan pengawal seliaan kendiri ini mendorong pengguna untuk membuat keputusan berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan teliti ke atas barangan atau perkhidmatan sebelum suatu keputusan dibuat oleh seseorang pengguna berkenaan. Ia dikatakan dapat mengurangkan sifat keraguan dan kebimbangan pengguna semasa mahu membuat sesuatu keputusan berhubung dengan isu-isu kepenggunaan yang dihadapinya.Mekanisme Pengawal Seliaan Kendiri pengguna di Malaysia dibangunkan oleh Forum Pengguna Malaysia (CFM) dengan terbitan Kod Pengguna. Ia merupakan inisiatif utama Kerajaan yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kod Pengguna dijadikan sebagai rujukan utama atau garis panduan kepada industri dan para pengguna untuk mengenalpasti kerelevenan kod tersebut dalam membantu para pengguna mengamalkan gaya membuat keputusan berdasarkan tindakan rasional, objektif dan sekaligus memimpin mereka bertindak dengan betul. Setidak-tidaknya Kod Pengguna akan dijadikan suatu pedoman kepada pihak penawar pekhidmatan dan pengguna untuk mengimbangi keperluan memberi perkhidmatan dengan kehendak pengguna yang perlukan nilai mutu perkhidmatan yang berkualiti dan standard.Dalam konteks yang lebih menyeluruh, penguatkuasaan Kod Pengguna sebagai suatu medium pengawal seliaan kendiri ini dapat mendidik pengguna lebih prihatin terhadap amalan budaya konsumerisme yang beretika selain memberikan penekanan terhadap penilaian ke atas kesedaran konsumerisme dalam kalangan pengguna, tetapi juga melihat tahap peranan dan pengaruh CFM mempromosikan sistem pengawalan kendiri pengguna sebagai satu mekanisme untuk merangsang pengguna melakukan proses pembuatan keputusan yang lebih sistematik dan mengurangkan risiko mereka daripada terjebak dalam isu-isu jenayah kepenggunaan di negara ini.Diharapkan pengawal seliaan konsurisme menerusi mekanisme pengawal seliaan kendiri menggunakan Kod Pengguna ini nanti akan mewujudkan amalan budaya keprihatinan pengguna yang lebih positif dan mampu memelihara hak-hak pengguna di negara ini.PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=57
Masa untuk buktikan anak muda aset berharga negara
[ "(Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan bergambar bersama sempena Sambutan Hari Belia Negara di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, pada 28 Mei lalu/Foto BERNAMA)", "\"Belia... aset pemangkin masa hadapan negara cemerlang”. Setuju atau tidak dengan pernyataan tersebut? Mungkin benar, dan mungkin tidak. Bergantung kepada penilaian masing-masing. Memandangkan, setiap peringkat umur dalam masyarakat seharusnya mempunyai peranan dalam menaikkan nama negara di persada dunia dalam apa bidang sekali pun. ", "Bagaimanapun dalam merancang hala tuju tepat -- sokongan dan panduan yang kuat bagi mencapai aspirasi itu, amat diperlukan. Sudah tentulah belia dilihat golongan yang paling wajar diketengahkan sebagai pengganti kepada ketua-ketua keluarga, organisasi mahupun pemimpin negara.", "Menggilap bakat kepimpinan anak muda bagi mendepani cabaran masa hadapan, sepatutnya tidak dipandang remeh. Sehubungan itu ke arah memacu kepimpinan terbaik, belia perlu dipersiapkan lebih awal bagi menyumbang demi pembangunan negara yang gemilang. Mereka harus diberi ruang untuk sama-sama terlibat dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin negara.", "Sejajar itu, pada 28-Mei 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan khabar gembira pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023; iaitu, peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) setahun. Ia khusus bagi melaksanakan pelbagai program membabitkan orang muda tanpa sebarang kekangan kewangan.", "Peruntukan berkenaan diberikan atas keyakinan dan kesungguhan kerajaan terhadap kepimpinan Presiden MBM - Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid yang telah menjayakan Negara Madani. Serta berpegang kepada sokongan padu belia di negara ini.", "Berpaksikannya, MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju. Tempoh sebulan diberikan bagi menyediakan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu dalam usaha menambah keanggotaan belia.", "Kedua, memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM -- bermula dengan penyertaan 30%. Ketiga memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini.", "(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) diiringi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) ketika hadir pada Sambutan Hari Belia Negara di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, pada 28 Mei lalu/Foto BERNAMA)", "Bersempena Hari Belia Negara kali ini bertemakan 'Ini Masa Kita', Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, kerajaan berhasrat untuk melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti KHAZANAH, PETRONAS dan PERKESO dalam mengendalikan program latihan belia. Perkara itu akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.", "Bukan sekadar itu, Perdana Menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030). Pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia -- selari dasar nasional terkini.", "MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ia memberi penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif. Model tersebut disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan. Khusus dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa depan.", "Ternyata, golongan belia merupakan kumpulan yang dianggap sudah matang fikirannya. Sekali gus berupaya memainkan peranan sangat signifkan terhadap pembangunan serta kemajuan negara. Tak percaya? Ujilah mereka.", "Ironinya peranan anak muda atau belia kini semakin besar dalam segenap aspek, tidak boleh dinafikan. Jangan dipandang rendah, jangan diambil mudah. Tepis ego masing-masing.", "Beri peluang, dan buka ruang untuk mereka membuktikan kemampuan. Sama ada di peringkat komuniti, nasional mahupun global. Meliputi proses pembentukan kerajaan dan pentadbiran negara.", "Apa yang penting, belia itu sendiri perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain. Pada masa sama menolak segala bentuk rasuah. Selain mempunyai sikap mahu menimba ilmu sebanyak mungkin, serta mengangkat martabat rakyat.", "EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=58
Erti nilai kemerdekaan dalam menjalin aspirasi masyarakat Madani
[ "(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selepas mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 pada 27 Mei 2023, sekali gus melancarkan logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023)", "Kemerdekaan adalah suatu simbol atau nilai unik yang memberi makna besar kepada setiap anak bangsa yang memahami perjuangan, jerih perit pejuang-pejuang kemerdekaan menggalas usaha gigih meleraikan negara daripada ancaman penjajah dan bagaimana mereka berusaha membina negara bangsa daripada perjuangan darah dan air mata para pahlawan kita.", "Nilai kemerdekaan bukan diukur daripada cara kita meraikannya tetapi penghayatan padu rakyat negara ini menilai sejauh manakah kita memerjuangkan kebebasan yang kita nikmati hari ini untuk kita sandarkan kepada pembinaan negara bangsa yang ampuh dan terus berkesinambungan untuk diraikan oleh generasi akan datang.", "Sambutan hari kemerdekaan hari ini, khususnya dalam meredah ancaman pandemik, kegawatan ekonomi dan pergelutan kesengsaraan rakyat diancam masalah sosial, seharusnya dapat dihayati dalam jiwa setiap anggota masyarakat.", "Walaupun tidak dapat diraikan secara fizikal, tetapi semangat kemerdekaan ini boleh dijelmakan menerusi wadah media digital. Berkongsi cebisan lintasan sejarah negara, pengorbanan anak-anak bangsa melawan penjajah mahupun musuh yang tidak kelihatan hari ini.", "Berbekalkan semangat jitu dan pengorbanan besar para pejuang dan petugas barisan hadapan atau frontliners yang berperang melawan pandemik hari ini, seharusnya dapat dihayati oleh generasi hari ini.", "Bagaimana sifat patriotik mereka berjuang untuk rakyat dan negara ini boleh diterjemahkan kepada pengkisahan yang boleh dihayati oleh setiap anak bangsa dalam apa juga bentuk kandungan dalam dunia siber hari ini.", "Tidak cukup dengan itu, kisah-kisah perjuangan inilah yang dapat kita terapkan kepada generasi muda hari ini dan masa depan, membina semangat patriotik mereka, menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan negara dalam keadaan sukar dan genting hari ini; menjadi suatu petunjuk bagaimana rakyat kita sanggup berkorban untuk mempertahankan negara dalam kemelut politik, ekonomi dan sosial yang kita hadapi hari ini.", "Inilah sebenarnya perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan maruah negara yang kita jelmakan dari hati budi dan semangat jiwa wajah patriotik anak bangsa kita menyayangi kemerdekaan negaranya.", "Bersempena dengan tema hari kemerdekaan kita pada tahun ini, iaitu  Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, kita seharusnya menjadikan Malaysia sebagai tanah air yang selamat untuk dihuni oleh setiap warganya, sama-sama mempertahankan keamanan negara menerusi perpaduan sejati dalam kalangan masyarakat majmuk, sanggup \"berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah\" antara semua kaum di negara ini bagi menjalinkan aspirasi masyarakat Madani yang menjadi impian kita.", "Justeru masyarakat juga ,seperti mana disarankan oleh Menteri Komunikasi Digital, YB Fahmi Fadzil harus mengamalkan sikap tabayyun apabila berdepan dengan penularan maklumat media siber yang berluasa pada masa sekarang supaya masyarakat tidak terleka dengan diayah-diayah jahat pihak-pihak yang memburu kekacauan atau kepincangan negara dengan merosakkan nilai perpaduan masyarakat di negara ini.", "Banyak persoalan dan isu yang digembar-gemburkan dalam kalangan masyarakat boleh diselesaikan secara pemuafakatan yang lebih positif dan progresif seperti mengadakan rundingan, perbincangan intelektual dan perancangan strategik supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua golongan masyarakat dan sentiasa menghormati hak-hak setiap kaum yang telah dimaktubkan dalam sistem perlembagaan negara.", "Sifat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya anak-anak muda di negara ini seharusnya dipupuk dan disemai menerusi program-program berstrategik yang berterusan bagi memberi kesedaran kepada mereka nilai kemerdekaan yang dicapai negara sehingga kini.", "Kita mengharapkan lebih banyak reformasi yang progresif dapat diilham dan dilaksanakan untuk mendorong penghayatan rakyat terhadap nilai kemerdekaan negara.", "PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=59
LIMA'23 platform perkukuh Malaysia sebagai hab aeroangkasa
[ "(Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (lima, kanan) selepas menyaksikan dua majlis menandatangani dokumen serentak di antara Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib (tiga, kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Airod Sdn Bhd Mej Jen (B) Datuk Ismail Ibrahim (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan/Foto Bernama)", "Pejam celik, pejam celik, ESOK hari terakhir Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23). Begitu cepat masa berlalu, senada keterujaan semua pihak pada pameran kali ini. Manakan tidak, acara dwitahunan itu diadakan kali terakhir pada 2019, sebelum terpaksa ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19. Ya, boleh dikatakan penantian empat tahun yang berbaloi bagi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik itu. Pada 23-Mei lalu, gema deruman 36 pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), cukup gah melintasi langit biru Langkawi. Menandakan simbolik penyempurnaan pembukaan Pameran LIMA’23 yang memasuki edisi ke-16. Ternyata, LIMA '23 dianggap sebagai terbesar dalam sejarah penganjurannya. Bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia”, program itu disertai lebih 525 peserta pameran. Jumlah itu, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat yang terlibat dalam kedua-dua sektor. Sebanyak 18 buah negara menyediakan pavilion. Antaranya... Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, dan Itali. Malah, turut menampilkan penyertaan lima pasukan aerobatik terkemuka -- Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia, juga melibatkan 119 buah pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara. Paling memberangsangkan.. sehingga semalam, beberapa lagi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani untuk sektor pertahanan dan komersial, selaras edisi kali ini yang melibatkan dua kementerian, iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa). Ini menjadikan sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 bilion, berjaya dimuktamadkan; merangkumi 20 dokumen kontrak, 21 Surat Setuju Terima (LoA) dan dua Surat Niat (LoI). Ke semua persetujuan kontrak berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.", "(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tujuh, kanan) bergambar bersama tetamu pada majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara Aerostar Technologies (M) Sdn Bhd danUniKL MIAT) sempena LIMA'23/Foto Bernama)", "Pada masa sama, Kementerian Pertahanan mengumumkan beberapa perolehan aset pertahanan baharu untuk memperkukuhkan lagi ATM. Tentera Darat Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia masing-masing akan menerima tambahan aset pertahanan demi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula bakal menerima aset baharu bernilai RM4 juta, iaitu kenderaan Unit Pengawasan Bergerak - MSU. Ia dalam membantu meningkatkan operasi mencari dan menyelamat di laut. Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu (24 Mei 2023), ada melahirkan harapan agar LIMA ’23 mampu mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim. Menerusinya, perdana menteri berpandangan ia akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia. Seterusnya bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global $10 trilion menjelang 2030, di samping hubungan terjalin antara Malaysia dengan negara-negara yang menyertai LIMA sebelum ini kekal utuh. Terutamanya antara negara anggota ASEAN, Turkiye, Amerika Syarikat, Rusia dan Romania. Pasti, bagi acara sebesar itu aspek keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri. Matlamatnya hanya satu -- memastikan program berprestij tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan terbaik. Meskipun keadaan cuaca panas dan terik, penganjurannya sejak hari pertama, berlangsung dalam keadaan terkawal. Kehadiran pengunjung awam yang menggalakkan, di samping pengunjung perdagangan. Rata-ratanya tidak berganjak dan mengambil peluang menyaksikan demonstrasi persembahan pesawat pejuang daripada agensi-agensi pempamer yang hadir. Berbaki sehari lagi... LIMA 2023 mungkin sudah boleh disifatkan sebagai pencetus nafas baharu bagi industri maritim, dan aeroangkasa. Bukan sahaja platform terbaik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi efektif; sebaliknya, ia meliputi kemajuan teknologi dan pendidikan terkini serta peluang akademik dan kerjaya. PENULIS EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=60
10 cabaran belia merdeka
[ "Hari kemerdekaan akan  berulang. Mengingatkan kita kepada detik-detik perjuangan negara- bangsa. Menjanjikan kepada rakyat Malaysia hari ini erti kemakmuran sekiranya nilai-nilai penyatuan bangsa tersemat dalam sanubari kita.", "Nilai perpaduan rakyat teruji apabila perjuangan memburu kemerdekaan sekali lagi apabila kita terpaksa bertarung dengan pelbagai isu yang menggamit kehidupan anak-anak muda hari ini seperti cabaran menghadapi kos sara hidup yang tinggi, kekurangan penawaran pekerjaan dan tidak terkecuali menghadapi  wabak COVID-19 yang masih berluasa di negara ini.", "Perjuangan merempuh perjalanan kehidupan yang mencabar ini memerlukan satu pengorbanan teguh; semua rakyat negara ini bersatu hati dan prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan komuniti kita menghadapi dugaan-dugaan ini.", "Bagi golongan warga muda atau belia, perjuangan menghadapi \"peperangan kos sara hidup\" ini memerlukan satu pengorbanan besar, lebih-lebih lagi dianggarkan 30% daripada mereka telah kehilangan pekerjaan, terpaksa menanggung implikasi akibat kegawatan ekonomi.", "Segulung ijazah dari menara gading belum pasti akan menjamin pekerjaan anak-anak muda sekarang sekiranya mereka tidak mempunyai pengalaman kerja atau berkemahiran tinggi.", "Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  telah mengumumkan bahawa suara belia diperkasakan apabila golongan belia bakal diberi ruang lebih luas untuk menerajui politik, memimpin masyarakat dan bebas menyuarakan pandangan mereka dalam kerajaan.", "Tidak terkecuali sebelum itu, kita menyaksikan golongan belia ampuh apabila mereka diangkat menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, GLC dan organisasi swasta.", "Sepanjang PRU15, kita dapat menyaksikan  bagaimana kerajaan mengiktiraf peranan belia untuk memimpin kawasan-kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta menganggotai kabinet Kerajaan Madani.", "Ini menunjukkan bahawa belia merdeka hari ini sudah matang untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka untuk menyubur dan menyalurkan bakti kepada rakyat dan negara dengan cara tersendiri.", "Justeru, golongan belia di negara ini harus bangkit menanamkan keyakinan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berkhidmat dan menyumbang bakti kepada negara bangsa mahu pun di peringkat antarabangsa.", "(Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa, pada 22 Mei 2023/Foto hiasan FB KBS Malaysia)", "Sepuluh cabaran utama yang saya nyatakan ini adalah keutamaan untuk memperkasakan golongan belia untuk terus lebih maju memacu hala tuju dan masa depan negara serta generasi kita pada masa akan datang;", "Cabaran pertama ialah memupuk semangat patriotisme, kesetiaan dan kecintaan kepada negara. Belia perlu bersatu hati membina satu kefahaman yang meluas untuk memakmurkan kesejahteraan rakyat menerusi penghayatan terhadap Rukun Negara yang merupakan teras pembinaan warga negara Malaysia.", "Cabaran kedua ialah mencipta dan membangunkan budaya kepemimpinan yang berteraskan sifat tanggungjawab, peduli dan menghayati kebebasan yang dinikmati tanpa berperasangka sesama mereka yang disebabkan terlalu taksub dengan dunia materialisme hari ini.", "Cabaran ketiga ialah menyemarakkan semangat juang, berdikari dan mampu bersaing sesama mereka dengan mengukuhkan imej dan identiti positif baharu belia untuk menguasai cabaran mendatang.", "Sementara itu, cabaran keempat ialah belia harus bangkit membina platform terbaik untuk membolehkan mereka mendekati kerja-kerja kesukarelawanan sebagai balasan menyumbang bakti kepada negara. Ini akan meningkatkan tahap prihatin dan patriotisme belia kepada warga negaranya.", "Cabaran kelima pula ialah kerajaan menerusi agensi-agensinya perlu menyediakan lebih banyak strategi untuk membolehkan belia mengimbangi tuntutan globalisasi dan perubahan teknologi drastik dengan penguasaan ilmu yang tinggi.", "Belia harus berupaya untuk menterjemah keperluan teknologi hari ini dengan tuntutan sosial supaya apa yang mereka sumbangkan nanti dapat memenuhi wawasan negara untuk generasi hari ini dan akan datang.", "Cabaran keenam ialah belia perlu mengutamakan institusi keagamaan, kekeluargaan dan komuniti sebagai teras pendorong peradaban kelangsungan hidup.", "Cabaran ketujuh yang harus diutamakan golongan belia hari ini ialah membina penyatuan dinamik menerusi penglibatan dalam pertubuhan-pertubuhan sosial serta pemupukan semangat kerja yang produktif, progresif dan cemerlang.", "Sementara itu pula cabaran kelapan ialah melahirkan belia Malaysia sebagai ejen perhubungan komunikasi di pentas global menerusi penyertaan mereka dalam bidang-bidang profesional dan kesukanan.", "Cabaran sembilan ialah memastikan golongan belia berperanan memelihara warisan budaya, bangsa dan negara dengan menyemarakkan budaya ilmu dan ketamadunan bangsa kepada mereka tanpa mengira kaum.", "Akhir sekali cabaran kesepuluh ialah menjana peranan kerajaan dan masyarakat membentuk suasana kondusif dengan menyokong menyediakan kemahiran teknologi dan meningkatkan profesionalisme dalam jurusan-jurusan kerjaya yang diceburi.", "Belia harus dibimbing menjadi para teknokeusahawan yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat dunia bagi melestarikan kehidupan mereka mendepani cabaran-cabaran dan konflik mendatang.", "Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu ujian besar buat belia kita. Sekiranya masyarakat bersedia memahami dan menyokong peranan belia dalam mewarnai kehidupan di negara ini, sudah tentu kita akan berbangga mencipta anak-anak warisan yang menyumbang kepada kemartabatan bangsa dan kemakmuran negara. PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=61
Déjà vu atau fatamorgana?
[ "Sekali air bah sekali pantai berubah. Saudara, benarkah senario politik tanah air masih tidak berubah?", "PRU 15 sudah, pembentukan kerajaan pun sudah. Namun bagaikan keputusan pertandingan nyanyian dan lagu gubahan. Buat sekelian kalinya \"rumah siap, pahat berbunyi\".", "Lagu terbaik, vokal terbaik, persembahan terbaik, sudah pun diumumkan. Ucapan kemenangan disampaikan dengan penuh rasa syukur. Lazimnya ucapan dimulai dengan puji syukur kepada Yang Esa.", "Nama pihak yang banyak membantu, menjadi sebutan. Begitu juga insan tersayang, anak-anak, rakan taulan. Suasana bertambah meriah dengan sorakan penyokong yang sentiasa dekat di hati.", "Trofi kemenangan pun dijulang dengan rasa bangga dan puas. Hadiah wang tunai cukup lumayan. Akhirnya segala perit jerih pengorbanan, ternyata berbaloi. Begitulah gambaran suasana saat pemenang diumumkan.", "Baik dalam pertandingan nyanyian, mahupun pilihan raya. Nampak seakan serupa tapi tak sama.", "Dalam pertandingan nyanyian, ada pelbagai format. Selalunya kuasa pemutus diletak sepenuhnya di tangan juri. Ada juga yang turut memberi kuasa kepada undian dalam talian, dengan kadar pemberat atau 'weightage' tertentu.", "Keputusan yang diumumkan, adalah muktamad. Tiada tawar-menawar. Malah juri dan pengundi dalam talian sendiri tidak punya kuasa membatalkan atau mengubah keputusan.", "Pihak yang tidak berpuas hati boleh cuba mencabar, namun sebarang aduan tidak dilayan. Kepada peserta yang tewas, teruskan kerja keras anda. Cuba lagi tahun depan atau bila-bila saja pertandingan seterusnya diadakan.", "Bunyi 'pahat' yang mempersoalkan pemenang, kalau ada pun, cuma bertahan seminggu dua. Selepas tempoh bertenang, keadaan beransur reda. Perdebatan pun berakhir.", "Lain pula ceritanya dengan pilihan raya. Kuasa pemutus, milik mutlak pengundi berdaftar. Formatnya sama saja, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, peringkat parlimen atau negeri.", "Seperti yang kita sedia maklum, penggal pentadbiran sesebuah kerajaan pada umumnya selama lima tahun sebelum pemilihan seterusnya diadakan.", "Sama dengan rancangan lima tahun pembangunan Malaysia yang kita kenali sebagai Rancangan Malaysia. Ini sama sekali bukan kebetulan.", "Rancangan Malaysia atau nama lainnya Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) merupakan rancangan jangka sederhana. Fungsinya, menyokong perancangan jangka panjang. Ringkasnya, meletakkan segala pelaksanaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara pada landasan tepat.", "Dalam memastikan RMLT berjalan seperti dirancang, Kajian Separuh Penggal (KSP) diwujudkan bagi menyemak semula dapatan pencapaian sepanjang dua tahun pertama. Pelarasan strategi dibuat jika perlu.", "Seperti RMLT, Kerajaan Persekutuan dan negeri memerlukan masa yang cukup untuk malaksanakan dasar dan aspirasi negara. Perkara ini tidak mungkin dapat disempurnakan jika pertukaran 'pramatang' kerajaan terus berulang.", "Baru enam bulan Perdana Menteri Ke-10 (PMX) mentadbir negara, sudah ada agenda menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.", "Tidak seperti semua Perdana Menteri terdahulu, PMX terpaksa membentuk kerajaan yang dianggotai 19 parti politik daripada blok atau gabungan berbeza. Ini bukan kerja mudah. Namun saranan itu diterima penuh takzim.", "Kalau sebelum ini beliau cukup dikenali dengan slogan 'lawan tetap lawan'. Namun pendekatan itu dengan cepat diubah kepada 'dulu lawan sekarang kawan'.", "Kita perlu ingat, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Dalam menjunjung saranan Baginda, pintu dibuka kepada semua parti politik. Tidak ada yang terkecuali.", "Sayangnya salam perdamaian yang dihulur, ditolak mentah-mentah pihak tertentu. Ditambah pula dengan bayangan menjatuhkan kerajaan menggunakan kaedah yang dikatakan sah di sisi perundangan.", "Ada saja akal mereka. Entah langkah apa kali ni tidak pula dinyatakan. Persoalannya, adakah provokasi yang dibuat mempunyai asas? Benarkah ada wakil rakyat yang sedang giat berlatih acara lompat jauh, lompat tinggi atau lompat kijang?", "Berdasarkan keterbukaan yang dilihat dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, nampaknya persefahaman bertambah mantap.", "Naratif dan tumpuan pun lebih terarah kepada kepentingan rakyat. Termasuk soal pertumbuhan ekonomi, amalan tadbir urus yang baik dan agenda memerangi rasuah, salah guna kuasa, 'sakau-menyakau'.", "Realitinya, semua ini memerlukan kerajaan yang stabil. Kerajaan yang menikmati sokongan lebih dua pertiga, sesuatu yang dah amat jarang berlaku.", "Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, relakah kita menyaksikan episod pertukaran kerajaan sebelum waktunya, berterusan?", "PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM" ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=62
Strategi pupuk minat pelajar dalam bidang STEM
[ "SAUDARA PENGARANGPendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan elemen penting dalam usaha menyediakan pelajar untuk memenuhi kehendak masa hadapan, dan sering dianggap sebagai cara untuk meningkatkan daya saing sejagat sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, STEM merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan menerusi pelbagai pihak berkepentingan. Perdana Menteri Malaysia, dalam ucapannya pada sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2023, menyentuh bahawa minat terhadap bidang STEM semakin berkurangan dan mengarahkan Menteri Pendidikan untuk menubuhkan satu pasukan khas bertujuan mencari jalan untuk menyuntik minat pelajar-pelajar sekolah terhadap STEM terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar di desa dan dalam kategori B40.Menyemai minat dalam kalangan murid sekolah kepada bidang sains, matematik dan teknologi adalah penting untuk pembangunan pendidikan dan profesional mereka. Berikut ialah beberapa strategi yang boleh membantu memupuk minat dalam bidang ini:Eksperimen dan aktiviti hands-onMemberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam eksperimen dan aktiviti hands-on yang menggalakkan rasa ingin tahu dan minat dalam mencari penemuan baru. Pengalaman praktikal boleh mencetuskan minat dan menjadikan konsep yang abstrak kepada realiti dan menarik.Perkaitan dengan dunia sebenarTunjukkan perkaitan dunia sebenar sains, matematik dan teknologi dengan menghubungkan pembelajaran bilik darjah kepada aplikasi praktikal.Tunjukkan kepada pelajar bagaimana mata pelajaran ini penting dalam menyelesaikan masalah harian dan memperbaiki kehidupan kita.Role model dan mentorMemperkenalkan pelajar kepada role model dan mentor yang memberi inspirasi yang cemerlang dalam bidang sains, matematik dan teknologi.Penceramah jemputan, lawatan lapangan ke institusi penyelidikan atau syarikat, dan program bimbingan boleh mendedahkan pelajar kepada profesional yang berjaya yang boleh berkongsi pengalaman dan minat mereka untuk bidang ini.Pendekatan antara disiplinTerangkan sifat antara disiplin sains, matematik dan teknologi. Tunjukkan cara mata pelajaran ini berhubung dengan bidang lain, seperti kejuruteraan, perubatan, sains alam sekitar dan sains komputer. Galakkan pelajar untuk meneroka pertembungan dan peluang yang timbul daripada menggabungkan disiplin yang berbeza.Pembelajaran berasaskan projekLaksanakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek di mana pelajar boleh terlibat dalam projek dan penyelidikan secara langsung. Projek-projek ini boleh membolehkan pelajar meneroka minat mereka sendiri, menggunakan konsep saintifik dan matematik, dan membangunkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis.", "Penggunaan teknologi dan multimediaMenggabungkan teknologi dan sumber multimedia untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran.Gunakan simulasi interaktif, video-video berbentuk pendidikan, sumber dalam talian dan aplikasi pendidikan untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan boleh diakses.Kerjasama dan kerja berpasukanGalakkan pengalaman pembelajaran kolaboratif di mana pelajar boleh bekerjasama dalam kumpulan atau pasukan.", "Galakkan mereka untuk menyelesaikan masalah secara kolektif, berkongsi idea, dan belajar daripada kekuatan masing-masing.Kerjasama meningkatkan kemahiran komunikasi, memupuk kreativiti, dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong.Pertandingan dan cabaranLibatkan pelajar dalam pameran sains, pertandingan matematik, cabaran pengekodan, pertandingan robotik atau pertandingan lain yang berkaitan. Acara ini menyediakan platform untuk pelajar mempamerkan kemahiran mereka, menggunakan pengetahuan mereka, dan memupuk persaingan dan motivasi yang sihat.Penglibatan komunitiGalakkan pelajar untuk mengambil bahagian dalam kelab-kelab sains, persatuan-persatuan matematik atau inisiatif komuniti berkaitan teknologi.Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, projek komuniti, atau program outreach boleh meluaskan pendedahan mereka kepada aplikasi praktikal mata pelajaran ini dan menyemarakkan semangat mereka.Semangat dan sokongan guruGuru memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada minat pelajar dalam sains, matematik dan teknologi. Pendidik yang bersemangat dan bersungguh-bersungguh menyampaikan keterujaan mereka dan menunjukkan perkaitan praktikal mata pelajaran ini boleh memberi impak yang mendalam terhadap penglibatan dan motivasi pelajar.Mewujudkan minat dalam bidang ini memerlukan gabungan kaedah pengajaran yang menarik, pengalaman praktikal, pendedahan kepada aplikasi dunia sebenar dan peluang untuk penerokaan peribadi. Dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang memupuk dan merangsang, ia boleh memberi inspirasi serta motivasi kepada pelajar untuk mengejar sains, matematik dan teknologi dengan rasa ingin tahu dan semangat.PENULIS AHMAD YANI ISMAIL, Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=63
Pilihan Rakyat Turkiye: Erdogan atau Kilicdaroglu?
[ "KUALA LUMPUR, 14 Mei- Tidak syak lagi Pilihan Raya Turkiye pada Ahad, 14 Mei 2023 merupakan cabaran paling getir buat pengundi negara tersebut dalam membuat pilihan wakil rakyat Parlimen dan juga presiden untuk lima tahun akan datang. Getir kerana Turkiye baru beberapa bulan lepas melalui malapetaka gempa bumi yang menyaksikan 50,000 orang terkorban dan hampir 3 juta orang hilang tempat tinggal.Lebih mencabar keadaan ekonomi negara itu yang satu ketika dahulu menyaksikan kadar inflasi mencapai tahap sehingga 85 peratus yang mengakibatkan harga kos makanan meningkat 50 peratus. Keputusan pilihan raya terutama sekali pemilihan presiden bukan sahaja berkait politik dan demokrasi tetapi juga penentuan nasib masa hadapan mereka.Dalam memilih bakal presiden, hanya dua calon yang dianggap mempunyai harapan sama ada memperolehi undi melebihi 51 peratus ataupun sebagai calon pemilihan sekali lagi pada 28 Mei jika tiada yang berjaya melepasi perolehan undi 51 peratus. Ini adalah kerana peraturan pemilihan presiden ialah jika tiada calon memperolehi 51 peratus undi pada pengundian Ahad maka dua calon peroleh undi tertinggi terpaksa bertarung sekali lagi pada 28 Mei akan datang.Begitu juga parti yang ingin calon mereka turut serta dalam Pilihan Raya Presiden perlu memperolehi paling minimum 5 peratus daripada jumlah undi pilihan raya terdahulu iaitu pada 2018. Parti berkenaan perlu memperolehi sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan menyokong pencalonan tersebut.Peraturan ini dikenakan bagi memastikan calon yang berwibawa dan mempunyai sokongan dibenarkan bertanding.Presiden, Reccip Tayyip Erdogan menawarkan diri sekali lagi sebagai wakil calon presiden untuk Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), dianggap sebagai salah satu calon ke hadapan berbanding calon lain.Erdogan, 69 tahun dianggap sebagai pemimpin Turkiye paling lama memerintah negara tersebut sejak mula dilantik sebagai presiden pada 2014. Sebelum dilantik presiden, Erdogan ialah perdana menteri dari 2003.Paling menarik ialah dasar ekonomi Erdogan yang dilabel sebagai ‘Erdoganamics’.Jika kebanyakan bank pusat negara lain menggubal dasar monetari untuk mengawal kadar inflasi dengan mengenakan kadar faedah tinggi, Erdogan pula mengarahkan Bank Pusat Turkiye melakukan sebaliknya.Pencabar terdekat dan terkuat Erdogan ialah Kemal Kilicdaroglu dari Parti Rakyat Republikan (CHP) dan dikenali sebagai Ghandi Kemal dalam kalangan rakyat dan media Turkiye.Kilicdaroglu dianggap sebagai pencabar yang mampu menewaskan Erdogan kerana disokong gabungan enam parti pembangkang dibawah nama Pakatan Nasional yang selama ini berpecah. Paling kritikal, gabungan ini terdiri daripada parti pro-Kurdish yang secara lazim dalam setiap pilihan raya mampu meraih 10 peratus jumlah undi.Gaya kepimpinan kedua-dua bakal presiden ini berbeza yang mana Erdogan adalah lantang menyuarakan pendapat sama ada melibatkan politik tempatan atau geopolitik antarabangsa.Erdogan juga berani membuat keputusan menongkah arus tidak kira hal ekonomi seperti strategi menangani inflasi, perang Ukraine dan juga hal keahlian NATO terutama berkait Sweden.Manakala Kilicdaroglu pula tidak begitu lantang seperti mana Erdogan dan mempunyai dasar bertentangan seperti mahu mengembalikan autonomi Bank Pusat Turkiye dalam menentukan strategi tangani inflasi. Malah Kilicdaroglu berjanji akan mengembalikan sistem kerajaan berparlimen yang dihapuskan Erdogan pada 2016 kerana pada ketika ini institusi presiden dan bukannya parlimen mempunyai kuasa yang amat luas.Pilihan pengundi Turkiye adalah antara Erdogan dan Kilicdaroglu.Kilicdaroglu juga berjanji akan memulihkan hubungan Turkiye dengan Kesatuan Eropah (EU) demi mengembalikan keyakinan pelabur dari negara Eropah yang telah hilang kepercayaan akibat campur tangan Erdogan yang melampaui dalam hal penggubalan dasar ekonomi.Dalam hal Perang Ukraine pula, Erdogan mahu menjadi perantara antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.Kilicdaroglu pula jika dilantik presiden akan membawa Turkiye lebih rapat dengan NATO.Pilihan Pengundi Turkiye membabitkan 64 juta orang pasti akan membawa perubahan dalam hal ekonomi, demokrasi dan juga dasar luar negara Turkiye yang dianggap begitu berpengaruh dalam kalangan negara Islam. Seperti mana yang telah tercetus di negara lain pengundi muda dan juga pengundi pertama kali seramai 6 juta orang bakal menentukan siapakah presiden Turkiye.Jika diperhati jumlah pengundi Turkiye yang berada di 73 negara asing, seramai 1.8 juta orang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi, jumlah ini adalah paling terbesar dalam sejarah Pilihan Raya Turkiye, maka besar kemungkinan peratus keluar mengundi Ahad ini akan melepasi 85 peratus.Erdogan dan Kilicdaroglu telah mempamerkan strategi kempen yang berlainan untuk digunakan bagi menarik pengundi muda. Erdogan dihormati masyarakat antarabangsa terutama dalam hal pertahanan dan geopolitik global. Manakala Kilicdaroglu pula menabur janji kebebasan bersuara akan dikembalikan sebagai tarikan pengundi muda.Pengundi muda cenderung memilih Erdogan kerana seorang yang berani terutama ketika beliau membatalkan larangan memakai tudung di universiti dan pejabat kerajaan. Kritikalnya isu kebebasan terutama sekali wanita kerana kumpulan ini merangkumi 51 peratus daripada jumlah pengundi. Tetapi keputusan Erdogan menarik Turkiye keluar daripada Konvensyen Istanbul yang antara lain bertujuan melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga dianggap sebagai pemangkin negatif dalam kalangan pengundi wanita.Larangan bertudung di universiti dan pejabat kerajaan yang dibatalkan Erdogan adalah keputusan popular dalam kalangan pengundi wanita.Walaupun rakyat Turkiye begitu teruja untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Ahad, banyak rintangan terpaksa dilalui yang mungkin boleh mencacatkan proses demokrasi negara tersebut. Daripada sejumlah 3 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi pada Februari lepas, hanya 133,000 daripada mereka ini yang telah pulang dan angka ini sudah pasti membantutkan jumlah peratus keluar mengundi. Menjadi kebimbangan AKP kerana sebahagian besar kumpulan yang terjejas akibat gempa bumi ini adalah penyokong setia Erdogan.Pertembungan antara Erdogan dan Kilicdaroglu dianggap menarik kerana AKP yang mendukung Erdogan dianggap parti berakar umbi Islam sementara Kilicdaroglu disokong CHP pula adalah parti diasaskan Mustapa Kamal Atartuk yang berideologi sekular.Menarik juga jika dianalogikan pertembungan Erdogan dan Kilicdaroglu adalah bagai pertembungan Biden dan Trump untuk pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 jika hendak dikaitkan dengan hal Perang Ukraine.Ini adalah kerana Trump lebih cenderung akrab dengan Rusia sepertimana Erdogan sementara Biden pula adalah tonggak NATO menyokong Ukraine sepertimana prinsip dasar luar Kilicdaroglu.Sebab itu juga ada desas desus tuduhan bibit-bibit campur tangan Washington dan Kremlin menjelang Pilihan Raya Turkiye apabila Duta AS ke Turkiye, Jeff Flake dituduh mempamerkan sokongan terhadap Kilicdaroglu. Begitu juga apabila salah seorang calon presiden iaitu Muharrem Ince menarik diri di saat akhir akibat kesan khabar angin negatif yang berpunca dari Kremlin. Walau bagaimanapun kita berharap rakyat Turkiye mampu membuat keputusan secara bebas demi kepentingan Turkiye dan bukan kepentingan negara lain.", "PENULIS PROF DR. AZMI HASSAN, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=64
Pendidikan berasaskan agama dan pelaksanaanya
[ "Sistem pendidikan arus perdana dunia masa kini tidak mengiktiraf agama sebagai asas pendidikan berdasarkan saranan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). UNESCO tidak mengiktiraf agama sebagai asas kepada pendidikan kerana ia merupakan organisasi sekular yang mempromosikan pendidikan berdasarkan prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, dan tanpa diskriminasi.", "Bagaimanapun UNESCO mengiktiraf kepentingan kepelbagaian agama dan budaya dalam pendidikan tetapi menyokong pendidikan yang berasaskan prinsip saintifik, sosial dan kemanusiaan berbanding kepercayaan agama atau ideologi.", "Tambahan pula, UNESCO menekankan kepentingan menghormati hak asasi manusia, termasuk hak kebebasan berfikir, dan agama. Ini bermakna, menurut UNESCO, pendidikan tidak seharusnya memaksakan apa-apa kepercayaan agama atau ideologi tertentu kepada pelajar tetapi harus menghormati hak dan kepercayaan individu mereka.", "Malaysia sebagai negara anggota UNESCO menerima pakai banyak dasar dan prinsip serta cadangan UNESCO dalam dasar pendidikannya.  Malaysia telah bekerjasama rapat dengan UNESCO dalam pelbagai bidang, termasuk menggalakkan pendidikan inklusif dan saksama, peningkatan kualiti pendidikan, dan kemajuan prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan gender, dan pembangunan mampan.", "Khususnya, Malaysia telah bekerjasama dengan UNESCO untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) yang bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.", "Malaysia juga telah melaksanakan program Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) UNESCO, bertujuan untuk mengintegrasikan prinsip pembangunan mampan ke dalam semua peringkat pendidikan.", "Secara keseluruhannya, Malaysia mengiktiraf kepentingan prinsip dan syor UNESCO dalam membentuk dasar pendidikannya dan telah berusaha secara aktif untuk melaksanakannya dalam sistem pendidikan negaranya.", "Malaysia pada dasarnya adalah sebuah negara yang berpegang teguh kepada agama sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu prinsip pertama “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, bangsa dan agama berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara. Perlembagaan Malaysia juga mengiktiraf agama Islam sebagai agaman rasmi negara. Berbanding dengan negara Amerika Syarikat di mana agama tidak dinyatakan dalam First Amendment dan kerajaan Amerika Syarikat tidak boleh mengiktiraf mana-mana agama.", "Bagaimanapun, kerajaan Amerika Syarikat boleh membantu mana-mana agama hanya jika tujuan utama bantuan adalah sekular dan bantuan itu tidak boleh mempromosikan atau menghalang agama-agama tersebut.", "Maka selayaknya sistem pendidikan Malaysia adalah berasaskan agama-agama yang wujud di Malaysia dan mengutamakan agama Islam sebagai asas pendidikan. Pelaksanaannya perlulah mengambil kira apa yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia. Kita boleh mengambil kira saranan UNESCO tetapi dalam masa yang sama kita perlu ada sistem pendidikan acuan kita sendiri yang berasaskan agama mengikut konteks Malaysia.", "Pendidikan berasaskan agama merujuk kepada jenis pendidikan yang menjadikan agama sebagai integral bagi semua matapelajaran dan bukan mengintegrasikan kepercayaan dan amalan agama ke dalam kurikulum.", "Dalam pendidikan berteraskan agama, ajaran agama sering dimasukkan ke dalam mata pelajaran yang diajar di sekolah, seperti sejarah, sastera, dan sains. Pelajar juga mungkin dikehendaki mengikuti kelas pengajian agama, atau mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan. Pendidikan berasaskan agama menyediakan asas moral yang kukuh dan membantu menyemai nilai-nilai seperti hormat-menghormati, belas kasihan, dan merendah diri.", "Falsafah dan sistem pendidikan Islam bertujuan untuk menzahirkan kebertanggungjawaban (Al-Mas’uliyyah), ikutan yang baik (Al-Qudwah Al-Hasanah) dan suasana persekitaran yang salih (Al-Bi’ah Al-Solehah) yang berasaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah SWT berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah serta pengalaman ilmuwan yang muktabar.", "Kelangsungan sistem pendidikan Islam diseimbangkan melalui empat elemen insan iaitu rohani, aqal, jasmani dan emosi. Melalui tarbiyyah Qur’aniyyah tersebut maka lahirlah insan Bani Adam yang mempunyai ilmu, iman dan akhlaq mulia serta menzahirkan tanggungjawabnya kepada agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.  ", "Sistem pendidikan ini bersifat syumul dan berterusan dan menekankan kepada pembentukan insan yang beradab secara fitrah, berpaksikan al-Quran dan al-sunnah serta mempunyai kepakaran profesional dalam pelbagai bidang ilmu.", "Melalui pendidikan dan penghayatan ilmu dengan kasih sayang dalam persekitaran (al-bi’ah al-solehah) akan membantu  membentuk insan  ‘organic’ dan ’emergent.’  Pembentukan insan secara ‘organic’ bermaksud membentuk insan secara menyeluruh, integral dan bukan secara terpisah.", "Al-bi’ah al-solehah akan mengetepikan faktor-faktor negatif yang menjadi penghalang kepada perkembangan mental dan spiritual remaja muslim.  Pendidikan yang terbentuk dan terbina dari sistem ini akan bersifat integral dan membentuk insan ta’dibi yang berkebolehan untuk memimpin ke arah kebaikan.", "Hakikatnya dalam Islam, pendidikan sebenar wajib meletakkan teras tauhid sebagai paksi. Matlamat pendidikan dalam Islam yang sebenar adalah untuk membina insan yang berperanan sebagai khalifah dalam mentadbir alam. Justeru, pembinaan dan pembentukan adab dan sahsiah pelajar merupakan elemen terpenting untuk dibangunkan dalam sistem pendidikan dan menjadi teras sebelum menggarap ilmu-ilmu lain.", "Sekularisme, yang dipegang oleh UNESCO dan negara-negara lain, yang mencipta tamadun tanpa tuhan telah membawa bencana desakralisasi-dehumanisasi (desacrelization- dehumanization) secara besar-besaran.", "Ideologi utamanya ialah untuk membebaskan manusia dari nilai-nilai keagamaan dan metafizikal seterusnya menyisihkan agama dari aspek kehidupan insan. Tamadun kebendaan yang hedonistik, permisif, rakus dan boros telah mentransformasikan insan menjadi manusia haiwan atau manusia robot.", "Ternyata dunia yang sedang dilanda krisis ketamadunan memang memerlukan juru selamat berupa agama yang mampu mengembalikan keinsanan secara utuh, jasmani-rohani-spiritual. Ketika ini memang banyak tanda-tanda kehausan insan kepada kehidupan rohaniah. Persoalan di sekitar spritualiti sudah mula banyak diwacanakan di pelbagai ranah.", "Kemunculan istilah-istilah seperti spiritual capital, spiritual entrepreneur dan lain-lain sepertinya adalah petanda jelas tentang wujudnya kerohanian yang didambakan. Yang pasti, akan ramai yang terjebak dalam ilusi dan kebingungan rohaniah apabila pencariannya dilakukan di luar agama.", "Kesan dan akibat dari kerosakan nilai adab dalam pendidikan kini amat menular dirasai oleh dunia, khususnya barat. Ketika dunia korporat digegarkan oleh pelbagai skandal penyelewengan, korupsi, rasuah dan lain-lain seperti yang terjadi terhadap Volkswagen (2005), Dietmar (2005), Goodin (2011), Freddie Mac dan Fannie Mae (2003-2004), Healthsouth (2003), Martha Stewart (2002), Merill Lynch (2002),  Tyco International (2002), Worldcom (2002), XEROX (2002), ENRON (2001) dan Erome Kerviel (2008), antara pertanyaan semerta yang muncul ialah tentang apa ertinya ijazah dan kelulusan yang dimiliki oleh para pelaku skandal penipuan tersebut? Apa pula ertinya matapelajaran Etika Perniagaan yang diajarkan hampir di seluruh sekolah perniagaan di dunia?", "Di Malaysia juga skandal rasuah dan salah guna kuasa seperti 1MDB, Tabung Haji dan FELDA telah menggegarkan dunia dan merupakan sejarah hitam Malaysia. Sudah tiba masanya, sistem pendidikan negara di rombak dengan menjadikan pendidikan agama sebagai asas sistem pendidikan Malaysia. Kita semua adalah hasil daripada sistem pendidikan, sama ada dalam negara atau luar negara. Sistem pendidikan di sini termasuklah yang formal, tidak formal dan non-formal.", "Pendidikan formal merujuk kepada pengajaran yang berlaku di sekolah dan institusi pengajian tinggi, mengikut kurikulum dan pedagogi rasmi. Pendidikan tidak formal berlaku di luar persekitaran bilik darjah pembelajaran tradisional dan terdiri daripada program pendidikan yang terancang dan tersusun manakala pendidikan non-formal ialah tidak mempunyai program atau kurikulum yang tersusun dan piawai.", "Ada pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi: \"It takes a village to raise a child”.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL, Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=65
COVID-19: Darurat global tamat, sudah selamatkan kita?
