title
stringlengths
5
7
body
stringlengths
111
5.87k
Page104
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mac 2016 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkenaan Hukum penjualan produk menggunakan Ayat Ruqyah (ayat al-Quran) untuk tujuan komersial dengan sighah seperti berikut :   1. Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama tidak berlaku syirik.   2. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai “makanan sunnah” dan makanan dan minuman yang diruqyahkan dengan ayat al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan “makanan sunnah” dan ruqyah.   3. Sehubungan itu, sebagai “sad az-zari‘ah” kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan komersial, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah “makanan sunnah” secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.   4. Oleh hal yang demikian, Muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah “makanan sunnah” ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah SWT.   5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pelabelan, pengiklanan atau promosi untuk tujuan komersial atas nama ruqyah pada sesuatu produk adalah dilarang.    Status pewartaan : Tidak diwartakan
Page105
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mac 2016 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkenaan Had Kemuallafan Seseorang Saudara Baru dengan sighah seperti berikut :  1. Muzakarah menerima cadangan supaya diwujudkan penyeragaman had tempoh panggilan muallaf saudara baru negeri-negeri seluruh Malaysia seperti yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.   2. Muzakarah bersetuju menetapkan had tempoh maksima bagi seseorang saudara baru dipanggil muallaf ialah lima (5) tahun. Walau bagaimanapun, selaras dengan kuasa agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, maka Majlis Agama Islam Negeri berhak membuat sebarang pengecualian yang dikehendaki.     Status pewartaan : Tidak diwartakan
Page106
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra dengan sighah seperti berikut :   Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (toyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.2. Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra adalah diharuskan.    Status pewartaan : Tidak diwartakan
Page107
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2016-1437H yang bersidang pada 28 April 2016 bersamaan 20 Rejab 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke- 88 berkenaan Hukum Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak dengan sighah seperti berikut : 1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.   2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan tidak mengandungi sebarang unsur najis dan memudaratkan.   3. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.    4. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan melainkan bagi tujuan perubatan.   Status Pewartaan : Tidak Diwartakan
Page108
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2016-1437H yang bersidang pada 28 April 2016 bersamaan 20 Rejab 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global dengan sighah seperti berikut:    1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa terdapat beberapa syarat bagi kontrak mudharabah yang sah mengikut syarak, iaitu antaranya:   i. Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu. Pelaburan mestilah bersifat terbuka dan sesuatu pelaburan dianggap tidak sah jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barang tertentu contohnya sejadah, atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu.  ii. Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dengan pengusaha. Keuntungan yang dihasilkan mesti dikongsi bersama oleh pelabur dan pengusaha. Pelabur akan mengambil hasil pelaburan modalnya, sementara pengusaha akan memperoleh hasil usahanya. iii. Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja. Kontrak pelaburan dianggap tidak sah jika wujud syarat yang menetapkan pelabur perlu bekerja bersama pengusaha.   2.  Muzakarah mendapati bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Syarikat Mecca Fund Global ini bertentangan dengan prinsip sebenar mudharabah dalam Islam, iaitu antaranya pelabur perlu membeli lot yang ditawarkan oleh pemilik syarikat, akan berlaku kehilangan modal dan berlaku ketidakpastian terhadap kadar keuntungan dan modal. 3.  Sehubungan itu, berdasarkan perkara-perkara tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Mecca Fund Global adalah tidak mengikut prinsip mudharabah yang sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak. Pelaburan yang dijalankan juga didapati melanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia(BNM). 4.  Muzakarah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam skim pelaburan oleh Mecca Fund Global ini.   Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Page109
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2016-1437H yang bersidang pada 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke- 72 berkenaan Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM) Menurut Islam dengan sighah seperti berikut :   i.    Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.   ii.   Sekiranya terdapat unsur-unsur Skim Piramid yang mengandungi unsur-unsur penindasan dan penipuan dalam sistem jualan MLM maka hukumnya adalah haram.   iii.  Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan perniagaan MLM ini hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi Level Marketing) Menurut Syariah. (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 1/2013).