[ "Lega, namun tetap perlu waspada. Itu reaksi kebanyakkan pihak apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) mengisytiharkan bahawa COVID-19 bukan lagi darurat kesihatan global.", "Tetapi, dengan pengumuman itu, adakah kita sudah benar-benar selamat daripada virus tersebut? Dalam tempoh lebih tiga tahun penularan COVID-19, banyak sungguh pengorbanan yang dituntut.", "Kemuncak penularan wabak pada Mac 2020, telah membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP). Keadaan semasa itu seperti darurat. Agaknya itulah yang dialami oleh nenek moyang kita masa zaman darurat menentang komunis pada era 1940-an.", "Bezanya, zaman itu, mereka berperang dengan pengkhianat negara. Kita pula berperang dengan musuh yang tidak nampak dengan mata kasar. Kebebasan kita benar-benar terbatas.", "Tidak boleh ke mana-mana, hanya kekal di rumah. Masa itu, aktiviti makan, tidur amatlah popular.", "Dek kerana aktiviti yang terbatas, ramai juga mula asah bakat memasak. Macam-macam resepi unik muncul seperti Dalgona Coffee, lemang cawan, apam balik kuali hingga ke kek periuk nasi.", "Malah, ada satu masa, negara turut gempar dengan kehabisan roti Gardenia di pasaran. Selepas tu kita lalui pula PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).", "Bermula dengan pelaksanaan selama dua minggu, fasa PKP, PKPB, PKPP dan PKPD akhirnya berlanjutan sehingga dua tahun.", "Hingga kita terbiasa dengan norma baharu yang memerlukan kita mematuhi Prosedur Operasi Standard, (SOP) membendung penularan wabak COVID-19.", "(Ghebreyesus, ketika mengumumkan COVID-19 tidak lagi merupakan darurat kesihatan global pada 5 Mei 2023/AFP)", "Berbalik kepada status darurat kesihatan global, Jawatankuasa Kecemasan WHO pertama kali mengisytiharkan COVID-19 sebagai tahap amaran tertinggi bermula 30 Januari 2020.", "Status itu membantu menumpukan perhatian antarabangsa kepada ancaman kesihatan, serta mengukuhkan kerjasama berkait pemberian vaksin dan rawatan.", "Ketika mengumumkan penamatannya tempoh hari, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, keputusan itu dipertimbangkan dengan teliti oleh panel pakar WHO sejak sekian lama.", "Malah, ia dibuat berdasarkan analisis data yang terperinci. Namun, ini tidak bermakna bahaya virus korona itu, telah berakhir.", "Beliau memberi amaran bahawa COVID-19 kekal sebagai ancaman besar. Menurut Ghebreyesus, status darurat tersebut boleh diaktifkan semula jika keadaan berubah menjadi buruk.", "China juga senada dengan WHO. Ketua panel pakar tindak balas COVID-19 China, Liang Wannian berkata, penamatan status amaran tertinggi itu, tidak bermakna COVID-19 akan hilang. Cuma, impaknya boleh dikawal dengan berkesan.", "Hakikatnya, COVID-19 masih merupakan sejenis virus yang membunuh dan terus bermutasi. Dalam tempoh lebih tiga tahun penularannya, ia meragut hampir 7-juta nyawa di seluruh dunia.", "Di Malaysia sendiri, 37,038 orang terkorban, berdasarkan data KKMNOW setakat semalam. Lebih 5.04-juta pula dijangkiti.", "Meski ramai yang telah mendapat suntikan vaksin COVID-19, kita tidak boleh menganggap vaksinasi sebagai ‘pasport imuniti.’ Masyarakat, tiada pilihan selain perlu kekal mematuhi SOP.", "Selama lebih tiga tahun kita hidup dengan norma baharu. Jadi, sepatutnya tidak jadi masalah pun untuk kita meneruskan amalan 3S dan 3W. \"Alah bisa tegal biasa\"", "Justeru, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus mengekalkan S-O-P COVID-19, wajar. Walaupun status darurat kesihatan global telah ditamatkan, kerajaan perlu memastikan kesiapsiagaan kesihatan awam berada pada tahap terbaik.", "Dari segi sumber manusia, kemudahan, keupayaan serta kebolehdapatan kemudahan fasiliti kesihatan. Selain, peruntukan kewangan dan perubatan mencukupi.", "Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, Jawatankuasa Teknikal memberi pandangan kepada KKM untuk terus mengekalkan SOP yang ada ketika ini. Termasuk di kawasan tempat jangkitan, yang sepatutnya berakhir hujung Jun depan.", "Bagaimanapun, KKM menerusi Jawatankuasa Teknikal akan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai perkara itu. Pokok pangkal, semua pihak perlu sabar dan bertenang.", "Tidak perlu terburu-buru untuk kembali kepada amalan lama dalam kehidupan seharian kita. \"Biar lambat, asal selamat\". Kalau keadaan kembali memburuk, kita juga yang akan merana.", "Cuba tanya diri sendiri.. sanggupkah kita melalui episod PKP lagi pada masa hadapan? Tepuk dada, tanyalah hati sendiri.", "PENULIS EMMI NORALIZA ADNAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=66
Negara hilang RM4.5 trilion dalam 26 tahun akibat ketirisan
[ "Membuat anggaran kesan sebenar rasuah kepada masyarakat adalah tugas yang berat dan sukar, kerana kesannya yang mendalam, luas dan sistematik ke atas pelbagai sudut sosioekonomi sesebuah negara. Bagaimanapun, anggaran konservatif sudah dapat memberi gambaran yang membuka mata dan menggegarkan jiwa.", "Sebagai salah satu cara untuk menganggarkan kerugian kewangan akibat rasuah dan ketirisan, EMIR Research menggunakan pendekatan serupa dengan kajian Dreher, Kotsogiannis dan McCorriston pada tahun 2007.", "Dreher bersama rakan sekerjanya menggunakan model persamaan struktur (structural equation modelling) untuk membina indeks rasuah kardinal (nombor yang menyatakan kuantiti) untuk kira-kira 100 negara dan akhirnya mengira ukuran kerugian akibat rasuah sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.", "Pertama, rasuah dianggap sebagai pembolehubah tersirat/tertutup (tidak boleh diperhatikan), dan para penyelidik mendapat ukurannya (indeks rasuah kardinal) dengan membuat model yang menghubungkan antara pembolehubah tersirat ini dengan punca dan penunjuk yang boleh diperhatikan (contohnya, KDNK per kapita; sekatan kawalan modal; pembangunan kewangan melalui proksi kredit swasta sebagai bahagian KDNK; dan penggunaan simen bagi mengambil kira projek di mana skop/potensi rasuah adalah tinggi).", "Kemudian, dengan menanda aras indeks kepada anggaran kerugian akibat rasuah daripada sumber luar (kos penubuhan perniagaan baru sebagai peratusan KDNK per kapita), kumpulan penyelidik ini dapat memperoleh nilai bagi setiap negara dari segi kerugian sebagai peratusan KDNK per kapita yang timbul akibat rasuah.", "EMIR Research menggunakan teknik pemodelan Rasch yang lebih ketat berbanding model persamaan struktur, untuk menukar beberapa petunjuk tahap rasuah yang diiktiraf di peringkat global, seperti Indeks Persepsi Rasuah, Indeks Kawalan Rasuah dan lain-lain (lihat Rajah 1 untuk butiran), menjadi ukuran rasuah yang linear, seperti indeks rasuah kardinal dalam kajian oleh Dreher et al.", "Seterusnya, EMIR Research menanda aras ukuran rasuah yang diterbitkan oleh Rasch ini terhadap anggaran kerugian yang dilaporkan secara terbuka berkaitan rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK bagi 65 negara dari tahun 1996-2022 (Rajah 1).", "Rajah 1 menunjukkan hubungan yang sangat jelas (log-linear) di mana kesan (kos) rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK meningkat dengan cepat apabila tahap rasuah negara meningkat.", "Garis regresi (regression line) dalam Rajah 1 boleh menganggarkan kos rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK untuk tahun dan negara tertentu, dengan mengetahui ukuran rasuah terbitan Rasch, yang telah dikira oleh EMIR Research seperti yang dijelaskan di atas.", "Data atau sumber maklumat lain yang dilaporkan secara umum atau terbuka mengenai rasuah, khususnya di Malaysia turut boleh digunakan.", "Seperti yang dilaporkan dalam \"Program Transformasi Kerajaan\" dibawah pentadbiran Najib Razak pada 2010, purata rasuah di Malaysia adalah sekitar 1% hingga 2% daripada KDNK atau RM10 bilion setahun berbanding tahun-tahun sebelumnya.", "Angka ini nampaknya amat jauh di bawah kos purata rasuah global dalam peratusan anggaran KDNK dalam Rajah 1, iaitu kira-kira hanya 10%, manakala, pada masa yang sama, berdasarkan anggaran EMIR Research menggunakan teknik Rasch, Malaysia berlegar di sekitar tahap rasuah purata global sepanjang tempoh dari 2000 hingga 2010 (rujuk Rajah 2).", "Selain itu, kajian oleh Dreher dan rakan sekerja melaporkan angka lebih ketara bagi kesan (kos) rasuah kepada ekonomi Malaysia sepanjang tahun 1980–1997.", "Menurut anggaran mereka, kos rasuah Malaysia, yang dinyatakan sebagai peratusan KDNK per kapita, sepanjang 1980–1997 kekal pada kira-kira 48%. Sebagai perbandingan, di negara paling kurang rasuah dalam senarai seperti Norway dan Denmark, dalam tempoh yang sama kos rasuah masing-masing berkurangan daripada 32.44% dan 29.78% pada tahun 1980, kepada 11.2% dan 11.92%, dalam 1997 (Jadual 1).", "Namun, walaupun angka 2% yang dicatatkan Malaysia ketika awal tahun 2000-an kelihatan dipandang remeh (anggaran yang rendah), marilah kita tetap gunakan data ini sebagai angka yang dilaporkan secara umum.", "Oleh itu, EMIR Research mengandaikan bahawa bermula dari tahun 1997 hingga 2010, Malaysia telah mengalami kerugian ekonomi mencecah 2% daripada KDNK akibat rasuah, memandangkan anggaran yang lebih rendah ini.", "Data lain yang dilaporkan secara terbuka ialah oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dan Bank Dunia. Menurut anggaran TI-M dan Bank Dunia, Malaysia kehilangan hampir 4% daripada KDNK setiap tahun sejak 2013 disebabkan amalan rasuah dan korupsi.", "Peningkatan daripada 2% pada tahun 2010 kepada 4% pada tahun 2013 menandakan peningkatan tahunan sebanyak 26%. Oleh itu, rasuah pada tahun 2011 ialah 2.25% dan pada 2012 ialah 3.17% (Jadual 2); memandangkan rasuah dalam jumlah yang besar telah ditemui bawah pentadbiran Najib Razak dan juga baru-baru ini, dinamik pertumbuhan tahunan sebanyak 26% ini dipercayai akan berterusan walaupun pada kadar lebih rendah pada tahun-tahun akan datang.", "Menariknya, angka pertumbuhan 26% ini bertepatan dengan laporan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC). Laporan PwC pada tahun 2016 menunjukkan kegiatan sogokan dan rasuah di kalangan syarikat swasta di Malaysia meningkat daripada 19% pada tahun 2014 kepada 30% pada tahun 2016, di mana ia sekali lagi menunjukkan kenaikan tahunan sebanyak 25.7%.", "Dengan menggabungkan semua angka ini (Jadual 2), kita boleh menganggarkan keseluruhan kesan (kos) terhadap ekonomi Malaysia akibat rasuah sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu ialah sebanyak RM2.3 trilion.", "Lebih menarik lagi, angka hampir sama, iaitu RM2.2 trilion (Jadual 3), dapat diperolehi menggunakan kaedah penanda aras berdasarkan data berkaitan rasuah di peringkat global (rujuk semula Rajah 1).", "Sememangnya, data global seperti yang yang dilaporkan oleh pihak berkuasa kerajaan juga merupakan anggaran yang sangat konservatif.", "Jumlah angka kerugian kewangan masih boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan, yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta.", "Perbelanjaan kerajaan yang produktif mewujudkan aktiviti ekonomi yang produktif merentasi industri, meningkatkan pendapatan pekerja dalam pelbagai sektor ekonomi dan kesan gandaan merentasi sektor-sektor ekonomi.", "Bagaimanapun, penyelewengan dana awam melalui ketirisan dan rasuah tidak akan menyebabkan penyebaran rangsangan ekonomi yang meluas ini, sekali gus menyebabkan pertambahan kos melepas kepada rakyat.", "Pengganda pelaburan biasanya lebih besar daripada 1. Namun, kekal konsisten mematuhi garis anggaran yang sangat konservatif, setiap RM1 daripada anggaran kerugian melebihi RM2.2 trilion – RM2.3 trilion mungkin mengakibatkan sekurang-kurangnya RM1 tambahan kos melepas menjadikan jumlah keseluruhan yang luar biasa iaitu RM4.5 trilion sepanjang tempoh 26 tahun. ", "Namun begitu, kita perlu ingat bahawa semua ini hanyalah anggaran yang amat konservatif!", "Tambahan lagi, banyak kesan atau kos rasuah dan ketirisan tidak langsung yang tidak dapat diukur dan tidak dapat dikesan, kerana rasuah telah memusnahkan pelbagai hubungan utama yang diperlukan untuk pembangunan yang aman dan harmoni – ia menjejaskan ikatan yang menyatukan rakyat.", "Ia sering menjadi punca politik yang tidak berfungsi dengan sempurna dan perpecahan sosial.", "Rasuah juga menjadikan negara terdedah dengan neokolonisasi dan eksploitasi dan berpotensi besar kehilangan kelebihan daya saing di peringkat global. Ini mengurangkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing, terutamanya yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan aktiviti ekonomi, manakala pelaburan asing yang bersifat eksploitasi akan kekal berkembang dengan rasuah di tahap yang tinggi.", "Menerusi perubahan mundur dalam keutamaan perbelanjaan, rasuah menjejaskan keupayaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.", "Pendek kata, rasuah adalah akar umbi kepada kegagalan bersama sebagai sebuah masyarakat.", "Inilah sebabnya, di sebalik kekayaan negara melalui sumber minyak, gas, minyak sawit, getah, kayu balak, pertanian dan pelbagai lagi, Malaysia tidak dapat bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini yang kurang dengan sumber aslinya.", "Tidak lupa juga Malaysia yang jauh dilindungi daripada bencana alam berbanding negara-negara lain. Pembentukan Malaysia sudah dilandasan kejayaan. Hanya manusia, iaitu kepimpinan boleh memberi kesan mendalam kepada “DNA” semulajadi Malaysia untuk berjaya. ", "Kekayaan sumber adalah sesuatu yang nampaknya sentiasa memberi ilusi kepada pemimpin yang kurang bijak bahawa mereka seolah-olah mentadbir negara dengan baik. Negara masih teguh berdiri walaupun dengan tadbir urus yang teruk dan pembaziran sumber yang berterusan. Namun, adakah Malaysia masih dapat terus mengalir keluar darahnya tanpa kesan?", "Malaysia boleh menjadi makmur tanpa sebarang hutang dan/atau pinjaman jika kita mengambil kira hutang dan liabiliti negara yang diisytiharkan berjumlah RM1.5 trilion (hampir 80% daripada KDNK menjelang akhir tahun 2022) dan anggaran kerugian secara konservatif akibat rasuah dan ketirisan sepanjang 26 tahun berjumlah RM4.5 trilion.", "Kita mesti ingat bahawa walaupun sumber asli seperti minyak dan gas adalah terhad, perbelanjaan kerajaan yang diperlukan kerajaan untuk pertumbuhan negara akan sentiasa meningkat. Ini telah memaksa beberapa negara di Timur Tengah, sebagai contoh, untuk mempertimbangkan pengurangan pergantungan mereka kepada minyak dan gas dengan mempelbagaikan ekonomi mereka melalui transformasi digital yang berkesan.", "Marilah kita berfikir sejenak apa yang boleh dilakukan untuk rakyat dan negara dengan RM4.5 trilion (meskipun anggaran yang konservatif) yang telah lenyap ini?", "PENULIS DR RAIS HUSSIN ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=67
Pengawalseliaan kendiri era media baharu
[ "Dunia hari ini menyaksikan kandungan maklumat menguasai kebanyakan apa yang kita rancang dan laksanakan dalam pemikiran dan perbuatan kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa teknologi maklumat telah berjaya merubah pemikiran masyarakat dengan menampilkan pelbagai isu dan penerokaan ilmu baru dari semasa ke semasa.", "Rangkaian maklumat ini adalah sebenarnya hasil \"penjajahan minda\" yang terbesar dalam kalangan pengguna siber dan masyarakat dunia. Ia berpunca daripada agenda negara-negara barat yang berniat untuk memperluaskan pemikiran budaya yang mencerap pengertian kebebasan manusia berkomunikasi antara satu sama lain.", "Namun begitu, dalam kerancakan menikmati teknologi pantas dan canggih tersebut, sering kali para pengguna Dunia Siber ini terlupa bahawa mereka terjebak dalam lambakan kandungan maklumat siber yang boleh memberi implikasi positif atau sebaliknya kepada mereka.", "Sumbangan positif boleh dilihat daripada segi percambahan idea-idea baharu, rangkaian ilmu pengetahuan yang bernilai infiniti atau tidak berpenghujung dan membina hubungan komunikasi yang mantap tanpa sempadan.", "Sebaliknya, lambakan kandungan maklumat ini akan mengundang pelbagai masalah psikologi, emosi dan gangguan kepada peinsip kehidupan seperti masalah ketagihan internet, kemurungan individu, kecelaruan identiti akibat tidak dapat membezakan di antara kehidupan realiti dan penyamaran dunia virtual serta jenayah siber.", "Dalam hal ini, kita terpaksa menghadapi pelbagai implikasi negatif yang \"menyerang\" rentak pemikiran masyarakat kita apabila kebanyakan daripada masyarakat kita terpedaya dengan anasir-anasir jenayah yang berpunca daripada penyalahgunaan kandungan siber.", "Banyak negara maju pada masa kini sedang mengkaji mekanisme untuk mengawal pengaruh negatif kandungan maklumat siber yang banyak mendatangkan kerosakan di negara-negara mereka. Selain daripada penguatkuasaan regulasi dan peraturan, mereka mencuba pendekatan berbeza, iaitu memberi pendidikan kesedaran kepada masyarakat untuk menapis kandungan maklumat tersebut berpandukan kepada kematangan dan rasional fikiran masyarakat.", "Dengan kaedah sedemikian, masyarakat menjadi agen penting dalam menentukan tapisan penerimaan lambakan maklumat yang diperolehi mereka setiap masa. Dalam konteks Malaysia, sejak internet bertapak di negara kita pada akhir 1996 lagi, pelbagai cabaran dihadapi oleh kerajaan dan pengguna teknologi ini, telah mengundang penggubalan Undang-undang Siber pada tahun 1998 di negara ini.", "Salah satu akta yang menjadi teras kepada Undang-undang siber itu ialah Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588). Akta ini menunjukkan sikap proaktif kerajaan untuk mengadapi gelombang teknologi maklumat yang pantas dan berupaya memberi ancaman kepada dunia kehidupan masyarakat Malaysia sekiranya tidak dibendung.", "Sikap optimistik kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) rentetan daripada fenomena ini telah membuka suatu ruang baharu kepada masyarakat pengguna media baru di negara ini untuk menikmati teknologi canggih itu dengan berhemah.", "Sejak Malaysia memperkenalkan satu mekanisme amalan penapisan maklumat media yang dipanggil Pengawalseliaan Kendiri (Self-regulation), masyarakat pengguna media diberi  pendidikan merangsang sikap berhemah bagi mengawal impak kandungan media secara berhemah.", "Mekanisme ini telah pun diamalkan oleh beberapa negara maju untuk mendidik masyarakat mereka menapis kandungan-kandungan media yang jelik atau memberi ancaman keganasan kepada negara dan pendiuduk negara tersebut. Kaedah sama dilaksanakan di negara ini ialah dengan menggunakan garis panduan \"Kod Kandungan Media\" yang diperkenalkan oleh Forum Kandungan dan Multimedia Malaysia (CMCF), satu badan di bawah SKMM. Secara rujukannya, kita boleh mengakses Kod Kandungan tersebut di www.cmcf.my.", "Kod Kandungan ini bertujuan untuk menjadi panduan kepada pihak media dan pengguna menerbit kandungan media yang bersesuaian dengan estetika budaya dan peradaban masyarakat majmuk negara ini dan menjadi tanda aras kepada sistem kawalan kandungan media yang membolehkan pemain industri media menghasilkan kandungan media tempatan yang bermutu tinggi, sesuai untuk tontotan pengguna negara ini dan mencerminkan kemurniaan identiti nasional.", "Apakah kandungan jelik yang tertera dalam kod kandungan", "Bagi menjelaskan kategori dan klasifikasi kandungan jelik itu, ada dinyatakan dalam Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kandungan yang mengandungi unsur perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu,mengancam atau dengan niat untuk mengacau,mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.", "Pelanggaran bawah seksyen tersebut akan menyebabkan seseorang yang melanggar suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.", "Sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap penularan kandungan media, kita harus mempunyai daya keprihatinan untuk menilai sama ada kandungan tersebut bersesuaian atau tidak terhadap diri kita dan estetika pemgamalan budaya yang kita amalkan.", "Sekiranya kandungan media atau kandungan maklumat yang terhidang di hadapan kita tersebut bersifat jelik dan tidak bersesuaian, maka kita boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa,iaitu SKMM, polis atau pihak-pihak berkuasa untuk membolehkan mereka menyiasat, mengambil tindakan dan menghukum media atau individu yang bertanggungjawab menyiarkan maklumat palsu.", "Dengan cara seperti itu, kita akan dapat menyaring maklumat mengikut acuan  persepsi dan budaya masyarakat kita, sekali gus dapat memelihara kemurnian peranan media dalam kalangan masyarakat di negara ini.", "Justeru, menjadi suatu tanggungjawab penting bagi setiap anggota masyarakat untuk memastikan bahawa kita harus prihatin setiap masa dengan apa juga bentuk kandungan media dan kandungan maklumat yang dihidangkan kepada kita.", "Tanpa menyelidik dan memantau kandungan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat kita, pihak media atau penyedia maklumat dalam media siber akan sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh mereka untuk mengekspoitasikan maklumat-maklumat tersebut demi kepentingan mereka.", "Pendidikan dan kesedaran menangani penyelewengan dan eksploitasi maklumat ini haruslah dikembangkan ke semua pihak ,termasuklah di bangku persekolahan lagi. Generasi Ketiga seharusnya dibimbing untul memperaktiskan sifat keprihatinan mereka untuk memilih bahan bacaan atau bahan media yang bersifat positif, memberi faedah dan mengekalkan unsur moral yang baik dalam kalangam anak-anak muda ini.", "Kematangan memilih bahan-bahan media seperti ini seharusnya dikongsikan bersama ahli keluarga dan golongan pendidik di sekolah mahu pun di IPT nanti. Dengan harapan sebeginilah, kita boleh menyaksikan kelestarian pemurnian kandungan media dan kandungan maklumat yang boleh memimpin generasi akan datang mempertahankan prinsip kehidupan yang mereka nikmati pada hari ini.", "PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=68
Memahami kesan kenaikan OPR
[ "Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman ialah kadar faedah yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) keatas bank-bank komersial bagi pinjaman semalaman yang di berikan oleh BNM kepada bank-bank komersial. Di Malaysia, BNM bertanggungjawab untuk menetapkan OPR sesuai dengan peranannya dalam dasar monetari. Kenaikan OPR memberi kesan kepada bank-bank komersial, peminjam, syarikat dan individu.", "Kesan Kenaikan OPR kepada Bank-Bank Komersial", "Peningkatan OPR bermakna bank-bank komersial mesti membayar lebih untuk meminjam wang daripada BNM. Ini meningkatkan kos dana untuk bank-bank komersial, yang mengurangkan keuntungan mereka. Bank mungkin bertindak balas dengan meningkatkan kadar faedah yang mereka caj kepada peminjam untuk mengekalkan margin keuntungan mereka. Ini boleh menyebabkan kos pinjaman yang lebih tinggi untuk perniagaan dan individu, yang boleh melambatkan pertumbuhan ekonomi.", "Kesan kenaikan OPR (Kadar Kadar Dasar Semalaman) ke atas bank komersial berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor. Berikut adalah beberapa kemungkinan kesan kenaikan OPR ke atas bank komersial:", "Apabila OPR meningkat, BNM mengenakan kadar faedah lebih tinggi ke atas bank komersial untuk meminjam wang. Ini boleh menyebabkan kos pinjaman yang lebih tinggi untuk bankkomersial. Akibatnya, bank komersial mungkin perlu menyesuaikan kadar faedah ke atas produk pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan untuk mengimbangi kos yang lebih tinggi. Ini boleh mengurangkan permintaan pinjaman daripada pelanggan, terutamanya mereka yang terdedah kepada kenaikan kadar faedah.", "Peningkatan OPR juga boleh menjejaskan kadar faedah yang ditawarkan oleh bank komersial atas deposit kepada pelanggan. Bank komersial mungkin menaikkan kadar faedah deposit untuk menarik dana daripada pelanggan bagi memenuhi keperluan mudah tunai yang lebih tinggi disebabkan peningkatan kos pinjaman. Ini boleh memberi manfaat kepada pelanggan yang mempunyai deposit kerana mereka boleh memperoleh pulangan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, bagi bank komersial, ini boleh meningkatkan perbelanjaan faedah yang perlu mereka bayar kepada pendeposit.", "Peningkatan OPR boleh menyebabkan margin keuntungan bank komersial berkurangan. Memandangkan kos pinjaman meningkat manakala kadar faedah yang ditawarkan kepada pelanggan mungkin tidak dapat dinaikkan secara berkadar, bank komersial boleh menghadapi tekanan pada margin faedah mereka. Ini boleh menjejaskan prestasi kewangan bank komersial dan mengurangkan keuntungan yang dijana.", "Peningkatan OPR juga boleh menjejaskan kualiti kredit bank komersial. Apabila kadar faedah meningkat, pelanggan dengan pinjaman kadar berubah mungkin menghadapi beban pembayaran yang lebih tinggi. Jika pelanggan mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman mereka, ia boleh memberi kesan negatif kepada aset produktif bank komersial. Bank komersial mungkin perlu meningkatkan pemantauan kualiti kredit mereka dan menjangka peningkatan risiko kredit.", "Secara keseluruhannya, peningkatan OPR boleh memberi kesan ketara ke atas bank komersial. Mereka perlu melaraskan kadar faedah pinjaman dan deposit mereka, menghadapi tekanan pada margin keuntungan, dan menguruskan risiko kredit yang berpotensi meningkat.", "Peningkatan OPR boleh memberi beberapa kesan kepada pengguna. Berikut ialah beberapa kesan potensi peningkatan OPR:", "Apabila OPR meningkat, bank komersial mungkin menaikkan kadar faedah pinjaman mereka. Ini boleh membawa kepada kadar faedah yang lebih tinggi untuk pelbagai jenis pinjaman seperti pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan kad kredit. Akibatnya, pengguna perlu membayar lebih untuk faedah, meningkatkan kos peminjaman dan berpotensi menjejaskan keupayaan mereka untuk membayar atau layak mendapat pinjaman.", "Pengguna dengan pinjaman kadar berubah, seperti pinjaman perumahan dengan kadar laras atau pinjaman peribadi kadar berubah, mungkin mengalami peningkatan serta-merta dalam kadar faedah mereka. Ini boleh mengakibatkan pembayaran pinjaman bulanan yang lebih tinggi, yang boleh memberi tekanan pada kewangan mereka dan berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan aliran tunai dan pendapatan boleh belanja mereka.", "Kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) boleh memberi kesan yang positif ke atas simpanan dan deposit. Ini kerana kenaikan OPR akan menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi, maka bank-bank mungkin akan meningkatkan kadar faedah untuk mendapatkan lebih banyak simpanan dari pelanggan. Ini memberikan peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik pada simpanan mereka.", "Peningkatan kos peminjaman disebabkan oleh kadar faedah yang lebih tinggi boleh mengurangkan kuasa membeli pengguna. Dengan bayaran pinjaman bulanan yang lebih tinggi, pengguna mungkin mempunyai kurang pendapatan boleh guna yang tersedia untuk perbelanjaan lain. Ini boleh memberi kesan kepada corak perbelanjaan pengguna, yang seterusnya boleh memberi kesan yang lebih menyeluruh ke atas ekonomi keseluruhan.", "Jika pengguna menghadapi kos pinjaman yang lebih tinggi dan kuasa membeli yang berkurangan, ia boleh membawa kepada kelembapan dalam perbelanjaan pengguna. Ini boleh memberi kesan yang lebih luas kepada ekonomi, menjejaskan sektor seperti peruncitan, perumahan dan industri automotif. Aktiviti ekonomi yang lebih perlahan juga boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan gaji.", "Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa kesan peningkatan OPR terhadap pengguna berbeza-beza bergantung kepada situasi kewangan individu, perjanjian pinjaman tertentu atau akaun deposit yang mereka pegang serta keadaan ekonomi secara keseluruhan.", "Pengguna harus mempertimbang dan merancang dengan teliti untuk kemungkinan perubahan dalam kadar faedah dan menilai kemampuan pinjaman mereka berdasarkan penyelarasan ini.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL, Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=69
Isu ‘sekolahkan’ pembaca berita: Buang yang keruh, ambil yang jernih
[ "(Pembaca berita sebuah stesen televisyen (kiri) dan Hattan)", "Pemergian vokalis XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael ke rahmatullah pada 27 April lalu akibat sesak nafas telah mencetuskan polemik terbaharu dalam industri hiburan tanah air.", "Isu ini semakin lama dibiarkan menjadi semakin parah apabila ia terus menjadi buah mulut dalam kalangan netizen dan pengamal media tempatan.", "Insiden itu bermula apabila salah sebuah saluran berita 24 jam menemu bual Datuk Hattan atau nama sebenar beliau Mohd. Shukri Shahabudin secara langsung bagi berkongsi pandangan tentang berita kematian vokalis XPDC.", "Soalan diajukan berkenaan lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan 'makan dalam' mengundang suasana tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.", "Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan rapi sebelum bertanyakan soalan.", "Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.", "Hattan kemudian bertindak mematikan talian selepas menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penyampai berita berkenaan yang didakwanya tidak membuat pengumpulan maklumat sewajarnya sebelum memulakan wawancara.", "Nama Hattan terus hangat diperkatakan dan menjadi bahan kecaman netizen serta beberapa persatuan pengamal media khususnya kumpulan wartawan dan pembaca berita yang mendesak agar beliau meminta maaf secara terbuka akibat perbuatannya menempelak pembaca berita dalam program yang disiarkan secara langsung.", "Susulan daripada insiden itu, isteri kepada Hattan iaitu Datin Arianie Abidin mendedahkan menerima ugutan bunuh dan santau di Instastory miliknya.", "Menurutnya, dia dan suami menjadi mangsa kecaman netizen selain dihina, diugut dan dilemparkan dengan kata-kata kesat sehingga memaksa Datin Arianie menetapkan Instagram milik suaminya dalam mod privasi agar netizen tidak boleh lagi memberikan sebarang komen.", "Isu Hattan menempelak pembaca berita itu turut mendapat perhatian beberapa badan pejuang kewartawanan, termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang melahirkan ketidakpuasan hati serta kecewa dengan sikap ditunjukkan Hattan.", "Menurut NUJ, sikap ditunjukkan penghibur itu sangat tidak wajar kerana petugas media bukanlah peserta pertandingan realiti yang boleh dimalukan atau ‘disekolahkan’ di khalayak ramai.", "GERAMM menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Hattan memutuskan talian telefon sebelum selesai sesi wawancara jelas mencerminkan sikap tidak profesionalnya sebagai artis senior.", "GKMM pula menggesa Hattan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap sikap tidak profesional dan respon balas berbaur hinaan beliau ketika ditemu bual itu.", "Sehingga rencana ini ditulis, baik Hattan mahupun pembaca berita itu enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.", "Pada pandangan mereka, mungkin mereka tidak mahu insiden ketegangan itu diungkit kembali. Hanya masa dan waktu yang mampu mengubati mereka.", "Hattan mendakwa beliau tidak dimaklumkan awal oleh stesen berkenaan untuk menemu bual beliau mengenai pemergian Allahyarham Mael. Malah, beliau juga tidak tahu- menahu beliau ditemu bual dalam program berita yang disiarkan secara langsung.", "Pembaca berita itu pula terus mengunci mulut dan ini memberikan tempias terhadap tempat kerjanya. Apatah lagi, kerjayanya sebagai pembaca berita mencerminkan imej stesen berkenaan.", "Tidak mahu membiarkan isu ini terus menjadi bahan perdebatan netizen, penerbit eksekutif saluran berita itu tampil menjelaskan menerusi ciapan Twitter menyangkal dakwaan kononnya Hattan tidak mengetahui temu bual yang dilakukan secara langsung.", "Malah, beliau juga menegaskan bahawa pihaknya mempunyai bukti sudah memberikan taklimat kepada penyanyi itu sebelum sesi temu bual dijalankan secara langsung.", "Tidak ramai yang tahu dan menyedari perbezaan tugas antara seorang pembaca berita dan wartawan.", "Dua profesion ini sebenarnya mempunyai tanggungjawab dan tugasan agak berbeza dalam Bilik Berita meskipun kedua-duanya perlu tampil dan dilihat bijak.", "Kebiasaannya, pembaca berita tidak wajib membuat kajian mendalam untuk semua berita yang akan disampaikan kerana mereka mempunyai belasan hingga puluhan berita untuk disampaikan dalam jangka masa singkat.", "Justeru, ada kemungkinan tidak semua berita perlu diketahui secara mendalam selaras tugas pembaca berita iaitu menyampaikan berita kepada khalayak umum.", "Buang yang keruh, ambil yang jernih", "Secara lumrahnya, tiada satu pun manusia yang terlepas daripada membuat kesilapan. Tiada sesiapa pun yang terlepas daripada terjebak dalam kegagalan.", "Persoalannya, apakah yang akan kita lakukan setelah membuat kesilapan? Tidak salah yang tua meminta maaf daripada yang lebih muda. Tidak pula sesuatu yang janggal apabila yang muda memohon kemaafan daripada mereka yang lebih berusia.", "Pada Syawal yang mulia ini, buang yang keruh, ambillah yang jernih. Hattan sebenarnya terkenal dengan sikap mesra dengan orang media terutama wartawan hiburan walaupun gurauannya kedengaran kasar.", "Apabila membabitkan bab kerja pula, memang dia seorang yang cukup serius dan bersungguh-sungguh. Jadi mungkin pada hari berkenaan Hattan terlepas pandang.", "Pembaca berita itu pula, tidak semua benda yang diketahuinya. Pastinya beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu namun genre muzik rock mungkin bukan salah satu forte beliau.", "Netizen pula tidak perlulah sampai mengugut, menghina dan terus menghukum. Siapa kita untuk menghukumnya seisi keluarga? Tiada sesiapa pun yang sempurna.", "Baik penggiat industri hiburan, wartawan dan pemberita serta netizen, masing- masing memerlukan antara satu sama lain bagi memperkukuhkan lagi industri hiburan Malaysia.", "Tidak perlulah kita begitu angkuh dengan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang kita miliki sehingga kita menghentam orang lain sehingga menjatuhkan air muka mereka.", "Hakikatnya semua nikmat yang kita miliki hari ini hanyalah ‘pinjaman sementara’ daripada Yang Maha Esa.", "PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Kuala Lumpur.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=70
Antara dua cinta: teknologi atau keluarga?
[ "Teknologi digital telah menjadi sebahagian keperluan penting dalam kehidupan kita pada hari ini. Ia memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan menyelesaikan tugas-tugas harian.", "Namun, adakah kita mengambil kira bahawa teknologi digital memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan? Dalam artikel ini, terbawa saya untuk membincangkan mengenai pentingnya mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi digital dan hubungan kekeluargaan yang sihat.", "Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa penggunaan teknologi digital yang berlebihan akan mengganggu hubungan kekeluargaan. Ia boleh mengakibatkan kurangnya interaksi dan perhubungan antara ahli keluarga serta mengurangkan kualiti masa bersama-sama. ", "Oleh itu, adalah penting untuk menetapkan had dan memastikan bahawa penggunaan teknologi digital tidak mengambil tempat aktiviti dan masa bersama-sama keluarga.", "Selain itu, kita juga perlu memahami bagaimana teknologi digital dapat membantu mempereratkan lagi hubungan kekeluargaan. Ia mempermudahkan kita untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga yang jauh, berkongsi gambar dan video serta memudahkan kita untuk membuat rancangan bersama-sama.", "Dalam konteks ini, teknologi digital boleh menjadi alat berguna untuk mempereratkan lagi hubungan kekeluargaan. Tidak dinafikan anak-anak pada hari ini lahir sebagai digital native yang semuda usia 3 tahun mampu memberi tindak balas kepada penggunaan teknologi digital seperti peranti mudah alih telefon pintar.  ", "Untuk mengekalkan keseimbangan antara teknologi digital dan hubungan kekeluargaan, kita boleh mengambil beberapa langkah mudah. Pertama sekali, kita boleh menetapkan masa untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan ahli keluarga tanpa gangguan teknologi digital.", "Contohnya, kita boleh menetapkan masa untuk berbual-bual semasa makan malam atau melakukan aktiviti bersama-sama seperti bermain permainan tradisional. Permainan tradisional seperti congkak, batu seremban atau gasing bersama keluarga mungkin ia adalah aktiviti yang tidak lagi dilakukan kebanyakkan keluarga pada hari ini. Tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan.", "Ini boleh mengeratkan lagi hubungan dan melibatkan semua ahli keluarga. Pilih mana-mana waktu di hujung minggu dan semua peranti digital boleh ‘direhatkan’ sementara.", "Aktiviti lain adalah membaca buku bersama-sama dan ia boleh menjadi cara yang baik untuk mengurangkan pengaruh teknologi digital dalam kehidupan kita selain meningkatkan kualiti masa bersama-sama keluarga. Anda boleh mengadakan kelab buku misalnya di antara ahli keluarga dan berkumpul di hujung minggu untuk bersama-sama membuat tinjauan buku-buku yang telah dibaca. Hal ini dapat mendidik anak-anak mencintai buku dari usia yang kecil lagi.  ", "Jika anda gemar dengan aktiviti menanam tumbuhan misalnya, ia boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat dan juga membantu kita mengambil masa untuk bersantai dan menikmati suasana semula jadi bersama keluarga.", "Trend terkini dalam penanaman tumbuhan keladi hiasan misalnya, adalah antara aktiviti terbaik untuk seimbangkan keperluan teknologi digital dan masa bersama keluarga.", "Aktiviti lain, ialah mengadakan aktiviti riadah seperti percutian atau kembara bersama keluarga. Aktiviti itu boleh menjadi cara yang baik selian dapat mengurangkan pengaruh teknologi digital.", "Anda juga boleh melakukan aktiviti bersukan atau melakukan aktiviti fizikal bersama-sama kerana ia boleh membantu kita untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental serta mempereratkan lagi hubungan kekeluargaan.", "Dalam melakukan aktiviti-aktiviti konvensional ini, penting untuk memastikan bahawa kita mempunyai masa yang cukup dan berkualiti bersama-sama dengan keluarga dan tidak terlalu banyak diganggu oleh teknologi digital.", "Apabila melakukan aktiviti konvensional dan teknologi digital secara seimbang, kita dapat menikmati kebaikan dari kedua-duanya tanpa mengorbankan kepentingan hubungan kekeluargaan.", "Akhir kata, adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi digital dan hubungan kekeluargaan yang sihat. Penetapan had dan mengambil langkah-langkah mudah untuk mempereratkan lagi hubungan kekeluargaan, kita dapat menikmati manfaat yang ditawarkan oleh teknologi digital tanpa mengorbankan hubungan kita dengan ahli keluarga.", "PENULIS DR. MULIYATI MAT ALIM ialah Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=71
Kadar Dasar Semalaman dan tanggungjawab BNM
[ "Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman ialah kadar faedah yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas bank-bank komersial bagi pinjaman semalaman yang diberikan BNM kepada bank-bank komersial.", "Ia merupakan mekanisme penting yang digunakan BNM dalam melaksanakan dasar monetari. Dasar monetari merujuk kepada tindakan yang diambil BNM untuk mempengaruhi tahap aktiviti ekonomi negara, dengan mengubah bekalan wang dan kadar faedah.", "BNM, sebagai bank pusat di Malaysia, bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar monetari negra. Ini termasuk menetapkan kadar faedah, mengurus bekalan wang, dan mengawal selia sistem perbankan.", "BNM menggunakan dasar monetari untuk mencapai objektifnya, biasanya termasuk mengekalkan kestabilan harga, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan memastikan kestabilan kewangan. OPR ialah alat utama bagi dasar monetari yang digunakan BNM untuk mencapai objektif tersebut.", "Sama ada menaikkan atau menurunkan OPR, BNM boleh mengawal bekalan wang dalam negara dan melakarkan tahap keseluruhan aktiviti ekonomi negara serta untuk mengurus inflasi bagi satu-satu masa.", "Tindakan BNM menaikkan atau menurunkan OPR boleh memberi kesan kepada kos pinjaman untuk bank komersial, seterusnya boleh memberi kesan kepada kadar faedah yang dikenakan oleh bank-bank komersial kepada pelanggan mereka.", "Perubahan dalam OPR juga boleh memberi kesan kepada nilai Ringgit Malaysia berbanding mata wang negara lain, kerana kadar faedah lebih tinggi boleh menjadikan Ringgit Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing yang ingin memperoleh pulangan lebih tinggi daripada pelaburan mereka.", "Apabila BNM menaikkan OPR, ia meningkatkan kos pinjaman untuk bank. Akibatnya, bank komersial akan menaikkan kadar faedah yang mereka kenakan kepada pelanggan mereka, menjadikannya lebih mahal bagi perniagaan dan individu untuk meminjam wang.", "Ini mengurangkan jumlah wang dan kredit dalam edaran dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi. Dengan menaikkan OPR, BNM boleh mempengaruhi tahap keseluruhan aktiviti ekonomi di Malaysia.", "Kadar faedah yang lebih tinggi boleh membantu mengekang tekanan inflasi dengan mengurangkan permintaan untuk pinjaman dan kredit, di samping menarik pelabur asing yang sentiasa lebih berminat kepada pulangan lebih tinggi ke atas pelaburan mereka.", "BNM mungkin meningkatkan OPR sebagai tindak balas kepada beberapa keadaan. Satu keadaan ialah inflasi meningkat, menunjukkan bahawa harga barang-barang dan perkhidmatan meningkat terlalu cepat.", "Keadaan lain adalah kepesatan pertumbuhan ekonomi, boleh menyebabkan inflasi jika tidak dikawal. BNM juga mungkin meningkatkan OPR jika sistem kewangan menjadi tidak stabil, seperti semasa perlambakan kredit dalam pasaran dan ekonomi.", "Sebaliknya, apabila BNM menurunkan OPR, ia mengurangkan kos pinjaman untuk bank, membawa kepada kadar faedah lebih rendah untuk perniagaan dan individu. Ini merangsang ekonomi dengan menjadikannya lebih mudah dan murah untuk meminjam wang.", "Kadar faedah lebih rendah boleh merangsang aktiviti ekonomi dengan menjadikan pinjaman lebih murah dan menggalakkan perbelanjaan dan pelaburan.", "Sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melaksanakan tanggungjawabnya dalam dasar monetari, ia boleh membawa kesan ketara kepada ekonomi Malaysia.", "Fungsi utama BNM adalah untuk mengekalkan kestabilan harga dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaksanaan dasar monetari yang berkesan. Jika BNM gagal melakukan ini, ia boleh membawa kepada pelbagai hasil negatif, seperti:", "Salah satu risiko utama dasar monetari yang lemah ialah ia boleh membawa kepada inflasi yang tinggi, yang menghakis kuasa beli Ringgit Malaysia dan mengurangkan taraf hidup rakyat (standard of living). Sekiranya BNM gagal mengawal inflasi melalui dasar monetarinya, ia boleh memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara.", "Dasar monetari yang lemah juga boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dalam bentuk krisis kewangan, kemelesetan dan hasil ekonomi negatif lain. Sekiranya BNM gagal mengurus bekalan wang dan kadar faedah dengan berkesan, ia boleh membawa kepada volatiliti dan ketidaktentuan ekonomi.", "Jika BNM gagal melaksanakan fungsinya dalam dasar monetari, ia boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi dan sistem kewangan keseluruhannya. Kehilangan keyakinan ini boleh membawa kepada pengeluaran modal (capital flight), pengurangan pelaburan dan hasil negatif lain yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.", "Secara keseluruhan, kesan BNM tidak melaksanakan fungsinya dalam dasar monetari boleh menjadi parah dan berpanjangan. Oleh itu, adalah penting bagi BNM mengekalkan kebebasannya dan melaksanakan dasar monetari yang berkesan untuk menggalakkan kestabilan ekonomi dan pertumbuhan mampan di Malaysia.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=72
Pembeli harus bijak atasi kenaikan harga barang
[ "SAUDARA PENGARANGKeluhan kenaikan harga barang menjadi buah mulut rakyat sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan sahaja menjadi fenomena negara malah mencengkam kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Semakin ketara selepas kenaikan inflasi akibat wabak COVID-19 yang telah melanda dunia.Secara asasnya, dalam kehidupan manusia kita perlu membeli barang keperluan untuk hidup seperti makanan, pakaian, peralatan dan lain-lain lagi. Namun begitu sebagai pengguna, kita perlu tahu limitasi keperluan hidup kita. Ada yang berbelanja melebihi had kemampuan.Tidak kurang juga berbelanja kerana tidak mahu kalah dengan orang lain.Bagaimanapun, jika kita bijak berbelanja tentu beban kos sara hidup dapat dikurangkan. Adakah kita pembeli yang bijak?Beberapa panduan boleh diikuti jika kita ingin mengatasi cabaran kenaikan harga barang.Tidak perlulah terlalu terburu-buru membeli sesuatu yang diinginkan atau diperlukan. Jika anda pembeli yang bijak cuba bersabar. Berhati-hati memilih barang yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Boleh pergi beberapa buah kedai yang menjual produk yang sama dan barulah membuat keputusan yang terbaik.Bandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ada banyak pilihan barang di kedai yang berlainan tetapi menjual produk yang sama. Lebih beruntung jika ada kedai yang membuat jualan murah. Kenapa hendak membeli harga yang mahal sedangkan ada yang lebih murah? Cuba melihat promosi, diskaun dan baucer yang diberikan jika menggunakan kad debit atau kad ahli. Anda dapat jimat wang anda sebaik mungkin.", "Kualiti seiring dengan harga. Sebagai pembeli yang bijak, kita perlu berhati-hati jika membeli secara dalam talian di pelbagai platform. Ada yang menjual produk hanya indah khabar dari rupa. Jika melihat melaluo foto di laman web, kita mudah terpedaya dengan kesempurnaan produk.", "Apabila barang diterima, alangkah geram dan ruginya, barang tidak sama kualiti seperti yang dibayangkan. Tidak perlu terlalu teruja melihat harga barang yang murah semata-mata. Baca terlebih dahulu ulasan pengguna yang sudah membeli produk tersebut sebelum meneruskan pembelian.Sebagai pembeli yang bijak kuasa membeli ada pada kita. Kita yang dapat mengawal sama ada hendak membeli atau tidak. Jadilah pembeli yang sentiasa memilih dengan membandingkan harga bukan hanya memikirkan apa yang diinginkan. Tetapi membeli dengan harga yang berpatutan.", "Sebagai contoh, kita hendak membeli sayur untuk dimasak. Sayur kacang berharga RM11 sekilogram. Sayur taugeh hanya berharga RM5. Kita boleh memilih untuk membeli taugeh kerana harganya jauh lebih murah. Tetapi tetap mendapat khasiat daripada sayuran itu.Isu kenaikan harga minyak pernah menjadi fenomena panik pada suatu masa dahulu. Ramai orang berpusu-pusu ke kedai membeli minyak kerana bimbang harganya semakin meningkat. Akibatnya, minyak terputus bekalan. Lalu, penjual mengambil kesempatan menaikkan lagi harga minyak.", "Pembeli tidak seharusnya berasa panik jika berlaku kenaikan harga. Kita boleh cuba mengubah cara masakan seharian. Kurangkan minyak dalam masakan. Atau cuba memasak dengan cara yang lebih sihat seperti merebus dan membakar. Jika minyak tidak menjadi keperluan yang mendesak, sudah tentu harga akan kembali turun.Membelilah dengan bijak. Agar kenaikan harga barang sentiasa terkawal. Kita tidak boleh menyalahkan penjual semata-mata. Mereka menyediakan produk berdasarkan permintaan pengguna. Bergantung kepada kita untuk mengubah cara kita berbelanja. Belilah jika kita benar-benar memerlukan bukan kerana kita inginkan.PENULIS DR. NORMARINI NORZAN, Penyelaras Kluster Bahasa Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI) UPSI.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=73
Bantuan Khas Aidilfitri beri nafas lega kepada rakyat
[ "Hari ini 7 Syawal, tepat seminggu umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri.Bagaimana dengan Aidilfitri anda?Tahun ini, ramai yang mengambil peluang beraya di kampung halaman.Syukurlah COVID-19, tidak lagi menjadi penghalang antara kita dengan yang tersayang.Atas permintaan ramai, Bantuan Khas Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan telah diawalkan.Bantuan raya juga diperluas kepada pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform.Bagi membantu meringankan perbelanjaan balik kampung, Tol Rahmah percuma diberi sepanjang tiga hari terakhir Ramadan.Tol percuma juga diberi pada hari Isnin, 3 Syawal.Ini julung kali tol percuma merangkumi semua lebuh raya.Tak cukup dengan itu, satu hari cuti pelepasan tambahan juga diberi.PDRM pula menawarkan kadar khas bayaran saman RM50, bagi semua saman trafik.Kadar khas ini juga, julung kali ditawarkan.Tujuannya, memberi peluang kepada pihak terbabit, menyelesaikan saman yang tidak boleh dikompaun.Mereka diberi tempoh hingga 21 Mei, untuk menikmati kadar khas itu.Tetapi awas, tawaran ini hanya sah bagi saman yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.Saman baharu tak laku ya.Jadi patuhilah undang-undang jalan raya, yang termaktub.Kesemua insentif untuk rakyat tadi diterima sepenuhnya semua pihak dengan penuh kesyukuran.Tak ada seorang pun bantah.Tak ada yang mempertikaikan pemberian kerajaan.Langsung tak timbul isu pembaziran atau bermotif politik.Namun suasana harmoni ini berubah apabila kerajaan mengumumkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama perdana menteri.Buat julung kalinya, Rumah Terbuka Aidilfitri tidak dianjurkan di Seri Perdana.Sebaliknya dialihkan ke enam negeri Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.Kata kerajaan, perubahan itu antara usaha perdana menteri mendekati rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri tanpa mengira pegangan politik.Bagaimanapun lain pula pandangan ahli politik yang tidak sealiran.Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri dikatakan membazir.", "Kos penganjuran di Seri Perdana lebih jimat. Benarkah begitu?Menurut seorang bekas ahli lembaga pengarah sebuah badan berkanun, pandangan itu meleset.Kos penganjuran di Putrajaya sebenarnya jauh lebih tinggi.Rumah terbuka di Seri Perdana lazimnya melibatkan jemputan puluhan ribu orang, termasuk tetamu kehormat dan ekspatriat.Persiapan di kediaman rasmi perdana menteri boleh mencecah jutaan ringgit.Tidak salah sekiranya wang itu dapat diagihkan kepada negeri-negeri untuk jamuan rakyat setempat.Seterusnya ada pula yang mendakwa, perdana menteri tidak boleh menggunakan dana awam atau wang kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka.Gunakan sahaja wang parti atau wang peribadi.Saranan ini agak mengelirukan.Seperti yang kita sedia maklum, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan majlis anjuran mana-mana parti politik atau individu.Ia merupakan majlis anjuran kerajaan.Bukan mana-mana presiden parti atau pengerusi gabungan politik.Perdana menteri dan jemaah menteri hadir atas kapasiti mereka sebagai anggota Kabinet.Turut dijadikan isu, pemilihan lokasi rumah terbuka di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.Rumah Terbuka Malaysia Madani dikatakan pentas kempen Pilihan Raya Negeri.Seperti yang disebutkan tadi, majlis ini bukan program politik.Program ini terbuka kepada semua.Tanpa syarat, tanpa pengecualian.Pendek kata, ini rumah terbuka hari raya.Seperti biasa pengisian utamanya ialah mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera.Mungkin isu ini tidak timbul jika semua pihak menjunjung penuh saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.Menyertai Kerajaan Perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip sesebuah parti.Ketepikan agenda peribadi dan perbezaan politik demi mengutamakan rakyat.Selain sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, tindakan itu sebenarnya sumbangan besar kepada kestabilan politik tanah air.Sudah terlalu banyak kerajaan yang tumbang sebelum waktunya.Baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.Hari baik bulan baik, sebaiknya kita berbaik sangkalah sesama kita.Jauhi prasangka.Siri pertama jelajah Rumah Terbuka Malaysia Madani bermula di Kedah esok.Majlis berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.Jom beramai-ramai ambil keberkatan Aidilfitri.PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=74
Bersaranya "Panglima Perang" COVID-19
[ "(Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan sebahagian warga petugas kesihatan semasa majlis persaraan beliau baru baru ini) ", "Tanggal 21 April 2023 menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatan buat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah setelah 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan kesihatan awam.", "Beliau diraikan dalam satu majlis persaraan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.", "Ternyata, tarikh Dr. Noor Hisham bersara wajib adalah kebetulan jatuh pada hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa sebelum menyambut Aidilfitri.", "Semasa pandemik COVID-19 melanda negara, wajah figura inilah yang rakyat tertunggu-tunggu pada setiap petang di saluran media massa untuk mengetahui perkembangan kes.", "Kemunculan Ketua Pengarah Kesihatan pada sesi harian itu sentiasa dalam keadaan kemas, tenang dan beliau cuba memberikan maklumat telus serta mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat berhubung situasi terkini COVID-19.", "Sungguhpun wajahnya kelihatan penat, beliau fokus dan teliti ketika menjawab pertanyaan media membuatkan ramai daripada kita tidak panik dengan kewujudan virus terbaharu muncul dalam kehidupan masyarakat dunia ketika itu.", "Malah, Dr. Noor Hisham sentiasa memberikan peringatan dan harapan setiap hari kepada orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan wabak COVID-19.", "Usaha beliau mengepalai warga Kementerian Kesihatan untuk membawa negara keluar daripada pandemik membuatkan masyarakat Malaysia menggelar figura ini dengan gelaran ‘wira negara’.", "Namun, Tan Sri Dr. Noor Hisham dengan rendah diri menolak gelaran itu kerana apa yang paling utama ialah tanggungjawabnya kepada masyarakat.", "(Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika mempengerusikan Mesyuarat ke-2 Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva/FB Dr. Noor Hisham)", "Pastinya, salah satu pengalaman manis yang akan diingati oleh bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan ialah apabila Malaysia mencatatkan sifar kes jangkitan COVID-19 pada 1 Julai 2020.", "Rata-rata rakyat Malaysia memanjatkan kesyukuran mereka dengan berita itu, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka dalam memerangi virus COVID-19.", "Susulan kejayaan itu, beliau turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah/2020 Masihi.", "Pemilihan Dr. Noor Hisham dianggap tepat setelah diiktiraf antara pakar perubatan terunggul di peringkat global dalam mengekang COVID-19.", "Pada April 2020, agensi berita antarabangsa, China Global Television Network (CGTN) melaporkan Dr. Noor Hisham antara tiga doktor terulung peringkat dunia dalam perang menentang COVID-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Dr. Ashley Bloomfield.", "Berpengalaman luas, kredibiliti, nilai kepimpinan dan pengetahuan luar biasa membuatkan Dr. Noor Hisham sering kali diamanahkan pelbagai jawatan sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam bidang perubatan.", "Seminggu sebelum persaraannya, Dr. Noor Hisham diberikan mandat mempengerusikan Mesyuarat ke-2 Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva. Mesyuarat itu merupakan mesyuarat tertinggi dalam pertubuhan dunia itu.", "Kekal tenang berdepan isu & kontroversi", "Walaupun Dr. Noor Hisham mempunyai portfolio yang mengagumkan, beliau juga tidak terlepas daripada kontroversi. ", "Beliau pernah menjadi mangsa kecaman netizen apabila mengadakan majlis perkahwinan anaknya yang didakwa tidak mengamalkan SOP penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.", "Terdapat juga ahli politik dan segelintir pihak yang mempertikaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Dr. Noor Hisham.", "Mereka mendakwa beliau tidak turun padang dan ‘takut mati’ bersama petugas barisan hadapan. Sebaliknya, hanya membuat sidang media setiap hari di televisyen semasa negara masih bergelut dengan wabak COVID-19.", "Malah, spekulasi Dr. Noor Hisham ditekan oleh ahli politik turut bertiup kencang apabila Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohamed Ismail Merican mengecam beliau.", "Dr. Mohamed Ismail mendakwa Dr. Noor Hisham telah membuat keputusan yang salah seperti menyarankan kepada kerajaan untuk membenarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan bazar Ramadan tatkala jumlah kes jangkitan COVID-19 kembali memuncak.", "Sungguhpun dihambat kecaman netizen, ahli politik dan segelintir individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau, Dr. Noor Hisham memilih untuk berdiam diri, tidak melenting dan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan seperti biasa.", "Inilah dunia maya, sejauh mana hebat atau baiknya seseorang, kecaman mesti ada kerana manusia itu punya hak untuk bersuara. Cuma, kita yang dikecam harus bijak bertindak balas supaya tidak mengeruhkan lagi keadaaan. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang sempurna dan tiada istilah kejayaan tanpa kegagalan.", "Untuk Dr. Noor Hisham jasa dan pengorbanan beliau memimpin kementerian serta mendidik masyarakat dalam mendepani wabak COVID-19 semestinya perlu dipuji dan diingati sampai bila-bila.", "Benarlah kata bidalan, \"Yang patah, tumbuh. Yang hilang, berganti.", "Kita mungkin sukar mencari individu seperti Dr. Noor Hisham tetapi sesiapa jua mampu mengambil ciri keperibadian, budaya kerja dan kemahiran kepimpinan beliau untuk dijadikan sumber inspirasi.", "Kepada ‘panglima perang’ COVID-19, selamat bersara dan terima kasih atas sumbangan kepada bidang kesihatan negara.", "PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, Pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=75
Melestarikan ukhuwah kekeluargaan
[ "(Sebahagian daripada keluarga harmoni Jahara/Foto hiasan)", "Selain carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua, antara peribahasa lain yang menggambarkan betapa utuh hubungan kekeluargaan waima apa badai yang melanda ialah seperti cencang air tidak putus, pancung abu tak berbekas atau kalau digali tanah berbingkah, tanah berderai yang akan bertemu.", "Peribahasa Melayu seperti itu menunjukkan bahawa, menjaga hubungan kekeluargaan amat penting  kerana yang menjadi pendorong kepada keluarga harmoni adalah apabila seseorang itu berasa bahagia hidup bersama keluarga mereka.", "Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), keluarga didefinisikan sebagai kaum, saudara mara, kaum kerabat, dan sanak saudara.  Secara dasarnya, terdapat beberapa jenis bentuk keluarga yang wujud serta berfungsi mengikut konteks.", "Dalam bidang sosiologi, antara bentuk keluarga yang wajib difahami oleh setiap ahlinya ialah, pertama dikenali sebagai keluarga nuklear (dua orang induk) iaitu sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak.", "Kedua ialah keluarga lanjutan iaitu terdiri daripada ibu bapa, datuk nenek, ibu saudara, bapa saudara, sepupu dan lain-lain. Ianya seringkali disebut sebagai keluarga besar sama ada susur galurnya disebelah ibu ataupun bapa.", "Memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sempurna adalah satu idaman setiap insan. Hal ini kerana keluarga merupakan orang yang bernilai dalam hidup kita yang dapat membantu menjamin kestabilan emosi dan mental kita.", "Sebenarnya, percaya atau tidak, apabila seseorang itu mengecap rasa bahagia dan sejahtera bersama keluarga, ianya sedikit sebanyak akan membantu seseorang itu menghindari diri daripada terlibat dengan pelbagai  masalah  tingkah  laku  sosial yang tidak sihat.", "Hal ini kerana, apabila sesebuah keluarga itu amat harmoni dan sihat, ini akan membuatkan seseorang itu cuba sedaya mungkin untuk tidak menconteng arang kepada ahli keluarganya yang lain. Ini merupakan satu desakan sosial yang amat baik.", "Dalam konteks  ini,  komunikasi  keluarga memainkan peranan  penting  dalam  usaha  mewujudkan  hubungan  yang harmoni  dan gembira antara ahlinya. Situasi  komunikasi  yang harmoni dan gembira akan membantu perkembangan diri setiap ahli keluarga. Oleh kerana itu, hubungan kekeluargaan yang baik sebenarnya boleh meransang minda yang baik.", "Namun begitu, sejak kebelakangan ini, didada akhbar terdapat pelbagai cerita kurang enak didengari yang melibatkan dengan kegagalan sesebuah institusi keluarga. Kesan kepada kegagalan institusi ini sedikit sebanyak akan mengganggu emosi anak-anak.", "Sebagai ibu bapa yang peka, mereka harus bertanggungjawab kepada perkembangan emosi anak-anak mereka. Walau apa terjadi, harus diingatkan, hubungan dengan keluarga besar atau lanjutan tidak seharusnya terpisah.", "Melestarikan ukhuwah kekeluargaan adalah amat penting. Ini adalah perlu demi untuk menjaga kepentingan keturunan, salasilah keluarga dan juga satu keperluan dalam hidup terutamanya dalam soal hubungan mahram, nikah kahwin mahupun soal harta pusaka.", "Bayangkan jika kita tidak mengenali susur galur keluarga, diakhirnya kita jatuh cinta dan hampir bernikah dengan anak saudara sendiri. Ini adalah satu perkara yang tidak baik dan mengaibkan. Walhal, perkara seperti ini boleh dielakkan jika kita mengenali setiap ahli keluarga dengan baik.", "Musim perayaan mahupun kenduri kendara adalah waktu sangat baik untuk kita mengenali dengan lebih erat akan keluarga. Malang sekali, pada era masa kini, walaupun kita menghadiri acara keramaian seperti itu, namun suasananya adalah amat berbeza.", "Kita lebih selesa berbicara dengan mereka yang kita biasa dan tidak mengendahkan ahli keluarga yang dianggap jauh ataupun tidak rapat. Ada juga yang lebih selesa ‘berkawan’ dengan telefon bimbit yang dianggap seperti nyawa yang tidak boleh dipisah. Sedangkan, masa senggat begitulah perlu diguna sepenuhnya untuk menyantuni sanak saudara sebaik yang mungkin.", "(Sebahagian daripada keluarga besar dan erat Ariffin/Foto hiasan)", "Tidak dapat dinafikan wujud perasan malu kerana jarang-jarang sekali berjumpa. Ini adalah konflik interpersonal singkat yang mana ibu bapa sepatutnya memainkan peranan untuk memastikan proses sosialisasi itu berlaku atau proses pergaulan itu berlaku.", "Tidak perlu menuruti sikap anak yang hanya mahu menatap gajet. Waktu seperti itulah perlu diguna sebaiknya terhadap anak-anak untuk belajar bergaul dan berinteraksi secara sosial.", "Melestatikan ukhuwah kekeluargaan bukanlah sesuatu yang baharu namun ianya sering dipandang sepi. Hal ini kerana Allah SWT sendiri berfirman dalam surah At-Tahrim ayat enam bermaksud;", "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.", "Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang boleh diperolehi apabila sesebuah keluarga itu menitikberatkan nilai kekeluargaan yang positif dalam kehidupan seharian. Keluarga ini ibaratnya seperti magnet yang berupaya untuk menarik ahlinya walau sejauh mana mereka pergi.", "Nilai kasih sayang sesama keluarga sangat sukar untuk dibuang ke dasar lautan. Bak kata pepatah, busuk daging dikincah, dimakan; busuk ikan, dibuang. Ini jelas menunjukan bahawa penerapan sifat terpuji dalam institusi kekeluargaan adalah amat penting  kerana  perkara ini dapat memberi kemaslahatan  dan kesejahteraan sejagat.", "PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Liberal, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=76
Raya tetap raya, cuma sambut sederhana
[ "Tahun lalu, sambutan Hari Raya Aidilfitri agak kelam kabut kerana diumum awal daripada tarikh jangkaan.Ramai yang terkejut, tidak kurang juga panik susulan segala persediaan raya masih belum selesai.Malah, ada yang masih belum pun sempat berkemas untuk pulang ke kampung halaman.Namun, tahun ini, ramai yang telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan membuat persiapan awal. Iyalah, tidak mahu lagi kelam kabut menyediakan juadah sehingga pagi raya, atau terkejar-kejar mencari tiket bas untuk pulang ke kampung halaman.Suasana sambutan Aidifitri tahun ini juga lebih tenang, apabila keadaan negara mula pulih dari pandemik COVID-19.Bagaimanapun, ramai dalam kalangan rakyat berbelanja secara sederhana.Membeli apa yang perlu dan penting sahaja... berjimat cermat.Kenaikan harga barangan betul-betul dirasai pada sambutan hari raya kali ini.Sepanjang Ramadan, kesannya boleh dilihat apabila kadar harga makanan di bazar-bazar terdapat perubahan yang ketara. Begitu juga dengan harga barangan keperluan harian seperti bahan mentah.", "Malah, pakaian juga begitu. Jika sebelum ini, baju melayu atau baju kurung yang berkualiti masih boleh didapati dengan harga yang ekonomi dan munasabah, tapi ia sedikit meningkat.Ia perkara yang tidak dapat dinafikan. Keadaan itu tidak hanya di rasai hanya dalam negara, malah di seluruh dunia.Untungnya, kerajaan masih dapat mengawal kenaikan harga barangan keperluan tertentu agar tidak terus naik menggila. Jika tidak, pasti lebih parah.Selain... mewujudkan inisiatif-inisiatif tertentu bagi membantu poket rakyat, seperti Jualan Khas Syawal Madani yang dikelola Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.Antara keperluan yang dijual pada kadar harga menarik, adalah sayur- sayuran, buah-buahan, daging, ayam dan telur.", "Selain, pelbagai produk berasaskan industri makanan dan asas tani. Ekonomi Malaysia dan dunia kini bergerak agak perlahan. Ia mula memulih selepas pandemik COVID-19 mereda, namun tidak sebegitu rancak kesan ekonomi global yang juga sedang lesu.Antaranya, kesan domino akibat peperangan yang berlanjutan lebih setahun antara Rusia dan Ukraine.Pun begitu, sambutan Aidilfitri tetap dijangka meriah dalam kesederhanaan ekonomi yang berlaku ketika ini.Jika ada yang memiliki rezeki lebih, mahu mengadakan rumah terbuka, ingat-ingatlah kepada mereka yang serba kekurangan.Cuba lihat-lihat di sekeliling, mungkin ada yang menyambut Aidilfitri kali ini serba kekurangan, tanpa juadah istimewa dan tanpa pakaian baharu kerana tidak berkemampuan.Jemputlah mereka, raikan bersama-sama, termasuk rakan-rakan yang berlainan bangsa ada agama.Sambutlah hari raya Aidilfitri kali ini dengan apa adanya, usah pula berlebihan.Rancang jumlah hidangan bersesuaian dengan tetamu agar tidak berlakunya pembaziran makanan.Jika ada lebihan, sediakan bekas makanan agar boleh dibawa pulang oleh tetamu.Sekurang-kurangnya ia dapat dimakan kemudian, tidak dibuang begitu sahaja. Bukan apa, menurut laporan beberapa badan bukan kerajaan, pembaziran makanan direkodkan meningkat sepanjang Ramadhan kali ini.Dan.. ia dikhuatiri berlanjutan sehingga akhir Syawal susulan anjuran rumah-rumah terbuka seluruh negara.Adalah malang jika pembaziran terus berlaku dalam keadaan kelembapan ekonomi dan harga bekalan makanan yang agak tinggi ketika ini.Pastinya, usaha kerajaan memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia dengan kadar harga yang munasabah jadi sia-sia jika sikap demikian tidak diubah.Hargailah usaha tersebut menerusi tindakan berhemat dalam penyediaan makanan sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.Sementara itu, bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka di Seri Perdana, Putrajaya.Sebaliknya, akan bersama-sama rakyat di rumah terbuka setiap negeri. Selamat Hari Raya Aidilftiri, maaf zahir dan batin.ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=77
Malaysia Madani, membudaya daya cipta rakyat
[ "Teras ke-3 visi Malaysia Madani adalah Daya cipta (inovasi) dimana daya cipta akan dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Objektif teras adalah bagi mengubah masyarakat Malaysia daripada masyarakat pengguna semata-mata kepada masyarakat yang aktif menyumbang dan mencorak revolusi digital dan teknologi yang merubah lanskap dunia.", "Daya cipta atau inovasi biasanya ditakrifkan sebagai idea baharu, produk baharu atau proses baharu yang merubah sesuatu perkara menjadi lebih cekap, serta mencungkil potensinya yang sebelum ini belum pernah diterokai.", "Malaysia Madani mentakrifkan daya cipta atau inovasi dengan pembaharuan, reka cipta dan reka baharu. Daya cipta, sebagai salah satu rukun Malaysia Madani, akan mewujudkan proses perubahan berterusan, yang mendakap dan memperkasa kreativiti rakyat.", "Malaysia Madani akan menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti dan menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses lebih maju.", "Tahun lepas, Malaysia di kedudukan ke-36 daripada 132 negara berdasarkan Laporan Global Innovation Index (GII) Tahun 2022 yang telah dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland.", "Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat ke-2 selepas Singapura. Malaysia berada di kedudukan pertama bagi dua (2) indikator iaitu High-tech exports dan Creative goods exports.", "Mengapakah inovasi penting kepada sesebuah negara?", "Inovasi adalah amat penting bagi sesebuah negara atas sebab-sebab berikut:", "Inovasi memacu pertumbuhan ekonomi dengan mencipta industri, produk dan perkhidmatan baharu yang menjana pekerjaan dan pendapatan. Menerusi pelaburan dalam inovasi, negara boleh merangsang keusahawanan, menarik pelaburan asing, dan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran global; ", "Inovasi meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan dan akses kepada maklumat yang lebih baik. Sebagai contoh, kemajuan dalam teknologi perubatan telah membawa kepada rawatan dan penawar penyakit baharu, manakala teknologi digital telah meningkatkan akses kepada pendidikan dan maklumat;", "Inovasi juga boleh menggalakkan pembangunan mampan dengan menangani cabaran alam sekitar dan menggalakkan kecekapan sumber. Contohnya, teknologi tenaga bersih seperti tenaga suria dan angin boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan perubahan iklim;", "Inovasi juga boleh meningkatkan keselamatan negara dengan meningkatkan keupayaan pertahanan dan mempromosikan keselamatan siber. Contohnya, kemajuan dalam kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin boleh membantu mengesan dan mencegah serangan siber.", "Secara keseluruhannya, inovasi adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan keselamatan negara sesebuah negara. Dengan memupuk inovasi, negara boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat mereka dan mengekalkan daya saing mereka dalam ekonomi global.", "Bagaimana membudayakan inovasi di sesebuah negara?", "Membudayakan inovasi dalam sesebuah negara, boleh mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dan menyokong inovasi dalam semua aspek masyarakat, daripada pendidikan dan penyelidikan kepada syarikat dan kerajaan.", "Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk membudayakan inovasi di sesebuah negara:", "Secara keseluruhannya, pembudayaan inovasi melibatkan penciptaan persekitaran yang menggalakkan dan menyokong kreativiti, percubaan dan kerjasama. Dengan berbuat demikian, negara boleh memupuk budaya inovasi yang memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=78
Pelancaran 5G Malaysia: Hala tuju terbaik
[ "SAUDARA PENGARANGMemandangkan kabinet dijangka berbincang dan membuat keputusan tentang hala tuju pelancaran (rollout) 5G negara secara betul, efektif, efisien dan telus di Malaysia pada minggu ini (19 April 2023), dan selepas penyelidikan dan kajian menyeluruh yang disertai lebih 20 terbitan artikel berkaitan 5G berasaskan data dan bukti oleh EMIR Research, sudah tiba masanya untuk menyatakan jalan dan hala tuju spesifik yang boleh diambil untuk menyelesaikan isu ini demi manfaat semua dengan beralih model pelancaran “Single Wholesale Network (SWN)” yang telah terbukti gagal di seluruh dunia, kepada model berjaya secara global iaitu “Multiple Wholesale Network (MWN)”.DNB akan menjadi 100% dimiliki oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Malaysian Mobile Network Operators; MNO) utama Malaysia yang akan memastikan 80% liputan di kawasan populasi (Coverage of Populated Area; CoPA) menjelang akhir 2023. MNO akan memaksimumkan kecekapan dengan memanfaatkan aset sedia ada, kepakaran dan ekosistem rakan kongsi untuk memberi impak kos terbaik kepada Rakyat.", "Langkah dan Strategi Khusus⦁MNOs memegang 100% ekuiti dalam DNB. Pemegang saham akan mempunyai hak yang sama dan saksama, selaras dengan Akta Syarikat.⦁Kerajaan akan melepaskan saham dalam DNB kepada MNO – membebaskan Kerajaan daripada beban pengendalian dan pembiayaian DNB. Kerajaan juga akan mendapatkan semula semua modal yang dilaburkan dalam DNB. Tiada saham istimewa (golden share) yang diperlukan kerana Kerajaan mempunyai hak pengawasan dan boleh mengawal selia industri melalui SKMM.⦁Spektrum dalam DNB iaitu, 700Mhz dan 3500Mhz untuk ditukar kepada Penetapan Spektrum (Spectrum Assignment). MNO akan komited untuk melabur kerana terdapat kestabilan dalam operasi. Ini juga akan meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam industri, mengujakan Bursa Malaysia (KLSE), sambil menyediakan tambahan kepada wang kerajaan. Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenepikan (waive) kos pendahuluan spektrum serta menangguhkan bayaran spektrum tahunan bagi meringankan beban MNO yang akan diwarisi daripada DNB, justeru itu membolehkan MNO menumpukan lebih banyak sumber kewangan untuk melabur dalam peningkatan rangkaian dan pengurangan kos untuk manfaat pengguna dan pelanggan (rujuk terbitan EMIR Research sebelum ini bertajuk “Malaysian 5G Rollout — Spectrum Economics & Deadweight Loss”).⦁Kerajaan segera mengembalikan neutralisme teknologi (technology neutrality) untuk membantu mempercepatkan liputan 5G kepada 80% dan untuk meningkatkan kecekapan rangkaian dan pengalaman pelanggan.Pelan Implementasi⦁MNO mesti komited untuk meneruskan pelancaran 5G oleh DNB tanpa berlengah-lengah, dengan jaminan mencapai 80% CoPA menjelang akhir 2023 dengan memanfaatkan asas-aset sedia ada mereka (contoh: tapak, gentian)—ini akan mempercepatkan pelancaran dan mengurangkan kos.⦁MNO akan mencerminkan faedah daripada kos yang lebih rendah ini kepada pembinaan akses komersial yang baru (new access constructs). Ini akan meningkatkan tahap mampu milik perkhidmatan 5G kepada Rakyat. MNO juga hendaklah menyediakan akses yang sama rata dan tanpa diskriminasi kepada semua pencari akses.⦁Meningkatkan liputan 5G luar bandar menggunakan spektrum MNO (melalui neutralisme teknologi) dan aset yang sedia ada serta menggunakan spektrum 700Mhz dengan lebih cekap.⦁Meningkatkan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi negara kepada luar bandar kepada tahap 100% dengan memanfaatkan sistem jalur lebar satelit inovatif yang tersedia dan menggunakan spektrum liputan iaitu jalur dibawah 1 GHZ seperti 700 MHZ.⦁MNO yang memperoleh kepentingan (saham) dalam DNB mesti melanggan dan menandatangani syarat ketat yang akan ditentukan oleh SKMM dari segi kualiti perkhidmatan, liputan perkhidmatan dan jaminan tahap perkhidmatan dengan garis masa tertentu yang akan dijejaki secara teknikal dengan tahap kebebasan dan kesungguhan yang tinggi, dimana kegagalan dalam pencapaian akan tertakluk kepada denda hukuman dan langkah-langkah lain yang dianggap adil dan saksama untuk memastikan matlamat dan objektif pelancaran 5G yang cekap, berkesan dan tercapai tepat pada masanya.Manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan1. Kerajaan⦁Membebaskan kerajaan daripada komitmen dan beban pembiayaan disamping mencapai pemulihan kos penuh.⦁Penambahan wang tambahan kepada wang kerajaan daripada pengagihan spektrum, memberi aliran tunai yang mampan untuk kerajaan. ⦁Faedah cukai dan duti 100% berbanding 65%.⦁MNO mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya serta akauntabiliti terhadap pelaksanaan dan memastikan capaian CoPA menjelang akhir tahun 2023 atau lebih awal.⦁Menggalakkan inovasi menerusi persaingan, membendung fenomena ‘brain drain’ yang lebih teruk daripada ekosistem dalam industri.2. Rakyat⦁Mencapai 80% CoPA menjelang akhir tahun 2023 dengan mengambil manfaat daripada kebolehan DNB dan MNO, sumber dan aset sedia ada, termasuklah (tetapi tidak terhad) kepada tapak, gentian optik dan lain-lain, kemudian diperkasakan dengan pemahaman yang segera dan holistik oleh MNO berkenaan tingkah laku pengguna, corak penggunaan, pengurusan trafik jalur lebar dan demografi.⦁Mencapai jalur lebar nasional yang berkelajuan tinggi meliputi 100% kawasan luar bandar menggunakan sistem jalur lebar satelit yang konsisten dengan keperluan pengguna dan corak penggunaan (Rajah 1).⦁Meningkatkan liputan 5G di kawasan luar bandar menggunakan spektrum MNO melalui neutralisme teknologi (technology neutrality) dan aset sedia ada, berdasarkan spektrum 700MHz yang lebih cekap (Akses Tanpa Wayar Tetap).⦁Melengkapi pelancaran 5G dengan perkhidmatan 4G kini untuk memaksimumkan kecekapan dan pengurangan kos serta meningkatkan pengalaman pengguna bergantung kepada keperluan pelanggan dan corak penggunaaan.⦁MNOs perlu menggambarkan faedah kos yang lebih rendah kepada Perjanjian Akses Baru (New Access Agreement) bagi meningkatkan tahap mampu milik perkhidmatan 5G kepada Rakyat.", "Kita perlu bertindak lebih bijak dengan menimba pengalaman di peringkat global, di mana lebih daripada 156 buah negara dan wilayah memilih persaingan sebagai asas jalan pelancaran 5G. Kita perlu bertindak lebih bijak dengan mereplikasikan model yang telah berjaya di peringkat global.", "Ayuhlah kita bertindak lebih bijak demi rakyat dan negara.PENULIS DR RAIS HUSSIN ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, badan pemikir bebas yang memberi tumpuan kepada cadangan dasar strategik berdasarkan penyelidikan rapi.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=79
Radio dan lagu raya, tidak hormat kemuncak Ramadan?