Page110
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H yang bersidang pada 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 berkenaan Hukum Penulisan Ayat-Ayat al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin dengan sighah seperti berikut : Setiap Orang Islam wajib mempelajari al-Quran dalam Bahasa Arab Rasm Uthmani. Haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran kecuali: Penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah yang standard. Untuk tujuan menarik orang membaca al-Quran dan tujuan pembelajaran (القرآن) dalam jangkamasa sementara. Teks/nas al-Quran hendaklah dilampirkan. Haram menerbit dan menjual tafsir dan terjemahan al-Quran tanpa disertakan teks asal.    Status pewartaan : Proses Warta
Page111
Muzakarah jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77 berkenaan Hukum Penggunaan Ayat-Ayat al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit dengan sighah seperti berikut :   1. Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai nada dering di dalam telefon bimbit adalah dilarang.   2. Mana-mana laungan azan / zikrullah dibenarkan penggunaannya dengan menjaga adab-adab dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat tersebut seperti di dalam tandas.   Hujah dan dalil:   Dalil tuntutan untuk menjaga kesucian al-Quran ialah Firman Allah SWT:     إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانٞ كَرِيمٞ ٧٧ فِي كِتَٰبٖ مَّكۡنُونٖ ٧٨ لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ ٧٩   Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan. Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui suci bersih. Surah al-Waqiah: 77-79.   a. Para ulama Islam telah menetapkan hukum dan adab tertentu kepada individu yang ingin memegang, membawa, membaca, menulis, menjual dan melupuskan al-Quran.   b. Sehubungan itu, apa-apa jua bentuk dan keadaan yang boleh disifatkan menghina al-Quran sama ada melalui perbuatan, tulisan, perkataan dan sebagainya hendaklah dihindari oleh orang Islam. Orang yang sengaja mempersenda dan menghina al-Quran melalui perkataan atau perbuatan maka ia boleh dihukum kafir. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyatakan:   “Dan seseorang yang dengan sengaja mempermain al-Quran atau sebahagian daripadanya atau sengaja mencampakkan mushaf ke tempat kotor atau mendustai apa-apa hukum yang dinyatakan di dalamnya atau menafikan apa-apa yang telah sabit atau ragu-ragu dengan al-Quran sedangkan dia mengetahui perkara tersebut maka hukumnya kafir”.   c. Baginda Rasulullah SAW sendiri turut memuliakan tulisan yang mengandungi zikir atau nama-nama yang mulia. Anas r.a pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila memasuki tandas, baginda SAW menanggalkan cincinnya. Para fuqaha menyatakan sebab Nabi SAW tidak membawa masuk cincinnya ialah kerana pada cincinnya tertulis perkataan “Muhammad Rasulullah”.   d. Para fuqaha dalam memastikan kemuliaan al-Quran menyatakan, ia hendaklah dibaca di tempat yang bersih. Sehubungan itu, fuqaha Hanafiah, Malikiah, Syafiiyyah dan Hanabilah menghukum makruh membaca al-Quran di tempat-tempat yang kotor seperti tempat mandi dan tempat buangan najis.   e. Berkaitan penulisan al-Quran di dinding termasuk dinding masjid, rumah dan sebagainya, para imam besar mazhab sepakat mengatakan adalah makruh menulis sesuatu daripada al-Quran di dinding masjid.   f. Berdasarkan hukum yang dikemukakan di atas juga, maka penggunaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan seumpamanya dalam nada dering dan paparan skrin dalam telefon bimbit boleh diqiaskan kepada beberapa permasalahan hukum seperti yang disebutkan di atas kerana illahnya sama iaitu memastikan unsur penghinaan kepada al-Quran tidak berlaku. Status Pewartaan : Tidak diwartakan
Page112
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H yang bersidang pada 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-64 berkenaan Hukum Peraduan SMS Dan Menyertainya Menurut Pandangan Islam dengan sighah seperti berikut :   Muzakarah memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib adalah tergolong dalam pengertian judi. Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 5 tahun 2013).   Hujah dan dalil: Aspek/sudut pengharaman:  Bayaran bil telefon atau talian untuk memasuki pertandingan dari segi syarak hukumnya adalah haram jika syarikat yang menaja wang dan menyediakan peraduan menunggu wang yang datangnya daripada caj bayaran telefon. Peserta yang menggunakan talian telefon untuk menyertainya membayar setiap minit dengan bayaran yang lebih dari caj bayaran biasa. Peserta yang berharap hanya membayar dengan bayaran biasa/sedikit tetapi mendapat keuntungan yang banyak adalah haram. Syarikat telah mengambil wang manusia lain secara batil kerana pertandingan atau yang seumpamanya ini berjaya mengumpulkan berlipat kali ganda hasil kadar bayaran daripada peserta.   Lajnah Tahrir al-Taqwa bil Mauqi’ (لجنة تحرير الفتوى بالموقع) meletakkan beberapa syarat yang wajib dihindari supaya sesuatu peraduan itu tiada unsur judi:  Tidak berlaku persetujuan antara penganjur dengan mana-mana syarikat komunikasi; sebagai satu cara mereka untuk mendapat untung. Peraduan itu tidak mengenakan bayaran untuk disertai sama ada bayaran itu dengan cara tertentu atau melalui penambahan kos perbualan jika peraduan itu diadakan melalui telefon. Peraduan itu mestilah pada perkara yang berfaedah sebaliknya bukan pada bentuk soalan berkenaan filem dan seumpamanya. Peraduan itu tidak bertujuan untuk mengambil harta orang ramai yang menyertainya kerana berharap kepada hadiah yang lumayan seterusnya membawa kepada pembaziran wang atau harta.   Status Pewartaan : Tidak Diwartakan
Page113