[ "SAUDARA PENGARANGLagu raya dan radio berpisah tiada. Terutamanya ketika Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Berkumandangnya lagu raya menambah seri dan meriahnya menyambut kehadiran Syawal.Namun, tidak dinafikan, ia turut mengundang perasaan yang berbeza dalam kalangan pendengar. Sebak, syahdu dan sedih kerana Ramadan berada pada penghujungnya.Menjelang minggu akhir Ramadan, adalah fasa penting meningkatkan amal ibadah dengan keyakinan tinggi adanya Lailatul Qadar. Sudah pasti ia memerlukan fokus, tenaga dan ketahanan emosi dan fizikal yang teguh.Melalui fasa endemik COVID-19, menjadi kesyukuran yang tinggi bagi umat Islam seluruh dunia kerana Ramadan dapat disambut dan dipenuhi dengan amal ibadah tanpa batas pergerakan. Masjid-masjid dan surau kembali meriah dengan kunjungan kebanyakan keluarga untuk berjemaah solat fardhu dan tarawih.", "Iftar di masjid-masjid dan surau juga menjadi medan pengumpul pahala bersedekah dan berinfak. Turut menggembirakan adalah aktiviti pengisian rohani, ceramah dan bertadarus Quran secara bersemuka dan berterusan sepanjang Ramadan. Impak emosi berbeza bila dapat berkomunikasi secara bersemuka.Namun, benarkah siaran lagu raya seolah-olah tidak menghormati kemuncak Ramadan?", "(Berbuka bersama keluarga mengeratkan hubungan kekeluargaan)", "Radio sebagai penghiburSebagai sebuah medium yang mempunyai khalayak yang tinggi, radio berperanan sebagai medium menghibur para pendengar. Laporan terkini oleh  GfK Radio Audience Measurement Survey  Radio (RAM) yang diterbitkan pada November 2022 menunjukkan bahawa aras tertinggi untuk pendengar radio Malaysia mencapai seramai 97.2% individu di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2022.Ia bersamaan dengan 21.6 juta pendengar secara mingguan. Jumlah ini menunjukkan terdapat peningkatan yang luar biasa iaitu sebanyak 300,000 orang pendengar berbanding kajian tinjauan sama pada tahun sebelumnya.Kini lagu-lagu raya mulai kedengaran di semua stesen radio tempatan. Sebenarnya muzik atau lagu adalah sebahagian kandungan utama radio kerajaan mahupun swasta.Bersempena dengan menjelangnya Syawal, sudah pasti lagu-lagu raya antara yang menarik perhatian pendengar setia, terutama pada waktu puncak segmentasi pagi (morning show) dan ketika pemanduan pulang dari tempat kerja dalam segmentasi petang (drive show).Bagi para penerbit dan penyampai radio, pastinya siaran lagu-lagu raya yang dimainkan lebih bersifat membangkitkan kemeriahan dan motivasi untuk mewujudkan 'mood' positif kepada pendengar.Lagu-lagu lama atau lagenda seperti ‘Dendang Perantau’, ‘Kepulangan Yang Dinanti’, ‘Dari Jauh ku Mohon Maaf’ masih dimainkan dan diseimbangkan dengan pilihan lagu-lagu baharu untuk memenuhi minat dan halwa telinga pelbagai kelompok pendengar. Menyantuni pendengar usia tua hinggalah meraikan anak muda remaja.", "Kebanyakan stesen radio telah matang dalam tanggungjawabnya. Mereka menghargai peminat dengan pemilihan lagu yang boleh membuatkan pendengar menyanyi bersama apabila lagu ke udara. Turut tersenyum manis dan riang ceria bersama ahli keluarga atau meredakan tekanan ketika pemanduan yang kini mulai sesak dengan kebanyakan orang yang sibuk membeli belah atau ketika pergi atau pulang dari kerja.Sudah pasti sentimen dan situasi negara yang dalam fasa pemulihan kesedihan COVID-19, fasa ekonomi yang sedang bangkit menjadikan pemilihan lagu-lagu yang dijadualkan turut memberikan suasana yang ceria dan menaikkan semangat pendengar. Itu adalah tanggungjawab sosial radio sebagai saluran media.Kandungan dan peranan radioTidak menumpukan kepada lagu raya semata-mata, sebenarnya peranan radio dalam menyubur semarak Ramadan telah bermula awal lagi.Stesen radio kerajaan dan swasta tetap menyiarkan kandungan yang mengajak kepada perkongsian ilmu melalui program-program bual bicara bersama tetamu pakar dan para asatizah.Pelbagai saranan dan nasihat melalui kapsul tazkirah, ingatan keagamaan dan kekeluargaan melalui kempen dan pesanan khidmat masyarakat juga sangat kerapkedengaran. Berita semasa dalam dan luar negara terus diberi tumpuan. Analisis ekonomi, sosial, pendidikan dan kewangan tetap menjadi agenda utama radio secara santai untuk difahami oleh keseluruhan pendengar.Pelbagai organisasi korporat terus menyumbang kepada kemeriahan Ramadan melalui iklan-iklan tanggungjawab sosialnya yang mengingatkan kepada keselamatan rumahdan semasa di jalan raya, pesanan bersifat kekeluargaan, kasih sayang dan menghormati jiran tetangga dan kaum dan bangsa yang lain.Seiring tema diketengahkan Berkat Ramadan, RTM menerusi saluran utama TV1, TV2, Okey, Berita RTM, Sukan RTM dan 34 stesen radio menghayati Ramadan ini denganpelbagai program. Lebih 130 program diterbitkan di 34 stesen radio RTM. Pengisian program khas ini menyokong ke arah Masyarakat Madani yang bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.77 tahun RTM dan kandungan radioSebagai tonggak media negara dan yang paling berperanan besar, RTM bersempena ulang tahun ke-77 turut mengatur Program Jelajah Ramadan 2023 bagi melaksanakan misi mengimarahkan bulan penuh keberkatan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah masuk tahun ke-11 penganjurannya.Kesemua 34 jenama radio RTM meneruskan tradisinya dengan penganjuran Jelajah Ramadan 2023 yang diadakan di 77 buah lokasi / 26 stesen bermula 17 Mac lalu hingga 15 April 2023.Pemilihan 77 buah masjid dan surau simbolik kepada meraikan Ulang Tahun 77 tahun RTM.Pelancaran program yang telah dilaksanakan di RTM Sabah pada 17 Mac lalu oleh Ketua Menteri Sabah dan Majlis Penutupan Jelajah Ramadan 2023 disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizudin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Perlis, Perlis.Kesemua 34 stesen radio RTM menawarkan kandungan rancangan yang padat sepanjang bulan Ramadan ini. Antara keunikannya ialah penerbitan yang menggunakan dialek masyarakat tempatan agar dapat meraih perhatian dan lebih selesa didengar oleh penduduk tempatan.NASIONALfm misalnya telah menyiarkan program “Akak Cakap Ramadan”, setiap hari, jam 7.50 pagi, 6.50 petang dan 8.50 malam. TRAXXfm pula tampil dengan program  “Light of Ramadan” pada 27 Mac lalu dan KLfm menyiarkan program “Borak Tengah Lapar” mulai 23 Mac hingga 21 April 2023, jam 4.30 petang.Menyedari semangat dan harapan sihat sepanjang Ramadan, “Tips Sihat Ramadan” pula disiarkan sepanjang Ramadan di SELANGORfm.Program “Dari Bazar ke Bazar”, setiap Sabtu dan Ahad, jam 6.00 petang di NEGERIfm, sebagai menyokong para peniaga kecil dan sederhana untuk mempromosikan produkmereka.“Pelenggaq Pak Teh Mat”, setiap Sabtu sepanjang Ramadan terbitan KEDAHfm.Sementara “Labun Mak Dara”, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 12.45 tengah hari dan 6.45 petang di PERAKfm adalah antara tarikan informasi dan hiburan secara santaiuntuk masyarakat tempatan.“Ragam Aqeel dan Ustaz Asimo” pula diudarakan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat melalui LABUANfm dan rancangan “Loya Meno Kito” sepanjang Ramadan, setiap Rabu, jam 10.30 pagi menerusi SRI AMANfm.Lagu raya sebagai tanda kesyukuranOleh yang demikian, tersiarnya lagu raya bukanlah sebagai satu kandungan yang seolahnya tidak menghormati Ramadan yang masih berbaki. Ia hanyalah sebahagian kandungan radio yang diselang selikan dengan pelbagai maklumat dan imarah Ramadan yang berterusan. Tadarus al-Quran juga masih berkumandang.Lagu raya ini malah memberi keinsafan kepada kita. Bermuhasabah diri apakah amal dan aktiviti hari-hari terdahulu kita sepanjang menjalani Ramadan. Sekuat mana kita menahan agar Ramadan ‘jangan pergi’ tetapi bulan dan hari bersilih ganti mengikut aturan dari Ilahi.Syawal, bulan anugerah yang Allah berikan kepada semua hamba-Nya untuk bergembira, meraikan kemenangan Ramadan yang telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik.Lagu raya hanyalah penyeri, menyambut Syawal dengan penuh kesyukuran seperti yang telah disunnahkan, sebagaimana telah diteladani oleh Baginda Rasulullah SAW. Hiba, sebak, gembira adalah emosi manusia. Nikmati dan syukurilah anugerah Allah bersama keluarga tersayang.PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=80
Peraturan 78 (Rule 78) membebankan peminjam?
[ "Peraturan 78 (Rule 78) merujuk kepada kaedah yang di guna oleh institusi perbankan di Malaysia bagi mengira jumlah faedah (perbankan konvensional) dan kadar keuntungan (perbankan Islam) yang di kenakan kepada peminjam.", "Peraturan juga di kenali dengan nama kaedah jumlah digit  (sum of digits). No 78 adalah jumlah ansuran untuk setahun iaitu 1+2+3+4+5+6+7+8+9+10+11+12 = 78. ", "Di Malaysia, kaedah pengiraan ini diguna pakai bagi pinjaman/pembiayaan peribadi dan pinjaman/pembiayaan kenderaan. Selain Peraturan 78, kaedah lain adalah kaedah “amortization” dan \"effective interest rate” bergantung kepada syarat-syarat dan terma-terma pinjaman/pembiayaan.", "Secara umumnya, kita mengandaikan bahawa formula pengiraan jumlah faedah/kadar keuntungan adalah berdasarkan kaedah simple interest dan jumlah faedah/kadar keuntungan akan dibahagikan kepada berapa bulan tempoh pembayaran ansuran.", "Sebagai contoh, bagi pinjaman/pembiayaan sebanyak RM10,000 dengan kadar faedah/kadar keuntungan 5% setahun dan tempoh ansuran adalah 12 bulan (1 tahun), jumlah faedah/keuntungan untuk adalah RM10,000 x 5% x 1 tahun = RM 500. Maka, jumlah faedah/keuntungan yang perlu dibayar tiap-tiap bulan adalah RM 500/12 = RM41.67.", "Tetapi berdasarkan Peraturan 78, jumlah bulanan faedah/keuntungan yang perlu dibayar oleh peminjam adalah seperti Rajah 1 berikut:", "Berdasarkan kepada Peraturan 78, peminjam perlu membayar sebahagian besar faedah/keuntungan pada awal-awal pembayaran balik pinjaman/pembiayaan tersebut, berbanding kaedah pengiraan flat interest seperti dalam Rajah 1.", "Kaedah itu membebankan dan tidak adil peminjam yang ingin membuat penyelesaian awal. Bagaimanapun, Peraturan 78 tidak akan memberi kesan sekiranya peminjam membuat pembayaran ansuran dalam tempoh yang telah ditetapkan.", "Peraturan 78 di kecam di seluruh dunia sebagai tidak adil kepada peminjam dan telah dimansuhkan di negara-negara seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.", "Di Malaysia, dalam usaha untuk menambah baik dan memodenkan Akta Sewa Beli 1967 (Hire Purchase Act 1967), pada 15 April 2023 Bank Negara Malaysia telah mencadangkan supaya Peraturan 78 ini dimansuhkan selain beberapa cadangan penambahbaikan lain.", "Bagi institusi perbankan, kebaikan menggunakan Peraturan 78 adalah:", "1. Pembayaran balik lebih cepatMenurut Peraturan 78, peminjam membayar sebahagian besar faedah/keuntungan di awal-awal pembayaran balik pinjaman/pembiayaan. Ini mempercepatkan pembayaran pokok pinjaman berbanding dengan kaedah pembayaran balik yang lain. Ini mengurangkan pendedahan bank kepada risiko kredit serta menambah baik kedudukan kewangan bank;", "Memandangkan jumlah pokok pinjaman di bayar lebih cepat di bawah Peraturan 78, bank boleh menggunakannya untuk memberi pinjaman/pembiayaan yang baru dan menambahkan jumlah faedah/kadar keuntungan serta meningkatkan keuntungan bank;", "3. Mempertingkatkan aliran tunaiPeraturan 78 menyediakan aliran aliran tunai yang boleh diramal untuk bank, kerana mereka boleh menjangkakan jumlah faedah dan bayaran pokok pinjaman yang akan mereka terima setiap bulan;", "4. Mengurangkan risiko perubahan kadar faedahBawah Peraturan 78, komponen faedah setiap pembayaran berkurangan dari semasa ke semasa, yang mengurangkan pendedahan bank kepada risiko kadar faedah;", "Bank boleh menawarkan kepada peminjam pelbagai terma pembayaran balik di bawah Peraturan 78, membolehkan mereka menyesuaikan pinjaman/pembiayaan dengan keperluan khusus pelanggan mereka.Bagaimanapun, Peraturan 78 juga membebankan peminjam seperti berikut: ", "1. Kos faedah/pembiayaan lebih tinggiBawah Peraturan 78, peminjam membayar lebih banyak faedah dalam tempoh awal bayarn balik pinjaman/pembiayaan. Ini boleh menyebabkan kos faedah keseluruhan yang lebih tinggi berbanding kaedah pengiraan faedah lain, terutamanya jika peminjam membayar balik pinjaman awal atau jika pinjaman mempunyai jangka masa yang lebih pendek;", "2. Kekurangan ketelusanPeraturan 78 boleh menjadi kaedah pengiraan faedah yang agak tidak telus, yang mungkin menyukarkan peminjam untuk memahami cara pembayaran mereka di bahagikan antara jumlah pokok dan faedah pinjaman/pembiayaan. Ini juga boleh menyukarkan peminjam untuk membandingkan tawaran pinjaman/pembiayaan dari institusi perbankan yang lain;", "3. Fleksibiliti terhadPeraturan 78 boleh menjadi tidak fleksibel dari segi jadual pembayaran balik, kerana amaun faedah/keuntungan dan pokok pinjaman/pembiayaan yang dibayar oleh peminjam dalam setiap ansuran ditentukan terlebih dahulu berdasarkan jumlah pinjaman, tempoh dan kadar faedah/keuntungan. Ini mungkin menyukarkan peminjam untuk melaraskan pembayaran mereka agar sepadan dengan perubahan dalam keadaan kewangan mereka.", "4. Penalti prabayarOleh kerana Peraturan 78 menetapkan bahagian faedah/keuntungan setiap pembayaran di awal tempoh pembayaran, peminjam yang membayar balik pinjaman/pembiayaan mereka lebih awal mungkin masih perlu membayar sejumlah besar amaun faedah/keuntungan. Ini boleh mengakibatkan penalti prabayaran atau yuran lain yang meningkatkan kos keseluruhan pinjaman/pembiayaan untuk peminjam.", "Cadangan pemansuhan Peraturan 78 oleh Bank Negara Malaysia adalah langkah yang baik dan perlu di sokong oleh institusi perbankan di Malaysia. Langkah itu juga sesuai dengan objektif Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewanga Islam 2013 iaitu menjaga kepentingan pengguna.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=81
Raya mengejut? Penetapan ada hikmah tersendiri
[ "(Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali)", "SAUDARA PENGARANGSejak zaman Rasulillah (SAW) tarikh permulaan puasa dan hari raya kekal menjadi rahsia; ditentukan pada hari ke-29 malam 30 Syaban atau hari ke-29 malam 30 Ramadan dengan melihat anak bulan ketika terbenamnya matahari. Sekiranya bulan kelihatan maka keesokkannya adalah permulaan puasa atau raya. Jika bulan tidak dapat dilihat disebabkan terlindung oleh awan maka digenapkan Syaban 30 hari atau Ramadhan 30 hari.Ia berdasarkan Hadis Nabi (SAW) riwayat Bukhari dan Muslim.", "                                  صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُمِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا العَدَدَ", "Berpuasalah kamu kerana melihatnya (bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Maka sekiranya terlindung pada kamu oleh awan maka sempurnakanlah bilangan (30)\".Berpandukan ilmu astronomi kedudukan bulan pada waktu terbenamnya matahari pada hari ke-29 Syaban atau Ramadan telah dapat dihisab dan diketahui sama ada kemungkinan dapat dilihat atau tidak.Apabila diketahui ia berkemungkinan dapat dilihat maka tinggal lagi ketika cerapan dibuat adakah bulan boleh dilihat atau terlindung oleh awan?Keadaan inilah yang membawa kepada perbezaan tarikh permulaan puasa dan raya antara negara-negara umat Islam samada yang sama pada tempat terbitnya bulan dari sudut geografi atau tak sama disebabkan jarak dan masa yang berbeza. Perbezaan ini adalah dengan hikmah tersirat yang dikehendaki oleh Allah.Dalam pengurusan pentadbiran semasa keputusan untuk pengumumam rasmi puasa dan raya diserahkan kepada pihak berwajib setelah proses cerapan dibuat di seluruh negara.Justeru, tidak berbangkit puasa atau raya mengejut kerana sememangnya umat Islam telah terlatih dan bersedia dengan amalan penentuan puasa atau raya dibuat sebegitu pada malam ke-30 sejak dahulu dengan hikmah tersendiri yang dikehendaki oleh Allah.Tinggal lagi dari sudut pengurusan dan pentadbiran negara. Dengan cuti awal persekolahan pada tahun ini bermula Rabu, 19 April 2023 sebagaimana diumumkan oleh Menteri Pendidikan iaitu hari ke-28 Ramadan ia memudahkan pengurusan rakyat yang secara tradisinya pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya.Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.", "PENULIS DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=82
Berpada-pada anjur rumah terbuka elak pembaziran makanan
[ "Selepas tiga tahun “berperang” dengan COVID-19, trend rumah terbuka Aidilfitri tahun ini, dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.", "Pelbagai pihak, tidak kira individu, agensi kerajaan mahupun swasta, pastinya mengambil peluang untuk menganjurkan rumah terbuka. Ia bagi mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang bangsa.", "Namun, dalam keghairahan menganjurkan rumah terbuka -- rakyat perlu sedar, hasrat tersebut berpotensi memburukkan lagi masalah pembaziran makanan di negara ini.", "Sikap tuan rumah yang biasanya menyediakan hidangan yang berlebihan bagi memastikan makanan cukup untuk tetamu, berisiko tinggi berakhir di tong sampah apabila makanan tersebut tidak habis dimakan.", "Justeru, tidak hairanlah pembaziran makanan mencatatkan peningkatan antara 15% hingga 20%, setiap kali musim perayaan.", "Malah, data yang dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) menunjukkan Malaysia menjana sisa makanan per kapita tertinggi di Asia Tenggara dengan 91 kilogram setahun.", "Rakyat negara ini pula dilaporkan membuang 17-ribu tan sisa makanan setiap hari. 24% atau 4080 tan daripadanya merupakan lebihan makanan tidak disentuh dan masih boleh dimakan.", "Suatu angka yang boleh mengisi perut 3 juta orang sehari dengan tiga kali hidangan. Isi rumah di negara ini pula secara puratanya kerugian RM210 setiap bulan atau RM2600 setahun akibat pembaziran makanan. ", "Jika keadaan tersebut berterusan, Malaysia mungkin berdepan masalah penyediaan tapak pelupusan. Ini memandangkan jangka hayat tapak sedia ada semakin kritikal. Johor dan Melaka berdepan situasi paling serius akibat peningkatan sisa makanan yang mencecah lebih 16,000 tan sehari.", "Tapak pelupusan di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing yang sudah menjangkau usia lebih 25 tahun, dijangka mampu bertahan selama tiga tahun sahaja lagi.", "Situasi sama turut berlaku di tapak pelupusan sampah Sungai Udang, Melaka. Sementara jangka hayat tapak pelupusan di Bukit Tagar, Selangor dijangka boleh bertahan selama 50 tahun lagi.", "Hakikatnya, isu sisa makanan bukan sahaja memberi tekanan kepada tapak pelupusan sampah, tetapi turut meningkatkan ancaman kepada alam sekitar. Ini menerusi pelepasan gas metana, sejenis gas rumah hijau yang memberikan kesan lebih teruk terhadap pemanasan bumi berbanding karbon dioksida.", "Tapak pelupusan menghasilkan gas metana rumah hijau yang 21 kali lebih kuat daripada karbon dioksida. 7% gas rumah hijau yang terhasil di seluruh dunia, adalah disebabkan oleh sisa makanan. Situasi berkenaan mengancam alam sekitar, menyebabkan pencemaran, meningkatkan suhu dunia, mitigasi perubahan iklim dan mengganggu pola cuaca seperti hujan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan bencana seperti banjir.", "Sehubungan itu, kempen kesedaran menerusi media arus perdana dan media sosial semata-mata tidak cukup untuk menangani isu tersebut. Pihak berkuasa dan berkepentingan perlu turun padang menjalankan program dengan lebih agresif. Namun, paling utama, berhemah dalam berbelanja untuk makanan.", "Penganjur rumah terbuka perlu merancang menu serta jumlah tetamu bagi mengelak risiko pembaziran makanan. Selain menyajikan makanan yang telah siap dibungkus agar senang dibawa pulang.", "Sikap sedemikian bukan sahaja boleh menyumbang kepada penjimatan belanja harian isi rumah -- malah, boleh membantu negara dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan untuk memproses sisa pepejal.", "Pada masa sama, dapat membantu dalam usaha negara mengurangkan impak negatif yang boleh terhasil daripada pembaziran makanan kepada alam sekitar. Hargai Makanan, Elak pembaziran!", "PENULIS HASLINDA HASSAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=83
Kebolehpasaran graduan: Serlah potensi ketika latihan industri
[ "Bekerja dalam bidang yang setara dengan bidang pengajian semasa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah antara impian dan matlamat graduan seusai menerima diploma, ijazah pertama mahupun di peringkat lebih tinggi iaitu sarjana atau PhD. ", "Namun keadaan ini perlu dilalui dengan persaingan sangat besar, dan perlu ditambah nilai dengan ketrampilan, kredibiliti dan potensi diri yang diyakini oleh majikan.", "Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaporkan bagi tahun 2021; kadar kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 85.5% iaitu sedikit peningkatan  (1.1%) berbanding tahun sebelumnya.", "Daripada jumlah itu graduan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan merupakan kelompok yang merekodkan kebolehpasaran tertinggi iaitu sebanyak 88.6%, diikuti bidang sains, matematik dan komputer iaitu 87.2%.", "Menariknya graduan lulusan Politeknik dan Kolej Komuniti merekodkan kadar kebolehpasaran jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 93.7% dan 94.8% berbanding graduan Universiti Awam iaitu sebanyak 88.2%.", "Situasi ini memberi sedikit gambaran bahawa graduan yang mempunyai kemahiran khusus dan berasaskan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah lebih tinggi  pasaran kerjanya (berdasarkan laporan sama, kebolehpasaran graduan TVET adalah sebanyak 88.0%).", "Bagaimanapun graduan pelbagai bidang lain tetap mempunyai peluang untuk sama-sama menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara dengan kesediaan ‘tambah nilai’ keterampilan diri.", "Kesediaan untuk belajar berterusan, menerima teguran dan pandangan,  menerima tugas dengan penuh tanggungjawab dan cepat melaksanakannya adalah antara keutamaan majikan masa kini. Apatah lagi sekiranya seseorang itu boleh melaksanakan kerja secara multifungsi.", "Para graduan sewajarnya mengambil berat dan peka dengan  persekitaran baharu pasaran kerja yang memerlukan sumber insan yang cekap, berkemahiran teknologi digital dan pantas dalam membuat tindakan dengan pemantauan minimum.", "Penerapan nilai tambah ini sebenarnya bermula semasa latihan industri yang menjadi prasyarat utama bagi kebanyakan program untuk melengkapkan pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda.", "Seringkali kita dengar bahawa latihan industri atau praktikal adalah platform terbaik  meletakkan ‘sebelah kaki’ graduan dalam pasaran kerja sebenar.", "Ini benar! Latihan industri adalah jambatan untuk menyerlah potensi diri, fokus mengaplikasi teori dan pengetahuan asas di universiti kepada penghasilan kerja untuk mencapai standard diperlukan oleh organisasi berkaitan.", "Tempoh masa menjalani latihan industri bergantung kepada program pengajian diambil selaras dengan jumlah jam kredit ditetapkan oleh pihak universiti dan KPT.", "Ada sebahagiannya menjalani latihan selama tiga bulan, empat bulan malah ada yang sehingga enam bulan.", "Dalam tempoh ini, terdapat beberapa strategi yang seharusnya diambil peluang sebaik-baiknya oleh pelatih untuk memastikan majikan atau penyelia industri melihat kewujudan (visibility) dan keistimewaan mereka.", "Berdasarkan pemerhatian teliti penulis yang terlibat sebagai penyelia akademik, hasil pertemuan dan perbincangan dengan penyelia industri, terdapat tiga perkara utama yang menjadi tumpuan majikan dalam mengenal pasti keterampilan (competency) pelatih dalam menjalankan tugasan yang diberikan.", "Kemahiran berkomunikasi menjadi asas utama kepada keserasian bekerja dalam tempoh yang ditetapkan. Berkomunikasi tidak saja dengan penyelia yang memberikan tugasan dan menilai, malahan komunikasi dengan rakan sekerja dan pelanggan, sama ada berkaitan kerja atau sekadar sapaan hormat antara satu sama lain. Kemahiran berkomunikasi ini juga akan menjadikan persekitaran kerja yang harmoni dan mengembirakan.", "Kelemahan berkomunikasi atau paling teruk hanya duduk bersendirian dan menunggu tugasan diberikan  akan mengakibatkan pelatih rasa ‘terbiar’, lesu dan tidak proaktif. Situasi itu jika berlarutan lebih dua minggu, akan menyebabkan pelatih sendiri akan hilang motivasi dan rasa terpinggir. ", "Implikasinya, majikan akan melihat pelatih sebagai  tidak berminat dengan latihan, tiada keyakinan diri, tidak boleh menjalankan tugasan dan tiada ciri istimewa untuk disenarai pendek sebagai bakal pekerja yang berpotensi.", "Bukan saja majikan, malah dalam kebanyakan situasi kita sering melihat aspek displin dan komitmen sebagai penanda aras kepada peribadi seseorang. Setiap organisasi memiliki peraturan dan tata urus kerja yang berbeza berdasarkan matlamat organisasi. Maka adalah penting seseorang pelatih mematuhi displin yang ditetapkan sebagai satu bukti komitmen terhadap kerja yang diamanahkan.", "Displin dan komitmen ini sering dikaitkan dengan ketepatan masa, hasil kerja yang baik, pematuhan prosedur kerja, kesungguhan dan kecekapan dalam menjalankan tugas dan penampilan personaliti yang bersesuaian. Ciri ini menjadi kriteria utama pemilihan pekerja untuk jangka masa panjang.", "Menariknya, hasil perbincangan penulis mendapati majikan dengan yakin dan berbangga menyatakan bahawa pelatih akan terus diserap sebagai pekerja sebaik selesai latihan industri dengan gaji lulusan sarjana muda walaupun belum mendapat transkrip penuh atau berkonvokesyen. Faktor displin, komitmen dan kecekapan yang menyerlah menjadi tarikan dan kepercayaan utama majikan.", "Nah! Inilah contoh pelatih yang memanfaatkan latihan industri untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja yang kian mencabar. Fokus kepada potensi diri dan tidak membuang masa dengan menganggap latihan industri sebagai sesi pengajian yang terpaksa diikuti.", "Tidak dapat dinafikan keperluan teknologi digital yang mempengaruhi kondusi pasaran serta ekonomi Malaysia dan antarabangsa, pelatih yang mampu, mahir dan cekap menggunakan teknologi digital menjadi aset berharga.", "Kebanyakan industri seperti media, kawalan keselamatan, kewangan dan perbankkan, malah pengurusan sumber manusia dan industri halal sangat berkait rapat dengan sistem, perisian dan teknologi digital semasa. Oleh kerana masyarakat hari ini adalah masyarakat berteknologi maka penyedia kandungan dan perkhidmatan perlu lebih pantas dan sentiasa mengemas kini pengetahuan dan kemahiran teknologi.", "Perkhidmatan kawalan keselamatan elektronik yang kian berkembang dan mempunyai permintaan tinggi misalnya, memerlukan kepakaran pekerja yang baik dalam pemantauan sistem keselamatan pejabat atau bangunan kediaman.", "Selari dengan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Februari 2023,  bilangan penduduk Malaysia yang bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit; dan pentadbiran dan khidmat sokongan.", "Menariknya kini penjual ikan di pasar pun tidak bergantung harap kepada pelanggan yang datang membeli, namun mereka telah meningkatkan kaedah penawaran jualannya melalui siaran langsung di Facebook dan Instagram.", "Realitinya juga; peniaga Bazar Ramadan pun kini selesa mempamerkan QrCode atau nombor akaun  di atas meja jualan kuih muih, tanpa risau aliran tunai keuntungan jualannya. Para pembeli digital pun tidak lagi canggung menggunakan pelbagai aplikasi kewangan bagi tujuan pembayaran. Tidak lagi risau tiada wang tunai di tangan.", "Jika begini fenomenanya, maka sewajarnyalah graduan dekad ini perlu lebih terampil dalam penggunaan teknologi digital bagi mewujudkan persaingan sihat selaras dengan pemulihan ekonomi negara yang perlu berlaku dengan lebih cepat.", "Tanpa meminggirkan aspek keselamatan dan jurang celik digital antara kelompok masyarakat yang masih perlu diambil perhatian oleh individu dan kerajaan. Kesedaran perlu ditingkatkan dengan pendedahan dan pendidikan yang berterusan.", "Dalam usaha menjayakan masyarakat Malaysia Madani, sudah pasti aspek ihsan dan ketakwaan kepada Allah menjadi tiang kukuh ketamadunan sumber insan yang dihasratkan. Ini kerana sumber insan yang beradab tinggi, dan saling menghormati, faham perbezaan agama dan budaya akan membetuk persekitaran kerja dan negara yang harmoni. Sudah pasti ia juga perlu diasaskan dengan gandingan ilmu, iman dan amal dari pendidikan yang sistematik.", "Semoga angka 591,900 penganggur di Malaysia sehingga Februari 2023 seperti yang laporan media baru-baru ini; akan terus menurun selaras dengan pelbagai usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan.", "Diharap juga trend kadar penduduk yang bekerja sendiri malah membuka peluang pekerjaan  juga terus meningkat sejajar peningkatan literasi teknologi rakyat Malaysia melalui pelbagai sokongan dan insentif kerajaan serta syarikat-syarikat korporat atau GLC.", "Graduan baharu perlu giat dan kreatif dalam mencipta pekerjaan (bukan mengharap pekerjaan) dengan menteladani kemunculan usahawan-usahawan teknologi digital yang berpendidikan tinggi yang kini turut menjadi inspirasi masyarakat. ", "PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=84
Malaysia Madani pemacu matlamat pembangunan negara mampan
[ "Perbincangan mengenai pembangunan mampan menjadi hangat setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Sustainable Development Goals (SDGs) pada September 2015. Sebanyak 162 negara, termasuk Malaysia, telah bersetuju menerima agenda tersebut yang bertujuan menoktahkan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan kesejahteraan untuk semua menjelang 2030.", "Pada tahun 2019, menurut SDG Index, Malaysia di posisi ke-68 daripada 162 negara di dunia yang komited dengan agenda tersebut.", "Elemen kemampanan tersebut juga menjadi teras utama visi dan kerangka pembangunan Malaysia Madani yang umumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 19 Januari 2023. Selain daripada kemampanan, teras lain termasuk kesejahteraan, daya cipta (inovasi), hormat, keyakinan dan ihsan.", "Kemampanan (sustainable) menurut PBB, dalam konteks SDGs, adalah keupayaan untuk memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.", "Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menjelaskan konsep kemampanan dalam blueprint Malaysia Madani mengambil kira kepelbagaian budaya, kaum, agama dan struktur masyarakat Malaysia, sumber – sumber bumi di Malaysia serta semua bentuk kehidupan di Malaysia.", "Dalam erti kata lain, kemampanan yang beliau sarankan adalah lebih holistik dan saling berkait mengambil kira setiap sisi kehidupan masyarakat Malaysia.", "(Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri)", "Beliau menulis,“Selaras dengan kedudukan manusia sebagai khalifah beramanah untuk mengelola alam yang luas ini, tanggungjawab murni buat memastikan kesejahteraan hidup semua makhluk di bumi harus menjadi prinsip utama dalam kerangka besar Madani.", "Kekayaan sumber asli negara serta kepelbagaian flora haruslah di pelihara. Kebajikan haiwan harus terbela sementara segala bentuk penganiayaan mesti di hentikan…. Dan lebih daripada itu, kita ingin wujudkan kemampanan masyarakat, pembangunan bandar dan luar bandar, kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan, demokrasi serta kesejahteraan ekonomi dan psikologi rakyat.”", "Antara inisiatif yang boleh di laksanakan bagi membangunkan sebuah negara mampan adalah:", "Pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk pembangunan mampan, tetapi ia harus dicapai dengan cara yang mampan dari segi alam sekitar dan sosial. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan ekonomi yang melibatkan perkongsian, pemajakan, penggunaan semula, pembaikan, membaik pulih dan mengitar semula bahan dan produk sedia ada untuk selama mana mungkin. Ia juga boleh di capai dengan pelaburan dalam infrastruktur mampan, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, dan menyokong teknologi hijau.", "Ketidaksamaan sosial boleh menjadi penghalang kepada pembangunan mampan. Untuk membangunkan negara yang mampan, adalah penting untuk menangani isu seperti kemiskinan, akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, ketidaksamaan jantina dan pengecualian sosial.", "Penggunaan dan pengeluaran mampan melibatkan pengurangan penggunaan sumber asli, mengurangkan sisa, dan menggalakkan pengeluaran dan corak penggunaan yang bertanggungjawab. Ini boleh dicapai melalui dasar yang memberi insentif kepada amalan mampan, seperti pelabelan mesra alam sekitar dan pembelian produk dan perkhidmatan yang memberi kesan negatif minimum kepada alam sekitar.", "Perlindungan alam sekitar adalah penting untuk pembangunan mampan. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, melindungi biodiversiti, dan menggalakkan pertanian dan amalan perhutanan yang mampan.", "Pengangkutan mampan melibatkan mempromosikan mod pengangkutan rendah karbon, seperti berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam. Ini boleh membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan kualiti udara. Memupuk Komuniti LestariKomuniti mampan melibatkan menggalakkan perpaduan sosial, mengurangkan kemiskinan, menggalakkan perumahan mampan, dan menggalakkan kewarganegaraan aktif. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan penglibatan masyarakat, menyokong ekonomi tempatan, dan menggalakkan perancangan bandar yang mampan.", "Secara keseluruhannya, membangunkan negara yang mampan memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu yang mengambil kira faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ini memerlukan kepimpinan yang kukuh, dasar yang berkesan, dan penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan individu.", "PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=85
Mercun kembali dibenarkan, ada kewajaran di sebaliknya?
[ "Bagaikan sudah sinonim perayaan dan mercun dalam kehidupan masyarakat Malaysia; tidak kira dalam apa juga perayaan. Baik Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali mahupun Krismas.", "Pasti akan ada kanak-kanak dan orang dewasa teruja bermain mercun, juga bunga api. Barulah terasa kemeriahannya, betul?", "Manakan tidak, semuanya akan disertai dengan bunyi letupan, diiringi cahaya berwarna-warni. Jika Aidilfitri, senada pula dengan lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma. Antara liriknya .. \"Dam dam dum bunyi mercun, Kanak-kanak segera datang berduyun, Dam dam dum mercun berdentum, Semaraklah hari raya ini tahun\".", "Nah, mengapa perkara ini dibangkitkan? Tidak lain tidak bukan kerana bermula perayaan Aidilfitri tahun ini, penjualan mercun dan bunga api kembali dibenarkan. Ia selaras keputusan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada awal Februari lalu, untuk menarik balik larangan itu. Bermakna, penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak tahun 1995 akan dibenarkan semula!", "Ya, sebelum ini arahan larangan bermain mercun dan bunga api diputuskan kerajaan pada 1995 di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207). Mereka yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh didenda, dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.", "Ternyata, larangan itu sudah tentu bersebab. Acap kali sejak puluhan tahun lalu, mercun dan bunga api sudah jadi kemestian pada mana-mana musim perayaan sekalipun. dan, saban tahun jugalah kedengaran kes kecederaan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Antaranya seperti buta mata, putus jari dan kebakaran atau melecur pada tubuh badan.", "Rentetan itu ... memang sudah diduga. Ada 'bunyi-bunyi' tak puas hati dalam kalangan rakyat yang tidak yakin dengan keputusan kerajaan kali ini. Terdapat juga golongan yang menerima tapi masih berbelah bahagi. Segelintir lagi, tidak kisah langsung!", "Dalam hal ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, meskipun kebenaran diberi, namun semestinya ia masih tertakluk peraturan serta garis panduan yang dikeluarkan. Termasuk dari segi permohonan permit atau lesen.", "Sesungguhnya, keputusan yang dibuat, berpaksikan alasan dan sebab yang kukuh. Ada kewajarannya di sebaliknya.", "(Pengarah JKDM Pulau Pinang Hamisan Kalib (duduk dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun, bunga api dan pelbagai barangan elektrik bernilai hampir RM1 jutatermasuk cukai ketika sidang media di Stor Simpanan Kastam Bagan Jermal pada 18/01/2023/Foto Bernama)", "Umum mengetahui, walaupun berbahaya, dan telah pun diharamkan penjualannya, mercun dilihat terus mendapat permintaan tinggi 'dalam pasaran gelap' setiap kali menjelangnya musim perayaan.", "Lumrah ... sesuatu perkara yang lagi dihalang, lagi besar keinginan untuk melakukannya. Sama situasinya dengan bermain mercun dan bunga api. Meskipun sedar keburukannya banyak berbanding kebaikan.", "Ke arah itu, apa yang dilihat kerajaan perpaduan kini, misi mencari sesuatu yang membawa kebaikan bersama, di sebalik sesuatu yang tidak dapat dihalang sepenuhnya.", "Dari segi penjualan mercun, mengekang atau meminimumkannya mungkin sudah tidak berkesan. Mengapa tidak memberi kebenaran tersebut untuk membawa manfaat kepada negara? Meningkatkan hasil negara, dan mempertingkat keselamatan orang ramai.", "Ini berbanding mengharamkannya, tapi tetap berdepan peningkatan dalam kegiatan penyeludupan bahan letupan itu yang akhirnya merugikan negara. Tetapi mendatangkan keuntungan berganda kepada pelakunya. Serta makin banyak mendatangkan risiko kecederaan akibat kemasukan secara haram mercun tanpa tapisan.", "Sudah tentu segala baik buruk telah diteliti. Ada kawalannya, bukan diluluskan secara semberono. Ke arah itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 27 Mac lalu mengumumkan kebenaran penjualan sebanyak 45 jenis bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan dijual hanya ketika musim perayaan.", "Itu antara enam garis panduan yang ditetapkannya dengan pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia, termasuk membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan.", "Sementara kelulusan untuk mengimport, menyimpan dan menjual mercun dihadkan kepada 27 buah syarikat yang mematuhi garis panduan serta syarat PDRM. WAJIB diperbaharui setiap tahun. Di samping menyediakan ruang simpanan yang mematuhi spesifikasi ditetapkan.", "Merujuk perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut mensyaratkan penjualannya dilakukan secara terbuka iaitu di kedai-kedai dan pusat beli belah.", "Sebarang bentuk penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian ataupun dalam media sosial dilarang, walaupun membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk jualan.", "Di samping itu ia perlu dihadkan kepada jenis serta kategori tidak berisiko tinggi yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam. Selain tidak membenarkan individu berumur bawah 18 tahun, membelinya. Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya ada aduan dikesan.", "Orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang dengan hanya membeli dari penjual yang mempunyai permit jualan yang sah.", "Apa yang pasti, pihak kerajaan berkemungkinan akan menarik balik larangan terhadap bunga api dan mercun pada tahap tertentu.", "Sesungguhnya, usaha mengekang kegiatan penyeludupan dan penjualan mercun perlu dibuat secara berterusan, bukannya sekadar sambil lewa. Tanpa mengira perayaan apa yang diraikan, perlu ada undang-undang dan peraturan yang jelas. Tidak terkecuali -- sikap tanggungjawab masing-masing.", "Buat sesuatu, sebaiknya jangan sampai mengganggu dan membahayakan diri sendiri dan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling demi keselamatan semua pihak.", "EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=86
Tidak lagi canggung guna teknologi digital
[ "SAUDARA PENGARANGMengimbau jerihnya pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun, memang agak menyakitkan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa turut menjejaskan emosi dan semangat kebanyakan orang awam.Banyak aktiviti ekonomi, pendidikan dan sosial terhenti atau tersekat disebabkan PKP. Hanya aktiviti-aktiviti di hospital dan pusat-pusat kesihatan yang rancak tanpa henti 24 jam. Pihak berkuasa terutama polis dan tentera, juga petugas kesihatan antara yang terkesan langsung. Ramai dalam kalangan mereka turut keletihan dan terjejas kesihatan ekoran waktu kerja lebih panjang demi memastikan penularan COVID-19 dapat dihentikan.Namun, hikmah PKP dan COVID-19 memberikan impak besar terhadap pengecilan jurang teknologi digital dan komunikasi. Di bandar atau di kampung, kaya atau miskin, profesional mahupun tanpa pekerjaan sekali pun.PKP fasa mesra teknologi digitalKetika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, kebanyakan individu telah mulai berjinak mesra dengan teknologi komunikasi. Terkejut. Terpaksa. Tiada pilihan! Begitulah perasaannya semasa awal PKP. Ini kerana hanya pergerakan saja yang dikawal, namun aktiviti utama perlu diteruskan. Konsep bekerja dari rumah diperkenalkan. Urusan bank dengan hutang piutang tetap perlu dilunaskan.Guru tadika, Sekolah Kebangsaan dan Menengah sehinggalah ke Pensyarah IPT walau tiada pengalaman dan latihan mencukupi sebelumnya, tiada alasan sempat disuarakan. Ini kerana tugas mendidik dan memperkenalkan seawal huruf ABC dan nombor 123 tetap perlu diteruskan. Termasuk kuliah statistik, rekabentuk dan sains sukan misalnya turut perlu diteruskan secara maya. Pelbagai gelagat dapat disaksikan. Kadangkala lucu dan meletihkan, malah sering juga sedikit mengecewakan apabila hasilnya kurang memberangsangkan. Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perdana Menteri bertarikh 28 April 2022, berhubung laporan survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan capaian isi rumah kepada internet menunjukkan peningkatan kepada 95.5 peratus pada tahun 2021 berbanding 91.7 peratus pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus.", "Capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus pada tahun 2021 ketika kemuncak PdPR dijalankan. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan internet isi rumah. Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran atas talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus formal atas talian meningkat kepada 29.9 peratus (2021) daripada 18.0 peratus pada tahun sebelumnya. Manakala peratusan individu yang merujuk laman web untuk pembelajaran formal seperti Wikipedia dan Ensiklopedia pula telah meningkat daripada 40.3 peratus pada 2020 kepada 59.0 peratus pada 2021. Dalam laporan sama kepada penggunaan internet, peratusan individu yang menggunakan komputer meningkat kepada 83.5 peratus pada 2021 (2020:80.0%). Peratusan individu yang menggunakan telefon bimbit turut meningkat kepada 98.7 peratus (2020:98.2%). Situasi ini menjelaskan bahawa penggunaan teknologi digital dan komunikasi menjadi satu kemestian seiring dengan senario semasa. Ia menjadi semakin pesat apabila negara memasuki fasa endemik serta pemulihan ekonomi. Fenomena teknologi pendidikan digital masa kiniTeknologi digital telah memberikan impak yang besar terhadap kehidupan manusia dalam banyak aspek. Boleh dikatakan bahawa peningkatan dalam penggunaan teknologi digital merupakan salah satu hikmah terbesar endemik COVID-19. Dalam era revolusi 4.0 ini, teknologi digital berkembang pesat dan menjadi sebahagian penting kehidupan sehari-hari. Dengan kecanggihan teknologi digital semasa, kita dapat berkomunikasi secara berkesan dan interaktif dengan siapa saja dan di mana jua.Namun, kepesatan teknologi digital juga memberikan perspektif yang berbeza bagi kebanyakan kita. Terutama dalam hal memahami bagaimana teknologi digital bekerja dan bagaimana ia dapat digunakan secara bijak terutamanya dalam aspek pendidikan. Pada dasarnya, teknologi digital dan komunikasi dapat digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan, namun baik atau buruknya bergantung kepada penggunaannya.Kini kaedah pembelajaran teradun, hibrid, “flipped”, gamifikasi dan pelbagai lagi pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang mengintegrasikan teknologi pendidikan digital giat dilaksanakan. Kaedah-kaedah ini bersesuaian dengan perkembangan dan keperluan pendidikan era revolusi 4.0 dengan kelas dan kuliah secara maya, bukan lagi suatu yang asing. Kuliah dan tutorial secara segerak (synchronous) dalam talian menggunakan platform telesidang seperti google meet, zoom dan webex, menjadi selesa dan akrab. Meskipun pada peringkat awal, guru berhadapan masalah untuk memastikan keterlibatan pelajar. Kini, pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Web 4.0 seperti Canva, Mentimeter, Quizlet, Padlet, augmented reality dan banyak lagi yang menyokong penglibatan aktif dan kolaboratif pelajar serta dapat memberi pengalaman pembelajaran imersif maya. Penggunaan platform Learning Management System (LMS) dan Content Management System (CMS) seperti google classroom, microsoft teams, Edmodo, mahupun moodle juga telah ditambah baik dan direka bentuk khas mengikut keperluan institusi menjadikan pengurusan pembelajaran secara teradun lebih berkesan. Melalui penggunaan LMS, pengurusan rekod pelajar juga bertambah baik. Tiada lagi guru perlu memanggil nama murid satu persatu untuk mengesahkan kehadiran. Hanya dengan mengimbas QR Code atau menggunakan google attendance, rekod kehadiran semuanya disimpan dengan selamat.Selain itu, banyak fail dan kertas dapat dijimatkan apabila kaedah penghantaran tugasan dilaksanakan secara dalam talian yang turut bersifat mesra dan bijak pengguna. Tiada lagi kertas-kertas tugasan yang terhimpun, hanya perlukan fail maya atau folder simpanan tugasan. Kaedah semakan dan penandaan pelbagai tugasan dan peperiksaan turut menjadi mudah. Bentuk tugasan juga dihasilkan dalam pelbagai media yang lebih kreatif, disesuaikan dengan objektif pembelajaran sesuatu kursus atau subjek.Pembentangan tugasan secara dalam talian juga menjadi lebih kemas, jelas dan interaktif bukan sahaja antara pelajar dan pensyarah atau guru, malah sesama rakan pelajar turut berinteraksi dengan baik. Apatah lagi dengan generasi anak-anak sekarang yang lebih pantas dalam mengadaptasi penggunaan teknologi. Bukan sahaja para guru yang berusaha menghasilkan kandungan digital seperti persembahan multimedia dan video untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran, malah para pelajar juga terkehadapan dalam menghasilkan kandungan digital mereka sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Malah, kanak-kanak seawal umur sembilan tahun pun telah bijak menyunting video anime kegemaran sendiri dengan menggunakan aplikasi CapCut menerusi telefon pintar. Perkembangan dan penerapan teknologi digital dalam pendidikan ini berupaya meningkatkan kemahiran abad ke-21 pelajar atau lebih dikenali sebagai 4K iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis melalui pembelajaran berpusatkan pelajar. Terkini, perkembangan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligent) dilihat akan mengubah lanskap pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan dan kehidupan seharian. Teknologi berasaskan pembelajaran mesin (machine learning) ini mampu menjadikan pembelajaran mahupun tugasan harian lebih personal dan efektif. Menggunakan aplikasi tertentu, contohnya ChatGPT, pelajar boleh mendapatkan bantuan untuk menghasilkan karangan, membuat ulasan, mahupun mencipta lirik lagu dalam masa yang singkat. Namun, pada masa yang sama, teknologi ini dilihat mampu menggugat kualiti pembelajaran sekiranya tidak diterap dengan bijak. Fahami etika Dalam keghairahan meneroka dan memanfaatkan teknologi digital dan komunikasi seseorang individu bagaimanapun perlu berhati-hati dan peka dengan pelbagai isu semasa. Kefahaman terhadap etika, undang-undang dan tatacara dalam menggunakan teknologi digital perlu menjadi perhatian utama. Aspek keselamatan dan privasi diri sendiri dan orang lain wajar diutamakan. Penggunaan bahasa yang sopan, tidak mengeksploitasi informasi peribadi orang lain dan perlu peka terhadap isu-isu perpaduan dan toleransi beragama.Penggunaan telefon pintar untuk merakam pelbagai kejadian, secara bersembunyi atau terang-terangan juga membawa implikasi besar. Kamera digital ini seringkali disalah guna. Ada yang menjadikannya sebagai bahan untuk memeras ugut, dikongsi tanpa keperluan hingga menjadi tular dan boleh menimbulkan fitnah, hasutan, ancaman malah menghuru-harakan keluarga dan masyarakat. Isu-isu ini turut melibatkan sistem pendidikan, tenaga pengajar dan pelajar.Perlu diketahui bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa memantau perkembangan semasa teknologi pendidikan dan kandungan media digital. Pelbagai Akta Komunikasi dan Multimedia digubal dan dilaksanakan demi menjaga kepentingan semua pihak. Dengan memahami dan menguasai teknologi digital dan komunikasi, kita dapat memperluas jaringan sosial, pendidikan dan profesional dengan bijaksana, santun dan berhemah. Ia selaras dengan salah satu hasrat Kementerian Komunikasi dan Digital yang mengarah kepada pemerkasaan literasi digital dalam kalangan masyarakat Malaysia Madani.PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS dan DR. SITI NAZUAR SAILIN - Pensyarah Kanan, Teknologi Pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan, UUMArtikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=87
Strategi melahirkan mahasiswa rentas, antara dan pelbagai bidang
[ "SAUDARA PENGARANGKerangka visi baharu bagi membangun Malaysia MADANI, bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat madani, maju terampil dan terangkum. Dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 19 Januari 2023, visi tersebut sarat dengan gagasan-gagasan yang perlu dicerakin oleh semua pihak termasuk golongan pendidik di peringkat pendidikan tinggi. Antara gagasan dinyatakan adalah perlunya mempersiapkan para mahasiswa untuk mampu bekerja, berfikir, dan berhubung rentas, antara dan pelbagai bidang. Dalam erti kata lain, institusi pengajian tinggi perlu berperanan melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran untuk berfikir dan berkomunikasi dalam konteks rentas bidang, antara bidang dan pelbagai bidang. Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim ini adalah penting memandangkan dalam era pasca normal, masalah-masalah yang muncul adalah rumit, kompleks dan saling berkait dan memerlukan perspektif dan amalan yang rentas bidang, antara bidang dan pelbagai bidang. Pemerhatian ini juga sesuai dengan kenyataan Albert Einstein yang menyebut bahawa “We can’t solve problems by using the same kind of thinking we used when we created them”.Rentas bidang melibatkan integrasi bidang-bidang berbeza dalam satu kolaborasi bagi menghasilkan pendekatan lebih holistik. Manakala antara bidang merujuk kepada pendekatan lebih bersepadu bagi mempelajari dan menangani isu-isu atau masalah-masalah yang kompleks; melibatkan persepaduan ilmu, kaedah dan perspektif daripada pelbagai bidang.", "Pelbagai bidang pula adalah pembelajaran dan integrasi ilmu dan kaedah daripada pelbagai bidang tanpa membentuk kolaborasi atau kerjasama di antara mereka.", "Antara strategi yang boleh dilaksanakan oleh sesebuah institusi pengajian tinggi adalah bagi melahirkan mahasiswa yang berfikiran rentas, antara dan pelbagi bidang adalah:-1.Menggalakkan kolaborasi antara bidang Pelajar-pelajar dari bidang-bidang yang berbeza digalakkan untuk terlibat dalam satu-satu projek dan tugasan dan ini membantu mereka membina pemahaman dari pelbagai perspektif dan cara berfikir yang berbeza. Usaha ini di mudahkan melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan, seminar-seminar dan penyelidikan antara bidang;2.Mengadakan peluang berdialogMenyediakan peluang-peluang bagi mahasiswa membincangkan tugasan dan idea-idea mereka bersama rakan sebaya dari bidang-bidang yang berbeza membantu mereka membina kemahiran berkomunikasi dan membina perspektif antara bidang. Ini boleh di capai melalui perbincangan berkumpulan yang di terajui oleh mahasiswa, forum-forum antara disiplin atau aktiviti sosial yang tidak rasmi;3.Menggabungkan kerja kursus antara disiplinMenggabungkan kerja-kursus antara bidang dalam program-program ijazah boleh membantu mahasiswa membina pemahaman yang lebih luas merangkumi bidang dan perspektif yang berbeza. Ini termasuk bagi kursus-kursus yang melibatkan pelbagai bidang, atau kursus-kursus yang memfokuskan kepada bidang-bidang yang bersilang.4.Menyediakan latihan dalam kemahiran berkomunikasiPenyediaan latihan dalam kemahiran berkomunikasi seperti penulisan yang efektif, percakapan awam, dan komunikasi visual, boleh membantu mahasiswa membina kemahiran yang perlu untuk komunikasi merentas bidang. Latihan ini boleh di sepadukan ke dalam kerja kursus sedia ada atau mengadakan bengkel-bengkel yang berasigan.5.Membina budaya pemikiran antara bidangMencipta budaya yang memberi nilai kepada pemikiran antara bidang boleh membantu mahasiswa memahami kepentingan terhadap memahami sesuatu masalah daripada pelbagai perspektif. Ini boleh di capai melalui menggalakkan penyelidikan antara bidang, menganjurkan aktiviti atau program antara bidang dan menonjolkan kepentingan kolaborasi antara bidang.Mahasiswa perlu dipersiapkan dengan segala kemahiran yang perlu bagi mereka berhadapan dengan isu-isu dan masalah-masalah yang akan muncul pada masa akan datang yang memerlukan pemikiran luar kotak. Selain daripada mempunyai pelbagai perspektif bagi satu-satu isu, mahasiswa juga perlu menyesuaikan solusinya dengan konteks masyarakat dan budaya setempat.PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan IslamUniversiti Islam SelangorArtikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=88
Tirai Manik: Antara kritik dan fitnah
[ "Hak kebebasan bersuara merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia dan selari dengan itu tarikh 10 Disember setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru, setiap manusia sewajarnya bebas untuk memberi pendapat, idea mahu pun kritikan. Hak kebebasan bersuara adalah satu keperluan dan penting bagi setiap individu. Melalui hak bersuara, setiap individu berupaya untuk mempertahankan diri sendiri, membantu individu lain dan masyarakat, menyebarkan informasi yang bermanfaat serta boleh terlibat sama dalam pembangunan sesebuah negara. Kini, kepesatan teknologi telah menjadikan manusia berani kehadapan menyuarakan pendapat terutamanya menerusi platform media sosial. Kewujudan media baharu itu ibarat seperti cendawan tumbuh selepas hujan seiring dengan kelajuan perkembangan teknologi maklumat. Namun harus diingatkan kebebasan bersuara perlu ada batasnya. Termasuk juga kebebasan memberi kritikan jangan sampai menjadi fitnah. Di Malaysia, Perlembangaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia; jadi tidak ada mana-mana pihak yang istimewa di sisi undang-undang.", "Hak kebebasan bersuara juga telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (1) (a) menyatakan bahawa setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara. Hal itu, sama seperti termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Perkara 19 menyatakan setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran. Hak itu termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. Masyarakat perlu sedar hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ada kawalan dan had tertentu. Oleh itu, kebebasan bersuara seharusnya digunakan secara berhemah dan pada saluran betul. Setiap pendtabiran memerlukan pandangan dan kritikan sebagai semak dan imbang (check and balance) bagi memastikan tiada penyelewengan kuasa dan meningkatkan kualiti tadbir urus. Pada dasarnya kritikan adalah perkara yang baik bertujuan untuk penambahbaikan. Namun, kritikan membina dan konstruktif mestilah bersifat jelas, benar, tidak menyinggung perasaan dan disampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Ini bagi mengelakkan salah faham berlaku di antara pihak terlibat. Sememangnya, negara demokrasi tidak dapat lari dengan kritikan malahan meraikan perbezaan pendapat adalah kunci utama bagi keharmonian sejagat. Dalam keghairahan memberi kritikan jangan sampai melangkaui sempadan sehingga menjadi fitnah. Walaupun ruang kebebasan untuk mengkritik terbuka luas namun Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang. Undang-undang adalah pengikat kepada segala bentuk kebebasan yang diberikan. Bertepatan dengan Lima Prinsip Rukun Negara, salah satu ialah Keluhuran Perlembagaan yang menuntut setiap rakyat untuk patuh dan hormat kepada Perlembagaan. Kepatuhan kepada Perlembagaan adalah satu tanggungjawab kepada setiap individu di Malaysia dan hasilnya rakyat berbilang kaum dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan aman. Tidak dapat dinafikan bahawa dunia digitalisasi telah mengubah landskap kehidupan manusia sehingga mempengaruhi tingkah laku individu. Ini dapat dilihat apabila media sosial telah dijadikan sebagai platform untuk meluah perasaan dan berkongsi pandangan. Satu kepuasan yang diperolehi setiap kali selesai mengemas kini status di media sosial. Namun, media sosial juga telah dijadikan tempat penyebaran fitnah melalui perkongsian penulisan dan video yang tidak sahih. Fitnah adalah perkara yang tidak mempunyai asas, maklumat yang disampaikan telah ditokok tambah serta bermotifkan niat jahat. Ini bercanggah dengan amalan demokrasi negara malah bertentangan dengan ajaran agama. Lebih serius, fitnah adalah satu pencabulan atas Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Fitnah yang menjurus ke arah penghinaan boleh didakwa bawah Sesyen 4 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Manakala Fitnah yang membawa kepada hasutan pula adalah tertakhluk bawah Seksyen 3 (1) akta Hasutan 1948. Antara kritikan dan fitnah seperti umpama kaca dan permata. Pentingnya masyarakat menilai dan membezakan antara kritikan dan fitnah sebelum bersuara. Sentiasalah beringat bahawasanya hak kebebasan bersuara bukan sesuatu yang mutlak. Jadilah masyarakat yang lebih cakna dan bijak supaya amalan demokrasi dapat dirancakkan dalam persekitaran yang sihat. PENULIS NURSYAMSINAS AZRINA BADRUL HISHAM ialah Penolong Pengarah Amanjaya Holdings and Ventures Sdn Bhd.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=89
Teroka daya tahan universiti era pelestarian sumber
[ "Menyingkap tirai Malaysia Madani dan menyediakan kerangka utama pendidikan tinggi pascapandemik merupakan antara cetusan pembudayaan ke arah persediaan universiti mendepani rencam cabaran pendidikan “era digital”.", "Setelah puluhan tahun universiti menyediakan keperluan bakat untuk pasaran pekerjaan dan kepakaran tertentu kumpulan professional dalam bidang tujahan negara, sedikit sebanyak cabaran semasa universiti di Malaysia dan seluruh dunia berubah; zaman pengujian ketahanan fiskal kewangan (akademik, penyelidikan dan instrumen pembiayaan pelajar) dan prasarana yang menuntut ciri lebih lestari serta mesra pengguna di kampus.", "Statistik semasa menunjukkan pasaran pekerjaan bagi graduan dalam sektor tertentu hampir tepu dan tiada penambahbaikan dalam elemen penggajian mengakibatkan terdapat kursus di universiti yang memerlukan perubahan drastik, selain ada kalangan Universiti Awam yang telah “berusia” melebihi 50 tahun dan memerlukan penyelenggaraan berkala secara mampan tanpa melibatkan kos yang tinggi.", "Pertambahan universiti-universiti lebih “muda” merancakkan komitmen negara menyediakan kumpulan profesional dan separa profesional mencapai sekurang-kurangnya 30-45% daripada populasi  dewasa menerima pendidikan tinggi. Bagaimanapun, elemen kelestarian dan strategi tepat mesti dilaksanakan.", "Antara isu dan cabaran semasa yang bakal dihadapi oleh para pentadbir universiti adalah melibatkan pengurusan secara holistik, bersasar dan memperkasakan sumber sedia ada serta berpotensi untuk diterokai ke arah kemampanan institusi.", "Ini termasuklah menyediakan graduan berkemahiran khusus dalam bidang tertentu, ketersediaan pembiayaan model perniagaan dan keusahawan, serta nilai tambah pemerkasaan subjek/kurikulum yang lebih bersifat fleksibel (program industri, mikro kredit dan pembelajaran secara maya).", "Terdapat pelbagai strategi dan insiatif yang sedang diterokai termasuk dalam penyediaan penjanaan sumber kewangan dan penglibatan pelaburan jangka masa panjang menerusi inovasi, produk serta perkhidmatan merentasi teras utama pendidikan tinggi.", "Universiti pada masa kini sudah mempunyai prolifik dalam bidang teras akademik dan ini membantu kelestarian menepati keperluan global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD).", "Justeru, hasrat Kementerian Pengajian Tinggi menerusi amanat tahun baharu 2023 adalah membolehkan universiti melaksanakan dasar ketidakbergantungan dana awam dan fleksibiliti penerokaan penjanaan sumber merupakan antara intipati dalam kerangka Malaysia Madani.", "Berdasarkan instrumen analisis yang dibentangkan oleh beberapa universiti di Malaysia menunjukkan perubahan ketara terutama dalam keterlibatan universiti meneroka sektor penjanaan keperluan kerjaya baharu, pemerkasaan sumber bakat, pengurusan bersepadu perkhidmatan kampus serta perlaksaan dasar-dasar membangunkan keperluan kelestarian.", "Terdapat dalam kalangan universiti yang telah menggunakan acuan kelestarian dalam pembangunan inovasi dan pengurusan sumber di kampus, antaranya pengurusan tenaga dan sisa. Ada juga universiti yang telah mempunyai pelaburan strategik melibatkan inovasi tenaga hijau dan penggunaan produk hijau serta penubuhan unit/pusat perkhidmatan agenda kelestarian.", "Usaha itu memberikan hasil segera terhadap komitmen kampus menyertai sumbangan berterusan terutamanya segmen alam sekitar.", "Bagaimanapun, kebanyakan universiti kurang memberi penekanan kepada faktor sosioekonomi, tadbir urus atau governans dan libat urus sektor perkhidmatan di kampus.", "Elemen kritikal ini merupakan kriteria yang sudah dimasukkan dalam perancangan strategik universiti cuma sasaran yang tidak bersinergi menerusi penerapan makmal hidup menyebabkan hasil akhir hanya membantu sebahagian kecil kumpulan sasar di universiti.", "Justeru, penglibatan dan komitmen universiti secara serius adalah sejajar dengan libat urus berpaksikan metrik lebih bersifat global seperti ESG. Komponen rubrik dan indeks ESG ini sebenarnya merupakan sasaran strategik di peringkat pengurusan tertinggi bagi membolehkan segala dasar perlaksanaan kelestarian ini digembleng secara komprehensif, bukan sekadar kosmetik pelan tindakan di atas kertas.", "Pengwujudan instrumen pelaporan, analitik data dan komitmen dalam komponen ESG akan membantu pelarasan semula daya tahan universiti untuk jangka masa tertentu.", "Prasyarat ini bakal meminimumkan risiko ketidakupayaan universiti melaksanakan kepelbagaian pengurusan kewangan (termasuk pelaburan strategik) dan sumber secara berfasa, selain membantu pengukuhan nilai teras kualiti akademik serta penyelidikan.", "Sebagai contoh, UTM sudah mempunyai kerangka asas “Sustainable Blueprint 2030” mencakupi elemen inisiatif strategik, pelan tindakan dan sasaran semasa bagi tiga fasa perlaksanaan serta menghakupayakan komponen sokongan (polisi, strategik envision 2025, dan lain-lain) mengikut keunikan universiti sendiri.", "Kriteria pengukuran ini akan melibatkan peringkat pertama ESG (Part 1: ESG) menerusi libat sama kumpulan/individu yang membantu keupayaan nilai tambah (sub-elemen ekonomi, sosial, alam sekitar, tadbir urus) yang jauh lebih baik bagi daya tahan Universiti.", "Tanpa pemerkasaan subelemen ini di peringkat dasar, universiti bakal merisikokan nilai penarafan global dan reputasi akademik di peringkat antarabangsa. Tambahan pula, Malaysia dalam menjustifikasi kemampuan ekonomi sumber baharu seperti IoTs, AIs, keterjaminan sektor kritikal seperti pertanian, tenaga, dan perindustrian 4IR.", "Secara umumnya, kerangka kelestarian di universiti perlu mempunyai jiwa dan motivasi tambahan dalam perlaksanaan yang bukan sekadar retorik persediaan agenda global tetapi memastikan kelangsungan universiti berteraskan 5P (People, Prosperity, Partnership, Peace and Planet) serta dasar umum pendidikan tinggi dapat dicapai.", "Penglibatan pemegang taruh dan kumpulan sasar perlu jelas dan holistik bagi menjustifikasi tindakan berimpak secara berterusan.", "Keanjalan dalam perlaksanaan adalah penting kerana konsep lestari itu sendiri memberi penekanan kepada proses berbanding tertumpu kepada pencapaian KPI semata-mata.", "Semoga ini bakal memberikan kelebihan kepada mana-mana universiti menerokai keunikan instrumen universiti masing-masing.", "PENULIS PROF IR. TS. DR. MOHD FADHIL MD DIN, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Jabatan Canseleri UTM/FELO Penyelidik IPASA dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=90
Belanjawan 2023: Inisiatif tambahan atas dasar dan keadaan bersesuaian
[ "ULASAN BERITASeperti dijanjikan, kerajaan sedia mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang dalam menambah baik Belanjawan 2023.Lebih-lebih lagi inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif tambahan kepada Belanjawan Madani.Pengumuman dibuat semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.Antara yang mencuri perhatian ialah pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM8000.00 bagi simpanan bersih tahunan, dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Bukan pemansuhan seperti yang dimaklumkan, sehari sebelumnya.Malahan, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelepasan cukai dilanjutkan hingga Tahun Taksiran 2024.Cadangan itu membabitkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250,000,000.00 setahun. Namun memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pembayar cukai.Menurut beliau, keputusan dibuat selepas mendengar keresahan rakyat dan meneliti teguran yang diterima kerajaan.Seperti kata Perdana Menteri, \"Belanjawan tentunya tidak mungkin sempurna. Sebab itu kita dengar, mana-mana gesaan dan pandangan yang munasabah, kita boleh terima dan ubah suai.\"Sehari sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN mengesahkan bahawa bermula Tahun Taksiran 2023, pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu.", "Keputusan dibuat atas \"dasar dan keadaan bersesuaian\".Susulan kenyataan itu, kerajaan diminta mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan pelepasan cukai SSPN.Teguran disuarakan pelbagai pihak termasuk pembayar cukai, majlis belia, gabungan pelajar dan pihak pembangkang.Pemansuhan dikhuatiri membantutkan usaha menggalakkan golongan pertengahan melabur dalam pendidikan anak-anak. Ia juga dilihat boleh menjejaskan usaha menggalakkan penabungan pendidikan.Selepas mengambil kira hujah yang diutarakan, kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan cukai berkenaan.Inisiatif tambahan seterusnya, pemberian \"duit raya\" kepada barisan sukarelawan. Perdana Menteri mengumumkan pemberian \"duit raya\" kepada lebih 200,000 sukarelawan.Merangkumi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba. Setiap anggota akan menerima RM300.00. Ini kali pertama Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diberi kepada sukarelawan.Selain itu kerajaan juga bersetuju menyalurkan bantuan khas sebanyak RM200.00 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan. Ia merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini. Iaitu sebanyak RM300.00 sebulan kepada nelayan dan RM200.00 sebulan bagi pesawah untuk tempoh tiga bulan semusim. Serta kenaikan sumbangan musim tengkujuh bagi pekebun kecil getah daripada 600 kepada 800 Ringgit untuk tempoh empat bulan.Pemberian bantuan kali ini antara yang terbesar pernah diberikan kepada golongan berkenaan.Selain itu bermula 1 April 2023, sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan diperluas kepada kedua-dua golongan berpendapatan tetap, dan tidak tetap.Sebelum ini, SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama. Terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.", "Seperti lazimnya, setiap kali belanjawan dibentangkan pasti ada saja yang tidak berpuas hati. Namun realitinya bukan mudah memenuhi keperluan, apatah lagi kemahuan semua pihak.Dengan sumber yang terhad, kerajaan perlu menetapkan keutamaan. Yang pastinya dengan ketidaktentuan ekonomi global, belanjawan tahunan negara terus mencatat rekod tertinggi baharu saban tahun.Trend ini memberi kesan langsung kepada beban hutang kerajaan.Sehingga akhir 2022, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.079 trilion atau 60.4 peratus daripada KDNK. Daripada jumlah itu hutang dalam negeri RM1.05 trilion, manakala pinjaman luar pesisir RM29.5 bilion.Sekiranya mengambil kira pendedahan kerajaan kepada liabiliti lain, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.45 trilion. Bersamaan 80.9 peratus daripada KDNK.Tahukah anda, berapa lama diperlukan untuk melangsaikan hutang ini?Menurut anggaran Kementerian Kewangan, 30 tahun. Secara tepatnya hingga tahun 2053. Itu pun dengan dua syarat.Pertama, tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan deficit dan kedua membiayai semula hutang yang matang mulai 2024 dan seterusnya.Berapa usia kita pada waktu itu ya? Dan sumbangan kita ialah ....?PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=91
Model baharu kelestarian sumber
[ "SAUDARA PENGARANGSecara umum, kesedaran dan cakna perubahan iklim telah menjadi perbahasan utama menerusi tindakan global dan agenda setempat. Bertepatan dengan enam tonggak utama Malaysia Madani, terutamanya kemampanan dan kesejahteraan, cabaran kerangka alam sekitar bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengenal pasti 26 inisiatif langsung (Pelan Kelestarian Alam Sekitar 2020-2030) bagi menyediakan kemampanan dan ketahanan negara mendepani cabaran pasca bencana. Secara saintifiknya, Malaysia adalah antara negara yang telah memberikan komitmen mengenai pelepasan gas rumah hijau, sokongan berterusan Sifar Karbon Bersih (Net-Zero Carbon), pengenalan pembiayaan hijau melalui bank perdagangan serta beberapa inisiatif tidak langsung dalam menjana model perniagaan bersifat inklusif terhadap cabaran semasa dan akan datang. Malaysia juga merupakan antara pelopor dalam memperkemaskan data saintifik menerusi EPI (Environmental Performance Index), data asas sumber penghasilan karbon daripada sektor-sektor kritikal, dan beberapa pelaporan umum mengenai isu alam sekitar di peringkat nasional.Melalui beberapa kajian saintis terutama melibatkan adaptasi dan daya tahan lokaliti terhadap perubahan iklim ini, memberikan data paling signifikan mengenai tindak balas berantai yang boleh menyebabkan impak langsung.", "Pada masa depan, keperluan pelaporan daripada saintis alam sekitar dan kemampuan penjanaan laporan interaktif (berteraskan fakta berkala) adalah amat diperlukan bagi tujuan perancangan mitigasi. Menerusi portal rasmi data.gov.my telah menyediakan sebanyak 485 data terkait dengan alam sekitar, termasuk data tahunan daripada pelbagai sumber kementerian dan agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri). Salah satunya ialah mengenai kemerosotan biokepelbagaian (flora dan fauna) yang mempengaruhi perubahan ekosistem di lokaliti tertentu. Perubahan itu akan menyebabkan ciri biologi dan fizikal biosfera/hidrosfera sesuatu kawasan atau zon berubah dan menyebabkan kacau-ganggu berpanjangan. Isu ini termasuk dalam rantaian jaminan ekologi yang mempengaruhi suhu bumi, keseimbangan biologi dan perubahan rantaian makanan. Kajian sejak beberapa tahun ini mendapati peningkatan suhu bumi telah menyebabkan persekitaran hutan bakau (dan ekosistemnya) telah mengalami kepupusan walaupun beberapa inisiatif penanaman semula telah dilaksanakan. Penerobosan air laut (kemasinan) sehingga ke bahagian pertengahan muara sungai telah menyebabkan ketidakseimbangan koridor pantai dan menyebabkan spesis tertentu (seperti siput, kerang dan hidupan marin yang lain) telah mengalami kemerosotan populasi. Terdapat beberapa lokasi utama sumber makanan marin (hasil laut dan produk hiliran) kepada penternak komersial, nelayan dan pengendali industri akuakultur telah mengalami defisit kelangsungan sumber. Jika tidak ditangani segera, negara akan mengalami penyusutan kebergantungan sumber tempatan.Selain itu, kacau-ganggu yang berterusan daripada aktiviti manusia (pelepasan sumber buangan) juga menjadi penyumbang utama dan mempercepatkan dominasi perubahan alam sekitar.Sumber buangan daripada gas industri (termasuk logistik dan mobiliti) dan efluen adalah antara penyumbang berterusan kepada cabaran semasa, walaupun penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan secara bersasar. Dalam konteks semasa, piawaian yang dinyatakan dalam mana-mana akta atau peraturan merupakan kemestian dalam perlaksanaan. Bagaimanapun, cabaran pada masa kini adalah perlaksanaan lebih serius terutamanya dalam memperkenalkan model baharu pematuhan alam sekitar seperti pengenalan sistem “pay per polluter” kepada industri tertentu, jumlah saman atau bentuk hukuman kepada pencemar alam sekitar dan pengurusan berbentuk holistik.Menerusi Dasar Alam Sekitar Negara, pengurusan secara mampan elemen persekitaran adalah tunjang utama perlindungan sumber dan pencegahan bentuk pencemaran di mana-mana lokaliti. Ini dibuktikan menerusi satu kenyataan media mengenai komitmen kerajaan terhadap mana-mana penerokaan tanah tinggi (terutamanya di Cameron Highlands) yang mencadangkan penyelarasan operasi serta pasukan pemantau dalam situasi kritikal perlindungan sumber dan mencegah kes-kes seperti gelongsoran dan banjir lumpur.Adalah penting model atau kerangka jaminan mengenai alam sekitar serta kelestarian ini dijadikan agenda rakyat bagi menyantuni pelbagai inisiatif pengurangan risiko kacau-ganggu kepada persekitaran. Bagi mengekalkan komitmen itu, Kerajaan Madani telah memperkasakan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) melalui aktiviti berteraskan proses memutuskan keputusan, kawalan kendiri, berpaksikan pertumbuhan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat serta hubungkait ekosistem. Justeru, penstrukturan lebih bersasar dan bertanggungjawab, adalah penting dalam menyediakan Malaysia yang jauh lebih mampan pada masa depan.PENULIS PROF IR. TS. DR. MOHD FADHIL MD DIN, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Jabatan Canseleri UTM/FELO Penyelidik IPASA dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM" ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=92
Memanfaatkan media digital dalam mencipta peluang pekerjaan
[ "(Khairul Aming, Usahawan muda dan Selebriti media sosial/Foto FB Khairul Aming)", "Dalam era teknologi digital, peluang meneroka pasaran ekonomi digital turut terbuka luas. Tanpa kedai, butik atau restoran, seseorang individu mampu mencipta kerjaya dan menjana pendapatan.", "Apatah lagi jika kemahiran komunikasi dan teknologi seiring dengan kemampuan; membentuk identiti dan jenama produk atau perkhidmatannya sendiri.", "Melalui media digital, setiap orang berpeluang untuk menjana pendapatan secara bersendirian (one man show) atau turut membuka peluang kepada mereka yang memerlukan pendapatan.", "Faktanya kini, seorang influencer masakan yang berlatarbelakang kelulusan kejuruteraan adalah lebih popular daripada artis sehingga mampu meraih pendapatan jauh lebih tinggi.", "Siapa yang tidak mengenali Khairul Aming yang mempunyai 3.5 juta pengikut di Instagram dan 35 ribu pengikut di Facebook.", "Melalui penjenamaan personal yang  dicipta melalui media sosial setelah enam tahun memproduksikan video masakan, kini mampu menjadi usahawan yang hanya menjual sambal melalui platform Shopee dengan pendapatan RM21.5 juta dalam masa dua tahun.", "Soloz pula atau kini dikenali ‘Maharaja Soloz’ mencipta fenomena tersendiri sebagai atlet e-sukan dan juga streamer Facebook Gaming. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Faris Zakaria merupakan pemain profesional permainan video penstriman Mobile Legends: Bang Bang.", "Soloz menjadi terkenal seluruh dunia sehingga mampu mencipta kerjaya yang pada peringkat awal hanya merupakan hobi. Melalui akaun Youtube, beliau mempunyai 1.66 juta subscribers yang mana video terbaharu mempunyai 117 ribu tontonan dalam masa 20 jam.", "Kerjaya terkini beliau adalah sebagai penghibur penstriman langsung bawah program Facebook Gaming Creator.", "Ini membuktikan bahawa kerjaya ini bukanlah sia-sia dan ia bukan sekadar bermain game.", "Terkini, laporan media tempatan menjadi tular apabila hasil perniagaan melalui aplikasi TikTok, seorang remaja berusia 14 tahun, mampu membayar zakat perniagaan RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).", "Masih bersekolah di Tingkatan Dua, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang juga pengasas produk pemakanan menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang  diusahakannya mencapai jualan  RM400 ribu dalam tempoh empat bulan mula dijual. Terkini akaun TikTok, usahawan remaja ini mempunyai 86.3 ribu pengikut dan menerima 1.4 juta likes.", "Maka, masihkah relevan jika anak muda atau graduan masih lagi berkeluh kesah, risau tiada pekerjaan? Atau, adakah memilih untuk tidak melanjutkan pengajian lebih tinggi lebih baik?", "Jika diimbas kembali, sejak awal tahun 2000 isu peluang pekerjaan kepada lepasan graduan telah dibincangkan  dan menjadi kebimbangan yang berlarutan. Ketika itu pelbagai inisiatif kerajaan dan swasta membantu graduan yang masih tiada peluang pekerjaan.", "Namun, kini zaman media digital. Semuanya perlu berubah seiring zaman. Cara penyelesaian krisis negara juga berubah.", "Laporan Malaysia Digital Economy Corporation 2022, mengunjurkan pertumbuhan Industri kreatif di Malaysia meningkat dengan permintaan untuk bakat berkembang kepada lebih 7.59% dalam tempoh 3 tahun akan datang sehingga 2025.", "Ia merupakan suatu fenomena yang baik lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada sub-sektor media dan komunikasi. Ini menunjukkan potensi besar untuk peluang pekerjaan dalam bidang ini.", "Menurut laporan Job Outlook pada tahun 2022 oleh CareerBuilder pula, kerjaya dalam bidang media dan komunikasi dijangka akan mengalami pertumbuhan sebanyak 6%. Ini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk profesional media dan komunikasi yang mempunyai kemahiran dan keupayaan yang relevan.", "Ini menunjukkan bahawa, perkembangan teknologi digital  yang pesat turut membuka peluang baru untuk pekerjaan dalam bidang media dan komunikasi, termasuk sebagai penyedia kandungan digital, pemasaran digital, dan pengurusan media sosial seperti yang dinyatakan oleh Jobstore, 2022.", "Selain itu, sedar atau tidak pertumbuhan industri hiburan di Malaysia terus berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Meskipun sedikit terganggu kesan pandemik COVID-19, namun ia  kembali merancakkan industri hiburan.", "Jadi, produksi filem, televisyen (TV), dan muzik menawarkan peluang bagi profesional media dan komunikasi yang mempunyai kemahiran yang berminat untuk bekerja dalam industri hiburan. Tenaga kerja mahir dan kreatif seperti editor filem dan rancangan TV, grafik dan multimedia, animasi dan penata bunyi, selain pelakon serta penulis skrip dan lirik.", "Beberapa faktor yang menjadikan bidang ini mempunyai potensi kerjaya pada masa hadapan adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi sumber insan bidang media dan komunikasi. Ini kerana industri media digital sedang berkembang pesat dan permintaan untuk pekerja dalam bidang ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.", "Selain itu, ia disebabkan media digital adalah industri global, maka graduan mempunyai peluang untuk menimba pengalaman internasional. Ini kerana, terdapat banyak institusi bidang ini yang mencari pekerja dari pelbagai negara, sehingga memberikan kesempatan pengalaman berharga untuk bekerja di luar negara.", "Situasi ini memberi peluang kepada mereka mendapatkan gaji yang lebih tinggi disebabkan kadar tukaran asing. Permintaan yang tinggi dalam bidang profesional ini menjadikan kerjaya dalam bidang media dan komunikasi suatu peluang terbaik untuk diceburi. Ini kerana pekerja industri media digital kebiasaannya mendapat gaji yang lebih baik daripada pekerja di industri lain.", "Industri media digital ini secara tidak langsung mewujudkan fenomena ekonomi gig disebabkan berlakunya fleksibiliti dalam ruang pekerjaan. Tugasan pekerjaan dalam industri ini dapat dilakukan dari jarak jauh atau bekerja secara mobile. Ini memberi ruang kepada fleksibiliti kepada pekerja dalam menentukan waktu dan tempat kerja.", "Individu yang bekerja dalam bidang media digital tidak terikat dengan masa dan tempat ini juga dikenali sebagai \"nomad digital\".  Nomad digital ialah seseorang yang menggunakan teknologi digital dan internet untuk bekerja dari jarak jauh, biasanya dari lokasi yang berbeza, seperti kafe, ruang kerja bersama, atau bahkan dari rumah mereka sendiri.  Mereka mempunyai kebebasan untuk menyesuaikan jadual kerja dan lokasi mengikut keperluan dan pilihan peribadi. ", "Ternyata zaman teknologi dan media digital sangat baik untuk dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang boleh memajukan diri sendiri, organisasi malah negara keseluruhannya.", "Secara asasnya, bidang ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan di pelbagai sektor. Antara peluang pekerjaan yang boleh ditemui dalam bidang media dan komunikasi ialah penerbitan rancangan, perhubungan awam, komunikasi korporat, pemasaran dan pengiklanan, pengurusan media sosial, penerbitan dan penyuntingan, pengajaran dan penyelidikan serta pembangunan kandungan aplikasi digital.", "Pekerjaan di bidang ini biasanya memerlukan kreativiti, kemahiran komunikasi, kemahiran menulis, kemahiran kerja berkumpulan, kemahiran kepemimpinan dan kemampuan untuk beradaptasi dengan teknologi terbaharu.", "Malah dengan keterlibatan dan kadar ketembusan media sosial yang terus meningkat di Malaysia menciptakan permintaan untuk profesional media dan komunikasi yang berketerampilan, faham etika dan undang-undang media. ", "Namun perkara yang tetap perlu dipegang erat, dijaga rapi adalah adab, etika dan kefahaman terhadap undang-undang. Selain itu, individu juga perlu menjaga sensitiviti beragama dan memelihara keharmonian negara.", "Seperti industri kreatif lainnya, persaingan dalam bidang media dan komunikasi sangat sengit. Oleh kerana itu, bakal graduan di bidang ini perlu menimba pengalaman semasa latihan industri serta mendapatkan kemahiran yang lebih untuk memperoleh tempat bekerjaya dalam industri yang terus berkembang ini.", "Setiap tahun isu pengangguran dalam kalangan graduan terus dibincangkan di Malaysia. Impak pandemik COVID-19, bukan sahaja kepada graduan, malah mereka yang sebelum ini mempunyai pekerjaan tetap turut menerima tempias hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Ini susulan syarikat atau organisasi tempat kerja yang terpaksa mengecilkan operasi, kos dan sumber tenaga kerja. Malah ada syarikat yang terus menutup operasi akibat kerugian besar dan hutang yang ditanggung.", "Antara faktor pengangguran ini adalah disebabkan kemahiran teknologi yang terhad, keupayaan kemahiran berkomunikasi yang rendah, kurangnya pengalaman, pasaran yang terhad dengan persaingan yang tinggi menjadi faktor utama masih ramai graduan yang belum mendapat pekerjaan.", "Sama halnya dengan graduan dalam bidang media dan komunikasi. Salah satu faktor utama, ekoran terdapatnya jurang antara kemahiran yang diperoleh semasa pengajian dengan keperluan industri.", "Tidak dinafikan bahawa di universiti, graduan telah dilengkapkan dengan kemahiran asas dalam bidang media dan komunikasi. Namun industri media dan komunikasi terkini memerlukan kemahiran yang lebih spesifik dan berkaitan dengan teknologi digital.", "Maka, menjadi keperluan tambahan kepada graduan untuk meneroka kemahiran baharu dengan inisiatif diri dari masa ke semasa. Ia agar seiring dengan keperluan tersebut di industri.", "Kefahaman dan kemahiran menulis kandungan media (seperti program televisyen, radio dan surat khabar) sewajarnya telah sebati dan boleh dipaktis apabila diperlukan. Hanya house style dan perisian teknologi (software) organisasi media sahaja yang berbeza. Maka kecekapan mengadaptasi perubahan ini perlu tindakan segera bersama kesungguhan dan keinginan yang tinggi.", "Namun begitu, adalah mengecewakan sekiranya graduan media yang mengkhusus kepada penyiaran dan kewartawanan misalnya tidak menjadikan radio, televisyen dan akhbar sebagai ‘teman setia’ mereka. Lebih membimbangkan, mereka sendiri tidak mendengar radio dan tidak menonton televisyen. Natijahnya mereka tidak memahami kandungan dan format radio dan televisyen.", "Turut meresahkan apabila mereka tidak dapat membezakan genre dan gaya penyampaian majalah, dokumentari, laporan khas dan bicarawara. Gaya penyampaian penyampai radio dengan wartawan mahupun pengacara dan pembaca berita juga perlu penelitian dan pengulangan yang fokus dan teliti.", "Dalam konteks ini, sudah tentulah televisyen dan radio itu sendiri adalah medium pembelajaran paling efektif dan terbaik. Perlu menonton dan mendengar.", "Tidak dapat dinafikan, bahawa minat dan kesungguhan, juga kekeliruan tentang format genre yang wujud ini disebabkan oleh pengaruh ciri-ciri media digital dan media sosial yang lebih akrab dengan anak muda generasi kini.", "Oleh itu, penting bagi graduan dalam bidang media dan komunikasi untuk terus mengambil inisiatif dalam meningkatkan kemahiran dalam memantapkan asas ilmu bidang ini sebelum memasuki pasaran kerja yang sebenar.", "Jadi graduan perlu peka, semua ini perlu bermula semasa dalam pengajian lagi. Malah telah terdapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan agensi-agensi berkaitan seperti FINAS dan pelbagai pertubuhan yang sering menyediakan dana dan latihan khusus wajar diambil manfaat sepenuhnya. Ini bakal melahirkan orang media dan komunikasi yang berketrampilan untuk industri ini.", "PELUANG KERJAYA BIDANG MEDIA DAN KOMUNIKASI ", "Pelbagai agensi media tradisional dan platform digital yang masih memerlukan penyampai berita, wartawan, penerbit dan krew teknikal penerbitan untuk menghasilkan kandungan berkualiti dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.", "Walaupun wujudnya internet dan media sosial yang memudahkan seseorang membina platform untuk siaran sendiri, namun kepentingan dan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti kerjaya bidang media dan komunikasi masih tetap tinggi.", "Selain itu, perkembangan teknologi dan keperluan untuk memproduksi kandungan digital berkualiti tinggi juga telah membuka peluang baru dalam bidang media dan komunikasi, seperti produksi video, podcast, dan live streaming. Oleh itu, bidang ini masih mempunyai potensi yang besar untuk berkembang pada masa kini dan masa depan.", "Perbezaan antara graduan bidang media dengan graduan dalam bidang lain adalah terletak pada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian mereka. Graduan bidang media biasanya mempunyai pengetahuan yang lebih khusus mengenai teknologi, seni visual, komunikasi, pengurusan projek dan strategi pemasaran dalam industri media dan komunikasi.", "Selain itu, mereka juga mempunyai kemahiran dalam penyuntingan video, audio, dan penulisan kreatif yang diperlukan dalam industri ini. Oleh sebab itu, graduan media dan komunikasi lebih mudah diterima dalam pekerjaan di industri media seperti kewartawanan, pengiklanan, produksi video, dan penulisan skrip. Namun, graduan dalam bidang lain masih mempunyai peluang untuk bekerja dalam bidang media jika mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan industri ini.", "Walaupun begitu, kerjaya media dan komunikasi tidak semudah yang disangka. Terdapat kepercayaan yang skeptikal bahawa mempunyai rupa paras yang menarik dan sedikit bakat sudah cukup untuk menempatkan diri dalam kerjaya ini.", "Realitinya, graduan perlu bersaing dengan pelbagai cabaran dalam dunia media yang semakin kompetitif. Cabaran-cabaran tersebut termasuklah kemampuan untuk terus mengemaskini pengetahuan dan kemahiran mengikut perkembangan teknologi media. Malah mereka juga perlu beradaptasi dengan perubahan dalam media sosial dalam mengekalkan relevansi dalam industri media.", "Selain itu, graduan perlu mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan bekerjasama dengan baik dengan rakan sekerja untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka. Ini memerlukan graduan mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan dan mempunyai kemahiran teknikal untuk menghasilkan kandungan media yang berkualiti.", "Sangat penting bagi graduan dalam bidang media dan komunikasi untuk meningkatkan kualiti dari segi kemahiran komunikasi dan teknikal. Di era digital dan globalisasi ini, persaingan dalam industri media semakin ketat dan kecenderungan ke arah digital semakin pesat.", "Oleh itu, graduan media dan komunikasi juga perlu mempunyai kemahiran-kemahiran yang mencakupi aspek teknikal, kreatif dan juga kemahiran sosial untuk bersaing dengan calon-calon lain yang juga berminat dengan kerjaya ini.", "Jadi, jika graduan media dan komunikasi mempunyai minat yang kukuh dalam bidang ini, serta mempunyai kemahiran-kemahiran yang mencukupi, mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk lebih terkehadapan.", "Peluang kerjaya bagi lulusan media dan komunikasi tetap terbuka luas, terutama dengan kemajuan teknologi media digital yang mewujudkan pelbagai platform media dan saluran komunikasi digital.", "Melalui pembangunan kemahiran komunikasi dan teknikal yang berterusan, graduan media dan komunikasi akan dapat meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja dan mempunyai peluang yang lebih baik untuk maju dalam kerjaya mereka.", "Kebanyakan majikan juga akan memberi keutamaan kepada calon yang mempunyai kemahiran tambahan dan dapat memberikan nilai tambah kepada syarikat mereka. Oleh itu, graduan perlu sentiasa memantapkan kemahiran mereka dan berusaha untuk mempelajari perkara baru yang berkaitan dengan bidang media untuk terus berdaya saing dalam pasaran kerja.", "Meskipun populariti yang ada dalam bidang media dan komunikasi memungkinkan individu menjadi orang media walaupun tanpa latar belakang pendidikan formal, namun keperluan industri tetap memerlukan orang yang memiliki pengetahuan, keterampilan, dan kemahiran teknikal yang tepat.", "Ini menunjukkan bahawa latar belakang pendidikan formal dalam bidang komunikasi dan media sangat diperlukan dan sangat dihargai oleh industri.", "PENULIS, DR MD ROZALAFRI JOHORI merupakan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN - Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM" ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=93
IPT: Persediaan atau transit ke alam pekerjaan?