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/2016 – 1437H yang bersidang pada 31 Mei 2016 bersamaan 24 Syaaban1437H telah bersetuju memutuskan sighah Fatwa Bagi Ajaran Zikir Alunan Zat Cinta/Hikmah Fatihah daripada Zaman bin Mohd Nor seperti berikut: 1. Ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor adalah meragukan dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen seperti berikut: Menyamakan sifat Allah SWT dengan sifat makhluk. Menambahkan bacaan dalam solat Menggunakan nas-nas atau dalil-dalil daripada sumber yang tidak sahih dan diragui. Mentafsirkan al-Quran dan hadith mengikut tafsiran sendiri. Meninggalkan solat Juma‘at. 2. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor termasuklah:-  Menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Mohd zaman bin Mohd Nor atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya, sama ada melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain. Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebaginya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran fahaman dana ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor. Mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor di Negeri Sembilan. 3.  Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan Allah SWT. 4.  Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 5.  Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman merka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Mohd Zaman bin Mohd Nor atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan. 6. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Sembilan.   Status : Proses Pewartaan
Page114
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mei 2016 bersamaan 24 Syaaban1437H telah bersetuju memutuskan Sighah Fatwa Bagi Persoalan Bid‘ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furuk seperti berikut: 1. Persoalan khilafiyah adalah perkara ijtihadiyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid‘ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu. 2. Pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam. 3. Antara amalan yang didakwa sebagai bid‘ah adalah-  i. Konsep penggunaan dan pengamalan Hadis Dhaif ii. Membaca Yasin pada malam Juma‘aT iii. Membaca tahlil dan talqin untuk si mati iv. Mengadakan kenduri arwah  v. Menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj dan Ma‘al Hijrah pada setiap tahun vi. Membaca Yaasin 3 kali pada malam nisfu Sya‘ban vii. Berdo‘a beramai-ramai selepas solat berjema‘ah   viii. Membaca wirid dan zikir secara kuat/nyaring beramai – ramai selepas solat fardhu  ix. Membaca “Basmalah” secara kuat / nyaring dalam solat fardhu  x. Menyebut lafaz “Usalli” dalam niat solat  xi. Membaca qunut dalam solat subuh  xii. Bersalaman selepas solat berjema‘ah   xiii. Solat sunat qabliah Maghrib.  xiv. Solat sunat qabliah Juma‘at  xv. Fidyah solat   xvi. Terbatal wuduk dengan sebab bersentuhan kulit lelaki dengan perempuan yang harus dikahwini. xvii. Bilangan raka‘at bagi solat sunat tarawih selain 8 raka‘at   xviii. Menyapu muka selepas salam xix. Aqiqah dengan binatang al-an‘am selain kambing  xx. Amalam bertawassul dan bertabarruk   xxi. Berdo‘a dan membaca al-Quran di kubur   xxii. Do‘a akhir tahun dan awal tahun 4. Mana-mana orang atau kumpulan adalah dilarang: i. Membid‘ahkan mana-mana orang yang mengamalkan perkara i hingga xxii. ii. Menegah pengamalan dan pengajaran perkara i hingga xxii. iii. Menyiar, menyebar dan menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa perkara i hingga xxii adalah bid‘ah. 5. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perkara 4. 6. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara 4.i, 4.ii, 4.iii dan 5 di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan Status pewartaan : Proses Pewartaan
Page115
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah serta kaedah-kaedah Fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:   1. Tiada dalil yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan larangan atau kebenaran pelantikan orang bukan Islam sebagai peguam Syarie. Walau bagaimanapun terdapat dalil-dalil umum mengenai perkara tersebut dalam al-Quran, hadith dan pandangan ulama muktabar seperti berikut:    (a) Firman Allah s.w.t:       لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ           Maksudnya : Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi pemimpin/teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Surah Ali-Imran (3):28.   (b) Hadith Nabi s.a.w:    عن أزهر بن راشد عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تستضيئوا بنار المشركين Maksudnya: “Daripada Azhar bin Rasyid yang meriwayatkan daripada Anas Bin Malik, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,“Janganlah kamu meminta disinari dengan cahaya musyrik.”(Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie). Menurut Imam al-Suyuti, hadith ini menjelaskan bahawa seseorang Islam itu tidak seharusnya meminta bantuan atau perlindungan daripada orang musyrik. Seandainya kita meminta pandangan daripada mereka, kita seolah-olah telah menjadikan pendapat mereka sebagai penyuluh apabila kita dalam keadaan kekeliruan.   2. Kaedah-kaedah Fiqhiyyah a. سد الذ ريعة : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai Peguam Syarie, ia memberi ruang kepada orang-orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan dan memberi gambaran kelemahan orang Islam. b. إذا تعارض المانع والمقتضى قدم المانع : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang mengkehendaki hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari satu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian. c. المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة : Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan dari maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan. d. تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة  : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam. e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai Peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.   Status Pewartaan : Tidak diwartakan