[ "SAUDARA PENGARANGSudah hampir seminggu ke dua, sesi akademik di universiti awam atau swasta yang sama takwimnya bermula. Masih segar dalam ingatan telatah dan ragam terutama bagi pelajar yang memasuki tahun pertama di universiti dan memulakan kehidupan baharu dalam kampus.", "Tidak kurang hebat juga, gelagat ibu bapa membuat persiapan lengkap untuk anak-anak dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.Sudah pasti, ibu bapa sehabis baik menyediakan kelengkapan untuk anak-anak demi keselesaan mereka setiap kali menghadiri sesi pembelajaran. Ungkapan sering kali terpacul yang senantiasa meniti di bibir ibu bapa adalah \"jaga diri\". Konsep jaga diri ini amat besar ertinya.Masih juga dalam ingatan, tibanya hari pertama sidang akademik dibuka, para pelajar disambut oleh wajah-wajah pendidik yang berjiwa besar. Para pendidik juga tidak terlepas mempersiapkan diri merencana pembelajaran dan pengajaran agar seiring dengan kemajuan teknologi.Hal ini bagi memastikan pelajar dibekalkan ilmu sewajarnya untuk mendepani masa akan datang menuju Revolusi Industri 4.0 dan terkini Transformasi Sosial Menuju Revolusi Industri 5.0.", "Selain itu, fasiliti kondusif seperti tempat dan bahan mengajar juga ditambah baik supaya sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan tanpa gangguan di samping memberikan jaminan keselamatan.Dalam hal ini semua pihak terlibat sememangnya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan matlamat sama iaitu memastikan pelajar cukup bersedia menghadapi fasa pembelajaran dan fasa kehidupan seterusnya.Namun, terdapat persoalan asas yang harus diajukan kepada para pelajar. Sejauh mana inisiatif pelajar itu sendiri membuat persediaan? Adakah sama hebat seperti persediaan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dan para pendidik? Ataupun masih ada lagi yang bersahaja? Pelbagai soalan boleh dilontarkan namun jawapannya hanya diri sendiri yang mengetahui. Tepuk dada tanyalah diri.Melihat dari perspektif individu yang sudah menjalani fasa persekolahan, beralih ke fasa universiti dan kini berkecimpung dalam dunia korporat, terma \"persediaan\" adalah subjek utama yang perlu dititikberatkan oleh setiap yang bergelar pelajar.", "(Ibu bapa sehabis baik menyediakan kelengkapan untuk anak-anak demi keselesaan mereka setiap kali menghadiri sesi pembelajaran/Foto Hiasan)", "Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, persediaan membawa erti perbuatan menyediakan atau persiapan. Analoginya ialah diibarat seperti kita memasuki pertandingan memasak. Sebelum bertanding kita belajar memasak, mengulang kaji resepi masakan, mengenali bahan-bahan masakan dan berlatih memasak. Inilah yang dimaksudkan dengan persediaan. Menerusi persediaan itu, mental dan fizikial kita sudah cukup bersedia untuk bertanding.Pelajar harus cakna bahawasanya persaingan amat sengit di luar sana. Jika hanya berbekalkan pencapaian akademik semata-mata, ia bukan lagi satu jaminan. Malah perlu diberi nilai tambah dengan penguasaan kemahiran insaniah. Jangan jadikan universiti tempat untuk transit selama beberapa tahun demi menggapai sekeping sijil yang melayakkan seseorang itu mendapat jawatan tinggi.Jangan dipandang enteng bukan sahaja pembelajaran dalam kuliah malah pembelajaran di luar kuliah juga sebenarnya merupakan persediaan secara tidak langsung menjadikan pelajar sebagai seseorang yang ada kebolehpasaran apabila mereka menceburkan diri sebagai pemain industri kelak.Seperti yang diperkatakan, dalam situasi hari ini tekanan kompetitif menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang menepati kriteria diperlukan. Inisiatif untuk pembangunan kendiri melalui penguasaan kemahiran insaniah perlu digerakkan segera.Kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi merupakan kriteria utama yang dilihat oleh majikan. Ini kerana wujudnya keperluan organisasi untuk meluaskan pasaran tidak hanya terhad dalam negara malahan dikembangkan ke peringkat global. Proses ini berkehendakkan seseorang yang berkebolehan menguasai pelbagai bahasa dengan baik.Umum mengetahui, Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantara yang diguna pakai di seluruh dunia. Penguasaan bahasa yang komprehensif akan melancarkan proses komunikasi dua hala lantas memberikan impak positif kepada urusan perniagaan atau perusahaan yang melibatkan pelbagai negara.", "Oleh itu, pelajar perlu memaksimumkan usaha menguasai Bahasa Inggeris atau apa sahaja bahasa yang moleh menjadikan mereka unik dan ada nila tambah. Hal ini kerana penguasaan bahasa lain sebagai bahasa ketiga adalah bonus yang boleh meningkatkan kebolehpasaran. Perlu diingatkan, penguasaan bahasa asing tidak bermakna kita mengetepikan bahasa ibunda iaitu Bahasa Malaysia.Kini, seluruh dunia berada dalam fasa pemulihan ekonomi ekoran daripada ancaman wabak COVID-19; bukan sahaja mengancam nyawa manusia malahan meruntuhkan banyak institusi perniagaan. Kini keadaan semakin pulih menyaksikan banyak institusi perniagaan sedang giat merencana agenda pengukuhan ekonomi tatkala dunia dalam fasa pemulihan.Oleh hal yang sedemikian, tenaga sumber manusia yang mempunyai kemahiran pengurusan projek amat diperlukan. Kemahiran itu boleh diasah melalui tugasan secara berkumpulan. Tugasan berkumpulan ini secara tidak langsung melatih pelajar dengan nilai kepimpinan dan pembahagian tugasan secara adil. Di samping itu, pelajar harus bijak membahagikan masa menyertai aktiviti luar kelas seperti berpersatuan. Percayalah melalui aktiviti tersebut banyak kemahiran pengurusan boleh ditimba.Untuk tidak menjadi seperti kucing tidak bergigi, tikus berani melompat, maka pelajar dinasihatkan untuk mendalami erti kata peningkatan kemahiran (upskill) dan kemahiran semula (reskill). Peningkatan kemahiran adalah proses mempelajari ilmu bahau terhadap kemahiran sedia ada.Sebagai contoh untuk peningkatan kemahiran, sebagai seorang eksekutif pemasaran kemahiran memasarkan sesuatu produk secara bersemuka perlu dipelbagaikan dengan mempelajari kaedah pemasaran yang lebih efektif iaitu melalui platform media sosial.Manakala kemahiran semula adalah mempelajari ilmu baharu diluar ruang lingkup kemahiran sedia ada. Contoh, di samping menambah baik kemahiran pemasaran, kita disarankan untuk mempelajari kemahiran penulisan kreatif. Integrasi kedua-dua tersebut berupaya melahirkan individu yang berdaya saing seiring dengan pembangunan teknologi seterusnya menjadi aset berharga kepada majikan.Secara tuntas, manfaatkanlah masa ketika berada dalam alam universiti. Pembelajaran ketika itu merupakan persediaan memenuhi impian untuk mendapatkan pekerjaan yang diidamkan.", "Jangan jadikan universiti sebagai tempat transit sementara. Seorang pekerja juga merupakan anggota masyarakat maka jadilah masyarakat yang membantu pertumbuhan sosial ekonomi negara.PENULIS NURSYAMSINAS AZRINA BADRULHISHAM merupakan Penolong Pengurus Amanjaya Holdings and Ventures Sdn Bhd dan DR MOHD YUSOF ZULKEFLI merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=94
Masalah trafik, pengguna harus terima perubahan?
[ "Di sana sesak, di sini sesak, di mana-mana jalan raya kini penuh sesak dengan kenderaan. Keluar rumah sahaja, terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas.Jangankan pada waktu puncak, pada waktu biasa pun kenderaan masih memenuhi jalan raya. Apatah lagi pada hujung minggu dan hari cuti umum.Isu kesesakan jalan raya kini tidak lagi tertumpu di Lembah Klang atau ibu kota semata-mata, hampir seluruh negara mengalaminya. Ramai yang tidak tahan berdepan kesesakan hampir setiap hari, hingga ada yang mengalami masalah kesihatan, termasuk tekanan perasaan.Pelbagai faktor menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan, antaranya pertambahan kenderaan sehingga mencecah 500,000 sejak 2010 hingga 2022. Dicatatkan hampir 700,000 kenderaan terjual di negara ini setahun, dan Malaysia mencatatkan kadar pemilikan kenderaan tertinggi di Asia Tenggara.Kini, kereta yang didaftarkan telah mencecah 33,000,000 unit, hampir menyamai jumlah penduduk seluruh negara. Tidak hairanlah jika jalan raya tidak pernah lengang dengan kenderaan.Baru-baru ini isu sama dibangkitkan di Parlimen oleh wakil Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dengan menegaskan tol antara punca utama kesesakan lalu lintas.Untuk itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberi komitmen kementerian itu sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Antaranya, dengan mewujudkan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 di laluan-laluan bertol.Jelas beliau, kementerian ketika ini sedang berusaha mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan, bagi memastikan inisiatif tersebut benar-benar dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan.Itu antara jalan penyelesaian bagi salah satu faktor, bagaimana pula bagi faktor-faktor yang lain? Mungkin masih juga dalam peringkat kajian.Jika di luar negara, seperti Singapura, contohnya, waktu dan jumlah kenderaan dihadkan untuk memasuki kawasan tumpuan seperti bandar-bandar besar.", "Malah, hanya kenderaan yang didaftarkan khas sahaja boleh bergerak bebas di kawasan tersebut.Tidak kurang juga sesetengah negara maju menetapkan had umur kenderaan yang boleh dipandu di jalan raya, seperti Jepun. Jika telah 'lewat usia', kenderaan tersebut wajib dilupuskan.Bagaimanapun, inisiatif negara-negara maju itu sedikit sukar untuk diamalkan di Malaysia. Ramai pula nanti yang tidak setuju jika kenderaan kesayangan mereka terpaksa bersara awal, walhal masih boleh digunakan.Pening, memang pening memikirkan jalan penyelesaian tuntas bagi isu ini. Ada yang berpendapat agar gunakan sepenuhnya pengangkutan awam bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.Iya, benar, itu juga merupakan salah satu jalan penyelesaian, namun capaian pengangkutan awam dalam negara buat masa ini masih belum menyeluruh menyebabkan ia bukan pilihan utama. Tambahan, ramai yang mengadu tahap keberkesanan pengangkutan awam, seperti ketepatan masa dan kekerapannya masih belum memuaskan.Ini memaksa rakyat tetap menggunakan kenderaan masing-masing untuk pelbagai tujuan dan destinasi. Selain itu, terdapat juga pengendali kenderaan berat yang sengaja memasuki jalan raya yang jelas dilarang pada waktu-waktu puncak.Seolah-olah sengaja mengabaikan undang-undang sedia ada, selain memperlihatkan sikap pentingkan diri sendiri. Kehadiran kenderaan berat bukan sahaja menyebabkan aliran trafik pada waktu puncak menjadi lebih perlahan, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain.Jika berlaku kemalangan, pasti lalu lintas bertambah sesak. Hari ini, hari kedua umat Islam menunaikan ibadah puasa, kesesakan lalu lintas pasti sedikit sebanyak menggangu.Ramai rasanya yang terpaksa berbuka di dalam kenderaan, mahu tidak mahu itulah realiti yang terpaksa dihadapi saban tahun. Pada musim perayaan Aidilfitri nanti, aliran trafik dari dalam ke luar ibu kota pula bakal berdepan masalah sama.Seolah-olah menjadi sudah satu kemestian pula, setiap kali sambutan mana-mana musim perayaan, harus berdepan kesesakan lalu lintas.Apa yang pasti kerjasama daripada semua pihak amat perlu, terutama apabila terdapat sebarang pembaharuan, undang-undang atau inisiatif yang dikemukan bagi mengatasi isu itu nanti.ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=95
PMX menoktahkan pemansuhan AUKU
[ "TIDAK perlu lagi menimbulkan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu mengumumkan akan berlaku pindaan atau pemansuhan beberapa seksyen dalam akta berkenaan yang masih menyekat kebebasan pelajar dan kebebasan ahli akademik.", "AUKU akan kekal tetapi pindaan akan dibuat jika masih ada dalam Seksyen 15 atau Seksyen 16 yang masih menyekat kebebasan dan autonomi sebagai mahasiswa atau pensyarah.", "Menjawab soalan seorang pelajar universiti awam dalam program dialog anak muda Temu Anwar di Kuala Lumpur Ahad lalu, Anwar mengakui AUKU menjadi akta yang komprehensif dalam hal ehwal pentadbiran, penubuhan sesebuah universiti termasuk pelantikan penjawat utama di universiti.", "Orang yang paling mengenali dan memahami AUKU dan setiap pindaan yang dibuat pertama kalinya pada tahun 1975, tidak lain melainkan Anwar dan apabila beliau menyatakan tidak perlukan pemansuhan, bermakna isu sama ada perlu dimansuh atau hanya dipinda tidak lagi menjadi dilema.", "Sejarah pergerakan pelajar sejak awal 70-an melalui demonstrasi Telok Gong, kemiskinan Baling, isu dasar negara prakonflik Mei 1969 hingga lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) antara pencetus kepada munculnya AUKU dan Anwar antara tokoh yang dikatakan penggerak kepada beberapa demonstrasi.", "Inilah antara sebab mengapa Anwar sambil berseloroh menyebut, penggubalan dan pindaan AUKU dibuat ketika itu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyekat beliau memasuki universiti.", "Tersirat dalam kata-kata itu adalah Anwar yang kini berkuasa sebagai Perdana Menteri boleh memansuhkan akta itu jika beliau mahu dengan mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memansuhkannya.Beliau tidak memilih langkah populis kerana beliau tahu ruang lingkup akta itu agak menyeluruh untuk menyediakan suasana kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi di negara ini, maka pemansuhan akta akan memberi implikasi lain termasuk sumber kuasa penubuhan sesebuah universiti.Anwar dan Mohamed Khaled telah mencapai kata sepakat untuk meminda akta berkenaan jika masih ada seksyen yang menyekat kebebasan mahasiswa dalam AUKU.", "Jaminan mereka berdua ini sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh aktivis mahasiswa untuk mengemukakan seksyen manakah lagi yang menyekat kebebasan.", "Pakar Perlembagaan dan Perundangan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A.Aziz dalam tulisannya di akhbar tempatan pada 10 Mac lalu menyebut, tujuan penggubalan AUKU pada dasarnya untuk memperkenalkan instrumen sah berkenaan penubuhan universiti dan mengesah hubungan antara kerajaan dan universiti.", "Menurutnya, kerajaan mempunyai pilihan untuk memansuh atau meminda sahaja beberapa peraturan yang tidak sesuai.", "Sebaik sahaja Perdana Menteri mengeluarkan ketetapan untuk tidak memansuh, dan pendapat ini selari dengan Menteri Pendidikan Tinggi, maka pilihan untuk memansuh sudah mencapai titik noktah.", "Adakah perkara berkaitan tatacara pelantikan Canselor sesebuah universiti oleh Yang di-Pertuan Agong dalam AUKU perlu dipersoal dan dipinda? Begitu juga pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor dimestikan melalui tapisan tertentu dan syarat-syarat ketat oleh Menteri Pendidikan Tinggi mahu dipinda?", "Ada juga pendapat menyatakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar perlu dihapuskan kerana kelahirannya bersumberkan AUKU, sedangkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan untuk membantu dan menyenangkan urusan pembelajaran dan membantu membentuk sahsiah serta kemahiran insaniah (soft-skill) yang tiada dalam bilik kuliah.", "Sesungguhnya, tugas Jabatan Hal Ehwal Pelajar adalah membimbing mahasiswa untuk sentiasa bersikap rasional, berintelektual dan berprinsip.", "Sebelum penubuhan kerajaan perpaduan pasca PRU-15, tidak sedikit aktivis dikenakan tindakan disiplin kerana dikatakan bertindak melawan kerajaan semasa menggunakan rotan AUKU, tetapi kini rotan AUKU untuk membantai aktivis mahasiswa sudah tiada, kecuali sesuatu yang melanggar undang-undang negara yang terpakai kepada semua warganegara seperti kesalahan menghasut atau memfitnah.", "Justeru, aktivis mahasiswa kini boleh bereksperimen dalam ruang kebebasan seorang warga rasional untuk bertindak seperti mengadakan demonstrasi terhadap sesuatu isu, dan melihat tindak balas daripada pihak universiti atau kerajaan.", "Yang sangat mahukan AUKU dimansuhkan selalunya aktivis mahasiswa dan Anwar mengingatkan kumpulan ini, seperti dilaporkan Malaysiakini pada 19 Mac lalu, dengan berkata: “(Mahasiswa) boleh jadi aktivis (perjuangkan hak mahasiswa) tetapi jangan jadi macai (atau) walaun. Saya hendak pastikan Kerajaan Perpaduan dengan warga Madani (tidak akan menyekat) sekiranya sesiapa ingin bercakap tentang perjuangan (mahasiswa).”", "Untuk menyertai pertubuhan mana-mana parti politik sama ada sebelah kerajaan atau pembangkang atau bertanding dalam pilihan raya umum, sudah tidak menjadi masalah selepas pindaan terbaru AUKU pada tahun 2019.", "Mohamed Khaled sendiri sudah memberi jaminan untuk meminda dan sedang meneliti perincian pindaan memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dalam Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu, turut menjelaskan desakan untuk pemansuhan tidak akan bererti jika penggantian akta itu akan menggunapakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada seperti di dalam AUKU.", "Tindakan sedemikian menurut Mohammad Yusof, tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit.", "Sudah sampai masanya untuk semua pihak termasuk aktivis mahasiswa menoktahkan isu ini dan bergerak ke hadapan sekali gus memanfaatkan ruang kebebasan yang dijamin oleh Perdana Menteri yang sememangnya dekat dengan perjuangan dan aktivisme mahasiswa.", "PENULIS PROF DR MOHD FO'AD SAKDAN ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.", "Artikel berkaitan:Masihkah AUKU ganggu mahasiswa?AUKU masih relevan KPM teliti pindaan Seksyen 15 AUKU, benar mahasiswa berpolitik" ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=96
Membeli untuk tong sampah
[ "SAUDARA PENGARANGTinggal beberapa hari sahaja lagi, seluruh umat Islam di dunia akan menyambut bulan Ramadan yang penuh kemuliaan. Bulan Ramadan atau sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai bulan puasa amat dinanti-nantikan.Mana tidaknya, pada bulan inilah setiap umat Islam akan berlumba-lumba untuk membersihkan diri dan menyucikan jiwa. Pada bulan puasa ini juga umat Islam digalak untuk melipatgandakan amal kebaikan. Ini kerana pada bulan yang mulia ini Allah SWT membuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Selain pengampunan dosa, Allah SWT juga dengan penuh kasih dan sayang menyediakan bonus pahala berlipat kali ganda khusus pada bulan Ramadan yang penuh istimewa.Sambutan bulan Ramadan terutamanya di Malaysia bukan sahaja dinantikan oleh umat Islam, bahkan masyarakat bukan beragama Islam juga tidak sabar untuk turut serta. Oleh kerana ada rakan-rakan atau sahabat handai yang beragama Islam sedang berpuasa, maka ada juga yang bukan Islam bersama-sama dengan rakan taulan mereka yang beragama Islam turut mengambil peluang merasai nikmat berpuasa.Ada juga masyarakat yang bukan Islam mengambil peluang ini (berpuasa) untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, pelbagai juadah yang jarang-jarang dijamah bakal tersedia di bazar Ramadan seperti kuih nekbat, sagumpal, cek mek, kuih buah tanjong dan pelbagai lagi membuatkan keghairahan mereka untuk turut serta menyambut kedatangan Ramadan menjadi lebih meriah. Oleh itu, tidak terkejut jika kelihatan pelbagai jenis bangsa yang mengunjungi bazar Ramadan. Inilah salah satu nikmat keharmonian di Malaysia. Malah ia juga dituntut dalam Islam untuk berbaik-baik walaupun berbeza bangsa dan agama.", "Tahun 2020 memperlihatkan Ramadan disambut seadanya dengan penuh hikmah kerana seluruh dunia pada ketika itu dilanda virus COVID-19 yang menjadi musuh nombor satu. Pada ketika itu, tiada bazar atau sebarang penjualan secara terbuka dibenarkan. Tahun ini, sekali lagi dengan kebenaran kerajaan, para peniaga diberi peluang untuk berniaga di bazar Ramadan. Walaubagaimanapun, seluruh masyarakat dituntut untuk menjaga keselamatan diri sewajarnya. Jika diamati, segala yang berlaku ini adalah didikan oleh Allah untuk kita semua bersyukur kepadanya.Selain bersyukur, kita juga dituntut untuk mengawal nafsu. Mengawal nafsu bukan hanya sekadar mengawal diri daripada nafsu syahwat atau melakukan maksiat. Tetapi kita juga dituntut untuk mengawal nafsu dari aspek lain yang membawa kepada kemudaratan serta amalan yang disukai oleh syaitan.Oleh kerana terlalu taksub dengan budaya \"menunjuk\" di media sosial, ada antara kita yang akan membeli belah pada kadar berlebihan. Contohnya, membeli lima juadah, namun sayang seribu kali sayang, yang dijamah tidak sampai satu juadah. Malang sekali, juadah-juadah itu disusun rapi pada pinggan mangkuk yang cantik dan setelah beberapa foto diambil dan dimuat naik, kesemua juadah itu tidak lagi terusik. Akhirnya makanan itu akan dihumban ke dalam tong sampah.Sikap menunjuk-nunjuk ini tidak boleh dibiarkan. Sikap seperti ini perlu dibasmi. Ia tidak mendatangkan keuntungan, jauh sekali membawa kebaikan. Budaya seperti ini sebenarnya akan membuatkan masyarakat kita akan lebih sakit rohaninya kerana masing-masing taksub untuk mempamerkan siapa lebih hebat. Ini adalah sesuatu yang jauh daripada tuntutan agama bahkan tidak langsung mempamerkan nilai-nilai murni yang boleh diteladani.Dimanakah hilangnya nikmat syukur itu? Dinamakah terbangnya erti mengawal nafsu? Bukankah kita dituntut besederhana? Ke mana pergi pengertian-pengertian itu?Bersikap jujur juga adalah amanah dari Allah kepada kita. Sikap tamak untuk mengaut keuntungan atas angin perlu dielakkan. Janganlah menganiaya pembeli. Para peniaga terutamanya peniaga makanan mahupun minuman perlu jujur dan amanah. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai wadah untuk bersedekah dan bukannya menipu demi mengecap kekayaan yang tidak diberkati.Masaklah sebagaimana anda mahu menikmati kelazatan makanan itu. Jangan dijual makanan yang telah basi. Jangan disaji makanan yang tidak boleh dinikmati. Contohnya, jangan dijual karipap angin, nasi yang tidak habis semalam tetapi dipanaskan untuk dijual pada hari berikutnya. Ini adalah satu perkara yang tidak adil, jujur dan amanah. Tunjukkan belas ihsan. Bersedekahlah kerana ianya tidak merugikan. Daripada dihumban kedalam tong sampah, adalah lebih baik rezeki itu dikongsi bersama.Tidak kira sama ada pembeli atau peniaga, harus kita fahami bahawasanya kita membeli bukan untuk tong sampah. Beli pada kadar sepatutnya. Berniaga dengan ikhlas dan tulus dan. Harus kita ingat, bulan Ramadan bukan bulan untuk mempamerkan kemewahan atau siapa lagi popular, tetapi bulan Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk menikmati bulan yang mulia ini dengan membuktikan ketaatan kita kepada Allah SWT, melatih diri untuk lebih berdisiplin dan mengasah diri untuk lebih sabar.PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI merupakan Pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=97
Perluas ruang pandang dan fikir mahasiswa
[ "Tempoh 14 minggu pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pengajian di kolej dan universiti, pastinya telah difahami jelas oleh mahasiswa.Dalam tempoh berkenaan, takwim akademik lazimnya akan dibahagikan pula dengan cuti pertengahan semester. Diikuti pula dengan minggu pembelajaran selama seminggu dan peperiksaan akhir yang mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.Tempoh 14 minggu itu akan menyaksikan fasa ‘bulan madu’, fasa tenang, fasa sibuk, fasa tekanan dan kemurungan dalam pelbagai sisi berbeza mahasiswa.Fasa sibuk dengan tugasan, projek lapangan, pembentangan mahupun ujian pelbagai kursus yang diikuti, menjadikan pelajar lebih peka kepada tarikh akhir atau 'deadline' atau pematuhan terhadap tarikh-tarikh utama.Ia turut menjadi penanda aras kepada komitmen, displin dan keupayaan mengurus masa individu. Selain semangat kerjasama dan kepimpinan atau kepengikutan dalam kumpulan ketika menjalankan tugas.Minggu-minggu akhir perkuliahan, adalah antara tempoh puncak kesibukan. Bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa, malah pensyarah juga memerlukan tumpuan masa membimbing projek akhir, menyemak tugasan dan memberikan penilaian berterusan.Dalam masa sama masih perlu menyelesaikan sesi pengajaran dan pembelajaran, aktiviti penyelidikan dan penulisan, disamping dokumentasi pelbagai dokumen berkaitan pengajaran dan pembelajaran.", "PROGRAM MENTORING MEREDAKAN TEKANAN DAN KEMURUNGANProgram Mentoring melibatkan mentor (pensyarah) dan menti (mahasiswa) di Universiti Islam Selangor (UIS) yang telah diperkenalkan sejak 16 tahun lalu, terus diperkasakan bagi membantu pelajar menghadapi pelbagai suasana kampus.Matlamat utama diadakan aktiviti Mentoring itu adalah untuk mewujudkan saluran perhubungan bagi membolehkan menti merujuk sebarang masalah khususnya dalam hal pencapaian akademik, pembentukan sahsiah serta pemilihan kerjaya.Namun, ia tidak terikat dengan perbincangan secara formal, malah boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah yang difikirkan wajar oleh mentor.Menyedari bahawa pelajar memerlukan satu sistem sokongan tidak formal dan perlu ‘didekati’ dengan cara yang lebih berhemah, Unit Rundingcara dan Kerjaya (URK),, bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, memberikan ruang dan kepercayaan kepada mentor yang dilantik; seumpama keluarga angkat bagi menyantuni sekumpulan menti yang telah diagih-agihkan mengikut jumlah pelajar dalam setiap fakulti di UIS.Aktiviti separa ilmiah seperti program-porgram motivasi, ‘Quran Hours’ dan pelbagai program anjuran fakulti dan universiti turut diambil kira sebagai merit program mentoring.Aktiviti riadah pula seperti berkayak, kembara (hiking), larian (fun-run), bowling dan ‘makan-makan’ barbeque bersama adalah antara yang sering dijalankan dan mendapat sambutan baik.Walaupun kelihatan seperti aktiviti biasa, namun sesi itu membuka ruang berkongsi emosi, bertukar idea, menghargai rakan, yakin diri dan pembentukan sahsiah yang baik dapat dibina secara langsung.Kemeriahan pelbagai aktiviti mentoring itu juga menghidupkan kembali suasana meriah dalam kampus selepas dua tahun kebanyakan aktiviti pelajar dan persatuan turut dijalankan secara dalam talian.LUASKAN RUANG PANDANG DAN FIKIRBagi kebanyakan mentor di Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS, aktiviti mentoring juga dijalankan secara berkelompok. Suasana ini menambah rasa kebersamaan dan meluaskan jaringan kerjasama mentor dan menti.Berinteraksi dengan rakan menti yang berbeza program pengajian turut membolehkan ruang pandang dan fikir mereka secara lebih interaktif.Baru-baru ini misalnya, gabungan lima orang mentor telah membawa 35 orang menti meneroka suasana di Dusun Suku Abad di Shah Alam, Selangor.Kumpulan menti ini telah didedahkan dengan tiga modul yang dirancang meliputi modul membakar lemang, memancing dan memanah.Menti ‘dibawa lari’ seketika dari memikirkan urusan akademik dan meninggalkan sementara pelbagai tugasan ilmiah.Survival hidup yang asas, mendedahkan menti dengan pelbagai cara hidup di kampung untuk mendapatkan bekalan makanan. Bermula dengan mencari buluh untuk memancing, mendapatkan cacing sebagai umpan sebelum teknik yang betul memancing ikan kolam ditunjuk ajar.Menti turut diberikan peluang menebang dan memotong buloh yang sesuai untuk membuat lemang. Malah proses membersih buloh, mengait kelapa, mengkukur kelapa dan memerah santan secara tradisional turut dilaksanakan secara praktikal.Sudah pasti ini suatu pengalaman yang tidak semua pelajar universiti dapat lalui kerana lokasi dan latar belakang hidup yang berbeza.Selain menyeronokkan, aktiviti seumpama itu membolehkan pelajar merenung dan berfikir solusi jika keadaan hidup perlu berubah kesan suasana ekonomi yang kurang menentu. Survival hidup tetap perlu diteruskan. Kemahiran menjalani hidup yang asas, membolehkan proses muhasabah diri berlaku secara langsung.", "Mencerna akal fikir, mengakui dan mensyukuri nikmat hidup, rezeki daripada Allah SWT.Ketika inilah juga proses komunikasi dengan Allah, alam dan manusia terpampang jelas, berlaku nyata dalam kehidupan harian.Peranan mentor dalam menyantuni menti yang telah diamanahkan sangat penting dan memerlukan pendekatan yang berhemah.Melalui sistem itu juga akan membantu menti menghindari perasaan tertekan atau resah gelisah dengan pelbagai tugasan dan peperiksaan akhir yang bakal dilalui.Perspektif umum tentang kehidupan di kampus juga boleh digambarkan dengan lebih baik. Kehidupan mahasiswa sebenarnya perlu disulami dengan pelbagai aktiviti yang menyenangkan, malah bermanfaat untuk fasa hidup yang seterusnya.Mahasiswa tidak sekadar dididik dengan pelbagai kursus yang terkongkong dalam persekitaran dewan kuliah dan tutorial semata-mata.Bukan hanya memberikan tumpuan untuk skor kecemerlangan akademik yang bakal tertera dalam transkrip dan sijil semata-mata. Apatah lagi menjadi ‘ulat buku’ yang menafikan keperluan bersosial dan menyerlahkan potensi diri.Mungkin inilah gambaran kurang tepat yang menjadi kebimbangan terhadap lepasan SPM yang kononnya tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.Hakikatnya, gabungan kebijaksanaan dalam sesuatu bidang ilmu perlu disertai dengan kemahiran khusus, kemahiran bersosial yang baik, ketrampilan diri yang menyenangkan dan kecekapan menjalankan tugas akan menjadi kriteria utama pemilihan modal insan dalam pelbagai industri dalam alam pekerjaan.", "PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Mentor/Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=98
RUU Perbekalan 2023 lulus di Dewan Rakyat
[ "Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 akhirnya diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 9 Mac.RUU itu dibentang semula pada 24 Februari, selepas Bajet 2023 yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober tahun lalu, tidak sempat diluluskan. Malah dibahas pun belum.Kali ini, bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), RUU berkenaan dikenali sebagai Belanjawan 2023.Selepas lulus peringkat dasar, gelanggang perbahasan peringkat jawatankuasa pun dibuka.Seperti RUU yang sudah-sudah, Belanjawan 2023 juga cuba mengimbangi tuntutan sosioekonomi dengan kedudukan kewangan kerajaan dan cabaran semasa.Kata PMX, tahun ini fokus diberi kepada bidang yang dianggap terdesak dan perlu diperkasakan.Untuk itu, tidak boleh tidak, langkah yang sangat tegas dan berani perlu diambil.Seperti yang dijangka, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan tertinggi.Ini dilihat agak sentimental memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan dari tahun 1986 hingga 1990.November lepas, beliau menolak kereta rasmi baharu dan sebarang pengubahsuaian di pejabat Perdana Menteri.Beliau dilapor menggunakan kereta Proton Perdana Limousine, dipercayai kali terakhir digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dari tahun 2018 hingga 2020.Namun lain pula ceritanya apabila melibatkan nasib anak bangsa dan tenaga pengajar.Peruntukan tinggi disediakan bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.", "Bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah daif di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf.Bagi memastikan perolehan dapat disegerakan, kaedah perolehan khas digunakan.Selain itu, RM900 juta diperuntukkan bagi kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah.Baik sekolah kebangsaan, sekolah agama mahupun sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.'Segera' semacam telah menjadi ungkapan wajib yang lazim keluar daripada mulut PMX.Walaupun Belanjawan 2023 dibentangkan pada 24 Februari, Menteri Pendidikan pada bulan Januari lagi telah menyatakan komitmen memastikan penyelenggaraan 17 sekolah daif di seluruh negara dilaksanakan segera.Sejak dilantik menerajui Kementerian Pendidikan, Fadhlina Sidek terus-terusan turun ke lapangan dalam program lawatan ke sekolah.Kata beliau, siri lawatan itu diharap dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pihak sekolah dengan KPM menerusi Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.Khususnya dalam memastikan kesejahteraan warga sekolah dapat dicapai.Namun apa yang kami pihak media perhatikan, dalam setiap lawatan ada sahaja peruntukan yang diumumkan.Menerusi libat urus dengan pihak sekolah, beliau mendapat maklumat secara langsung mengenai masalah yang mereka hadapi.", "Kebanyakannya berdepan isu kerosakan struktur bangunan yang sudah usang.Turut diketengahkan, isu sampingan seperti kekurangan pekerja sehingga menyebabkan kerja penyelenggaraan tertangguh dan lewat.Dengan siri lawatan itu, keputusan berhubung penyelenggaraan dapat disegerakan dan status sekolah diubah daripada berstatus 'sakit' kepada ditender semula.Inisiatif ubah suai dan naik taraf sekolah daif ini sebenarnya hanyalah salah satu daripada Tujuh Teras Utama KPM Dalam Menerajui Sistem Pendidikan Negara.", "Enam lagi teras ialah isu keciciran pembelajaran, kebajikan guru, komunikasi antara kementerian dengan sekolah, penekanan aspek karamah insaniah, isu kemiskinan multidimensi dan meningkatkan pendidikan digital.Bermula sesi persekolahan tahun ini, tiada sebarang kelas akademik akan diadakan pada minggu pertama.Pelajar dan guru sebaliknya diberi ruang untuk sesi suai kenal dan interaksi terlebih dahulu.Guru digalak meningkatkan nilai murni dan membiasakan pelajar dengan suasana pembelajaran yang baik.Pendekatan ABC iaitu 'anak baik dan cerdik' digunakan.Ringkasnya biar mereka baik dahulu, baru cerdik.Pendekatan ini sangat berbeza dengan amalan biasa yang sangat mengutamakan keputusan peperiksaan.Selain itu, pelajar daripada keluarga kurang mampu diberi kelonggaran hadir ke sekolah tanpa memakai seragam sekolah.Kelonggaran ini bertujuan meringankan beban ibu bapa, terutama mereka yang terkesan akibat banjir.Anak-anak mereka juga dibenarkan memakai kemeja-T dalam aktiviti kokurikulum atau badan beruniform.Pendek kata ibu bapa tidak perlu risau mengenai persiapan sekolahYang penting anak-anak dapat mengikuti pendidikan formal.Semoga lebih banyak inovasi dan pendekatan baharu diperkenalkan untuk menambah baik tahap pendidikan anak bangsa.", "PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=99
Radio medium perdamaian antarabangsa
[ "Radio dan Perdamaian. Tema yang ringkas, namun cukup kuat untuk meyakinkan bahawa radio sememangnya medium paling tepat untuk mengangkat agenda perdamaian nasional dan antarabangsa. Ternyata ia kesinambungan yang baik dan jelas dengan tema Hari Radio Sedunia pada tahun lalu iaitu ‘Radio dan Keyakinan’. Tanggal 13 Februari setiap tahun menjadi kebanggaan buat semua stesen radio dan seluruh warga kerjanya sebagai apresiasi peranan radio melalui pengiktirafan UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula tahun 2012.Ketika media sosial menjadi paling akrab dengan majoriti khalayak umum dalam era semasa, dengan dipenuhi pelbagai kandungan yang mempromosikan buruk sangka, kebencian, adu domba, hingga membawa kemudaratan terhadap institusi keluarga, agama, masyarakat malah negara.Maka peranan radio sebagai medium yang berkredibiliti tidak wajar terbawa-bawa dengan kandungan media sosial yang bersifat 'kebudak-budakan', mempamerkan emosi peribadi dan kurang rasional atas dasar akaun milik peribadi yang tiada penapisan kendiri yang teliti dan berkredibiliti.Namun tidak juga dinafikan media sosial menjadi medium dan alternatif terbaik untuk membanyakkan saluran maklumat melalui ‘live’ perbincangan ilmiah para ahli akdemik, agamawan dan ruang niaga yang interaktif dan menghiburkan apabila ia disertai dengan tanggungjawab dan kefahaman etika yang jelas.KUASA DAN DINAMIKA RADIORadio, medium terawal di Malaysia kekal berpengaruh dan dinamik. Ketika akhbar dan majalah melalui fasa merudum sejak 10 tahun ke belakangan ini, radio terus mendominasi perhatian khalayak pendengar.Bukan sekadar menjadi teman perjalanan yang menghibur dan menyampaikan maklumat ketika pemanduan dengan penyampaian bersahaja, malah peranan radio kini menjadi lebih besar dan diyakini sebagai medium periklanan, perniagaan dan penjenamaan institusi korporat dan paling utama membawa dasar dan agenda kerajaan.Laporan terkini oleh  GfK Radio Audience Measurement Survey  Radio (RAM) yang diterbitkan pada November 2022 menunjukkan bahawa aras tertinggi untuk pendengar radio Malaysia mencapai seramai 97.2% individu di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2022. Ia bersamaan dengan 21.6 juta pendengar secara mingguan.Jumlah ini menunjukkan terdapat peningkatan pendengar yang luar biasa iaitu sebanyak 300,000 orang pendengar berbanding kajian tinjauan sama pada tahun sebelumnya.Potensi ini sangat signifikan berkenaan pengaruh dan peranan radio yang besar ini. Apatah lagi dengan kejayaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyempurnakan proses pendigitalan semua 35 stesen milik RTM pada tahun 2019. Dengan RTM Klik, kini para pendengar tidak perlu bergantung kepada frekuensi, apatah lagi lokasi tertentu bagi mendapatkan siaran.Malah, sejak ditemukan pada tahun 1895, radio telah menjadi medium yang mampu bersiaran ke seluruh dunia.Maka tidak hairanlah mengapa Penjajah Komunis dahulunya akan merampas radio dari rumah setiap penduduk kampung dan bandar.Mereka sangat bimbang maklumat dari kerajaan Tanah Melayu sampai kepada penduduk ketika itu. Namun dari saat itu, sebenarnya kuasa radio telah membuka mata dan telinga banyak pihak.Bermula sebagai agen anti komunis dan penjajah dengan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat hinggalah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Sehingga kini dinamika radio kian pesat dan berperanan penting dalam usaha mempromosikan perdamaian dan toleransi antarabangsa.", "Keupayaan radio sebagai medium perdamaian dan toleransi kepada pendengar dari pelbagai latar belakang, agama dan budaya tidak dapat dinafikan.Selari dengan matlamat utama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang mula dibentuk pada tahun lalu untuk mempromosikan malah bersungguh-sungguh mahukan perpaduan dan perdamaian menjadi teras agenda nasional dan antarabangsa.Pesanan khidmat masyarakat (PSA), kapsul, majalah radio, dokumentari, laporan khas dan pelbagai siri wacana ilmiah melalui bual bicara yang berkumandang adalah antara pengisian terbaik radio yang boleh dimanfaatkan oleh semua stesen radio tempatan.Penyampaian yang ringkas, objektif dan berkesan, pastinya dapat memberi impak kepada pendengar.Perkembangan pelbagai isu dalam dan luar negara melalui berita dan laporan khas dan perkongsian penyampai atau 'Dj talk' juga membolehkan maklumat yang objektif dan adil mengenai isu-isu sosial dan politik, membantu untuk menghapuskan prasangka dan kebimbangan yang mungkin wujud.Contoh semasa yang paling tular susulan provokasi melalui media sosial.  Semarak kemarahan umat Islam di seluruh negara menjadi tular angkara seorang pemimpin Britain bertindak membakar senaskah al-Quran.Ciri media sosial yang pantas, bersifat perkongsian pendek berserta gambar atau video yang disertai dengan emosi individu dengan mudah untuk dikongsi, komen tanpa batas juga 'like', menjadikan isu ini hangat dan tranding. Pengumuman rasional Perdana Menteri Malaysia ke-10, Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukan percetakan 1 juta naskah al-Quran untuk edaran ke seluruh dunia sebagai reaksi balas terhadap isu berkenaan dilaporkan dengan pantas dan berulang kali.Maka akhirnya, melalui media arus perdana yang bertindak bijak, termasuklah radio yang kemudiannya berjaya memadamkan api kemarahan, kebimbangan dan keresahan umat Islam di Malaysia khususnya.Inilah teladan bagaimana untuk menyebarkan perdamaian dengan penuh hikmah.Mendinginkan kemarahan dengan menunjukkan kemurnian Islam, bukanlah bermaksud  tidak memperjuangkan al-Quran sebagai kitab suci Islam.Kini dengan mempunyai 35 stesen radio RTM dan sekitar 43 saluran radio swasta berbilang bahasa, rakyat Malaysia sebenarnya kaya dengan pilihan saluran maklumat dan hiburan.Malah radio memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan menyebarkan informasi, pengetahuan, hiburan, dan mempromosikan bahasa, budaya, toleransi dan pemahaman antara agama dan bangsa.Tanggungjawab ini merupakan teras kepada kedamaian masyarakat dan negara.Apatah lagi dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahukan keamanan dan perdamaian antara berbilang kaum dan agama.Pada peringkat antarabangsa dalam situasi ekonomi dan politik semasa, fungsi radio perlu berubah mengikut perkembangan dunia. Ketika situasi dunia semakin mencabar ekoran peperangan besar antara Rusia dengan Ukraine yang memberi impak kepada kemelesetan ekonomi dunia serta ketidakseimbangan politik antarabangsa, radio perlu menjalankan peranan sebagai agen perdamaian.Jadi, radio yang merupakan medium penyebar maklumat pantas mampu berperanan secara khusus membawa mesej perdamaian ini selari dengan tonggak Malaysia Madani iaitu kemampanan dan kesejahteraan.Dasar Membangun Malaysia Madani ini merupakan suatu misi dan visi membawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.Ini bagi menjamin kesejahteraan dan perdamaian ditunjangi institusi kemasyarakatan yang diperkasa seperti radio untuk membawa nilai dan menjaga norma sosial, hormat-menghormati dan solidariti khalayak pendengar.", "Adalah menjadi harapan juga, para pembuat polisi dan keputusan disetiap stesen radio, baik kerajaan mahupun swasta, menghargai dan menghormati khalayak pendengar.Yakinlah bahawa pendengar di Malaysia ini matang, bijak dan rasional. Percayalah bahawa  pendengar sentiasa dahagakan informasi dan penyampaian yang berkredibiliti dan menyenangkan walau dengan gaya yang santai.Kelompok pendengar ini bukan mahu dihiburkan dengan celoteh merapu para penyampai, lawak jenaka ketawa keterlaluan, apatah pula menjadikan pendengar sebagai bahan sindiran melampau dengan kandungan yang tidak memberi manfaat. Ditambah lagi dengan kerosakan bahasa yang dipromosikan sehingga hilang jati diri, adab dan sopan. Sehinggakan pemilihan perkataan yang tidak tepat seperti ‘korang’, ‘diaorang’, ‘kitaorang’ menjadi bahasa panggilan seharian dari anak-anak terbawa-bawa kepada pelajar universiti.Interaksi semasa kuliah dan pembentangan tugasan seringkali terganggu dengan ganti nama berkenaan seolah-olah kata ganti nama diri kami, kita dan dia telah lenyap dalam kamus bertutur mereka.Justeru, keyakinan yang tinggi terhadap kewibawaan radio melalui informasi, pendidikan dan kreativiti kandungan siaran radio sebagai suara kedamaian dunia tidak wajar disia-siakan. Kini radio seluruh dunia telahpun terletak di telapak tangan. Di hujung jari, penduduk dunia boleh memilih dan mendengar radio hanya dengan klik 'radio garden' tanpa perlu melewati sempadan negeri, negara mahupun benua. Radio digital telah merapatkan sempadan dunia.Oleh itu, sewajarnyalah setiap stesen radio mengambil peluang untuk mengangkat agenda  mempromosikan perdamaian dan toleransi antarabangsa. Bukan sekadar tema yang diraikan, namun tanggungjawab besar yang sanggup digalas untuk membangunkan masyarakat yang bertamadun tinggi.PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Pensyarah Penerbitan Radio, Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).PENULIS DR. MD ROZALAFRI JOHORI merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=100
Kesihatan mental kalangan belia, fakta atau auta?
[ "Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggariskan kesihatan mental sebagai salah satu daripada tiga elemen utama kesihatan sejak 1948. Malah dalam matlamat ketiga Pembangunan Lestari (SDG) juga menyatakan bahawa menjelang 2030, kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit perlu dikurangkan sebanyak satu pertiga iaitu melalui pencegahan dan rawatan, serta meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental.", "Cara penilaian kesihatan mental di Malaysia adalah satu cabaran kerana kesihatan mental adalah subjektif dari segi budaya yang berbeza merentas komuniti dan masyarakat. Malah, rakyat Malaysia mempunyai stigma terhadap kesihatan mental di mana ia dianggap sebagai satu kelemahan diri atau pun kelemahan spiritualiti.", "Secara tidak langsung, masyarakat juga kurang serius tentang kesihatan mental walaupun kesihatan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia menjelang 2030.", "Setiap peringkat umur mempunyai cabaran dan isu tersendiri dari segi politik, sosial, ekonomi dan teknologi. Namun, jika dilihat kepada statistik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2020 yang mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental yang lebih tinggi.", "Berikutan penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020 juga kita dapat lihat bahawa talian utama Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis Kebangsaan (CPRC) telah menerima banyak panggilan daripada rakyat Malaysia di mana 46.8% daripada pemanggil mengalami masalah psikologi yang sangat berkait rapat dengan kesihatan mental.", "Selain itu, statistik Talian Bantuan Psikososial pada tahun 2021 juga mendedahkan bahawa sebanyak 89.4 peratus (109,806 daripada 122,328 panggilan) adalah berkaitan dengan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan psikologi.", "Namun begitu, secara keseluruhan skor kesihatan mental rakyat Malaysia dari segi keupayaan mereka untuk mengatasi ketegangan, perasaan bimbang dan kemurungan masih berada pada tahap terkawal. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai daya tahan yang tinggi untuk mengatasi tekanan di sekeliling mereka.", "Pihak kerajaan, swasta mahupun individu persendirian di Malaysia amat cakna dalam keperluan menangani isu kesihatan mental yang berlaku. Antaranya kempen Program Rakan Muda Comfort Room Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Program Minda Sihat Sekolah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL), Program Siswa Sihat, Let's TALK Minda Sihat, Talian Bantuan Sokongan Psikososial dan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).", "Malah, Selangor juga telah melancarkan Aplikasi Kesihatan Mental Selangor pada Ogos 2021 yang dinamakan Selangor Mental Sihat (Sehat) bagi menangani isu kesihatan mental yang dialami rakyat akibat pandemik Covid-19. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri.", "Bagaimanapun, di sebalik usaha untuk melaksanakan program ke arah menangani isu kesihatan mental, statistik bunuh diri dalam kalangan belia agak membimbangkan. Dalam tempoh antara Januari 2019 sehingga Mei 2021 seramai 872 orang yang membunuh diri adalah berumur 15 hingga 18 tahun.", "Manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang. Ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha diperlukan untuk memperkukuhkan lagi sistem pengawasan kesihatan mental.", "Secara empirikalnya, terdapat beberapa kajian daripada universiti di Malaysia yang menyentuh kepada kesedaran berhubung kesihatan mental dan cara untuk mengatasinya. Kebanyakan artikel yang diterbitkan oleh para penyelidik di Malaysia menekankan bahawa kesihatan mental yang sering dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah masalah kebimbangan melampau, kemurungan dan ketegangan jiwa.", "Antara pendekatan yang dicadangkan adalah psikospiritual di mana agama dan komuniti memainkan peranan dalam memberikan sokongan kerohanian kepada individu untuk menjalani cabaran kehidupan seharian. Namun begitu, harus kita fahami bahawa setiap individu mempunyai tahap daya tahan dan daya tindak berbeza. Jika dilihat pada Generasi Z yang lahir pada tahun 1995 hingga 2009, mereka ini sedang memasuki alam pengajian tinggi dan pekerjaan.", "Mereka mempunyai peran ganda yang besar memandangkan mereka berkecimpung dalam peralihan era yang ketara ketika negara dilanda pandemik dan ekonomi yang tidak stabil. Oleh itu, ramai yang menyalahgunakan istilah ‘gangguan mental’ apabila gagal meraih sesuatu kejayaan atau digunakan sebagai alasan atau lesen untuk melepaskan diri dari didakwa.", "Pesanan kepada belia, jangan gunakan ‘gangguan mental’ sebagai lesen untuk anda lari dari masalah kerana hal ini membuatkan mereka yang betul-betul mengalami gangguan mental dan memerlukan bantuan dipandang enteng oleh orang sekeliling.", "PENULIS DR HAMIZAH SAHHARON ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=101
‘Sains Fobia’: Retorik sains komunikasi menghantui masyarakat
[ "“Sains” adalah satu ungkapan yang menakutkan seperti “hantu”. Ramai orang terutamanya para pelajar amat gerun mendengar ungkapan itu. Tambahan lagi apabila mereka dihantui oleh ungkapan biologi, kimia dan fizik yang mana boleh dikatakan umpama menjerut leher mereka sehingga nafas yang terakhir. Ketakutan kepada sains ini seolah-olah diwarisi dari zaman ke zaman. Sains fobia ini amat mempengaruhi ramai orang yang menyatakan sains itu menyeksakan. Walhal, sebenarnya, dalam kehidupan harian, kita berkomunikasi dan bekerja dengan sains. Bezanya ialah, apa yang kita bicarakan dan kerjakan tidak menggunakan terma-terma khusus yang boleh mencetus ketakutan. Contoh sains komunikasi harian ialah seperti isu-isu alam sekitar seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau panjang dan pelbagai lagi adalah ketidaktentuan yang mencetus inspirasi kepada peristiwa semasa, cuaca luar biasa atau keperluan untuk membongkar retorik sains. Antara contoh lain adalah seperti keseimbangan ekosistem, pereputan, pengambilan suplemen, racun, proses pembiakan dan pelbagai lagi. Selalunya perbualan yang bermula dengan soalan \"adakah anda percaya pada perubahan iklim?\", jawapan spontan yang terpacul di minda, \"sains bukan suatu sistem kepercayaan\". Akan tetapi masyarakat lebih percaya kepada petua-petua walaupun ianya memerlukan penjelasan yang lebih mendalam. Persoalan itu seolah-olah melingkari soal iman.Umum mahu mempercayai bahawa tiada konflik yang wujud antara kepercayaan dan sains. Namun, persoalan itu telah membuka seribu satu persoalan dengan pelbagai kemungkinan.", "Kemungkinan tersebut mendorong satu penilaian tentang apa yang dianggap sebagai ketakutan terhadap sains atau ‘sains fobia’. Sains fobia ini berkemungkinan tercetus daripada persepsi masyarakat yang berkonflik dengan kepercayaan akidah. Seringkali tercetus dakwaan yang menyatakan satu penghinaan kepada manusia untuk menganggap manusia boleh mengubah cuaca atau iklim. Namun, isu pencemaran udara, pemusnahan lapisan ozon, pulau haba dan sebagainya cuba digunakan saban masa sebagai bukti kebenaran dakwaan tersebut. Percaya atau tidak, dengan memahami sains, sebenarnya akan membuatkan kita semua boleh hidup sihat dan dapat mencegah pelbagai penyakit demi kelestarian kehidupan kita.Pembangunan silibus pelajaran Pendidikan Sains mahupun Komunikasi Alam Sekitar kini dijadikan sebagai alat doktrinasi kemanusian telah membuahkan pelbagai versi keyakinan yang sering dianjurkan untuk diraikan dalam menghormati apa jua kepercayaan, sistem kepercayaan atau perspektif yang dianuti. Kaedah saintifik, data yang disahkan dan penerbitan ilmiah disedari semakin bertentangan dengan apa yang dipercayai oleh keyakinan moral dan agama masyarakat. Konflik tersebut ada asasnya apabila dilihat dari pelbagai sudut pandang yang membentuk persepsi terhadap sains. Sains komunikasi ini berlangsung dalam kehidupan seharian kita. Kepercayaan kepada sains bergantung kepada bagaimana dan di mana kita dibesarkan, didikan berasaskan kepercayaan, penjajaran politik dan pengaruh rakan sebaya memungkinkan pembentukan sesebuah kehidupan. Namun, tiada satu pun daripada ini harus diguna sebagai dasar untuk melemahkan sains dan sains komunikasi. Sebuah karya bertajuk, Student Attitudes, Student Anxieties, and How to Address Them: A handbook for science teachers berpendapat bahawa pelajar juga membawa prasangka ke dalam bilik darjah tentang sains. Mereka mungkin menganggapnya sebagai dingin, terasing, atau berat sebelah terhadap segolongan masyarakat tertentu.", "Ramai pelajar termasuk ibu bapa juga mengalami ‘kebimbangan sains’. Wujud desas-desus ibu bapa yang mengeluh, ‘Saya bukan orang sains dan begitu juga anak saya’. Kenyataan sedemikian sedikit sebanyak melatih muda-mudi untuk mengalah kepada rasa tidak selamat atau berat sebelah ibu bapa semasa merencana kehidupan masing-masing.Percaya atau tidak, proses pembelajaran boleh menjadi sukar kepada segelintir pelajarnya dan diburukkan lagi dengan persepsi buruk yang menular dalam kalangan rakan sebaya. Oleh kerana itu, satu anjakan paradigma telah diambil oleh kerajaan untuk menghakis rasa takut kepada sains dan menerapkan unsur-unsur sains komunikasi yang efektif.Kerjaya sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan (STEM) diunjurkan menjadi asas pekerjaan utama pada masa hadapan.Para pendidik dalam bidang sains seharusnya memperkasa bidang ini dengan menggunakan kaedah sains komunikasi masyarakat yang efektif.Pada peringkat awal, sama sekali tidak menakutkan para pelajar dengan ‘bahasa sains’ yang boleh memeranjatkan mereka malah boleh mengelirukan mereka. Penggunaan laras bahasa mengikut pemahaman mereka adalah amat penting dan disulami dengan ‘bahasa sains’ membolehkan para pelajar menjiwainya.Penceritaan yang mengetengahkan kaedah didik-hibur dalam membuktikan sebab dan akibat kepada sesuatu perkara semestinya memudahkan para pelajar menguasai sesuatu pembelajaran tersebut.", "Namun begitu, dipercayai, kini ramai para pendidik sedang berjuang untuk memperhebat budaya cinta kepada ‘sains’ dan menghakis ‘sains fobia’ sedang giat dijalankan. Pertandingan seperti Puisidra Sains antara kaedah pembelajaran sains dan contoh sains komunikasi yang baik yang boleh memahamkan sesuatu situasi dengan berkesan. Tidak kurang hebatnya juga apabila warga pendidik dalam bidang sains kini giat menggunakan sosial media mereka untuk memberi ilmu seperti melakukan eksperimen untuk menerangkan sesuatu fenomena juga telah menarik perhatian masyarkat untuk mempelajari dan memahami sesebuah konsep. Diharapkan agar pada masa akan datang, sains fobia ini tidak lagi wujud dalam kamus setiap insan. Harus kita sedar bahawa sains komunikasi ini berlaku dalam kehidupan harian kita. Cuma, dalam sains, femomena itu dijelaskan dengan lebih sainstifik dengan menggunakan ‘bahasa sains’ yang tidak perlu ditakuti tetapi perlu difahami.", "PENULIS AHMAD FARID ABDUL FUAD, merupakan pensyarah Biologi, Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu dan DR MOHD YUSOF ZULKEFLI, merupakan pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=102
Kecerdasan buatan (AI) perlu pengawasan & integriti
[ "Bijak pandai menyatakan bahawa kualiti dalam berkata-kata adalah tidak dapat dinilai dari seberapa banyak kamu bicarakan sebaliknya seberapa banyak orang yang memahami apa yang kamu bicarakan.", "Mungkin ini merupakan cetusan idea dalam menghasilkan kecerdasan buatan, kepintaran buatan atau dalam istilah Bahasa Inggerisnya Artificial Intelligence (AI).", "Jika kita melakukan carian di internet, program AI merupakan kecerdasan dimiliki dan ditunjukkan suatu sistem beraturcara atau mesin jentera yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip yang dijana pemikiran manusia.", "Mari kita imbas kembali, sewaktu kecil acap kali kita melihat telemovie mengenai agen perisik menggunakan pelbagai alat-alat kecil dan unik.", "Kadang-kala tidak difikir akal mengenai idea dan hasil ciptaan hebat profesor dan pengkaji pada zaman itu.", "Usai dewasa, kita melihat program AI ini lebih maju berbanding masa dahulu. Ilmu Allah sangat luas sehinggakan diilhamkan kepada orang-orang bijak pandai agar menghasilkan alat-alat sedemikian rupa.", "Tahukah anda Program AI ini turut meliputi sistem pakar maksudnya semua data mengenai pengetahuan para pakar di dunia ada di dalamnya, robotik dan sistem sensor  computer vision iaitu mengintrepetasi gambar atau objek melalui komputer atau mudahnya mesin pengecaman sama ada menggunakan wajah, mata mahupun jari.", "Program AI juga merupakan sistem yang boleh diberikan arahan, melatih atau mengajar sebagai contoh, mesin pesanan makanan di kedai serbaneka (Self Service Ordering) atau mesin pembayaran kiosk restoran.", "Pendekatan Program AI yang diguna pakai akan dirancang dengan baik agar dapat memudahkan tugas rutin atau penyampaian maklumat dengan lebih berkesan.", "Ini termasuklah pembangunan sumber manusia yang lebih kompeten bagi menghadapi cabaran yang lebih kompleks.", "Malah, penggunaan Program AI ini juga boleh dilihat sebagai ancaman sekiranya kemampuan menyimpan data yang tidak terbatas, memiliki ketepatan dan kecekapan dalam sistem kerjanya juga apabila program AI dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa rasa penat mahupun bosan sebagai contoh telefon bimbit.", "Hanya dengan satu klik atau arahan semua dapat dilaksanakan dengan pantas.", "KEBERKESANAN AI DENGAN NILAI INTEGRITI WARGA UNIVERSITI ", "Pendekatan Program AI bagi warga universiti lebih sinonim jika digunakan dalam meningkatkan pengurusan integriti dan profesionalisme dalam kalangan pekerja, termasuk juga pendidik.", "Ini kerana bagi warga universiti, integriti merupakan suatu nilai murni atau kualiti unggul yang harus wujud dalam diri setiap individu atau sesebuah organisasi.", "Seseorang yang berintegriti melambangkan beliau insan jujur dan amanah dalam pekerjaannya.", "Oleh yang demikian, jika warga universiti dapat mencipta inovasi atau pembaharuan yang menitik beratkan integriti ia merupakan elemen penting juga suatu nilai tambah dalam memastikan perkhidmatan yang diberíkan sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan hasil kerja yang sangat sistematik.", "Perkembangan teknologi, Artificial Intelligence (AI), Robotic Process Automation, Internet of Things dan sebagainya bukan sahaja mempunyai potensi untuk menambah baik cara kita bekerja, tetapi juga telah mengubah cara rakyat berhubung dan berinteraksi dengan pihak universiti dan pihak penggubal dasar secara amnya.", "Ini menjadikan rakyat atau pelanggan lebih berpengetahuan dan mempunyai harapan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan awam.", "Justeru warga universiti sewajarnya menggunakan Program AI bersama-sama dengan pertimbangan manusia.", "Program AI boleh menjadi alat yang berkuasa untuk menganalisis data dan mengenal pasti corak tingkah laku, tetapi ia tidak sempurna.", "Demi memastikan ketepatan dan keadilan, adalah penting untuk menggunakan Program AI bersama-sama dengan pertimbangan dan pengawasan manusia.", "Adalah menjadi tanggungjawab warga universiti memastikan kandungan maklumat yang diberikan tepat, perlu ada pemantauan dan atasi berat sebelah secara berterusan.", "Biasanya dalam data yang digunakan untuk melatih sistem AI boleh membawa kepada penilaian integriti yang tidak tepat atau tidak adil.", "Oleh itu, adalah penting untuk terus memantau dan menangani berat sebelah dalam data yang digunakan untuk melatih sistem AI dan untuk melaksanakan perlindungan untuk mencegah diskriminasi.", "Sistem perkhidmatan yang diberikan perlu ada penambahbaikan berterusan. Proses ini adalah sangat baik demi memastikan pematuhan undang-undang dan piawaian etika yang terpakai.", "Lantas, universiti hendaklah memastikan bahawa mana-mana sistem AI yang digunakan untuk menyelia integriti mematuhi undang-undang dan piawaian etika yang berkenaan. Ini termasuk memastikan hak dan privasi warga universiti dilindungi.", "Seiring peningkatan teknologi semasa, warga kerja termasuk juga pendidik perlu dipupuk budaya integriti dan tingkah laku beretika.", "Keberkesanan AI dalam menyelia integriti di universiti akhirnya bergantung pada cara ia digunakan dan disepadukan dengan alat dan proses lain untuk menggalakkan budaya integriti dan tingkah laku beretika.", "Oleh itu, universiti harus mengutamakan pemupukan budaya integriti dan tingkah laku beretika sebagai komponen utama pendekatan mereka untuk menggunakan AI.", "Sistem atau perkhidmatan yang disediakan perlu menyediakan tahap ketelusan dan akauntabiliti.", "Universiti harus telus tentang penggunaan AI mereka dalam menyelia integriti dan harus menyediakan maklumat jelas dan boleh diakses tentang cara AI digunakan dan apakah tahap perlindungan yang disediakan untuk melindungi hak-hak dan privasi warga universiti.", "Selain itu, universiti harus bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh sistem AI dan harus bersedia untuk menjelaskan dan mewajarkan keputusan tersebut apabila perlu.", "Penggunaan teknologi terkini dan keberkesanan perkongsian maklumat memainkan peranan amat penting kepada universiti agar penyampaian perkhidmatan dapat diberikan dengan berkualiti kepada pelanggan dan pemegang taruh.", "Sebagai contoh penggunaan Program AI di universiti adalah rakaman video yang sistematik dan berkesan menggunakan dron,  mesin pengimbas berteknologi Artificial Intelligence (AI) telah digunakan dalam kebanyakan sistem kehadiran di universiti.", "Sistem bacaan nama graduan dalam sesebuah Istiadat Konvokesyen juga telah menggunapakai scanner dan ada juga penambahbaikan mengunapakai Radio Frequency Identification Device (RFID) di dalam pengurusan Istiadat Konvokesyen disamping ianya digunakan sebagai rekod inventori jubah-jubah tersebut.", "Bagaimanapun, universiti tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut kerana dihimpit oleh hambatan kewangan meskipun dipercayai ia boleh meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.", "Sebagai penjawat awam, pegawai universiti dinasihat melaksanakan sistem tadbir urus terbaik, mengamalkan budaya kerja berkualiti dan memantapkan nilai integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang selaras dengan perkembangan teknologi, Artificial Intelligence (AI).", "PENULIS SALEHA SABRAN ialah Pegawai U-Media, Pembantu Tadbir, Bahagian Hal Ehwal Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=103
Beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan buktikan kemampuan
[ "Mengkritik itu mudah. Bukan niat memihak atau mempertahankan kerajaan pemerintah. Tetapi, ini sekadar pandangan membuka minda semua melihat situasi semasa dengan hati yang tulus ikhlas, tanpa prejudis, serta dari dimensi positif.", "Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, tugas berat menanti Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Kerajaan Perpaduan pimpinannya. Beliau mengambil alih tampuk pemerintah ketika negara berdepan krisis politik yang tidak menentu.", "Negara pula sedang bergelut melalui fasa pemulihan ekonomi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum berakhir dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan kemelesetan ekonomi pada tahun ini.", "Jadi, antara tugas sukar yang dipikul Kerajaan Perpaduan melibatkan isu kos sara hidup dan kestabilan ekonomi.", "Belum seminggu barisan kabinet Kerajaan Perpaduan angkat sumpah, negara diuji dengan tragedi Tanah Runtuh Batang Kali.", "Tanpa berlengah, bantuan berjumlah RM10 ribu disalurkan kepada keluarga mangsa terkorban dan RM1000 untuk mangsa terlibat.", "Manakala, ketika bencana banjir menimpa Kelantan dan Terengganu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan RM100 juta untuk penduduk Pantai Timur yang terjejas.", "Baru-baru ini pula, Johor juga teruk dilanda banjir. Bantuan banjir RM50 juta disalurkan terus kepada rakyat negeri itu.", "Malah, Datuk Seri Anwar turut mengarahkan semua projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan disegerakan mulai Jun depan.", "Ia bagi mengelak bencana banjir berulang semula, sekali gus menjejaskan rakyat.", "Dalam pada itu, isu kebajikan rakyat terutama soal kos sara hidup tetap menjadi keutamaan Datuk Seri Anwar.", "Beliau menyedari ada keperluan mendesak dan segera untuk menangani keresahan rakyat. Namun, menolak agenda atau penyelesaian populis semata-mata. Meskipun, keputusan itu tidak disenangi sesetengah pihak.", "Sebaliknya, beliau mengutamakan usaha untuk 'meluruskan' kembali pelbagai sektor, untuk meningkatkan ekonomi negara.", "Seperti yang digariskan dalam tiga keutamaan strategik, berteraskan konsep Malaysia Madani. Kerana apa? Supaya impaknya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.", "Jika tidak mahu dicap seperti 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' kerajaan tidak boleh sekadar mencari penyelesaian sementara. Tetapi, lebih kepada penyelesaian bersifat jangka panjang dan secara total.", "Justeru, ia perlu mempunyai agenda dan pelan lebih realistik dan konkrit untuk negara dan rakyat.", "Pada masa sama, bukan semua dasar dan inisiatif kerajaan terdahulu terus dibuang atau dimansuhkan. Mana yang elok, diteruskan atau ditambah baik.", "Jelas, tiada penolakan atau istilah 'politik dendam' seperti didakwa pihak tertentu.", "Konsep 'Payung Rahmah' diperkenalkan sebagai langkah agresif Kerajaan Perpaduan dalam menangani kos sara hidup.", "Program itu melibatkan beberapa elemen yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menyantuni golongan memerlukan, B40 dan juga miskin tegar.", "Antara inisiatif yang telah dan sedang digerakkan ialah, Sumbangan Tunai Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah, Jualan Rahmah dan Menu Rahmah.", "Manakala, Kafe Rahmah khusus bagi penuntut universiti pula akan diperkenal selepas Hari Raya Aidilfitri.", "Sebelum itu, kerajaan turut memberi jaminan, tidak akan menaikkan tarif elektrik untuk mengurangkan beban rakyat.", "Biarpun, jumlah keseluruhan kos subsidi bahan api yang bakal ditanggung oleh kerajaan mencecah RM30 billion.", "Sesungguhnya, perjalanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih panjang.", "Ada banyak lagi dasar dan usaha bagi membela dan menaikkan taraf hidup rakyat perlu dilaksanakan. Perjuangan perlu diteruskan sehingga selesai.", "Namun, rakyat perlu beri sokongan dan ruang kepada Kerajaan Perpaduan membuktikan kredibiliti mereka.", "Kerajaan memikul beban beserta misi yang berat. Jadi, rakyat jangan putus harapan!", "PENULIS EMMI NORALIZA ADNAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=104
“Apa khabar”: Advokasi komunikasi sihat tanpa prejudis
[ "Menjadi satu kemestiaan pembukaan ruang perbualan adalah tidak asing dengan bertanya khabar. Melalui pertanyaan khabar itu akan membuka ruang kepada cabang-cabang perbualan lain. Ini adalah satu perkara baik kerana menerusi perbualan sihat akan membawa kepada kesejahteraan.", "Kita juga harus cakna, bahawasanya kesejahteraan merupakan gabungan antara aspek kesihatan mental dan fizikal. Pasca COVID-19 telah menampakkan budaya kesihatan mental dan fizikal amat dititikberatkan. Sebenarnya, ia amat penting bagi seseorang individu untuk menjalani kehidupan berkualiti.", "Perkataan “kesihatan” sering menitip di bibir manusia yang cakna terhadap kesejahteraan holistik. Malah menjadi satu kejanggalan jika ianya tidak diketengahkan di sebalik rencam masyarakat yang mendepani gaya hidup masa kini.", "Harus dibanggakan kerana kini ramai daripada kalangan rakyat Malaysia rata-rata menitikberatkan isu kesihatan dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan masyarakat setempat seperti zumba, senamrobik, yoga dan sebagainya.", "Warga yang celik digital masa kini membuka wahana baharu melalui golongan pempengaruh yang secara aktif menggunakan kuasa viral mereka untuk mengajak rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat dengan berkongsi pelbagai resepi yang lazat tetapi menyihatkan.", "Ini adalah satu gerakan yang perlu disokong demi kelestarian kesihatan merentasi segenap lapisan masyarakat. Syabas! Namun perlu diperjelaskan bahawa “kesihatan” ini membawa erti yang meluas.", "Berbicara mengenai autisme, ianya bukanlah satu perkara yang asing atau taboo dalam masyarakat. Dengan perkembangan pendidikan serta kesihatan yang jitu telah membuatkan ramai pihak mengembeleng akal fikiran untuk bersama-sama memikirkan jalan terbaik membantu ibu bapa dan anak-anak yang menghidap autisme untuk melestarikan kehidupan mereka dengan lebih baik.", "Dahulu, ibu bapa yang mempunyai anak mengalami gangguan autisme berasa janggal untuk berhadapan dengan masyarakat. Malah ada yang mengalami gangguan emosi kerana takut dengan persepsi masyarakat yang tidak menentu. Tetapi kini dengan berkonsepkan ‘apa khabar’ telah membuka ruang untuk mereka mengeratkan rangkaian sosial yang sihat.", "Umum mengetahui autisme merujuk kepada segolongan kanak-kanak yang mempunyai masalah berkomunikasi sosial dan pembelajaran. Autisme merupakan satu bentuk gangguan kualitatif dalam interaksi sosial bersilang, komunikasi dan imaginasi dengan kehadiran corak atau pola tingkah laku yang terhad, berulang-ulang, stereotaip, minat dan aktiviti serta suka mengasingkan diri.", "Sekilas pandangan, umum sukar mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami autisme berdasarkan sudut pandang luaran (fizikal) semata kerana mereka seakan-akan kelihatan sempurna seperti kanak-kanak sebaya yang lain.", "Minggu Kesihatan KEMENTAH 2022 yang diadakan pada 22 hingga 24 November di Foyer Wisma Pertahanan telah membuka mata ramai pengunjung terhadap isu kesihatan autisme.", "Demi meningkatkan kesedaran umum tentang autisme, National Autism Resource Centre (NARC), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA telah dijemput untuk menyalurkan maklumat berkenaan autisme kepada warga MINDEF serta pengunjung terhadap program-program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh NARC.", "Ia dalam usaha membantu individu autisme melestarikan kehidupan dari pelbagai sudut kesihatan.", "Menariknya, NARC bersama The National Autism Society of Malaysia (NASOM) menjalankan saringan autisme secara percuma sepanjang Minggu Kesihatan KEMENTAH tersebut. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ibu bapa yang berkunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan panduan untuk perkembangan anak-anak mereka.", "NARC juga turut berkongsi ilmu dan pengalaman seperti memberi pendedahan serta konsultasi kepada warga MINDEF tentang simptom autisme. Selain itu, beberapa penerangan berkenaan langkah intervensi awal bagi keluarga yang mempunyai anak autisme juga diberi penjelasan melalui kajian-kajian terapeutik yang diusahakan oleh penyelidik bawah naungan NARC.", "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, ibu bapa tidak perlu gusar apatah malu untuk mendapatkan khidmat nasihat sewajarnya demi anak syurga mereka. Langkah awal walau sekecil mana pun yang diambil keluarga berupaya untuk memastikan kehidupan yang lebih cerah buat mereka, keluarga dan masyarakat.", "PENULIS DR. MOHD. YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Komunikasi Liberal Pusat Pengajian Komunikasi dan Media UiTM Shah Alam.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=105
Masihkah AUKU ganggu mahasiswa?
[ "POLEMIK Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 muncul kembali kini untuk menguji kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, walaupun AUKU pernah dipinda di Parlimen pada tahun 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan terakhir 2019.Hampir semua desakan dan rayuan terhadap AUKU telah dipenuhi melalui pindaan berkenaan termasuk pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dengan membenarkan pelajar IPTA melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, waima bertanding dalam pilihan raya.Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menggulung perbahasan titah diraja pada 22 Februari lalu turut memberi jaminan ruang kebebasan diberikan kepada para pelajar khususnya berkaitan hal-hal politik kepartian.", "Sesungguhnya, semua menteri kini bertingkah laku dan komited dalam kerangka kerajaan perpaduan dan semua mahasiswa tidak perlu lagi merasa takut untuk menyuarakan sesuatu selagi tidak bercanggah dengan rasional dan undang-undang negara.Hampir semua IPTA kini akur dan mematuhi pesanan Menteri Pengajian Tinggi untuk memberikan lebih ruang kebebasan kepada mahasiswa, untuk menjadikan mahasiswa lebih kreatif dan kritis minda mereka.", "Justeru, Perlukah AUKU dimansuhkan atau hanya perlu terus dipinda dalam mengawal dan memimpin suara warga universiti? Sekali pandang memanglah nampak menarik cara hidup anarki yang tidak lagi berdasarkan sebarang undang-undang dalam berkerajaan, tetapi tidak ada negara bertamadun hari ini yang tidak menetapkan peraturan untuk kesejahteraan orang lain.Dalam sebuah keluarga kecil pun, ada peraturan dan undang-undang walaupun tidak secara bertulis untuk menjamin kesejahteraan keluarga berkenaan.Tindakan tatatertib terhadap pelajar yang curang dalam akademik, sebagai contohnya, bersumberkan semangat yang ada dalam AUKU dan diperincikan dalam peraturan di setiap universiti. Adakah pelajar mahukan kebebasan untuk tidak dikenakan tindakan jika melakukan perkara-perkara yang salah dalam aspek akademik?Tidak cukup pindaan dan pemansuhan beberapa seksyen dalam akta berkenaan, kini desakan dibuat untuk dimansuhkan terus AUKU dalam perbendaharaan akta di negara ini, kerana AUKU dikatakan telah menjadi igauan menganggu kebebasan mahasiswa.", "Apakah cerita AUKU juga muncul untuk terus menakut-nakutkan mahasiswa betapa akta itulah yang telah berjaya mengongkong mereka untuk muncul sebagai pemimpin ideal untuk rakyat Malaysia? Jika benarlah nama AUKU itu sendiri yang menjadikan ia sebagai igauan, bukan isi kandungannya, maka bolehlah pihak yang anti AUKU bersetuju sekiranya mengubah nama berkenaan kepada nama lain seperti Akta Pemerkasaan Universiti. Akan tetapi, adakah perubahan jenis lipstik yang dikehendaki, bukan kepada isinya.Ini kerana AUKU bukan hanya mengenai mahasiswa tetapi merangkumi aspek lain termasuklah pentadbiran universiti secara umum termasuklah cara pengurusan hal ehwal kewangan universiti. Dengan peruntukan sebanyak 27 seksyen dan dua Jadual, ia dibahagikan kepada 7 Bahagian iaitu Permulaan, Pelajaran Tinggi, Pentadbiran, Universiti, Kolej Universiti, Daftar dan Pengkalan Data dan Am. Diperuntukkan dua seksyen secara khusus mengenai mahasiswa iaitu seksyen 15 dan 16 termasuk Perkara 48 Jadual Pertama yang menyebut aspek Majlis Perwakilan Pelajar.Semantara itu segala hal ehwal berkaitan tatatertib pelajar dinyatakan secara jelas dalam seksyen 15(a), 15(b), 15(d) dan seksyen 16. Hanya 4 seksyen berkaitan tatatertib pelajar dari 27 seksyen yang ada dalam AUKUEloknya juga pengkritik AUKU mengemukakan seksyen manakah dalam AUKU 1971 (Pindaan 2019) yang tidak lagi relevan justeru perlu dimansuhkan atau semua yang ada dalam AUKU perlu dimansuhkan.Tidaklah dinafikan akta berkenaan pernah satu ketika menjadi alat untuk mendisiplin pelajar yang terlalu berpolitik sehingga melupakan diri untuk menekuni pelajaran sehingga berjaya mendapatkan ijazah kerana keperluan negara terhadap graduan Malaysia, pada waktu itu.", "Melalui pemansuhan Seksyen 15(2)(C) dengan membenarkan pelajar IPTA melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, waima bertanding dalam pilihan raya, sepatutnya semua faham AUKU 1971 tidak lagi mengehadkan kebebasan pelajar untuk bersuara dan tidak lagi menjadi penghalang bagi pelajar menyertai mana-mana parti politik peringkat nasional.Mengkritik hingga memasuki ruang fitnah mestilah tidak boleh dibudayakan dalam masyarakat Malaysia, tetapi mengkritik berdasarkan fakta tidaklah menjadi kesalahan. Malah, ruang internet dan media sosial kini memberi nafas kebebasan yang tidak sedikit kepada semua orang termasuklah warga IPTA dan IPTS.Untuk sebahagian mahasiswa, AUKU menjadi kambing hitam untuk dipersalahkan atas kekurangan diri atau kelemahan diri, dan sebahagian besar mahasiswa tidak berminat mengambil tahu pun AUKU. Dapatan tinjauan oleh Norshamliza Chamhuri pada tahun 2019 menunjukkan bahawa sebanyak 62% daripada 100 orang responden tidak mengetahui kewujudan AUKU 1971. Tambahan pula, hanya 55% mahasiswa dapat memberikan jawapan yang tepat tentang singkatan AUKU 1971. Hal ini menunjukkan tahap pengetahuan yang rendah tentang AUKU, terutamanya di kalangan mahasiswa.Bagi pihak yang menyokong AUKU, ia masih relevan dan perlu dikekalkan sebagai garis panduan untuk memperkasakan mahasiswa itu sendiri. AUKU diibaratkan sebagai garisan tepi padang bola sepak untuk para pemain bermain dalam kawasan permainan. Tanpa garisan tersebut, pemain tidak ada pedoman mengenai kawasan permainan. Batas yang ditetapkan oleh AUKU bukan hanya mengehadkan seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi tetapi juga mengehadkan kebebasan Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor untuk melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya. Jika dilihat kepada niat dan semangat AUKU, tidaklah akta itu menjadi igauan untuk menakut-nakutkan sesiapa, bahkan memandu seseorang warga universiti untuk menjadi warganegara yang suci hati dan mampu menyumbang kepada kebaikan negara. AUKU juga sebenarnya menjadi Punca Kuasa dan pelindung kepada kualiti pengajian tinggi di Malaysia.PENULIS PROF DR MOHD FO'AD SAKDAN ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=106
Hargai perjuangan “unsung heroes”, pastikan persekitaran bersih
[ "Jika dahulu mereka berhempas pulas bersatu bersama agensi-agensi lain untuk memerangi penularan COVID-19.Kini, mereka kembali menggalas tanggungjawab mencegah penularan wabak \"Denggi\" yang saban hari dilihat semakin meningkat. Setiap hari, satu demi satu kawasan dan lokaliti mereka lawati untuk menghapuskan kawasan pembiakan jentik-jentik.Bertahun-tahun perkara ini berulang. Sampah sarap di merata tempat.", "Bahkan air sungai terutamanya mereka yang tinggal di penempatan atas air juga dicemari dengan longgokkan sampah.Namun begitu, penduduk setempat seolah-olah tidak mengambil berat akan perkara itu seakan sudah terbiasa hidup dengan sisa kotoran.Jikalau pun sudah biasa, janganlah kita mementingkan diri. Fikirkanlah keselamatan orang sekeliling, keluarga khususnya golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak.Mahukah kita melihat masa depan anak-anak yang acap kali disebut sebagai generasi pelapis ini terhenti di situ sahaja dengan ancaman demam wabak Denggi ini?Ingat, demam Denggi bukan seperti demam biasa, ia mampu meragut nyawa jika tidak dibendung.Kebersihan, kesihatan, keamanan, kesejahteraan kita bukan hanya terletak pada satu pihak petugas kesihatan sahaja.", "Mungkin akan ada yang berkata “Oh, memang tugas mereka dan tanggungjawab mereka.” Benar. Tapi, di manakah tanggungjawab kita sebagai penduduk, masyarakat dan manusia untuk saling berganding bahu ?Kita juga perlu memainkan peranan penting sebagai kelompok yang terlibat untuk sama-sama memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat dicapai bak kata pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.Namun, setelah pelbagai usaha yang dilakukan oleh ‘pejuang yang tidak didendang ini’ ataupun ‘unsung heroes’, masih ada lagi yang mendabik dada.Sampai bila kita ingin hidup bersama sampah? Hidup bersama penyakit? Sampai bila?Tepuk dada tanya selera.", "Untuk rekod, setakat ini terdapat lima kes Denggi di rekodkan di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim, Labuan.Manakala lima lagi kes kumulatif direkodkan di Lokaliti Saguking, Kg Gersik dan Sebor.Semoga para petugas ini diberikan kesihatan yang berpanjangan untuk terus berbakti kepada bangsa, negara dan masyarakat.Terima kasih, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Unit Kawalan Vektor Labuan. MOHD ZULHANIZAM, warga Labuan Prihatin.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=107
Tragedi Khojaly: Pedoman untuk sejarah kemanusiaan dan kuasa dunia
[ "Perang, konflik dan perebutan kuasa mengakibatkan dunia tidak aman. Peristiwa sebegini membuatkan sesebuah negara tidak terlepas daripada krisis kemanusiaan. Perang membawa kesengsaraan dan kematian. Sejarah menunjukkan jiwa dan kemanusiaan seperti tidak bernilai lagi. Seperti mana perang pada abad ini dan pada era sebelumnya, menjadikan nilai kemanusiaan dan nyawa semakin murah.Dunia telah menyaksikan terlalu banyak kekejaman terhadap mangsa peperangan sehingga kini. Kekejaman dan penderaan terutamanya kepada mangsa yang lemah seperti wanita, kanak-kanak dan juga warga emas adalah sebagai taktik peperangan sahaja. Realiti perang mempamerkan impak negatif terhadap kesihatan mental mangsa akibat dari kekejaman dan penderaan, yang sukar dilupakan dan terpahat sepanjang hayat.Setiap tahun, penduduk Azerbaijan memperingati peristiwa pilu yang berlaku pada 26 Februari, 1992. Ulang tahun tragedi Khojaly mengenangkan peristiwa pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah konflik Nagorno-Karabakh yang paling mengerikan di akhir abad ke-20. Tragedi pembunuhan orang awam etnik Azerbaijan oleh askar Armenia secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.Sejarah konflik Armenia dan Azerbaijan bertambah hangat pada 1988, tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991. Konflik ini merupakan kesinambungan dasar penghapusan etnik yang dijalankan secara berterusan oleh nasionalis Armenia terhadap Azerbaijan selama lebih kurang 200 tahun yang lalu.Konflik demi konflik antara Armenia dan Azerbaijan berlandaskan tuntutan wilayah Nagorno-Karabakh Azerbaijan oleh Armenia. Konflik awal yang tercetus menyebabkan Armenia menguasai wilayah Nagorno-Karabakh termasuklah beberapa wilayah lain di Azerbaijan.Persefahaman dan perdamaian tidak dapat dicapai antara Armenia dan Azerbaijan.SERANGAN KONFLIK PALING KEJAM BERMULA, 613 ORANG AWAM TERBUNUHPada 26 Februari 1992, serangan paling kejam fasa konflik telah dilancarkan oleh askar Armenia terhadap orang awam Azerbaijan di bandar Khojaly. Khojaly menjadi sasaran disebabkan oleh lokasi yang strategik dan bertujuan untuk menghapuskan warisan sejarah Azerbaijan di bandar itu. Kota purba Azerbaijan ini telah dibakar dan dimusnahkan dalam hanya satu malam.Seramai 613 orang awam telah dibunuh oleh tentera Armenia di Khojaly. Turut terbunuh termasuklah 106 wanita, 70 warga emas dan 63 kanak-kanak. Tragedi itu juga telah mengorbankan lapan keluarga; 130 kanak-kanak kehilangan bapa mereka, dan kira-kira 25 kanak-kanak menjadi yatim piatu. Sebanyak 487 yang lain cedera parah dalam tragedi hitam itu. Pada malam yang menyayat hati itu juga seramai 1,275 etnik Azerbaijan telah dijadikan tebusan manakala nasib 150 lagi tidak diketahui.Kenyataan daripada 2,000 saksi yang terselamat dari tragedi tersebut menggambarkan pengalaman pahit dan ngeri pada malam yang pilu itu. Hanya bunyi ledakan senjata api dan bedilan meriam yang kuat didengari pada malam tersebut, menenggelami jeritan wanita, tangisan kanak-kanak yang ketakutan kerana kehilangan ibu bapa.Malam yang gelap dan sejuk itu, diterangi api daripada kebakaran yang memusnahkan bandar Khojaly. Sepanjang malam, mangsa pelarian menyaksikan mayat bergelimpangan dalam perjalanan menyelamatkan nyawa mereka. Hanya maut berlegar dalam fikiran, sama ada ditembak mati oleh askar Armenia atau mati beku ketika cuba melarikan diri. Menjadi tawanan askar Armenia, bermaksud keberangkalian nyawa bakal berakhir, diseksa dan penderitaan yang amat tinggi.Penduduk etnik Azerbaijan di Khojaly melarikan diri ke arah wilayah Aghdam dalam cuaca sejuk dan bersalji. Mangsa terpaksa berjalan berpuluh-puluh kilometer mencari perlindungan. Mereka terpaksa melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran dan perlu mengharungi sungai meskipun cuaca ketika itu pada musim sejuk. Oleh sebab itu, kebanyakan mereka mati akibat hiportemia.Usaha untuk menyelamatkan diri semakin mencabar dan harapan untuk hidup semakin tipis dengan halangan tentera Armenia, mula menembak orang awam yang tidak bersalah. Wanita, kanak-kanak dan orang tua telah dibunuh dengan kejam. Isteri dan anak-anak hanya mampu menyaksikan suami, bapa dan ahli keluarga lelaki mati ditembak di hadapan mata.", "(Gambar fail tragedi Khojaly pada tahun 1992/FOTO azerbaijan.az)", "KEKEJAMAN DAN KERAKUSAN TENTERA ARMENIATentera Armenia juga telah menyeksa tawanan orang awam etnik Azerbaijan dengan membakar dan menyembelih mereka hidup-hidup. Tidak cukup dengan itu, mangsa tawanan juga disiat kulit kepala, dipotong telinga, hidung dan anggota badan, dikorek mata mereka dan dibunuh beramai-ramai.Dilaporkan mangsa yang terselamat amat sukar untuk melupakan keganasan dan kekejaman askar Armenia seolah-olah peristiwa tersebut baru berlaku semalam. Tragedi Khojaly tidak mudah luput dari ingatan mangsa yang terselamat. Mereka melalui detik amat getir dan ngeri sepanjang malam tragedi. Peristiwa ngeri itu juga terus menghantui mangsa sepanjang hayat mereka. Melalui hari-hari yang perit, dipukul dan diseksa merupakan antara kenangan pahit yang amat sukar dilupakan.Menurut kerajaan Azerbaijan, askar Armenia melakukan keganasan yang amat dahsyat dalam sejarah perang. Kekejaman ini termaktub dalam sejarah peperangan sebagai pembunuhan beramai-ramai orang awam yang menggemparkan dunia pada akhir abad ke-20, sebagai jenayah paling ngeri terhadap kemanusiaan.Tragedi Khojaly disamakan dengan tragedi ngeri seperti Holocaust, Rwanda, Srebrenica dan seumpamanya yang terukir dalam sejarah dunia untuk selama-lamanya.Pembunuhan beramai-ramai adalah tindakan menentang keamanan dan kemanusiaan, dan dianggap jenayah paling serius bawah undang-undang antarabangsa. Susulan itu, pada Februari 2009, Kempen Justice for Khojaly, telah dikuatkuasakan. Kempen itu diadakan di seluruh dunia untuk memberi kesedaran dan mendapat pengiktirafan antarabangsa terhadap pembunuhan beramai-ramai di Khojaly.Kempen seumpama itu juga dapat membuka mata dunia mengenai pembunuhan beramai-ramai Khojaly supaya lebih diketahui oleh masyarakat dunia. Cara ini dapat memastikan pengiktirafan moral dan politik terhadap peristiwa pembunuhan beramai-ramai di peringkat antarabangsa sekali gus memperingati mangsa tragedi.Dunia merasai keperitan terhadap keganasan yang berlaku di hadapan mata. Malangnya, masyarakat antarabangsa memilih untuk memejam mata terhadap isu seperti tragedi Khojaly, yang ditulis sebagai satu aib dalam sejarah kemanusiaan, apatah lagi bertindak sebagai pembela isu kemanusiaan.Kuasa besar sepatutnya, berusaha lebih kuat untuk mengekalkan pembunuhan beramai-ramai seperti di Khojaly dalam agenda antarabangsa seterusnya menggesa agar pelaku pembunuhan beramai-ramai bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan.Kerajaan yang bertanggungjawab akan mempertimbangkan cara untuk mencegah peperangan, dengan mempertimbangkan isu yang lebih luas untuk menggantikan sistem perang dengan sistem keamanan.Sememangnya, perang tidak menguntungkan sesiapa, sedangkan hidup perlu diteruskan dengan mendoakan keamanan. Keamanan adalah kunci kesejahteraan manusia sejagat.", "(Sekumpulan askar etnik Armenia dalam kenderaan mereka semasa bertempur dengan tentera Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh pada 29 September tahun lalu/FOTO REUTERS) ", "Maklumat dalam artikel telah disahkan oleh pihak Kedutaan Azerbaijan.", "PENULIS ASMAHAN ABD RAZAK merupakan penulis bebas, bekas pensyarah dan juga Pegawai Perhubungan dan Antarabangsa, Jabatan Antarabangsa UiTM Global.", "Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=108
Banjir: Kesiapsiagaan anggota penyelamat perlu menyeluruh, tidak hanya lokasi berisiko
[ "Beberapa negeri ketika ini mula dilanda banjir susulan hujan berterusan. Sejak beberapa tahun ini, keadaan cuaca kian tidak menentu dan sukar dijangka.Kebiasaannya, menjelang Mac dan April, negara mula memasuki musim panas terutama apabila menjelang bulan Ramadan, namun kini tidak lagi.Kejadian banjir di Johor, Pahang dan Sarawak semalam telah menjejaskan 431 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022.Mereka kini tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang dijadulkan dan pusat peperiksaan berhampiran. Sudahlah sesi persekolahan dianjak hingga Mac akibat pandemik COVID-19, kini banjir pula melanda.", "Pasti sangat mencabar emosi, sedikit sebanyak persediaan mental untuk menghadapi antara peperiksaan besar, tercalar. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Lembaga Peperiksaan Malaysia sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon terlibat.Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri. Berikutan hujan lebat berterusan, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak terjejas dimana tujuh daripada pusat peperiksaan terbabit tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan.Bagaimanapun, seramai 195 calon berjaya juga digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan berhampiran.Nampak gayanya, KPM perlu mengusahakan inisiatif lebih baik bagi memudahkan calon-calon SPM menduduki peperiksaan tersebut jika berlakunya sebarang bencana yang menjejaskan mereka.Boleh dikatakan, kejadian banjir ketika ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja ekoran cuaca tidak lagi seperti dahulu.", "Di Chaah, Segamat, antara kawasan paling teruk terjejas di Johor, didakwa terburuk sejak 20 tahun lalu telah menyebabkan hampir keseluruhan pekan tersebut ditenggelami air.Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan banjir yang melanda negeri ketika ini agak kritikal.Lebih 29,000 penduduk terjejas, jumlah tertinggi antara negeri dicatat setakat ini dengan lebih 200 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.Agensi dan pihak terbabit yang mengelolakan bantuan dan operasi ketika banjir kini tidak lagi boleh tertumpu kepada lokasi berisiko semata-mata sebaliknya, perlu sentiasa bersedia untuk diatur gerak ke seluruh negara.Ini kerana kawasan tanggungjawab pihak berkenaan, semakin bertambah. Bahkan, pada masa kini, bencana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.Banyak negeri telah mengambil inisiatif membina tebatan banjir dan mempertingkatkan kemudahan untuk orang ramai berlindung ketika bencana tersebut melanda terutama negeri-negeri yang sering dilanda banjir besar setiap tahun.Sarawak contohnya mahu mengadaptasikan sistem saliran terbaik dunia termasuk dari Belanda bagi menangani banjir di negeri itu.Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang membuat kajian menyeluruh bagi memperbaiki sistem saliran sedia ada.Sistem baharu akan dilaksana secara berperingkat, bergantung kepada dana kerajaan negeri.Pastinya, selepas beberapa kali negara dilanda banjir besar yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit dan ada nyawa yang terkorban, persediaan bagi menghadapinya di masa-masa akan datang akan terus diperbaiki.Sebagai contoh, lebih banyak aset-aset berkaitan mula memenuhi inventori pasukan penyelamatan dan pihak berkuasa.", "Walaupun Malaysia tidak mengalami kejadian bencana alam yang lebih besar seperti gempa bumi, taufan, ancaman tsunami mahupun letusan gunung berapi seperti di luar negara, persediaan lengkap tetap perlu.Tambahan, bencana banjir kini semakin kerap terjadi. Bencana alam tidak dapat ditahan, namun kesannya dapat dikurangkan menerusi persediaan rapi agensi terlibat, pendidikan, kesedaran dan kerjasama daripada orang ramai.Bagi mereka yang terjejas banjir, sentiasalah berwaspada dengan sebarang kemungkinan dan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.Jauhi infrastruktur berbahaya seperti pencawang atau wayar elektrik yang terdedah agar insiden terkena renjatan elektrik sehingga membawa maut tidak lagi berulang.Elakkan juga bermain banjir terutama kanak-kanak, dan pastikan minum air yang bersih bagi mengelak penyakit bawaan air.Bagi mereka yang terpaksa berpindah ke (PPS), bawa bersama barangan yang perlu sahaja, terutama dokumen penting.PENULIS ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=109
Belanjawan 2023: Perlu perkukuh ekosistem perniagaan & percukaian
[ "Hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sehingga RM1.5 trilion. Permasalahan ini perlu ditangani segera.Sengaja penulis menimbulkan hal ini dahulu, ketika banyak mata akan tertumpu kepada Belanjawan 2023.Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berharap agar kerajaan dapat menawarkan penstrukturan semula ekonomi yang lebih berkesan.Ada ahli akademik lain berpandangan supaya sokongan lebih baik dapat diberikan kepada golongan pertengahan.Rancangan ekonomi tahunan itu akan diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Namun Perdana Menteri sendiri pernah mengakui cabaran besar perlu ditempuhnya, tatkala diberi mandat memimpin, dengan hutang yang melepasi pertumbuhan negara.Selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar akan mencadangkan satu jumlah peruntukan bagi perbelanjaan kerajaan untuk tahun ini kepada Dewan Rakyat.Lazimnya pada saban tahun, rang undang-undang perbekalan turut menggariskan inisiatif-inisiatif baharu yang sangat dinantikan masyarakat.Selain ke arah memperkasa agenda semasa bagi menambah baik taraf hidup penduduk negara.", "Namun dalam menduga intipati bajet kali ini yang dibentangkan kali kedua, banyak pihak juga saling berharap agar kerajaan meneruskan kesinambungan dasar-dasar baik.Ini terutama dalam membantu rakyat mendepani cabaran pada era peralihan ke endemik.Tidak kurang juga yang menuntut supaya langkah-langkah lebih berani diperkenalkan, bagi meningkatkan hasil dan mengekang ketirisan perbelanjaan.Isu ketirisan hasil dan pengurusan lemah tidak boleh berulang kerana ia menjadi punca berbilion-bilion ringgit wang negara hilang.Oleh itu adalah wajar untuk kerajaan menterjemahkan lebih banyak usaha lain bagi mengekang masalah berkenaan.Selaras ikrar Perdana Menteri yang bertegas akan memastikan tidak ada lagi ketirisan dan rasuah dalam apa jua urusan kerajaan.Sesungguhnya rakyat boleh bersangka baik dengan kerajaan perpaduan ini yang mendokong konsep Malaysia Madani.Konsep berkenaan berteraskan kepada enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.Perlu tahu, belanjawan 2023 juga mengangkat tema Membangun Malaysia Madani.Ini sekali gus memperlihatkan matlamat kerajaan adalah jelas iaitu ke arah memacu pertumbuhan ekonomi berhemat.Pada masa sama mengambil pendekatan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat.Taraf hidup rakyat tidak sama.", "Bahkan di Malaysia, ia juga diberikan pengkelasan bagi membezakan golongan memerlukan dengan yang kaya.B40, M40 dan T20 adalah takrifan mudah yang diguna untuk mengkategorikan penduduk mengikut pendapatan isi rumah mereka.Pada masa ini pula dilaporkan jurang pendapatan miskin kaya masih melebar. Malah ada pakar juga berpendapat yang keadaan itu kini semakin besar.Namun ahli ekonomi turut percaya kesejahteraan penduduk akan tetap diberi keutamaan dalam bajet tahun ini yang disemak semula.Dalam hal ini, kemungkinan-kemungkinan yang diberi ada asasnya kerana negara perlu mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup tinggi.Masalah kos sara hidup dan kemiskinan merupakan isu besar yang menyukarkan penduduk untuk mengubah taraf hidup.Kadar kemiskinan tinggi masih lagi mencengkam negeri seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.Selain kemungkinan bilangan mereka yang terjerumus dalam kelompok miskin bandar juga semakin banyak.", "Bukannya masyarakat tidak mengimpikan atau berusaha untuk kehidupan lebih baik tetapi ia perlu kepada campur tangan berterusan kerajaan di tengah-tengah proses pemulihan negara pasca pandemik.Apa lagi dengan faktor-faktor luaran yang turut mengancam sekuriti makanan negara.Keadaan itu juga memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantaian perniagaan dan pengguna.Sesungguhnya banyak pihak sangat berharap bajet 2023 dapat memberi suatu kelegaan kepada setiap lapisan masyarakat dalam setiap aspek kehidupan.Sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan dan percukaian demi menarik lebih banyak pelaburan.", "PENULIS AFFENDI ABDUL KARIM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=110
Mengukuh kesedaran hak cipta, lindungi industri kreatif negara
[ "(Sesi taklimat RTM bersama syarikat pembekal untuk perolehan Program TV terbitanTempatan (Swasta Baharu dan Sambung Siri) serta perolehan Program TV Luar Negara (Syndicated) dan Produk Siap Tempatan (Finished Product) bagi Fasa 1, Tahun 2023/2024 bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media, pada 10 Februari 2023)", "Baru-baru ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemain industri apabila pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadikan salah satu syarat kepada pembentangan cadangan (pitching) kandungan program televisyen kepada RTM oleh penerbit adalah sijil notifikasi hakcipta MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia).Sijil notifikasi hakcipta daripada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) ini adalah satu pemberitahuan sukarela (notifikasi) tentang hak cipta (copyright) sesuatu karya itu kepada MyIPO bagi membuktikan hak cipta kandungan tersebut dimiliki oleh pengkarya dan juga pemegang hak cipta komersial terhadap karya tersebut.Apa yang cuba dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah langkah baik demi pembangunan industri kandungan kreatif dalam memastikan harta intelek melalui hak cipta ini dilindungi dan tidak dieksploitasi agar tidak timbul di kemudian hari masalah tentang pemilikan hak pengkarya serta hak komersial kandungan kreatif.", "Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup mencuba melaksanakan satu sistem di mana pengkarya dan penerbit membuat pemberitahuan (notifikasi) dan pendaftaran tentang hak milik karya mereka agar pemilikan hakcipta direkod secara teratur sebelum sebarang aktiviti pengkomersialan secara persendirian atau bersama penerbit itu dilaksanakan.Pengarang terutama golongan pengkarya dan industri seharusnya berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif ini bagi memastikan semua karya dilindungi sebelum pengkomersialan.Kita telah mendengar terlalu kerap di dalam media pengkarya seperti penulis, pengarah seperti Allayarham Tan Sri P Ramlee berhadapan masalah apabila karya mereka dikaut keuntungan secara berat sebelah oleh penerbit dan syarikat yang mempunyai hak komersial ke atas filem dan ciptaan mereka.Akibatnya pemain industri kreatif seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee tidak dapat mewariskan hasil titik peluh idea kreatif dalam bentuk harta yang bernilai kepada ahli keluarga dan generasi mereka. Mereka hanya kaya dalam limpahan lampu di pentas glamor tetapi hidup susah dan melarat di akhir usia.", "Zaman dahulu mungkin kesedaran atau literasi pemain industri kreatif kita terhadap perlindungan hak cipta agak terbatas. Tiada saluran maklumat serta kefahaman tentang isu ini.", "Mereka tidak menyedari tentang kewujudan Konvensyen Antarabangsa seperti Bern Convention 1886 yang diperkenalkan di Switzerland dan diratifikasi oleh kerajaan Malaysia pada 28 Jun 1990 melalui Konvensyen Berne untuk Perlindungan Karya dan Kerja Artistik (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works).Konvensyen ini memberi perlindungan kepada perkarya selama 50 tahun hak cipta sebagai pengarang (author right). Manakala kepada hak komersial (commercial right) kepada penerbit untuk memperdagangkan karya tersebut dalam tempoh tertentu mengikut perundingan dan juga kontrak persetujuan kedua-dua belah pihak.Menurut konvensyen antarabangsa hak pengkarya sebagai penghasil dan pencipta idea tidak boleh dipadam atau dipinda tanpa mendapat kebenaran dan persetujuan mereka. Setiap kandungan idea dalam bentuk nama, logo, watak yang dicipta boleh didaftarkan sebagai harta intelek yang dilindungi Akta Hak Cipta.Kesedaran hak cipta ini perlu selanjutnya diperkukuhkan kepada pemain industri kandungan kreatif termasuk individu dan syarikat agar berunding dan bersetuju sedari awal lagi tentang hak pengkarya dan hak komersial penerbit tentang pembahagian royalti serta komisyen (comissioning).Apa yang perlu difahami oleh setiap pengkarya bahawa walaupun dia telah menyerahkan hak komersial karya tersebut kepada syarikat hak pengkarya (author right) tetap kekal selama 50 tahun di mana nama beliau sebagai pengkarya asal tidak boleh dipadam oleh penerbit sekiranya karya tersebut dikembangkan kepada penerbitan berikutnya. Langkah kerajaan menyusun dengan sistem teratur mengikut konvensyen antarabangsa melalui agensi Badan Perlindungan Harta Intelek (MyIPO) bukan bertujuan menyusahkan tetapi demi mengangkat dan melindungi karya kreatif ini daripada diekploitasi secara tidak adil oleh mana-mana pihak.Cuma lebih kemas lagi kerajaan perlu bersama memastikan setiap agensi kerajaan seperti stesen televisyen swasta dan kerajaan serta penerbit memastikan juga bukan sekadar hak pengkarya (author right) itu dihormati malah diagihkan keuntungannya melalui royalti dan juga sistem komisyen (commisioning) yang adil dan saksama tanpa merugikan sesiapa.", "Sudah tiba masanya stesen televisyen kerajaan dan swasta berunding dari semasa ke semasa dengan pemain industri kreatif tempatan termasuk persatuan penerbit, persatuan artis pekerja kandungan kreatif terma yang lebih bersifat menang menang kepada setiap pemain industri. Di negara maju seperti di Hollywood Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropan mereka sentiasa mengadakan perbincangan semula terma (negotitiation) tentang perkongsian dan pembahagian royalti dan komisyen kepada pihak terlibat dalam hasil usahama kandungan kreatif filem dan video.Usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa intervensi dan polisi kerajaan dan agensi kerajaan seperti MyIPO dan Finas sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pembangunan industri kandungan kreatif.Dalam era digital kerajaan perlu memperkukuhkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan juga analisis big data yang boleh mengesan setiap hak royalti dan komisyen semua pihak yang mempunyai hak terhadap karya tersebut dengan cepat, pantas dan dipercayai integriti maklumatnya.", "TS DR MEGAT AL IMRAN YASIN penulis, merupakan pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mantan Timbalan Ketua Pengarah Finas.Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=111
COVID-19: Usaha kerajaan tangani kos sara hidup
[ "Penularan pandemik COVID-19 memberikan cabaran besar kepada rantaian bekalan makanan di seluruh dunia. Penutupan sempadan sebagai satu langkah pencegahan COVID-19 telah mengakibatkan aliran bahan mentah dan barangan siap terjejas. Impaknya, harga barang dan kos sara hidup terus meningkat dan semakin meruncing mutakhir ini.Sekali gus menjadikan tahun 2023 lebih mencabar. Berdasarkan unjuran kadar inflasi meningkat 6 hingga 7 peratus, harga barangan dijangka meningkat sehingga 10 peratus. Malah, ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka di ambang kemelesetan tahun ini, terus memberikan tekanan kepada negara yang mengamalkan ekonomi terbuka seperti Malaysia.Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk menangani inflasi dan kesan terhadap harga barangan keperluan asas. Ini termasuk mewujudkan rantaian bekalan makanan dalam negara dengan menggalakkan aktiviti pertanian bahan mentah yang boleh menggantikan sumber import seperti cili.Beberapa keputusan penting turut diambil terutama mengekalkan tarif elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri.Perkara tersebut diputuskan atas kesedaran kenaikan tanpa program sokongan dan bantuan lain akan memberi kesan terhadap kos operasi pengeluar yang akhirnya memberi impak terhadap harga barangan pengguna. Bagi membantu pesawah dalam menguruskan kos sara hidup, BERNAS akan menyalurkan peruntukan RM60 juta. Kerajaan turut memutuskan kawalan harga dan subsidi ayam standard serta telur Gred A, B dan C diteruskan sehingga suatu tempoh yang ditetapkan.", " Selain memperincikan pelaksanaan Harga 2 Peringkat bagi minyak sawit mentah.Ini supaya harga minyak masak tulen kemasan botol di pasaran domestik dijual pada harga lebih rendah.Selain itu, inisiatif Payung Rahmah diperkenal bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar. Ia melibatkan penyediaan bakul makanan, pakej barangan, menu dan Kafe Rahmah.Pakej Barangan Rahmah merangkumi 12 jenis barangan asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan. Manakala, Kafe Rahmah menyediakan makanan tengah hari secara percuma kepada penuntut universiti serta sarapan dan makanan malam pada harga diskaun sehingga 50 peratus.", "Menu Rahmah pula menyediakan makanan tengah hari atau malam yang seimbang pada harga maksimum RM5.Program Payung Rahmah merupakan langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan. Ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.", "Sementara itu, langkah jangka panjang sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan, memenuhi permintaan, seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.Bagaimanapun, setiap langkah yang diambil kerajaan perlu dipastikan tidak menjejas kedudukan ekosistem perniagaan dan industri yang masih dalam tempoh pemulihan pascapandemik COVID-19. Ini kerana kerajaan sedar penyelesaian bekalan harus dibuat dengan teliti tanpa memberi impak negatif kepada pengeluar terutama peniaga kecil, sederhana dan mikro.Apapun, usaha mengawal inflasi dan kos sara hidup sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak yang terbabit seperti kerajaan, pengeluar, peniaga dan rakyat. Kos sara hidup bukan sahaja berlegar mengenai harga murah tetapi harga adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.Diharapkan segala langkah yang diambil akan memudahkan pengurusan kos untuk memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada pengguna sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia. Pengguna pula perlu terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pengguna bijak.Pengguna perlu merancang perbelanjaan dengan baik sebelum melakukan pembelian, menyesuaikan kecenderungan sekiranya terdapat barang pengganti kepada barang yang telah meningkat harganya dan sentiasa membuat perbandingan harga. Selain membeli dalam kuantiti yang diperlukan dan tidak mengamalkan pembelian panik.Sekali gus bersama-sama kerajaan dalam mengharmonikan semula ekonomi domestik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.", "HASLINDA HASSAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=112
Ikrar serumpun Anwar-Jokowi ke arah dimensi baharu
[ "Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia baru-baru ini membawa hubungan Malaysia-Indonesia yang sememangnya sedia erat, ke dimensi baharu.Lawatan berprofil tinggi itu mengundang rasa optimis luar biasa, bagi kedua-dua belah pihak.Kuala Lumpur dan Jakarta sama-sama berikrar memulakan komitmen baharu.Bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua negara jiran serumpun, tetapi juga menyelesaikan isu-isu tertunggak.Daripada isu sempadan darat dan maritim yang telah berlarutan selama 60 tahun, hinggalah isu berkaitan pekerja warga Indonesia di Malaysia.Keakraban hubungan PM-10 dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi, memudahkan perbincangan hati ke hati.Turut diketengahkan, hubungan ekonomi dan pelaburan dua hala.Termasuk hasrat Malaysia melabur dalam projek pembangunan ibu negara baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara di Kalimantan Timur berdekatan Sarawak.11 pucuk surat hasrat atau 'letter of intent' bernilai lebih RM11 bilion daripada 10 syarikat Malaysia telah diserahkan kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.Komitmen Malaysia disambut baik oleh Indonesia atas faktor kewangan dan ekonomi.Bagi Malaysia, pembangunan di Kalimantan Timur pastinya turut memberi manfaat kepada Sarawak dan Sabah.Apa tidaknya, Nusantara merupakan projek mega yang mempunyai potensi besar mengangkat kedudukan Borneo di peta dunia.Dijadual siap pada 2045, projek jangka panjang itu dianggar menelan belanja sekitar RM141 bilion.", "(Kedua-dua pemimpin negara menyaksikan penyerahan 11 pucuk surat hasrat atau 'letter of intent'  diserahkan kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi/FOTO Rasmi Perdana Menteri)", "Fasa pertama melibatkan pembinaan infrastruktur utama seperti Istana Presiden, Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat dan rumah kediaman, dijangka siap tahun depan.Sembilan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai syarikat swasta Malaysia dan Indonesia dengan 'pelaburan berpotensi' berjumlah lebih RM1.66 bilion.Melibatkan bidang kejuruteraan perkapalan, perbankan, teknologi pembuatan bateri, penerokaan tenaga hijau dan pembangunan Nusantara, serta sains dan teknologi.Namun begitu, paparan berita utama kebanyakan media antarabangsa ialah persetujuan kedua-dua pemimpin meningkatkan kerjasama memerangi diskriminasi Barat, terhadap minyak sawit.Bermula dengan pemerkasaan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).Seperti kata Perdana Menteri, walaupun sudah diwujudkan sejak 2015, tetapi CPOPC tidak berkembang.Sedangkan badan itu sebenarnya berpotensi menjadi pertubuhan berpengaruh, seperti OPEC yang dianggotai negara-negara pengeluar minyak.CPOPC ditubuhkan pada 21 November 2015 oleh Indonesia dan Malaysia yang merupakan pengeluar terbesar minyak sawit dunia.", "Bagi mengukuhkan kerjasama dan muafakat dalam industri sawit, empat negara pemerhati -- iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea akan diterima menjadi ahli penuh.Sebagai langkah segera, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan berlepas ke Indonesia dalam masa terdekat.Beliau bersama rakan sejawatannya dan pihak berkepentingan lain akan menyusun strategi dan memperkukuh usaha memerangi kesan negatif yang menyelubungi komoditi sawit.Menurutnya, mungkin terdapat keperluan untuk mempertimbangkan penglibatan pakar bagi menentang tuduhan Barat.Pilihan lain ialah langkah drastik, menghentikan terus eksport ke Eropah dan menumpukan pada negara-negara lain.Perkara ini perlu dibincangkan dengan Indonesia.", "Dalam pertemuan khas dengan Presiden Jokowi, Datuk Seri Anwar juga menyatakan komitmen Malaysia memberi sokongan penuh kepada Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.Termasuk dalam menangani isu Myanmar. Seperti kita sedia maklum, Malaysia merupakan anggota ASEAN paling lantang bersuara mengenai situasi di Myanmar sejak berlakunya rampasan kuasa pada Februari 2021.Kedua-dua pemimpin sepakat untuk meningkatkan tekanan terhadap junta Myanmar supaya melaksanakan pelan damai, Konsensus Lima Perkara ASEAN.Mereka berpandangan, ASEAN mesti terus memainkan peranan utama dalam menjadikan rantau Indo-Pasifik aman, makmur dan stabil.Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Indonesia walaupun singkat, menggambarkan semangat kebersamaan yang padu antara dua pemimpin negara berjiran.Saling hormat menghormati, penuh empati.Berinduk bak ayam.Rumpun bak serai.Junjung bak sirih.Bak kata Sheqal .... itulah kita di nusantara", "PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.", "Ulasan ini merupakan pandagan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]
https://berita.rtm.gov.my/index.php/kolumnis?start=113
Aildilfitri: Santuni dengan penuh adab dan berbahasa
[ "Rasanya baru sahaja artikel berkenaan dengan “Membeli untuk Tong Sampah” diterbitkan. Kini, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam diseluruh dunia bakal menyambut hari kemenangan, menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.", "Selain Ramadan, Aidilfitri juga amat dinantikan saban tahun. Ibaratnya, pada hari kemenangan itu membuatkan yang jauh didekatkan dan yang dekat dieratkan.", "Di Malaysia, sambutan Aidilfitri ini disambut oleh segenap lapisan masyarakat dengan tidak mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan mana-mana kaum dengan penuh gilang gemilang.", "Mana tidaknya, pada hari itulah ahli keluarga akan berkumpul, bertemu sanak saudara, mengunjungi jiran tetangga dan sahabat handai. Segala cerita pada 365 hari yang lalu diringkas dan dicerita pada aktiviti kunjung mengunjung yang penuh ceria, gembira dan sememangnya memecah suasana hening yang lain dari kebiasaan.", "Selain amalan kunjung mengunjung, terdapat satu lagi amalan yang wajib berlaku semasa Aidilfitri iaitu sesi bermaaf-maafan. Sepanjang Syawal, amalan bermaaf-maafan sememangnya akan dilaksanakan sepenuh jiwa dengan rasa keinsafan.", "Pada ketika itu dapat dilihat air mata akan berguguran sebagai tanda betapa seseorang itu benar-benar mahu memohon kemaafan dan diampun segala kesalahan yang telah dilakukan.", "Perlu diketahui bahawa dosa dengan manusia sangatlah berat jika tidak dimaafkan oleh orang tersebut. Sabda Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW:", "\"Barang siapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya\". [Hadis Riwayat Tirmizi]", "Inilah antara hikmah Allah SWT menganugerahkan Aidilfitri kepada para hamba-Nya agar kita semua saling bermaaf-maafan, berbaik sangka, membuang ego diri dan sentiasa menyayangi sesama insan.", "Bagaimanapun, dalam keghairahan menyambut Aildilfitri dan seusai kita memohon dan menerima kemaafan, harus kita ingat untuk terus bersikap sederhana dalam segenap perkara.", "Ketika kita leka bercerita dan bertanya khabar, jangan sesekali membuka akaun dosa yang baharu. Harus kita peka dengan keadaan sekeliling agar tiada perasaan yang kembali terluka. Tidak perlu bercakap perkara yang tiada faedah. Seperti perihal yang mampu mengungkap kisah duka lara.", "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai anak-anak muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya masing-masing seakan kurang senang apabila soal jodoh mahupun zuriat dipersoal ketika mana semua orang bergembira menyambut hari raya.", "Sebenarnya, perkara ini tidak perlu dijadikan satu perkara yang negatif. Janganlah terlalu sensitif.", "Kadang-kala soalan-soalan “cepumas” sebegini adalah soalan-soalan pembuka bicara. Tidak perlu menjawab soalan sebegitu dengan nada yang angkuh mahupun menjengkelkan. Sahutlah dengan mesra.", "Kita harus percaya setiap daripada kita dipertemu kerana ada sebabnya. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita itu bersebab. Tiada yang sia-sia. Allah datangkan mereka sama ada untuk menguji kita, mengubah kita atau memberi peringatan kepada kita.", "Namun, ini tidak bermakna kita bebas untuk bertanya apa sahaja yang kita mahu. Kita juga harus menjaga sensitiviti seseorang itu. Budi bahasa dan adab tidak boleh dijual beli. Ia sesuatu yang sangat luhur dan terbit daripada hati sanubari seseorang.", "Sepatutnya masa senggat itu digunakan sepenuhnya untuk melepas rindu dan membina memori indah yang boleh disemat dalam ingatan sampai bila-bila.", "Selain itu antara kesantunan bahasa dan adab yang perlu kita amalkan ialah dengan tidak mempertikaikan jumlah duit raya yang diberi. Kepada ibu bapa, berpesanlah kepada anak-anak untuk tidak meminta-minta duit raya semasa sesi kunjung mengunjung.", "Hal ini kerana, masih ramai orang berada pada fasa yang agak sulit dan sempit. Ada yang mampu dan ada yang kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Jamahlah hidangan yang disediakan dengan penuh rasa kesyukuran.", "Perlu juga diingatkan kepada anak-anak untuk tidak membuka sampul duit raya didepan sang pemberi. Khuatir jika nilai yang diberi dipertikai oleh anak-anak. Contohnya “alaaa… seringgit je…?” Ungkapan ini kadangkala boleh menimbulkan rasa segan dan malu oleh insan yang memberi jika didengari oleh orang lain.", "Selain itu, sikap membuka sampul duit raya didepan sang pemberi juga akan membuatkan kanak-kanak ini membuat perbandingan jumlah yang diberi. Ini adalah kelakuan yang tidak sihat dan tidak boleh dipanjangkan.", "Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, berpada-pada dalam berbelanja. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan bebankan diri. Sebelum Ramadan melabuhkan tirainya, jangan lupa untuk membayar zakat. Ini adalah penting kerana tujuan zakat ini ialah untuk memberi makanan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan mencukupkan keperluan mereka.", "Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.", "PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Shah Alam.", "Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM." ]